sambungan

۞ قُلْ تَعَالَوْا أَتْلُ مَا حَرَّمَ رَبُّكُمْ عَلَيْكُمْ ۖ أَلَّا تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا ۖ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا ۖ وَلَا تَقْتُلُوا أَوْلَادَكُم مِّنْ إِمْلَاقٍ ۖ نَّحْنُ نَرْزُقُكُمْ وَإِيَّاهُمْ ۖ وَلَا تَقْرَبُوا الْفَوَاحِشَ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ ۖ وَلَا تَقْتُلُوا النَّفْسَ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالْحَقِّ ۚ ذَٰلِكُمْ وَصَّاكُم بِهِ لَعَلَّكُمْ تَعْقِلُونَ
Katakanlah: "Marilah, supaya aku bacakan apa yang telah diharamkan oleh Tuhan kamu kepada kamu, iaitu janganlah kamu sekutukan dengan Allah sesuatupun; dan hendaklah (kamu) membuat baik kepada ibu bapa; dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana kepapaan, (sebenarnya) Kamilah yang memberi rezeki kepada kamu dan kepada mereka; dan janganlah kamu hampiri kejahatan-kejahatan (zina) yang terang daripadanya dan yang tersembunyi; dan janganlah kamu membunuh jiwa yang telah diharamkan Allah (membunuhnya) melainkan dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh Syarak). Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu memahaminya. (surah Al-An’am:151)

3) Janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takut kemiskinan.
Dalam hal ini, Allah sangat melarang hamba-Nya iaitu membunuh anak kerana takut kemiskinan. Saban hari, apabila kita membaca surat khabar mesti kita akan terbaca kisah bayi dibunuh dengan kejam sekali. Ada yang bayi dibuang dalam tandas. Ada juga bayi dicampak dari tempat tinggi. Ada yang meninggalkan bayi dalam kereta bahkan terdapat juga yang sengaja meninggalkan bayi di lorong-lorong gelap, di masjid dan sebagainya. Nauzubillah. Terang lagi bersuluh bahawa sikap kaum jahiliyyah telah kembali ke zaman 2020 ini.

Di dalam tasfir ibnu kathir, Al-Imam Ibnu Kathir ketika menafirkan ayat ini telah menyebut bahawa: “hal itu kerana mereka terdahulu membunuh anak-anak seperti yang diperintahkan syaitan, mereka mengubur anak-anak perempuan takut kerana aib, dan terlarang, mereka juga membunuh sebahagian anak-anak lelaki kerana takut kemiskinan.” Walaupun ayat ini menceritakan keadaan zaman dahulu tetapi keadaan itu sudah berlaku di hadapan mata kita. Ya Allah. Apakah umat manusia tidak sedar apa yang berlaku ataupun sengaja buat-buat tidak tahu.

Betapa besarnya dosa apabila seseorang membunuh anaknya kerana takut kemiskinan. Dalam hadis Shahih al-Bukhari(4761) dan Shahih Muslim, dari Abdulllah bin Mas’ud, di mana dia pernah bertanya kepada Rasulullah SAW: “Apakah dosa yang paling besar?” Baginda SAW menjawab: “Engkau menjadikan sekutu bagi Allah padahal Dialah yang telah menciptakanmu.” “Lalu apa lagi?” tanyaku. Baginda menjawab: “Engkau membunuh anakmu kerana takut ikut makan bersamamu…”

Al-Imam Ibnu Kathir juga menyebut bahawa firman Allah “من إملقIbnu ‘Abbas, Qatadah, as-Suddi dan yang lainnya berkata: “yaitu kemiskinan.” Maksudnya, janganlah kamu membunuh mereka kerana kemiskinan yang menimpa kamu. Dan manakala kemiskinan itu benar-benar terjadi, maka Allah berfirman ayat selepasnya: “Kami akan memberi rezeki kepadamu dan kepada mereka.”

Di dalam ayat lain juga Allah juga sangat melarang hamba-Nya daripada membunuh anak-anak mereka. Ini adalah satu tegahan dan larangan daripada Allah. Firman Allah dalam surah Al-Isra’ ayat ke-31:

وَلَا تَقْتُلُوا أَوْلَادَكُمْ خَشْيَةَ إِمْلَاقٍ ۖ نَّحْنُ نَرْزُقُهُمْ وَإِيَّاكُمْ ۚ إِنَّ قَتْلَهُمْ كَانَ خِطْئًا كَبِيرًا
“Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kepapaan; Kamilah yang memberi rezeki kepada mereka dan kepada kamu. Sesungguhnya perbuatan membunuh mereka adalah satu kesalahan yang besar.

Di dalam tafsir al-Azhar, Prof Hamka menyebut satu persamaan yang berlaku pada zaman jahiliyah dengan zaman sekarang bahkan zaman sekarang lebih teruk. Beliau berkata: “di zaman jahiliyah benar-benar ada orang yang membunuh anak kerana takut akan miskin. Sampai sekarang masih terdapat bangsa yang miskin menjual anaknya kerana tidak dapat memberi makanan. Tetapi ada yang lebih buruk, yaitu meracun jiwa anak sendiri dengan memberikan didikan yang salah kerana mengharapkan jaminan hidup. Orang yang menyerahkan anaknya masuk sekolah kristian kerana pengaruh pendidikan kolonial yang mengajarkan bahawa hidup yang teratur ialah meniru hidup orang barat dan agama orang barat itu ialah kristian.” Na’uzubillah.

Sungguh tajam pemikiran Hamka dan menampakkan pandangan kehadapan dan realiti yang berlaku. Sememangnya hal ini sudah pun berlaku. Anak-anak lebih cenderung kepada hal dunia berbanding akhirat. Setiap apa yang dilakukan matlamatnya adalah kebahagian dan kejayaan di dunia sedangkan tujuan utama manusia itu diciptakan adalah menjadi khalifah Allah dan menyembah Allah SWT. Ibu bapa yang merosakkan pemikiran anak-anaknya dengan kebatilan juga boleh dikatakan bahawa mereka membunuh anak mereka dengan secara tidak sengaja. Bahkan ada juga ibu bapa yang membiarkan anak mereka membuat sesuka hati tanpa ada batas-batas agama. Ada juga membiarkan anak-anak mereka sakit. Ada ibu bapa yang sibuk dengan hal dunia sehingga mengabaikan tanggungjawab.Semoga Allah memberi hidayah kepada seluruh ibu bapa. Amin

Saya masih percaya bahawa tiada ibu bapa yang tidak sayangkan anak namun mungkin secara peribadi ingin saya katakan bahawa ibu bapa yang melakukan hal sebegitu adalah disebabkan kurang kefahaman bagaimana islam mendidik anak-anak.

Justeru, hargailah anak dengan sebaik-baiknya. Mereka adalah anugerah Allah. Ibu bapa perlulah memainkan peranan dengan baik dalam mendidik anak-anak. Biar ibu bapa tak makan tapi anak-anak makan, biar ibu bapa susah tapi anak senang dengan didikan agama, biar ibu bapa sakit tapi anak sentiasa sihat. Insya-Allah, didikan yang baik kepada anak-anak akan melahirkan generasi yang baik dan kelak mereka akan menyayangi ibu bapa tersebut.

4) Jangalah dekati segala kekejian, sama ada zahir mahupun batin.

Hamka menyebut bahawa: “segala kekejian, dosa, kejahatan, maksiat, penderhakaan dan semua jenis perbuatan yang merugikan diri sendiri, merosakkan agama atau yang merugikan masyarakat, hendaklah dijauhi dan didekati bahkan haram hukumnya jika didekati.”

Terdapat sebilangan ulama’ tafsir mengatakan bahawa fahisyah itu ialah sekalian perbuatan keji yang menjolok mata yang mana sangat dibenci oleh masyarakat, syara’ dan akal dan puncak kekejian itu itu adalah zina.

Syed Qutb juga menyokong bahawa fahisyah di dalam ayat di atas adalah lebih dekat dengan makna perbutaan zina. Beliau menyebut dengan lebih jelas di dalam Tafsirnya Fi Zilalil Quran: “besar kemungkinan bahawa perbuatan zina inilah yang dimaksudkan dengan perbuatan fahisyah dalam ayat ini, kerana ruang pembicaraan di sini ialah menghuraikan perbuatan-perbuatan yang haram dan salah satunya adalah perbuatan zina.”

Bahkan di dalam tafsir ibnu Kathir juga telah menyebutkan hal sedemikian dengan memberikan sebuah dalil daripada hadis nabi Muhammad SAW dan telah diriwayatkan dalam shahih al-Bukhari dan Shahih Muslim (3837). Sa’ad bin ‘Ubadah berkata: “Seandainya aku menyaksikan seorang lelaki bersama isteriku, nescaya aku akan menyebatkan dengan pedang tanpa ampun.” Kemudian hal itu sampai ke Rasulullah SAW, maka beliau pun bersabda: “apakah kalian hairan akan kecemburuan Sa’ad? Demi Allah, aku adalah orang yang lebih cemburu daripada Sa’ad, dan Allah lebih cemburu daripadaku, dari sebab itulah Allah mengharamkan segala perbuatan keji, baik yang tampak mahupun tersembunyi.”

Maka jelas disini bahawa ayat disini memfokuskan hal-hal yang berkaitan dengan zina. Zina ialah persetubuhan yang dilakukan tanpa ada ikatan syara’. Zina adalah satu perbuatan yang sangat keji. Zina adalah dosa yang sangat besar. Zina boleh meruntuhkan akhlak dan memecahkan belahkan umat. Zaman sekarang manusia sudah berani melakukan zina secara terang-terang dan tidak lagi berselindung. Berapa banyak majalah-majalah, filem-filem, laman sesawang dan lain-lain lagi menjaja perbuatan zina. Jika tidak dibendung maka umat akan jaga rosak.

Para pemimpin dan institusi agama perlu memainkan peranan yang penting dalam mencegah yang mungkar dan menggalakkan yang baik iaitu perkahwinan serta kempen-kempen dan ceramah bagi menjelaskan bahawa zina adalah perbuatan yang sangat hina dan jijik
.
Insya-Allah, dengan perlaksaan syariat islam dengan sempurna terutama sekali dalam bab hukum hakam dan perundangan. Saya sangat menyokong hudud dilaksanakan dengan tulus dan sistematik. Hukum islam bukanlah semata-mata ingin melaksanakan hukuman tapi hukuman islam itu adalah hukuman yang mendidik. Itulah islam membawa kesejahteraan kepada sekalian umat.

5) Jangan membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah kecuali dengan hak.

Perkara yang kelima yang dilarang oleh Allah dalam surah Al-An’am ayat ke-151 ini menceritakan perihal janga membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah kecuali dengan hak. Insya-Allah saya akan kupaskan dengan 
beberapa keadaan yang boleh kita faham dengan realiti semasa. Ini sangat penting kerana zaman sekarang telah banyak berlaku fitnah sehingga berlaku pembunuhan terutama jika berbeza pendapat dalam hal-hal besar dan kecil seperti isu aqidah tentang menyamakan Allah dengan yang lain, isu fekah seperti perbezaan pendapat mazhab yang terlampun taksub, isu jihad, isu keselamatan dan lain-lain. Semua ini perlu dipelajari dan difahami.

Perkara pertama yang iaitu berkaitan dengan darah seorang Muslim. Terdapat hadis dalam Shahih al-Bukhari(6878) dan Shahih Muslim yang diriwayatkan daripada Ibnu Mas’ud, Rasulullah SAW bersabda: “tidak halal darah seorang muslim yang bersaksi bahawa tidak ada tuhan yang disembah melainkan Allah dan aku adalah rasulullah, kecuali kerana salah satu sebab daripada tiga sebab iaitu: seorang duda atau janda yang berzina, jiwa dengan jiwa (qisas) dan orang yang meninggalkan agamanya yang memisahkan diri dari jama’ah (kaum muslimin).” Tiga perkara sahaja yang disebut dalam hadis ini yang mana halal darahnya.

Perkara kedua adalah berkaitan dengan sebab. Mestilah berlaku pembunuhan itu ada sebab bukan ikut suka hawa nafsu sahaja. Allah 
berfirman di dalam surah Al-Maidah ayat ke-32:

مِنْ أَجْلِ ذَٰلِكَ كَتَبْنَا عَلَىٰ بَنِي إِسْرَائِيلَ أَنَّهُ مَن قَتَلَ نَفْسًا بِغَيْرِ نَفْسٍ أَوْ فَسَادٍ فِي الْأَرْضِ فَكَأَنَّمَا قَتَلَ النَّاسَ جَمِيعًا وَمَنْ أَحْيَاهَا فَكَأَنَّمَا أَحْيَا النَّاسَ جَمِيعًا ۚ وَلَقَدْ جَاءَتْهُمْ رُسُلُنَا بِالْبَيِّنَاتِ ثُمَّ إِنَّ كَثِيرًا مِّنْهُم بَعْدَ ذَٰلِكَ فِي الْأَرْضِ لَمُسْرِفُونَ
“sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkan membunuh orang itu, atau (kerana) melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya; dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya.

Perkara ketiga ialah Allah sangat murka kepada sesiapa yang membunuh orang yang beriman dengan sengaja dan pastinya tempat mereka itu di dalam neraka jahanam. Allah berfirman di dalam surah an-Nisa’ ayat ke-91:

وَمَن يَقْتُلْ مُؤْمِنًا مُّتَعَمِّدًا فَجَزَاؤُهُ جَهَنَّمُ خَالِدًا فِيهَا وَغَضِبَ اللَّهُ عَلَيْهِ وَلَعَنَهُ وَأَعَدَّ لَهُ عَذَابًا عَظِيمًا
“Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah neraka jahanam, kekal ia di dalamnya, dan Allah murka kepadanya, dan melakanatkannya serta menyediakan baginya azab seksa yang besar.

Hamka menyebut: “segala jiwa ini diharamkan oleh Allah, atau Allah memberi hak hidup bagi setiap jiwa. Sebab itu janganlah kamu membunuh orang. Jangan menghilangkan satu jiwa manusia. Sejak dari anak yang masih dalam kandungan, orang tua yang dekat ajalnya pun janganlah kamu membunuh. Kerana selama nafas itu masih turun naik, mereka masih diberi hak untuk hidup langsung oleh Allah termasuk juga membunuh diri.”

Al-Imam ibnu Kathir juga menyatakan bahawa ayat ini ialah: “ ini tidak lain adalah ketetapan Allah SWT atas larangan membunuh sebagai suatu penekanan, sebab hal itu telah termasuk dalam larangan berbuat keji baik yang zahir mahupun tersembunyi.”

Perkara keempat adalah berkaitan membunuh kerana terpaksa. Apakah membunuh itu dilarang oleh Allah dan apabila ada orang ingin membunuh kita, kita membiarkannya. Ini adalah kefahaman yang salah. Seharusnya kita melawan dan mempertahankan hak kita. Sebab hak hidup juga adalah hak milik kita. Sebab itu terdapat dalam hadis  Shahih Bukhair yang diriwayatkan oleh Abdulullah bin ‘Amru dia mendengar nabi Muhammad SAW menyebut: “sesiapa yang mati kerana pertahankan hartanya dia adalah syahid”. Zaman sekarang misalnya kes rompakan, ragut dan pecah rumah pasti berlaku kes pembunuhan terutama mangsa namun tidak pesalah. Maka saya menyeru kepada semua umat manusia. Pertahankan diri, keluarga kamu, harta kamu dan hak umat manusia, dan jika perlu berbunuh, maka lakukannlah supaya pesalah itu tidak akan wujud dan tidak akan berlaku lagi kes seperti ini. Inilah islam! Ia mengajarkan erti hak kesamarataan dan sememangnya kita perlu pertahankan hak kita dan jangan biarkan orang lain merampas hak kita dengan sewenang-wenangya. Berlajarlah ilmu persilatan dan ilmu pertahankan dan janganlah menyalahkan gunakannya.

Dan akhir sekali saya ingin menegaskan bahawa islam adalah agama kedamaian, kesejahteraan dan memberi rahmat kepada sekalian. Islam tidak mengajar umatnya saling membunuh sama ada terhadap bukan islam apatah lagi jika islam. Terdapat sebilangan ulama’ yang cuba menafsirkan pengertian jihad yang sangat pelik dan sukar hendak difahami dengan logik akal. Jihad yang sebenar bukanlah pergi memerangi orang bukan islam, bunuh dengan kejam dan sebagainya. Ingatlah matlamat tidak menghalalkan cara.

Jika terdapat pemahaman seperti ini, terserlahlah bahawa ianya bukan ajaran islam yang dibawah oleh Rasulullah SAW. Ingin saya petik satu ayat al-quran di dalam surah al-Baqarah ayat ke-208:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ ۚ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِينٌ
“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Ugama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.

Ada beberapa yang Allah dan Rasul-Nya melarang dan ada juga yang membenarkan mengikut keadaan. Islam adalah agama yang adil dan tidak cenderung kepada kezaliman. Maka fahamilah ajaran islam terutama berkaitan isu-isu jihad. Semoga Allah pelihara umat manusia dan semoga Allah memberi kekuatan kepada kita untuk mempertahankan hak peribadi kita. Amin

Kesimpulan

Kelima-lima ini adalah sebahagian apa yang dilarang oleh Allah iaitu jangan menyukutkan-Nya,  hendaklah berbuat baik kepada ibu bapa, jangan membunuh anak-anak, jangan dekati perkara yang keji, jangan membunuh jiwa kecuali dengan hak. Ini semua adalah perintah Allah. Maka jelas bahawa perkara ini perlu dilakukan kerana kita ingin menjadi orang yang bertaqwa kepada Allah dengan melaksanakan apa yang diperintah dan meninggalkan apa yang dilarang.

Bertepatanlah apa yang disebut oleh Allah di akhir ayat ini iaitu: “ Demikian itulah Dia wasiatkan kepada kamu, supaya kamu mengerti.”
Syed Qutb menafsirkan ayat dengan mengaitkan dengan kefahaman akal. Katanya: “mengikut pertimbangan akal hanya kuasa yang tunggal ini sahaja yang berwibawa menudukkan manusia kepada undang-undang yang dikeluarkan oleh-Nya.”


Wallhu a’lam. Terima kasih.

Comments (0)