KEPENTINGAN BAHASA ARAB.
Muqadimah
Bismillahirrahmanirrahim. Alhamdulillahirrabil’alamin. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad sollah’alaihiwasallam, ahli keluarganya, para sahabat dan tabi’ tab’in yang berjasa dalam urusan agama.
العلامة محمد سالم عدود: رب كفر ناشئ بسب جهل شخص بلسان العرب
Al-‘alamah Muhammad Salim ‘Adud berkata: “Boleh jatuh kufur kepada mana-mana pemuda disebabkan kejahilannya memahami lisan arab”.
Ungkapan ini merupakan satu amaran besar kepada seluruh umat manusia yang bermain-main dalam mempelajari Bahasa Arab, mempersendakan agama, mengeluarkan fatwa tanpa menelusuri dan mendalami Bahasa Arab, mengajar pelajar-pelajar dan memberi ceramah kepada masyarakat awam.
Amaran yang tegas ini juga tuju kepada sesiapa yang tidak tahu Bahasa Arab tetapi berani dan berlagak seolah-olah dia tahu Bahasa Arab lantas mengeluarkan hukum dan mengajarkannya kepada masyarakat.
Kepentingan Bahasa Arab
Untuk memahami al-Quran dan sunah Nabi Muhammad sollahu'alaihiwassalam (perkataan terutamanya), maka setiap daripada kita mesti belajar dan mendalami ilmu Bahasa Arab dengan benar dan bersungguh terutamanya ilmuwan dan sarjana yang mengeluarkan fatwa dan mengajar ilmu agama kepada masyarakat.
Kesilapan dan kesalahan boleh mengundang seseorang itu jatuh kufur (bukan kita hendak melabel) tetapi sebagai pengajaran dan pedoman. Inilah masalah yang dihadapi umat pada masa kini. Tidak ada asas Bahasa Arab tetapi berani menjatuhkan hukum dan fatwa. Tidak mendalami ilmu Bahasa Arab tetapi mengajar ilmu agama kepada masyarakat.
Pada hakikatnya, bukanlah maqsad utama untuk belajar bahasa Arab kerana ingin bertutur dengan lancar, menulis dengan indah berirama, mendeklamasi syair artistik dan membahas retorika al-Quran dan sunah tetapi maqsad utamanya adalah kita hendak mendekati Yang Maha Pencinta Teragung. Bukanlah penulis hendak mengkritikik mana-mana persatuan dan pertubuhan yang mengadakan kelas Bahasa Arab tetapi perlu bagi setiap pengajar dan muridnya mengetahui bahawa ada matlamat utama yang lebih prioriti kenapa perlu mempelajari Bahasa Arab.
Allah azza wajalla berfirman:

إِنَّا أَنزَلْنَاهُ قُرْآنًا عَرَبِيًّا لَّعَلَّكُمْ تَعْقِلُونَ
Maksudnya Sesungguhnya Kami menurunkan kitab itu sebagai Quran yang dibaca dengan bahasa Arab, supaya kamu (menggunakan akal untuk) memahaminya.  (Surah Yusuf 12:2)

قُرْآنًا عَرَبِيًّا غَيْرَ ذِي عِوَجٍ لَّعَلَّهُمْ يَتَّقُونَ
Maksudnya: laitu Al-Quran yang berbahasa Arab, yang tidak mengandungi sebarang keterangan yang terpesong; supaya mereka bertaqwa. (Surah al-Zumar 39:28)

كِتَابٌ فُصِّلَتْ آيَاتُهُ قُرْآنًا عَرَبِيًّا لِّقَوْمٍ يَعْلَمُونَ
Maksudnya: Sebuah Kitab yang dijelaskan ayat-ayatnya satu persatu; iaitu Al-Quran yang diturunkan dalam bahasa Arab bagi faedah orang-orang yang mengambil tahu dan memahami kandungannya. (Surah Fussilat 41:3)

Supaya kita berfikir, supaya kita bertaqwa dan kita dapat memahami kandungannya, inilah maqsad utama mempelajari Bahasa Arab. Kita berfikir tentang kejadian bumi dan langit, siang dan malam, malaikat dan jin, manusia dan haiwan. Kita bertaqwa kepada Allah azza wajalla dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Kita memahami ayat-ayat al-Quran agar menjadi panduan kehidupan dunia akhirat.
Begitulah alegori itik jantan mengejar itik betina, dari telur menjadi anak, baru sahaja menetas sudah mula ada kemahuan untuk mencari kehidupan, ada pandangan pertama, itik jantan merapati itik betina, dia cuba mendekatinya, dia cuba menyelamainya, dia cuba mendakapinya dan dia hendak menjiwainya siang dan malam. Itu alegori kehidupan cinta itik jantan dan itik betina. Apatah lagi cinta manusia terhadap Illahi maka perlu lebih daripada itu.
Begitulah asbabnya kenapa ada seorang pemuda yang dahulunya tidak ada hala tujuan kini kembali ke persada ilmu dalam pengkhususan bahasa Arab, tidak lain tidak bukan kerana ada kesedaran. Mudahan diterima dan dipermudahkan.
Contoh-contoh kesalahan dan kesilapan.
Perkataan Fatana (فتن), apakah semuanya membawa satu maksud iaitu fitnah. Jawapannya tidak. Dalam al-Quran. Allah azza wajalla menyebut perkataan ini dengan pelbagai jenis bentuk dan membawa makna yang pelbagai.


Al-Dhamaghani nama sebenarnya ialah Husain bin Muhammad al-Dhamaghani. Menurut beliau, perkataan FATANA di dalam al-Quran ada 11 makna. Kebiasaanya bagi kita bahawa FATANA ialah fitnah sahaja yang biasa kita faham. Contoh ayat “Jangan fitnah saya” membawa maksud mengatakan sesuatu yang bukan daripada apa yang dia maksudkan ataupun menyatakan dia begitu begini sedangkan dia tidak melakukannya. Namun kalimah di dalam al-Quran mempunyai makna yang tersendiri bersesuaian dengan konteks ayat.

Contoh pertama: Fitnah maknaya Syirik kepada Allah. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat ke-217:

وَالْفِتْنَةُ أَشَدُّ مِنَ الْقَتْلِ

Maksudnya; Syirik kepada Allah SWT itu lebih besar dosanya daripada membunuh.

Contoh kedua: Fitnah yang membawa erti ujian dan cubaan. Firman Allah SWT dalam surah al-‘Ankabut ayat ke-2:

أَحَسِبَ النَّاسُ أَن يُتْرَكُوا أَن يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَ

Maksudnya: Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?

Contoh ketiga: Fitnah yang membawa maksud membakar atau menyeksa dengan api. Firman Allah SWT dalam surah al-Buruj ayat ke-10:

إِنَّ الَّذِينَ فَتَنُوا الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ ثُمَّ لَمْ يَتُوبُوا فَلَهُمْ عَذَابُ جَهَنَّمَ وَلَهُمْ عَذَابُ الْحَرِيقِ

Maksudnya: Sesungguhnya orang-orang yang ingin membakar lelaki dan perempuan yang beriman, kemudian mereka tidak bertaubat, merkea akan juga akan diazab dengan azab yang yang pedih yang membakar mereka.

Justeru, seandainya kita tidak mendalami ilmu Bahasa Arab maka kita terjerumus dalam lembah kesesatan. Kita berbicara makna lafaz yang sama tetapi pada hakikatnya lafaz itu ada pelbagai makna. Kesilapan akan membawa kesesatan. Sebelum tersesat jalan mestilah kembali pangkal jalan dengan menuntut ilmu dengan bersungguh dan ikhlas.

Kesimpulannya
Pertama, mempelajari Bahasa Arab supaya kita menjadi hamba yang berakal
Kedua, mendalami Bahasa Arab supaya kita menjadi hamba yang bertaqwa.
Ketiga, mengetahui ilmu Bahasa Arab supaya kita dapat menjadikannya panduan dan penyuluh kehidupan dunia dan akhirat.
Keempat, mempelajari Bahasa Arab bukan kerana hendak menjadi orang yang hebat.
Kelima, mendalami Bahasa Arab bukan untuk diri sendiri semata-mata tetapi untuk berjasa kepada umat.
Keenam, bersungguh menekuni ilmu Bahasa Arab dengan sebaiknya.
Selamat belajar dan terus belajar untuk kita semua. Mudah-mudahaan mendapat keampunan dan rahmat Allah azza wajalla.
Terima kasih. Wallahu a’lam.
Top of Form


Comments (0)