7 Teknik berdebat pada sisi Al-Quran Al-Karim.

Al-Quran adalah kitab hidayah bagi seluruh umat. Sesiapa yang mempelajari al-Quran, dia akan menemui mutiara-mutiara yang berkelipan. Nilainya tidak dapat diukur dengan emas dan perak apatah lagi wang kertas!

Al-Quran menjamin kesejahteraan dan keamanan hidup. Namun, kita boleh dapati umat sekarang dalam kesakitan khususnya dari segi akhlak. Sudah hilang adab dalam pertuturan sehingga membawa perbahalan dan permusuhan sama ada sesama Islam mahupun agama lain. Walhal, Islam adalah agama yang memberikan ketenangan bagi umatnya. Di manakah silapnya? 

Contoh ikutan yang terbaik ialah junjungan besar nabi Muhammad SAW. Baginda SAW berdakwah penuh berhikmah dengan berlemah lembut serta bersopan santun baik sesama agama mahupun tidak. Natijah daripada itu, umat berbondong-bondong memeluk agama Islam kerana di situ mereka menjumpai kedamaian.

Para pendakwah kini sudah semakin hilang entitinya. Budi bicara yang kasar. Cacian dan makian. Kafir mengkafir. Menggelar dengan gelaran yang tidak baik jika tidak sependapat. Adakah itu cara pendekatan dakwah yang dianjurkan oleh Nabi Muhammad SAW?

Dalam penulisan yang ringkas ini, saya akan kongsikan kepada kalian 7 teknik berdebat pada sisi pandangan al-Quran. Mudah-mudahan perkongsian ilmu itu dapat kita bersama amalkannya. Ilmu ini sangat penting bagi seluruh pendakwah. Setiap umat mempunyai pendekatan yang berbeza. Kita mesti menzahirkan manhaj dan metodologi yang sistematik agar umat dapat menerima dengan berlapang dada.

Kita sebagai umat Islam mesti menunjukkan contoh yang terbaik. Modul kita berteraskan al-Quran. Kita mesti berpaksikan dengan metodolgi al-Quran dan hadis Rasulullah SAW yang shahih. Dengan 2 sumber asasr ini akan menjamin keberhasilan dakwah kepada seluruh umat baik dewasa mahupun anak kecil.
Hasil penulisan ini berdasarkan sebuah rujukan utama iaitu buku “wujuh al-‘ijaz fi khitab al-uslub wal makrifi lilqurani alkarim” oleh Prof. Nesreldin. Kelas ini dipandu oleh Dr. Anwar Ahmad. Semoga kita semua memperoleh manfaat dan hidayah daripada Allah SWT serta dapat mempraktikkannya dalam kehidupan seharian. Insya-Allah.

1. Perbualan.

أَلَمْ تَرَ إِلَى الَّذِي حَاجَّ إِبْرَاهِيمَ فِي رَبِّهِ أَنْ آتَاهُ اللَّهُ الْمُلْكَ إِذْ قَالَ إِبْرَاهِيمُ رَبِّيَ الَّذِي يُحْيِي وَيُمِيتُ قَالَ أَنَا أُحْيِي وَأُمِيتُ ۖ قَالَ إِبْرَاهِيمُ فَإِنَّ اللَّهَ يَأْتِي بِالشَّمْسِ مِنَ الْمَشْرِقِ فَأْتِ بِهَا مِنَ الْمَغْرِبِ فَبُهِتَ الَّذِي كَفَرَ ۗ وَاللَّهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ
Tidakkah engkau (pelik) memikirkan (wahai Muhammad) tentang orang yang berhujah membantah Nabi Ibrahim (dengan sombongnya) mengenai Tuhannya, kerana Allah memberikan orang itu kuasa pemerintahan? Ketika Nabi Ibrahim berkata: "Tuhanku ialah Yang menghidupkan dan Yang mematikan". Ia menjawab: "Aku juga boleh menghidupkan dan mematikan". Nabi Ibrahim berkata lagi: "Sesungguhnya Allah menerbitkan matahari dari timur, oleh itu terbitkanlah dia dari barat?" Maka tercenganglah orang yang kafir itu (lalu diam membisu). Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberikan petunjuk kepada kaum yang zalim.

Prof Nesreldin menyebut di dalam kitabnya wujuh al’ijaz fi khitab al-uslub wa alma’rifi lilqurani al-karim: ayat ini merupakan salah satu teknik perdebatan yang memberikan pencerahan dari sudut nasihat, pengajaran dan pengukuhan dalil yang kuat.

Jika kita perhatikan ayat ini, kita akan dapati bagaimana teknik al-Quran iaitu kalam Allah SWT memerintahkan Nabi Ibrahim dalam menjawab segala persoalan yang dilontarkan oleh kaum musyrikin sehingga mereka terkesima mendengar jawapan Nabi Ibrahim. Mereka akur dan walaupun pada permulaan mereka kata mereka boleh menghidup dan mematikan tetapi perbualan kedua yakni memindahkan Matahari dari timur ke barat. Mereka tahu kemampuan mereka terbatas dan tidak mungkin dapat melakukannya. Akhirnya mereka sedar bahawa hanya Allah SWT Yang Maha Berkuasa.

Begitulah kita, apabila ingin menyatakan kebenaran. Persoalan demi persoalan mesti dijawab dengan jawapan yang tepat. Hujah yang tepat akan menzahirkan kebenaran. Teknik ini mudah untuk diaplikasikan dalam perdebatan. Apabila seseorang bertanya kepada sesuatu yang mustahil dicapai akal, jangan terus dimarahi tetapi kita harus bijak dalam mencari jalan untuk menyelesaikannya.

2. Mematahkan hujah dengan pernyataan yang samar-samar.

وَضَرَبَ لَنَا مَثَلًا وَنَسِيَ خَلْقَهُ ۖ قَالَ مَن يُحْيِي الْعِظَامَ وَهِيَ رَمِيمٌ، قُلْ يُحْيِيهَا الَّذِي أَنشَأَهَا أَوَّلَ مَرَّةٍ ۖ وَهُوَ بِكُلِّ 
خَلْقٍ عَلِيمٌ، الَّذِي جَعَلَ لَكُم مِّنَ الشَّجَرِ الْأَخْضَرِ نَارًا فَإِذَا أَنتُم مِّنْهُ تُوقِدُونَ.

 Serta ia mengemukakan satu misal perbandingan kepada Kami (tentang kekuasaan itu), dan ia pula lupakan keadaan Kami menciptakannya sambil ia bertanya: "Siapakah yang dapat menghidupkan tulang-tulang yang telah hancur seperti debu?". Katakanlah: "Tulang-tulang yang hancur itu akan dihidupkan oleh Tuhan yang telah menciptakannya pada awal mula wujudnya; dan Ia Maha Mengetahui akan segala keadaan makhluk-makhluk (yang diciptakanNya);.  "Tuhan yang telah menjadikan api (boleh didapati) dari pohon-pohon yang hijau basah untuk kegunaan kamu, maka kamu pun selalu menyalakan api dari pohon-pohon itu".

Sebelum kita berbincang tentang teknik yang kedua ini. Kita harus memahami asbabun nuzul ayat ini terdahulu supaya kita tahu tujuan ayat ini diturunkan.

Al-Imam al-Syaukani di dalam Fath al-Qadir. Beliau menyebut: “para mufassir al-Quran berkata, ayat ini diturun kerana Ubay bin Khalaf. Dia telah datang kepada Nabi Muhammad SAW untuk memperolok-olokkanya sambil membawa tulang yang telah reput, kemudian dia telah menggelai-gelaikannya sehingga menjadi debu. Dia pun berkata: “adakaha engkau wahai Muhammad mampu menghidupkan kembali kami semua seperti mana aku lakukan kepada tulang tadi. Nabi Muhammad SAW bersabda: “Ya, benar. Allah SWT akan menghidupkan kamu dan memasukkan kamu ke dalam api neraka”.

Jika kita perhatikan ayat ini, kita akan dapati satu pengajaran yang cukup besar. Allah SWT dan rasul sangat benci sesiapa yang permain-mainkan agama Islam. Bukan salah untuk bertanya tetapi islam sangat mencela sesiapa yang ingin mempermain-mainkan agama. 

Begitu juga apa yang berlaku pada zaman sekarang khasnya di Malaysia. Apabila dibentangkan RUU 355, yang membahaskan tentang Akta Mahkamah Syariah yang mana antaranya isi kandungannya membicarakan tentang; Terhad kepada Umat Islam misalannya namun ramainya yang menolak. Bukan sahaja orang kafir yang menolak malah amat mendukacitakan iaitu umat Islam sendiri telah menolaknya. Ini satu penghinaan yang besar. Kebanyakan alasannya seperti negara Malaysia bukan negara Islam, ramai umat tidak faham dan mesti menyantuni umat bukan Islam.

Adapun kita sebagai hamba Allah SWT, kita sama sekali jangan menghina mereka dan menggelar mereka dengan panggilan yang buruk. Cukup bagi kita mendatangkan dalil dari kalam Allah SWT dan hadis Nabi Muhammad SAW supaya mereka sedar dan insaf.

3. Penjelasan dengan terperinci.

ثَمَانِيَةَ أَزْوَاجٍ ۖ مِّنَ الضَّأْنِ اثْنَيْنِ وَمِنَ الْمَعْزِ اثْنَيْنِ ۗ قُلْ آلذَّكَرَيْنِ حَرَّمَ أَمِ الْأُنثَيَيْنِ أَمَّا اشْتَمَلَتْ عَلَيْهِ أَرْحَامُ الْأُنثَيَيْنِ ۖ نَبِّئُونِي بِعِلْمٍ إِن كُنتُمْ صَادِقِينَ، وَمِنَ الْإِبِلِ اثْنَيْنِ وَمِنَ الْبَقَرِ اثْنَيْنِ ۗ قُلْ آلذَّكَرَيْنِ حَرَّمَ أَمِ الْأُنثَيَيْنِ أَمَّا اشْتَمَلَتْ عَلَيْهِ أَرْحَامُ الْأُنثَيَيْنِ ۖ أَمْ كُنتُمْ شُهَدَاءَ إِذْ وَصَّاكُمُ اللَّهُ بِهَٰذَا ۚ فَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّنِ افْتَرَىٰ عَلَى اللَّهِ كَذِبًا لِّيُضِلَّ النَّاسَ بِغَيْرِ عِلْمٍ ۗ إِنَّ اللَّهَ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ

(Binatang ternak itu) delapan ekor - (empat) pasangan; dari kambing biri-biri dua ekor (sepasang jantan betina), dan dari kambing biasa dua ekor (sepasang jantan betina). Tanyalah (wahai Muhammad kepada orang-orang musyrik itu): "Adakah yang diharamkan Allah itu, dua jantannya atau dua betinanya, atau yang dikandung oleh rahim dua betinanya? Terangkanlah kepadaku dengan berdasarkan ilmu pengetahuan (Syarak dari Allah yang menjadi dalil tentang haramnya), jika betul kamu orang-orang yang benar".   Dan dari unta dua ekor (sepasang jantan betina), dan dari lembu dua ekor (sepasang jantan betina). Tanyalah (wahai Muhammad): "Adakah yang diharamkan Allah itu dua jantannya atau dua betinanya, atau yang dikandung oleh rahim dua betinanya? Ataupun kamu ada menyaksikan ketika Allah menyuruh serta menentukan kepada kamu (atau kepada datuk nenek kamu) dengan yang demikian ini?" Oleh itu, siapakah yang lebih zalim daripada orang yang berdusta terhadap Allah untuk menyesatkan manusia dengan tidak berdasarkan ilmu pengetahuan? Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang zalim.

Al-Imam al-Suyuti menyebut dalam kitabnya al-itqan fi ilmi al-quran: “sesungguhnya orang kafir telah mengharamkan binatang ternakan jantan dan adakalanya betina. Disebabkan itu, Allah SWT membalas dan menegur dengan menerangkan dengan terperinci. Maka Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah SWT yang telah menjadikan semuanya, menjadikan  setiap pasangan itu ada lelaki dan perempuan, kenapakah kamu mengharamkannya? Sedangkan kamu tidak tahu sebab kenapa kamu mengharamkannya sama ada jantan mahupun betina, sama ada masih dalam kandungan. Sedangkan kamu tidak mengetahui kecacatan tersebut melainkan kehendak Allah Allah SWT sama ada melalui perantaraan wahyu dari Nabi Muhammad SAW ataupun daripada al-Quran itu sendiri”.

Teknik ini mengajar supaya kita menjelaskan sesuatu dengan terperinci agar mudah difahami makna dan lafaznya. Setiap perkara mesti jelas dan nyata. Perkara seperti ini sangat penting kerana setiap umat mempunyai kefahaman yang berbeza. Jika penyampai menyampaikan sesuatu tetapi difahami lain dan maksud sebenarnya juga lain, ini akan menimbulkan masalah dan fitnah.

Kita lihat bagaimana orang kafir itu mengharamkan sesuatu perkara sedangkan dia pun tidak jelas tentang apa yang diharamkan itu. Maka dengan itu, Allah SWT menegur akan perbuatan itu. Halal dan haram itu sudah ditetapkan oleh Allah SWT. Kita sebagai manusia tidak boleh sewenang-wenangnya melakukan perkara sedemekian.

Ini sama juga apa yang berlaku di persekitaran kita seperti dalam politik. Pernah dahulu tahun 90 an, ada parti yang telah memfatwakan haram makan yang dimasak oleh parti lain. Sedangkan yang dimasak itu oleh umat Islam sendiri. Sungguh pelik!. Begitu juga dari segi dakwah, apabila ada pendakwah yang berbeda pendapat, terus difatwa dengan haram dan sesat sedangkan yang dibawa itu dari al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW yang shahih. 

Oleh itu, jika perkara ini terjadi kepada kita. kita harus berkomunikasi dan menerangkan apa yang betul. Jika kita merasakan apa yang kita perkatakan itu benar dan sememangnya benar. Kita harus pertahankan ia.

4. Kiasan dengan menggunakan akal.

لَوْ كَانَ فِيهِمَا آلِهَةٌ إِلَّا اللَّهُ لَفَسَدَتَا ۚ فَسُبْحَانَ اللَّهِ رَبِّ الْعَرْشِ عَمَّا يَصِفُونَ

Kalau ada di langit dan di bumi tuhan-tuhan yang lain dari Allah, nescaya rosaklah pentadbiran kedua-duanya. Maka (bertauhidlah kamu kepada Allah dengan menegaskan): Maha Suci Allah, Tuhan yang mempunyai Arasy, dari apa yang mereka sifatkan.

Pada  kaedah ini, dia menerangkan kepad kita konsep kiasan menggunakan akal. Prof. Nesreldin mengatakan: “bahawa dua perkara yang bertentangan tidak mungkin akan bertemu.” Perkara ini sangat maklum bagi kita semua. Misalannya, api tak mungkin dapat bersama dengan air pada sifatnya yang panas dan sejuk
.
Begitulah firman Allah di atas. Tidak mungkin ada 2 tuhan ataupun lebih dalam satu masa. Samalah juga dalam konteks syarikat, mana boleh ada dua bos yang besar. Mesti ada bos besar seorang dan bawahnya ada bos kecil-kecilan.

Dr. Anwar iaitu guru saya juga menceritakan sebuah kisah. Dia ada seorang ustaz dari negara Timur Tengah. Di Malaysia, masakan pajerin Nenas sudah menjadi kebiasaan di negera kita dan ia menjadi satu menu yang istimewa. Ustaz kepada Dr. Anwar ketika merasainyai, dia rasa tak sedap, dia kata, mana mungkin Nenas yang manis disatukan dengan masakan pedas. Dari cerita ini, perbezaan adat budaya Melayu dan Arab juga berbeza. Ada yang boleh menerima dan menolak. Inilah keunikan ciptaan Allah SWT. Ini adalah contoh bahawa 2 sifat dan adat tidak dapat dipertemukan.

Teknik ini sangat berkesan untuk dijadikan dalam penghujahan. Rata-rata umat akan mudah memahami dengan cepat apabila logik yang dikemukan itu tepat. 

5. Kisah.

Teknik ini mudah difahami. Kebiasaanya kisah-kisah ini untuk memberikan teladan dan pengajaran agar dihayati oleh umat. Kisahnya ada panjang mahupun ringkas. Kisah-kisah para anbiya’ mesti dihayati oleh seluruh umat. Pengjaran dan hikmah yang banyak boleh menyentuh hati dan membuka minda.
Firman Allah SWT dalam surah al-An’am tentang kisah nabi Ibrahim. 

فَلَمَّا جَنَّ عَلَيْهِ اللَّيْلُ رَأَىٰ كَوْكَبًا ۖ قَالَ هَٰذَا رَبِّي ۖ فَلَمَّا أَفَلَ قَالَ لَا أُحِبُّ الْآفِلِينَ، فَلَمَّا رَأَى الْقَمَرَ بَازِغًا قَالَ هَٰذَا رَبِّي ۖ فَلَمَّا أَفَلَ قَالَ لَئِن لَّمْ يَهْدِنِي رَبِّي لَأَكُونَنَّ مِنَ الْقَوْمِ الضَّالِّينَ، فَلَمَّا رَأَى الشَّمْسَ بَازِغَةً قَالَ هَٰذَا رَبِّي هَٰذَا أَكْبَرُ ۖ فَلَمَّا أَفَلَتْ قَالَ يَا قَوْمِ إِنِّي بَرِيءٌ مِّمَّا تُشْرِكُونَ، 

Maka ketika ia berada pada waktu malam yang gelap, ia melihat sebuah bintang (bersinar-sinar), lalu ia berkata: "Inikah Tuhanku?" Kemudian apabila bintang itu terbenam, ia berkata pula: "Aku tidak suka kepada yang terbenam hilang".  Kemudian apabila dilihatnya bulan terbit (menyinarkan cahayanya), dia berkata: "Inikah Tuhanku?" Maka setelah bulan itu terbenam, berkatalah dia: "Demi sesungguhnya, jika aku tidak diberikan petunjuk oleh Tuhanku, nescaya menjadilah aku dari kaum yang sesat".  Kemudian apabila dia melihat matahari sedang terbit (menyinarkan cahayanya), berkatalah dia: "Inikah Tuhanku? Ini lebih besar". Setelah matahari terbenam, dia berkata pula: ` Wahai kaumku, sesungguhnya aku berlepas diri (bersih) dari apa yang kamu sekutukan (Allah dengannya).

Dari ayat ini, kita akan dapat satu pengajaran yang besar iaitu mengenai persoalan aqidah. Ramai umat apabila hendak bertanya tentang Allah SWT tentang itu ini kepada para asatizah, mereka akan berkata “tidak” dan “jangan bertanya nanti kufur” dan sebagainya sedangkan seorang Nabi pun mempunyai persoalan sedemikan. Apakah itu salah? Apakah salah kita cuba hendak mengenal Pencipta kita? 

Saya juga sangat bersetuju dengan pendapat Ustaz Wanji dalam perkara ini walaupun banyak dalam hal lain saya tidak bersetuju dengannya. Dia kata bahawa tentang persoalan aqidah pun ada perbincangannya. Menurut dia lagi bahawa persoalan aqidah juga harus dibincang dengan lebih mendasar agar keimanan kita tetap utuh dan teguh.


6. Memperbetulkan yang salah.

Teknik ini yang paling berat. Terus menyatakan yang salah jika sudah jelas kesalahan itu bahkan memperbetulkan apa yang sepatutnya. Adapun setiap umat berbeza dari sudut pemahamannya. Ada yang boleh menerima apabila ditegur manakala ada juga yang tidak boleh menerima teguran tersebut sehingga terus hanyut dalam kesesatan. 

Firman Allah SWT: 

وَقَالُوا لَن تَمَسَّنَا النَّارُ إِلَّا أَيَّامًا مَّعْدُودَةً ۚ قُلْ أَتَّخَذْتُمْ عِندَ اللَّهِ عَهْدًا فَلَن يُخْلِفَ اللَّهُ عَهْدَهُ ۖ أَمْ تَقُولُونَ عَلَى اللَّهِ مَا لَا تَعْلَمُونَ

Dan mereka berkata: "Kami tidak sekali-kali akan disentuh oleh api neraka kecuali beberapa hari yang tertentu". Katakanlah (wahai Muhammad): "Adakah kamu sudah mendapat janji dari Allah supaya (dengan itu) Allah tidak akan menyalahi janjiNya, atau hanya kamu mengatakan atas nama Allah sesuatu yang tidak kamu mengetahuinya?"

Mereka menyangka bahawa mereka akan diazab oleh Allah SWT selama beberapa hari sahaja namun sangkaan mereka itu meleset. Janji Allah SWT mengatakan bahawa mereka akan kekal selamanya jika mereka kekal syirik kepada Allah SWT. 

Ini tanggungjawab pendakwah, membetulkan yang salah dan sentiasa menyatakan kebenaran. Untuk menegakkan kebenaran, kita mesti berterus terang agar maknanya mudah difahami. 

Namun, sebahagian pendakwah suka berlapis-lapis konon-kononnya mahu mengatakan ia terlalu berat bagi umat zaman sekarang. Hal itu ada benarnya tetapi jika kita fahami gaya kalam Allah SWT, kita mesti tegakkan kebenaran walaupun pahit.

7. Penghujahan yang nyata.

Ini adalah teknik yang terakhir yang disebutkan oleh Prof. Nesreldin dalam bukunya tersebut.  Penghujahan yang nyata ini membawa erti, sesuatu perkara yang boleh dilihat, dirasa dan dihidu oleh 5 pancaindera kita, sebagai contoh melalui mata kita boleh melihat Bulan, melalui tangan kita boleh menyentuh Haiwan dan manakala melalui hidung kita dapat menghirup udara yang segar.

Firman Allah SWT: 

يَا أَيُّهَا النَّاسُ ضُرِبَ مَثَلٌ فَاسْتَمِعُوا لَهُ ۚ إِنَّ الَّذِينَ تَدْعُونَ مِن دُونِ اللَّهِ لَن يَخْلُقُوا ذُبَابًا وَلَوِ اجْتَمَعُوا لَهُ ۖ وَإِن يَسْلُبْهُمُ الذُّبَابُ شَيْئًا لَّا يَسْتَنقِذُوهُ مِنْهُ ۚ ضَعُفَ الطَّالِبُ وَالْمَطْلُوبُ، مَا قَدَرُوا اللَّهَ حَقَّ قَدْرِهِ ۗ إِنَّ اللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ

  Wahai umat manusia, inilah diberikan satu misal perbandingan, maka dengarlah mengenainya dengan bersungguh-sungguh. Sebenarnya mereka yang kamu seru dan sembah, yang lain dari Allah itu, tidak sekali-kali akan dapat mencipta seekor lalat walaupun mereka berhimpun beramai-ramai untuk membuatnya; dan jika lalat itu mengambil sesuatu dari mereka, mereka tidak dapat mengambilnya balik daripadanya. (Kedua-duanya lemah belaka), lemah yang meminta (dari mendapat hajatnya), dan lemah yang diminta (daripada menunaikannya). Mereka (yang kafir musyrik) itu tidak menghormati Allah menurut penghormatan yang selayaknya (sebagaimana yang ditetapkanNya); sesungguhnya Allah adalah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.

Ini adalah contoh yang mudah. Bukankan kita dapat melihat Lalat. Kita juga tahu bagaimana sifat lalat tersebut, bukan? Seekor binatang yang sangat lincah merupakan sifatnya yang paling hebat.

Jika kita fahami ayat ini, Allah SWT mengajar kita bahawa Allah SWT mampu menghidupkan sesuatu dan mematikan sesuatu. Contohnya lalat. Semua umat tidak mampu mencipta sesuatu pun yang bernyawa walaupun sekecil-kecil lalat. Mungkin mereka boleh mencipta robot, walaubagaimanapun ia tetap tidak sama!

Comments (0)