Perkembangan Awal Nahu Arab
Bismillahirrahmanirrahim.
Alhamdulillahirabil’alamin.
قَدْ أَجْمَعَ النَّاسُ
جَمِيْعًا أَنَّ اللغَةَ إِذَا وَرَدَتْ فِي
القَرْآنِ فَهِيَ أَفْصَحُ مِمَّا مِنْ غَيْرِ القَرْآنِ، لَا خِلَافَ ذَلِك.
"Keseluruhan manusia telah bersepakat
menyatakan bahawa bahasa yang terkandung dalam al-Quran adalah sefasih-fasih
bahasa daripada bahasa yang lain, perkara ini tidak ada perselisihan sama
sekali". (Ibn Khalawyh)
Buku berjudul Perkembangan Awal Nahu Arab
oleh Kamarul Shukri Mat Teh sebuah buku yang sangat baik dan bagus. Jarang
ditemui sebuah buku berbahasa Melayu yang mencerita dan mengupas sejarah
Nahu Arab sejak dari zaman Nabi Muhammad sollahu'alaihiwasalam sehingga zaman
Abbasiyyah dan selepasnya. Jadi, saya menyarankan kepada semua untuk membaca buku ini
supaya kalian tahu serba-serbi sejarah Nahu Arab kerana ilmu bahasa Arab
asasnya adalah ibu segala ilmu dalam khazanah Islam.
Dalam buku ini mengandungi 7 Bab utama, bab 1
mengupas definisi Nahu dan sejarahnya. Bab 2, membahaskan gejala Lahn. Bab 3,
membicarakan perintis dan pengasas ilmu Nahu. Bab 4, menerangkan teknik dan
hujah ilmu Nahu terhadap al-Quran, Hadis, Syair, Prosa dan sebagainya. Bab 5,
sejarah mazhab Nahu dan bagaimana ulama' mengembangkan ilmu Nahu. Bab 6 pula,
mengupas sejarah perjalanan pembukaan ilmu di kota Baghdad, bab 7 penutup.
Saya ingin menekankan
Bab 2 iaitu gejala Lahn, Lahn bermaksud kesilapan dalam bahasa Arab baik
pertuturan, percakapan, lafaz dan makna.
Sebagai seorang penuntut
ilmu bahasa Arab, Lahn ini merupakan wabak umat terutamanya yang bukan Arab
tetapi zaman kini tidak, wabak ini juga telah meresap dalam kalangan kaum Arab.
Saya ingin mengajak kalian supaya lebih utamakan bahasa fushah daripada loghat
atau dialek melainkan loghat atau dialek tersebut terdapat dalam kamus dan
kalam Arab terdahulu. Kerana loghat dan dialek ini merupakan salah satu punca
wabak, lantaran itu ulama' nahu menyusun kaedah nahu dan sorof untuk merawat
wabak tersebut.
Wabak Lahn ini juga
disebut oleh Dr. Abdul Ghani dalam bukunya Peradaban Islam di Bumi Melayu;
Kini dan Dahulu menyatakan bahawa penjajah dan orientalis telah berjaya menjadikan
orang Arab mengutamakan Bahasa Loghat berbanding Bahasa Rasmi supaya mereka
tidak lagi memahami dan mendalami lafaz dan makna al-Quran dengan tepat. Perkara
ini juga disokong oleh Dr. Abdul Ghafar dalam syarahan al-Kasyaf bahawa
orang Arab kini bukanlah Arab Asli dan mereka terpaksa merujuk kamus untuk
mengetahui makna yang dilafazkan. Arab sekarang disebut sebagai al-Musta’rabun.
Bukan bermakna saya
mengatakan tidak kepada loghat dan dialek apatah lagi menafikan tetapi pastikan
lahjah itu betul-betul menurut qiyas dan sama' kerana dalam al-Quran merakamkan
banyak sekali lahjah (saya akui sepatah haram lahjah pun tak faham, setakat
al-Sirat dan al-Zhirat boleh la).
Baik, berbalik kepada
wabak Lahn ini, ia telah berlaku sejak berzaman lagi, sejak dari syair jahili,
zaman Nabi Muhammad sollahu'alaihiwasalam, sahabat, tabi' tabiin sehinggalah
futuhat Islam seterusnya.
Oleh itu, janganlah
cepat putus asa seandainya penguasaan bahasa Arab kita sekarang sangat lemah
dan banyak kerosakan, sememangnya kita wajib mempelajari sampai mati kot.
Para sahabat dahulu
juga pernah menanyakan nabi Muhammad sollahu'alaihiwasalam tentang makna
perkataan sedangkan mereka Arab, Sibawaih asal Parsi juga mampu belajar bahasa
sehingga alim, kita juga boleh mencuba barangkali, al-Kisa'i juga dikatakan
pernah silap dalam bahasa juga terus belajar. Disebut juga Imam Abu Hanifah
berguru dengan al-Kisa'i kerana salah fahamannya kaedah nahu dan terus melazimi
pengajian dengan al-Kisa'i.
Kalau kita membaca
buku ini maka kita akan menemui beberapa peristiwa perdebatan para nuhat yang
berbeza pandangan, ya rabbana, rasa kecil ja dunia ini. Ramai sekali ulama'
dahulu yang tidak pernah putus asa dan tidak malu untuk menuntut ilmu, lalu
kenapa kita tidak?
Justeru, jangan malu bertanya, sabar menuntut
ilmu, berusaha bersungguh dan carilah guru.
Wallahu a'lam.
Comments (0)