Bismillhirrahmanirrahim.
Alhamdulillah.
Insya-Allah,
pada kali ini saya akan membawa kalian sebuah kisah yang cukup agung. Saya ingin
mengajak kalian supaya sentiasa berfikir tentang keagungan, kebesaran dan
kekuasaan Allah. Setiap apa yang dijadikan-Nya mesti ada perkara yang hendak
disampaikan. Tidak ada satu perkara yang sia-sia yang telah diciptakan oleh
Allah. Allah berfirman dalam surah Al-‘Imran ayat ke-190:
“Sesungguhnya
pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada
tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi
orang-orang yang berakal”
Al-Imam Nawawi menyebut
tentang kepentingan bahawa berfikir tentang makhluk adalah lebih baik daripada
ibadat di dalam kitabnya "Riyadus Solihin". Maksudnya disini ialah kita mengambil pengajaran apa yang berlaku dan
berfikir mengenainya. Ini menunjukkan bahawa apabila kita berfikir mengenainya
kita adalah orang yang berilmu. Kita cuba untuk memahami apakah tanda-tanda
kekuasaan Allah. Para makhluk lain juga beribadah namun cara mereka berbeza
dengan kita.
Burung Belatuk
ialah seekor binatang yang cantik, pantas, kecil dan boleh terbang tinggi. Ia adalah
ciptaan Allah yang cukup hebat. Allah menjadikannya sesuai dengan peranannya. Peranan
sebagai seekor burung terserlah pada zaman Nabi Sulaiman.
Saya terbaca sebuah buku yang berjudul “Kisah-kisah Haiwan Dalam
Al-Quran” oleh Ahmad Bahjat. Buku itu sangat menarik dan hebat isinya. Beliau mengumulkan
hampir kesemua haiwan yang terdapat di dalam al-quran. Beliau menceritkan kisah
haiwan itu seolah-olah beliau adalah haiwan tersebut. Sungguh membaca bukunya
boleh membawa kita ke alam haiwan seolah-olah kita adalah haiwan. Kita dapat
merasai kehangatan dan kesejukan.
Kisah Burung Belatuk.
Tersebutlah kisah. Namaku Marhala. Nama yang lembut, yang telah
Haidan pilih untukku. Dia ialah kekasihku. Aku Ketua angin, ketua awan dan
ketua air. Aku terbang siang dan malam tanpa rasa penat. Aku dapat melihat bumi
dari langit. Aku melihat bumi sungguh cantik, meninggi dan jauh. Namaku yang
molek ini tidak kurang daripada kemampuanku untuk terbang.
Keistimewaan aku ialah aku boleh terbang tinggi sehingga
mengatasi awan, kemudian aku berhenti dan menundukkan kepalaku serta aku
mengkaji. Aku melihat dengan pandangan yang tajam segala apa yang terdapat di
bumi, pandanganku dapat menembusi batu-batu berkapur. Pandanganku turun ke bumi
dan menyelaminya. Aku menggunakan pancaran alam untuk menemui air. Apabila aku
telah menemuinya, aku akan turun daripada jarak yang jauh secara menjunam pada
tempat yang telah aku pasti. Aku menandakan dengan paruhku pada tempat yang
sesuai, dan proses penggalian pun bermula.
Prinsip aku ialah kerja adalah kerja dan hiburan adalah hiburan.
Katanya kamu tidak mendapati sesiapapun mengetahui hiburan yang sebenar
melainkan apabila ia mengetahui maksud kerja yang sebenar. Seseorang yang tidak
pandai akan terus tidak akan berjaya dalam segala-galanya, sama ada dalam kerja
atau hiburan.
Jangan tanya aku perkara yang aku tidak suka. Pada suatu hari,
singa bertanya kepadaku :"Kenapakah kamu belum berkahwin sampai
sekarang?" Aku menjawab:" Aku harap engkau jagalah diri engkau
sendiri sahaja." Singa bertanya lagi:"Aku bertanya engkau satu
soalan, apakah sebab yang menimbulkan kemarahan engkau?" Aku menjawab: "Ia
menimbulkan kemarahanku kerana ia adalah masalah peribadiku. Adakah kamu suka
kalau aku bertanya, kenapakah kamu berkahwin?
Aku perisik yang setia dan hebat. Segala rahsia tidak pernah aku
bocor kepada sesiapapun hatta aku digoda oleh seekor burung belatuk betina yang
comel dan cantik. Walaupun nyawaku diancam. Prinsip tetap prinsip. Hanya
seorang sahaja yang boleh tahu iaitu Tuan aku iaitu Nabi Sulaiman. Burung
berkata-kata kepada Nabi Sulaiman:" Sesungguhnya aku dapati seorang
perempuan memerintah mereka, dan telah diberi dari tiap-tiap sesuatu(yang
diperlukan) dan dia pula mempunyai singgah-sana yang besar."(Surah
al-Naml:23).
Aku seorang pekerja yang amanah dan patuh kepada arahan kerana
aku tahu pasti arahan yang disuruh itu ada hikmahnya. Patuh dan amanahku untuk
kepada Allah dan pesuruh-Nya yang benar, jujur, dan hebat. Segala
surat-menyurat dari Nabi Sulaiman akan ku pegang dengan amanah. Aku menjaganya
sebaik mungkin. Nabi Sulaiman berkata:"Pergilah bawa suratku ini, serta
campakkanlah ia kepada mereka kemudian berundurlah daripada mereka dalam pada
itu perhatikanlah apakah tindakah balas mereka." (Surah al-Naml:28)
Aku juga adalah orang yang benar. Segala berita mesti tulus dan
tidak terpesong apatah lagi ditokok tambah. Aku percaya bahawa segala tipu daya
itu adalah syaitan. Aku bukan syaitan. Aku ialah Burung Belatuk hamba kepada
Allah. Sepertinya aku mengatakan bahawa:"Aku percaya sistem "syura'
itu adalah satu keperluan mereka kerana Raja Permaisuri bertanya pendapat
mereka lalu mereka bercakap kepada Permaisuri tentang kekuatan mereka."
(surah al-Naml:29-35)
Aku seorang yang rendah diri. Satu persoalan yang timbul ialah
bagaimanakah seseorang manusia boleh bermegah-megah diri atau bagaimanakah
burung Belatuk boleh bermegah dengan kecerdikan, kedudukannya, kekayaannya
serta kekuatannya. Jika kekuatan, kecerdikan, kedudukan dan kekayaan tersebut
bukan menjadi milik kita, tetapi ia satu pinjaman yang akan diambil balik. Maka
dengan ini, aku tidak perlu berbesar diri atau bongkak bahkanmeninggi diri. Sebab
itulah aku menundukkan kepalaku, mengembang kepakku dan sembahyang...segala
kesyukuran kepada-Mu yang Allah.
Aku tahu membezakan hal peribadi dengan kerja. Aku tidak pernah
mencampurkan urusan peribadi dalam kerja. Sungguh aku adalah seorang yang profesional.
Pernah suatu hari Burung Belatuk(yang baru ku temui,bukan Haidan) bertanya
kepadaku:"Kenapakah kita tidak berlayar ke Mesir? Mereka berkata di sana
ada kampung yang cantik dipenuhi dengan lumpur yang subur, tempat belaan
binatang yang dipenuhi makanan." Sebagai jawapan celotehnya, aku
berkata:"Di Mesir penuh sesak dengan burung Belatuk dan mempunayi masalah
penempatan Belatuk. Aku tidak suka kesesakan dan hiruk-pikuknya." Aku
membuat pelbagai alasan supaya dapat memadamkan keinginanku untuk kesana. Pada
suatu hari, burung Belatuk itu pun bertanya lagi:"Tidakkah engkau belum
berfikir untuk menetap dan berkahwin, dan adakah ada Belatuk lain yang lebih
baik daripadaku?" Aku tidak bertanyanya adakah dia membayangkan aku burung
Belatuk yang tidak ada kerja...aku juga tidak memberitahunya bahawa aku tidak
mempunyai tugas penting untuk tenter Nabi Sulaiman.
Hikmah Burung
Belatuk Nabi Sulaiman.
1.
Dalam
buku “Islam, Fikrah dan Harakah” oleh Ustaz Haji Abdul Awang telah menggariskan
beberapa konsep yang boleh kita mengambil i’brah daripada kisah di atas ialah Organisasi
yang baik. Peranan yang dimainkan oleh setiap makhluk yang ada pada zaman Nabi
Sulaiman memainkan peranan mereka dengan begitu cermat dan teliti. Patuh kepada
arahan dan sentiasa peka dengan keadaan. Kata Ustaz Haji Abdul Awang: “Dalam kisah
tersebut kita lihat bagaimana burung
Belatuk menjalankan tugasnya, dan melaporkan maklumat dengan tepat kepada
pemimpin.
2.
Keistimewaan
yang ada pada setiap umat manusia berbeza dengan umat manusia yang lain. Ada yang
pakar dalam bidang al-quran dan hadis, kejuruteraan, perubatan, ekonomi,
bahasa, pembangunan, pemikiran, ketenteraan, sains kemanusian, pembinaan dan
lukisan dan sebagainya. Umat yang hebat ialah umat yang bersatu. Mereka memanfaatkan
keistimewaan mereka untuk membina tamadun. Kalaulah umat islam bersatu pasti
umat islam akan menjadi umat yang hebat dan digeruni oleh musuh-musuhnya. Umat islam
perlu membina tamadun sendiri yang boleh membanggakan islam itu sendiri. Islam adalah
agama yang syumul. Al-quran pun telah mengajarkan kepada kita seperti burung
Belatuk dan makhluk yang lain berperanan dengan menggnuakan keistimewaan
masing-masing untuk membantu Nabi Sulaiman. Kenapa umat islam masih buta dan
tidak mahu melakukannya.
3.
Burung
Belatuk yang amanah dalam kerjanya. Setiap kerjanya pasti dilakukan dengan
sebaik mungkin dan tepat pada waktunya. Namun kita tanya pada diri kita. Adakah
kita telah melaksanakan tugas dengan amanah baik sebagai seorang mahasiswa,
pekerja, ibu bapa, guru, pekerja bank, pemimpin, hakim, polis, peniaga dan
lain-lain. Tidakkah kita berasa bersalah dan insaf. Atau kita tidak mempunyai
perasaan. Dalam surah An-Nisa’ ayat ke-58, Allah berfirman:
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis
amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan
hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil.
Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang
sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi
sentiasa Melihat.”
Dalam hadis Nabi Muhammad SAW. Hadis Shahih Bukhari. Nabi Muhammad
SAW bersabda: “setiap daripada kamu adalah pemimpin dan kamu bertanggungjawab
apa yang kamu pikul itu...”
4.
Patuh
kepada arahan pemimpin adalah satu perkara yang wajib kita ikut selagi tidak
melanggar syariat islam. Jika arahan kepada pemimpin juga adalah perkara yang
wajib apatah lagi Pemimpin kepada pemimpin. Dia yang menjadikan seseorang itu
menjadi pemimpin. Ketaatan kepada pemimpin perlu dipatuhi selagi tidak
melanggar syariat islam. Jika ada perselisihan maka kembalilah kepada al-quran
dan hadis. Allah berfirman di dalam surah An-Nisa’ ayat ke-59:
“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan
taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang
yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah
(berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya
kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman
kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan
lebih elok pula kesudahannya.”
5.
Burung
Belatuk mendidik kita supaya kita jangan terlalu cepat bangga diri dengan apa
yang kita miliki kerana kelebihan yang kita ada tidak akan kekal lama. Pada
usia muda gagah perkasa namun bila sudah tua lemah tidak bermaya. Dahulu kaya
raya tetapi ada masanya akan jadi papa kedana seperti Qarun. Ketika dahulu seorang
pemimpin yang berkuasa tetapi boleh jadi dia akan jadi sehina-hina seperti
firaun. Kita tidak akan mampu kekal berkuasa dan hebat selamanya. Kekuatan yang
pada kita hanyalah anugerah sementara. Tidakkah kita teringat akan firman Allah
dalam surah Al-‘Imran ayat ke-26:
“Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai Tuhan yang mempunyai
kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa
yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari
sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang
Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki.
Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau
Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”
6.
Burung
Belatuk juga seekor burung yang jujur dan benar. Setiap berita yang disampaikan
itu semuanya benar dan tidak ditokok tambah walaupun satu baris. Dalam sebuah
hadis Shahih al-Bukhari. Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sesungguhnya kejujuran
itu membawa kepada kebaikan. Kebaikan membawa ke syurga. Sesungguhnya seseorang
akan sentiasa jujur sehingga dia menjadi orang yang benar-benar jujur.
Sesungguhnya pendustaan membawa kepada dosa. Dosa membawa ke neraka. Sesungguhnya
seseorang akan berdusta hingga ditulis di sisi Allah dia benar-benar pendusta.”
Tidakkah kita ingat bahawa ciri-ciri munafik juga adalah adalah penipu. Tidakkah
kita lupa bahawa hanya Fasik sahaja akan membawa cerita yang tipu.
Kesimpulan
Begitu hebat
penciptaan Allah. Setiap makhluk yang dijadikan itu pasti ada rahsia tersirat. Pasti
ada hikmah disebalik kejadian. Tidaklah Allah melakukan sesuatu perkara dengan
sia-sia. SubhanaAllah! Alhamdulillah! Allahu Akhbar!
Walaupun kita
adalah umat manusia sebaik-baik kejadian makhluk. Kita mempunyai akal dan
perasaan. Kita dianugerahkan satu amanah yang cukup besar iaitu khalifah. Tiada
satu makhluk yang lain sanggup pikul amanah itu. Namun satu perkara yang
menjadi dukacita ialah dimana kita memanfaatkan hal itu dengan sebaik mungkin. kita
masih leka dengan syurga dunia yang sementara. Kita masih alpa dalam kehidupan
yang penuh cabaran dan dugaan. Kita masih tidak tahu apakah tujuan dan matlamat
kita sebagai umat manusia.
Burung Belatuk
telah mendidik akal umat manusia supaya terus memanfaatkan kelebihannya, amanah
dalam kerja, jujur dalam menyampaikan berita, tidak mencampuradukkan kerja
dengan hal peribadi, rendah diri dan banyak lagi perkara yang boleh dipelajari
dari burung Belatuk ini.
Bagi saya,
burung Belatuk adalah Sang Pendidik yang cukup hebat. Ia mengajar umat manusia
secara tidak langsung malahan tidak mengharapkan balasan dari manusia. Apa yang
ia harapkan ialah semoga semua umat manusia sentiasa melakukan kerja kerana
Allah. Itulah apa hendak disampaikan.
Semoga Allah
merahmati umat manusia. Semoga Allah sentiasa memberi umat manusia peluang. Semoga
Allah sentiasa mengampukan dosa umat manusia. Hanya Engkaulah wahai Allah yang
kami sembah dan kami memohon pertolongan.
7:12 PM |
Category: |
0
comments