بسم الله الرحمن الرحيم
Usrah Umum KLMU 16/12/2015.

PERANAN MAHASIWA BITARA

Mukadimah

1.     Siapakah Mahasiwa? Mahasiswa ialah penuntut ilmu. Nabi Muhammad SAW menyebut: “Menuntut ilmu adalah satu kewajipan bagi setiap muslim”. Di dalam memahami konsep menuntut ilmu, mahasiswa perlu mengimani dua konsep teras iaitu bersungguh-sungguh serta tawakal. Kedua- dua perkara ini tidak boleh dipisahkan. Islam mengukur seseorang itu bukan semata-mata kepada keputusan tetapi islam melihat bagaimana seseorang muslim itu bersungguh-sungguh untuk melakukan sesuatu pekerjaan tersebut. Perkara ini jelas disebut di dalam kitab Akhlah Islamiyyah antaranya “Al-Akhlak wa Mi’yaruha Baina Wadhi’iah wa Ad-Din” oleh Dr. Abdul Hamid. Islam melihat usaha seseorang tersebut adapun falsafah bukan islam iaitu melihat kepada keputusannya contohnya, bagi mereka ialah mendapat ijazah dengan meniru bukanlah satu kesalahan yang besar tetapi mesti dapatkan ijazah itu tidak kira bagaimana caranya yang penting berjaya ataupun gagal, jika gagal maka terserlah bahawa dia tidak pernah berusaha namun sebaliknya islam tidak!. Begitu jugalah Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) sangat menititberaktkan konsep ilmu sehinnga “memugar budaya ilmu dan berakhlak mulia” telah menjadi salah satu daripada budaya 7 gerakan yang menuntut ilmu mesti dengan cara yang betul dan ikhlas kerana Allah serta berusaha bersungguh-sungguh untuk melakukannya.

2.     Ilmu dikategorikan kepada dua. Ilmu fardhu ain dan ilmu fardhu kifayah. Yang pertama yang wajib difahami oleh setiap muslim ialah ilmu fardhu ain seperti solat. Kedua ialah fardhu kifayah, ilmu ini harus dikuasai oleh sebilangan sahaja dari kalangan muslim seperti perubatan. Dewasa ini, ilmu fardhu ain sudah kian dilupakan oleh muslim. Perkara asas seperti solat, puasa dan zakat sudah lagi tidak ditititberatkan namun yang menjadi keutamaan bagi sesetengah mereka adalah ilmu teknologi, sains, perubatan dan lain-lain. Islam tidaklah melarang muslim itu untuk menguasai ilmu fardhu kifayah tetapi bagaimanakah konsep desekularisasi dapat diterapkan dengan sempurna terhadap kedua-dua ilmu tersebut. Inilah yang ditekankan oleh Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam iaitu konsep desekularisasi iaitu mengabungkan revealed knowledge dan acquired knowledge. Apabila kita membaca sebuah buku karya Prof Wan Mohd Nor Wan Daud  iaitu “Budaya Ilmu” membincangkan tentang konsep keperluan dan aspek ilmu,  konsep budaya ilmu, islamisasi terhadap suatu ilmu, ciri-ciri ilmu yang boleh diteladani dan diikuti dan bagaimana konsep ilmu boleh mempengaruhi isu-isu semasa. Buku ini wajar dimiliki dan dibaca oleh semua umat.

3.     3 persoalan yang harus dijawab oleh setiap mahasiwa. 3 persoalan ini perlu dikupas dan dihadaam dengan baik. 1) apakah matlamat, impian dan cita-cita seorang mahasiwa. 2) bilakah seorang mahasiwa dapat merealisasikannya?. 3) bagaimanakah cara dia memperolehinya dan menyumbang?. 3 persoalan  diatas merupakan perkara asas. Mereka perlu jelas dengan matlamat sendiri serta perlu peka dengan keadaan yang bakal dihadapi. Insya-Allah kejayaan akan menanti mereka. justeru, kita membincangkan soal peranan mahasiswa. Perkara ini sangat penting. Akan penulis membuat konklusi dengan artikel yang ringkas dengan sepotong ayat al-quran yang menjelaskan apakah peranan mahasiswa dan haknya.

Peranan Mahasiwa.

1.    Hak individu.

Perkara ini perlu jelas oleh setiap mahasiswa. Apakah matlamatnya. Jadi persoalan itu harus dijawab oleh empunya badan. Dia yang lebih tahu keadaan dirinya bahkan dia juga tahu apakah yang ingin dicapainya. Hak untuk diri sendiri sangat penting kerana jika diri sudah bersedia dan bersiap, dia mampu membantu keluarga, umat dan agama. Begitulah ayat al-quran menyebut dalam surah At-Tahrim ayat ke-6:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ

“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala)...”

Di dalam tafsir ibn kathir menjelaskan beberapa perkara penting mengenai ayat ini. Beliau menukilkan hadis-hadis  yang shahih daripada rasulullah SAW antara kepentingannya ialah: taat kepada perintah Allah dan menyuruhkan ahli keluarga sentiasa mengingati perintahnya, jangan melakukan perkara yang mungkar dan berbuat maksiat kepada Allah serta menganjurkan konsep pendidikan terhadap anak-anak bermula daripada anak kecil dengan beribadat kepada Allah. Inilah yang dikatakan hak mahasiswa untuk diri sendiri. Menuntut ilmu adalah asas dan semua perkara diatas memerlukan ilmu. Ilmu perlu diamati dan dipraktikan di dalam kehidupan seharian. Sebagai mahasiswa bitara, konsep belajar, belajar dan mengajar perlu bersemadi di dalam hati.

Ketahuilah, hak individu ini jangan disalahertikan dan difahami. Islam tidak mengajar umatnya sifat ananiah iaitu keakuan. Islam sangat menegah hal ini. Hak individu ini merupakan persiapan awal untuk membentuk jati diri yang unggul. Perhatikan sejarah islam terutama zaman Rasulullah SAW. Pendidikan yang diterapkan oleh Baginda SAW kepada para sahabatnya adalah saling membantu antara satu sama lain. Satu ilmu yang dipelajari terus diamalkan serta berkongsi dengan para sahabat  yang lain.

Oleh itu, jika hak yang asas ini sudah dapat dikuasai, insyallah dengan izin-Nya individu tersebut mampu melangkah jauh serta boleh membimbing keluarga, umat dan memelihara agama. Boleh dikatakan bahawa hak untuk diri sendiri adalah prioriti yang utama.



2.     Hak untuk keluarga.

Universiti telah melahirkan mahasiswa yang berkaliber dengan bidang yang pelbagai. Ada yang rancak di medan perdebatan , ada yang gah dengan jawatan, ada yang menempah nama dalam penulisan, ada yang terkenal dengan kesukanan, ada yang masyhur dengan kepimpinan, ada yang menjadi cendiakawan, ada yang jadi sasterawan, ada yang menjadi politikus, ada yang nampak pandai, ada yang bodoh sombong, ada yang angkuh dan pelbagai ragam mahasiswa yang boleh didapati di universiti. Persoalannya, apakah dengan segala kemahiran dan kelebihan yang ada itu mereka sudah berkhidmat dan berjasa kpeada keluarga sendiri?

Sungguh, sebahagian mahasiswa  kehebatannya itu tidak dikongsi dan diraikan bersama keluarga. Ibu bapa di rumah dilupakan. Ibu bapa di kampung diabaikan. Ibu bapa yang sakit dibiarkan. Dimanakah haknya seorang mahasiswa untuk keluarga. Adakah hak keluarga itu tidak lagi menjadi satu kepentingan bagi mahasiswa. Mahasiswa sekarang rakus dengan jawatan dan harta. Mahasiswa sekarang sibuk bercinta kononya itulah cinta pertama dan paling bahagia. Mahasiswa sekarang mudah lupa diri dan keluarga. Bagi sesetengah mereka masa depan dan kawan lebih penting daripada yang lain.

Setiap mahasiswa itu mempunyai hak bersama keluarga. Hak terhadap ibu bapa sangat besar ganjarannya. Setinggi gunung harta pun jika dikumpul belum tentu lagi dapat membalas jasa ibu bapa. Terdapat perintah dan suruhan Allah SWT kepada hamba-Nya untuk berkhidmat kepada keluarganya terutamanya apabila hak sendiri sudah cukup dengan keperluan yang ada.

Ingatlah firman Allah di dalam al-quran  surah al-Israk ayat ke-83:

وَإِذْ أَخَذْنَا مِيثَاقَ بَنِي إِسْرَائِيلَ لَا تَعْبُدُونَ إِلَّا اللَّهَ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا وَذِي الْقُرْبَىٰ وَالْيَتَامَىٰ وَالْمَسَاكِينِ وَقُولُوا لِلنَّاسِ حُسْنًا وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ وَآتُوا الزَّكَاةَ ثُمَّ تَوَلَّيْتُمْ إِلَّا قَلِيلًا مِّنكُمْ وَأَنتُم مُّعْرِضُونَ

( 83 )   Dan (ingatlah wahai Muhammad), ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan Bani Israil (dengan berfirman): "Janganlah kamu menyembah melainkan Allah, dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, serta orang-orang miskin; dan katakanlah kepada sesama manusia perkataan-perkataan yang baik; dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat". Kemudian kamu berpaling membelakangkan (perjanjian setia kamu itu) kecuali sebahagian kecil dari kamu; dan sememangnya kamu orang-orang yang tidak menghiraukan perjanjian setianya.

Begitu juga di dalam firman Allah di dalam surah Al-Israk ayat ke-23:

وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا ۚ إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِندَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُل لَّهُمَا أُفٍّ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَوْلًا كَرِيمًا


 “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).”

3.     Hak untuk umat.

4.     إنمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُون
Ertinya:Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.(al-Hujrat:10)
sabda nabi Muhammad SAW: “Seorang Muslim itu adalah saudara kepada muslim yang lain, dan dia tidak menzaliminya dan dia juga tidak membiarkan saudaranya disakiti serta menolong dan mempertahankannya. Hadis nabi Muhammad SAW yang shahih dalam kitab “Al-Mujam Al-Ausath” karya Ath-Thabarani menyebut:

5.     من لم يهتم بأمر المسلمين فليس منهم
Ertinya: “sesiapa yang tidak mengambil berat tentang urusan orang islam maka dia bukan dalam kalangan mereka.”

Hadis Nabi Muhammad SAW daripada riwayat Muslim Nabi Muhammad SAW bersabda: “ Sesiapa yang berjihad menentang dengan tangan, maka dia ialah Mukmin. Sesiapa yang berjihad menetang mereka dengan lisan, maka dia ialah Mukmin. Sesiapa yang berjihad menentang mereka dengan hati, maka dia ialah mukmin. Selepas tiga peringkat, tidak ada lagi iman walaupun sebesar sebiji sawi.”

6.     Hak untuk agama.

Hak untuk agama merupakan paksi yang paling utama. Hak untuk individu, hak untuk keluarga dan hak kepada umat tidak dapat direalisasikan tanpa pegangan agama yang betul. Berbezanya umat islam dengan umat bukan islam adalah agamanya. Setiap apa yang dilakukan oleh mahasiswa yang beragama islam mesti berlandaskan syariat islam dari segi menuntut ilmunya, mensucikan hatinya, berjasa untuk keluarganya serta berkhidmat untuk umat kerana terdapat beberapa perkara yang sangat ditegah oleh islam seperti hak individu dengan mempelajari ilmu sihir untuk menyihirkan orang. Perkara seperti ini perlu jelas dan difahami oleh mahasiswa islam. Antaranya hadis yang paling popular iaitu setiap pekerjaan perlu dimulkan dengan niat.

Firman Allah di dalam al-quran surah ali-Imran ayat ke-85:

وَمَن يَبْتَغِ غَيْرَ الْإِسْلَامِ دِينًا فَلَن يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الْآخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِينَ

Dan sesiapa yang mencari ugama selain ugama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi.

Maka penting bagi umat islam mengikuti perkara-perkara yang disuruh oleh Allah dan rasul-Nya serta meninggalkan perkara yang ditegah oleh-Nya. Insya-Allah, dengan pegangan akidah islam yang teguh, mahasiswa tidak akan menjadi seperti Lalang yang ditiup angin tetapi akan menjadi seperti pokok Kelapa yang sangat kukuh walaupun ribut memukulnya.

Kesimpulan

1.     Yang pertamanya, kewajipan menuntut ilmu merupakan satu tuntutan bagi seluruh umat islam. Al-quran dan sunnah nabi Muhammad SAW perlu dipelajari dan diamalkan.

2.     Buku Fiqh Keutaman karangan al-Qardhawi perlu dibaca dan dihadam oleh seluruh mahasiswa khususnya yang beragama islam.

3.     Susunan peringkat hak ini fleksibel. Boleh jadi hak kepada keluarga diutamakan lagi mengikut keadaan, masa dan tempat. Buku Fiqh Jihad wajar dibaca oleh mahasiswa.

4.     (...إن لربك عليك حقا ولنفسك عليك حقا ولأهلك عليك حقا فاعط كل ذي حق حقه) Ini merupakan pesanan ringkas yang cukup padat bagi mahasiswa. Kata-kata hikmah ini adalah hadis Rasulullah SAW yang membawa maksud :

“Sesungguhnya Allah telah memberikan kepada kamu hak iaitu hak itu Allah iaitu islam, hak untuk individu dan hak untuk ahli keluarga kamu, maka hendaklah kamu memberi hak kepada yang selayakanya”.

5.     Hak untuk agama adalah paksi kepada setiap perkara. Semua perkara boleh diselesaikan dengan agama iaitu agama islam dengan sumbernya syaraiah yang utamanya ialah al-quran dan hadis.

6.     Wallahu a’lam. Semoga Allah merahmati kita semua dalam mencari keredhaannya dan mengembalikan kembali zaman kegemilangan islam di pentas dunia. Jika ada penulisan yang salah, mohon dibetulkan. Yang baik itu daripada Allah, dan yang buruk adalah daripada kelemahan penulis ini.


Comments (0)