Himpunan Usrah Bitara
12/3/2016.

MUKADIMAH

Bismillahirrahmanirrahim. Alhamdulillahirabbil’alamin.


Ini ialah catatan ringkas buat teman-teman pembaca yang dirahmati Allah sekalian. Pada kesempatan ini, saya akan mencoretkan sebuah pengalaman manis dan pahit semasa saya menyertai satu program iaitu “Himpunan Usrah Bitara”. Program ini adalah agenda utama gerakan PKPIM. Program ini bagi saya cukup bermanfaat kepada generasi muda yang cintakan agama dan umat. Program ini juga berkonsepkan santai dan ianya memfokuskan satu konsep permulaan kepada generasi muda mengenai usrah dan keberkesanan usrah kepada generasi muda.

Satu perkara yang saya membuat hati ketawa kecil ialah program ini mendapat tentangan dari pihak KLCC kerana mendapat arahan daripada IPD Dang Wangi. Setibanya saya disana bersama saudara Fazril, saudara Khair dan Arif, kami disapa oleh seorang pegawai. Beliau menasihati kami dengan berhikmah. Beliau menasihati kami supaya menghentikan program ini dengan atas alasan tidak mendapat kelulusan dari pihak KLCC. Kami akur dan menerima Cuma kami mengatakan bahawa kami ingin berehat dan berjalan-jalan sahaja. Sepanjang 4-5 jam kami berada di sekitar KLCC, kami dipantau dan diperhatikan dari setiap sudut. Di atas, bawah, belakang, depan, kanan serta kiri, kami di jaga seolah-olah kami ini adalah penjenayah besar. Sungguh melucukan!Ketika kami sedang makan tengah hari pun kami diganggu. Saya tidak mengerti apakah yang berlaku. Kesabaran menguji hamba-hamba-Nya yang beriman. Kini, baru saya menyedari tentang dua perkara. Pertama ialah kekuatan generasi muda apabila bergabung pasti akan membawa kesan sama ada positif dan negatif. Kedua, perkara baik selalu akan diuji.

Untuk pengenalan kepada pembaca yang dikasihi sekalian. Saya akan menghuraikan serba ringkas tentang program ini dan apakah maksudnya.“Usrah” merupakan satu konsep pendidikan awal untuk membentuk peribadi setiap muslim dalam mencari makna dan jati diri. Usrah melambangkan suatu kekuatan jemaah. Kekuatan sesuatu jemaah itu adalah sangat berkait rapat dengan usrah. Tidak mungkin tertubuhnya suatu jemaah yang berprinsip menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran tanpa sistem usrah ini. “Bitara” pula adalah merujuk kepada satu makna yang tersendiri. Apa yang boleh saya fahami ialah membawa erti satu kuasa yang tidak ada batasnya sama ada dari segi idealisme, intelektualisme, aktivisme dan spiritualisme. Manakala perkatataan “Himpunan” pula merujuk kepada suatu kumpulan yang besar yang akan berkumpul di suatu tempat untuk membincang dan bertukar-tukar pandangan dan idea dalam masa yang sama untuk mengeratkan silaturrahim. Oleh itu, saya mengambil peluang keemasan ini untuk menjadi sebahagian daripada program “Himpunan Usrah Bitara” ini yang telah dianjurkan oleh Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM). Semua bentuk tulisan adalah pada pandangan peribadi. Semoga bermanfaat kepada pembaca. Insya-Allah.



USRAH NADI GERAKAN

Bab ini disentuh oleh seseorang yang cukup berwibawa sifat ketokohannya. Seseorang yang rendah diri dan sentiasa bersama adik-adik tanpa memberi sebarang alasan jika pada waktu itu dia mempunyai masa dan semestinya dia akan bersama dengan adik-adik jemaah. Saya berasa kagum dengan akhlaknya. Nama beliau tidak asing lagi dalam dunia pentas politik dan arus perdana serta khidmatnya hanyalah untuk umat. Beliau ialah Muhammad Raimi bin Abdul Rahim. Beliau akan mengupas sebuah tajuk yang cukup besar dan berat iaitu Usrah ialah Nadi Gerakan.

Sebelum beliau membahaskan tajuk ini, beliau memulakan pendahuluannya dengan menyentuh hal yang berkaitan dengan isu-isu semasa. Menurut beliau, pada zaman ini, semua manusia tidak kira tua mahupun muda akan miliki satu sifat yang tidak boleh dielakkan itu “materialisme” iaitu kebendaan. Boleh dikatakan setiap orang memiliki sifat ini. Mereka merasakan kebendaan ini yang membolehkan hati dan akal mereka sentiasa bergerak, bernilai dan bermakna. Cubalah kalian bayangkan jika dalam seminggu kita tidak dapat mengakses internet? Apakah mampu kita mengetahui isu-isu tertentu? Adakah boleh kita bertanya  khabar kepada kawan? Adakah kita dapat bermesyuarat dan ada kata putus? Sungguh! internet dan media massa serta kebendaan adalah perkara utama, setuju, bukan? Oleh itu, persoalan yang harus dikupas dengan sebaik-baiknya ialah adakah kebendaan ini membawa kebaikan lebih banyak ataupun sebaliknya serta bagaimana mahu dimanfaatkan dengan betul kerana ini semua berkait rapat dengan kebangkitan generasi muda akan datang. Mereka harus memikirkan bagaimana kehidupan mereka 10 tahun dan 20 tahun akan datang. Mereka harus memikirkan bagaimana ingin mengubah dunia kepada yang lebih baik terutama kefahaman tentang agama dan akhlak. Mereka juga harus ada misi dan visi dalam perancangan hidup. Apakah panduan dan matlamat yang harus dikecapi bahkan apakah jalan yang terbaik. Bagi hemat saya, matlamt dan jalannya  ialah berlandaskan agama dan agama itu ialah agama islam agama yang diredhai Allah. Islam mendidik umatnya untuk mengunakan akal berlandaskan wahyu kepada kearah kebaikan dan keadilan. Islam akan memandu umatnya untuk terus berada dalam kebenaran. Materialisme bukanlah mutlaknya tetapi ia menjadi sebahagian daripada islam. Islam menitikberatkan hal ini untuk menjamin kesejahteraan umatnya di dunia namun tujuan utama adalah untuk membawa bekalan di akhirat kelak.

Saudara Raimi juga menggesa kepada kami untuk memikirkan dan menggerakkan sesuatu untuk mengembalikan kebangkitan islam kepada generasi muda  kerana generasi mudalah yang akan meneruskan delegasi-delegasi yang telah ditinggalkan. Perancangan awal perlu dipersiapkan. Lihat sahajalah contoh paling dekat seperti al-Fateh yang dipersiapkannya pada usia yang masih muda untuk memikul tanggungjawab yang akan datang. Bukan mudah namun juga tidak susah untuk melaksanakannya. Keimanan dan keyakinan sebenar-benarnya terhadap islam akan mendorong manusia untuk terus kehadapan dan berkemajuan. Dahulu, umat islam pernah gah dari semua aspek seperti ekonomi, perubatan, kententeraan, sejarah, kepimpinan, penaklukan, pertanian, perdagangan, astronomi, pelabuhan dan sebagainya. Semua ini tidak boleh dinafikan oleh semua umat namun kini semuanya ditelan zaman yang tidak ada penyambung warisannya. Kenapa boleh terhenti? Tidakkah kita berfikir akan hal ini. Apakah yang menyebabkan umat islam kehilangan arah dan matlamat. Kenapa umat islam setelah menjadi sebaik-baik umat tetapi kemudiannya lesu, lembab, malas, jumud dan tidak berjiwa besar. Sejarah menjadi kenangan. Hanya dibanggakan apa yang terdahulu namun sekarang apa yang tinggal. Semuanya tinggal kenangan. Kenapa hal sedemikian berlaku? Kenapa umat islam tidak mampu bangkit menjadi kuasa besar? Adakah jawapannya kerana manusia sudah mengabaikan suruhan Allah dan rasul-Nya serta mencampurkan urusan agama yang bukan pada keasliannya seperti penyelewengan dan kesesatan. Saya merasakan inilah jawapannya. Sebagai contoh, jika perintah Allah kepada hamba-Nya untuk beribadat bukanlah bererti 24 jam itu harus berada di masjid bertasbih, bertahmid dan bertahlil. Inilah kesesatan yang berlaku kepada umat islam zaman sekarang kerana umat islam harus berkerja untuk menyara diri dan keluarga. Meluaskan prinsip keindahan islam dalam melaksanakan amanah. Bukankah kita diciptakan untuk menjadi khalifah di muka bumi ini. Sayu hati saya bila mengenangkan hal ini dan tidaklah bererti saya melarang pemujaan 24 jam itu namun kita harus melihat keutamaan yang harus didahului. Contoh lain. Umat islam digalakkan mencari kekayaan sebanyak mungkin tetapi sebilangan daripada mereka tidak mahu menyucikan harta mereka dengan zakat dan sedekah. Yang kaya terus kaya manakala yang miskin terus miskin. Dalam ajaran islam, bila orang kaya berzakat dan bersedekah kepada orang fakir, maka fakir tersebut akan mendoakan kepada orang kaya. Inilah yang dikatakan kebangkitan islam harus difahami oleh setiap umat islam. Umat islam harus memahami ajaran islam yang sebenarnya dan bagaimana pengurusannya ke arah kecemerlangan dunia dan akhirat. Saya memikirkan bahawa umat islam sekarang terbahagi kepada tiga. Yang pertama, mengejar dunia. Kedua, mencari akhirat dan ketiga adalah mengimbangi kedua perkara tersebut. Golongan ketiga adalah ajaran islam yang sebenar.

Seterusnya, saudara Raimi mengupas tajuk yang ditujukan iaitu Usrah: Nadi Gerakan. Beliau mengajukan satu persoalan  yang cukup ringkas namun berat kepada maknanya iaitu “Bagaimana Usrah dapat menjami kualiti yang optimum untuk membawa kebangkitan islam”. Inilah persoalan yang saya kira harus dikupas dan dihadam oleh setiap ahli gerakan terutama PKPIM. Seharusnya silibus usrah pada setiap ahli jemaah perlu mengupas sesuatu perkara dengan kritis dan padat kerana ia akan menghasilkan satu bentuk pemikiran yang cerdas serta merancang untuk bertindak melakukan sesuatu demi kemaslahatan umat. Usrah bukanlah lagi tempat untuk gelak ketawa semata-mata, bukanlah hanya makan minum dan bertegur sapa, bukanlah juga untuk memenuhi undangan dan takwim, bukanlah tempat mengisi masa sahaja tetapi perlu lebih kehadapan daripada itu. Saudara Raimi menggariskan 3 dispilin usrah yang harus dihadam oleh ahli usrah iaitu 1) manusia, 2) pemikiran, 3) tindakan. Ketiga-tiga perkara ini merupakan displin hararki bagi ahli jemaah kerana ia akan menentukan kebersanan dan perjalanan usrah. Kita boleh perhatikan kenapa sistem usrah semakin lesu dan faktor utamanya ialah manusia itu sendiri. Mereka yang rata-rata hadir ke usrah mungkin kerana tiada kesungguhan dan tidak bersedia untuk belajar, mengajar dan diajar. Ini adalah kesilapan yang paling besar. Satu kebodohan yang paling jelas bila dalam usrah disibukkan dengan whatsapp untuk berhubung dengan dunia luar sedangkan masalah dalaman masih belum dapat diselesaikan. Al-mathurat sekejap-sekejap. Bacaan al-Quran menguap-nguap. Solat tercungap-cungap. Makan perlahap sahaja. Inilah masalah utama yang membuatkan sistem usrah semakin mundur, kaku, lemah, tumpul dan sebagainya. Saya belum lagi membincangkan soal pemikran dan tindakan. Cukuplah satu perkara dahulu. Ahli usrah perlu sedar. Kehadiran hati sangat utama berbanding dengan jiwa. Kita yang mencorakkan sistem seperti nabi Muhammad SAW sebut iaitu manusia dilahirkan dalam fitrah. Ibu bapanya yang mewarnai dan menghidupkannya sama dia jadi islam dan kafir. Begitulah usrah, usrah adalah fitrah. Ahli usrah perlu merencanakannya. Saya yakin, jika perkara pertama dapat dibentuk semula, pasti setiap ahli jemaah mampu menjadi berkemajuan dan berketerampilan di mata Allah dan manusia. Saya yakin bahawa sistem bukanlah punca kepada kemunduran tetapi jiwalah yang punca kepada kemunduran itu. Sebagai contoh, kalau kita memandu BMW tetapi dengan kelajuan 200km/h boleh jadi kemalangan. Kalau kita memandu Kancil dengan kelajuan 50km/h tetapi sibuk dengan telefon bimbit pasti juga kemalangan. Yang benarnya adalah kita! Kita yang memandu! Kitalah yang mencorakkannya! Kitalah yang membina! Kitalah segalanya! Kalau kita tidak lakukan sekarang. Pasti perubahan kebangkitan islam tidak akan berlaku. Saya yakin! Kalau berlaku pun mungkin sekejap dan tidak mampu bertahan lama.

Perkara lain yang disentuh ialah tentang pengertian nadi. Perkara ini agak unik bagi saya kerana bukan dalam bidang saya. Saya sangat kagum dengan manusia yang mahir dalam bidang sains, matematik, kejuruteraan dan perubatan. Saya banyak mempelajarinya dari teman-teman dan buku yang ditulis oleh Dr. Danial. Saudara Raimi menyatakan bahawa denyutaan nadi persaat yang normal bagi setiap manusia adalah 40 denyutan. Lagi cepat denyutan lagi berpenyakit dan lagi rendah lagi baik untuk kesihatan, ini kerana dikatakan pemain bola sepak mempunyai dalam linkungan 30 denyutan nadi persaat. Betulakan jika saya salah...Jika manusia memerlukan nadi dan begitulah jemaah. Jemaah memerlukan nadinya tersendiri iaitu Usrah. Saya teringat ungkapan seorang tokoh agamawan yang disegani iaitu Ustaz Mohd Naim Mohd Noor. Beliau berkata: “jangan ada minggu yang berlalu tanpa hadir usrah. Yakinlah, dengan hadir usrah hidup lebih terarah”. Saya sangat terkesan dengan kata-kata ini. Lebih terkesan apabila saudara Raimi mengingatkan kembali perkara ini. Kita harus sedar bahawa rukun jemaah ialah usrah. Usrah sangat penting. Keutamaanya boleh dielakkan dengan tiga perkara iaitu suruhan Allah, panggilan ibu bapa dan kerja ataupun pelajaran. Jika 3 sebab ini tidak ada, maka kewajipan jatuh untuk ahli jemaah untuk menghadirinya. Runtuhnya jemaah adalah disebabkan usrah. Usrah diabaikan dan perkara lain diutamakan. Kita mesti tegas dan berpendirian. Jika hari isnin adalah usrah, kita mesti hadir dan segala program lain perlu dielakkan walaupun ia berkaitan dengan jemaah. Sekali lagi saudara Raimi menegaskan bahawa kalau tidak ada usrah akan matilah jemaah. Akan menyebabkan jemaah sakit dan banyak masalah. Yang paling ditakuti ialah menuju kearah kehancuran.

Antara buku yang harus dijadikan panduan dan kekuatan seperti kitab SOFHAT MIN SOBRI AL-ULAMA’ oleh Abdul Fatah. Buku Petunjuk Sepanjang Jalan oleh Syed Qutb, Kesatuan Gerakan oleh Fathi Yakan, Generasi Pemuda dan Perubahan oleh Fathi Yakan, Fiqh Keutamaan oleh al-Qardhawi  dan lain-lagi buku gerakan yang perlu kita hadam. Kitab lain seperti tafsir muktabar juga jangan diabaikan kerana ia adalah asas. Hadis-hadis dari kutub sittah juga harus dipelajari. Ahli jemaah perlu hadam dan mengerti perkara asas dahulu untuk menghidupkan semula kebangkitan islam supaya tidak mudah terpesong dan salah penafsiran. Jika salah penafsiranlah yang akan menyebabkan kemunduran dan kacau bilau terhadap agama. Seharusnya bagi ahli jemaah apabila buku-buku ini dikhatam dan dikupas, mereka harus ada sifat perubahan dalam diri untuk bertindak dalam erti kata lain resolusi daripada hasil perbincangan tersebut. Jika perkara ini dapat diamalkan, ya Allah, barulah umat islam akan dapat mengembalikan kebangkitan islam jilid kedua. Insya-Allah.

Selain itu, usrah juga disebut life long learning yang membawa maksud belajar seumur hidup. Ini juga dianjurkan oleh nabi Muhammad iaitu menuntut ilmu adalah wajib bagi setiap orang yang beragama islam bermula dari kecil sehingga ke liang lahad. Kita bukan terhenti pada satu-satu ketika sahaja. Dan bila suka sahaja mahu dan tidak suka tidak mahu hadir untuk menuntut ilmu. Saya ingin jelaskan  bahawa ilmu ini perlu dipaksa untuk mempelajarinya iaitu membawa erti kesungguhan semaksimum yang mungkin untuk menuntut ilmu. Inilah yang dikatakan long life learning. Sebagai contoh lain, jika kita perhatikan kisah Nabi Musa dan Khidir dalam surah al-Kahfi daripada ayat 60-82, kita akan dapati satu kisah iaitu bagaimana seorang Nabi iaitu utusan Allah sentiasa istiqamah dalam menuntut ilmu dan sentiasa merendah diri.  Begitulah usrah, ahli harus harus mencontohi sikap dan teladan Nabi Musa dan bukan terhenti pada masa dan tempat tertentu. Jika berlaku, maka terang lagi bersuluh ahli usrah itu akan menyebabkan usrah itu mati!

Usrah bukan satu tempat persinggahan dan tempat bermain serta bersuka ria. Usrah merupakan satu sistem yang membentuk pontensi ahli usrah tersebut. Usrah membina jati diri. Usrah membina pemikiran. Usrah adalah tempat perbincangan yang tuntas dan padu. Silibus usrah mesti bersistematik dan ada hala tuju. Usrah juga adalah tempat menjana idea dan mencari resolusi terhadap masalah yang berlaku. Bahkan usrah matlamat akhirnya bukan hanya untuk memiliki kebaikan di dunia namun ingin memperoleh keredhaan Allah di akhirat kelak.

PENUTUP

Para pembaca yang dirahmati Allah sekalian. Kita umat islam memiliki garis panduan yang jelas. Garis panduan tersebut ialah Maqasid Syariah yang berpegang teguh dengan sumber perundangan islam iaitu al-Quran, Hadis Rasulullah yang shahih, Ijma’, Qias dan sebagainya. 4 perundangan islam yang asas ini akan menjamin kesejahteraan hidup yang mencakupi 5 perkara asas Maqasid Syariah iaitu agama, jiwa, akal, harta dan keturunan.

Maka dengan semua  perkara asas di atas dapat dihadam, insya-Allah, saya percaya usrah yang sedia ada mampu membangkitkan kebangkitan islam jilid 2.
Akhir kalam, saudara Raimi berkongsikan satu potong ayat al-Quran.  Allah berfirman dalam surah ali-‘Imran ayat ke-79:

مَا كَانَ لِبَشَرٍ أَن يُؤْتِيَهُ اللَّهُ الْكِتَابَ وَالْحُكْمَ وَالنُّبُوَّةَ ثُمَّ يَقُولَ لِلنَّاسِ كُونُوا عِبَادًا لِّي مِن دُونِ اللَّهِ وَلَٰكِن كُونُوا رَبَّانِيِّينَ بِمَا كُنتُمْ تُعَلِّمُونَ الْكِتَابَ وَبِمَا كُنتُمْ تَدْرُسُونَ
Tidaklah patut bagi seseorang manusia yang Allah berikan kepadanya Kitab ugama dan hikmat serta pangkat Nabi, kemudian ia tergamak mengatakan kepada orang ramai: "Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang menyembahku dengan meninggalkan perbuatan menyembah Allah". Tetapi (sepatutnya ia berkata): "Hendaklah kamu menjadi orang-orang Rabbaniyin (yang hanya menyembah Allah Taala - dengan ilmu dan amal yang sempurna), kerana kamu sentiasa mengajarkan isi Kitab Allah itu, dan kerana kamu selalu mempelajarinya.

2 perkara penting yang boleh kita ambil dari kalam Allah ini iaitu pertama kita mesti berilmu, beramal dan terus berlajar. Kedua, kita mesti menyampaikan apa yang diajar kepada umat islam dan dalam erti kata lain ialah apakah tindakan yang boleh kita berjasa untuk umat setelah kita fahami ilmu tersebut.

Oleh itu, mudah-mudahan, para pembaca sekalian mendapat sedikit pencerahan tentang pengamatan cara hidup dan bagaimana sistem usrah itu mampu membina kebangkitan islam. Saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa yang boleh merubah dunia bukan orang lain tetapi kitalah yang akan menjadi agen perubah untuk diri, keluarga, masyarakat, negara dan agama. Jangan hanya berkata-kata kosong dan berangan tanpa tindakan. Lakukankanlah sesuatu. Percayalah, jika kita menolong agama Allah, Allah akan permudahkan segala urusan kita tanpa diduga seperti murah rezeki, kebahagian, kesenangan, kekayaan, berjaya dalam kerjaya ataupun peperiksaan dan sebagainya.
Wallahu a’lam.


Comments (0)