Usrah Qiyadah Pkpim
29 Mac 2016.
Cucms, Putrajaya.
“Kemanisan Dalam Ujian Kehidupan”.
(Surah al-Ankabut 1-7)
Surah al-Ankabut diturunkan di Mekah. 69 ayat.

بسم الله الرحمن الرحيم.

الم،أَحَسِبَ النَّاسُ أَن يُتْرَكُوا أَن يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَ (1-2)

Alif, Laam, Miim. Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?

وَلَقَدْ فَتَنَّا الَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ ۖ فَلَيَعْلَمَنَّ اللَّهُ الَّذِينَ صَدَقُوا وَلَيَعْلَمَنَّ الْكَاذِبِينَ (3)

Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahui-Nya tentang orang-orang yang berdusta.

أَمْ حَسِبَ الَّذِينَ يَعْمَلُونَ السَّيِّئَاتِ أَن يَسْبِقُونَا ۚ سَاءَ مَا يَحْكُمُونَ (4)

Bahkan patutkah orang-orang yang melakukan kejahatan menyangka bahawa mereka akan terlepas dari azab Kami? Amatlah buruk apa yang mereka hukumkan itu.

مَن كَانَ يَرْجُو لِقَاءَ اللَّهِ فَإِنَّ أَجَلَ اللَّهِ لَآتٍ ۚ وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ (5)

Sesiapa yang percaya akan pertemuannya dengan Allah (untuk menerima balasan), maka sesungguhnya masa yang telah ditetapkan oleh Allah itu akan tiba (dengan tidak syak lagi); dan Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

وَمَن جَاهَدَ فَإِنَّمَا يُجَاهِدُ لِنَفْسِهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ لَغَنِيٌّ عَنِ الْعَالَمِينَ (6)

Dan sesiapa yang berjuang (menegakkan Islam) maka sesungguhnya dia hanyalah berjuang untuk kebaikan dirinya sendiri; sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatupun) daripada sekalian makhluk.

وَالَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَنُكَفِّرَنَّ عَنْهُمْ سَيِّئَاتِهِمْ وَلَنَجْزِيَنَّهُمْ أَحْسَنَ الَّذِي كَانُوا يَعْمَلُونَ (7)

Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh sesungguhnya Kami akan hapuskan dari mereka kesalahan-kesalahan mereka, dan Kami akan membalas apa yang mereka telah kerjakan – dengan sebaik-baik balasan.

Huraian:-

Sebelum saya menghuraikan penafsiran ayat al-quran. Seperkara yang saya ingin kongsikan kepada kalian pengenalan umum tentang surah ini. Saudara Khair Sujud menyebutkan bahawa surah ini membuktikan Allah SWT mengiktiraf semua makhluk yang ada di bumi yang dijadikan-Nya. Ternyata kebuktiannya itu seperti surah al-Ankabut yang mana maknanya ialah Labah-Labah. Selain itu, terdapat surah an-Naml iaitu Semut, 
al-Baqarah iaitu Lembu Betina, al-An’am iaitu haiwan ternakan dan lain-lain lagi.

Selain itu juga, ayat 1-7 dalam surah al-Ankabut ini memberikan satu gambaran umum iaitu menurut Fazril Salleh masalah juga adalah makhluk Allah dan ianya merupakan sunnatulullah. Beliau menambah lagi dengan melontarkan 1 persoalan iaitu bagaimana seorang muslim yang beriman mampu menghadapi dan menangani masalah yang dihadapinya. Maka, cara itu terdapat di dalam surah al-Ankabut ayat 1-7.

1.      Ayat pertama, Imam Ibnu Kathir menukilkan banyak riwayat dan yang paling rajih alim lam mim adalah salah satu daripada nama al-quran. Ada juga yang menyatakan bahawa ianya salah satu dari nama Allah. Al-Imam al-Zamakshari menyebut bahawa Al-Quran  yang dimulai dengan huruf ada 29 tempat seperti Qaf, Shad, Alim Lam Mim Ra. Setiap huruf, perkataan dan semua yang terdapat di dalam al-quran kita wajib mengimani 100% kerana al-quran ini adalah kalam Allah dan Mukjizat nabi Muhammad SAW. Firman Allah di dalam surah al-Baqarah ayat ke-2 yang menjelaskan kepada kita bahawa al-quran ini tiada keraguan padanya. Ini adalah pegangan ahli sunnah wal jamaah bahawa Al-quran lengkap dan kekal selamanya kerana Allah menjanjikan akan memeliharanya selama-lamanya. Terdapat beberapa golongan yang mengatakan bahawa al-quran ini belum lengkap. Ada juga yang menyebut ada beberapa perkataan dalam al-quran telah dibuang. Ini merupakan fahaman songsang dan terpesong dari ajaran islam. Semoga Allah melindungi umat islam yang beriman dan menjaga agama Allah ini.

2.      Ayat kedua pula memulai dengan satu persoalan yang harus bagi setiap umat islam memikirkannya. Terdapat satu kaedah dalam ilmu Bahasa Arab disebut istifham inkari atau istifham ta’ajubi yang membawa maksud memberi pertanyaan tanpa ada jawapan. Banyak uslub ini terdapat di dalam al-quran supaya umat islam mengkoreksi diri dan mengenal makna diri dalam mencari keredhaan Allah. Pertanyaan itu menjadikan satu persoalan untuk kita melakukan sesuatu supaya dimasukkan ke dalam syurga Allah. Tiada umat pada zaman ini yang boleh mengatakan bahawa dia akan masuk syurga namun usaha ke arah itu menampakkan seseorang itu akan dimasukkan syurga. Pada zaman nabi Muhammad SAW, Allah telah menjanjikan beberapa sahabatnya akan dimasukkkan ke dalam syurga seperti khulafa’ ar-Rasyidin. Oleh itu, beramalah dengan amalan-amalan yang soleh dan benar di sisi Allah kerana itu akan menjaminkan seseorang itu di masukkan ke dalam syurga. Insya-Allah.

Di dalam tafsir ibnu Kathir, beliau menyebut bahawa Allah SWT akan menguji hamba-hamba-Nya yang beriman berdasarkan keimanan mereka. Allah menegaskan lagi di dalam surah ali-al’imran ayat ke-142:

أَمْ حَسِبْتُمْ أَن تَدْخُلُوا الْجَنَّةَ وَلَمَّا يَعْلَمِ اللَّهُ الَّذِينَ جَاهَدُوا مِنكُمْ وَيَعْلَمَ الصَّابِرِينَ

“Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga padahal belum lagi nyata kepada Allah (wujudnya) orang-orang yang berjihad (yang berjuang dengan bersungguh-sungguh) di antara kamu, dan (belum lagi) nyata (wujudnya) orang-orang yang sabar (tabah dan cekal hati dalam perjuangan)?

Nabi Muhammad SAW bersabda:

أشد الناس بلاء الأنبياء ثم الصالحون ، ثم الأمثل فالأمثل ، يبتلى
الرجل على حسب دينه ، فإن كان في دينه صلابة زيد في البلاء "

 “Maknanya ialah, manusia yang paling berat memikul beban dan dugaan adalah para nabi kemudian orang yang shahlih, kemudiannya manusia yang seperti dan sepertinya. Allah akan menguji seseorang mengikut pada pegangan agamanya, jika dia kuat pegangan pada agama islam itu Allah akan bertambah lagi dugaan.”

Hadis ini menunjukkan bahawa peringkat keimanan setiap manusia dengan manusia sangat berbeza. Semakin banyak dia menerima dugaan semakin bertambah iman dan semakin dekat dia dengan Allah. Allah akan menguji mengikut kemampuan keimanannya. Bersama-sama kita bermuhasabah mengenai tingkat keimanan kita. Bersamalah kita berfikir sejauh mana kepergantungan kita kepada Allah. Jika kita meyakini bahawa kita orang yang beriman, kita pasti diuji dengan pelbagai ujian sama ada besar mahupun kecil.

Seperkara yang menarik harus kita hayati ialah perkataan فَتَنَ, يفتنون. Perkataan fitnah juga berambil daripada perkataan ini. Mungkin ada sebahagian dari kita yang memahami bahawa fitnah ini satu perkara yang negatif. Sebenarnya di dalam kamus arab seperti Lisan Arab oleh Ibn Manzour, beliau mennyebutkan bahawa fatana ini ialah menguji untuk menyucikannya. Maksud yang mudah ialah, apabila kita diuji, sebenarnya Allah ingin membersih dan menyucikan hati serta menambahkan keimanan dan rahmat-Nya. Maka jangan khuatir apabila kita difitnah kerana itu tandanya kita disayangi Allah. Jangan gusar hati andai ditimpa musibah setiap masa kerana itu tanda kecintaan Allah dan takutlah jika pada diri kalian jika tidak ada musibah atau dugaan yang menimpa kerana itu kemungkinan Allah membiarkan kita dalam kejahilan dan istidraj.

3.      Pada ayat ke-3 ini merupakan satu penegasan yang nyata kepada dua golongan. Golongan pertama yang benar-benar beriman dan golongan kedua ialah menipu atau hipokrit. Imam Ibn Kathir menyebut bahawa Allah SWT Maha Mengetahui apa yang telah berlaku dan akan berlaku serta Dia Maha Mengetahui setiap perbuatan yang dilakukan dan bagaimana dilakukan. Setiap hamba-hamba-Nya tidak dapat menyembunyikan walaupun dia berbisik di hati apatah lagi jika dia menzahirkan perkara yang baik dan buruk. Golongan pertama iaitu golongan yang beriman dengan Allah dan rasul-Nya. Mereka melaksanakan apa yang diperintah dan meninggalkan apa yang dilarang. Apabila mereka ditimpa musibah mereka redha dan berfikiran positif dengan apa yang berlaku adapun golongan kedua mereka berpura-pura beriman dengan Allah dan rasul-Nya tetapi pada hakikatnya mereka mengharamkan apa yang dihalakan dan menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah dan rasul. Kedua golongan ini akan mendapat tempat yang sesuai dengan keimanan dan ketaqwaan mereka kepada Allah. Jika beriman maka dimasukkan ke dalam syurga dan kufur akan diazab yang pedih.

Berapa ramai dalam kalangan kita yang benar-benar beriman dan beramal soleh? Adakah kita benar-benar menyakini akan perintah Allah dan melaksanakan segala suruhan-Nya. Adakah kita hanya di hadapan manusia sahaja kita melakukan kebaikan namun disebaliknya meninggalkannya. Tepuk dada tanya hati dimanakah tempat kita.

Tambahan pula, Ibn ‘Abbas membawa satu penafsiran dengan metodologi pentafsiran al-quran yang utama iatu dengan tafsir al-quran dengan al-quran. Beliau memetik satu ayat  daripada surah al-Baqarah ayat ke-143 untuk menerangkan lagi keberadaan bagi orang yang beriman yang menimpa dugaan dan cabaran:

وَكَذَٰلِكَ جَعَلْنَاكُمْ أُمَّةً وَسَطًا لِّتَكُونُوا شُهَدَاءَ عَلَى النَّاسِ وَيَكُونَ الرَّسُولُ عَلَيْكُمْ شَهِيدًا ۗ وَمَا جَعَلْنَا الْقِبْلَةَ الَّتِي كُنتَ عَلَيْهَا إِلَّا لِنَعْلَمَ مَن يَتَّبِعُ الرَّسُولَ مِمَّن يَنقَلِبُ عَلَىٰ عَقِبَيْهِ ۚ وَإِن كَانَتْ لَكَبِيرَةً إِلَّا عَلَى الَّذِينَ هَدَى اللَّهُ ۗ وَمَا كَانَ اللَّهُ لِيُضِيعَ إِيمَانَكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ بِالنَّاسِ لَرَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu. (Sebenarnya kiblat kamu ialah Kaabah) dan tiadalah Kami jadikan kiblat yang engkau mengadapnya dahulu itu (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi ujian bagi melahirkan pengetahuan Kami tentang siapakah yang benar-benar mengikut Rasul serta membenarkannya dan siapa pula yang berpaling tadah (berbalik kepada kekufurannya) dan sesungguhnya (soal peralihan arah kiblat) itu adalah amat berat (untuk diterima) kecuali kepada orang-orang yang telah diberikan Allah petunjuk hidayah dan Allah tidak akan menghilangkan (bukti) iman kamu. Sesungguhnya Allah Amat melimpah belas kasihan dan rahmatNya kepada orang-orang (yang beriman).

Ayat ini mengajar kita kita bahawa ujian dan dugaan pasti akan ditempuhi oleh umat islam terutamanya para pendakwah yang menyuruh kepada yang makruf dan mencegah yang mungkar. Para pendakwah yang beriman yang mengajak umat dalam mentauhidkan Allah merupakan satu cabaran yang besar dan berat. Inilah dinamakan sunnah Rasulullah yang mana pada 13 tahun dakwahnya, tugasnya adalah mentauhidkan seluruh umat untuk menyembah Allah yang Esa. Untuk memasuki taman-taman Allah, umat islam yang beriman pasti akan menghadapi segala macam dugaan dan cabaran baik besar mahupun kecil.

Di samping itu, ayat ini juga mengambarkan bahawa pentingnya kita belajar dari sejarah yang terdahulu. Saudara Fazril menyebut bahawa kita mesti bijak dalam memahami sejarah yang lalu kerana mereka sudah melaluinya dan mengambil iktibar supaya perkara yang sama tidak akan berulang lagi. Jika ada kekurangan maka ditambah dengan cara yang lebih tepat dengan berpandukan al-quran dan sunnah. Saya melihat bahawa sejarah umat terdahulu, kita harus belajar. Kita lihat bagaimana Nabi Nuh berdakwah kepada umatnya siang dan malam dan secara rahsia mahupun zahir. Kita perhatikan kisah perjuangan Nabi Ibrahim berdepan dengan raja Namrud dan ayahnya. Kita cuba renungi kesabaran Nabi Musa melawan Firaun. Kita hayati keteguhan keimanan Nabi Isa yang diuji sehingga umatnya yang ingin menyalibnya. Semestinya kita pelajari sejarah Rasulullah SAW dan para sahabat dalam mempertahankn aqidah sehingga umat sekarang dapat menikmati islam itu dengan aman dan sejahtera.

4.      Ayat ke-4 pula memberi pengajaran bahawa jangan kita ambil mudah dan berkeyakinan tinggi khususnya umat islam bahawa mereka akan dapat masuk syurga dengan jalan yang mudah tanpa amal yang soleh dan cabaran dalam menempuh dugaan hidup. Kita perhatikan bagaimana Rasullullah mendidik para sahabat sehingga mereka menjadi sebaik-baik umat dan dijanjikan syurga. Mereka menempuh jalan kehidupan yang berliku-liku. Mereka diboikot, diperangi, dibunuh, diseksa, diperang, dikurung, diperhamba, dihina dan sebagainya. Setiap waktu pasti ada sahaja dugaan yang menimpa mereka. Mereka tetap teguh pendirian dalam aqidah Allah. Hasilnya, mereka menjadi generasi yang terunggul. Mereka tetap bersabar dan kesabaran itu mendatangkan faedah-faedah yang lumayan bukan sahaja dunia malah di akhirat.

Maka, jalan itu juga akan dilalui oleh generasi zaman sekarang. Para pendakwah khususnya harus mencermati sunnah Rasulullah dan para sahabat dalam berdakwah, mendidik dan menyamapaikan ilmu. Islam datang dalam keadaan asing dan begitulah islam akan datang. Cara mungkin kuno dikatakan sebahagian umat tetapi ada rahsia yang boleh dipelajari dan mesti bertepatan dengan sunnah tersebut. insya-Allah.

5.      Ayat ke-5 pula, memberikan satu khabar gembira kepada orang yang beriman yang setelah penat lelah tempuhi segala onak dan duri. Maka orang beriman yang berjaya akan mendapat ganjaran disisi Allah namun syaratnya tetap ada. Keyakinan bukan hanya mengungkap dengan bibir semata-mata tetapi ia perlu dibuktikan dengan perbuatan. Perbuatan itu ialah amalan-amalan yang soleh dan sahih yang wajib seperti solat, berpuasa, zakat, haji dan sebagainya. Ayat ini juga sangat bertepatan dengan sunnah Rasulullah seperti mana firman Allah dalam surah al-Kahfi ayat ke-110:

قُلْ إِنَّمَا أَنَا بَشَرٌ مِّثْلُكُمْ يُوحَىٰ إِلَيَّ أَنَّمَا إِلَٰهُكُمْ إِلَٰهٌ وَاحِدٌ ۖ فَمَن كَانَ يَرْجُو لِقَاءَ رَبِّهِ فَلْيَعْمَلْ عَمَلًا صَالِحًا وَلَا يُشْرِكْ بِعِبَادَةِ رَبِّهِ أَحَدًا

Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang Satu; Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya".

Banyak amalan yang boleh kita lakukan. Jika kaya maka bersedekah. Jika ada kekuatan turun lapangan. Jika ada ilmu sampaikan. Segala macam bentuk kemahiran yang Allah anugerahkan kepada setiap umatnya dan pastinya setiap umat dengan umat yang lain ada perbezaan kemahiran yang tersendiri. Maka, lakukanlah dan hidup biar berjasa.

6.      Ayat yang ke-6, memberikan satu pengajaran bahawa bagi setiap yang berjihad di jalan Allah itu sebenarnya dia telah menolong diri sendiri kerana Allah telah menjanjikan bahawa setiap amalam kebaikan yang dilakukan pasti akan mendapat ganjarannya. Berjihad di jalan Allah melalui dua perkara iaitu dengan jiwa dan harta. Berjihad dengan jiwa iaitu menuntut ilmu, mendidik diri, mennsucikan hati dan berdakwah kepada kaum kerabat dan umat keseluruhannya. Berjihad dengan harta ialah menginfakkan harta di jalan Allah, bersedekah, memberi hadiah, membayar zakat mengikut kemampuan yang ada.

Berjihad di jalan Allah ini akan berterusan sehingga ke hari khiamat. Setiap saat dan dimana sahaja kita berada, perjuangan menegakkan kalimah Allah mesti dilaksanakan serta mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran. Perjuangan ini telah bermula sejak dari para anbiya’, setiap daripada mereka berusaha bersungguh-sungguh untuk mengajak umat untuk mengabdikan diri kepada Allah. Berjihad untuk mengangkat kalimah tauhid iaitu kalimah syahadah merupakan perkara utama yang harus dilaksanakan mengikut cara yang dilakukan oleh para rasul.

Sebahagian daripada kita ada yang mudah berputus asa dan cepat mengalah. ada yang pada permulaan jalan sudah patah balik. Ada juga bertahan sampai ke pertengahan jalan bahkan ada juga yang sentiasa istiqamah dalam perjuangan. Perlu kita ingat, walaupun kita katakan kita sudah berjuang di jalan Allah sudah lama namun jangan sesekali mengungkit kerana kekhuatiran amalan kita akan menjadi sia-sia. Amatlah malang dan rugi jika perkara seperti itu berlaku.

Kita jangan mudah menyerah dan cepat mengalah. segala usaha yang kita lakukan di jalan Allah pastinya akan membuahkan hasil yang baik. Oleh hal yang demikian, Allah memberi khabar gembira buat para pejuang yang berjihad di jalan Allah. Firman Allah di dalam surah Muhammad ayat ke-7:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن تَنصُرُوا اللَّهَ يَنصُرْكُمْ وَيُثَبِّتْ أَقْدَامَكُمْ

Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu berjasa kepada Allah nescaya Allah membalas jasa kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu.

Selain itu, Allah juga berfirman di dalam surah Fussilat ayat ke-46:

مَّنْ عَمِلَ صَالِحًا فَلِنَفْسِهِ ۖ وَمَنْ أَسَاءَ فَعَلَيْهَا ۗ وَمَا رَبُّكَ بِظَلَّامٍ لِّلْعَبِيدِ

Sesiapa yang mengerjakan amal soleh maka faedahnya akan terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang berbuat kejahatan maka bahayanya akan menimpa dirinya sendiri; dan Tuhanmu tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-hambaNya.

Bahkan Allah juga memuji dan menerima segala bentuk kebaikan walaupun sebesar zarrah. Allah sentiasa menilai amalam kebaikan hamba-hambaNya yang ikhlas. Firman Allah dala surah al-Zalzalah ayat ke-7:

فَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْرًا يَرَهُ

Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!

7.      Ayat ke-7 pula menerangkan kepada kita bahawa amalan yang baik dapat menghapuskan dosa-doa yang terdahulu bahkan dianugerah pahala dan ganjaran yang baik daripada Allah bahkan al-Imam Ibn-Kathir juga menyebut perkara ini bahawa Allah akan menganjari pahala kepada orang yang beriman yang beramal soleh dengan sebaik-baik ganjaran iaitu pahala serta menghapuskan  dosa-dosa. Ini membuktikan bahawa islam menititberatkan dalam melakukan amalan yang baik. Setiap umat tidak terlepas daripada melakukan dosa dan sebaik-sebaik dari mereka itu adalah orang yang bertaubat. Bertaubat juga boleh dilakukan dengan amalan-amalan yang baik kerana janji Allah bahawa amalan yang baik dapat menghapuskan dosa yang lalu. Berdakwah merupakan perkara yang baik. Mensucikan hati juga perkara yang baik. Membentuk peribadi muslim juga perkara yang baik bahkan menuntut ilmu adalah perkara yang baik. Jadi, sangat bertepatan dengan slogan “Dakwah, Tarbiyyah dan Alamiah” itu menganjurkan kita mengerjakan amalan yang soleh.Allah juga berfirman di dalam surah an-Nisa’ ayat ke-40:

إِنَّ اللَّهَ لَا يَظْلِمُ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ ۖ وَإِن تَكُ حَسَنَةً يُضَاعِفْهَا وَيُؤْتِ مِن لَّدُنْهُ أَجْرًا عَظِيمًا

Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali menganiaya (seseorang) sekalipun seberat zarah (debu). Dan kalaulah (amal yang seberat zarrah) itu amal kebajikan, nescaya akan menggandakannya dan akan memberi, dari sisiNya, pahala yang amat besar.

Wallahu a’lam.




Comments (0)