Manusia tidak telepas daripada buat dosa.
Bismillah,
Pangkal
segala kebaikan,
Permulaan
segala urusan penting,
Dan
dengannya juga
Kita
memulai segala urusan. –Badiuzzaman Said Nursi-
Mukadimah
Manusia mana yang tidak pernah membuat
kesilapan dan kesalahan. Manusia mana yang tidak pernah membuat dosa baik
secara sengaja mahupun tidak sengaja. Sama ada dosa itu dosa besar mahupun dosa
kecil.
Andai manusia itu acap kali melakukan dosa,
apakah telah tertulis selamanya bahawa dia pendosa dan dia tidak akan mendapat keampunan
daripada Yang Maha Pengampun. Apakah dia tidak layak mengucup pintu syurga?
Apakah dia hanya layak ke neraka jahanam.
Betapa cepat manusia menghukum dan menjadi
tuhan andai seseorang melakukan dosa. Tatkala apabila dia melihat seorang
penzina dikatanya neraka tempatnya. Apabila dia melihat seorang pencuri dikata
juga neraka tempatnya. Apabila dia melihat seorang yang memegang bible
dikatakan kafir.
Akhirnya, manusia menggantikan tempat tuhan.
Menghukum sesuka hatinya. Tanpa disoal selidik dan bicara. Hanya baginya, dia
sahajalah yang soleh. Dia sahajalah yang alim. Dia sahajalah yang sempurna.
Dialah segalanya. Seolah-olah syurga dan neraka itu harta dia. Sungguh busuk
hatinya dan buruk akhlaknya. Semoga kita semua mendapat hidayah daripada Yang
Maha Petunjuk.
Tidakkah dia menghayati firman Allah azza
wajjala dalam surah an-Nisa’ ayat ke-48:
إِنَّ اللَّهَ لَا يَغْفِرُ أَن
يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَٰلِكَ لِمَن يَشَاءُ ۚ وَمَن يُشْرِكْ
بِاللَّهِ فَقَدِ افْتَرَىٰ إِثْمًا عَظِيمًا
Maksudnya: Sesungguhnya Allah tidak akan
mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu apajua), dan akan
mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut
aturan SyariatNya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang
lain), maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar.
Hanya syirik sahajalah yang tidak diampukan
oleh Allah azza wajalla. Meskipun begitu, para ulama’ ada menyebut, seandainya
seseorang itu pernah melakukan syirik dan dia sempat kembali bertaubat, nescaya
Allah azza wajalla juga akan mengampunkan dosa itu.
Namun, ada beberapa kumpulan pelampau yang
angkuh untuk menggantikan tempat tuhan seperti muktazilah dan khawarij.
Muktazilah
yang diasaskan oleh Wasil bin Atho’ yang lahir pada tahun 80H dan meninggal
131H telah membuat penafsiran berdasarkan akal dan hawa nafsu. Menurut dia, sesiapa
yang melakukan dosa besar, dia tidak akan dimasukkan ke dalam syurga mahupun
neraka namun dia akan berada di pertengahan di antara kedua itu. Al-Imam
al-Basri telah menyanggah pendapat yang sesat itu!
Khawarij, satu kumpulan pada asalnya taat dan
setia terhadap kepimpinan dan pemerintahan Saidina Ali namun akhirnya telah
berpaling kerana tidak bersetuju dengan Saidina Ali atas peristiwa tahkim
selepas peperangan Siffin. Mereka telah melawan Saidina Ali.
Kedua-dua contoh di atas menjelaskan kepada
kita bahawa tidak selayaknya kita menjadi tuhan dan menghukum mengikut hawa
nafsu. Sesiapa sahaja tidak terlepas daripada melakukan dosa. Mengikut kefahaman
mereka, apabila telah melanggar syariat, maka neraka adalah tempatnya. Sedangkan
fahaman yang dipegang mereka juga adalah tidak benar.
Tazakkur iaitu
peringatan daripada kisah Nabi Adam alahihissalam.
Ketika mana Allah azza wajalla sudah melantik
Nabi Adam alahissalam menjadi khalifah. Itu adalah satu tanda kemuliaan yang
agung di sisi-Nya dan membuktikan kebesaran-Nya kerana Dia mampu menjadikan apa
sahaja yang Dia inginkan.
Allah azza wajalla mengangkat khalifah daripada
kalangan manusia untuk mengurus dan menjaga kuasa-Nya.
Nabi Adam alahissalam dikurniakan seorang
isteri yang sangat cantik dan indah budi pekertinya iaitu Hawa. Mereka berdua
hidup bahagia bersama. Berkongsi kasih sayang dan itulah fitrah suami isteri. Lumrah
juga bagi sebuah pasangan yang baru disatukan hati. Segalanya halal dari atas kepala
hingga ke hujung jari. Selain itu, mereka juga menikmati segala kenikmatan yang
ada di dalam syurga. Segalanya apa yang dihajatkan terus tersembah dihadapan
mereka melainkan satu.
Yang satu itu telah meleraikan cinta mereka
buat seketika waktu. Berzaman mereka berjauhan. Segala nikmat ditarik. Kekecewaan
yang paling tidak diduga, dicampak ke bumi. Menjadi sebab untuk menjadi
khalifah bagi mengurus dan menjaga bumi Allah azza wajalla yang terbentang
luas.
Sungguh, sifat manusia itu lemah. Melihat
sesuatu perkara yang baru dan pelik. Ada sahaja yang bermain-main di
fikirannya. Bukan mahu sebenarnya untuk melakukan dosa akan tetapi tatkala
diuji, keimanannya pula goyah tanpa disedari. Diuji dengan wanita, kekayaan,
pangkat, ilmu, dan sebagainya.
Begitulah kisah Nabi Adam alahissalam bersama
isterinya yang tercinta, pada waktu mereka berdua menetap di Syurga Allah azza
wajalla, terdapat satu benda yang diharamkan oleh Yang Maha Agung iaitu jangan
menghampiri pokok tersebut,
Namun apakan daya, godaan dan hasutan yang
halus daripada Iblis dan Syaitan telah menggoyahkan sedikit keimanan mereka
berdua tanpa mereka sedari walaupun pada hakikatnya mereka sudah mengerti
perintah Allah azza wajalla iaitu janganlah menghampiri pokok tersebut.
Ditakdirkan, iman mula rapuh sehalus sarang
labah-labah, mereka menghampiri pokok tersebut dan mereka telah memakan buah
daripada pohon tersebut. Disebabkan ketidakpatuhan atas perintah Allah azza
wajalla, Adam dan Hawa dikeluarkan daripada syurga dengan serta merta tanpa
sehelai sepinggang. Segala nikmat ditarik. Kemewahan dan kekayaan dicabut. Adam
dan Hawa terpisah seluas bumi dan langit.
Apalagi yang diharapkan oleh seorang insan,
apabila dia telah melakukan khilaf dan dosa. Dia hanya berharap kepada satu
sahaja iaitu pengampunan. Begitulah, Adam dan Hawa, mereka mengharapkan
keampunan daripada Maha Pengampun. Siang dan malam bersilih berganti. Matahari
terbit dan bulan timbul. Setiap saat dan nafas yang dihembus. Setiap detik dan udara
yang disedut. Hanya doa-doa keampunan diungkapkan tanpa lelah dan jemu.
Nabi Adam alahissalam seorang nabi, seorang
khalifah dan seorang suami. Menginsafi diri, bermunajat, beruzlah dan merenung
bahkan tidak putus-putus berdoa kepada Allah azza wajalla dengan hati yang
penuh lara mendambakan kasih dan keampunan daripada Allah azza wajalla. Kasihnya
kepada Hawa. Dia berharap mereka berdua diampunkan dosa.
Mereka berdua menadah tangan ke langit berdoa
kepada Yang Maha Besar dengan penuh keinsafahan. Adam dan Hawa melafazkannya dari
hati yang ikhlas, hiba dan penuh pengharapan:
رَبَّنَا ظَلَمْنَا أَنفُسَنَا وَإِن
لَّمْ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ
"Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya
diri kami sendiri, dan kalau Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat
kepada kami, nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang rugi". (Al-a’raf:23)
Alhamdulillah. Yang Maha Pengampun akhirnya
menerima taubat Adam dan Hawa. Cinta mereka disatukan kembali. Bermadu kasih
sehingga mendapat zuriat. 2-lelaki dan 2 perempuan. Mereka mengurus bumi dan
menjaganya seperti yang diperintahkan.
Pengajaran.
Pertama, kita adalah insan biasa lagi hina. Tidak terlepas
daripada dosa kerana barangkali setiap saat mungkin ada dosa yang telah
dilakukan. Apabila sudah meningkat dewasa, berkali-kali baligh. Dosa makin lama
makin meninggi, setinggi gunung. Dosa yang sedikit menjadi semakin banyak,
seluas lautan. Maka dengan itu, pohonlah keampunan agar dihapuskan dosa-dosa
yang telah dilakukan. Hanyalah Allah azza wajalla menjadi tempat untuk memohon
keampunan. Percayalah, Allah Maha Pengampun. Dia akan memaafkan dosa hamba-Nya
yang ikhlas dan bersungguh.
Kedua, Jika sesaat dahulu, kita adalah seorang
pendosa, jika pada dahulu, zikir-zikir kita dengan carut-carutan, melihat
perkara yang mengasyikkan, hampir kepada zina, menipu, mengkhianati, bercakap
kasar dengan kedua ibu bapa, tidak menghormati guru dan sebagainya. Yakinlah!
sesungguhnya bertaubat akan mensucikan segala dosa yang lalu.
Ketiga, Kepada semua teman-teman dan rakan-rakan. Ingatlah
pesanan ini. Seandainya kawan kita mempunyai dosa yang lalu dan memiliki aib
yang besar. Simpanlah dan janganlah diperbesar-besarkan. Allah azza wajalla
mungkin telah mengampuni dosa dia. Siapalah kita untuk mengungkit dan membuka
keaibannya. Cerita dahulu, jangan dicanang-canang kerana mungkin dia belum
sedar tetapi siapa tahu urusan di antara dia dengan Allah azza wajalla.
Keempat, bersegeralah memohon keampunan andai telah
melakukan dosa. Amalkan istighfar selepas solat. Amalkan saiyidul istighfar
kerana banyak fadhilatnya.
Kelima, jangan sesekali menjadi tuhan. Urusan pahala,
dosa, syurga dan neraka. Biarlah di kuasa Allah azza wajalla. Kita sebagai
pendakwah, berhikmahlah ketika berdakwah dan berpesan-pesanlah dengan
kesabaran.
Semoga Allah mengampuni dosa kita.
6:32 AM |
Category:
Spritualisme
|
3
comments
Comments (3)
manusia sentiasa akan melakukan dosa yang sama berulang kali. walaupun tahu. ianya salah dan berdosa tetapi tetap melakukannya. Semoga kita sama-sama bertaubat dan selalu istighfar. Menarik perkongsian ilmu ni ����
Cuba buat perkongsian tentang munafik pula. Orang nampak baik tapi dalamnya tak sebaik yang di sangka.
insya-Allah. semoga kita bukan daripada kalangan munafik dan sentiasa memohon keampunan Allah