Showing posts with label Spritualisme. Show all posts
Showing posts with label Spritualisme. Show all posts
Hidup ini dugaan ataupun nikmat?

Kadangkala hidup di dunia ini tidak semudah yang kita sangkakan. Ada ketikanya apa yang diharapkan tidak dicapai, apa yang diimpikan tidak dikecapi, apa yang dihajati tidak dimiliki dan pastinya tidak semua apa yang kita mahu kita dapat. Inilah takdir Yang Maha Illahi seolah-olah sang hamba tidak ada pilihan.

Dunia hanyalah sebuah persinggahan,

Jadi, setiap hamba-hamba-Nya mesti mencari bekalan di akhirat namun ada ketikanya kesempitan di dunia memberikan kita rasa sesuatu kesempitan seolah-olah kita tidak ada nikmat dunia yang kita harapkan dan hanyalah perlu menunggu kehidupan abadi di sana untuk memiliki segala kenikmatan dan kemewahan. Perasaan sebegini ini barangkali boleh memberikan rasa kecewa, putus-asa dan hilang harapan untuk hidup di dunia demi mencari bekalan di sana. 

Kita lihat ada manusia kais pagi makan pagi, kasi petang makan petang, kerja siang malam berpeluh keringat untuk mencari rezeki seisi keluarga. Ada juga yang kita melihatnya tidak ada apa-apa kenikmatan di dunia yang dapat dia kecapi dan miliki. Apakah perasaan dia? Berdukakah atau kecewakah? Ini permainan was-was dan ragu-ragu yang sentiasa menghantui jiwa dan raga setiap insan yang bernafas di muka bumi ini.

Hidup ini,
Bukanlah susah namun ada kalanya Dia menguji hamba-hamba-Nya sebagai tanda keimanan dan kasih sayang. Ya benar, itu satu perkara namun kadangkala kesempitan dan kurang kemewahan dunia membuatkan seseorang itu rasa sempit dan kecewa. Dia melihat orang lain dengan hati yang luhur dan luluh kerana dia tak dapat memiliki apa yang orang lain miliki. Dia mengimani semua kalam-kalam Allah azza wajalla namun hati kecil nurani itu sentiasa berbolak-balik dan meronta-ronta mencari jalan keluar dalam memahami erti kehidupan yang sebenarnya.

Hidup ini dugaan ataupun nikmat?

Setiap daripada kita ada jawapan disebalik persoalan yang diutarakan. Ketika diuji barangkali ada yang mengatakan ini dugaan, barangkali ada juga menyebut ini juga satu kenikmatan. Kedua-duanya ada kebenaran berdasarkan konteks dan cara kita menghadapinya. Yang menjadi permasalahan di sini adalah bagaimana kita menghadapinya? Ini betul-betul memerlukan pengorbanan, kesabaran, kesungguhan dan keimanan yang kuat untuk menghadapinya akan tetapi sekuat mana keimanan dan sifat yang ada pada individu sedikit-sebanyak juga boleh menggoncang jiwa dan menggoyah kalbu cuma sama ada pendam ataupun luahkan.

Hidup ini sementara, 

Kita pilihlah jalan kanan ataupun kiri, jalan depan atau belakang, baik atas mahupun bawah, setiap sudut kita bebas memilihnya. Walaubagaimanapun jalan yang kita pilih itu ada waktunya benar ada masanya salah. Tidak semua apa yang kita rasa benar itu benar dan salah itu salah bahkan kadang-kadang apa yang kita rasa salah itulah benar dan benar itulah salah. Pilihan Sang Hamba seolah-olah tidak ada pilihan melainkan menempuhi jalan mengikut arus angin dan menghadapi badai ombak semampu yang mungkin.

Oh kehidupan. 

Mengapakah kita hidup? Menjadi hamba dan pemimpin. Ianya satu tanggungjawab yang sangat besar. Kadang-kadang rasa mahu sahaja memejamkan mata buat selamanya sebelum usia mencecah hukum taklifi supaya tidak ada dosa lantas terus dimasukkan ke syurga Allah yang indah di mana dibawahnya mengalir air sungai yang sangat jernih, dalamnya ada bidarari yang jelita, taman-taman yang bersih dan damai, makanan yang lazat dan minuman yang menyelerakan. Hakikatnya, tidak seperti yang kita mahu kita dapat kerana kita sudah hidup bahkan ada mencecah usia matang dan usia yang senja dan terus dan perlu menggalas dua amanah yang sangat berat iaitu menjadi hamba dan pemimpin.

Kehidupan segeralah berakhir. 

Sampai waktunya, kita tidak perlu memerlukan amanah sebagai hamba, pemimpin dan kita tidak perlu memikirkan lagi tujuan hidup, kita juga tidak perlu rasa resah dan ragu-ragu dengan kehendak-Nya, kita juga tidak lagi rasa tersepit dengan dugaan dan cabaran, kita juga tidaklah hanyut dalam kemewahan yang melalaikan. 

Berakhirlah kehidupan.

Firman Allah azza wajalla dalam surah Maryam ayat ke-80:

Dan kami akan warisi (harta benda dan anak-pinak) yang dikatakanna itu, dan ia akan datang kepada kami dengan seorang diri.

(Ayat ini saya baca pada pagi tadi dan teringat satu peristiwa 5 tahun yang lalu di masjid UIAM Gombak, pada waktu maghrib, Imam membaca ayat ini dan ketika itu saya tidak faham mengapa ramai sangat orang menangis, usai solat, saya mencari sahabat saya Moaz Sudani, saya bertanya kepada dia, dia pun memberitahu kepada saya). 

Hati saya tersentuh dan sedih kalau membaca ayat ini kerana ayat ini ada berkait rapat dengan ayat surah 'Abasa.

Wallahu a'lam dari nukilan hati.

Manusia tidak telepas daripada buat dosa.
Bismillah,
Pangkal segala kebaikan,
Permulaan segala urusan penting,
Dan dengannya juga
Kita memulai segala urusan. –Badiuzzaman Said Nursi-
Mukadimah
Manusia mana yang tidak pernah membuat kesilapan dan kesalahan. Manusia mana yang tidak pernah membuat dosa baik secara sengaja mahupun tidak sengaja. Sama ada dosa itu dosa besar mahupun dosa kecil.  
Andai manusia itu acap kali melakukan dosa, apakah telah tertulis selamanya bahawa dia pendosa dan dia tidak akan mendapat keampunan daripada Yang Maha Pengampun. Apakah dia tidak layak mengucup pintu syurga? Apakah dia hanya layak ke neraka jahanam.
Betapa cepat manusia menghukum dan menjadi tuhan andai seseorang melakukan dosa. Tatkala apabila dia melihat seorang penzina dikatanya neraka tempatnya. Apabila dia melihat seorang pencuri dikata juga neraka tempatnya. Apabila dia melihat seorang yang memegang bible dikatakan kafir.
Akhirnya, manusia menggantikan tempat tuhan. Menghukum sesuka hatinya. Tanpa disoal selidik dan bicara. Hanya baginya, dia sahajalah yang soleh. Dia sahajalah yang alim. Dia sahajalah yang sempurna. Dialah segalanya. Seolah-olah syurga dan neraka itu harta dia. Sungguh busuk hatinya dan buruk akhlaknya. Semoga kita semua mendapat hidayah daripada Yang Maha Petunjuk.
Tidakkah dia menghayati firman Allah azza wajjala dalam surah an-Nisa’ ayat ke-48:
إِنَّ اللَّهَ لَا يَغْفِرُ أَن يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَٰلِكَ لِمَن يَشَاءُ ۚ وَمَن يُشْرِكْ بِاللَّهِ فَقَدِ افْتَرَىٰ إِثْمًا عَظِيمًا
Maksudnya: Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu apajua), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan SyariatNya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar.
Hanya syirik sahajalah yang tidak diampukan oleh Allah azza wajalla. Meskipun begitu, para ulama’ ada menyebut, seandainya seseorang itu pernah melakukan syirik dan dia sempat kembali bertaubat, nescaya Allah azza wajalla juga akan mengampunkan dosa itu.
Namun, ada beberapa kumpulan pelampau yang angkuh untuk menggantikan tempat tuhan seperti muktazilah dan khawarij.
 Muktazilah yang diasaskan oleh Wasil bin Atho’ yang lahir pada tahun 80H dan meninggal 131H telah membuat penafsiran berdasarkan akal dan hawa nafsu. Menurut dia, sesiapa yang melakukan dosa besar, dia tidak akan dimasukkan ke dalam syurga mahupun neraka namun dia akan berada di pertengahan di antara kedua itu. Al-Imam al-Basri telah menyanggah pendapat yang sesat itu!
Khawarij, satu kumpulan pada asalnya taat dan setia terhadap kepimpinan dan pemerintahan Saidina Ali namun akhirnya telah berpaling kerana tidak bersetuju dengan Saidina Ali atas peristiwa tahkim selepas peperangan Siffin. Mereka telah melawan Saidina Ali.
Kedua-dua contoh di atas menjelaskan kepada kita bahawa tidak selayaknya kita menjadi tuhan dan menghukum mengikut hawa nafsu. Sesiapa sahaja tidak terlepas daripada melakukan dosa. Mengikut kefahaman mereka, apabila telah melanggar syariat, maka neraka adalah tempatnya. Sedangkan fahaman yang dipegang mereka juga adalah tidak benar.
Tazakkur iaitu peringatan daripada kisah Nabi Adam alahihissalam.
Ketika mana Allah azza wajalla sudah melantik Nabi Adam alahissalam menjadi khalifah. Itu adalah satu tanda kemuliaan yang agung di sisi-Nya dan membuktikan kebesaran-Nya kerana Dia mampu menjadikan apa sahaja yang Dia inginkan.
Allah azza wajalla mengangkat khalifah daripada kalangan manusia untuk mengurus dan menjaga kuasa-Nya.
Nabi Adam alahissalam dikurniakan seorang isteri yang sangat cantik dan indah budi pekertinya iaitu Hawa. Mereka berdua hidup bahagia bersama. Berkongsi kasih sayang dan itulah fitrah suami isteri. Lumrah juga bagi sebuah pasangan yang baru disatukan hati. Segalanya halal dari atas kepala hingga ke hujung jari. Selain itu, mereka juga menikmati segala kenikmatan yang ada di dalam syurga. Segalanya apa yang dihajatkan terus tersembah dihadapan mereka melainkan satu.
Bagaimanakah keadaan seseorang di Akhirat kelak?
Cubalah kita menghayatinya beberapa kalam dari Sang Pengasih. Sungguh Dia Maha Pengampun dan Maha Penyayang. Sungguh Dia tidak menzalimi dan sentiasa adil kepada para hamba-Nya.
Ketika saya dan seorang sahabat diberi amanah untuk membentang satu bab daripada ilmu balaghah tentang Tashbih fi al-Quran dalam kelas Balaghah fi al-Quran wa al-Hadis bersama Dr. Ustaz Anwar bin Ahmad, beberapa potongan ayat itu saya tidak mampu untuk meneruskan perbahasannya kerana ia terlalu berat bagi saya untuk berbahas mengenainya kerana ia terkait dengan perasaan kasih, sayang, cinta dan rindu.
Benar, apabila seseorang itu mencintai seseorang dengan sepenuh jiwa raganya, maka seseorang itu ingin bersamanya sampai ke syurga bermula cinta itu terhadap cinta ibu bapanya, cinta kepada isteri dan anak-anaknya, cinta kepada adik-beradik dan juga cinta kepada sanak saudaranya.
Pertama, Firman Allah SWT dalam surah al-Qamar ayat ke-7:
خُشَّعًا أَبْصَارُهُمْ يَخْرُجُونَ مِنَ الْأَجْدَاثِ كَأَنَّهُمْ جَرَادٌ مُّنتَشِرٌ
Maksudnya: "(Pada saat itu) masing-masing dengan keadaan menundukkan pandangannya kerana ketakutan keluar dari kubur seperti belalang yang terbang bertebaran."

Inilah perumpamaan keadaan kita pada Hari Khiamat kelak. Allah SWT telah memberi kiasan belalang-belang dengan para umat nanti. Bukan itu sahaja, jika kita memerhatikan kehidupan belalang pada musimnya sekitar bulan 11, mereka akan keluar beramai-ramai mencari rezeki di kebun jagung dan padi. Bersepah-sepah sehingga jumlahnya tidak terkira.
Begitulah para umat di Hari Khiamat kelak. Menyibukkan diri dalam keadaan terumbang-ambing mencari amalan walaupun sekecil zarrah untuk diselamatkan api neraka yang panas membakar.
Cuba kita renungkan pada zaman sekarang. Apabila kita mengalami kesesakan lalu lintas pun sudah terasa lemas. Cubala menaiki Monorail pada jam 5 hingga 6 petang dari Kl Sentral ke Gombak, anda akan terasa kepanasan, berbau, lemas, dan sebagainya. Ini baru dunia apatah lagi Akhirat.
Kedua, begitu juga Firman Allah SWT dalam surah ad-Dukhan ayat ke-41:
يَوْمَ لَا يُغْنِي مَوْلًى عَن مَّوْلًى شَيْئًا وَلَا هُمْ يُنصَرُونَ
Maksudnya: "Iaitu hari itu, seseorang kerabat atau sahabat karib tidak dapat memberikan sebarang perlindungan kepada seseorang kerabat atau sahabat karibnya, dan mereka pula tidak akan diberikan pertolongan (untuk menghapuskan azab itu),” 

Apabila tibanya Hari itu, kita menyangka bahawa kaum Kerabat dan teman seperjuangan di sini akan membantu kita seperti yang sekarang, bersama-sama menuntut ilmu, membuat kerja berkumpulan dan sebagainya tetapi keadaan ini tidak sama pada Hari itu. Allah sahajalah tempat perlindungan.
Apa lagi kehidupan yang kita dambakan. Kenapa kehidupan di dunia yang menjadi sasaran. Berlumba-lumba mencari harta yang banyak. Berkenalan dengan ramai orang terutama bangga bila dapat kenal dengan orang yang berpangkat dan ternama. Apakah itu akan membantu kita di sana kelak? Fikirkanlah…
Ketiga, Sekali lagi, Firman Allah SWT dalam surah al-Mujadilah ayat ke-17:
لَّن تُغْنِيَ عَنْهُمْ أَمْوَالُهُمْ وَلَا أَوْلَادُهُم مِّنَ اللَّهِ شَيْئًا ۚ أُولَٰئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ ۖ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ
Maksudnya: "harta benda mereka dan anak pinak mereka tidak sekali-kali akan dapat memberikan sebarang pertolongan kepada mereka dari azab Allah. Merekalah ahli neraka, mereka tetap kekal di dalamnya.
Begitulah saat-saat kita yang tidak ada harta yang boleh membeli segala kesenangan di Akhirat kelak tidak juga umat yang boleh membantu kita dan apa yang paling malang ialah jika kita termasuk dalam golongan kuffar yang akan dicampak ke dalam api neraka yang panas menggelegak.
Yang terakhir, ayat ini sungguh memberikan satu tamparan yang hebat buat penulis, pernah satu hari Dr. Ustaz Radhwan Jamal bertanya, apakah terdapat ayat di dalam al-Quran yang paling-paling kamu suka sehingga kamu terkesan padanya? Satu persoalan yan cukup berat. Pada ketika itu, tidak siapa yang berani menjawab dan kebannyakkannya menundukkan kepala. Pada hari itu juga, boleh dikatakan hari-hari yang sangat sayu. Secara tak semena, terlintas satu kalam Firman Allah SWT dalam surah 'Abasa ayat ke-34 hingga ke 37:
يَوْمَ يَفِرُّ الْمَرْءُ مِنْ أَخِيهِ، وَأُمِّهِ وَأَبِيهِ، وَصَاحِبَتِهِ وَبَنِيهِ، لِكُلِّ امْرِئٍ مِّنْهُمْ يَوْمَئِذٍ شَأْنٌ يُغْنِيهِ
Maksudnya: "Pada hari seseorang itu lari dari saudaranya, Dan ibunya serta bapanya, Dan isterinya serta anak-anaknya; Kerana tiap-tiap seorang dari mereka pada hari itu, ada perkara-perkara yang cukup untuk menjadikannya sibuk dengan hal dirinya sahaja." Apakah ada waktu untuk dipertemukan lagi pada Hari Kebangkitan itu?
Gementar hati, berpeluh tubuh membasahi keringat, awan yang cerah terasa mendung, angin sepoi-sepoi bahasa menukar rentaknya menjadi angin kencang dan segala wajah-wajah terus terpampang dalam fikiran. Tertanya-tanya, apakah tidak ada peluang untuk bersama mereka. Apakah cara yang boleh bersama mereka. Bagaimana ibu bapa boleh mencari jalan. 1001 persoalan  terus bermain-main dalam benak fikiran.
Sungguh, apa lagi yang kita mahu harapkan. Sungguh, apa lagi harapan yang kita ingin kejar. Sungguh, apa lagi impian yang perlu dicapai jika tidak untuk bersama dengan orang yang kita cintai di Sana kelak.
Kalam Allah SWT mengetuk hati bagi sesiapa yang ingin mahukan kebenaran. Masih ada ruang dan peluang bertaubat. Tiada ada manusia yang tidak pernah membuat silap. Mengharapkan rahmat Allah SWT untuk menghapuskan dosa-dosa yang lalu dan menutup segala keaiban.
Mudah-mudah diberikan peluang, ruang dan kesempatan.
Wallahu a’lam.


Usrah Qiyadah Pkpim
29 Mac 2016.
Cucms, Putrajaya.
“Kemanisan Dalam Ujian Kehidupan”.
(Surah al-Ankabut 1-7)
Surah al-Ankabut diturunkan di Mekah. 69 ayat.

بسم الله الرحمن الرحيم.

الم،أَحَسِبَ النَّاسُ أَن يُتْرَكُوا أَن يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَ (1-2)

Alif, Laam, Miim. Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?

وَلَقَدْ فَتَنَّا الَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ ۖ فَلَيَعْلَمَنَّ اللَّهُ الَّذِينَ صَدَقُوا وَلَيَعْلَمَنَّ الْكَاذِبِينَ (3)

Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahui-Nya tentang orang-orang yang berdusta.

أَمْ حَسِبَ الَّذِينَ يَعْمَلُونَ السَّيِّئَاتِ أَن يَسْبِقُونَا ۚ سَاءَ مَا يَحْكُمُونَ (4)

Bahkan patutkah orang-orang yang melakukan kejahatan menyangka bahawa mereka akan terlepas dari azab Kami? Amatlah buruk apa yang mereka hukumkan itu.

مَن كَانَ يَرْجُو لِقَاءَ اللَّهِ فَإِنَّ أَجَلَ اللَّهِ لَآتٍ ۚ وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ (5)

Sesiapa yang percaya akan pertemuannya dengan Allah (untuk menerima balasan), maka sesungguhnya masa yang telah ditetapkan oleh Allah itu akan tiba (dengan tidak syak lagi); dan Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

وَمَن جَاهَدَ فَإِنَّمَا يُجَاهِدُ لِنَفْسِهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ لَغَنِيٌّ عَنِ الْعَالَمِينَ (6)

Dan sesiapa yang berjuang (menegakkan Islam) maka sesungguhnya dia hanyalah berjuang untuk kebaikan dirinya sendiri; sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatupun) daripada sekalian makhluk.

وَالَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَنُكَفِّرَنَّ عَنْهُمْ سَيِّئَاتِهِمْ وَلَنَجْزِيَنَّهُمْ أَحْسَنَ الَّذِي كَانُوا يَعْمَلُونَ (7)

Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh sesungguhnya Kami akan hapuskan dari mereka kesalahan-kesalahan mereka, dan Kami akan membalas apa yang mereka telah kerjakan – dengan sebaik-baik balasan.

Huraian:-

Sebelum saya menghuraikan penafsiran ayat al-quran. Seperkara yang saya ingin kongsikan kepada kalian pengenalan umum tentang surah ini. Saudara Khair Sujud menyebutkan bahawa surah ini membuktikan Allah SWT mengiktiraf semua makhluk yang ada di bumi yang dijadikan-Nya. Ternyata kebuktiannya itu seperti surah al-Ankabut yang mana maknanya ialah Labah-Labah. Selain itu, terdapat surah an-Naml iaitu Semut, 
al-Baqarah iaitu Lembu Betina, al-An’am iaitu haiwan ternakan dan lain-lain lagi.

Selain itu juga, ayat 1-7 dalam surah al-Ankabut ini memberikan satu gambaran umum iaitu menurut Fazril Salleh masalah juga adalah makhluk Allah dan ianya merupakan sunnatulullah. Beliau menambah lagi dengan melontarkan 1 persoalan iaitu bagaimana seorang muslim yang beriman mampu menghadapi dan menangani masalah yang dihadapinya. Maka, cara itu terdapat di dalam surah al-Ankabut ayat 1-7.

1.      Ayat pertama, Imam Ibnu Kathir menukilkan banyak riwayat dan yang paling rajih alim lam mim adalah salah satu daripada nama al-quran. Ada juga yang menyatakan bahawa ianya salah satu dari nama Allah. Al-Imam al-Zamakshari menyebut bahawa Al-Quran  yang dimulai dengan huruf ada 29 tempat seperti Qaf, Shad, Alim Lam Mim Ra. Setiap huruf, perkataan dan semua yang terdapat di dalam al-quran kita wajib mengimani 100% kerana al-quran ini adalah kalam Allah dan Mukjizat nabi Muhammad SAW. Firman Allah di dalam surah al-Baqarah ayat ke-2 yang menjelaskan kepada kita bahawa al-quran ini tiada keraguan padanya. Ini adalah pegangan ahli sunnah wal jamaah bahawa Al-quran lengkap dan kekal selamanya kerana Allah menjanjikan akan memeliharanya selama-lamanya. Terdapat beberapa golongan yang mengatakan bahawa al-quran ini belum lengkap. Ada juga yang menyebut ada beberapa perkataan dalam al-quran telah dibuang. Ini merupakan fahaman songsang dan terpesong dari ajaran islam. Semoga Allah melindungi umat islam yang beriman dan menjaga agama Allah ini.

2.      Ayat kedua pula memulai dengan satu persoalan yang harus bagi setiap umat islam memikirkannya. Terdapat satu kaedah dalam ilmu Bahasa Arab disebut istifham inkari atau istifham ta’ajubi yang membawa maksud memberi pertanyaan tanpa ada jawapan. Banyak uslub ini terdapat di dalam al-quran supaya umat islam mengkoreksi diri dan mengenal makna diri dalam mencari keredhaan Allah. Pertanyaan itu menjadikan satu persoalan untuk kita melakukan sesuatu supaya dimasukkan ke dalam syurga Allah. Tiada umat pada zaman ini yang boleh mengatakan bahawa dia akan masuk syurga namun usaha ke arah itu menampakkan seseorang itu akan dimasukkan syurga. Pada zaman nabi Muhammad SAW, Allah telah menjanjikan beberapa sahabatnya akan dimasukkkan ke dalam syurga seperti khulafa’ ar-Rasyidin. Oleh itu, beramalah dengan amalan-amalan yang soleh dan benar di sisi Allah kerana itu akan menjaminkan seseorang itu di masukkan ke dalam syurga. Insya-Allah.

Di dalam tafsir ibnu Kathir, beliau menyebut bahawa Allah SWT akan menguji hamba-hamba-Nya yang beriman berdasarkan keimanan mereka. Allah menegaskan lagi di dalam surah ali-al’imran ayat ke-142:

أَمْ حَسِبْتُمْ أَن تَدْخُلُوا الْجَنَّةَ وَلَمَّا يَعْلَمِ اللَّهُ الَّذِينَ جَاهَدُوا مِنكُمْ وَيَعْلَمَ الصَّابِرِينَ

“Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga padahal belum lagi nyata kepada Allah (wujudnya) orang-orang yang berjihad (yang berjuang dengan bersungguh-sungguh) di antara kamu, dan (belum lagi) nyata (wujudnya) orang-orang yang sabar (tabah dan cekal hati dalam perjuangan)?

Nabi Muhammad SAW bersabda:

أشد الناس بلاء الأنبياء ثم الصالحون ، ثم الأمثل فالأمثل ، يبتلى
الرجل على حسب دينه ، فإن كان في دينه صلابة زيد في البلاء "

 “Maknanya ialah, manusia yang paling berat memikul beban dan dugaan adalah para nabi kemudian orang yang shahlih, kemudiannya manusia yang seperti dan sepertinya. Allah akan menguji seseorang mengikut pada pegangan agamanya, jika dia kuat pegangan pada agama islam itu Allah akan bertambah lagi dugaan.”

Hadis ini menunjukkan bahawa peringkat keimanan setiap manusia dengan manusia sangat berbeza. Semakin banyak dia menerima dugaan semakin bertambah iman dan semakin dekat dia dengan Allah. Allah akan menguji mengikut kemampuan keimanannya. Bersama-sama kita bermuhasabah mengenai tingkat keimanan kita. Bersamalah kita berfikir sejauh mana kepergantungan kita kepada Allah. Jika kita meyakini bahawa kita orang yang beriman, kita pasti diuji dengan pelbagai ujian sama ada besar mahupun kecil.

Seperkara yang menarik harus kita hayati ialah perkataan فَتَنَ, يفتنون. Perkataan fitnah juga berambil daripada perkataan ini. Mungkin ada sebahagian dari kita yang memahami bahawa fitnah ini satu perkara yang negatif. Sebenarnya di dalam kamus arab seperti Lisan Arab oleh Ibn Manzour, beliau mennyebutkan bahawa fatana ini ialah menguji untuk menyucikannya. Maksud yang mudah ialah, apabila kita diuji, sebenarnya Allah ingin membersih dan menyucikan hati serta menambahkan keimanan dan rahmat-Nya. Maka jangan khuatir apabila kita difitnah kerana itu tandanya kita disayangi Allah. Jangan gusar hati andai ditimpa musibah setiap masa kerana itu tanda kecintaan Allah dan takutlah jika pada diri kalian jika tidak ada musibah atau dugaan yang menimpa kerana itu kemungkinan Allah membiarkan kita dalam kejahilan dan istidraj.

3.      Pada ayat ke-3 ini merupakan satu penegasan yang nyata kepada dua golongan. Golongan pertama yang benar-benar beriman dan golongan kedua ialah menipu atau hipokrit. Imam Ibn Kathir menyebut bahawa Allah SWT Maha Mengetahui apa yang telah berlaku dan akan berlaku serta Dia Maha Mengetahui setiap perbuatan yang dilakukan dan bagaimana dilakukan. Setiap hamba-hamba-Nya tidak dapat menyembunyikan walaupun dia berbisik di hati apatah lagi jika dia menzahirkan perkara yang baik dan buruk. Golongan pertama iaitu golongan yang beriman dengan Allah dan rasul-Nya. Mereka melaksanakan apa yang diperintah dan meninggalkan apa yang dilarang. Apabila mereka ditimpa musibah mereka redha dan berfikiran positif dengan apa yang berlaku adapun golongan kedua mereka berpura-pura beriman dengan Allah dan rasul-Nya tetapi pada hakikatnya mereka mengharamkan apa yang dihalakan dan menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah dan rasul. Kedua golongan ini akan mendapat tempat yang sesuai dengan keimanan dan ketaqwaan mereka kepada Allah. Jika beriman maka dimasukkan ke dalam syurga dan kufur akan diazab yang pedih.

Berapa ramai dalam kalangan kita yang benar-benar beriman dan beramal soleh? Adakah kita benar-benar menyakini akan perintah Allah dan melaksanakan segala suruhan-Nya. Adakah kita hanya di hadapan manusia sahaja kita melakukan kebaikan namun disebaliknya meninggalkannya. Tepuk dada tanya hati dimanakah tempat kita.

Tambahan pula, Ibn ‘Abbas membawa satu penafsiran dengan metodologi pentafsiran al-quran yang utama iatu dengan tafsir al-quran dengan al-quran. Beliau memetik satu ayat  daripada surah al-Baqarah ayat ke-143 untuk menerangkan lagi keberadaan bagi orang yang beriman yang menimpa dugaan dan cabaran:

وَكَذَٰلِكَ جَعَلْنَاكُمْ أُمَّةً وَسَطًا لِّتَكُونُوا شُهَدَاءَ عَلَى النَّاسِ وَيَكُونَ الرَّسُولُ عَلَيْكُمْ شَهِيدًا ۗ وَمَا جَعَلْنَا الْقِبْلَةَ الَّتِي كُنتَ عَلَيْهَا إِلَّا لِنَعْلَمَ مَن يَتَّبِعُ الرَّسُولَ مِمَّن يَنقَلِبُ عَلَىٰ عَقِبَيْهِ ۚ وَإِن كَانَتْ لَكَبِيرَةً إِلَّا عَلَى الَّذِينَ هَدَى اللَّهُ ۗ وَمَا كَانَ اللَّهُ لِيُضِيعَ إِيمَانَكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ بِالنَّاسِ لَرَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu. (Sebenarnya kiblat kamu ialah Kaabah) dan tiadalah Kami jadikan kiblat yang engkau mengadapnya dahulu itu (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi ujian bagi melahirkan pengetahuan Kami tentang siapakah yang benar-benar mengikut Rasul serta membenarkannya dan siapa pula yang berpaling tadah (berbalik kepada kekufurannya) dan sesungguhnya (soal peralihan arah kiblat) itu adalah amat berat (untuk diterima) kecuali kepada orang-orang yang telah diberikan Allah petunjuk hidayah dan Allah tidak akan menghilangkan (bukti) iman kamu. Sesungguhnya Allah Amat melimpah belas kasihan dan rahmatNya kepada orang-orang (yang beriman).

Ayat ini mengajar kita kita bahawa ujian dan dugaan pasti akan ditempuhi oleh umat islam terutamanya para pendakwah yang menyuruh kepada yang makruf dan mencegah yang mungkar. Para pendakwah yang beriman yang mengajak umat dalam mentauhidkan Allah merupakan satu cabaran yang besar dan berat. Inilah dinamakan sunnah Rasulullah yang mana pada 13 tahun dakwahnya, tugasnya adalah mentauhidkan seluruh umat untuk menyembah Allah yang Esa. Untuk memasuki taman-taman Allah, umat islam yang beriman pasti akan menghadapi segala macam dugaan dan cabaran baik besar mahupun kecil.

Di samping itu, ayat ini juga mengambarkan bahawa pentingnya kita belajar dari sejarah yang terdahulu. Saudara Fazril menyebut bahawa kita mesti bijak dalam memahami sejarah yang lalu kerana mereka sudah melaluinya dan mengambil iktibar supaya perkara yang sama tidak akan berulang lagi. Jika ada kekurangan maka ditambah dengan cara yang lebih tepat dengan berpandukan al-quran dan sunnah. Saya melihat bahawa sejarah umat terdahulu, kita harus belajar. Kita lihat bagaimana Nabi Nuh berdakwah kepada umatnya siang dan malam dan secara rahsia mahupun zahir. Kita perhatikan kisah perjuangan Nabi Ibrahim berdepan dengan raja Namrud dan ayahnya. Kita cuba renungi kesabaran Nabi Musa melawan Firaun. Kita hayati keteguhan keimanan Nabi Isa yang diuji sehingga umatnya yang ingin menyalibnya. Semestinya kita pelajari sejarah Rasulullah SAW dan para sahabat dalam mempertahankn aqidah sehingga umat sekarang dapat menikmati islam itu dengan aman dan sejahtera.

4.      Ayat ke-4 pula memberi pengajaran bahawa jangan kita ambil mudah dan berkeyakinan tinggi khususnya umat islam bahawa mereka akan dapat masuk syurga dengan jalan yang mudah tanpa amal yang soleh dan cabaran dalam menempuh dugaan hidup. Kita perhatikan bagaimana Rasullullah mendidik para sahabat sehingga mereka menjadi sebaik-baik umat dan dijanjikan syurga. Mereka menempuh jalan kehidupan yang berliku-liku. Mereka diboikot, diperangi, dibunuh, diseksa, diperang, dikurung, diperhamba, dihina dan sebagainya. Setiap waktu pasti ada sahaja dugaan yang menimpa mereka. Mereka tetap teguh pendirian dalam aqidah Allah. Hasilnya, mereka menjadi generasi yang terunggul. Mereka tetap bersabar dan kesabaran itu mendatangkan faedah-faedah yang lumayan bukan sahaja dunia malah di akhirat.

Maka, jalan itu juga akan dilalui oleh generasi zaman sekarang. Para pendakwah khususnya harus mencermati sunnah Rasulullah dan para sahabat dalam berdakwah, mendidik dan menyamapaikan ilmu. Islam datang dalam keadaan asing dan begitulah islam akan datang. Cara mungkin kuno dikatakan sebahagian umat tetapi ada rahsia yang boleh dipelajari dan mesti bertepatan dengan sunnah tersebut. insya-Allah.

5.      Ayat ke-5 pula, memberikan satu khabar gembira kepada orang yang beriman yang setelah penat lelah tempuhi segala onak dan duri. Maka orang beriman yang berjaya akan mendapat ganjaran disisi Allah namun syaratnya tetap ada. Keyakinan bukan hanya mengungkap dengan bibir semata-mata tetapi ia perlu dibuktikan dengan perbuatan. Perbuatan itu ialah amalan-amalan yang soleh dan sahih yang wajib seperti solat, berpuasa, zakat, haji dan sebagainya. Ayat ini juga sangat bertepatan dengan sunnah Rasulullah seperti mana firman Allah dalam surah al-Kahfi ayat ke-110:

قُلْ إِنَّمَا أَنَا بَشَرٌ مِّثْلُكُمْ يُوحَىٰ إِلَيَّ أَنَّمَا إِلَٰهُكُمْ إِلَٰهٌ وَاحِدٌ ۖ فَمَن كَانَ يَرْجُو لِقَاءَ رَبِّهِ فَلْيَعْمَلْ عَمَلًا صَالِحًا وَلَا يُشْرِكْ بِعِبَادَةِ رَبِّهِ أَحَدًا

Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang Satu; Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya".

Banyak amalan yang boleh kita lakukan. Jika kaya maka bersedekah. Jika ada kekuatan turun lapangan. Jika ada ilmu sampaikan. Segala macam bentuk kemahiran yang Allah anugerahkan kepada setiap umatnya dan pastinya setiap umat dengan umat yang lain ada perbezaan kemahiran yang tersendiri. Maka, lakukanlah dan hidup biar berjasa.

6.      Ayat yang ke-6, memberikan satu pengajaran bahawa bagi setiap yang berjihad di jalan Allah itu sebenarnya dia telah menolong diri sendiri kerana Allah telah menjanjikan bahawa setiap amalam kebaikan yang dilakukan pasti akan mendapat ganjarannya. Berjihad di jalan Allah melalui dua perkara iaitu dengan jiwa dan harta. Berjihad dengan jiwa iaitu menuntut ilmu, mendidik diri, mennsucikan hati dan berdakwah kepada kaum kerabat dan umat keseluruhannya. Berjihad dengan harta ialah menginfakkan harta di jalan Allah, bersedekah, memberi hadiah, membayar zakat mengikut kemampuan yang ada.

Berjihad di jalan Allah ini akan berterusan sehingga ke hari khiamat. Setiap saat dan dimana sahaja kita berada, perjuangan menegakkan kalimah Allah mesti dilaksanakan serta mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran. Perjuangan ini telah bermula sejak dari para anbiya’, setiap daripada mereka berusaha bersungguh-sungguh untuk mengajak umat untuk mengabdikan diri kepada Allah. Berjihad untuk mengangkat kalimah tauhid iaitu kalimah syahadah merupakan perkara utama yang harus dilaksanakan mengikut cara yang dilakukan oleh para rasul.

Sebahagian daripada kita ada yang mudah berputus asa dan cepat mengalah. ada yang pada permulaan jalan sudah patah balik. Ada juga bertahan sampai ke pertengahan jalan bahkan ada juga yang sentiasa istiqamah dalam perjuangan. Perlu kita ingat, walaupun kita katakan kita sudah berjuang di jalan Allah sudah lama namun jangan sesekali mengungkit kerana kekhuatiran amalan kita akan menjadi sia-sia. Amatlah malang dan rugi jika perkara seperti itu berlaku.

Kita jangan mudah menyerah dan cepat mengalah. segala usaha yang kita lakukan di jalan Allah pastinya akan membuahkan hasil yang baik. Oleh hal yang demikian, Allah memberi khabar gembira buat para pejuang yang berjihad di jalan Allah. Firman Allah di dalam surah Muhammad ayat ke-7:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن تَنصُرُوا اللَّهَ يَنصُرْكُمْ وَيُثَبِّتْ أَقْدَامَكُمْ

Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu berjasa kepada Allah nescaya Allah membalas jasa kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu.

Selain itu, Allah juga berfirman di dalam surah Fussilat ayat ke-46:

مَّنْ عَمِلَ صَالِحًا فَلِنَفْسِهِ ۖ وَمَنْ أَسَاءَ فَعَلَيْهَا ۗ وَمَا رَبُّكَ بِظَلَّامٍ لِّلْعَبِيدِ

Sesiapa yang mengerjakan amal soleh maka faedahnya akan terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang berbuat kejahatan maka bahayanya akan menimpa dirinya sendiri; dan Tuhanmu tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-hambaNya.

Bahkan Allah juga memuji dan menerima segala bentuk kebaikan walaupun sebesar zarrah. Allah sentiasa menilai amalam kebaikan hamba-hambaNya yang ikhlas. Firman Allah dala surah al-Zalzalah ayat ke-7:

فَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْرًا يَرَهُ

Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!

7.      Ayat ke-7 pula menerangkan kepada kita bahawa amalan yang baik dapat menghapuskan dosa-doa yang terdahulu bahkan dianugerah pahala dan ganjaran yang baik daripada Allah bahkan al-Imam Ibn-Kathir juga menyebut perkara ini bahawa Allah akan menganjari pahala kepada orang yang beriman yang beramal soleh dengan sebaik-baik ganjaran iaitu pahala serta menghapuskan  dosa-dosa. Ini membuktikan bahawa islam menititberatkan dalam melakukan amalan yang baik. Setiap umat tidak terlepas daripada melakukan dosa dan sebaik-sebaik dari mereka itu adalah orang yang bertaubat. Bertaubat juga boleh dilakukan dengan amalan-amalan yang baik kerana janji Allah bahawa amalan yang baik dapat menghapuskan dosa yang lalu. Berdakwah merupakan perkara yang baik. Mensucikan hati juga perkara yang baik. Membentuk peribadi muslim juga perkara yang baik bahkan menuntut ilmu adalah perkara yang baik. Jadi, sangat bertepatan dengan slogan “Dakwah, Tarbiyyah dan Alamiah” itu menganjurkan kita mengerjakan amalan yang soleh.Allah juga berfirman di dalam surah an-Nisa’ ayat ke-40:

إِنَّ اللَّهَ لَا يَظْلِمُ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ ۖ وَإِن تَكُ حَسَنَةً يُضَاعِفْهَا وَيُؤْتِ مِن لَّدُنْهُ أَجْرًا عَظِيمًا

Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali menganiaya (seseorang) sekalipun seberat zarah (debu). Dan kalaulah (amal yang seberat zarrah) itu amal kebajikan, nescaya akan menggandakannya dan akan memberi, dari sisiNya, pahala yang amat besar.

Wallahu a’lam.




Bismillahhirahmanirrahim. Alhamdulillahhirabila’lamin. Selawat dan salam keatas junjungan besar nabi Muhammad s.a.w. serta para sahabat dan para tabi’ tabi’in.


 Muslim yang beriman ialah melaksanakan segala perintah Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya demi mencari keredhaan Allah. 2 perkara tersebut itu memerlukan kesungguhan yang tinggi dan keyakinan yang benar-benar mantap dan ini akan berlaku apabila muslim tersebut memiliki sifat-sifat terpuji yang telah diajarkan oleh para anbiya’ terutamanya nabi Muhammad s.a.w kepada umatnya.

 Justeru, menjadi satu kewajipan yang mutlak keatas setiap individu muslim untuk melaksanakan segala perintah Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya.

 Untuk melaksankan suruhan ini, setiap muslim haruslah memiliki satu sifat yang terpuji yang sangat diperlukan untuk melaksanakan misi da’wah ini, sifat itu ialah “berlapang dada”. Dan sifat ini akan menzahirkan seorang muslim yang mempunyai kepimpinan yang unggul  dan akan melahirkan seorang muslim yang berwawasan yang berhikmah.

 Oleh itu, beberapa perkara penting yang akan dihuraikan yang berkaitan dengan sifat ‘berpalang dada’ ini antaranya:

·        - Berpalang dada berprinsip
·         -Berlapang dada jelas prinsipnya
·         -Berlapang dada tidak berprinsip
·         -Ciri-ciri asas berlapang dada

Insyallah. Satu perkara perlu dijelaskan bahawa asas pendidikan yang perlu difahami oleh muslim mengandungi 2 perkara, dan dua perkara ini sudah disebut-sebut oleh para cendiakawan muslim ataupun non muslim sama ada dari timur mahupun barat, mereka pasti menyebut mengenai budaya adab dan budaya ilmu sebelum menjadi pendakwah atau sebagainya. Dan sangatlah jelas apabila ada ungkapah hikmah dalam bahasa arab menyebut “الأدب فوق العلم”, yang bermaksud “ adab diatas ilmu”.

Maka jelaslah untuk menjadi seorang muslim yang beriman yang mampu menjadi pencerah umat, mereka harus menjadi seorang yang berbudi pekerti dan berilmu.

Semoga para pembaca dapat memahami isi kandungan ini dan mengorak langkah untuk mempraktikan sifat ini dalam kehidupan seharian.wallahu a’lam.

BERLAPANG DADA BERPRINSIP

1.    KISAH NABI SYU’AIB BERSAMA ANAK GADISNYA

قَالَتْ إِحْدَاهُمَا يَا أَبَتِ اسْتَأْجِرْهُ ۖ إِنَّ خَيْرَ مَنِ اسْتَأْجَرْتَ الْقَوِيُّ الْأَمِينُ

Salah seorang di antara perempuan yang berdua itu berkata: "Wahai ayah, ambilah dia memjadi orang upahan (mengembala kambing kita), sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah".

قَالَ إِنِّي أُرِيدُ أَنْ أُنكِحَكَ إِحْدَى ابْنَتَيَّ هَاتَيْنِ عَلَىٰ أَن تَأْجُرَنِي ثَمَانِيَ حِجَجٍ ۖ فَإِنْ أَتْمَمْتَ عَشْرًا فَمِنْ عِندِكَ ۖ وَمَا أُرِيدُ أَنْ أَشُقَّ عَلَيْكَ ۚ سَتَجِدُنِي إِن شَاءَ اللَّهُ مِنَ الصَّالِحِينَ


Bapa perempuan itu berkata (kepada Musa): "Aku hendak mengahwinkanmu dengan salah seorang dari dua anak perempuanku ini, dengan syarat bahawa engkau bekerja denganku selama delapan tahun; dalam pada itu, jika engkau genapkan menjadi sepuluh tahun, maka yang demikian itu adalah dari kerelaanmu sendiri. Dan (ingatlah) aku tidak bertujuan hendak menyusahkanmu; engkau akan dapati aku Insya Allah, dari orang-orang yang baik layanannya".

Hikmahnya

1) Ayat ini menunjukkan bahawa bagaimana pengunaan bahasa seorang anak kepada orang tuanya. Contoh ini menzahirkan satu penghormat yang murni dan sopan santun diantara seorang anak kepada orang tuanya yang memanggiil dengan panggilan “wahai ayah”. Bila kita mengungkapkan perkataan yang baik, si pendengar akan mudah terpanggil untuk mendengar apa yang hendak diperkatakan. Inilah permulaan adab.

2)  Seorang ayah yang berlapang dada mendengar cadangan dari seorang anaknya lantaran cadangan itu diterima, mungkin faktor bahasa itu memainkan peranan penting, misalnya kita memanggil ayah kita “eh ayah, woi ayah, ayah!” masakan ayah kita akan mendengar, silap haribulan dapat cop tapak tangan.

3) Konsep memberi pandangan atau kritikan sangat diperlukan sesuai dengan keadaan masa dan tempat seperti kisah diatas menunjukkan seorang anak meminta ayahnya mengambil orang upahan yang kuat dan jujur. Dengan hal itu, ayah tersebut dapat menerima cadangan yang baik dan bernas tersebut.

4)  Bila kita dalam gerakan atau organisasi, bagaimana seorang pemimpin itu mampu berlapang dada menerima teguran dan kritikan dari orang bawahannya atau pengikutnya dan keberlansungan ini tidak akan menjadi jika hanya satu pihak sahaja yang memahami. Dan kisah ini jika dihayati oleh setiap individu dalam gerakan, maka gerakan tersebut akan menjadi sebuah gerakan penuh idea dan mampu bergerak dengan lebih teratur.


2.    KISAH NABI MUSA BERSAMA ORANG SOLEH

قَالَ لَهُ مُوسَىٰ هَلْ أَتَّبِعُكَ عَلَىٰ أَن تُعَلِّمَنِ مِمَّا عُلِّمْتَ رُشْدًا

Nabi Musa berkata kepadanya: Bolehkah aku mengikutmu, dengan syarat engkau mengajarku dari apa yang telah diajarkan oleh Allah kepadamu, ilmu yang menjadi petunjuk bagiku?"

قَالَ إِنَّكَ لَن تَسْتَطِيعَ مَعِيَ صَبْرًا

Ia menjawab: "Sesungguhnya engkau (wahai Musa), tidak sekali-kali akan dapat bersabar bersamaku.

وَكَيْفَ تَصْبِرُ عَلَىٰ مَا لَمْ تُحِطْ بِهِ خُبْرًا

Dan bagaimana engkau akan sabar terhadap perkara yang engkau tidak mengetahuinya secara meliputi?

قَالَ سَتَجِدُنِي إِن شَاءَ اللَّهُ صَابِرًا وَلَا أَعْصِي لَكَ أَمْرًا

Nabi Musa berkata: "Engkau akan dapati aku, Insyaa Allah: orang yang sabar; dan aku tidak akan membantah sebarang perintahmu".

Hikmahnya

1)  Dalam ayat ini pula menjelaskan prinsip berlapang dada dalam menuntut ilmu, sebagaimana yang dijelaskan sebelum ini, bahawa adab lebih utama untuk diamalkan dan dipelajari namun tidaklah mengatakan bahawa ilmu adalah yang kedua.

2) Kita boleh dapati bagaimana seorang nabi yang sudah dijanjikan syurga, dikurniakan segala ni’mat, dianugerahkan mu’jizat tetap merendah diri untuk menuntut ilmu seperti kisah diatas diantara nabi Musa dengan orang soleh bernama Khidir.

3)  Kita perlu juga faham bahawa menuntut ilmu ini satu jalan yang panjang yang tidak jalan pengakhiran dan untuk memiliki ilmu itu jalannya tidaklah lurus namun ia mesti perlu ada onak duri dan cabaran sama ada kecil ataupun besar.

4)  Bila kita sudah ada ilmu, usahlah dirasakan bahawa kita orang yang sudah berilmu dan lebih jelek apabila bongkak dengan ilmu yang dimiliki. Kita kena jelas bahawa lagi banyak ilmu kita perolehi lagi dekat kita dengan Allah dan akan menjadikan kita orang yang rendah diri.

5)   Dalam konsep menuntut ilmu, ia ada konsep perlu diikuti oleh setiap muslim yang beriman dan para ulama’ telah membuktikannya iaitu “ilmu itu harus dicari bukan menanti”, seperti mana disebut “rezeki tidak akan datang tanpa ada usaha”. Justeru, muslim yang beriman yang ingin menjadi orang yang diangkat darjatnya disisi Allah ialah mereka mencari ilmu dengan membaca dan membuat kajian.

6)  Umat islam ini diberikan satu anugerah yang tidak ada agama lain yang mampu memberikan kepada umatnya iaitu satu kekuatan percakapan yang mana kita tidak tahu keberadaan kita dimasa akan datang walaupun sesaat dan ungkapan ini menunjukkan bahawa segala apa yang dilakukan adalah mengharapkan sesuatu dari Allah dan dengan izin-Nya, ungkapan itu ialah “insyallah”.

3.    KISAH NABI MUHAMMAM  S.A.W BERSAMA ORANG BUTA

عَبَسَ وَتَوَلَّىٰ
Ia memasamkan muka dan berpaling,

أَن جَاءَهُ الْأَعْمَىٰ
Kerana ia didatangi orang buta.

وَمَا يُدْرِيكَ لَعَلَّهُ يَزَّكَّىٰ
Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui (tujuannya, wahai Muhammad) ? Barangkali ia mahu membersihkan hatinya (dengan pelajaran ugama yang didapatinya daripadamu

أَوْ يَذَّكَّرُ فَتَنفَعَهُ الذِّكْرَىٰ
Ataupun ia mahu mendapat peringatan, supaya peringatan itu memberi manfaat kepadanya.

أَمَّا مَنِ اسْتَغْنَىٰ
Adapun orang yang merasa keadaannya telah cukup, tidak berhajat lagi (kepada ajaran Al-Quran

فَأَنتَ لَهُ تَصَدَّىٰ
Maka engkau bersungguh-sungguh melayaninya.

وَمَا عَلَيْكَ أَلَّا يَزَّكَّىٰ
Padahal engkau tidak bersalah kalau ia tidak mahu membersihkan dirinya (dari keingkarannya)

وَأَمَّا مَن جَاءَكَ يَسْعَىٰ
Adapun orang yang segera datang kepadamu

وَهُوَ يَخْشَىٰ
Dengan perasaan takutnya (melanggar perintah-perintah Allah

فَأَنتَ عَنْهُ تَلَهَّىٰ
Maka engkau berlengah-lengah melayaninya.

Hikmahnya
    1   Berdasarkan ayat ini, penulis ingin membawa pembaca lebih mendalam mengenai konsep berlapang dada dengan beradab. Berdasarkan ayat ini juga,penulis berharap dapat mengupas dengan lebih terperinci supaya pembaca sedar bahawa berlapang dada sangat dituntutdalam islamafsir Al-Azhar, Pak Hamka menafsirkan ayat ini dengan pemahaman yang luar biasa, beliau mengungkapkan: “ dan cara Allah memberikan teguran itu, demikian halusnya kepada Nabi yang dicintai-Nya pun adalah suatu adab yang hendaklah kita teladan”.
     2)    Begitu juga dalam tafsir Fi Zilali Quran karya Syed Qutb, beliau juga menyebutkan:” beliau sanggup mengumumkan ayat ini kepada tatapan umum dan jelas menunjukkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w. adalah orang yang hebat lagi berlapang dada.
                                                                       
   3)    Dalam Tafsir fi Zilal Quran juga menyebut bahawa selepas peristiwa ini rasullullah sentiasa menunjukan senyuman manisnya dan memberi layanan yang baik kepada ibn Ummi Makhtum. Setiap kali bertemu dengannya beliau berkata “ selamat bertemu dengan orang yang menyebabkan aku dikecam oleh Tuhanku”. Bahkan nabi Muhammad juga mengiktiraf ibn ummi makhtum sehinga beliau dilantik dua kali sebagai pemangku pemerintah madiah selepas hijrah dan terdapat riwayat lain 3 kali. wallahu a’lam.

     4)    Apakah cerita disebalik ayat ini diturunkan? Pada satu hari, ketika itu Rasulullah sedang sibuk melayain pembesar qurais antaranya Abu Jahal, Umayyah Ibn Khalaf, Al-Walid ibn Al-Mughirah, Al-Abbas ibn Abdul Muttalib dan Utbah dan Sya’bah. ketika sedang sibuk nabi Muhammad ingin berdakwah kepada golongan ini, maka datang seorang pemuda yang miskin bahkan muda datang berjumpa rasulullah dengan harapan ingin mensucikan hatinya dan mencari hidayah islam. Namun harapan itu menjadi kabur kerana nabi Muhammad s.a.w. lebih memetingkan pembesar qurais ini kerana baginda beranggapan da’wah diperlukan kepada golongan yang berpengaruh secara tak langsung para pengikut tersebut akan mendapat cahaya islam namun tanggapan ini kurang tepat dan turunlah ayat al-quran ini member sedikit teguran kepada nabi Muhammad.

    5)    Kita perlu jelas bahawa misi da’wah ini tidak boleh ada kepentingan peribadi dan hanya untuk golongan tertentu sahaja kerana da’wah ini umum kepada setiap umat.

   6)    Kita juga kena faham bahawa tugas menyampaikan da’wah ini pelbagai cara yang setiap cara itu perlu berlandaskan prinsip-prinsip asas islam dan diantara cara berda’wah itu boleh diertikan dengan memberikan bantuan sama ada bentuk kewangan, tenaga, masa, diri, dan paling penting ilmu
.
    7)    Sebagai seorang pemimpin dalam sesebuah gerakan kita tidak seharusnya memilih bulu atau kroni atau hanya bersependapat dengan beliau sahaja.

  8)    Dalam memahami erti gerakan dalam da’wah, perkara yang mesti dielakkan ialah mencari keuntungan dunia semata-mata sahaja.

  9)  Apabila seorang pemimpin itu ditegur, hendaklah bersiap sedia untuk melakukan perubahan.

   10)  Pemimpin juga cepat melenting ataupun melatah apabila datangnya satu kritikan apatah lagi membenci orang tersebut.

  11)  Pengikut yang hebat juga adalah pengikut yang mampu memberikan nasihat yang baik dengan cara yang berhikmah kepada pemimpinnya.

  12)  Kebanyakkan manusia selalu sebut “ kalau hendak orang kenal dan faham kita, maka kita perlu kenal dan faham orang itu dahulu”.