Showing posts with label bahasa arab. Show all posts
Showing posts with label bahasa arab. Show all posts


 Alhamdulillah, buku terjemahan akhirnya telah berjaya diterbitkan. 

Buku yang berjudul (التعبير القرآني) iaitu Gaya Bahasa Al-Quran oleh Dr. Fadil Salih Al-Samarai telah diterjemah oleh Muhammad Nur Farhan bin Zamziba.

Buku ini adalah bahagian pertama buku (التعبير القرآني) iaitu bertajuk (البنية في التعبير القرآني) ataupun Struktur Ungkapan Gaya Bahasa Al-Quran.

Dalam ini buku ini mengandungi dua bab utama iaitu 1) Ungkapan Gaya Bahasa Al-Quran 2) Struktur Ungkapan Gaya Bahasa Al-Quran.

Di sini, pengarang sebenarnya telah memberikan pencerahan yang baharu mengenai keindahan bahasa Al-QUran yang tiada tandingan.

Bahkan beliau membahaskan ungkapan al-Quran al-Karim dengan bahasa yang mudah untuk difahami.

Oleh yang demikian, boleh mendapatkan buku ini di bawah terbitan ABIM PRESS.

Semoga mendapat ilmu yang bermanfaat. Amin


 Alhamdulillah selesai membaca buku ini yang agak lewat menghabiskan iaitu bermula dari 19.5.2024 dan khatam 6.10.2024.

Sebuah buku peribahasa yang mengumpulkan peribahasa masyarakat Arab yang sangat menarik. Buku ini ditulis oleh Nik Radhiah Nik Ali dan Kamarul Shukri Mat Teh.

Buku ini diterbitkan oleh Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA).

Terima kasih penulis kerana mengajak saya untuk mengenali budaya masyarakat Arab yang sangat unik. Peribahasa mereka yang menggunakan gambaran ciptaan Tuhan seperti tumbuhan, haiwan bahkan nama-nama tokoh-tokoh Arab sangat memberikan kesan kepada pembaca untuk lebih memahami maksud peribahasa yang diberikan.

Peribahasa atau Mathal ini merupakan ringkasan bangsa yang menggambarkan pengalaman masyarakat, sejarah dan kebudayaan dalam bentuk ucapan pendeik (N.A Nik Radhia & M.T Kamarul Shukri, 2018).

Mathal al-Maydani ataupun al-Maydaniy adalah Ahmad bin Muhammad bin Ahmad bin Ibrahim, Abu Fadhli al-Maydaniy al-Naysaburi merupakan tokoh sarjana sekitar 470H.

Seperti mana yang dijelaskan, banyak gambaran yang diungkapkan melalui pandangan alam yang sangat unik. Contoh.

المكثار كحاطب الليل

Percakapan yang berlebihan adalah seperti mencari kayu api waktu malam.

Huraian mereka: Mencari kayu api pada waktu malam mungkin akan mengakibatkan diri dipatuk ular atau disengar jengking. Hal ini merujuk perumpamaan kepada yang bercakapa berlebihan akan mengakibatkan timbul malapetaka tanpa disedari.

Oleh yang demikian, buku ini sangat patut dibaca khususnya pelajar bidang Bahasa Arab serta orang yang ingin mengkaji budaya masyarakat Arab.

Semoga Allah merahmati penulis dan memberikan peluang kepada kita untuk terus membaca dan menambah ilmu kerana Allah.




Pada 19 Julai 2019, Sempat berjumpa, bersapa dan berbincang dengan Ustaz Hassan. Beliau pernah berkhidmat di UIAM sehingga 1996 dan seterusnya di IDFR.

Kami diperkenalkan oleh salah seorang anak murid saya Haji Bakar, dia menjemput ke kenduri anaknya di Kuantan. Kebetulan, dia memperkenalkan kami dengan ustaz Hassan (guru kepada Prof. Majdi, Prof. Assoc. Akmal, Prof. Assoc. Adli dan ramai lagi).

Kesempatan dalam 30 minit yang ada, ustaz Hassan menasihati dan memberikan cadangan, cara dan teknik pembelajaran Bahasa Arab yang perlu dilakukan oleh warga pendidik bagi peringkat pertama. Di antara pesannya:

1) Jangan terus kepada perbahasan tatabahasa apatah lagi sintaksis (الإعراب) sehingga dia memetik kata-kata ulama' bahawa ilmu nahw tidak memberikan apa-apa manfaat (konteks dalam peringkat awal). Tetapi mulakan dengan bahasa iaitu kebiasaan bahasa dan penyerapannya.

2) Jangan mengajar dan menyuapkan pelajar dengan memberikan makna secara langsung tetapi kita menggalakkan mereka berfikir, para guru kena bertutur dalam Bahasa Arab dan menterjemah dalam bentuk gaya dan teknik yang sebaiknya.

3) Adanya kemahiran yang penting iaitu memualai dengan mendengar, bercakap, membaca dan menulis. Kerana itulah kitaran kehidupan. Penyerapan bahasa bermula daripada mendengar. (Boleh baca buku Yahya bin Yaqazan oleh ibn Tufhail, kisah menarik)

4) Kalau hendak mengajar bahasa Arab al-Quran, beliau melontarkan pandangan dan cadangan dengan mulakan tentang buah-buahan, haiwan, serangga dan sebagainya dalam al-Quran. Maksudnya, pastikan dapat maklumat bahasa.

5) Bahasa ini bahasa yang berfikir, kita mesti berfikir, kita mesti menggalakkan manusia yang belajar bahasa Arab ini berfikir.

Saya mengatakan kepada dia, bagaimana syiekhun kabirun (warga emas), pantas menjawab beliau memetik hadis nabi iaitu menuntut ilmu. Maknanya menuntut ilmu sehinggalah kita mati dan kita perlu berfikir sehingga kita mati.

p/s: kawan-kawan semejanya, wah berborak dalam Arab kita mana nak faham apa. 

Demikianlah para guru sekarang seperti Dr.Anwar, Dr.Ikhwan, Dr. Yasir, Ustaz Firdaus (abg sy), ustaz jamil (sek ren alFurqan) dan ustaz Fakhurazi (sek ren alFurqan) dan ayah saya (masa saya kecik, dia beli buku kartun arab) yang saya melihat dan memerhati, untuk peringkat asas, kita perkenalkan bahasa seperti anak kecil belajar bahasa. 

Apabila mereka (peringkat pertama) sudah menguasai bahasa, barulah datangnya perbahasan ilmu nahw dan sorof. 

Dan apabila membahaskan ilmu nahw dan sorof dalam al-Quran, jangan bebani dengan istilah tetapi mudahkan mereka dengan memahami makna disebalik istilah seperti mana kitab yang dikarang oleh Fadhil Soleh dan sebagainya.

Dan pesanan untuk para guru, jangan menjanjikan belajar bahasa Arab 2-3 hari, setahun sudah boleh memahami al-Quran, tetapi katakanlah sekadar serpihan kefahaman.

(nanti kita bincang pula teknik dan modul untuk pembelajaran syiekhun kabirun, belia, remaja dan kanak-kanak kerana setiap peringkat umur, kita perlu menyelami dan memahami jiwa dan pemikiran mereka).

in sya Allah

Alhamdulillah. 5 bulan berlalu utk siri pertama bersama Haji Mokhtar dan Haji Bakar di Uiam Kuantan pada setiap hari rabu jam, 9-10.30 pagi.
Pada saya secara peribadi, umur tidak menghalang minat mereka belajar bahasa Arab demi mendalami dan mengamati kalam Allah azza wajalla.

Di kelas ini, kita bukan mengejar silibus tetapi kita mencari kefahaman yang mendalam. Dalam erti kata lain, kata haji bakar dan mokhtar "belajar sampai akhir hayat". (Dalam masa 5 bulan untuk seminggu sekali, untuk kelas haji ini baru masuk bab maskulin dan feminin)
Dalam kelas ini, ada dua hala, mereka boleh bertanya apa sahaja tentang al-Quran secara khususnya, terutama dari segi bahasa. Natijahnya, pengajar dapat manfaat dan murid mendapat manfaat. Realitinya, pengajar menghadapi beban yang sangat besar kerana berbahas tentang ayat al-Quran. (bukan mudah dan pengajar sentiasa ulang kaji dan ingat kembali para ustaz mengajar terutamanya di UIAM, akan datang saya nak sebut beberapa nama)
Insyallah sekalu tenaga pengajar, kita akan cuba memastikan kefahaman itu sampai namun kena yakin ilmu itu datang dari Allah dan bagi pengajar, apabila dia tidak tahu, dia segera akan mengatakan tidak tahu dan balik mencari jawapan.
Wallahu a'lam
p/s: Kelas dengan haji berdua ni terus bersambung dan mereka tak nak berehat. Allah
Semoga Allah merahmati mereka. Amin
Terjemahan al-Quran

بسم الله الرحمن الرجيم، ولله الحمد الذي أنزل القرآن بلسان عربي مبين، وعلم القرآن الكريم، وخلق الإنسان ضعيفا فعلّمه البيان. والصلاة والسلام على إمام البلغاء، وسيد الفصحاء، ورئيس القراء نبينا المصطفى محمد بن عبد الله صلى الله عليه وسلم  و على أهله كرماء، وأصحابه العظماء ومن تبعهم بإحسان إلى يوم الدين، أما بعد.



Karya berjudul Terjemahan Al-Quran oleh Prof. Dr. H. Nashruddin Baidan adalah sebuah karya yang membahaskan permasalahan displin terjemahan al-Quran terhadap teks dan konteks terjemahan al-Quran di Indonesia.

Karya ini mengetengahkan beberapa karya terjemahan al-Quran di antaranya tafsir Hamka, Al-Misbah dan sebagainya. Bagi saya, beliau seorang ulama' yang sangat kritis dan kreatif. Ilmu beliau dari sudut bahasa Arab sangat mendalam bahkan beliau menguasai displin ilmu terjemahan sangat tinggi.

Karya ini bagus untuk semua khususnya yang ingin mendalami al-Quran dari sudut terjemahan maknanya. Banyak perkara yang boleh kita setuju dan ada perkara yang boleh dibahaskan lagi.

Yang menjadi keutamaannya, pada hemat saya pada karya ini, beliau mengajak kepada semua untuk memperbaharui terjemahan makna al-Quran khususnya daripada bahasa Arab kepada bahasa Melayu.
Sebagai contoh dalam surah al-'Ma'un. Allah berfirman: 

فَوَيْلٌ لِّلْمُصَلِّينَ، الَّذِينَ هُمْ عَن صَلَاتِهِمْ سَاهُونَ
Terjemahan Basmieh: (laitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya; (Surah al-Ma’un 107:4-5)

Terjemahan Prof Dr. H. Nasruddin Baidan: "Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang solat iaitu mereka yang lupa dari solatnya" (Al-Ma'un 4-5).

Cuba bandingkan dua terjemahan di atas.

Pada ayat di atas ada huruf jar (kata sendi) iaitu dari (عن). Lalu bagaimana hendak memahaminya, dalam erti kata lain, bagaimanakah untuk menterjemah huruf tersebut dalam al-Quran yang lebih tepat dan menepati maksudnya dari segi teks dan konteks. Seandainya diterjemahkan dengan (dalam) maka seolah-olah maknanya celakakah orang yang lalai dalam solat itu maknanya dia barangkali tidak khusyuk, tidak sempurnakan rukun utama dan begitu segera tidak ada toma'ninah.

Tetapi jika diterjemahkan (dari) maka maknanya dia belum mengerjakan solat dalam erti kata lain, dia mengatakan solat itu tidak penting dan dia ambil mudah soal kewajipan solat.

Menurut penulis:“Terjemahan (dalam) dengan demikian itu memberikan informasi, bahawa kecelakaan yang ditimpakan kepada mereka itu disebabkan oleh sikap dan perilaku mereka yang tidak memedulikan solat dan bahkan mengabaikan; padahal mereka mereka mengaku mukmin, tetapi tidak mahu mengamalkan ajaran iman yang mereka yakini. Jadi wajar sangat mereka diancam dengan kecelakaan dan azab sebagaimana dijelaskan di atas”.

Tambahan beliau, jika diterjemahkan kepada dari, beliau menukilkan pendapat ibn Kathir dan Mujahid bahawa (عن) itu maknanya (dari) solat bukanya dalam solat lantas maknanya adalah memberikan informasi bahawa kecelakaan yang ditimpakan kepada mereka yang solat itu ialah bilamana setelah melakukan solat mereka menjauh dari ajaran solat itu sendiri misalnya tidak mahu berhenti dari perbuatan maksiat seperti korupsi, manipulasi dan sebagainya sedangkan mereka sudah mengerjakan solat tetapi tidak masih lalai daripada tuntutuan yang sebenar. (Huraian selanjutnya pada buku beliau)

Menurut saya, boleh diertikan dengan dari lalai daripada menunaikan solat iaitu mereka memandang solat bukan satu kewajipan, mengatakan solat tidak penting dan menyusahkan, mengutamakan kepentingan dunia daripada kewajipan solat sebab pada ayat itu tidak digunakan ayat yang dimulakan dengan kata kerja (الجملة الفعلية) tetapi dimulakan dengan kata nama (الجملة الاسمية) yang memberikan makna tentang pelaku.

Oleh hal yang demikian itu, yang manakah lebih tepat terjemahan bagi golongan yang mendapat kecelakaan Allah. Kesimpulan secara umumnya, terjemahan (dari) adalah lebih tepat pada teks dan konteks kerana suruhan mengerjakan solat itu lebih penting dan disuruh melakukannya. Wallahu a’lam.

Banyak lagi permasalahan terjemahan yang beliau bentangkan, dalam karya beliau terdapat 9 permasalahan dan beliau membahas dengan fakta dan ilmiah. Pada saya, karya ini sangat bagus terutama yang ingin mengajar al-Quran dari sudut bahasa.
Perkembangan Awal Nahu Arab

Bismillahirrahmanirrahim. Alhamdulillahirabil’alamin.

قَدْ أَجْمَعَ النَّاسُ جَمِيْعًا أَنَّ اللغَةَ إِذَا  وَرَدَتْ فِي القَرْآنِ فَهِيَ أَفْصَحُ مِمَّا مِنْ غَيْرِ القَرْآنِ، لَا خِلَافَ ذَلِك.
"Keseluruhan manusia telah bersepakat menyatakan bahawa bahasa yang terkandung dalam al-Quran adalah sefasih-fasih bahasa daripada bahasa yang lain, perkara ini tidak ada perselisihan sama sekali". (Ibn Khalawyh)
Buku berjudul Perkembangan Awal Nahu Arab oleh Kamarul Shukri Mat Teh sebuah buku yang sangat baik dan bagus. Jarang ditemui sebuah buku berbahasa Melayu yang mencerita dan mengupas sejarah Nahu Arab sejak dari zaman Nabi Muhammad sollahu'alaihiwasalam sehingga zaman Abbasiyyah dan selepasnya. Jadi, saya menyarankan kepada semua untuk membaca buku ini supaya kalian tahu serba-serbi sejarah Nahu Arab kerana ilmu bahasa Arab asasnya adalah ibu segala ilmu dalam khazanah Islam.

Dalam buku ini mengandungi 7 Bab utama, bab 1 mengupas definisi Nahu dan sejarahnya. Bab 2, membahaskan gejala Lahn. Bab 3, membicarakan perintis dan pengasas ilmu Nahu. Bab 4, menerangkan teknik dan hujah ilmu Nahu terhadap al-Quran, Hadis, Syair, Prosa dan sebagainya. Bab 5, sejarah mazhab Nahu dan bagaimana ulama' mengembangkan ilmu Nahu. Bab 6 pula, mengupas sejarah perjalanan pembukaan ilmu di kota Baghdad, bab 7 penutup.
Saya ingin menekankan Bab 2 iaitu gejala Lahn, Lahn bermaksud kesilapan dalam bahasa Arab baik pertuturan, percakapan, lafaz dan makna.
Sebagai seorang penuntut ilmu bahasa Arab, Lahn ini merupakan wabak umat terutamanya yang bukan Arab tetapi zaman kini tidak, wabak ini juga telah meresap dalam kalangan kaum Arab. Saya ingin mengajak kalian supaya lebih utamakan bahasa fushah daripada loghat atau dialek melainkan loghat atau dialek tersebut terdapat dalam kamus dan kalam Arab terdahulu. Kerana loghat dan dialek ini merupakan salah satu punca wabak, lantaran itu ulama' nahu menyusun kaedah nahu dan sorof untuk merawat wabak tersebut.
Wabak Lahn ini juga disebut oleh Dr. Abdul Ghani dalam bukunya Peradaban Islam di Bumi Melayu; Kini dan Dahulu menyatakan bahawa penjajah dan orientalis telah berjaya menjadikan orang Arab mengutamakan Bahasa Loghat berbanding Bahasa Rasmi supaya mereka tidak lagi memahami dan mendalami lafaz dan makna al-Quran dengan tepat. Perkara ini juga disokong oleh Dr. Abdul Ghafar dalam syarahan al-Kasyaf bahawa orang Arab kini bukanlah Arab Asli dan mereka terpaksa merujuk kamus untuk mengetahui makna yang dilafazkan. Arab sekarang disebut sebagai al-Musta’rabun.
Bukan bermakna saya mengatakan tidak kepada loghat dan dialek apatah lagi menafikan tetapi pastikan lahjah itu betul-betul menurut qiyas dan sama' kerana dalam al-Quran merakamkan banyak sekali lahjah (saya akui sepatah haram lahjah pun tak faham, setakat al-Sirat dan al-Zhirat boleh la).
Baik, berbalik kepada wabak Lahn ini, ia telah berlaku sejak berzaman lagi, sejak dari syair jahili, zaman Nabi Muhammad sollahu'alaihiwasalam, sahabat, tabi' tabiin sehinggalah futuhat Islam seterusnya.
Oleh itu, janganlah cepat putus asa seandainya penguasaan bahasa Arab kita sekarang sangat lemah dan banyak kerosakan, sememangnya kita wajib mempelajari sampai mati kot.
Para sahabat dahulu juga pernah menanyakan nabi Muhammad sollahu'alaihiwasalam tentang makna perkataan sedangkan mereka Arab, Sibawaih asal Parsi juga mampu belajar bahasa sehingga alim, kita juga boleh mencuba barangkali, al-Kisa'i juga dikatakan pernah silap dalam bahasa juga terus belajar. Disebut juga Imam Abu Hanifah berguru dengan al-Kisa'i kerana salah fahamannya kaedah nahu dan terus melazimi pengajian dengan al-Kisa'i.
Kalau kita membaca buku ini maka kita akan menemui beberapa peristiwa perdebatan para nuhat yang berbeza pandangan, ya rabbana, rasa kecil ja dunia ini. Ramai sekali ulama' dahulu yang tidak pernah putus asa dan tidak malu untuk menuntut ilmu, lalu kenapa kita tidak?
Justeru, jangan malu bertanya, sabar menuntut ilmu, berusaha bersungguh dan carilah guru.
Wallahu a'lam.



KEPENTINGAN BAHASA ARAB.
Muqadimah
Bismillahirrahmanirrahim. Alhamdulillahirrabil’alamin. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad sollah’alaihiwasallam, ahli keluarganya, para sahabat dan tabi’ tab’in yang berjasa dalam urusan agama.
العلامة محمد سالم عدود: رب كفر ناشئ بسب جهل شخص بلسان العرب
Al-‘alamah Muhammad Salim ‘Adud berkata: “Boleh jatuh kufur kepada mana-mana pemuda disebabkan kejahilannya memahami lisan arab”.
Ungkapan ini merupakan satu amaran besar kepada seluruh umat manusia yang bermain-main dalam mempelajari Bahasa Arab, mempersendakan agama, mengeluarkan fatwa tanpa menelusuri dan mendalami Bahasa Arab, mengajar pelajar-pelajar dan memberi ceramah kepada masyarakat awam.
Amaran yang tegas ini juga tuju kepada sesiapa yang tidak tahu Bahasa Arab tetapi berani dan berlagak seolah-olah dia tahu Bahasa Arab lantas mengeluarkan hukum dan mengajarkannya kepada masyarakat.
Kepentingan Bahasa Arab
Untuk memahami al-Quran dan sunah Nabi Muhammad sollahu'alaihiwassalam (perkataan terutamanya), maka setiap daripada kita mesti belajar dan mendalami ilmu Bahasa Arab dengan benar dan bersungguh terutamanya ilmuwan dan sarjana yang mengeluarkan fatwa dan mengajar ilmu agama kepada masyarakat.
Kesilapan dan kesalahan boleh mengundang seseorang itu jatuh kufur (bukan kita hendak melabel) tetapi sebagai pengajaran dan pedoman. Inilah masalah yang dihadapi umat pada masa kini. Tidak ada asas Bahasa Arab tetapi berani menjatuhkan hukum dan fatwa. Tidak mendalami ilmu Bahasa Arab tetapi mengajar ilmu agama kepada masyarakat.
Pada hakikatnya, bukanlah maqsad utama untuk belajar bahasa Arab kerana ingin bertutur dengan lancar, menulis dengan indah berirama, mendeklamasi syair artistik dan membahas retorika al-Quran dan sunah tetapi maqsad utamanya adalah kita hendak mendekati Yang Maha Pencinta Teragung. Bukanlah penulis hendak mengkritikik mana-mana persatuan dan pertubuhan yang mengadakan kelas Bahasa Arab tetapi perlu bagi setiap pengajar dan muridnya mengetahui bahawa ada matlamat utama yang lebih prioriti kenapa perlu mempelajari Bahasa Arab.
Allah azza wajalla berfirman:

إِنَّا أَنزَلْنَاهُ قُرْآنًا عَرَبِيًّا لَّعَلَّكُمْ تَعْقِلُونَ
Maksudnya Sesungguhnya Kami menurunkan kitab itu sebagai Quran yang dibaca dengan bahasa Arab, supaya kamu (menggunakan akal untuk) memahaminya.  (Surah Yusuf 12:2)

قُرْآنًا عَرَبِيًّا غَيْرَ ذِي عِوَجٍ لَّعَلَّهُمْ يَتَّقُونَ
Maksudnya: laitu Al-Quran yang berbahasa Arab, yang tidak mengandungi sebarang keterangan yang terpesong; supaya mereka bertaqwa. (Surah al-Zumar 39:28)

كِتَابٌ فُصِّلَتْ آيَاتُهُ قُرْآنًا عَرَبِيًّا لِّقَوْمٍ يَعْلَمُونَ
Maksudnya: Sebuah Kitab yang dijelaskan ayat-ayatnya satu persatu; iaitu Al-Quran yang diturunkan dalam bahasa Arab bagi faedah orang-orang yang mengambil tahu dan memahami kandungannya. (Surah Fussilat 41:3)

Supaya kita berfikir, supaya kita bertaqwa dan kita dapat memahami kandungannya, inilah maqsad utama mempelajari Bahasa Arab. Kita berfikir tentang kejadian bumi dan langit, siang dan malam, malaikat dan jin, manusia dan haiwan. Kita bertaqwa kepada Allah azza wajalla dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Kita memahami ayat-ayat al-Quran agar menjadi panduan kehidupan dunia akhirat.
Begitulah alegori itik jantan mengejar itik betina, dari telur menjadi anak, baru sahaja menetas sudah mula ada kemahuan untuk mencari kehidupan, ada pandangan pertama, itik jantan merapati itik betina, dia cuba mendekatinya, dia cuba menyelamainya, dia cuba mendakapinya dan dia hendak menjiwainya siang dan malam. Itu alegori kehidupan cinta itik jantan dan itik betina. Apatah lagi cinta manusia terhadap Illahi maka perlu lebih daripada itu.
Begitulah asbabnya kenapa ada seorang pemuda yang dahulunya tidak ada hala tujuan kini kembali ke persada ilmu dalam pengkhususan bahasa Arab, tidak lain tidak bukan kerana ada kesedaran. Mudahan diterima dan dipermudahkan.
Contoh-contoh kesalahan dan kesilapan.
Perkataan Fatana (فتن), apakah semuanya membawa satu maksud iaitu fitnah. Jawapannya tidak. Dalam al-Quran. Allah azza wajalla menyebut perkataan ini dengan pelbagai jenis bentuk dan membawa makna yang pelbagai.
Hikmah gaya ungkapan perkataan wanita (إمرأة) dan isteri (زوجة) dalam al-Quran.

Bismillahirrahmanirrahim. Alhamdulillahirabil’alamin.

Pendahuluan.

Al-Quran ialah kalam Allah azza wajalla. Setiap perkataan yang dilafazkan dalam al-Quran memiliki gaya dan keunikan yang tersendiri.

Para pembaca al-Quran yang membaca al-Quran dengan penuh keikhlasan dan ketekunan demi mencari keredhaan Allah azza wajalla pasti akan menemui cahaya yang sangat terang.

Seorang pencinta yang mencintai kekasihnya, tidak lekang dek waktu kerana sentiasa merindui kekasihnya. Segala kalam menjadi tatapan untuk melepaskan kerinduan kerana kalam itulah pengubat cintanya yang berahi terhadap kekasihnya.

Seorang hamba yang memiliki Tuan Yang Maha Pencinta dan Maha Besar, semestinya hamba itu lebih mendambakan kerinduan dan kecintaan kepada Tuannya. Setiap saat dan ketika, setiap degupan jantung yang berdenyut, kerinduan dan kecintaanya tidak pernah kurang apatah lagi hilang. Itulah cinta hakiki cinta illahi.

Untuk melepaskan segala kerinduan hamba itu dan memperolehi kecintaan Tuannya, maka hamba itu mesti menenggelami bait-bait perkataan yang diungkapkan oleh Tuannya di hatinya kerana bait-bait itulah sahaja yang akan dapat menyembuh penyakit kerinduan dan kecintaan hamba itu.

Begitulah juga cinta seorang suami kepada isterinya. Bermadah puisi untuk menamam benih-benih cinta ke dalam hati isterinya. Menyusun perkataan mengubati kerinduan isterinya. Melafazkan kasih meresap ke sanubari. Hikmah tuhan menciptakan hambanya berpasang-pasangan.

Kalam tuhan penuh hikmah dengan gaya ungkapan. Menjadikan hamba-Nya sentiasa berwawasan dan memikirkan kebesaran tuhan. Indahnya ungkapan akan dipersembahkan dalam penulisan ini. Mudah-mudahan para pembaca dan semua mendapat pengajaran.

Perkataan wanita (إمرأة) dan isteri (زوجة).لا
Dalam al-Quran, dipersembahkan perkataan yang sangat indah dan unik. Walaupun seakan makna bagi perkataan hampir sama tetapi sebenarnya tidak. Dalam istilah Arab disebut taraduf. Saya melihat bahawa taraduf tidak boleh ada dalam al-Quran bahkan dalam Bahasa Arab. Bagi para penuntut ilmu Bahasa Arab, mereka akan belajar bab taraduf ini seperti perkataan nazara (dia telah melihat) seerti dengan basira (dia telah melihat). Walaupun makna sama tetapi sebenarnya ada perbezaan yang sangat ketara diantara dua perkataan ini jika kita belajar lebih mendalam ilmu Bahasa Arab ini.
Dalam penulisan yang ringkas ini akan membahaskan perkataan wanita (إمرأة) dan isteri (زوجة) dalam al-Quran. Penulis melihat bahawa adalah lebih baik bagi para suami memanggil isterinya dengan perkataan ISTERI berbanding orang rumah, bini dan perempuan begitu juga sebaliknya bila si isteri memanggil suaminya. Adalah lebih baik menyebut perkataan yang romantik seperti abang dan ayang. Kalau kita menonoton filem melayu klasik, kebanyakkan menggunakan perkataan kanda dan dinda. Ini juga lebih baik.
Berbalik kepada tajuk penulisan. Apakah hikmahnya disebalik ungkapan perkataan wanita (إمرأة) dan isteri (زوجة) yang terdapat dalam al-Quran? Apakah pengajaran yang boleh kita ambil dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian khususnya bagi yang sudah berkahwin.
Dr. Mohd Zain Mahmood menyebut dalam bukunya Keunikan dan keindahan Bahasa Al-Quran: "Al-Quran mengunakan perkataan wanita sekiranya kerukunan dan kedamaian sudah tidak ada lagi dalam kehidupan berumah tangga. Sekiranya keadaan aman damai atau sakinah tercapai dalam kehidupan rumah tangga, maka al-Quran menggunakan perkataan isteri".
Sebagai contoh bagi membuktikan hujah beliau. Firman Allah azza wajalla:
سُبْحَانَ الَّذِي خَلَقَ الْأَزْوَاجَ كُلَّهَا مِمَّا تُنبِتُ الْأَرْضُ وَمِنْ أَنفُسِهِمْ وَمِمَّا لَا يَعْلَمُونَ
Maksud: Maha Suci Tuhan yang telah menciptakan makhluk-makhluk semuanya berpasangan; sama ada dari yang ditumbuhkan oleh bumi, atau dari diri mereka, ataupun dari apa yang mereka tidak mengetahuinya. Surah Yasin 36:36)
Perkataan al-Azwaj iaitu jama’ kepada perkataan al-Zauj. Ayat ini menunjukkan bahawa Allah azza wajalla menciptakan makhluk yang berpasangan membawa kebaikan di antara satu sama lain.
Kita perhatikan lagi firman Allah azza wajalla:
هُمْ وَأَزْوَاجُهُمْ فِي ظِلَالٍ عَلَى الْأَرَائِكِ مُتَّكِئُونَ
Mereka dengan pasangan-pasangan mereka bersukaria di tempat yang teduh, sambil duduk berbaring di atas pelamin; (Surah Yasin 36:56)
Ayat ini menjelaskan bahawa para pasangan itu akan mendapat kebahagian di akhirat yakni di syurga dan menikmati segala-segalanya yang ada di sana.
Kita perhatikan hujah yang terakhir. Firman Allah azza wajalla:
يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمُ الَّذِي خَلَقَكُم مِّن نَّفْسٍ وَاحِدَةٍ وَخَلَقَ مِنْهَا زَوْجَهَا وَبَثَّ مِنْهُمَا رِجَالًا كَثِيرًا وَنِسَاءً ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ الَّذِي تَسَاءَلُونَ بِهِ وَالْأَرْحَامَ ۚ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلَيْكُمْ رَقِيبًا
Maksud: Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya - Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya - zuriat keturunan - lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-yebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu. (Surah al-Nisa’ 4:1)
Kita melihat pula ungkapan pengunanaan perkataan perempuan dalam al-Quran. Dr. Mohd Zain Mohmood menyebut: “Apabila hikmah berpasangan suami isteri tidak dapat dicapai atau hilang beberapa ciri kehidupan berpasangan, maka al-Quran menggunakan perkataan perempuan tidak lagi menggunakan perkataan isteri”.
Sebagai contoh bagi mengukuhkan hujah ini. Firman Allah azza wajalla:
وَامْرَأَتُهُ حَمَّالَةَ الْحَطَبِ
Maksud: Dan juga isterinya, seorang perempuan pemunggah kayu api. (Surah al-Lahab 111:4)
Ayat ini menunjukkan kepada kita bahawa digunakan perkataan perempuan bagi isteri Abu Lahab maka benarlah bahawa mereka berdua tidak mendapat keharmonian dan kebahagian di dunia dan di akhirat.
ضَرَبَ اللَّهُ مَثَلًا لِّلَّذِينَ كَفَرُوا امْرَأَتَ نُوحٍ وَامْرَأَتَ لُوطٍ ۖ كَانَتَا تَحْتَ عَبْدَيْنِ مِنْ عِبَادِنَا صَالِحَيْنِ فَخَانَتَاهُمَا فَلَمْ يُغْنِيَا عَنْهُمَا مِنَ اللَّهِ شَيْئًا وَقِيلَ ادْخُلَا النَّارَ مَعَ الدَّاخِلِينَ
Maksud: Allah mengemukakan satu misal perbandingan (yang menyatakan tidak ada manfaatnya) bagi orang-orang kafir (berhubung rapat dengan orang-orang mukmin selagi mereka tidak beriman dengan sebenar-benarnya), iaitu: perihal isteri Nabi Nuh dan isteri Nabi Lut; mereka berdua berada di bawah jagaan dua orang hamba yang soleh dari hamba-hamba Kami (yang sewajibnya mereka berdua taati); dalam pada itu mereka berlaku khianat kepada suami masing-masing; maka kedua-dua suami mereka (yang berpangkat Nabi itu) tidak dapat memberikan sebarang pertolongan kepada mereka dari (azab) Allah, dan (sebaliknya) dikatakan kepada mereka berdua (pada hari pembalasan): "Masuklah kamu berdua ke dalam neraka bersama-sama orang-orang yang masuk (ke situ)". (Surah al-Tahrim 66:11)
Pengunanaan perkataan perempuan (إمرأة) bagi isteri Nabi Nuh alaihissalam dan isteri Nabi Lut alaihissalam. Perempuan ini tidaklah lagi mengimani risalah yang dibawah oleh Nabi alahissalam bahkan mereka berdua mendustai maka mereka tergolong dalam neraka seperti yang difirmankan.
Kesimpulan.

Maka jelas bahawa penggunaan ungkapan perkataan yang baik sangat dititiberatkan oleh al-Quran. Oleh itu, kita juga mesti mengamalkan ilmu yang baik ini dalam kehidupan seharian. Mudah-mudahan bunga-bunga mawar harum semerbak kasturi terus-menerus menghiasai kehidupan keluarga sepanjang zaman dan setiap tempat. Amin
Menolak 3 Dakwaan Dalam Mengkaji Sintaksis dan
 Retorika Bahasa Arab dalam Al-Sunah.
بسم الله الرحمن الرحيم
Mukadimah:
كَمَا أَرْسَلْنَا فِيكُمْ رَسُولًا مِّنكُمْ يَتْلُو عَلَيْكُمْ آيَاتِنَا وَيُزَكِّيكُمْ وَيُعَلِّمُكُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ
 وَيُعَلِّمُكُم مَّا لَمْ تَكُونُوا تَعْلَمُونَ
Maksud: (Nikmat berkiblatkan Kaabah yang Kami berikan kepada kamu itu), samalah seperti (nikmat) Kami mengutuskan kepada kamu seorang Rasul dari kalangan kamu (iaitu Muhammad), yang membacakan ayat-ayat Kami kepada kamu, dan membersihkan kamu (dari amalan syirik dan maksiat), dan yang mengajarkan kamu kandungan Kitab (Al-Quran) serta Hikmat kebijaksanaan, dan mengajarkan kamu apa yang belum kamu ketahui.(al-Baqarah:151)

Nabi Muhammad sollahu'alaihiwasallam ialah utusan Allah azza wajalla. Baginda merupakan penghulu segala para nabi. Keistimewaan baginda sollahu'alaihiwasallam melebihi para nabi yang terdahulu. Keistimewaan baginda sollahu'alaihiwasallam merangkumi segala aspek seperti kata-kata yang indah dan bijaksana, memiliki perwatakan yang hebat, sifatnya yang budiman serta fizikal yang sempurna.

Segala ungkapan, perbuatan, pengakuan, sifat dan budi pekerti baginda sollahu'alaihiwasallam adalah wahyu dan menjadi sumber utama peradaban dan keilmuwan yang pelbagai bidang. Para ulama' menamainya sebagai al-Sunah. Al-Sunah merupakan sumber utama selepas al-Quran kalam Allah azza wajalla. Dan tidaklah baginda sollahu'alahiwasalam berbicara melainkan wahyu daripada Allah azza wajalla.

Dalam penulisan kali ini, penulis akan membahaskan satu isu yang sangat penting dalam al-Sunah iaitu dakwaan bagi mengkaji al-Sunah dari sudut sintaksis dan retorika Bahasa Arab. Ada 3 perkara utama dalam membahaskan isu ini yang pertama, bahawa perawi hadis yang bukan daripada kalangan Arab, kedua ialah martabat kesahihan hadis dan yang ketiga riwayat al-Sunah dari segi makna.

3 isu ini sangat penting khususnya bagi para pengkaji al-Sunah dari sudut sintaksis dan retorika Arab kerana telah timbul isu yang diungkit kembali sebahagian sarjana sintaksis dan retorika Arab ini bahawa al-Sunah tidak boleh dijadikan hujah dalam kajian bahasa tersebut.

Maka penulisan yang ringkas ini, penulis cuba sedaya upaya memberikan penjelasan yang asas kepada para pembaca khususnya para pengkaji al-Sunah dari sudut sintaksis dan retorika Arab agar tidak ragu dan gentar untuk mengkaji bidang ini.

Isu pertama: Perawi bukan daripada kalangan Arab.

Perawi ialah meriwayatkan hadis dan menyampaikan hadis. Ya benar, memang terdapat perawi yang bukan daripada kalangan Arab dan memang tercatat dalam sejarah periwayatan al-Sunah hal ini namun nisbah dan peratusannya tidaklah tinggi dan syarat sangat ketat dikenakan kepada perawi al-Mawali. Muhammad al-Sabbaqh dalam bukunya al-Hadith al-Nabawi telah mengkaji hal ini dan menyenaraikan jumlah perawi yang bukan daripada kalangang arab.

1.    Jumlah tabi'in yang meriwayatkan hadith dari kelompok Basrah seramai 433 orang. 71 orang daripada mereka terdiri dari kalangan al-Mawali. Ini bererti nisbahnya ialah 84% orang Arab dan 16% al-Mawali.
2.   Jumlah tabi'in yang meriwayatkan hadith dari kelompok Madinah ialah seramai 504 orang, 147 orang darinya bukan Arab yang nisbahnya ialah 70% orang Arab dan 30% al-Mawali.
3.   Jumlah tabi'in yang meriwayatkan hadith dari kelompok Mekah ialah seramai 131 orang, 22 orang darinya Al-Mawali. Ini bermakna nisbahnya 83% orang Arab dan 17% al-Mawali.
Nisbah ini menunjukkan bahawa perawi daripada kalangan Arab lebih ramai daripada al-Mawali dan apabila mereka meriwayatkan hadis, mereka akan meriwayatkan hadis yang shahih dan martabat kesahihan hadis akan dibincangkan dalam penulisan lain yang lebih terperinci namun penulis akan membincangkannya pada isu kedua. Cuma apa yang penting, Peratusan ini jelas menunjukkan kepada kita bahawa perawi Arab lebih ramai daripada perawi al-Mawali.

Isu kedua: Martabat kesahihan al-Sunah.

Dalam seminar wacana sintaksis dan sastera Bahasa Arab di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia kali ke-7. Prof Nesreldin Ibrahim Ahmad Husin telah menggariskan panduan yang sangat sistematik dan tersusun ketika membahaskan kajian al-Sunah dari sudut sintaksis dan retorika Arab. Ini dinamao sebagai metodologi retorika al-Sunah

Sebagai contoh hadis dibawah:

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم:إنَّ الحلالَ بيِّنٌ وإنَّ الحرامَ بيِّنٌ، وإنَّ بينَ ذلِكَ أمورًا مشتبِهاتٍ
Maksud: Nabi Muhammad Sollahu’alaihiwasallam bersabda: “Sesungguhnya Halal itu jelas dan haram itu jelas dan Sesungguhnya di antara kedua perkara itu ada kesamaran…(Sahih Nasaie dan Hadis Shahih)

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: إن الحلال بين والحرام بين وإن بين ذلك أمور مشتبهات
Maksud: Nabi Muhammad sollahu’alahiwasallam bersabda: “Sesungguhnya Halal itu jelas dan Haram itu jelas dan diantara dua perkara itu ada kesamaran…(Shahih Nasaie dan Hadis Shahih)

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: الحلالُ بيِّنٌ والحرامُ بيِّنٌ وبينَ ذلِكَ أمورٌ مشتبِهاتٌ
Maksud: Nabi Muhammad sollahu’alahiwasallam bersabda: Halal itu jelas dan Haram itu jelas dan diantara dua perkara itu ada kesamaran.(Shahih al-Tirmiz, Hadis Shahih)

3 hadis ini adalah shahih oleh al-Imam al-Hadis. Cuma persoalan di sini, bagaimana kita hendak megukur dan menilai hadis berikut dalam kajian perbahasan sintaksis dan retorika Arab. Perbahasan hadis ini sangat panjang walaubagaimanapun penulis cuba meringkaskannya. Hadis pertama ialah yang paling tepat dalam mengkaji al-Sunah dari sudut sintaksis dan retorika Arab kerana ada beberapa sebab:

-          Penggunaan huruf pengukuhan iaitu huruf (Inna taukid) untuk yang halal dan yang haram
-          Didahulukan yang halal daripada yang haram. Ini dinamai inversi perkataan atau istilahnya taqdim al-Syaraf.
-          Penggunaan huruf wau iaitu penyambung ayat. Ini bermaksud ayat yang pertama berbeza dengan ayat kedua. Maksudnya, ayat mengenai halal satu ayat manakala ayat untuk haram satu ayat. Maksudnya, tidaklah sesuai dan padan untuk menyatukan perkara yang baik dengan buruk seperti syurga dan neraka, pahala dan dosa dan begitulah halal dan haram.
-          Ketiga-tiga hadis semua di atas adalah  shahih dan benar namun untuk mengkaji al-Sunah dari segi sintaksis dan retorika mempunyai metodologi yang tertentu. Begitu juga dalam hal lain seperti isu al-Qiraat, semua al-Qiraat al-Asyarah atau saba'ah adalah tepat namun kita memilih yang mana lebih kuat dan lebih tepat dari segi makna dan lafaz dan ianya bersesuaian dengan konteks. Memilih yang mana lebih kuat ini dibahaskan dan dipraktikkan al-Zamakshari dalam tafsirnya al-Kasyaf.
Oleh itu, tidaklah timbul isu martabat hadis. Para pengkaji harus meneliti kesahihan hadis dan selepas itu baru mengkaji dari segi sintaksis dan retorika Arab. Ini juga berlaku dalam bidangn fiqh, aqidah, akhlak, muamalat, politik dan sebagainya.

Isu Ketiga: Riwayat al-Sunah dari segi makna.

Isu ini sudah dibahaskan oleh ramai ulama' hadis dan mereka membahaskan begitu terperinci. Dalam penulisan ini, saya  hanya menukilkan pandangan al-Suyuti sahaja kerana dikatakan bahawa al-Suyuti di antara ulama' yang pada awalnya menolak al-Sunah sebagai dalil dalam perbahasan ilmu bahasa ini namun setelah beliau membuat penelitian akhirnya beliau menjadikan al-Sunah sebagai salah satu hujah dan dalil dalam ilmu Bahasas Arab.

Bagi menjelaskan isu riwayat al-Sunah dari segi makna ini, al-Suyuti telah meletakkan garis panduan yang sangat teliti dalam bukunya al-Muzhir iaitu:

-          Memastikan ia diriwayat daripada orang Arab yang fasih dengan sanad yang shahih.
-          Sanad dan para perawinya mestilah bersifat adil mengikut penilaian agama.
-   Perawi mestilah meriwayatkannya secara langsung daripada sumber-sumbernya yang muktabar.
-          Para perawi yang lain pula mestilah mendapatkannya atau mendengarnya secara langsung daripada perawi yang asal atau sebelumnya.
Syarat yang ketat ini menjadikan displin ilmu dalam riwayat dari segi makna sangat susah dan perlukan kepada penelitian yang mendalam dan bukan sebarangan orang yang boleh meriwayatkan hadis dengan makna.

Muhammad al-Sabbaqh dalam bukunya menegaskan bahawa hanya para sahabat sahaja yang boleh meriwayatkan hadis dengan makna

Kesimpulan.

Al-Sunah sudah terbentang dihadapan kita, pelbagai buku yang merekodkan hadis seperti shahih al-Bukari dan Muslim, kitab sunan seperti sunan Abu Daud, Sunan al-Tirmizi, sunan Ibn Majah dan sunan al-Nasaie dan sebagainya. Kalau dahulu mungkin sedikit keterbatasan waktu dan ilmu yang besar namun sekarang, mudah bagi pengkaji untuk mengkaji sesuatu ilmu khususnya kajian al-Sunah dari segi sintaksis dan retorika Arab.

3 isu yang dimainkan beberapa tokoh sarjana ilmu itu boleh dibahaskan dan ia membuktikan lagi bahawa hujah dan dalil mereka tidaklah kuat dan sangat rapuh.

Sebagai contoh lain, konon dakwaan mereka para ulama' dahulu tidak menjadikan al-Sunah sebagai hujah adalah satu dakwaan yang tidak berasas. Penulis memberikan contoh Sibawaih dalam bukunya Al-Kitab telah menukilkan 15 hadis, perkara ini dikaji dalam buku:
 "شرح كتاب سيبويه لابن خروف تحقيقه خليفة محمد خليفة بربري"

Sebagai penutup kalam, penulis menukilkan kata-kata Muhammad al-Sabbagh:"Al-Sunah dari segi kesahihannya sama ada yang diriwayatkan secara lafaz mahupun secara makna adalah lebih jelas dan lebih kuat berbanding puisi-puisi atau prosa-prosa yang kadang-kadang tidak dikenal langsung siapa penulisnya dan perawinya. Pada masa yang sama ia masih dijadikan sebagai sumber dalil yang muktabar di dalam bahasa dan tatabahasa Arab". Isu ini banyak dipakaikan oleh madrasah al-Kuffah.

Selamat mengkaji dan jangan pernah lelah kerana yakin bahawa Ilmu Allah sentiasa luas dan seandainya kita yakin dengan-Nya pasti Dia akan membantu kita. Insya-allah.

Wallahu 'alam. Semoga bermanfaat.

*Sebagai tambahan, boleh membaca lagi buku lain seperti Gharib al-Hadith oleh al-Harawiy, Gharib al-Hadith oleh Ibn Qutaibah, Min Balaghah al-Hadis oleh Abdul Fatah Lasyin, Al-Taswir al-Fanni fi Al-Hadith al-Sharif oleh Doktor Muhammad Lutfi al-Sabbaqh, 'Ijaz al-Quran wa al-Balaghah al-Nabawiyyah oleh Mustafa Sadiq, 'Irab al-Hadith al-Nabawi, Min Kunuz al-Sunnah oleh al-Sabuniy dan sebagainya. Mudahan bermanfaat.