Menolak 3 Dakwaan Dalam Mengkaji Sintaksis dan
 Retorika Bahasa Arab dalam Al-Sunah.
بسم الله الرحمن الرحيم
Mukadimah:
كَمَا أَرْسَلْنَا فِيكُمْ رَسُولًا مِّنكُمْ يَتْلُو عَلَيْكُمْ آيَاتِنَا وَيُزَكِّيكُمْ وَيُعَلِّمُكُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ
 وَيُعَلِّمُكُم مَّا لَمْ تَكُونُوا تَعْلَمُونَ
Maksud: (Nikmat berkiblatkan Kaabah yang Kami berikan kepada kamu itu), samalah seperti (nikmat) Kami mengutuskan kepada kamu seorang Rasul dari kalangan kamu (iaitu Muhammad), yang membacakan ayat-ayat Kami kepada kamu, dan membersihkan kamu (dari amalan syirik dan maksiat), dan yang mengajarkan kamu kandungan Kitab (Al-Quran) serta Hikmat kebijaksanaan, dan mengajarkan kamu apa yang belum kamu ketahui.(al-Baqarah:151)

Nabi Muhammad sollahu'alaihiwasallam ialah utusan Allah azza wajalla. Baginda merupakan penghulu segala para nabi. Keistimewaan baginda sollahu'alaihiwasallam melebihi para nabi yang terdahulu. Keistimewaan baginda sollahu'alaihiwasallam merangkumi segala aspek seperti kata-kata yang indah dan bijaksana, memiliki perwatakan yang hebat, sifatnya yang budiman serta fizikal yang sempurna.

Segala ungkapan, perbuatan, pengakuan, sifat dan budi pekerti baginda sollahu'alaihiwasallam adalah wahyu dan menjadi sumber utama peradaban dan keilmuwan yang pelbagai bidang. Para ulama' menamainya sebagai al-Sunah. Al-Sunah merupakan sumber utama selepas al-Quran kalam Allah azza wajalla. Dan tidaklah baginda sollahu'alahiwasalam berbicara melainkan wahyu daripada Allah azza wajalla.

Dalam penulisan kali ini, penulis akan membahaskan satu isu yang sangat penting dalam al-Sunah iaitu dakwaan bagi mengkaji al-Sunah dari sudut sintaksis dan retorika Bahasa Arab. Ada 3 perkara utama dalam membahaskan isu ini yang pertama, bahawa perawi hadis yang bukan daripada kalangan Arab, kedua ialah martabat kesahihan hadis dan yang ketiga riwayat al-Sunah dari segi makna.

3 isu ini sangat penting khususnya bagi para pengkaji al-Sunah dari sudut sintaksis dan retorika Arab kerana telah timbul isu yang diungkit kembali sebahagian sarjana sintaksis dan retorika Arab ini bahawa al-Sunah tidak boleh dijadikan hujah dalam kajian bahasa tersebut.

Maka penulisan yang ringkas ini, penulis cuba sedaya upaya memberikan penjelasan yang asas kepada para pembaca khususnya para pengkaji al-Sunah dari sudut sintaksis dan retorika Arab agar tidak ragu dan gentar untuk mengkaji bidang ini.

Isu pertama: Perawi bukan daripada kalangan Arab.

Perawi ialah meriwayatkan hadis dan menyampaikan hadis. Ya benar, memang terdapat perawi yang bukan daripada kalangan Arab dan memang tercatat dalam sejarah periwayatan al-Sunah hal ini namun nisbah dan peratusannya tidaklah tinggi dan syarat sangat ketat dikenakan kepada perawi al-Mawali. Muhammad al-Sabbaqh dalam bukunya al-Hadith al-Nabawi telah mengkaji hal ini dan menyenaraikan jumlah perawi yang bukan daripada kalangang arab.

1.    Jumlah tabi'in yang meriwayatkan hadith dari kelompok Basrah seramai 433 orang. 71 orang daripada mereka terdiri dari kalangan al-Mawali. Ini bererti nisbahnya ialah 84% orang Arab dan 16% al-Mawali.
2.   Jumlah tabi'in yang meriwayatkan hadith dari kelompok Madinah ialah seramai 504 orang, 147 orang darinya bukan Arab yang nisbahnya ialah 70% orang Arab dan 30% al-Mawali.
3.   Jumlah tabi'in yang meriwayatkan hadith dari kelompok Mekah ialah seramai 131 orang, 22 orang darinya Al-Mawali. Ini bermakna nisbahnya 83% orang Arab dan 17% al-Mawali.
Nisbah ini menunjukkan bahawa perawi daripada kalangan Arab lebih ramai daripada al-Mawali dan apabila mereka meriwayatkan hadis, mereka akan meriwayatkan hadis yang shahih dan martabat kesahihan hadis akan dibincangkan dalam penulisan lain yang lebih terperinci namun penulis akan membincangkannya pada isu kedua. Cuma apa yang penting, Peratusan ini jelas menunjukkan kepada kita bahawa perawi Arab lebih ramai daripada perawi al-Mawali.

Isu kedua: Martabat kesahihan al-Sunah.

Dalam seminar wacana sintaksis dan sastera Bahasa Arab di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia kali ke-7. Prof Nesreldin Ibrahim Ahmad Husin telah menggariskan panduan yang sangat sistematik dan tersusun ketika membahaskan kajian al-Sunah dari sudut sintaksis dan retorika Arab. Ini dinamao sebagai metodologi retorika al-Sunah

Sebagai contoh hadis dibawah:

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم:إنَّ الحلالَ بيِّنٌ وإنَّ الحرامَ بيِّنٌ، وإنَّ بينَ ذلِكَ أمورًا مشتبِهاتٍ
Maksud: Nabi Muhammad Sollahu’alaihiwasallam bersabda: “Sesungguhnya Halal itu jelas dan haram itu jelas dan Sesungguhnya di antara kedua perkara itu ada kesamaran…(Sahih Nasaie dan Hadis Shahih)

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: إن الحلال بين والحرام بين وإن بين ذلك أمور مشتبهات
Maksud: Nabi Muhammad sollahu’alahiwasallam bersabda: “Sesungguhnya Halal itu jelas dan Haram itu jelas dan diantara dua perkara itu ada kesamaran…(Shahih Nasaie dan Hadis Shahih)

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: الحلالُ بيِّنٌ والحرامُ بيِّنٌ وبينَ ذلِكَ أمورٌ مشتبِهاتٌ
Maksud: Nabi Muhammad sollahu’alahiwasallam bersabda: Halal itu jelas dan Haram itu jelas dan diantara dua perkara itu ada kesamaran.(Shahih al-Tirmiz, Hadis Shahih)

3 hadis ini adalah shahih oleh al-Imam al-Hadis. Cuma persoalan di sini, bagaimana kita hendak megukur dan menilai hadis berikut dalam kajian perbahasan sintaksis dan retorika Arab. Perbahasan hadis ini sangat panjang walaubagaimanapun penulis cuba meringkaskannya. Hadis pertama ialah yang paling tepat dalam mengkaji al-Sunah dari sudut sintaksis dan retorika Arab kerana ada beberapa sebab:

-          Penggunaan huruf pengukuhan iaitu huruf (Inna taukid) untuk yang halal dan yang haram
-          Didahulukan yang halal daripada yang haram. Ini dinamai inversi perkataan atau istilahnya taqdim al-Syaraf.
-          Penggunaan huruf wau iaitu penyambung ayat. Ini bermaksud ayat yang pertama berbeza dengan ayat kedua. Maksudnya, ayat mengenai halal satu ayat manakala ayat untuk haram satu ayat. Maksudnya, tidaklah sesuai dan padan untuk menyatukan perkara yang baik dengan buruk seperti syurga dan neraka, pahala dan dosa dan begitulah halal dan haram.
-          Ketiga-tiga hadis semua di atas adalah  shahih dan benar namun untuk mengkaji al-Sunah dari segi sintaksis dan retorika mempunyai metodologi yang tertentu. Begitu juga dalam hal lain seperti isu al-Qiraat, semua al-Qiraat al-Asyarah atau saba'ah adalah tepat namun kita memilih yang mana lebih kuat dan lebih tepat dari segi makna dan lafaz dan ianya bersesuaian dengan konteks. Memilih yang mana lebih kuat ini dibahaskan dan dipraktikkan al-Zamakshari dalam tafsirnya al-Kasyaf.
Oleh itu, tidaklah timbul isu martabat hadis. Para pengkaji harus meneliti kesahihan hadis dan selepas itu baru mengkaji dari segi sintaksis dan retorika Arab. Ini juga berlaku dalam bidangn fiqh, aqidah, akhlak, muamalat, politik dan sebagainya.

Isu Ketiga: Riwayat al-Sunah dari segi makna.

Isu ini sudah dibahaskan oleh ramai ulama' hadis dan mereka membahaskan begitu terperinci. Dalam penulisan ini, saya  hanya menukilkan pandangan al-Suyuti sahaja kerana dikatakan bahawa al-Suyuti di antara ulama' yang pada awalnya menolak al-Sunah sebagai dalil dalam perbahasan ilmu bahasa ini namun setelah beliau membuat penelitian akhirnya beliau menjadikan al-Sunah sebagai salah satu hujah dan dalil dalam ilmu Bahasas Arab.

Bagi menjelaskan isu riwayat al-Sunah dari segi makna ini, al-Suyuti telah meletakkan garis panduan yang sangat teliti dalam bukunya al-Muzhir iaitu:

-          Memastikan ia diriwayat daripada orang Arab yang fasih dengan sanad yang shahih.
-          Sanad dan para perawinya mestilah bersifat adil mengikut penilaian agama.
-   Perawi mestilah meriwayatkannya secara langsung daripada sumber-sumbernya yang muktabar.
-          Para perawi yang lain pula mestilah mendapatkannya atau mendengarnya secara langsung daripada perawi yang asal atau sebelumnya.
Syarat yang ketat ini menjadikan displin ilmu dalam riwayat dari segi makna sangat susah dan perlukan kepada penelitian yang mendalam dan bukan sebarangan orang yang boleh meriwayatkan hadis dengan makna.

Muhammad al-Sabbaqh dalam bukunya menegaskan bahawa hanya para sahabat sahaja yang boleh meriwayatkan hadis dengan makna

Kesimpulan.

Al-Sunah sudah terbentang dihadapan kita, pelbagai buku yang merekodkan hadis seperti shahih al-Bukari dan Muslim, kitab sunan seperti sunan Abu Daud, Sunan al-Tirmizi, sunan Ibn Majah dan sunan al-Nasaie dan sebagainya. Kalau dahulu mungkin sedikit keterbatasan waktu dan ilmu yang besar namun sekarang, mudah bagi pengkaji untuk mengkaji sesuatu ilmu khususnya kajian al-Sunah dari segi sintaksis dan retorika Arab.

3 isu yang dimainkan beberapa tokoh sarjana ilmu itu boleh dibahaskan dan ia membuktikan lagi bahawa hujah dan dalil mereka tidaklah kuat dan sangat rapuh.

Sebagai contoh lain, konon dakwaan mereka para ulama' dahulu tidak menjadikan al-Sunah sebagai hujah adalah satu dakwaan yang tidak berasas. Penulis memberikan contoh Sibawaih dalam bukunya Al-Kitab telah menukilkan 15 hadis, perkara ini dikaji dalam buku:
 "شرح كتاب سيبويه لابن خروف تحقيقه خليفة محمد خليفة بربري"

Sebagai penutup kalam, penulis menukilkan kata-kata Muhammad al-Sabbagh:"Al-Sunah dari segi kesahihannya sama ada yang diriwayatkan secara lafaz mahupun secara makna adalah lebih jelas dan lebih kuat berbanding puisi-puisi atau prosa-prosa yang kadang-kadang tidak dikenal langsung siapa penulisnya dan perawinya. Pada masa yang sama ia masih dijadikan sebagai sumber dalil yang muktabar di dalam bahasa dan tatabahasa Arab". Isu ini banyak dipakaikan oleh madrasah al-Kuffah.

Selamat mengkaji dan jangan pernah lelah kerana yakin bahawa Ilmu Allah sentiasa luas dan seandainya kita yakin dengan-Nya pasti Dia akan membantu kita. Insya-allah.

Wallahu 'alam. Semoga bermanfaat.

*Sebagai tambahan, boleh membaca lagi buku lain seperti Gharib al-Hadith oleh al-Harawiy, Gharib al-Hadith oleh Ibn Qutaibah, Min Balaghah al-Hadis oleh Abdul Fatah Lasyin, Al-Taswir al-Fanni fi Al-Hadith al-Sharif oleh Doktor Muhammad Lutfi al-Sabbaqh, 'Ijaz al-Quran wa al-Balaghah al-Nabawiyyah oleh Mustafa Sadiq, 'Irab al-Hadith al-Nabawi, Min Kunuz al-Sunnah oleh al-Sabuniy dan sebagainya. Mudahan bermanfaat. 

Comments (0)