Al-Quran pada kaca mata bahasa.
Kinayah atau Kiasan Dalam Al-Quran.
Mendalami Al-Quran melalui kaca mata Bahasa. Bahasa adalah asas ilmu dan ianya perkara yang sangat penting. Al-Quran diturunkan kepada hamba-hamba-Nya tidak lain tidak bukan adalah untuk menyeru kembali bertaqwa kepada Allah dan mengimani segala isi kandungannya.
Melihat al-Quran dari sudut bahasa, indahnya sehingga mendamaikan hati yang lara. Cinta yang layu terus bermekar-mekar mewangi. Baris-barisnya punya irama lantaran melantuni jiwa yang mati. Al-Quran terbukti kalam Allah SWT yang paling unggul.

Kenapa penting memahami Al-Quran dan Hadis dari sudut bahasa dan kesusasteraan dan apakah matlamat utamanya?
Ada beberapa nokhtah penting yang ingin saya sebutkan supaya kita semua bersemangat untuk terus mempelajari Al-Quran dan Hadis. Sungguh, kelas Balaghah fi Al-Quran wa Hadis pada tahun akhir bersama seorang ustaz yang sangat hebat dan masyhur iaitu Ustaz Anwar, banyak memberikan pencerahan terhadap persoalan 10 tahun yang lalu yang tidak punya jawapan dan hanya tersemat dalam akal dan terbuku di hati.
1. Mustafa Haji Daud menulis dalam bukunya "Kesusasteraan Dalam Tamadun Islam". Kata beliau :imaginasi mempunyai peranan yang penting dalam menghasilkan karya kesusasteraan, ia seharusnya memainkan peranannya yang bersumberkan wahyu iaitu imaginasi yang mengutamakan kebenaran, keadilan dan kebaikan. Imaginasi berfungsi bukan sekadar untuk memuaskan indera rasa atau naluri seni manusia, malah lebih daripada itu. Ia mestilah mendorong manusia ke arah keimanan, ketakwaan dan amal salih.

2. Muhammad Qutb juga menyatakan bahawa kesusasteraan islam sebagai karya kesusasteraan yang mengandungi nasihat, tunjuk ajar, menggalakkan kebaikan dan mencegah kemungkaran.
3. Dr. Abdul Fatah Lasyin menulis dalam bukunya "Min balaghah Al-Hadis Al-Syarif". Kata beliau: perumpamaan dan analogi itu salah satu daripada keistimewaan dan rahsia pertuturan dan percakapan yang mana pendengar tertarik perhatian mendengarnya serta mengikutinya sehingga ia meresap ke dalam jiwanya.

Betapa pentingnya untuk kita memahami kalam Allah azza wajalla. Bukan hanya mahu membuktikan bahawa Al-Quran itu agung pada penulisannya semata-mata tetapi matlamatnya agar hamba itu menghayati setiap baris dan mengamalkannya dengan rasa rendah diri dan tawadu'.
Begitu juga dengan Hadis Nabi Muhammad sallahu'alaihiwassalam. Memiliki hikmah dalam penyampaian dakwah yang sesuai untuk semua lapisan umat tanpa mengira darjat, umur dan jantina.
Kinayah dan Kiasan dalam al-Quran.
Kinayah itu satu daripada keistimewaan bahasa yang bermaksud kiasan. Banyak dan terlalu banyak dirakamkan oleh Allah SWT dalam kitab-Nya. Kiasan ini bermatlamat agar pendengar merasai ketenangan dan juga keutamaannya tidak menyinggung perasaan. Dalam Bahasa Melayu misalannya, kita selalu akan menyebut, "izinkan saya pergi ke tandas", jarang dan kadang-kadang kita dengar, "izinkan saya berak". Begitulah pengunaan bahasa, bahasa melambangkan jiwa. Pun begitu, apatah lagi Kalam Allah SWT, hikmahnya berbicara!
Kinayah ini bermaksud sesuatu ungkapan yang kita ungkapkan tetapi membawa makna yang lain. Manakala, Kinayah dari segi Bahasa Arab pula, ia juga tidak menghalang dari makna ungkapan yang asal seperti saya hendak ke tandas dan maksudnya hendak ke tandas sahaja tanpa berbuat apa-apa. Ayuh kita perhatikan Kinayah dari sudut pandang al-Quran!
Saya berikan satu contoh. Saya memetik pendapat Ibn Athir dalam bukunya "المثل السائرفي أدب الكاتب والشاعر", beliau seorang ulama' yang pakar dari segi tatabahasa dan sastera arab, pakar dalam bidang hadis bahkan al-Quran dan ilmunya serta juga pakar dalam bidang sejarah. Nama beliau ialah Abu Fatah Nasrullah bin Abi al-Kiram Muhammad bin Muhammad Abdul Karim bin al-Wahid as-Shaibani. Popular dengan nama Ibn Athir al-Jarzi(al-Jazari) atau digelar Dyiauddin. Lahir pada tahun 587H. Beliau juga adalah seorang Kadi.

Contohnya, Allah SWT menyebut dalam al-Quran: "أو لامستم النساء" dalam surah al-Maidah ayat ke-6. kalau kita buka terjemahan al-Quran, kebiasannya kita akan diterjemahkan dengan terjemahan "atau kamu semua telah bersentuhan dengan para wanita".
Maka kali ini, saya akan membawa perbincangan yang lebih mendasar untuk menambahkan keimanan dan keyakinan terhadap sesuatu yang datang daripada al-Quran.
Seperti yang saya telah tulis di atas tentang pengertian Kinayah, boleh jadi kekal maknanya atau ada makna disebaliknya. Maka dari sinilah timbul pendapat ulama' fiqh.
Ibn Athir menyebut bahawa al-Syafie mengatakan bahawa al-lamas itu ialah bersentuhan dari kulit ke kulit. Maka dengan itu, wajiblah berwuduk jika seorang lelaki bersentuhan dengan perempuan. Inilah yang dinamakan kekal pada makna pada perkataan asal.
Ibn Athir sekali lagi membawa pandangan ulama fiqh yang berbeza pandangan dengan al-Syafie. Kata mereka, al-Lamas itu kiasannya ialah bersetubuh. Maka dengan itu, jika bersentuh kulit tidaklah batal wudu' melainkan dengan bersetubuh sahaja yang boleh membatalkan wudu'. Inilah yang dinamakan ungkapan yang membawa makna sebaliknya.
Akhirnya, Ibn Athir telah mendamaikan 2 pandangan ini dengan menyatakan bahawa inilah kinayah. Boleh jadi makna asal dan sebaliknya.
Begitulah keindahan al-Quran. Memberikan hamba-hamba-Nya berijtihad dengan berlandaskan ilmu dan keimanan.
Nah, hebat bukan al-Quran. Ayuh kita sama-sama menghayatinya agar sanubari kita dipenuhi dengan cahaya yang bersinar-sinar dan paling utama, keimanan kita terus meningkat.
Insyallah akan datang kita bincang bab lain.
Wallahu a'lam.

Comments (2)

On October 22, 2017 at 1:33 AM , Unknown said...

bole x bagi contoh yang ada dalam alquran serta penerangannya??

 
On November 3, 2017 at 10:18 PM , nurfarhan0601@gmail.com said...

berkenanan kinayah atau kiasan sudah penulisan jelaskan pada penulisan di atas. atau apa-apa tidak jelas bagi saudari?