Api Tauhid
Mujaddid Teragung Badiuzzaman
Said Nursi
Bismillah,
Pangkal
segala kebaikan,
Permulaan
segala urusan penting,
Dan
dengannya juga
Kita
memulai segala urusan. –Badiuzzaman Said Nursi-
Latar
belakang penulis.
Api
Tauhid adalah sebuah novel bukan sebarangan novel kerana ia bercerita mengenai
sejarah tokoh keagungan zaman iaitu Said Nursi dengan diiringi sebuah penceritaan
beberapa anak muda yang bermusafir. Inilah dinamakan cerita dalam cerita. Sangat
menarik dan mencuit hati saya.
Novel
ini ditulis oleh seorang penulis yang hebat iaitu Habiburrahman El Shirazy yang
berasal dari Semarang, Indonesia.
Habiburrahman
El Shirazy atau lebih dikenali sebagai Kang Abik. Beliau lahir pada 30
september 1976. Beliau banyak menulis karya-karya yang hebat. Beliau pernah dinobatkan
sebagai novelis pertama di Indonesia dan mendapat pengiktirafan oleh Insani
Universiti Diponegoro (UNDIP).
Habiburrahman
mendapat pendidikan di Madrasah Aliyah Program Khusus (MAPK) Surakarta pada
tahun 1995, kemudian beliau melanjutkan pengajiannya di Universiti Al-Azhar,
Kairo, Mesir, jurusan Hadis Fakulti Usuluddin hingga lulus pada tahun 1999. Beliau
terus menyambung pengajian lagi peringkat Master di Institute for Islamic
Sudies, Kairo, pada tahun 2001-dan berjaya menyempurnakannya.
Beliau
sangat hebat, penglibatannya dalam dunia penulisan dan perfileman tidak asing
lagi. Beliau juga aktif dalam kerja sosial dan banyak berkhidmat untuk umat. Nama
beliau disebut-sebut serata dunia. Karya-karyanya dibaca dan dibahas oleh umat.
Sungguh, beliau seorang yang ikhlas berdakwah untuk agama.
Karya-karya
beliau sedikit sebanyak memberi kesan positif kepada para pembaca khususnya
kepada para remaja yang baru hendak berjinak-jinak untuk mengenali dunia yang
begitu asing baginya.
Saya
juga secara peribadi menerima haruman itu dan saya sangat mengkagumi gaya
pemikiran beliau dan penulisan beliau banyak menjadi pembimbing saya. Saya juga
berharap pada suatu hari nanti, saya dapat bersua empat mata dengan beliau. Mudah-mudahan
Allah azza wajalla mengkabulkan doa saya dan merahmati beliau. Amin.
Novel
Api Tauhid.
Sejujurnya,
secara peribadi, saya kurang meminati novel kerana pengalaman saya sebelum ini,
novel banyak berkisah percintaan mengarut. Watak-watak diangkat seperti tiada
ada cacat-cela sedangkan realiti kehidupan, watak seperti itu belum tentu ada.
Namun,
semuanya berubah secara tidak sengaja ketika saya menjadi guru Bahasa Arab
sementara di Syubbaniah, Batu Kurau pada 2016. Saya membelek-belek novel ini
yang saya membelinya pada 2 tahun yang lalu dan timbul di hati kecil saya. “Mengapa
aku membeli buku ini” dan “Apakah yang boleh aku dapat daripada novel ini”. Beberapa
soalan demi persoalan timbul bermain di fikiran tetapi jawapan tidak saya
temuinya juga. Akhirnya pada 29 Julai 2016, saya nekad juga hendak mengetahui
isi kandungan buku ini. Ternyata, novel ini banyak mengajar saya. Pada 11 Ogos
2016, saya telah dapat menghabiskannya dan hati saya begitu damai sekali kerana
dapat membacanya.
Sungguh,
saya sangat menyarankan kalian semua untuk membaca buku ini!
Beberapa
pengajaran yang saya boleh kongsikan di sini mengenai novel ini:
Pertama, kisah penceritaan anak muda
yang bernama Fahmi. Dia seorang jejaka yang mencintai Allah dan rasulullah SAW.
Seorang penuntut ilmu di Universiti Islam Madinah peringkat Master. Seorang
pemuda yang pintar dan teguh keimanan serta taat kepada kedua ibu bapanya.
Namun, pada satu saat, dia
mengalami kekecewaannya terhadap cintanya kepada seorang gadis bernama Nuzula
yang baru dinikahinya itu telah menjadikan dirinya terseksa zahir dan batin. Ali
ialah kawan karibnya sangat menyayangi Fahmi dan selalu memberi kata semangat
dan dorongan kepada Fahmi agar tabah menghadapi musibah sehingga mereka berdua
akhirnya membuat keputusan untuk bermusafir ke Turki bersama Subki, Hamzah,
Bilal. Di turki pula, Fahmi diuji dengan 2 cinta iaitu Aysel gadis turki dan
Emel.
Hampir-hampir hatinya berubah
kerana hatinya masih remuk kerana Nuzula yang belum pasti pengakhirannya.
Apakah kesudahan cinta mereka?
Kisah mereka anak muda ini dalam pengembaraannya
telah mewarnai penceritaan sejarah yang sangat indah. Sejarah itu terasa hidup,
penceritaan mengenai tokoh itu mudah diamati dan dihayati melalui perjalanan
permusafiran mereka.
Kisah-kisah mereka ini wajar
direnungi oleh anak muda zaman sekarang terutamanya yang berada jauh daripada
keluarga. Onak dan duri, cabaran dan dugaan itu banyak dan perlu ditempuhi
dengan keimanan dan keyakinan yang hakiki agar tidak hanyut dibawa air.
Kedua, Saya melihat ada suatu yang
penulis ingin sampaikan iaitu institusi kekeluargaan.
Saya yakin dan percaya bahawa
kekuatan institusi kekeluargaan memainkan peranan yang penting dalam
pembentukan peribadi yang unggul. Institusi ini akan berjaya jika seseorang itu
memahami konsep keluarga yang sebenar. Peranan ibu bapa sangat penting dalam
mendidik anak-anaknya menjadi seorang yang berwawasan dan berakhlak mulia.
Maka benarlah sabda Nabi Muhammad
SAW:
قال النبي صلى الله عليه وسلم (كل مولود يولد على الفطرة فأبواه
يهودانه أو ينصرانه أو يمجسانه)
Maksudnya: Setiap anak dilahirkan dlm
keadaan fitrah (Islam), maka kedua orang tuanyalah yg menjadikannya Yahudi,
Nashrani atau Majusi.” (HR. al-Bukhari & Muslim)
Di sini, bermulalah kisah
Badiuzzaman Said Nursi yang telah lahir hasil penyucian hati dan cinta daripada
ibu bapa yang soleh. Bapanya ialah Mirza manakala ibunya bernama Nuriye.
Hayatilah kisah Mirza dan Nuriye
ketika cinta mereka belum disatukan. Mirza seorang lelaki yang soleh dan sangat
menjaga imannya. Dia sangat menititberatkan soal rezeki yang halal. Begitu juga
Nuriye seorang gadis yang taat kepada ibu bapanya. Dia dipersiapkan untuk
dijadikan seorang isteri yang solehah dan ibu yang mithali. Didikan daripada
orang tuanya telah mengajar mereka erti kehidupan dan kefahaman dalam mendidik
dan mengajar zuriat mereka sehingga salah seorang daripada anak mereka menjadi
Mujaddid di Turki dan membanteras segala kefasidan dan kerosakan.
Ketiga, saya juga merasai bahawa
penulis juga ingin berpesan kepada generasi muda khususnya kepada para
pendidik, guru, pensyarah, ustaz dan ustazah untuk mendidik umat dengan
seikhlas hati.
Dua bulan saya jadi guru
praktikal Bahasa Arab di Syubbaniah, pengalaman 13 minggu sangat berharga buat
saya. Tidak mampu dibeli dengan emas dan perak. Menjadi guru sementara tidak
bergaji dan mengharap ganjaran daripada Allah azza wajalla di akhirat kelak.
Saya juga pernah ditomah sebagai
pemikiran Mahathir dan Astora Jabat yang dikatakan menyimpang dalam hal
penafsiran al-Quran sedangkan saya membawa kitab. Pernah mendapat tentangan
daripada pihak pentadbiran. Namun kenangan manis saya, saya dapat mengajar 1
Zahra. Saya berharap, mereka akan terus berjaya mendapat cita-cita yang
diimpiankan.
Matlamat utama saya, saya berpesan
kepada diri sendiri agar dapat menjadi seorang pendidik yang mendidik dan bukan
hanya menghabiskan silibus dan memenuhi masa semata-mata. Walaubagaimanapun,
saya kebingungan, bagaimana mahu menjadi pendidik dan apakah cara mendidik
dengan baik. Adakah murid itu dapat memahami didikan aku atau aku hanya perasan
sendiri sahaja. Persoalan inilah yang menyebabkan saya takut untuk menjadi
seorang ustaz. Saya tahu, untuk menjadi ustaz, peranannya sangat besar dan luas
kerana perhatikan sahajalah sejarah Rasulullah SAW, seorang pendidik dan
murabbi yang terulung yang merubah masyarakat jahiliyyah kepada sebaik-baik
generasi.
Maka, novel inilah menjadi rakan
karib saya, kisah Badiuzzaman Said Nursi menjadi murid yang mencintai ilmu itu
menjadi motivasi buat saya. Kisah beliau menjadi guru, meyakinkan saya. Kisah beliau
menjadi murabbi umat menambahkan kekuatan saya.
Justeru, bagi para pendidik yang
tidak mengetahui erti ilmu dan belum memahami konsep pendidikan. Maka, novel
ini akan dapat membantu kalian. Kalian akan mendapat semangat kembali. Darah kalian
akan mengalir laju kerana tidak sabar untuk mengajar.
Natijahnya, ketika sudah selesai membaca
novel ini, ternyata dalam jiwa pendidik belum diketemukan lagi dalam jiwa saya.
Saya belum ada ciri-ciri seorang pendidik. Dahulu, Saya menyangka bahawa mudah
sahaja jadi guru ini. Rupanya tidak!
Keempat, peranan pusat ilmu. Pusat ilmu
itu harus bebas daripada pengaruh politik dan taksub kepada golongan dan
kumpulan tertentu. Pusat ilmu mesti suci dan berlandaskan kepada prinsip utama
Syariah Islamiah iaitu Al-Quran dan sunah Nabi Muhammad SAW yang shahih.
Pusat
ilmu yang suci ini dapat meroboh dan memusnahkan pemikiran yang kolot, bida’ah
dan sesat. Hasilnya, Badiuzzaman Said Nursi telah membangunkan sekolah
bercirikan Al-Quran dan sunah. Beliau telah menulis satu kitab yang begitu
indah sehingga telah mempengaruhi dunia Turki. Kitab tersebut ialah Risalah
An-Nur. Saya hanya memiliki beberapa juzuk sahaja.
Pusat
ilmu yang benar akan melahirkan generasi yang hebat. Generasi yang hebat akan
dapat menjaga agamanya dan mempertahankannya daripada diseleweng. Pada zaman
Kamal Altartuk, sekolah-sekolah agama ditutup dan sekolah sekular bertuhankan
barat menjadi silibus utama. Segala macam sekolah agama yang didirikan, tidak
akan bertahan lama kerana akan dimusnahkan serta-merta.
Kelima, penulis juga membawa satu nilai
yang sangat penting iaitu nilai jihad mempertaruhkan nyawa dan harta untuk
agama dan Negara. Ini satu nilai yang sangat penting yang mesti difahami oleh
setiap umat kerana firman Allah azza wajalla dalam surah at-Taubah ayat ke-41:
انفِرُوا خِفَافًا
وَثِقَالًا وَجَاهِدُوا بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنفُسِكُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ ۚ
ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ
Maksudnya:
Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), sama ada dengan
keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan
berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu
pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu,
jika kamu mengetahui.
Begitulah perjuangan Badiuzzaman
Said Nursi ketika hampir-hampir di penghujung usia. Sudah dimamah usia dan
rambut sudah menjadi putih. Perjuangannya tidak terhenti selagi Islam belum
tertegak di Turki.
Zaman kita juga akan tiba, bila tiba
saatnya. Kewajipan juga jatuh ke bahu kita. Kita wajib mempertahankan Islam di
Malaysia walaupun terpaksa bersenjata keris.
Badiuzzaman Said Nursi.
Badiuzzaman Said Nursi ialah di
antara tokoh reformis yang paling saya kasihi. Saya sangat mengasihi beliau. Darah
dan nadi saya menjadi bukti di Mahsyar nanti.
Siapakah Badiuzzaman Said Nursi?
Said Nursi dilahirkan pada
1876M/1293H di sebuah perkampungan bernama ‘Nurs’ yang terletak di tenggara
Turki. Beliau sempat menghirup udara khilafah Islamiah yang terakhir iaitu pada
zaman Sultan Abdul Hamid dan beliau juga menjadi saksi keruntuhan khilafah
Islamiah yang terakhir itu. Beliau meninggal pada 25 Ramadhan 1379H bersamaan
23 Mac 1960M. Beliau dikebumikan di Urfa namun dirobohkan oleh pihak berkuasa
Sekular. Saya mengutip biografi ini dalam buku Tokoh-tokoh Gerakan Islam Abda
Moden oleh Zainudin Hashim dan Riduan Mohamad Nor.
Said Nursi mendapat jolokan
Badiuzzaman yang bermaksud keagungan zaman oleh umat kerana sumbangan dan
ilmunya yang begitu hebat. Kehebatannya diakui teman dan dihormati lawan. Beliau
umpama Al-Imam As-Syafie yang mampu menghafal dengan sekali bacaan sahaja.
Beliau juga seorang ulama’ yang
giat menulis kitab. Kitab yang paling hebat selepas risalah an-Nur ialah tafsir
beliau. Beliau juga menulis tafsir al-Quran. Tafsir beliau diiktiraf oleh para
ulama’. Buku ‘Ijaz al-Quran yang dikarang oleh Dr. Radhwan Jamal Al-atrash
telah memuatkan nama Badiuzzama Said Nuri sebagai penulis tafsir moden.
Kesimpulan.
Novel ini sangat hebat. Novel bukan
biasa-biasa tetapi luar biasa. Saya sangat menggalakkan kepada semua untuk
membaca novel ini.
Semoga novel ini sedikit sebanyak
memberikan pencerahan minda dan jiwa.
Semoga novel ini memberikan
semangat untuk terus berjuang dan mengikut langkah Badiuzzaman Said Nursi.
Semoga Allah azza wajalla
merahmati penulis novel Api Tauhid ini iaitu Habiburrahan El Shirazi.
Selamat membaca.
Wallahu a’lam.
12:42 AM |
Category:
intelektualisme
|
0
comments
Comments (0)