Save Al-Quds; Peranan umat islam.
Wahai saudaraku
seagama islam,
Ketahuilah bahawa Al-Quds adalah kota yang suci bagi seluruh umat
islam. Sebuah kota yang mempunyai sejarah yang cukup agung dan hebat. Kota ini
juga telah melahirkan beberapa utusan Allah dengan membawa misi ketauhidan
serta menyeru umatnya kearah jalan kebenaran dan kebaikan. Allah SWT juga telah
mengangkat kota suci ini dan sentiasa akan memberkatinya sehingga hari Khiamat.
Firman Allah dalam surah Al-Isra’ ayat pertama:
سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِ لَيْلًا مِّنَ الْمَسْجِدِ
الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ
مِنْ آيَاتِنَا ۚ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ
Ertinya:Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad)
pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di
Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya
tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha
Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
Wahai saudaraku
yang beriman,
Kita semua adalah satu umat. Kita
semua bersaudara. Kita juga adalah sebaik-baik umat yang menyeru kearah
kebaikan dan mencegah kemungkaran. Yang menjadi perbezaan di antara kita ialah
ketaqwaan. Allah berfirman di dalam surah al-Hujrat ayat 10:
إنمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ
فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ
Ertinya:Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara,
maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan
bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.
Jika benar kita orang islam yang beriman kepada Allah dan rasul-Nya
nescaya isu al-Quds adalah tidak asing bagi kita. Kita mesti membantu saudara
kita jika kita mengakui bahawa umat islam di Palestin adalah saudara kita. Seperti
sabda nabi Muhammad SAW: “Seorang Muslim itu adalah saudara kepada muslim
yang lain, dan dia tidak menzaliminya dan dia juga tidak membiarkan saudaranya
disakiti serta menolong dan mempertahankannya.” Begitu juga dengan
sabda Nabi Muhammad SAW:“Perbandingan orang-orang yang beriman tentang perasaan kasih sayang,
berbelas kasihan dan bersimpati mereka adalah seperti satu tubuh badan,
sekiranya salah satu anggota daripadanya mengadu sakit, maka
bersahut-sahutanlah lain-lain anggota kepadanya dengan tidak dapat tidur dan
demam selesma.” Terdapat banyak lagi shahih yang menghuraikan kepentingan persaudaraan ini
terutama apabila kita membaca Tafsir Ibn Kathir.
Allah juga berfirman dengan menyatakan bahawa kewajipan umat islam
itu mesti menyuruh yang ma’ruf dan mencegah yang mungkar di dalam surah
ali-‘Imran ayat ke 110:
كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ
وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ ۗ وَلَوْ آمَنَ أَهْلُ
الْكِتَابِ لَكَانَ خَيْرًا لَّهُم ۚ مِّنْهُمُ الْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ
الْفَاسِقُونَ
Ertinya: Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang
dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala
perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan
keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan
kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang
semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara
mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang yang fasik.
Prof Hamka dalam tafsirnya tafsir Al-Azhar telah menghuraikan
satu isi penting yang cukup baik apabila dia mengungkapkan
bahawa ketiga-tiga faktor inilah yang menjadi sebab kamu menjadi
sebaik-baik umat iaitu 1) menyuruh yang baik 2) mencegah yang mungkar 3)beriman
kepada Allah. Kalau ketiga tidak ada, nescaya kamu bukanlah yang sebaik-baik
ummat,bahkan mungkin menjadi seburuk-buruk ummat, lantaran itu apabila kita
membaca ayat ini, janganlah hanya memegang pangkalnya, lalu membangga,
sebagaimana membangganya orang Yahudi mengatakan, bahawa mereka adalah “pilihan
tuhan”. Nazubillah.
Justeru, menyuruh yang baik ialah dengan menceritakan kepada dunia
bahawa Palestin adalah hak milik orang islam. Memberikan sumbangan seperti
kewangan, sokongan dan doa. Selain itu juga, menyuarakan kemarahan kepada PBB
dan sekutunya bahawa mesti menghentikan kezaliman juga adalah kebaikan.
Menghantar memorendum kepada pihak yang berautoriti juga adalah kebaikan.
Inilah beberapa bukti yang menyatakan bahawa kita ingin menjadi umat yang
terbaik dan kita semua umat islam adalah bersaudara.
Wahai saudaraku
yang beriman kepada rasul Nabi Muhammad SAW,
Tidakkah kalian mendengar hadis nabi Muhammad SAW yang shahih dalam
kitab “Al-Mujam Al-Ausath” karya Ath-Thabarani menyebut:
من لم يهتم بأمر المسلمين فليس منهم
Ertinya:
“sesiapa yang tidak mengambil berat tentang urusan orang islam maka dia bukan
dalam kalangan mereka.”
Imam Hassan Al-Banna menyebut satu ucapan yang indah yang telah
dinukilkan oleh Syiekh Yusuf Al-Qardhawi dalam kitabnya “Fiqh Jihad”: “antara
jenis jihad dalam islam wahai saudara yang dikasihi: perasaan yang kuat
meliputi kelembutan hati itu kepada kehebatan dan kemulian islam, rindu kepada
kekuasaan pemerintahan dan kekuatan islam serta menangis atas kelemahan umat
islam dan kehinaan yang menimpa mereka.” Inilah apa yang diertikan erti
persaudaran sesama islam. Kita tanya diri kita. Apakah kita seorang yang
beriman?
Wahai saudaraku
yang cintakan islam,
Baru-baru ini, kita digemparkan satu khabar sedih yang menyayat
hati. Rasa geram panas membara sehingga arang yang digenggam itu menjadi abu
disebabkan kemarahan yang menyala-nyala terhadap apa yang berlaku di kota suci
Al-Quds. Yahudi Zionis telah berani untuk menceroboh masjid Al-Aqsa. Meraka
juga sudah membina penempatan haram di sekelilingnya bahkan yang paling membuat
umat islam merasa benci dengan Yahudi Zionis ini ialah dimana mereka ingin
memecah dan membahagikan masjid Al-Aqsa kepada dua bahagian. Satu bahagian
untuk ritual persembahan Yahudi Zionis dan sebahagiannya yang lain kepada umat
islam. Mungkin akan datang seluruh Al-Aqsa akan menjadi tanah mereka seperti
mana yang berlaku di Palestin. Semoga Allah menyelamatkan Al-Quds.
Ya Allah, ini adalah isu seluruh umat manusia. Bukan sahaja umat
islam. Seluruh umat manusia pasti membencikan kezaliman. Tidak ada satu agama
yang menghalalkan kezaliman. Ayuh semua para pemuda yang cintakan agama. Mari
kita menyatakan sokongan dan membantu umat Palestin dalam memperjuang mencari
kemerdekaan dan kedamaian. Dimanakah suara-suara pemimpin islam? Dimanakah
fatwa ulama’? dimanakah golongan yang mengakui bahawa mereka al-ghuraba’. Ayuh
semua bangkit!
Wahai saudara
seperjuanganku,
Walaupun umat islam sudah hampir mencecah 1 bilion ramainya tetapi
isu Palestin masih tidak dapat diselesaikan. Buku syiekh Yusuf Al-Qardhawi
iaitu “Fatwa Palestin” dan “Fiqh Jihad” juga belum dapat membuka mata para
pemimpin islam. Walaupun ramai ulama’ kita sudah membahaskan isu jihad dalam
pelbagai kitab seperi Dr. Wahbah Az-Zuhaili dalam kitabnya “Fiqh Islami Wa Adillatuhu”
begitu juga terjemahan kitab seperti “Kuasa Rakyat” oleh Ar-Roisouni serti “Kebangkitan
Rakyat” oleh Al-Qardhawi dan ramai ulama’ lagi yang telah mengupas dengan baik
isu jihad ini berlandaskan Al-Quran dan Hadis tetapi umat islam tetap masih
buta, leka serta buat-buat bodoh terhadap apa yang berlaku di mana-mana negara
islam yang tertindas seperti perangai orang munafik dalam firman Allah dalam
surah Al-Baqarah yang bermaksud: “mereka menutup jari jemari mereka ke
dalam telinga mereka...”. na’uzubillah.
Dalam sebuah hadis Nabi Muhammad SAW daripada riwayat Muslim Nabi
Muhammad SAW bersabda: “ Sesiapa yang berjihad menentang dengan tangan,
maka dia ialah Mukmin. Sesiapa yang berjihad menetang mereka dengan lisan, maka
dia ialah Mukmin. Sesiapa yang berjihad menentang mereka dengan hati, maka dia
ialah mukmin. Selepas tiga peringkat, tidak ada lagi iman walaupun sebesar
sebiji sawi.” Inilah tanggungjawab umat islam. Peranan umat islam
adalah bersatu hati dalam menentang kezaliman apa yang menimpa ke atas saudara
kita di Palestin. Mungkin kita tidak cukup kuat dari segi ketenteraan tetapi
percayalah jika seluruh hati umat islam bersatu pasti kemenangan milik kita.
Pelbagai cara yang boleh dilakukan seperti menulis, berpidato, menghantar memorendum
di depan kedutaan yang berkenaan, memberi sumbangan dan lain-lain mengikut
kepakaran masing-masing dengan ikhlas kerana Allah insya-Allah Dia akan
membantu hamba-Nya seperti yang dijanjikan dalam surah Muhammad ayat ke-7:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن تَنصُرُوا اللَّهَ يَنصُرْكُمْ
وَيُثَبِّتْ أَقْدَامَكُمْ
Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (ugama) Allah
nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak
pendirian kamu.
Setiap umat manusia mempunyai peranan masing-masing dalam
memperjuangkan isu Palestin ini. Seperti apa yang disebut Al-Qardhawi dalam
“Fiqh Jihad”: “kaum lelaki mempunyai peranan yang sesuai dengan mereka, kaum
wanita mempunyai peranan yang sesuai dengan mereka, golongan tua mempunyai
peranan yang sesuai dengna mereka, kanak-kanak mempunyai peranan yang sesuai
dengan mereka, orang yang berpendidikan mempunyai peranan yang sesuai dengan
mereka dan golongan buta huruf turut mempunyai perana yang sesuai dengan
mereka. Apa yang dituntut ialah setiap orang ditempatkan pada posisi yang
sesuai dengannya.” Inilah apa yang disebut keadilan dan kesejahteraan. Jika
setiap umat islam memainkan peranan seperti ini pastinya keadilan dan
kesejahteraan terlaksana. Inilah sunnah Rasulullah SAW. Didikan yang diajarkan
oleh baginda cukup sifat dan fleksibel diamalkan pada setiap masa dan tempat.
Wahai
saudaraku,
Sebelum aku menutup kalam ini. Aku ingin berpesan kepada diriku dan
kalian. Aku ingin memetik beberapa ayat al-quran dan hadis nabi Muhammad SAW
berkenaan kepentingan peranan umat islam terhadap isu Palestin ini khususnya
Al-Quds kerana dua sumber ini jika kita berpegang teguh kita akan selamat dan tidak
akan sesat.
1)
Allah
berfirman di dalam surah At-Taubah ayat ke-41:
انفِرُوا
خِفَافًا وَثِقَالًا وَجَاهِدُوا بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنفُسِكُمْ فِي سَبِيلِ
اللَّهِ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ
Pergilah kamu
beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), sama ada dengan keadaan
ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan
berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu
pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu,
jika kamu mengetahui.
2)
Allah
berfirman di dalam surah Al-Anfal ayat ke-60:
وَأَعِدُّوا لَهُم
مَّا اسْتَطَعْتُم مِّن قُوَّةٍ وَمِن رِّبَاطِ الْخَيْلِ تُرْهِبُونَ بِهِ عَدُوَّ
اللَّهِ وَعَدُوَّكُمْ وَآخَرِينَ مِن دُونِهِمْ لَا تَعْلَمُونَهُمُ اللَّهُ يَعْلَمُهُمْ
ۚ وَمَا تُنفِقُوا مِن شَيْءٍ فِي سَبِيلِ اللَّهِ يُوَفَّ إِلَيْكُمْ وَأَنتُمْ لَا
تُظْلَمُونَ
Ertinya:Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang
menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan
berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh
Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak
mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan
pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan
dianiaya.
3)
Nabi
Muhammad SAW bersabda yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dalam kitab al-Musnad: “Sentiasa wujud
kumpulan daripada umatku yang jelas dilihat mempertahankan agama, mengalahkan
musuh-musuh mereka. golongan yang menetang mereka sedikit pun tidak
memudaratkan mereka melainkan kesempitan yang menimpa mereka sehingga datang
arahan Allah ( hari kiamat atau angin yang mematikan orang beriman) dalam keadaan
mereka masih sebegitu. “mereka (para sahabat) bertanya,” Di manakah mereka,
wahai Rasulullah?” Baginda bersabda. “di Baitulmuqaddis dan kawasan naungan
Baitulmuqaddis.”
4)
Nabi
Muhammad SAW bersabda daripada riwayat Muslim: “Sesiapa yang
mati dalam keadaan tidak berperang dan tidak berniat untuk berperang, maka dia
mati dalam salah satu cabang nifak.”
Selain itu,
Imam Ibnu al-Qaiyyim berkata, “oleh itu, pengesahan terhadap perkara ini
iaitu mengenai jihad ialah, jenis jihad adalah fardhu ain sama ada jihad dengan
hati, lidah, harta dan tangan. Maka, wajib ke atas setiap Muslim untuk berjihad
dengan salah satu daripada semua bahagian ini.” (diukilkan oleh Al-Qardhawi
dalam “Fiqh Jihad”)
Inilah peranan
yang harus ditempuhi oleh seluruh umat islam.
Berkhidmat dan berjasalah untuk agama kerana ia satu tuntutan maqasid
syariah yang paling utama.
Semoga Allah
menyelamatkan Umat islam di seluruh dunia khususnya umat Palestin dan Al-Quds
dan marilah seluruh umat islam berhimpun, bersatu dan berdoa kepada Allah
kerana Dialah sahaja tempat pertolongan dan janji-Nya untuk membantu umat islam
adalah benar tetapi bersyarat seperti hadis Nabi Muhammad SAW: “Pertolongan
Allah bersama hamba-Nya selagi mana hamba-Nya menolong saudaranya”. Begitu
juga dalam hadis yang shahih Nabi Muhammad SAW bersabda: “jika seorang
muslim berdoa kepada saudaranya secara rahsia maka Allah akan mengkabulkan
doanya dan untuknya juga.”
Terima kasih.
Hidup Biar
Berjasa.
Ayuh bersama
bersolidariti untuk umat Palestin demi kerana Allah.
9:07 PM |
Category: |
0
comments