Al-quran adalah mukjizat nabi Muhammad SAW yang telah diturunkan oleh Allah melalui perantaraan malaikat Jibril. Al-quran adalah satu-satunya kitab yang unggul dan ianya kekal hingga ke hari Kiamat. Sesungguhnya Allah telah memelihara al-quran daripada diubah, ditukar dan dipesongkan. Benarlah firmah Allah di dalam al-quran surah Al-Hijr ayat ke-9:

إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ.
 “Sesungguhnya Kami telah menurunkan peringatan itu (al-quran) dan Kami juga yang akan memeliharanya”.

         Pada jam 6 petang bertarikh 21/4/2015. Saya bersendirian di masjid untuk menenangkan fikiran kerana ketika itu fikiran sangat kusut dan bercelaru. Sedang saya berehat, Saya didatangi dua orang lelaki dewasa dan terus menghampiri saya. Kami bersalam dan berbual kosong pada permualaannya. Inilah konsep islam yang mengajar umatnya saling berkenal-kenalan walau berada dimana-mana sahaja tanpa mengira waktu dan keadaan seperti firman Allah SWT di dalam surah Al-Hujat ayat ke-9:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ.
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).

         Maka jelas disini, seruan keatas umatnya untuk berkenalan, berkongsi buah fikiran dan pengalaman, mengeratkan silaturrahim dan saling bantu-membantu. Kesatuan inilah yang menjadikan umat islam akan bertambahkan kuat dan digeruni oleh orang yang menentang islam.


Persoalan.

         Tiba-tiba seorang lelaki dewasa itu cuba menimbulkan satu persoalan dan pada awalnya saya sudah dapat mengagak apa yang akan ditanya kerana ketika dalam sesi pengenalan, saya mengatakan saya mengambil jurusan Bahasa Arab. Dia bertanya : “Kenapa al-quran diturunkan di dalam bahasa arab”. Saya hanya mendiamkan diri kerana saya juga menanti apa sebenarnya yang dia hendak maksudkan. Dia pun membicara serba sedikit dan saya hanya mengangguk tanda setuju walaupun ada beberapa perkara yang saya tidak bersetuju. Keadaan saya yang bertambah kusut lagi ditambah kekusutan itu. Daripada ingin mencari ketenangan terus diubah ingin mencari jawapan penyelesaian. Dugaan dan cabaran sentiasa akan hadir. Benarlah kata-kata Said Nursi Badiuzzaman: “Hidup ini tiada yang kebetulan, semuanya sudah direncanakan”.

Oleh itu, saya mengambil pendekatan untuk menulis berkenaan persoalan diatas. Penulisan ini akan menjelaskan kenapa Al-Quran diturunkan didalam Bahasa Arab dan kenapa tidak bahasa lain. Penulisan ini juga tidaklah akan memfokuskan apa yang dibincangkan pada hari tu kerana perbincangan sungguh ke laut! Namun saya akui mereka adalah orang yang hebat kerana banyak ilmu yang saya dapat ketika itu dan mereka memberikan kata-kata semangat untuk meneruskan pengajian di dalam jurusan Bahasa Arab ini. Terima kasih. Semoga Allah merahmati kalian di dunia dan di akhirat. Amin.
         Allah berfirman di dalam surah Yusuf ayat ke-1 dan ke-2.

الر ۚ تِلْكَ آيَاتُ الْكِتَابِ الْمُبِينِ. إِنَّا أَنزَلْنَاهُ قُرْآنًا عَرَبِيًّا لَّعَلَّكُمْ تَعْقِلُونَ.
( 1 )   Alif, Laam, Raa'. Ini ialah ayat-ayat Kitab Al-Quran yang menyatakan kebenaran. (2)  Sesungguhnya Kami menurunkan kitab itu sebagai Quran yang dibaca dengan bahasa Arab, supaya kamu (menggunakan akal untuk) memahaminya.

         Ini adalah dalil yang jelas dan cukup autentik untuk kita berpegang dengannya. Ayat al-quran ini menjelaskan kenapa al-quran itu diturunkan ke dalam bahasa arab iaitu supaya kita berfikir dan memahaminya. Apakah maksud tersirat dari ayat ini? Mesti kita masih terfikir adakah ini sahaja jawapan yang Allah beri ataupun adakah ada rahsia disebaliknya. Seperti yang jelaskan diatas bahawa al-quran adalah kalam Allah dan ianya merupakan mukjizat nabi Muhammad SAW yang paling unggul dan kekal selama-lamanya.

         Saya bawakan para pembaca sekalian apa yang ditafsirkan oleh mufassirin iaitu para pentafsir al-quran:

1.  1)   Ibnu kathir dalam Mutktasar Tafsir Ibni Kathir menyebut: “kerana bahasa arab itu adalah bahasa yang paling jelas, tepat dan luas bahasanya, meresap ke dalam jiwa-jiwa. Maka dengan sebab itu, ianya diturunkan kepada semulia-mulia buku dengan semulia-mulia bahasa, kepada para utusan yang mulia, melalui perantaraan malaikat yang mulia, untuk mengurus bumi. Diturunkan di dalam bulan ramadhan.”

2.  2)   Di dalam tasfir Thabari meyebut: “ Abu Ja’far telah berkata: Allah SWT telah berfirman di dalam al-quran, Sesungguhnya Kami telah menurunkan al-quran yang hebat ini ke dalam bahasa arab kepada orang arab kerana percakapan dan pertuturan mereka di dalam bahasa arab, maka Kami menurunkannya supaya mereka berfikir dan memahami”.

3.  3)  Di dalam tafsir Jalalayn: “(Sesungguhnya Kami menurunkannya berupa Alquran dengan berbahasa Arab) dengan menggunakan bahasa Arab (agar kalian) hai penduduk Mekah (memahaminya) memahami makna-maknanya.
4.     Di dalam Tafsir Tafheem Maududi menyebut: “Ini tidak bermakna bahawa Quran ini diturunkan secara eksklusif untuk orang-orang Arab. Apa yang dimaksudkan dengan ayat ini: "Untuk semua orang dan wahai orang-orang Arab, anda perlu memahami kecemerlangan al-Quran, yang merupakan bukti pasti Wahyu Ilahi yang menjadi, kerana ia adalah dalam bahasa anda sendiri dan anda tidak mempunyai alasan mengemukakan bahawa dalam bahasa asing yang anda tidak faham. "

Maka timbullah persoalan. Adakah al-quran ini khususnya untuk manusia yang berbangsa arab yang mana mereka adalah golongan yang memahami bahasa arab? Jawapannya TIDAK! Kerana Allah SWT tidak menyebut al-quran itu khusus kepada manusia yang berbangsa arab tetapi Dia hanya menyebut al-quran itu diturunkan di dalam bahasa arab supaya setiap manusia yang membaca al-quran di dalam bahasa arab itu dapat berfikir dan memahami.

Namun sekarang boleh kita dapati, semua umat yang berbilang bahasa dan bangsanya mempelajari Al-Quran yang ditulis dalam Bahasa Arab sama ada dari barat hinggalah ke timur. Kitab itu dikaji, ditafsir, dibaca, diterjemah dan sebagainya oleh setiap umat bahkan umat yang bukan beragama islam pun mengkajinya.

Ia jelas, bahawa keunikan Bahasa Arab yang terdapat di dalam al-quran mempunyai satu sistem yang mana tiada bahasa yang dapat ditandingi. Halusnya penulisan Al-Quran itu hanya dapat difahami oleh umat yang berfikir. Berapa ramai umat manusia khususnya berbangsa arab memperaktikan Al-Quran dan adakah mereka semuanya memahami? Saya masih percaya bahawa sebahagian daripada mereka juga tidak memahami apa yang Allah bicara di dalam Al-Quran tersebut walaupun ianya ditulis di dalam Bahasa Arab.

Mukjizat Al-quran dari segi bahasanya

Saya akan memetik beberapa contoh untuk membuktikan bahawa ada hikmah disebalik penuruan al-quran ke dalam bahasa arab. Seperti yang saya jelaskan diatas bahawa bahasa arab adalah bahasa yang paling tepat dan jelas. Setiap perkataannya membawa makna yang pelbagai. Setiap susunan ayat ada maksud yang hendak diceritakan. Di dalam Bahasa Arab sendiri, ia mengandungi kaedah-kaedah yang unik dan ia tidak sama dengan bahasa arab seperti Nahu, Sorof, Balaghah, Bayan, Ma’ani, Syair, i’jaz dan sebagainya. Malahan di setiap cabang ilmu tersebut mengandungi pelbagai lagi bahagian. Saya akan menulis beberapa contoh:

1.     Rahsia balaghah mendahulukan dan kemudian di dalam al-quran.(الأسرار البلاغية للتقديم والتأخير في القرآن الكريم.)

Dalam sebuah buku yang ditulis oleh Dr. Radhwan Jamal,UIAM telah meletakkan bab ini di dalam bukunya kerana bab ini sangat penting untuk difahami oleh para pecinta al-quran. Beliau memetik sepotong ayat al-quran dalam surah Al-Ahzab ayat ke-56:

إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا
“Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.

Apakah kalian faham dengan ayat ini? Ayat ini cukup luar biasa kerana Allah dan para Malaikat berselawat keatas nabi Muhammad SAW. Ini menunjukkan satu penghormatan besar daripada Allah dan para Malaikat ke atas nabi Muhammad SAW. Namun para pembaca perlu jelas bahawa bukan bermakna Allah menyembah nabi Muhammad SAW!. Di dalam kaedah balaghah ianya dinamakan at-taqdim lilta’zim.

2.     Rahsia harf jar di dalam Al-quran. Apakah harf jar? Di dalam Nahu Arab ianya mengandungi 20 huruf seperti ba’, ta’, ila dan lain lagi. Dan setiap huruf itu mempunyai makna yang pelbagai. Tidak seperti bahasa melayu seperti ‘ke’ berbanding bahasa ‘ila’ yang mana maknya adalah ‘ke’, tetapi Nahu Arab lebih unik daripada itu. Sebagai contoh:

Perkataan ‘ila’ bermaksud ‘ke’ ataupun ‘sehingga’ di dalam Bahasa Melayu. Tetapi di dalam bahasa arab berlainan. Saya memetik maknanya daripada sebuah buku jami’ ad-durus al-a’rabiah( جامع الدروس العربية). Di dalam buku tersebut memberikan defini ‘ila’ ialah penamat ataupun penutup iaitu penutup matlamat masa ataupun tempat. Contoh mudah ialah di dalam al-quran Allah berfirman di dalam surah Al-Baqarah ayat ke-187:

ثُمَّ أَتِمُّوا الصِّيَامَ إِلَى اللَّيْلِ
“Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib)”
Dalam ayat yang lain pula ialah di dalam surah Al-Maidah ayat ke-6:

إذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلَاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ
“apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku”.

Di dalam dua ayat di atas ada sedikit perbezaan maksud ‘ila’ ( ألى) dan para ulama’ sudah membahaskan dengan teliti terutama dari sudut fekah namun disini saya ingin  menghuraikan dari sudut bahasa yang mana saya mempelajarinya dari Ilmu Nahu.

Seperti yang dijelaskan bahawa makna ‘ila’ ialah ke atau sehingga yang mengertikan bahawa ianya tamat ke sesuatu masa dan tempat misalnya di dalam Bahasa Melayu ‘Saya hendak pergi ke masjid’ maksudnya destinasi penamatnya masjid. Begitulah ayat Al-Quran yang pertama yang berkenaan dengan Puasa. Apa yang kita faham ialah kita berbuka apabila maksudnya waktu maghrib dan bukannya hendak tunggu lebih dari waktu maghrib. Itulah syarat puasa.

Namun sebaliknya ayat Al-Quran kedua iaitu yang berkaitan dengan mengambil wudu’ yang mana hendaklah dibasuh tangan itu meliputi siku. ‘ila’ disitu ialah mesti melebihkan sesuatu keadaan yang telah lari makna hakiki perkataan ‘ila’. Inilah keindahan Bahasa Arab dan ianya akan difahami oleh umat yang berakal jika mereka belajar dan sedia mengkaji.

Terdapat banyak lagi contoh-contoh ayat Al-Quran dan Hadis yang menjelaskan keistimewaan Bahasa Arab. Insya-Allah, saya akan mencerita lagi di lain penulisan.

Saya ingin menjelaskan bahawa setiap umat islam perlu mempelajari Bahasa Arab kerana setiap rukun islam yang kita amalkan berkait rapat dengan ilmu Bahasa Arab. Jika kita mempelajari Bahasa Arab bagaimana kita hendak jadi umat yang berakal dan faham Al-Quran kerana Al-Quran itu sendiri diturunkan di dalam Bahasa Arab supaya umatnya berfikir dan memahami.

Masih belum terlambat mempelajari Bahasa Arab. Belajarlah untuk mengislahkan diri. Timbalah ilmu Bahasa Arab untuk lebih dekat dengan Allah. Galilah ilmu Bahasa Arab kerana masih terdapat banyak rahsia yang belum dikaji dan dijumpai oleh umat islam pada zaman ini.


Semoga Allah merahmati kita dan umat islam dalam memartabatkan agama islam di puncak yang tertinggi. Amin. Insya-Allah.

Comments (0)