Bagaimana memahami konteks hadis
dalam melantik pemimpin mengikut adat dan zaman.
Sabda Nabi Muhammad SAW daripada hadith riwayat al-Hakim dan lain-lain. Bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:
الأمة من قريش
Maksudnya: "Para Pemerintah adalah daripada kalangan kaum Quraisy".
Ada beberapa perkara yang menarik buat hemat penulis ketika melihat dan merenungi hadis ini, seolah-olah ada sesuatu yang memanggil penulis untuk membahaskan hadis ini dalam konteks Negara Malaysia kerana faktor utamanya ialah Negara ini mempunyai bilangan kaum yang pelbagai seperti Melayu, Cina, India, Iban, Jawa, Kadazan dan sebagainya.
Maka dengan itu, dalam memahami hadis ini, perlu diserasikan dengan budaya dan adat di sini tanpa mengetepikan hukum yang asal namun kita cuba melihat dari sudut pandang yang jauh lebih mendalam agar dapat meyakinkan bahawa hadis Nabi Muhammad SAW praktikal dan sesuai di setiap zaman dan tempat.
Saya memetik kata-kata Ibn Khaldun  dalam bukunya Muqadimah ketika mana membahasakan hadis ini, beliau  mengatakan bahawa hadis ini membawa erti ketika zaman itu iaitu zaman Nabi Muhammad SAW, kekuatan dan pengaruh kabilah Quraisy sangat kuat dan besar. Jadi, disebabkan itu, Nabi Muhammad SAW menganjurkan para pemimpin dilantik daripada kalangan mereka.
Dan urusan pemerintahan itu, ramainya dipikul oleh beberapa sahabat Nabi Muhammad SAW yang berbangsa quraisy seperti Saidina Abu Bakar dan Umar. Kedua-dua mereka memikul amanah yang besar iaitu menjadi Khalifah selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW. Namun jika kita melihat beberapa riwayat yang mana ketika Umar hampir-hampir sampai masanya, beliau ingin melantik Muaz bin Jabal menjadi khalifah sedangkan Muaz itu berasal daripada Ansar.
Dalam sejarah Islam, pemerintahan berubah dari satu zaman ke satu zaman dan dari satu kaum kepada satu kaum. Seperti Khilafah Umawi, selepasnya Khilafah Abbbasi, seterusnya Khilafah Turki. Dan jika kita membaca lebih mendalam, kita juga menjumpai seperti pemerintahan Saljuk, Monggol, Fatimiyyah dan sebagainya. Maka, jelas di sini, bahawa pemerintahan itu bukan daripada kalangan kaum quraisy. Persoalan di sini, adakah berdosa kerana tidak mengikut sunah Rasulullah SAW? Menurut hemat penulis yang serba kekurangan ilmu ini, ia tidak berdosa kerana hadis itu tidaklah mengatakan satu kewajipan. Para sahabat khususnya juga telah memahami hadis itu dengan fahaman yang sangat bertepatan dengan al-Quran seperti mana firman Allah azza wajalla dalam surah al-Qasas ayat ke-26:


قَالَتْ إِحْدَاهُمَا يَا أَبَتِ اسْتَأْجِرْهُ ۖ إِنَّ خَيْرَ مَنِ اسْتَأْجَرْتَ الْقَوِيُّ الْأَمِينُ
Maksudnya: “salah seorang di antara perempuan yang berdua itu berkata: "Wahai ayah, ambilah dia memjadi orang upahan (mengembala kambing kita), sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah".
Seseorang pemimpin itu mesti seorang yang kuat dan amanah. 2 ciri ini adalah asas utama karakter untuk menjadi pemimpin.
Potongan ayat al-Quran di atas juga menjelaskan kepada kita untuk melantik pemimpin dan urusan itu diberikan kebebasan kepada para hamba-Nya untuk menyelesaikannya dan tidak ada sama sekali bahawa Allah azza wajalla menyebut nama, bangsa dan kaum yang khusus.
Unuk memahami hadis ini dengan lebih dekat, Misal katalah, ada sebuah kampung, ada dua orang pemuda. Orang pertama, dia itu pengaruhnya besar tetapi kurang soleh. Orang kedua, dia ada pengaruh yang sedikit tetapi kesolehahan yang hebat tidak dinafikan, menurut hadis ini, maka didahului orang yang pertama untuk menjadi pemimpin.
Pengajaran yang boleh kita ambil ialah:
Pertama, ada satu PRK Kuala Kangsar, ada 3 parti. PAS telah melantik seorang calon yang bukan dari tempat itu dan bahkan juga tidak dikenali ramai masyarakat setempat. Parti BN pula melantik telah seseorang yang sangat dikenali masyarakat di situ, tambahan pula al-Marhum suaminya juga pernah menjawat jawatan Ahli Parlimen di situ. Menurut analisis yang ringkas ini, di antara fakor kemenangannya ialah pengaruh yang ramai pada zaman al-Marhum dan nama calon itu juga telah sangat dikenali ramai.  Akhirnya, kemenangan telah berpihak kepada parti 2. Jadi, faktor pengaruh dan nama juga memainkan peranan yang penting.
Kedua, Dalam memilih seorang ketua, tidak kira sama ada jawatan itu besar ataupun dalam persatuan yang kecil. Perlu diutamakan seseorang yang mempunyai pengaruh yang besar walaupun mungkin dia tidak memiliki ilmu dan pandangan yang jauh kerana dalam memastikan gerak kerja dan misi tercapai, perlu ada seorang pemimpin yang sangat dikenali dan mempunyai pengaruh yang besar.
Dan sangat penting juga peranan para pengikutnya terutama pemimpin kanan yang tertinggi, mereka perlu dipilih daripada golongan yang cerdik, waras, soleh dan petah berkata-kata, jika seandainya ketua itu tidak ada 4 ciri tersebut namun ada 1 iaitu pengaruh, ia sangat memadai. Ini berdasarkan pengalaman dan pengamatan diri sendiri. Penulis mendapati, satu persatuan ataupun gerakan akan lebih menonjol jika memiliki ketua yang besar pengaruhnya walaupun beliau bukanlah daripada intelektualis yang hebat dan bukan juga daripada kalangan yang spiritualis.
Ketiga, berdasarkan beberapa pengalaman penulis dalam menyertai beberapa program, ada satu perkara yang sangat dekat dengan hadis ini. Saya ambil contoh, dalam 1 program sekolah rendah untuk kem kecemerlangan. Kebanyakkannya daripada mereka bukan dari kelas pertama dan kedua tetapi kelas yang terakhir dan kedua terakhir. Ketika melantik ketua program, mereka akan melantik seorang budak yang nakal dan sangat aktif serta dia mempunyai pengaruh yang besar. Apabila dia dilantik, ramai kawan-kawan pasti akan mendengar kata-kata dia. Oleh itu, budak seperti itu perlu dilantik menjadi ketua dan menggunakan dia untuk menjayakan program dengan lebih lancar.
Apabila saya menyertai satu program yang lain, penggerak program itu tidak mengaplikasi konsep ini, saya melihat kelangsungan program tidak berjalan dengan baik kerana mereka melantik seorang budak yang baik, pendiam dan rajin beribadat namun tidak mempunyai ramai kawan sehingga budak-budak lain tidak mahu mendengar kata-kata ketua itu. Contoh ini menjelaskan kepada kita bahawa untuk melantik seseorang itu perlu ada dilihat dari sudut pengaruhnya juga.
Yang terakhir, ada satu cara yang menarik boleh diaplikasikan terutama zaman sekarang, hebat dengan teknologi dan media massa. Boleh jadi cara ini membawa kebaikan dan kerosakan. Tetapi ingat! Islam melarang kita melakukan kezaliman, penipuan dan penindasan. Perlulah berhati-hati dalam melakukan apa-apa perkara agar tidak bercanggah dengan prinsip syariat Islam. Prinsip menghalalkan apa-apa cara dalam semua tindakan tidak boleh diterima seperti merompak untuk orang miskin. Membunuh orang kafir tanpa ada sebab. Menghina ulama’ tanpa ada bukti. Mengkafirkan umat Islam tanpa tujuan. Menjual agama untuk kepentingan dunia juga sangat dilarang dan ditegah.
Contoh perkara itu ialah dalam menggunakan tekonologi dan media massa, Bolehlah nak melobi seseorang yang biasa-biasa pada asalnya dari sudut akademik, sahsiah dan pengaruh. Kemudian, mereka akan menggunakan media untuk mengangkat-angkat seseorang itu sehingga terangkat-angkat, bahkan namanya masyhur, akademiknya dibeli, pengaruh disogok.
Kumpulan mana yang lebih hebat dan pandai dalam melobi, kemungkinan besar kumpulan dia akan menang.
Yang pasir pun boleh jadi mutiara. Yang tahi pun boleh jadi bunga kalau kena pada tempatnya dan tekniknya.
Ingat, dalam memilih seorang pemimpin, pastikanlah yang dipilih itu layak terutamanya kekuatan aqidahnya teguh, keimanannya fasak, peribadi yang unggul, ilmunya berkualiti dan memenuhi cita rasa yang berasaskan al-Quran dan sunah.
Kesimpulan
Dalam memahami hadis Nabi Muhammad SAW dalam konteks yang sesuai dengan tempat dan masa. Ijtihad yang benar perlu dikemukakan agar orang tidak memperkatakan sunah Rasulullah SAW hanya praktikal pada zamannya. Ini satu pemikiran yang salah.
Terdapat juga pemikiran yang kolot dan jumud yang melihat sunah itu tidak boleh berubah sama sekali. Jika melihat hadis ini, mereka akan mengatakan semua pemimpin yang ada ini adalah tidak sah. Ini juga satu pemikiran yang batil.
Al-Qardhawi menyebut dalam bukunya Islam Holistik dan buku Bagaimana Berinteraksi dengan Sunah: "Kita telah mengetahui bahawa perlaksanaan syariat tidak mengkhususkan hukum bagi satu generasi, zaman atau umat tertentu".
Wallahu a'lam.
Top of Form

Comments (0)