Bismillhirrahmanirrahim. Alhamdulillah.

Insya-Allah, pada kali ini saya akan membawa kalian sebuah kisah yang cukup agung. Saya ingin mengajak kalian supaya sentiasa berfikir tentang keagungan, kebesaran dan kekuasaan Allah. Setiap apa yang dijadikan-Nya mesti ada perkara yang hendak disampaikan. Tidak ada satu perkara yang sia-sia yang telah diciptakan oleh Allah. Allah berfirman dalam surah Al-‘Imran ayat ke-190:

“Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal”

Al-Imam Nawawi menyebut tentang kepentingan bahawa berfikir tentang makhluk adalah lebih baik daripada ibadat di dalam kitabnya "Riyadus Solihin". Maksudnya disini ialah kita mengambil pengajaran apa yang berlaku dan berfikir mengenainya. Ini menunjukkan bahawa apabila kita berfikir mengenainya kita adalah orang yang berilmu. Kita cuba untuk memahami apakah tanda-tanda kekuasaan Allah. Para makhluk lain juga beribadah namun cara mereka berbeza dengan kita.

Burung Belatuk ialah seekor binatang yang cantik, pantas, kecil dan boleh terbang tinggi. Ia adalah ciptaan Allah yang cukup hebat. Allah menjadikannya sesuai dengan peranannya. Peranan sebagai seekor burung terserlah pada zaman Nabi Sulaiman.
Saya terbaca sebuah buku yang berjudul “Kisah-kisah Haiwan Dalam Al-Quran” oleh Ahmad Bahjat. Buku itu sangat menarik dan hebat isinya. Beliau mengumulkan hampir kesemua haiwan yang terdapat di dalam al-quran. Beliau menceritkan kisah haiwan itu seolah-olah beliau adalah haiwan tersebut. Sungguh membaca bukunya boleh membawa kita ke alam haiwan seolah-olah kita adalah haiwan. Kita dapat merasai kehangatan dan kesejukan.

Kisah Burung Belatuk.
Tersebutlah kisah. Namaku Marhala. Nama yang lembut, yang telah Haidan pilih untukku. Dia ialah kekasihku. Aku Ketua angin, ketua awan dan ketua air. Aku terbang siang dan malam tanpa rasa penat. Aku dapat melihat bumi dari langit. Aku melihat bumi sungguh cantik, meninggi dan jauh. Namaku yang molek ini tidak kurang daripada kemampuanku untuk terbang.
Keistimewaan aku ialah aku boleh terbang tinggi sehingga mengatasi awan, kemudian aku berhenti dan menundukkan kepalaku serta aku mengkaji. Aku melihat dengan pandangan yang tajam segala apa yang terdapat di bumi, pandanganku dapat menembusi batu-batu berkapur. Pandanganku turun ke bumi dan menyelaminya. Aku menggunakan pancaran alam untuk menemui air. Apabila aku telah menemuinya, aku akan turun daripada jarak yang jauh secara menjunam pada tempat yang telah aku pasti. Aku menandakan dengan paruhku pada tempat yang sesuai, dan proses penggalian pun bermula.
Prinsip aku ialah kerja adalah kerja dan hiburan adalah hiburan. Katanya kamu tidak mendapati sesiapapun mengetahui hiburan yang sebenar melainkan apabila ia mengetahui maksud kerja yang sebenar. Seseorang yang tidak pandai akan terus tidak akan berjaya dalam segala-galanya, sama ada dalam kerja atau hiburan.
Jangan tanya aku perkara yang aku tidak suka. Pada suatu hari, singa bertanya kepadaku :"Kenapakah kamu belum berkahwin sampai sekarang?" Aku menjawab:" Aku harap engkau jagalah diri engkau sendiri sahaja." Singa bertanya lagi:"Aku bertanya engkau satu soalan, apakah sebab yang menimbulkan kemarahan engkau?" Aku menjawab: "Ia menimbulkan kemarahanku kerana ia adalah masalah peribadiku. Adakah kamu suka kalau aku bertanya, kenapakah kamu berkahwin?
Aku perisik yang setia dan hebat. Segala rahsia tidak pernah aku bocor kepada sesiapapun hatta aku digoda oleh seekor burung belatuk betina yang comel dan cantik. Walaupun nyawaku diancam. Prinsip tetap prinsip. Hanya seorang sahaja yang boleh tahu iaitu Tuan aku iaitu Nabi Sulaiman. Burung berkata-kata kepada Nabi Sulaiman:" Sesungguhnya aku dapati seorang perempuan memerintah mereka, dan telah diberi dari tiap-tiap sesuatu(yang diperlukan) dan dia pula mempunyai singgah-sana yang besar."(Surah al-Naml:23).
Aku seorang pekerja yang amanah dan patuh kepada arahan kerana aku tahu pasti arahan yang disuruh itu ada hikmahnya. Patuh dan amanahku untuk kepada Allah dan pesuruh-Nya yang benar, jujur, dan hebat. Segala surat-menyurat dari Nabi Sulaiman akan ku pegang dengan amanah. Aku menjaganya sebaik mungkin. Nabi Sulaiman berkata:"Pergilah bawa suratku ini, serta campakkanlah ia kepada mereka kemudian berundurlah daripada mereka dalam pada itu perhatikanlah apakah tindakah balas mereka." (Surah al-Naml:28)
Aku juga adalah orang yang benar. Segala berita mesti tulus dan tidak terpesong apatah lagi ditokok tambah. Aku percaya bahawa segala tipu daya itu adalah syaitan. Aku bukan syaitan. Aku ialah Burung Belatuk hamba kepada Allah. Sepertinya aku mengatakan bahawa:"Aku percaya sistem "syura' itu adalah satu keperluan mereka kerana Raja Permaisuri bertanya pendapat mereka lalu mereka bercakap kepada Permaisuri tentang kekuatan mereka." (surah al-Naml:29-35)
Aku seorang yang rendah diri. Satu persoalan yang timbul ialah bagaimanakah seseorang manusia boleh bermegah-megah diri atau bagaimanakah burung Belatuk boleh bermegah dengan kecerdikan, kedudukannya, kekayaannya serta kekuatannya. Jika kekuatan, kecerdikan, kedudukan dan kekayaan tersebut bukan menjadi milik kita, tetapi ia satu pinjaman yang akan diambil balik. Maka dengan ini, aku tidak perlu berbesar diri atau bongkak bahkanmeninggi diri. Sebab itulah aku menundukkan kepalaku, mengembang kepakku dan sembahyang...segala kesyukuran kepada-Mu yang Allah.
Aku tahu membezakan hal peribadi dengan kerja. Aku tidak pernah mencampurkan urusan peribadi dalam kerja. Sungguh aku adalah seorang yang profesional. Pernah suatu hari Burung Belatuk(yang baru ku temui,bukan Haidan) bertanya kepadaku:"Kenapakah kita tidak berlayar ke Mesir? Mereka berkata di sana ada kampung yang cantik dipenuhi dengan lumpur yang subur, tempat belaan binatang yang dipenuhi makanan." Sebagai jawapan celotehnya, aku berkata:"Di Mesir penuh sesak dengan burung Belatuk dan mempunayi masalah penempatan Belatuk. Aku tidak suka kesesakan dan hiruk-pikuknya." Aku membuat pelbagai alasan supaya dapat memadamkan keinginanku untuk kesana. Pada suatu hari, burung Belatuk itu pun bertanya lagi:"Tidakkah engkau belum berfikir untuk menetap dan berkahwin, dan adakah ada Belatuk lain yang lebih baik daripadaku?" Aku tidak bertanyanya adakah dia membayangkan aku burung Belatuk yang tidak ada kerja...aku juga tidak memberitahunya bahawa aku tidak mempunyai tugas penting untuk tenter Nabi Sulaiman.

Hikmah Burung Belatuk Nabi Sulaiman.

1.     Dalam buku “Islam, Fikrah dan Harakah” oleh Ustaz Haji Abdul Awang telah menggariskan beberapa konsep yang boleh kita mengambil i’brah daripada kisah di atas ialah Organisasi yang baik. Peranan yang dimainkan oleh setiap makhluk yang ada pada zaman Nabi Sulaiman memainkan peranan mereka dengan begitu cermat dan teliti. Patuh kepada arahan dan sentiasa peka dengan keadaan. Kata Ustaz Haji Abdul Awang: “Dalam kisah tersebut  kita lihat bagaimana burung Belatuk menjalankan tugasnya, dan melaporkan maklumat dengan tepat kepada pemimpin.

2.     Keistimewaan yang ada pada setiap umat manusia berbeza dengan umat manusia yang lain. Ada yang pakar dalam bidang al-quran dan hadis, kejuruteraan, perubatan, ekonomi, bahasa, pembangunan, pemikiran, ketenteraan, sains kemanusian, pembinaan dan lukisan dan sebagainya. Umat yang hebat ialah umat yang bersatu. Mereka memanfaatkan keistimewaan mereka untuk membina tamadun. Kalaulah umat islam bersatu pasti umat islam akan menjadi umat yang hebat dan digeruni oleh musuh-musuhnya. Umat islam perlu membina tamadun sendiri yang boleh membanggakan islam itu sendiri. Islam adalah agama yang syumul. Al-quran pun telah mengajarkan kepada kita seperti burung Belatuk dan makhluk yang lain berperanan dengan menggnuakan keistimewaan masing-masing untuk membantu Nabi Sulaiman. Kenapa umat islam masih buta dan tidak mahu melakukannya.

3.     Burung Belatuk yang amanah dalam kerjanya. Setiap kerjanya pasti dilakukan dengan sebaik mungkin dan tepat pada waktunya. Namun kita tanya pada diri kita. Adakah kita telah melaksanakan tugas dengan amanah baik sebagai seorang mahasiswa, pekerja, ibu bapa, guru, pekerja bank, pemimpin, hakim, polis, peniaga dan lain-lain. Tidakkah kita berasa bersalah dan insaf. Atau kita tidak mempunyai perasaan. Dalam surah An-Nisa’ ayat ke-58, Allah berfirman:

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.”

Dalam hadis Nabi Muhammad SAW. Hadis Shahih Bukhari. Nabi Muhammad SAW bersabda: “setiap daripada kamu adalah pemimpin dan kamu bertanggungjawab apa yang kamu pikul itu...”

4.     Patuh kepada arahan pemimpin adalah satu perkara yang wajib kita ikut selagi tidak melanggar syariat islam. Jika arahan kepada pemimpin juga adalah perkara yang wajib apatah lagi Pemimpin kepada pemimpin. Dia yang menjadikan seseorang itu menjadi pemimpin. Ketaatan kepada pemimpin perlu dipatuhi selagi tidak melanggar syariat islam. Jika ada perselisihan maka kembalilah kepada al-quran dan hadis. Allah berfirman di dalam surah An-Nisa’ ayat ke-59:

“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.”

5.     Burung Belatuk mendidik kita supaya kita jangan terlalu cepat bangga diri dengan apa yang kita miliki kerana kelebihan yang kita ada tidak akan kekal lama. Pada usia muda gagah perkasa namun bila sudah tua lemah tidak bermaya. Dahulu kaya raya tetapi ada masanya akan jadi papa kedana seperti Qarun. Ketika dahulu seorang pemimpin yang berkuasa tetapi boleh jadi dia akan jadi sehina-hina seperti firaun. Kita tidak akan mampu kekal berkuasa dan hebat selamanya. Kekuatan yang pada kita hanyalah anugerah sementara. Tidakkah kita teringat akan firman Allah dalam surah Al-‘Imran ayat ke-26:

“Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”

6.     Burung Belatuk juga seekor burung yang jujur dan benar. Setiap berita yang disampaikan itu semuanya benar dan tidak ditokok tambah walaupun satu baris. Dalam sebuah hadis Shahih al-Bukhari. Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sesungguhnya kejujuran itu membawa kepada kebaikan. Kebaikan membawa ke syurga. Sesungguhnya seseorang akan sentiasa jujur sehingga dia menjadi orang yang benar-benar jujur. Sesungguhnya pendustaan membawa kepada dosa. Dosa membawa ke neraka. Sesungguhnya seseorang akan berdusta hingga ditulis di sisi Allah dia benar-benar pendusta.” Tidakkah kita ingat bahawa ciri-ciri munafik juga adalah adalah penipu. Tidakkah kita lupa bahawa hanya Fasik sahaja akan membawa cerita yang tipu.

Kesimpulan

Begitu hebat penciptaan Allah. Setiap makhluk yang dijadikan itu pasti ada rahsia tersirat. Pasti ada hikmah disebalik kejadian. Tidaklah Allah melakukan sesuatu perkara dengan sia-sia. SubhanaAllah! Alhamdulillah! Allahu Akhbar!

Walaupun kita adalah umat manusia sebaik-baik kejadian makhluk. Kita mempunyai akal dan perasaan. Kita dianugerahkan satu amanah yang cukup besar iaitu khalifah. Tiada satu makhluk yang lain sanggup pikul amanah itu. Namun satu perkara yang menjadi dukacita ialah dimana kita memanfaatkan hal itu dengan sebaik mungkin. kita masih leka dengan syurga dunia yang sementara. Kita masih alpa dalam kehidupan yang penuh cabaran dan dugaan. Kita masih tidak tahu apakah tujuan dan matlamat kita sebagai umat manusia.

Burung Belatuk telah mendidik akal umat manusia supaya terus memanfaatkan kelebihannya, amanah dalam kerja, jujur dalam menyampaikan berita, tidak mencampuradukkan kerja dengan hal peribadi, rendah diri dan banyak lagi perkara yang boleh dipelajari dari burung Belatuk ini.

Bagi saya, burung Belatuk adalah Sang Pendidik yang cukup hebat. Ia mengajar umat manusia secara tidak langsung malahan tidak mengharapkan balasan dari manusia. Apa yang ia harapkan ialah semoga semua umat manusia sentiasa melakukan kerja kerana Allah. Itulah apa hendak disampaikan.

Semoga Allah merahmati umat manusia. Semoga Allah sentiasa memberi umat manusia peluang. Semoga Allah sentiasa mengampukan dosa umat manusia. Hanya Engkaulah wahai Allah yang kami sembah dan kami memohon pertolongan.


Comments (0)