Bismillahhirahmanirrahim,


Bahasa adalah sesuatu yang sangat unik dan penting bagi sesebuah bangsa umpama ikan yang cinta akan air, begitulah pentingnya bahasa bagi sesebuah bangsa. Dalam erti kata lain “bahasa melambangkan bangsa”. Kita boleh dapati setiap manusia  yang wujud di muka bumi ini mempunyai bahasa mereka yang tersendiri, misalnya: Di Asia barat menggunakan bahasa Arab dan di Eropah pula menggunakan bahasa Inggeris manakala Asia Tenggara ada yang menggunakan bahasa Melayu, Mandarin, Tamil dan lain-lain lagi. Bahkan satu kajian yang telah dibuat oleh Ethnologue tentang jumlah bahasa, jumlahnya mencecah sekitar 6,912 bahasa yang ada di dunia ini.

Bahasa Arab merupakan salah satu bahasa daripada 6,912 bahasa dan Bahasa Arab merupakan bahasa yang paling baik dan sempurna kerana struktur ayat, tatabahasa, pembetukan perkataannya bahkan ianya adalah bahasa al-Quran, perkataan Nabi Muhammad s.a.w juga dalam bahasa Arab. Allah azza wajalla berfirman dalam al-Quran bahawa bahasa al-Quran diturunkan dalam bahasa Arab. Allah berfirman di dalam Surah Yusuf:2 yang membawa maksud: 

“Sesungguhnya Kami menurunkan kitab itu sebagai quran yang dibaca dengan bahasa arab, supaya kamu berfikir”. 

Oleh itu, wajbi bagi kita mempelajari bahasa Arab kerana kalam Allah azza wajalla.

Keistimewaan bahasa Arab bukan hanya diukur melalui percakapan atau sejarah ilmu yang dikarang ulama’ dalam bentuk penulisan bahasa Arab tetapi nilai-nilai keistimewaan itu, kita akan dapati melalui kaedahnya seperti balaghah, Nahw, Sorof, syair-syair dan pelbagai lagi kaedah yang menarik di dalam bahasa arab itu sendiri. Sebagai contoh, penggunaan balaghah didalam al-quran: Allah berfirman di dalam surah al-baqarah ayat ke-43

Maksud:“dan rukuklah kamu semua bersama orang-orang yang rukuk”.


Kaedah Bahasa Arab di dalam di atas adalah ‘Almajaz Almursal’ iaitu juziyyah yakni disebut sebahagian tetapi membawa makna keseluruhan iaitu boleh difahami mereka disuruh menunaikan solat.

Selain itu, Bahasa Arab juga melambangkan seni-seni bahasa yang cukup indah sehingga satu perkataan membawa dua atau tiga makna bahkan ada isitilah bahasa yang memberikan makna kiasan seperti: 


تطير عني المشكلات
 masalah itu telah terbang daripadaku), apakah masalah itu boleh terbang.



Kita boleh lihat pelbagai contoh nilai kesusasteraan dan retorikal dalam al-Quran dengan begitu indah jika diteliti dan dihayati seperti firman Allah dalam al-Quran pada surah al-Mutaffifin:22.

  sesungguhnya orang-orang yang berbakti(dengan taat  dan amal kebajikan) tetap berada dalam kenikmatan.


Allah tidak menyebut perkataan الجنة tetapi kaedah bahasa arab ‘almajaz almursal’ iaitu halliyyah membawa maksud disebut keadaan yang ada pada tempat tetapi dimaksudkan tempat itu sendiri iaitu “kenikmatan” itu adalah “syurga”.


Pandangan manusia terhadap bahasa arab

Pada zaman wawasan 2020, penggunaan bahasa arab sudah menjadi salah satu bahasa ‘lingua franca’ bahkan diterima pakai oleh PBB. Maka muncullah pengkaji-pengkaji bahasa Arab yang bukan dari orang Arab antara ulama tersohor dari Pasri iaitu Sibawaih yang telah menyusunkan kaedah Nahw Arabi dalam bukunya Al-Kitab.

Di samping itu pelbagai pujian diberikan kepada bahasa Arab antaranya, pakar bahasa kuno dan peradaban timur tengah berasal dari Prancis, Ernest Renan (1823-1892 M) mengungkapkan: “Sejak awal bahasa arab terbentuk dengan sistem yang sempurna sebagai sebuah bahasa dan belum pernah ada yang semisalnya dalam sejarah manusia. Bahasa arab tidak memiliki masa transisi dan tidak pernah luntur karakteristiknya sepanjang perputaran zaman. Dan novelis termasyhur Jerman Gustav Freytag (1816 –1895M) menyatakan, “Bahasa arab adalah bahasa paling kaya kosa katanya di dunia.”

 Begitu juga diperakui oleh ahli sastera dari Columbia University, William York Tindall (1903 – 1981) berkata “Bahasa Arab memiliki karakter yang lembut dan fleksibel sehingga mampu menyesuaikan diri dengan perkembangan zaman.”

Dr Abdul Wahab Azam menjelaskan, “Bahasa Arab adalah bahasa yang sempurna dan unik. Lafadz dan kosa katanya mampu menggambarkan hampir seluruh fenomena alam dan setiap apa yang terbetik di hati manusia. Setiap maknanya tergambar jelas di setiap bentuk pengucapannya. Seakan-akan setiap kosa katanya adalah lintasan pikiran, rasa hati, dan refleksi kehidupan.” 

Di samping itu, Dr Sabri merupakan pensyarah bahasa arab UIAM menyebut bahawa: “bagi masyarakat islam, bahasa arab bahasa yang mempunyai kedudukan istimewa dalam islam. Ia dipilih untuk menjadi bahasa pengantaraan bagi membawa mesej islam. Selain itu, semua amal ibadat umat islam tidak terlepas daripada penggunaan bahasa arab”.

Professor Abdul Aziz bin Abdullah juga menyebut, “Bahasa Arab pada abad pertengahan menjadi bahasa ilmu filsafat, kedokteran, dan berbagai disiplin ilmu lainnya".

Random House Dictionary of the English Language, Websters Third New International Dictionary dan Shorter Oxford English Dictionary. Mereka membuat satu kajian dan berjaya mengumpulkan 400 kata pinjaman Arab yang biasa yang telah digunakan dalam bahasa Inggeris.

Begitu hebatnya bahasa Arab sehingga diterima oleh pengkaji-pengkaji barat dan ahli sasterawan dari seluruh pelusuk dunia termasuk dari tanah Melayu sendiri sehingga mengaplikasikannya bentuk penulisan hampir sama dengan bahasa Arab iaitu tulisan jawi.

Bahasa arab menjamin masa hadapan

Bahasa Arab pada masa kini sangat diperlukan terutama di bank, syarikat, sekolah, universiti dan boleh dikatakan hampir setiap saat kita memerlukannya untuk memahami kerana 2/3 jam dalam sehari kita mempraktikan bahasa Arab itu sendiri sama ada sedar ataupun tidak. Contohnya perkataan 'assalamualaikum' dan beberapa perkataan dalam solat dan doa yang kita amalkan dan juga mudharabah dalam system perbankan dan lain-lain lagi.

Dr Sabri menyebut bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam yang terkenal dengan pelancongan, pendidikan, ekonomi, perindustrian, perubatan dan lain-lain sehingga menarik ramai pelancong luar terutama dari asia barat mengunjungi ke Malaysia. Ini menjadikan peluang pekerjaan dalam bidang bahasa terutama bahasa Arab sebagai bahasa komunikasi. Untuk itu, peluang pekerjaan menjadi luas terutama institusi yang menawarkan pendidikan bahasa arab mengambil peluang tersebut untuk menjadi pengantaraan.

Peluang pekerjaan dalam bidang bahasa Arab sudah terbuka luas sama ada dalam sektor kerajaan mahupun swasta. kita boleh lihat pelbagai peluang pekerjaan dalam bidang bahasa Arab bukan hanya tertumpu kepada institusi pendidikan semata-mata bahkan terdapat juga dalam bidang penterjemahan, perbankan islam, penulisan, pemberita, pakar motivasi dan lain-lain.

Kesimpulan

Bahasa al-Quran itu diturunkan dalam  bahasa Arab dan menjadi satu kewajipan yang mutlak untuk dipelajari dan dihayati.

Dari Al-Quran, kita akan dapat memahami bahasa Arab itu sendiri dan ramai ulama’ mengakuinya bahawa bukanlah belajar bahasa Arab untuk memahami al-Quran tetapi mentadabbur al-Quran kita akan memperoleh pelbagai ilmu-ilmu antaranya bahasa Arab itu sendiri.

Oleh itu, Bahasa Arab bukanlah lagi Bahasa Arab hanya difahami di dalam kelas dan dihafal semata-mata kerana peperiksaan dan dalam erti kata lain ‘bahasa buku’.

Mudah-mudahan para pendidik dan para ibu bapa akan mengalakkan generasi bary akan datang untuk mempelajari bahasa Arab kerana ia sangat penting dalam kehidupan seharian dan membawa arus kemodenan bahasa Arab dan kesusateraan itu ke persada dunia.

Setiap ilmu yang dipelajari kerana Allah akan diberikan ganjaran daripadaNya. Maka sesuailah seperti yang disabdakan nabi Muhammad s.a.w: “setiap amalan perlu dimulakan dengan niat”. 

Justeru itu, kita tanamkan rasa cinta yang tidak berbelah bagi untuk mempelajari Bahasa Arab dan mudah-mudahan kita akan mendapat keredhaan Allah.
















Comments (0)