Ciri-ciri Perbandingan Dalam Al-Quran
(Tashbih Fi Al-Quran)
Bismillahirrahmanirrahim.
Alhamdulillah.
Kalam Allah azza wajalla memiliki
gaya yang tersendiri. Kalam yang boleh mendamaikan hati yang sedang lara. Kalam
yang memberikan ketenangan dan kegembiraan. Kalam yang melembutkan jiwa insan dan
setiap ciptaan. Kalam yang penuh syahdu menusuk kalbu. Madah tuhan sungguh
agung. Bicara-Nya mengubati kerinduan serta memupuk lagi kecintaan. Kalam Allah itu
juga keras bahasanya andai seseorang itu ingkar dan kufur.
Keistimewaan kalam Allah azza
wajalla tidak ada kesangsian lagi. Setiap baris dan nahu memainkan irama dan
muzik. Tidak ada satu kecacatan walaupun satu baris. Tidak ada perubahan dan
kekal selamanya.
Salah satu keunikan madah ini
ialah, Dia berbicara dengan tulus dan mulus. Dia membawa para pembaca ke serata
alam dan segenap penjuru. Langit, bumi, matahari, bulan, bintang, haiwan dan
tumbuhan merupakan tema utama. Memberikan satu gambaran kepada setiap para pembaca
untuk menghayati. Dia menggambarkan sesuatu dengan sesuatu untuk memberikan
sentuhan baldu terus meresap ke dalam sanubari.
Gaya Bahasa Al-Quran yang unik
itu dinamai Tashbih iaitu membawa erti perbandingan. Keunikan konsep ini
ialah agar para pembaca mencapai maksud yang tersurat bahkan tersirat kerana
setiap tersirat tidak mudah terungkap. Hati yang ikhlas dan jiwa yang bersih
sahaja yang mampu melihat perkara itu.
Keunikan ini memberikan gambaran
sesuatu dengan sesuatu dengan temanya. Pasaknya bangunan yang tinggi seperti
langit. Berterbangan bebas seperti belalang mencari rezeki. Gunung bersila
patuh dan taat. Haiwan diperlihat dengan bentuk yang sempurna. Semua ini,
memberikan gambaran yang jelas kepada para pembaca yang sentiasa hatinya
mencari cahaya petunjuk dan keredhaan.
Tema-tema ini diperhalusi lagi
oleh Sang Pencipta. Dia berbicara kepada hamba-Nya. Dia membandingkan satu ciptaan
dengan ciptaan yang lain seperti alam semula jadi seperti tumbuhan, haiwan dan
tanah atau bumi untuk menambah dan mengukuhkan keimanan.
Bicara Raja Yang Maha Berkuasa.
Dia berbicara tentang tumbuhan seperti tandan buah.
Firman Allah azza wajalla dalam
surah ayat Yasin ayat ke-39 tentang Tandan:
وَالْقَمَرَ
قَدَّرْنَاهُ مَنَازِلَ حَتَّىٰ عَادَ كَالْعُرْجُونِ الْقَدِيمِ
Terjemahannya: Dan bulan pula
Kami takdirkan dia beredar melalui beberapa peringkat, sehingga di akhir
peredarannya kelihatan kembalinya pula ke peringkat awalnya - (berbentuk
melengkung) seperti tandan yang kering.
Pernah kalian melihat tandan
pisang? Bagaimana rupanya? Perhatikan dengan mata hati. Pada permulaannya kecil
dan sehingga menjadi besar. Buah pisang yang ranum bersandar pada tandan itu. Sungguh
indah dan hebat ciptaan-Nya. Cuba lagi perhatikan, seandainya pekebun itu tidak
mengambilnya, lama-kelamaan tandan yang hijau it menjadi kekuningan. Dari tandan
yang segar menghijau menjadi kuning kekeringan. Itulah dinamakan kitaran hidup. Rembulan begitu
juga, dari bulan sabit ke purnama, dari purnama kembali semula ke bulan sabit. Inilah
dinamakan fitrah alam. Manusia seperti itu juga, dari alam roh, buaian, kanak-kanak, remaja, dewasa, tua dan kembali menemui Ar-Rahman.
Raja Maha Agung berbicara dalam
surah al-Haqqah ayat ke-7 mengenai Pohon Kurma:
سَخَّرَهَا
عَلَيْهِمْ سَبْعَ لَيَالٍ وَثَمَانِيَةَ أَيَّامٍ حُسُومًا فَتَرَى الْقَوْمَ
فِيهَا صَرْعَىٰ كَأَنَّهُمْ أَعْجَازُ نَخْلٍ خَاوِيَةٍ
Terjemahannya: Yang diarahkannya
menyerang mereka tujuh malam lapan hari terus-menerus; (kalaulah engkau
menyaksikannya) maka engkau akan melihat kaum itu bergelimpangan mati,
seolah-olah mereka: batang-batang pohon kurma yang (tumbang dan) lompang.
Allah Maha Agung dan Maha Adil,
Dia tidak akan menzalimi hamba-Nya sewenangnya dan Dia hanya menghukum bagi
sesiapa yang ingkar dan kufur dengan suruhan-Nya.
Ayat ini menjelaskan kepada para
pembaca agar menghayati akibat melanggar perintah-Nya. Begitulah yang terjadi
kepada kaum Aad iaitu kaum Nabi Hud yang telah mengingkari suruhan dan ajakan
Nabi Hud untuk menyembah Allah Yang Maha Esa. Mereka ialah kaum yang sangat
hebat kerana telah berjaya membina sebuah peradaban dan bangunan yang hebat-hebat
namun mereka yang tidak beriman sombong dengan kurnian yang dianugerah oleh
Allah azza wajalla.
Maka, Allah azza wajalla
mempersembahkan satu gambaran yang sangat jelas bagaimana azab yang ditimpa
oleh kaum Ad seperti batang-batang pohon kurma yang lompang, lemah, tidak
bernilai, hancur dan mati bercerai-berai.
Raja Maha Hidup berbicara lagi dalam surah al-Qamar ayat ke-7 mengenai Belalang:
خُشَّعًا
أَبْصَارُهُمْ يَخْرُجُونَ مِنَ الْأَجْدَاثِ كَأَنَّهُمْ جَرَادٌ مُّنتَشِرٌ
Terjemahannya: (Pada saat itu)
masing-masing dengan keadaan menundukkan pandangannya kerana ketakutan keluar
dari kubur seperti belalang yang terbang bertebaran.
Nah, hayatilah semahu-mahunya
ayat ini. Renungilah dengan seikhlas hati. Bermuhasabalah dengan mengulangi
ayat ini beberapa kali kelak kalian akan memperoleh sesuatu hikmah yang
tersembunyi.
Bayangkanlah keadaan kita kelak
di Hari Pembalasan. Pada saat itu, kita dalam ketakutan. Pandangan kita
terhenti kerana tidak berani melihat pemandangan di persekitaran. Bilangan umat yang
ramai sejak daripada Nabi Adam alaihissalam sehingga Nabi Muhnammad SAW,
bilangannya itu tidak terkira dan tidak mampu dihitung dengan ilmu manusia.
Pada saat itu, semua umat
berpusu-pusu, ke hulur ke hilir, ke barat dan timur, ke selatan dan utara demi
mencari secebis pahala agar ditempatkan syurga Maha Pengampun. Meraba-raba
setitis kebaikan supaya terselemat daripada api yang membakar.
Keadaan umat dan kita semua itu
seperti belalang. Kenapa belalang? Perhatikan kehidupan belalang pada bulan Oktober,
November dan Disember khususnya di Negara yang mempunyai hasil mahsul seperti gandum,
jagung dan padi. Berjuta-juta ekor belalang akan menyerang ke ladang itu
demi mencari rezeki. Mereka berterbangan bebas untuk mengutip bekalan untuk dibawa
pulang. Bagi yang kuat akan selamat manakala bagi yang lemah akan jatuh
tersungkur dan mati. Umat dan belalang hampir-hampir serupa pada sudut
pergerakan.
Semoga Allah azza wajalla
mengampunkan dosa-dosa kita. Amin.
12:22 AM |
Category: |
0
comments
Comments (0)