8
adab-adab berdebat dari sudut pandangan al-Quran.
Ketika Nabi
Muhammad SAW diangkat menjadi utusan Allah SWT, baginda sudah mendapat gelaran al-Amin
kerana kejujurannya dalam perniagaan sehingga saiditina Khadijah terbuka pintu
hatinya untuk menyerahkan cintanya kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
Begitu juga akhlak baginda SAW sangat terpuji sehingga disenangi oleh seluruh
masyarakat Arab sebelum baginda SAW diangkat menjadi rasul. Akhlaknya yang
terpuji itu terus mendapat pengikhtirafan dan kepercayaan sehinggalah pada masa
ini.
Nabi Muhammad
SAW diutus untuk mempercantikkan akhlak dan tingkah laku umat. Tangunggjawabnya
yang besar untuk menyempurnakan peribadi umat ketika itu. Walaupun dugaan dan
halangan yang ditempuhi itu ibarat berjalan kaki di atas duri yang mencanak
tetapi baginda SAW tetap utuh dan teguh malah sentiasa menjaga adab-adabnya.
Cabaran yang
paling besar menurut hemat saya bagi seorang pendakwah ialah bagaimana menjaga
tutur bicaranya ketika menyeru ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran. Ini
bukan perkara yang mudah bahkan tidak susah untuk melakukannya. Kita sudah ada
qudwah yang wajib kita teladi iaitu junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Kenapa
kita masih mengikut dan mencontohi umat yang lain. Sedangkan kita sudah ada
contoh yang sangat dekat dengan hati kita.
Insyallah pada
penulisan kali ini, saya akan membahaskan 8 adab-adab berdebat dari sudut
pandangan al-Quran.
Sumber utama
rujukan saya ialah karya Prof. Nesreldin dalam kitabnya wujuh al-‘ijaz fi
khitab al-uslub wal ma’rifi lilqurani karim.
Mudah-mudah
kita mendapat manfaat dan ilmu daripada penulisan ini. Jika ada salah silap,
saya berlapang dada untuk menerima segala teguran dan kritikan.
Prof Nesreldin
menyebut bahawa Islam mengharuskan perdebatan untuk menjelaskan kebenaran dan
mengangkat kebenaran dengan fakta yang benar. Seperti mana firman Allah SWT
dalam surah al-‘Ankabut ayat ke-36:
لَا
تُجَادِلُوا أَهْلَ الْكِتَابِ إِلَّا بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ
Dan janganlah kamu berbahas dengan Ahli Kitab melainkan dengan cara
yang lebih baik,
8 adab-adab berdebat tersebut telah
dinaqalkan Prof. Nesreldin dalam kitabnya dan beliau mengambilnya dari Dr.
Zahir ‘Awwad al-Alma’i dalam bukunya Manahij al-Jadal fi al-Quran maksudnya
Cara-cara perdebatan menurut al-Quran.
1.Mencari
kebenaran.
Apabila dua
kumpulan berdebat, mereka mesti bersatu dan saling membantu untuk mencari
kebenaran. Di dalam perdebatan ini, setiap dari mereka mesti berusaha untuk
menzahirkan kebenaran dan berharap keredhaan Allah SWT.
Saya melihat
sebahagian para pendakwah di dalam wacana ataupun dalam forum perdebatan,
masing-masing cuba menegakkan benang yang basah walhal terdapat fakta dan hujah
yang benar tetapi disebabkan ego dan angkuh, hujah itu ditolak dan
mempertahankan apa yang dia miliki. Ini adalah satu kesilapan yang besar. Tidak
patut bagi seorang pendakwah untuk menolak kebenaran. Sedangkan kebenaran itu
datangnya dari Allah SWT.
Saya juga
sangat bersetuju seperti mana yang disebut oleh al-Imam al-Syafie dalam
syairnya. Beliau mengatakan: “Aku tidak berdebat dengan seseorang melainkan aku
berharap untuk menzahirkan kebenaran di sebelah pihak yang lain”.
Inilah matlamat
utama dalam perdebatan mahupun perbahasan. Jika perdebatan bukan kerana ini,
pastinya akan berlaku pertengkaran dan permusuhan. Mungkin boleh jadi cacian
dan makian yang akan berlaku.
2. Menjauhi
daripada fanatik dan ekterimis.
Perkara ini
juga sangat jelas. Sesetengah pihak apabila terlampau fanatik dengan seseorang
ataupun sebuah parti, sebelah pihak satu laginya pasti akan dicemuh dan
dimusuhi. Saya sendiri lihat tentang perkara ini ketika mana saya menghadiri
satu seminar yang mana panelisnya Dr. Maza, Dr. Ridhuan Tee, Dr. Fathul Bari
dan wakil pas. Apabila Dr. Ridhuan Teen dan Dr. Fathul Bari hendak berbicara
habis satu dewan bising dengan bunyi-bunyian seperti “booo”. Ini adalah salah
satu contoh menunjukkan bahawa umat kita masih belum matang.
Sungguhpun kita
tidak bersetuju dengan seseorang, kita harus mendengar dan berlapang dada apa
yang diperkatakan, andai salah, kita balasa dengan hujah yang benar. Inilah
landasan Islam yang sebenar.
Dr. Zahir
memetik sepotong ayat al-Quran sebagai bukti bahawa Islam sangat membenci sifat
fanatik dan exterimis yang melampau-lampau. Firman Allah SWT dalam surah Saba’
ayat ke-24:
۞ قُلْ مَن يَرْزُقُكُم مِّنَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ ۖ قُلِ
اللَّهُ ۖ وَإِنَّا أَوْ إِيَّاكُمْ لَعَلَىٰ هُدًى أَوْ فِي ضَلَالٍ مُّبِينٍ
Bertanyalah (wahai
Muhammad kepada orang-orang musyrik itu): "Siapakah yang memberi rezeki
kepada kamu dari langit dan bumi?" Terangkanlah jawabnya: "Ialah
Allah; dan sesungguhnya (tiap-tiap satu golongan), sama ada golongan kami ahli
tauhid atau golongan kamu ahli syirik - (tidak sunyi daripada salah satu dari
dua keadaan): keadaan tetapnya di atas hidayah petunjuk atau tenggelamnya dalam
kesesatan yang jelas nyata ".
Inilah adab
yang harus diteladi oleh setiap pendebat sama ada hendak mencari petunjuk
ataupun terus berada dalam kesesatan yang jelas dan nyata.
3. Berbicara
dengan berhemah.
Berkata-kata
dengan perkataan yang baik dituntut di dalam Islam. Menurut Dr. Zahir bahawa
kita mesti menjauhi daripada mengkeji dan mengejek pendapat orang lain andai
kita berbeda pendapat.
Kelemahan yang
dihadapi para pendakwah pada zaman sekarang ialah mudah melenting apabila
pendapatnya ditolak. Sebahagiannya pula melalak-lalak ketika menyampaikan
dakwah. Ada juga dengan kata-kata dan ungkapan yang keras. Ada juga suka
memerli. Sedangkan Islam itu tidak pernah berbicara kepada umatnya dengan
sedemikian rupa.
Sebagai contoh
kisah Nabi Musa dan Nabi Harun ketika hendak menentang Firaun. Firman Allah SWT dalam surah Taha ayat ke-44:
فَقُولَا
لَهُ قَوْلًا لَّيِّنًا لَّعَلَّهُ يَتَذَكَّرُ أَوْ يَخْشَىٰ
"Kemudian hendaklah
kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia beringat
atau takut".
4.
Melazimi cara yang tepat.
Adab ini
sangat penting bagi seorang pendakwah dalam menyampaikan risalah Tauhid dan misi
kenabian. Setiap sesuatu perkara perlu disandarkan kepada prinsip. Tegas dalam
pendirian dan sentiasa membawa bukti yang nyata untuk menyampaikan dakwah
tersebut.
Perkara
palsu dan penyelewengan perlu dihindari. Jika yakin dengan kebenaran, segala
bukti dan fakta yang jelas perlu dikemukan agar isi yang hendak disampaikan
tercapai pengertiannya.
Ini juga
sangat bertepatan dengan kaedah fiqh: “Jika awak pembahas bawakan faktanya
manakala jika awak pendakwa datangkan buktinya”.
Bahkan
ini juga dianjurkan oleh ajaran Islam itu tersendiri iaitu firman Allah SWT di
dalam surah al-Baqraha ayat ke-111:
قُلْ
هَاتُوا بُرْهَانَكُمْ إِن كُنتُمْ صَادِقِينَ
"Bawalah
kemari keterangan-keterangan yang (membuktikan kebenaran) apa yang kamu katakan
itu, jika betul kamu orang-orang yang benar".
5.
Sebutan dan panggilan yang baik.
Perkara
ini sangat maklum di sisi umat kita. Sejak dari kecil lagi kita diajar
bagaimana menghormat orang yang lebih tua dari kita. Kita juga dididik dalam
untuk menghormati guru-guru. Paling menarik dalam adab di Negara kita ialah
apabila kita berjalan dalam majlis ataupun di dalam rumah yang mana dihimpun
sanak saudara atau tetamu, pasti kita akan berjalan dengan keadaan sedikit
bongkok sambil satu tangan lurus ke bawah dan sebelah lagi di belakang, perkara
seperti juga sudah dibentuk dalam masyarakat kita.
Apatah
lagi dalam konteks pertuturan dan perbualan. Tidak melunakkan suara dan
menengking. Paling utama bagaimana untuk kita menghormati pandangan yang
berbeda daripada kita.
Kita
lihat pelbagai contoh yang tertera di dalam al-Quran seperti Luqman memanggil
anaknya “Wahai anakku...”. begitu juga dengan ungkapan para anbiya’ yang
sentiasa merendahkan suara dan bahasanya. Dengan itu, umat akan mudah menerima
teguran dan pandangan kita.
6.
Ikhlaskan niat.
Dr. Zahir
menyebut bahawa, kita mesti mengikhlaskan diri kepada Allah SWT dengan harapan
untuk mencari kebenaran. Kita juga dituntut untuk saling menyanyangi dan
hendaklah dihindari sifat yang terkeji iaitu riak. Dalam perdebatan ini bukan
menang kalah menjadi ukuran tetapi fakta dan hujah mana yang benar dan yang
paling baik.
Di dalam
hadis Nabi Muhammad SAW, beliau bersabda: “sesungguhnya setiap amalan itu
dimulai dengan niat...”. Niat menjadi ukuran di sisi Allah SWT. Niat yang
ikhlas kerana Allah SWT akan memperoleh ganjaran di akhirat kelak bahkan saya
yakin bahawa jika kita niat untuk melakukan sesuatu pekerjaan kerana Allah SWT,
nescaya kita akan dipermudahkan segala urusan ke arah itu. Inilah yang dijanji
Allah SWT di dalam al-Quran. Firman Allah SWT dalam surah Muhammad ayat ke-7:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ
آمَنُوا إِن تَنصُرُوا اللَّهَ يَنصُرْكُمْ وَيُثَبِّتْ أَقْدَامَكُمْ
Wahai orang-orang yang beriman,
kalau kamu membela (ugama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai
kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu
7. Memilih waktu yang sesuai.
Ini adalah adab yang terakhir yang disebut oleh
Dr.Zahir. beliau menyatakan bahawa adab perdebatan ini juga mesti mengambil
berat dari sudut waktu yang sesuai seperti bukan dalam keadaan lapar, marah dan
sakit kerana kesannya akan memberikan keputusan yang negatif.
Bukan itu sahaja, para pendebat juga dituntut untuk
bersahabat dan mengeratkan silaturrahim dalam mencari kebenaran yang hakiki
seperti mana firman Allah SWT dalam surah Fussilat ayat ke-34:
لا تَستوِي الْحَسَنَةُ وَلَا السَّيِّئَةُ ۚ ادْفَعْ
بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ فَإِذَا الَّذِي بَيْنَكَ وَبَيْنَهُ عَدَاوَةٌ كَأَنَّهُ
وَلِيٌّ حَمِيمٌ
tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang
jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih
baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan
terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.
Inilah
beberapa adab yang digariskan di dalam Al-Quran. Terdapat 7 adab berdebat dari
sudut pandangan al-Quran. Insya-Allah, dengan 7 adab ini jika diamalkan oleh
para pendakwah, keharmonian umat akan terjaga dan agama akan dipelihara.
Bukan
hendak mencari siapa yang salah dan siapa sesat. Bukanlah tujuan berdebat itu
merendah-rendahkan sebelah pihak tetapi objektif utamanya ialah mencari
kebenaran.
11:30 PM |
Category:
idealisme
|
0
comments
Comments (0)