Terjemahan al-Quran

بسم الله الرحمن الرجيم، ولله الحمد الذي أنزل القرآن بلسان عربي مبين، وعلم القرآن الكريم، وخلق الإنسان ضعيفا فعلّمه البيان. والصلاة والسلام على إمام البلغاء، وسيد الفصحاء، ورئيس القراء نبينا المصطفى محمد بن عبد الله صلى الله عليه وسلم  و على أهله كرماء، وأصحابه العظماء ومن تبعهم بإحسان إلى يوم الدين، أما بعد.



Karya berjudul Terjemahan Al-Quran oleh Prof. Dr. H. Nashruddin Baidan adalah sebuah karya yang membahaskan permasalahan displin terjemahan al-Quran terhadap teks dan konteks terjemahan al-Quran di Indonesia.

Karya ini mengetengahkan beberapa karya terjemahan al-Quran di antaranya tafsir Hamka, Al-Misbah dan sebagainya. Bagi saya, beliau seorang ulama' yang sangat kritis dan kreatif. Ilmu beliau dari sudut bahasa Arab sangat mendalam bahkan beliau menguasai displin ilmu terjemahan sangat tinggi.

Karya ini bagus untuk semua khususnya yang ingin mendalami al-Quran dari sudut terjemahan maknanya. Banyak perkara yang boleh kita setuju dan ada perkara yang boleh dibahaskan lagi.

Yang menjadi keutamaannya, pada hemat saya pada karya ini, beliau mengajak kepada semua untuk memperbaharui terjemahan makna al-Quran khususnya daripada bahasa Arab kepada bahasa Melayu.
Sebagai contoh dalam surah al-'Ma'un. Allah berfirman: 

فَوَيْلٌ لِّلْمُصَلِّينَ، الَّذِينَ هُمْ عَن صَلَاتِهِمْ سَاهُونَ
Terjemahan Basmieh: (laitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya; (Surah al-Ma’un 107:4-5)

Terjemahan Prof Dr. H. Nasruddin Baidan: "Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang solat iaitu mereka yang lupa dari solatnya" (Al-Ma'un 4-5).

Cuba bandingkan dua terjemahan di atas.

Pada ayat di atas ada huruf jar (kata sendi) iaitu dari (عن). Lalu bagaimana hendak memahaminya, dalam erti kata lain, bagaimanakah untuk menterjemah huruf tersebut dalam al-Quran yang lebih tepat dan menepati maksudnya dari segi teks dan konteks. Seandainya diterjemahkan dengan (dalam) maka seolah-olah maknanya celakakah orang yang lalai dalam solat itu maknanya dia barangkali tidak khusyuk, tidak sempurnakan rukun utama dan begitu segera tidak ada toma'ninah.

Tetapi jika diterjemahkan (dari) maka maknanya dia belum mengerjakan solat dalam erti kata lain, dia mengatakan solat itu tidak penting dan dia ambil mudah soal kewajipan solat.

Menurut penulis:“Terjemahan (dalam) dengan demikian itu memberikan informasi, bahawa kecelakaan yang ditimpakan kepada mereka itu disebabkan oleh sikap dan perilaku mereka yang tidak memedulikan solat dan bahkan mengabaikan; padahal mereka mereka mengaku mukmin, tetapi tidak mahu mengamalkan ajaran iman yang mereka yakini. Jadi wajar sangat mereka diancam dengan kecelakaan dan azab sebagaimana dijelaskan di atas”.

Tambahan beliau, jika diterjemahkan kepada dari, beliau menukilkan pendapat ibn Kathir dan Mujahid bahawa (عن) itu maknanya (dari) solat bukanya dalam solat lantas maknanya adalah memberikan informasi bahawa kecelakaan yang ditimpakan kepada mereka yang solat itu ialah bilamana setelah melakukan solat mereka menjauh dari ajaran solat itu sendiri misalnya tidak mahu berhenti dari perbuatan maksiat seperti korupsi, manipulasi dan sebagainya sedangkan mereka sudah mengerjakan solat tetapi tidak masih lalai daripada tuntutuan yang sebenar. (Huraian selanjutnya pada buku beliau)

Menurut saya, boleh diertikan dengan dari lalai daripada menunaikan solat iaitu mereka memandang solat bukan satu kewajipan, mengatakan solat tidak penting dan menyusahkan, mengutamakan kepentingan dunia daripada kewajipan solat sebab pada ayat itu tidak digunakan ayat yang dimulakan dengan kata kerja (الجملة الفعلية) tetapi dimulakan dengan kata nama (الجملة الاسمية) yang memberikan makna tentang pelaku.

Oleh hal yang demikian itu, yang manakah lebih tepat terjemahan bagi golongan yang mendapat kecelakaan Allah. Kesimpulan secara umumnya, terjemahan (dari) adalah lebih tepat pada teks dan konteks kerana suruhan mengerjakan solat itu lebih penting dan disuruh melakukannya. Wallahu a’lam.

Banyak lagi permasalahan terjemahan yang beliau bentangkan, dalam karya beliau terdapat 9 permasalahan dan beliau membahas dengan fakta dan ilmiah. Pada saya, karya ini sangat bagus terutama yang ingin mengajar al-Quran dari sudut bahasa.


Saya juga ingin menyatakan beberapa perkara selepas selesai membaca karya ini. Sebagai mahasiswa jurusan bahasa Arab, saya rasa ralat kerana hampir 8 tahun belajar bahasa Arab, masih tidak ada sebuah buku terjemahan dari bahasa Arab ke bahasa Melayu, (kalau ada pun masih dalam perjalanan).

Justeru, barangkali bagi universiti perlu mewajibkan para pelajar jurusan bahasa Arab selama 5-6 tahun peringkat ijazah muda itu menterjemahkan sebuah buku dan menjadikan sebagai prasyarat untuk graduasi. Ini baru melahirkan pelajar bahasa Arab yang hebat, in sya Allah.

Sebagai permulaan untuk menceburi bidang terjemahan. dia perlu menterjemah karya bukan al-Quran dan hadis. Selepas itu, apabila sudah mahir, cubalah menganalisis terjemahan al-Quran dan hadis. in sya Allah. (Saya boleh mengkritik terjemahan yang ada pada al-Quran dan hadis tetapi tak semua la namun saya juga tak mampu menterjemah sebuah karya setakat ini).

Wallahu a'lam. Terima kasih. Selamat membaca.


Comments (0)