Hidup ini dugaan ataupun nikmat?

Kadangkala hidup di dunia ini tidak semudah yang kita sangkakan. Ada ketikanya apa yang diharapkan tidak dicapai, apa yang diimpikan tidak dikecapi, apa yang dihajati tidak dimiliki dan pastinya tidak semua apa yang kita mahu kita dapat. Inilah takdir Yang Maha Illahi seolah-olah sang hamba tidak ada pilihan.

Dunia hanyalah sebuah persinggahan,

Jadi, setiap hamba-hamba-Nya mesti mencari bekalan di akhirat namun ada ketikanya kesempitan di dunia memberikan kita rasa sesuatu kesempitan seolah-olah kita tidak ada nikmat dunia yang kita harapkan dan hanyalah perlu menunggu kehidupan abadi di sana untuk memiliki segala kenikmatan dan kemewahan. Perasaan sebegini ini barangkali boleh memberikan rasa kecewa, putus-asa dan hilang harapan untuk hidup di dunia demi mencari bekalan di sana. 

Kita lihat ada manusia kais pagi makan pagi, kasi petang makan petang, kerja siang malam berpeluh keringat untuk mencari rezeki seisi keluarga. Ada juga yang kita melihatnya tidak ada apa-apa kenikmatan di dunia yang dapat dia kecapi dan miliki. Apakah perasaan dia? Berdukakah atau kecewakah? Ini permainan was-was dan ragu-ragu yang sentiasa menghantui jiwa dan raga setiap insan yang bernafas di muka bumi ini.

Hidup ini,
Bukanlah susah namun ada kalanya Dia menguji hamba-hamba-Nya sebagai tanda keimanan dan kasih sayang. Ya benar, itu satu perkara namun kadangkala kesempitan dan kurang kemewahan dunia membuatkan seseorang itu rasa sempit dan kecewa. Dia melihat orang lain dengan hati yang luhur dan luluh kerana dia tak dapat memiliki apa yang orang lain miliki. Dia mengimani semua kalam-kalam Allah azza wajalla namun hati kecil nurani itu sentiasa berbolak-balik dan meronta-ronta mencari jalan keluar dalam memahami erti kehidupan yang sebenarnya.

Hidup ini dugaan ataupun nikmat?

Setiap daripada kita ada jawapan disebalik persoalan yang diutarakan. Ketika diuji barangkali ada yang mengatakan ini dugaan, barangkali ada juga menyebut ini juga satu kenikmatan. Kedua-duanya ada kebenaran berdasarkan konteks dan cara kita menghadapinya. Yang menjadi permasalahan di sini adalah bagaimana kita menghadapinya? Ini betul-betul memerlukan pengorbanan, kesabaran, kesungguhan dan keimanan yang kuat untuk menghadapinya akan tetapi sekuat mana keimanan dan sifat yang ada pada individu sedikit-sebanyak juga boleh menggoncang jiwa dan menggoyah kalbu cuma sama ada pendam ataupun luahkan.

Hidup ini sementara, 

Kita pilihlah jalan kanan ataupun kiri, jalan depan atau belakang, baik atas mahupun bawah, setiap sudut kita bebas memilihnya. Walaubagaimanapun jalan yang kita pilih itu ada waktunya benar ada masanya salah. Tidak semua apa yang kita rasa benar itu benar dan salah itu salah bahkan kadang-kadang apa yang kita rasa salah itulah benar dan benar itulah salah. Pilihan Sang Hamba seolah-olah tidak ada pilihan melainkan menempuhi jalan mengikut arus angin dan menghadapi badai ombak semampu yang mungkin.

Oh kehidupan. 

Mengapakah kita hidup? Menjadi hamba dan pemimpin. Ianya satu tanggungjawab yang sangat besar. Kadang-kadang rasa mahu sahaja memejamkan mata buat selamanya sebelum usia mencecah hukum taklifi supaya tidak ada dosa lantas terus dimasukkan ke syurga Allah yang indah di mana dibawahnya mengalir air sungai yang sangat jernih, dalamnya ada bidarari yang jelita, taman-taman yang bersih dan damai, makanan yang lazat dan minuman yang menyelerakan. Hakikatnya, tidak seperti yang kita mahu kita dapat kerana kita sudah hidup bahkan ada mencecah usia matang dan usia yang senja dan terus dan perlu menggalas dua amanah yang sangat berat iaitu menjadi hamba dan pemimpin.

Kehidupan segeralah berakhir. 

Sampai waktunya, kita tidak perlu memerlukan amanah sebagai hamba, pemimpin dan kita tidak perlu memikirkan lagi tujuan hidup, kita juga tidak perlu rasa resah dan ragu-ragu dengan kehendak-Nya, kita juga tidak lagi rasa tersepit dengan dugaan dan cabaran, kita juga tidaklah hanyut dalam kemewahan yang melalaikan. 

Berakhirlah kehidupan.

Firman Allah azza wajalla dalam surah Maryam ayat ke-80:

Dan kami akan warisi (harta benda dan anak-pinak) yang dikatakanna itu, dan ia akan datang kepada kami dengan seorang diri.

(Ayat ini saya baca pada pagi tadi dan teringat satu peristiwa 5 tahun yang lalu di masjid UIAM Gombak, pada waktu maghrib, Imam membaca ayat ini dan ketika itu saya tidak faham mengapa ramai sangat orang menangis, usai solat, saya mencari sahabat saya Moaz Sudani, saya bertanya kepada dia, dia pun memberitahu kepada saya). 

Hati saya tersentuh dan sedih kalau membaca ayat ini kerana ayat ini ada berkait rapat dengan ayat surah 'Abasa.

Wallahu a'lam dari nukilan hati.