Al-Quran mencabar Kafir Quraisy.
Bismilahhirrahimanirrahim.
Alhamdulillahirabbil’alamin. Selawat dan salam ke atas junjugan besar Nabi
Muhammad SAW.
Al-Quran ialah mukjizat Nabi
Muhammad SAW. Allah SWT mewahyukan al-Quran kepada baginda SAW melalui
perantaraan Malaikat Jibril untuk menyeru manusia supaya mentauhidkan kepada
Allah SWT.
Al-Quran bicaranya hikmah. Gaya
bahasanya tersusun rapi. Sasteranya menghidupkan hati yang mati. Pengertiannya
memberi keinsafan. Mengetuk jiwa yang lara. Melahirkan insan yang cemerlang
dalam pembentukan peribadi yang unggul.
Al-Quran tidak ternilai harganya.
Emas setinggi gunung Uhud juga tidak mampu membeli al-Quran. Benarlah bahawa
al-Quran harga yang tidak dapat terhintung. Berdebar-debat jantung ketika
membicarakan azab. Berbolak-balik ketika menceritakan ciri-ciri munafik.
Berpeluh tubuh badan disaat dilafazkan azab neraka bagi yang menolak al-Quran.
Umat zaman sekarang tanpa al-Quran
makin tenat dalam hasutan kemasyuran dunia. Mereka rakus mengejar harta
kekayaan. Mereka alpa dengan tanah yang berhektar. Mereka bongkak dengan
kecantikan rupa paras sehingga mengabaikan perintah Allah SWT yang terkandung
dalam al-Quran. Mereka ibarat debu pasir di padang pasir yang berterbangan
dipijak-dipijak oleh Unta dan Kuda yang sudah tidak ada nilai lagi.
Al-Quran adalah kitab yang paling
agung namun tetap masih ada umat yang menolaknya. Ini bukan perkara baru dalam
sejarah tamadun Islam. Bukan perkara baru al-Quran dibakar dan dikencing tetapi
pada permulaan wahyu diturunkan, masyarakat arab telah dicabar untuk menulis
ayat seperti kalam Allah SWT.
Sungguh, itu satu cabaran yang
paling besar yang pernah dihadapi oleh umat. Kita mengerti bahawa al-Quran
diturunkan dalam Bahasa Arab tetapi masyarakat arab tetap tidak dapat
melakukannya. Apatah lagi manusia yang tidak fasih berbahasa arab namun
lagaknya mengalah Sibawaih dan Ibn Malik.
Al-Quran mencabar umatnya!
Al-Quran menegur umatnya! Al-Quran marah umatnya! Dari dahulu sehingga sektarang
bagi umat yang lalai dengan perintah Allah SWT.
Kita akan perhatikan bagaimana
al-Quran mengajar Kafir Musyrik yang angkuh dan sombong. Mereka bangga bahawa
mereka ahli lughah wal balaghah tetapi satu surah pun tidak mampu diciptanya.
Penulisan kali ini akan
membahaskan tentang satu persoalan yang cukup besar iaitu Al-Quran mencabar
sesiapa yang hebat untuk mendatangkan seperti al-Quran. Kita akan melihatnya
melalui 3 fasa.
Semoga Allah SWT membuka pintu
hati dan memberikan kita hidayah untuk menghayati makna al-Quran. Semoga kita
dapat mengambil pengajaran dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian. Semoga
Allah sentiasa merahmati kita daripada anasir-anasir orientalis yang menjauhkan
diri kita daripada al-Quran. Semoga hidup kita diberkati dengan cahayanya dan
bukan tergolong yang disebut dalam hadis hujjatun ‘alaikí yang membawa
makna celaka di akhirat kelak. Amin.
Fasa Pertama; Mencabar dengan satu al-Quran.
Al-Quran telah mencabar Kafir Musyrik
untuk membawa sebuah seperti al-Quran yang mengandungi 114 surah dan merangkumi
6236 ayat. Ini adalah
cabaran yang paling susah yang dihadapi oleh mereka.
Secara logiknya mereka memang
tidak mampu melakukannya walaupun mereka kafr Quraisy ini adalah bangsa Arab
yang fasih dari segi bahasa dan sasteranya. Ini kerana Al-Quran ialah kalam
Allah SWT. Wahyu yang turun lagi langit dan mukjizat Nabi Muhammad SAW yang
paling unggul.
Kita juga tahu bahawa para penyair
Arab ketika zaman jahilliah, mereka akan mendapatkan khidmat daripada para jin
dan syaitan untuk mendapatkan pertolongan terutamanya apabila mereka ketandusan
idea dan ayat.
Allah mencabar mereka semuanya baik manusia
mahupun jin untuk membawa sesuatu yang seagung Al-Quran. Firman Allah SWT dalam
surah al-Israk ayat ke-88:
قُل لَّئِنِ اجْتَمَعَتِ الْإِنسُ وَالْجِنُّ عَلَىٰ أَن
يَأْتُوا بِمِثْلِ هَٰذَا الْقُرْآنِ لَا يَأْتُونَ بِمِثْلِهِ وَلَوْ كَانَ
بَعْضُهُمْ لِبَعْضٍ ظَهِيرًا
Katakanlah
(wahai Muhammad): "Sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun
dengan tujuan hendak membuat dan mendatangkan sebanding dengan Al-Quran ini,
mereka tidak akan dapat membuat dan mendatangkan yang sebanding dengannya,
walaupun mereka bantu-membantu sesama sendiri".
Ternyata bahawa mereka bukanlah
dari kalangan orang yang benar dan hebat. Mereka tidak mampu menyahut cabaran
yang sukar ini. Mereka sedar kemampuan mereka diluar batasan. Kita akan melihat
pada penulisan bab akan datang yang mana terdapat manusia yang mengakui bahawa
dia adalah nabi dan menerima wahyu langsung dari Allah SWT seperti Musailamah
al-Kazzab, Sajjah, Abhalah, Tulaihah dan An-Nadar. Mereka mengada-adakan syair
dan mendakwa ianya adalah wahyu namun semuanya hanya menjadi bahan jenaka dan
gelak ketawa. Masyarakat Arab memahami keunggulan al-Quran itu sendiri!
Allah juga mencela manusia yang
bersongkol dengan jin untuk mereka-reka al-Quran. Mereka meminta bantuan
daripada jin untuk membantu mereka seperti mana firman Allah SWT dalam surah
al-Jin ayat ke-6:
وَأَنَّهُ كَانَ رِجَالٌ مِّنَ الْإِنسِ
يَعُوذُونَ بِرِجَالٍ مِّنَ الْجِنِّ فَزَادُوهُمْ رَهَقًا
`Dan
bahawa sesungguhnya adalah (amat salah perbuatan) beberapa orang dari manusia,
menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada ketua-ketua
golongan jin, kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan jin
bertambah sombong dan jahat.
Fasa Kedua; Mencabar dengan 10 surah.
Setelah mereka tidak mendapat
menyahut cabaran daripada Allah SWT untuk mendatangkan sesuatu seperti
al-Quran. Allah SWT telah mencabar lagi mereka dengan yang lebih ringan iaitu
10 surah sahaja.
10 surah ini sebenarnya juga
mereka tidak mampu mereka-reka kerana kelemahan mereka itu sendiri. Firman
Allah SWT dalam surah surah Hud ayat ke-13:
أَمْ يَقُولُونَ افْتَرَاهُ ۖ قُلْ فَأْتُوا
بِعَشْرِ سُوَرٍ مِّثْلِهِ مُفْتَرَيَاتٍ وَادْعُوا مَنِ اسْتَطَعْتُم مِّن دُونِ
اللَّهِ إِن كُنتُمْ صَادِقِينَ
Bukan itu sahaja kata-kata mereka bahkan
mereka menuduh dengan mengatakan: "Ia (Muhammad) yang mereka-reka Al-Quran
itu! " katakanlah (wahai Muhammad): "(Jika demikian tuduhan kamu),
maka cubalah buat serta datangkan sepuluh surah rekaan yang sebanding dengan
Al-Quran itu, dan panggilah siapa sahaja yang kamu sanggup memanggilnya, yang
lain dari Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar".
Pada fasa ini juga orang kafir
tetap tidak dapat melakukannya. Ya benar, bahawa ramai dari kalangan mereka
ahli bahasa dan sastera, dari kalangan mereka juga ada penyair dan pawang.
Mereka mampu mencipta syair-syair yang boleh membuat manusia terkesima
mendengarnya. Mampu menenggelam manusia ke alam khayalan. Setiap baris
mempunyai roh yang tersendiri yang dapat menghidupkan hati yang lara serta
mampu mengalirkan air mata darah. Pun begitu, mereka tidak sama sekali
mereka-reka al-Quran!.
Fasa Ketiga; Mencabar dengan satu surah.
Cabaran sudah sampai kemuncaknya
bagi orang kafir sedangkan cabaran makin lama makin menurun tingkatannya
sedangkan secara fitrahnya cabaran makin lama makin mencabar. Seperti dalam
permainan catur, pusingan pertama mungkin mudah bagi pemain pilihan pertama
tetapi setelah mengharungi 3 pusingan selepas itu, cabarannya bukan mudah lagi
bahkan lebih susah. Walaubagaimanapun, al-Quran tidak begitu, al-Quran yang
terunggul dan kekal unggul selamanya.
Cabaran yang terakhir ini ialah
dengan mereka hanya satu surah sahaja. Al-Quran tidak menghadkan berapa ayatnya
dan berapa panjang mahupun cerita. Al-Quran hanya mencabar supaya mendatangkan
satu surah sahaja! Seperti mana firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat
ke-23 dan 24:
وَإِن كُنتُمْ فِي رَيْبٍ مِّمَّا نَزَّلْنَا
عَلَىٰ عَبْدِنَا فَأْتُوا بِسُورَةٍ مِّن مِّثْلِهِ وَادْعُوا شُهَدَاءَكُم مِّن
دُونِ اللَّهِ إِن كُنتُمْ صَادِقِينَ
Dan kalau kamu ada menaruh syak
tentang apa yang Kami turunkan (Al-Quran) kepada hamba kami (Muhammad), maka
cubalah buat dan datangkanlah satu surah yang sebanding dengan Al-Quran itu,
dan panggilah orang-orang yang kamu percaya boleh menolong kamu selain dari
Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar.
فَإِن لَّمْ
تَفْعَلُوا وَلَن تَفْعَلُوا فَاتَّقُوا النَّارَ الَّتِي وَقُودُهَا النَّاسُ
وَالْحِجَارَةُ ۖ أُعِدَّتْ لِلْكَافِرِينَ
Maka kalau kamu tidak dapat membuatnya,
dan sudah tentu kamu tidak dapat membuatnya, maka peliharalah diri kamu dari
api neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu-batu (berhala), (iaitu
neraka) yang disediakan untuk orang-orang kafir.
6:21 PM |
Category:
idealisme
|
0
comments
Comments (0)