Penantian Di Hujung Senja
Sekali-sekala beralih angin, asalkan mendapat manfaat dan pengajaran. Oleh itu, apabila membaca sesebuah buku janganlah jadi seperti kolek dihanyutkan badai, ke mana di lambung ombak, di situlah tersadainya.
Kumpulan Cerpen dikumpul dalam sebuah buku berjudul Penantian Di Hujung Senja oleh Eh Deng Eh Chik. Buku ini dicetak pada tahun 2016.
Saya berasa teruja kerana penulis ini berketurunan Siam, namun mampu menulis dengan sangat hebat dan banyak memberikan pengajaran dan pedoman melalui kisah cerpennya.
Dalam novel ada 23 cerpen yang dikumpulkan. Dan saya memberikan beberapa buah cerpen berserta sinopsis yang ringkas.

Pertama, Cerpen Kurungan mengisahkan tentang sejarah seorang lelaki umurnya hampir seabad bernama Pak Samad. Beliau seorang insan yang berjiwa besar yang mencintai negara dan bangsa dengan sepenuh jiwa dan raga. Pak Samad salah seorang di antara beberapa tokoh yang membuka dan meneraju Kuala Lumpur bersama Raja Abdulllah dan Yap Ah Loi.
Ketika usia mudanya, Pak Samad telah kehilangan isteri tercinta dan anak tunggal yang paling disayangi, setelah itu beliau dituduh gila oleh orang kerana terlalu merindui isteri dan anaknya yang telah meninggal dunia dan akhirnya Pak Samad dimasukkan ke Hospital Bahagia. Di hospital, Pak Samad bersama dua orang pemuda iaitu Sudin dan Jusoh. Kisah mereka bermula di hospital sehinggalah Pak Samad dimasukkan ke dalam ICU kerana memperjuangkan kebebasan dan mahukan kemerdekaan dan namanya digah oleh seluruh manusia.
Kedua, Cerpen Berjudul Belum Bertapak juga menarik kerana mengisahkan Pak Sudin yang dahulunya seorang pejuang tanah air yang menentang komunis. Pak Sudin ada seorang anak bernama Azman yang telah melanjutkan pengajian di London dalam bidang sejarah. Oleh itu, Pak Sudin berharap kepada Azman untuk menulis tentang sejarah pejuang kebebasan tanah air namun apa yang direncana itu tidak mendapat perhatian anaknya sehingga berlaku pertembungan pemikiran di antara ayah dengan anak bahkan mengakibat perdebatan yang tidak ada titik pertemuan dan persamaan. Azman seolah kehilangan jati diri dan mengutamakan pemikiran barat dan mengatakan semua pejuang tanah air adalah pengkhianat!
Banyak lagi cerpen yang indah dan banyak memberikan pengajaran. Pada pengamatan penulis. Ada tiga atau empat cerpen yang mengajak manusia untuk kembali kepada tuhannya seperti cerpen Motobot Biru, Hujan Masih Menggila dan Putera Pendamai Daerah Sengket. Oleh itu, saya melihat, aspek ketuhanan sangat ditekankan oleh penulis. Pada zaman ini, ramai daripada kalangan kita telah jauh menyimpang daripada ajaran tuhan baik agama Islam mahupun agama lain.
Di samping itu, penulis juga menyentuh soal kekeluargaan seperti Dunia Seorang Seniman dan Dunia Seorang Penyair yang menjelaskan tentang seorang seniman mengutamakan kerjaya berbanding keluarga. Inilah satu penyakit generasi zaman sekarang. Mengutamakan kerjaya berbanding keluarga. Ya benar, bukan salah individu semata-mata kerana menghadapi tekanan hidup seperti kekangan ekonomi namun jangan sesekali mengabaikan kewajipan keluarga yang lebih utama.
Penulis juga membicarakan isu kemanusian dan kemasyarakatan seperti Sumpah dan Bayangan Sumpah. Secara umumnya, manusia tidak boleh hidup bersendirian. Negara Malaysia yang memilki pelbagai agama dan bangsa, itu tidak menjadi bebanan dan masalah, hakikatnya ialah itulah warna-warni kehidupan supaya hidup bermasyarakat dan saling membantu di antara satu sama lain tanpa mengira agama dan bangsa.
Penulis juga tidak ketinggalan dalam hal-hal dan isu alam sekitar dan haiwan seperti menjaga hubungan dengan haiwan seperti Kewek, Wok dan Si Hitam. Kebanyakkan petani dan pengembala tidak mementingkan perasaan haiwan, bagi mereka adalah keuntungan semata-mata sedangkan realititnya tumbuhan dan haiwan juga mempunyai perasaan. Kalau hendak membela ayam, perlu pastikan rebannya cantik dan wangi supaya ayam dapat hidup dengan selesa. Islam juga menititberatkan soal menjaga hubungan dengan haiwan dan tumbuhan.
Kesimpulan.
Penantin Di Hujung Senja oleh Eh Deng Eh Chik sebuah kumpulan cerpen yang sarat dengan pengajaran dan pedoman. Bahasa yang ditulis sangat indah dan sangat tersusun. Bicaranya lembut mampu mengetuk hati pembaca. Mudahan para pembaca dapat mengambil manfaat daripada buku ini.
Sekian terima kasih.
Selamat membaca.