Penghujahan Kafir Musyrik menolak al-Quran dan Rasulullah SAW

Dalam penulisan saya sebelum ini, saya telah menulis tentang beberapa teknik dan adab-adab berdebat. Insya-Allah pada penulisan yang ringkas ini, saya akan membawa para pembaca untuk menilai sendiri bagaimana orang kafir musyrik ketika mereka tidak bersetuju dengan kalam Allah SWT dan menolak Nabi Muhammad SAW.

Kita akan mendapati satu perbezaan yang sangat ketara cara penghujahan yang dituntut oleh Islam dan dengan orang kafir musyrik.

Saya masih menggunakan buku yang sama iaitu karangan Prof. Nesreldin iaitu Wujuh al-‘ijaz fi khitab al-uslubi walma’rifi lilqurani al-karim.

Kita juga mengetahui bahawa al-Quran ialah mukjizat Nabi Muhammad SAW yang paling terunggul sehingga dijanjikan oleh Allah SWT akan terpeliharanya sehingga Hari Khiamat.

Al-Quran adalah kalam Allah SWT yang sangat sempurna dari sudut bahasanya, lafaznya, maknanya, retoriknya, sastera dan sebagainya. Walaupun Al-Quran diturunkan dalam Bahasa Arab tetapi masyarakat arab tetap tidak mampu mencipta seperti al-Quran. Insya-Allah, kita akan berbicara tentang ini pada penulisan lain.

Kita akan lihat 5 contoh penghujahan kolot oleh Kafir Musyrik ketika mereka menolak al-Quran dan Nabi Muhammad SAW. Mereka tidak ada hujah yang benar dan berfakta melainkan kata cacian, makian dan fitnah sahaja yang dilontarkan.

1. Menyifatkan bahawa Al-Quran hanyalah kisah dongeng kaum terdahulu.

Mereka mengatakan bahawa al-Quran hanyalah kisah-kisah dongeng sahaja iaitu umat yang terdahulu sebelum kedatangan Islam. Sejarah yang palsu yang tidak boleh diterima akal mahupun logik jika difikirkan. Firman Allah SWT dalam surah al-Furqan ayat ke-5:

وَقَالُوا أَسَاطِيرُ الْأَوَّلِينَ اكْتَتَبَهَا فَهِيَ تُمْلَىٰ عَلَيْهِ بُكْرَةً وَأَصِيلًا

Dan mereka berkata lagi: "Al-Quran itu adalah cerita-cerita dongeng orang-orang dahulu kala, yang diminta oleh Muhammad supaya dituliskan, kemudian perkara yang ditulis itu dibacakan kepadanya pagi dan petang (untuk dihafaznya)".

Namun Allah SWT menafikan hal sedemikian bahawa al-Quran bukanlah kisah-kisah dongeng yang hanya dibaca oleh Nabi Muhammad SAW kepada para sahabatnya baik pada waktu pagi mahupun waktu tetapi petang kerana al-Quran mengandungi pengajaran, pedoman dan petunjuk seperti firman Allah SWT daam surah al-Baqarah ayat 1-4:

الم، ذَٰلِكَ الْكِتَابُ لَا رَيْبَ ۛ فِيهِ ۛ هُدًى لِّلْمُتَّقِينَ، الَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِالْغَيْبِ وَيُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنفِقُونَ، وَالَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِمَا أُنزِلَ إِلَيْكَ وَمَا أُنزِلَ مِن قَبْلِكَ وَبِالْآخِرَةِ هُمْ يُوقِنُونَ

Alif, Laam, Miim.
( 2 )   Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa;( 3 )Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib, dan mendirikan (mengerjakan) sembahyang serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka. Dan juga orang-orang yang beriman kepada Kitab "Al-Quran" yang diturunkan kepadamu (Wahai Muhammad), dan Kitab-kitab yang diturunkan dahulu daripadamu, serta mereka yakin akan (adanya) hari akhirat (dengan sepenuhnya).

2. Mereka menyatakan bahawa al-Quran ialah sihir

Mereka tidak tahu apakah yang boleh disifatkan dengan al-Quran. Bermacam tuduhan dan tohmahan yang telah mereka taburkan supaya semua umat meninggalkan al-Quran dan ajaran Nabi Muhammad SAW.
Pada zaman Arab Jahilliah, masyarakat Arab sangat mementingkan syair. Seseorang itu akan diangkatan martabatnya jika hebat bersyair. Setiap Qabilah mempunyai penyairnya tersendiri sebagai contoh Hassan bin Thabit, Imru al-Qais, Khansak, an-Nabighah dan lain-lain lagi.

Masyarakat ketika itu akan mempercayai penyair yang hebat tersebut. mereka akan mempunyai ramai pengikut. Disebabkan itu, kafir Musyrik mengatakan al-Quran juga adalah seperti itu seperti disebut oleh Allah SWT dalam al-Quran surah al-Mudatthir ayat ke-24 dan 25:

فَقَالَ إِنْ هَٰذَا إِلَّا سِحْرٌ يُؤْثَرُ

Serta ia berkata: " (Al-Quran) ini tidak lain hanyalah sihir yang dituntut serta dipelajari (dari ahli-ahlinya);
إِنْ هَٰذَا إِلَّا قَوْلُ الْبَشَرِ

"Ini tidak lain hanyalah kata-kata (rekaan) manusia!"

Mereka mendakwa bahawa al-Quran ialah perkataan Nabi Muhammad SAW yang mana baginda SAW berketurunan bangsa Arab. Ironinya, walaupun masyarakat Arab fasih berbahasa Arab dari segi fasahahnya, tatabahasanya, sinteksisnya, retoriknya, gaya bahasanya dan dalil tetapi mereka tetap tidak mampu mencipta paling minimal satu surah pun. Ini jelas terbukti bahawa al-Quran ialah kalam Allah SWT!.

3. Mereka menggelar Nabi Muhammad SAW gila.

Mereka juga bukan sahaja menjelek al-Quran bahkan menuduh junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Firman Allah SWT dalam surah al-Hijr ayat ke-6 dan 7:

وَقَالُوا يَا أَيُّهَا الَّذِي نُزِّلَ عَلَيْهِ الذِّكْرُ إِنَّكَ لَمَجْنُونٌ

  Dan mereka yang ingkar berkata (kepada Nabi Muhammad): "Wahai orang yang kepadanya diturunkan Al-Quran, sesungguhnya engkau adalah orang gila".

لَّوْ مَا تَأْتِينَا بِالْمَلَائِكَةِ إِن كُنتَ مِنَ الصَّادِقِينَ

"Sepatutnya engkau membawakan malaikat kepada kami (untuk menjadi saksi tentang kerasulanmu), jika betul engkau dari orang-orang yang benar!"

Ini satu tuduhan yang sangat bodoh. Mereka mengetahui bahawa Nabi Muhammad SAW seorang yang jujur dan berakhlak mulia. Mereka tidak dapat menafikannya. Buktinya, jika benar Nabi Muhammad SAW seorang gila, mengapa mereka melantik Nabi Muhammad SAW ketika hendak meletakkan hajarahtul aswad. Jika mereka mendakwa Nabi Muhammad SAW seorang gila, mengapa para pemimpin Quraisy menawarkan pangkat, kedudukan dan perempuan kepada Nabi Muhammad SAW.

4. Mereka mendakwa bahawa Nabi Muhammad seorang Penyair.

Sebelum ini, mereka telah mendakwa bahawa al-Quran adalah kisah dongeng dan hanya rekaan Nabi Muhammad SAW sahaja. Namun, mereka juga mengatakan bahawa Nabi Muhammad SAW juga ialah seorang penyair. Kisah ini dirakamkan oleh al-Quran dalam surah as-Saffat ayat ke-36:

وَيَقُولُونَ أَئِنَّا لَتَارِكُو آلِهَتِنَا لِشَاعِرٍ مَّجْنُونٍ

(Mereka pada ketika itu tidak dapat berbuat apa-apa) bahkan mereka pada hari itu menyerah diri dengan hina (untuk diadili);

Seperti mana yang kita tahu bahawa masyarakat Arab sangat mementingkan bahasa dan sastera Arab. Apabila mereka melihat masyarakat Arab berkerumun mendengar risalah Nabi Muhammad iaitu al-Quran, mereka mendakwa bahawa Nabi Muhammad SAW juga adalah penyair. Ternyata dakwaan itu palsu dan salah. Firman Allah SWT dalam surah al-Haqqah ayat ke-40 dan 41:

إِنَّهُ لَقَوْلُ رَسُولٍ كَرِيمٍ

Bahawa sesungguhnya Al-Quran itu ialah (wahyu dari Kami) yang disampaikan oleh Rasul yang mulia.
وَمَا هُوَ بِقَوْلِ شَاعِرٍ ۚ قَلِيلًا مَّا تُؤْمِنُونَ

Dan bukanlah Al-Quran itu perkataan seorang penyair (sebagaimana
 yang kamu dakwakan. Tetapi sayang!) amatlah sedikit kamu beriman.

5. Mereka mendakwa Nabi Muhammad SAW ialah bomoh dan pawang.

Sudahlah mereka mengatakan al-Quran hanya rekaan. Mereka juga menghina Nabi Muhammad SAW sebagai gila dan penyair bahkan mereka menghina Nabi Muhammad SAW dengan hinaan yang cukup buruk di sisi Allah iaitu mereka mengatakan bahawa Nabi Muhammad SAW ialah bomoh.

Kita tahu bahawa pawang merupakan salah satu cabang daripada kesyirikan. Syirik kepada Allah SAW adalah berdosa besar dan akan dimasukkan ke dalam api neraka kekal selamanya. Mereka mengatakan Nabi Muhammad SAW sebagai bomoh adalah disebabkan dakwah dan risalahnya diterima semua lapisan masyarakat baik kaya mahupun miskin, sama ada berkulit putih atau hitam.

Mereka sangat membenci Nabi Muhammad SAW kerana risalahnya diterima semua. Seperti mana yang kita disebut sebelum ini bahawa para penyair yang hebat akan mempunyai pengikut yang ramai. Namun ada seperkara yang penting harus kita mengetahui tentang para penyair Arab.Dr Abdul Rahman bin Haji Abdulullah dalam bukunya Sejarah dan Tamadun Islam, beliau mengungkap mengenai penyair Arab Jahilliah: “Para penyair juga dalah sejarawan. Dia mengetahu hal-ehwal salasilah kaumnya. Dia merupakan cendiawakan kabilahnya sendiri. Dan tidak kurang pentingnya, para penyair ini dianggap mempunyai kuasa-kuasa ghaib atau syaitan”.

Oleh disebabkan itu, mereka berasa tergugat dengan ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW, lantaran itu, mereka mencaci baginda SAW sebagai pawang!. Allah telah menjelaskan kepada kita tentang keberadaan Nabi Muhammad SAW dalam surah al-Tur ayat ke-29:

فَذَكِّرْ فَمَا أَنتَ بِنِعْمَتِ رَبِّكَ بِكَاهِنٍ وَلَا مَجْنُونٍ

Maka hendaklah engkau (wahai Muhammad) tetap tekun memberi peringatan (dengan ajaran-ajaran Al-Quran yang diturunkan kepadamu, dan janganlah dihiraukan golongan yang ingkar), kerana engkau dengan nikmat Tuhanmu (yang dilimpahkanNya kepadamu itu) bukanlah seorang pawang dan bukan pula seorang gila.

Menutur Ibn Hisyam: “Para ketua kabliah telah mengeji Nabi dengan memberi ancaman kepada penduduk setempat bahawa risalahnya yang dibawa oleh baginda SAW hanyalah sihir yang akan memisahkan ayah dengan anak, adik dengan baik, suami dan isteri dan memecahkan belahkan persaudaraan”. Allah SWT merakamkan kisah mereka dalam surah Fussilat ayat ke-26:

وَقَالَ الَّذِينَ كَفَرُوا لَا تَسْمَعُوا لِهَٰذَا الْقُرْآنِ وَالْغَوْا فِيهِ لَعَلَّكُمْ تَغْلِبُونَ

Dan orang-orang yang kafir berkata: "Janganlah kamu mendengar Al-Quran ini dan tentanglah dia (dengan nyayian-nyanyian dan jeritan-jeritan riuh rendah serta tepuk sorak), supaya kamu berjaya (mengganggu bacaan atau menenggelamkan suara pembacanya)!"

Para pembesar Quraisy dan musyrik ramainya mengakui kebesaran al-Quran. Mereka tidak dapat menandingi gaya bahasa dan sastera al-Quran walaupun mereka bersatu. Setiap qabilah sangat fanatik dengan antara satu sama lain, mereka ingin Nabi Muhammad SAW mewakili qabilah mereka tetapi baginda SAW menolak bahawa al-Quran dan Islam adalah rahmat bagi sekalian alam. Mereka berkata dalam surah az-zukhruf ayat ke-31:

وَقَالُوا لَوْلَا نُزِّلَ هَٰذَا الْقُرْآنُ عَلَىٰ رَجُلٍ مِّنَ الْقَرْيَتَيْنِ عَظِيمٍ


Dan (kerana mereka mencemuh Nabi Muhammad) mereka berkata: "(Kalaulah Al-Quran ini menjadi bukti kenabian seseorang, maka) sepatutnya Al-Quran ini diturunkan kepada seorang besar (yang kaya dan berpengaruh) dari salah sebuah dua bandar yang (terkenal) itu?"

Comments (0)