Firman Allah azza wajalla:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ قَدْ جَاءَتْكُم مَّوْعِظَةٌ مِّن رَّبِّكُمْ وَشِفَاءٌ لِّمَا فِي الصُّدُورِ وَهُدًى وَرَحْمَةٌ لِّلْمُؤْمِنِينَ
Pengertiannya: Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman. (Surah Yunus 10:57)

Pada zaman sekarang, umat dalam keadaan jiwa yang sakit (sick souls) dan tenat dari segi segi ilmu, pemikiran dan akhlak. Bermacam ragam dan fe'el mazmumah seperti fitnah, hasad dengki, pemarah, sombong, kedekut, maksiat berleluasa, takut mati, tamak dengan kekayaan dunia, bunuh diri, mencuri dan merompak, korupsi, taksub, penzinaan, permusuhan dan paling merisaukan ialah melupakan akhirat.

Masalah yang dihadapi umat sekarang adalah masalah kehilangan jiwa dan roh iaitu hilang kepercayaan dan kebergantungan kepada Maha Pencipta kerana apabila kita tidak memahami tujuan dan matlamat hidup iaitu mengabdikan diri kepada Allah azza wajalla dengan mengikuti segala perintah dan meninggalkan segala laranga-Nya maka ia akan memberikan kesan negatif dan buruk terhadap diri sendiri lantas mempengaruhi persekitarannya. Seandainya kita memahami matlamat hidup yang sebenar, saya yakin bahawa kehidupan kita akan menjadi bahagia, damai dan tenang.

Oleh itu, buku ini sangat baik untuk dijadikan penawar untuk mengatasi segala permasalahan tersebut. Buku ini sangat bersesuaian kepada seluruh lapisan umat khususnya bagi individu yang inginkan penawar kesembuhan daripada penyakit hati dan mengharapkan perubahan ke arah yang lebih baik. Begitulah pesan Allah azza wajalla dalam al-Quran:

قَدْ أَفْلَحَ مَن زَكَّاهَا  وَقَدْ خَابَ مَن دَسَّاهَا

Pengertiannya: Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya -yang sedia bersih- bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan) (9), Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia bersih - itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat) (10). (Surah al-Syams 91:9-10)

Latar belakang Al-makki.

Al-Makki dilahirkan pada tahun 350H, beliau pakar dalam ilmu tasawuf dan hadith dan banyak menulis buku di antaranya karya teragung dalam bidang sufi iaitu Qut al-Qulub (Makanan Hati). Karya beliau ini juga diiktiraf ulama selepasnya seperti al-Ghazali (m.505H). Ramai para ulama terdahulu dan kontemperori mengkaji ilmu dan pemikiran beliau. Semoga Allah merahmati beliau di dunia dan akhirat memberikan ganjaran yang besar kepada beliau di akhirat atas sumbangan dan jasa yang ditaburkan. Amin.

Buku Kaedah Psikoterapi Islam Berasaskan Konsep Maqamat Abu Talib al-Makki.

Buku ini mengandungi 5 bab utama. Bab pertama mengisahkan peribadi Al-Makki dan karya-karyanya. Bab 2 menghuraikan pengertian maqamat dalam tasawuf serta hubungan dengan psikoterapi. Bab 3 membahaskan secara terperinci tentang Maqamat iaitu ada 9 maqamat seperti Taubah, Sabar, Syukur, Raja', Khawf, Zuhud, Tawakal, Rida' dan Mahabbah. Bab 4 pula menjelaskan pembentukan kaedah psikoterapi dan Bab terakhir ialah  Psikoterapi Islam dalam menangani penyakit rohani seperti marah, hasad dengki, riya’, takabbur, mengumpat dan sebagainya.

Buku ini sangat berkesan bagi mendidik jiwa yang lara dan roh yang sakit. Buku ini juga sarat dan padat dengan kajian dan fakta yang ilmiah bersumberkan al-Quran dan Sunah, Qaul ulama' dan kajian terkini.