Save Al-Quds; Peranan umat islam.
Wahai saudaraku seagama islam,

Ketahuilah bahawa Al-Quds adalah kota yang suci bagi seluruh umat islam. Sebuah kota yang mempunyai sejarah yang cukup agung dan hebat. Kota ini juga telah melahirkan beberapa utusan Allah dengan membawa misi ketauhidan serta menyeru umatnya kearah jalan kebenaran dan kebaikan. Allah SWT juga telah mengangkat kota suci ini dan sentiasa akan memberkatinya sehingga hari Khiamat. Firman Allah dalam surah Al-Isra’ ayat pertama:
سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِ لَيْلًا مِّنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا ۚ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ
Ertinya:Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

Wahai saudaraku yang beriman,

            Kita semua adalah satu umat. Kita semua bersaudara. Kita juga adalah sebaik-baik umat yang menyeru kearah kebaikan dan mencegah kemungkaran. Yang menjadi perbezaan di antara kita ialah ketaqwaan. Allah berfirman di dalam surah al-Hujrat ayat 10:
إنمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ
Ertinya:Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.
Jika benar kita orang islam yang beriman kepada Allah dan rasul-Nya nescaya isu al-Quds adalah tidak asing bagi kita. Kita mesti membantu saudara kita jika kita mengakui bahawa umat islam di Palestin adalah saudara kita. Seperti sabda nabi Muhammad SAW: “Seorang Muslim itu adalah saudara kepada muslim yang lain, dan dia tidak menzaliminya dan dia juga tidak membiarkan saudaranya disakiti serta menolong dan mempertahankannya.” Begitu juga dengan sabda Nabi Muhammad SAW:Perbandingan orang-orang yang beriman tentang perasaan kasih sayang, berbelas kasihan dan  bersimpati mereka adalah seperti satu tubuh badan, sekiranya salah satu anggota daripadanya mengadu sakit, maka bersahut-sahutanlah lain-lain anggota kepadanya dengan tidak dapat tidur dan demam selesma.” Terdapat banyak lagi shahih yang menghuraikan kepentingan persaudaraan ini terutama apabila kita membaca Tafsir Ibn Kathir.
Allah juga berfirman dengan menyatakan bahawa kewajipan umat islam itu mesti menyuruh yang ma’ruf dan mencegah yang mungkar di dalam surah ali-‘Imran ayat ke 110:
كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ ۗ وَلَوْ آمَنَ أَهْلُ الْكِتَابِ لَكَانَ خَيْرًا لَّهُم ۚ مِّنْهُمُ الْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ الْفَاسِقُونَ
Ertinya: Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang yang fasik.
Prof  Hamka dalam tafsirnya tafsir Al-Azhar telah menghuraikan satu isi penting yang cukup baik apabila dia mengungkapkan bahawa ketiga-tiga faktor inilah yang menjadi sebab kamu menjadi sebaik-baik umat iaitu 1) menyuruh yang baik 2) mencegah yang mungkar 3)beriman kepada Allah. Kalau ketiga tidak ada, nescaya kamu bukanlah yang sebaik-baik ummat,bahkan mungkin menjadi seburuk-buruk ummat, lantaran itu apabila kita membaca ayat ini, janganlah hanya memegang pangkalnya, lalu membangga, sebagaimana membangganya orang Yahudi mengatakan, bahawa mereka adalah “pilihan tuhan”. Nazubillah.
Justeru, menyuruh yang baik ialah dengan menceritakan kepada dunia bahawa Palestin adalah hak milik orang islam. Memberikan sumbangan seperti kewangan, sokongan dan doa. Selain itu juga, menyuarakan kemarahan kepada PBB dan sekutunya bahawa mesti menghentikan kezaliman juga adalah kebaikan. Menghantar memorendum kepada pihak yang berautoriti juga adalah kebaikan. Inilah beberapa bukti yang menyatakan bahawa kita ingin menjadi umat yang terbaik dan kita semua umat islam adalah bersaudara.

Wahai saudaraku yang beriman kepada rasul Nabi Muhammad SAW,

Tidakkah kalian mendengar hadis nabi Muhammad SAW yang shahih dalam kitab “Al-Mujam Al-Ausath” karya Ath-Thabarani menyebut:
من لم يهتم بأمر المسلمين فليس منهم
Ertinya: “sesiapa yang tidak mengambil berat tentang urusan orang islam maka dia bukan dalam kalangan mereka.”
Imam Hassan Al-Banna menyebut satu ucapan yang indah yang telah dinukilkan oleh Syiekh Yusuf Al-Qardhawi dalam kitabnya “Fiqh Jihad”: “antara jenis jihad dalam islam wahai saudara yang dikasihi: perasaan yang kuat meliputi kelembutan hati itu kepada kehebatan dan kemulian islam, rindu kepada kekuasaan pemerintahan dan kekuatan islam serta menangis atas kelemahan umat islam dan kehinaan yang menimpa mereka.” Inilah apa yang diertikan erti persaudaran sesama islam. Kita tanya diri kita. Apakah kita seorang yang beriman?

Wahai saudaraku yang cintakan islam,

Baru-baru ini, kita digemparkan satu khabar sedih yang menyayat hati. Rasa geram panas membara sehingga arang yang digenggam itu menjadi abu disebabkan kemarahan yang menyala-nyala terhadap apa yang berlaku di kota suci Al-Quds. Yahudi Zionis telah berani untuk menceroboh masjid Al-Aqsa. Meraka juga sudah membina penempatan haram di sekelilingnya bahkan yang paling membuat umat islam merasa benci dengan Yahudi Zionis ini ialah dimana mereka ingin memecah dan membahagikan masjid Al-Aqsa kepada dua bahagian. Satu bahagian untuk ritual persembahan Yahudi Zionis dan sebahagiannya yang lain kepada umat islam. Mungkin akan datang seluruh Al-Aqsa akan menjadi tanah mereka seperti mana yang berlaku di Palestin. Semoga Allah menyelamatkan Al-Quds.
Ya Allah, ini adalah isu seluruh umat manusia. Bukan sahaja umat islam. Seluruh umat manusia pasti membencikan kezaliman. Tidak ada satu agama yang menghalalkan kezaliman. Ayuh semua para pemuda yang cintakan agama. Mari kita menyatakan sokongan dan membantu umat Palestin dalam memperjuang mencari kemerdekaan dan kedamaian. Dimanakah suara-suara pemimpin islam? Dimanakah fatwa ulama’? dimanakah golongan yang mengakui bahawa mereka al-ghuraba’. Ayuh semua bangkit!

Wahai saudara seperjuanganku,

Walaupun umat islam sudah hampir mencecah 1 bilion ramainya tetapi isu Palestin masih tidak dapat diselesaikan. Buku syiekh Yusuf Al-Qardhawi iaitu “Fatwa Palestin” dan “Fiqh Jihad” juga belum dapat membuka mata para pemimpin islam. Walaupun ramai ulama’ kita sudah membahaskan isu jihad dalam pelbagai kitab seperi Dr. Wahbah Az-Zuhaili dalam kitabnya “Fiqh Islami Wa Adillatuhu” begitu juga terjemahan kitab seperti “Kuasa Rakyat” oleh Ar-Roisouni serti “Kebangkitan Rakyat” oleh Al-Qardhawi dan ramai ulama’ lagi yang telah mengupas dengan baik isu jihad ini berlandaskan Al-Quran dan Hadis tetapi umat islam tetap masih buta, leka serta buat-buat bodoh terhadap apa yang berlaku di mana-mana negara islam yang tertindas seperti perangai orang munafik dalam firman Allah dalam surah Al-Baqarah yang bermaksud: mereka menutup jari jemari mereka ke dalam telinga mereka...”. na’uzubillah.
Dalam sebuah hadis Nabi Muhammad SAW daripada riwayat Muslim Nabi Muhammad SAW bersabda: “ Sesiapa yang berjihad menentang dengan tangan, maka dia ialah Mukmin. Sesiapa yang berjihad menetang mereka dengan lisan, maka dia ialah Mukmin. Sesiapa yang berjihad menentang mereka dengan hati, maka dia ialah mukmin. Selepas tiga peringkat, tidak ada lagi iman walaupun sebesar sebiji sawi.” Inilah tanggungjawab umat islam. Peranan umat islam adalah bersatu hati dalam menentang kezaliman apa yang menimpa ke atas saudara kita di Palestin. Mungkin kita tidak cukup kuat dari segi ketenteraan tetapi percayalah jika seluruh hati umat islam bersatu pasti kemenangan milik kita. Pelbagai cara yang boleh dilakukan seperti menulis, berpidato, menghantar memorendum di depan kedutaan yang berkenaan, memberi sumbangan dan lain-lain mengikut kepakaran masing-masing dengan ikhlas kerana Allah insya-Allah Dia akan membantu hamba-Nya seperti yang dijanjikan dalam surah Muhammad ayat ke-7:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن تَنصُرُوا اللَّهَ يَنصُرْكُمْ وَيُثَبِّتْ أَقْدَامَكُمْ
Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (ugama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu.

Setiap umat manusia mempunyai peranan masing-masing dalam memperjuangkan isu Palestin ini. Seperti apa yang disebut Al-Qardhawi dalam “Fiqh Jihad”: “kaum lelaki mempunyai peranan yang sesuai dengan mereka, kaum wanita mempunyai peranan yang sesuai dengan mereka, golongan tua mempunyai peranan yang sesuai dengna mereka, kanak-kanak mempunyai peranan yang sesuai dengan mereka, orang yang berpendidikan mempunyai peranan yang sesuai dengan mereka dan golongan buta huruf turut mempunyai perana yang sesuai dengan mereka. Apa yang dituntut ialah setiap orang ditempatkan pada posisi yang sesuai dengannya.” Inilah apa yang disebut keadilan dan kesejahteraan. Jika setiap umat islam memainkan peranan seperti ini pastinya keadilan dan kesejahteraan terlaksana. Inilah sunnah Rasulullah SAW. Didikan yang diajarkan oleh baginda cukup sifat dan fleksibel diamalkan pada setiap masa dan tempat.

Wahai saudaraku,

Sebelum aku menutup kalam ini. Aku ingin berpesan kepada diriku dan kalian. Aku ingin memetik beberapa ayat al-quran dan hadis nabi Muhammad SAW berkenaan kepentingan peranan umat islam terhadap isu Palestin ini khususnya Al-Quds kerana dua sumber ini jika kita berpegang teguh kita akan selamat dan tidak akan sesat.
1)      Allah berfirman di dalam surah At-Taubah ayat ke-41:
انفِرُوا خِفَافًا وَثِقَالًا وَجَاهِدُوا بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنفُسِكُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ
 Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), sama ada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.
2)      Allah berfirman di dalam surah Al-Anfal ayat ke-60:
وَأَعِدُّوا لَهُم مَّا اسْتَطَعْتُم مِّن قُوَّةٍ وَمِن رِّبَاطِ الْخَيْلِ تُرْهِبُونَ بِهِ عَدُوَّ اللَّهِ وَعَدُوَّكُمْ وَآخَرِينَ مِن دُونِهِمْ لَا تَعْلَمُونَهُمُ اللَّهُ يَعْلَمُهُمْ ۚ وَمَا تُنفِقُوا مِن شَيْءٍ فِي سَبِيلِ اللَّهِ يُوَفَّ إِلَيْكُمْ وَأَنتُمْ لَا تُظْلَمُونَ

Ertinya:Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya.

3)      Nabi Muhammad SAW bersabda yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dalam kitab al-Musnad: Sentiasa wujud kumpulan daripada umatku yang jelas dilihat mempertahankan agama, mengalahkan musuh-musuh mereka. golongan yang menetang mereka sedikit pun tidak memudaratkan mereka melainkan kesempitan yang menimpa mereka sehingga datang arahan Allah ( hari kiamat atau angin yang mematikan orang beriman) dalam keadaan mereka masih sebegitu. “mereka (para sahabat) bertanya,” Di manakah mereka, wahai Rasulullah?” Baginda bersabda. “di Baitulmuqaddis dan kawasan naungan Baitulmuqaddis.”

4)      Nabi Muhammad SAW bersabda daripada riwayat Muslim: Sesiapa yang mati dalam keadaan tidak berperang dan tidak berniat untuk berperang, maka dia mati dalam salah satu cabang nifak.”

Selain itu, Imam Ibnu al-Qaiyyim berkata, “oleh itu, pengesahan terhadap perkara ini iaitu mengenai jihad ialah, jenis jihad adalah fardhu ain sama ada jihad dengan hati, lidah, harta dan tangan. Maka, wajib ke atas setiap Muslim untuk berjihad dengan salah satu daripada semua bahagian ini.” (diukilkan oleh Al-Qardhawi dalam “Fiqh Jihad”)
Inilah peranan yang harus ditempuhi oleh seluruh umat islam.  Berkhidmat dan berjasalah untuk agama kerana ia satu tuntutan maqasid syariah yang paling utama.
Semoga Allah menyelamatkan Umat islam di seluruh dunia khususnya umat Palestin dan Al-Quds dan marilah seluruh umat islam berhimpun, bersatu dan berdoa kepada Allah kerana Dialah sahaja tempat pertolongan dan janji-Nya untuk membantu umat islam adalah benar tetapi bersyarat seperti hadis Nabi Muhammad SAW: “Pertolongan Allah bersama hamba-Nya selagi mana hamba-Nya menolong saudaranya”. Begitu juga dalam hadis yang shahih Nabi Muhammad SAW bersabda: “jika seorang muslim berdoa kepada saudaranya secara rahsia maka Allah akan mengkabulkan doanya dan untuknya juga.”
Terima kasih.
Hidup Biar Berjasa.
Ayuh bersama bersolidariti untuk umat Palestin demi kerana Allah.


Comments (0)