Firman
Allah azza wajalla:
يَا
أَيُّهَا النَّاسُ قَدْ جَاءَتْكُم مَّوْعِظَةٌ مِّن رَّبِّكُمْ وَشِفَاءٌ لِّمَا
فِي الصُّدُورِ وَهُدًى وَرَحْمَةٌ لِّلْمُؤْمِنِينَ
Pengertiannya: Wahai umat manusia!
Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran
dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada
di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta
membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman. (Surah Yunus 10:57)
Pada
zaman sekarang, umat dalam keadaan jiwa yang sakit (sick souls) dan tenat dari
segi segi ilmu, pemikiran dan akhlak. Bermacam ragam dan fe'el mazmumah seperti
fitnah, hasad dengki, pemarah, sombong, kedekut, maksiat berleluasa, takut
mati, tamak dengan kekayaan dunia, bunuh diri, mencuri dan merompak, korupsi,
taksub, penzinaan, permusuhan dan paling merisaukan ialah melupakan akhirat.
Masalah
yang dihadapi umat sekarang adalah masalah kehilangan jiwa dan roh iaitu hilang
kepercayaan dan kebergantungan kepada Maha Pencipta kerana apabila kita tidak memahami tujuan dan
matlamat hidup iaitu mengabdikan diri kepada Allah azza wajalla dengan
mengikuti segala perintah dan meninggalkan segala laranga-Nya maka ia akan
memberikan kesan negatif dan buruk terhadap diri sendiri lantas mempengaruhi
persekitarannya. Seandainya kita memahami matlamat hidup yang sebenar, saya
yakin bahawa kehidupan kita akan menjadi bahagia, damai dan tenang.
Oleh
itu, buku ini sangat baik untuk dijadikan penawar untuk mengatasi segala
permasalahan tersebut. Buku ini sangat bersesuaian kepada seluruh lapisan umat
khususnya bagi individu yang inginkan penawar kesembuhan daripada penyakit hati
dan mengharapkan perubahan ke arah yang lebih baik. Begitulah pesan Allah azza
wajalla dalam al-Quran:
قَدْ أَفْلَحَ مَن زَكَّاهَا وَقَدْ خَابَ مَن دَسَّاهَا
Pengertiannya:
Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya -yang sedia bersih-
bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan) (9), Dan sesungguhnya
hampalah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia bersih - itu susut dan
terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat) (10). (Surah al-Syams
91:9-10)
Latar
belakang Al-makki.
Al-Makki
dilahirkan pada tahun 350H, beliau pakar dalam ilmu tasawuf dan hadith dan
banyak menulis buku di antaranya karya teragung dalam bidang sufi iaitu Qut
al-Qulub (Makanan Hati). Karya beliau ini juga diiktiraf ulama selepasnya
seperti al-Ghazali (m.505H). Ramai para ulama terdahulu dan kontemperori
mengkaji ilmu dan pemikiran beliau. Semoga Allah merahmati beliau di dunia dan
akhirat memberikan ganjaran yang besar kepada beliau di akhirat atas sumbangan
dan jasa yang ditaburkan. Amin.
Buku
Kaedah Psikoterapi Islam Berasaskan Konsep Maqamat Abu Talib al-Makki.
Buku
ini mengandungi 5 bab utama. Bab pertama mengisahkan peribadi Al-Makki dan
karya-karyanya. Bab 2 menghuraikan pengertian maqamat dalam tasawuf serta
hubungan dengan psikoterapi. Bab 3 membahaskan secara terperinci tentang
Maqamat iaitu ada 9 maqamat seperti Taubah, Sabar, Syukur, Raja', Khawf, Zuhud,
Tawakal, Rida' dan Mahabbah. Bab 4 pula menjelaskan pembentukan kaedah
psikoterapi dan Bab terakhir ialah Psikoterapi Islam dalam menangani penyakit rohani
seperti marah, hasad dengki, riya’, takabbur, mengumpat dan sebagainya.
Buku
ini sangat berkesan bagi mendidik jiwa yang lara dan roh yang sakit. Buku ini
juga sarat dan padat dengan kajian dan fakta yang ilmiah bersumberkan al-Quran
dan Sunah, Qaul ulama' dan kajian terkini.
Dapatan
peribadi.
Saya
kongsikan beberapa perkara yang menjentit hati kecil saya di antaranya:
1) Al-Makki
menyebut bahawa Rida' (Redha) ada dua makna. Pertama, apabila seseorang hamba
tidak membezakan daripada pemberian dengan tegahan daripada Allah azza wajalla
kepadanya, maka itulah redha. Kedua, redha juga ialah keadaan seseorang hamba
tidak berselisih dan tidak berbolak-balik hatinya pada sesuatu yang tiada atau
ada seperti belum memiliki rumah dan kereta dan sebagainya.
Konsep
redha ini mesti dirasai dengan sepenuh jiwa dan raga bagi setiap hamba untuk
menghadapi kehidupan di dunia dan Allah azza wajalla menjanjikan ganjaran yang
besar kepada hamba-Nya yang beriman. Firman Allah azza wajalla:
وَعَدَ
اللَّهُ الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا
الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا وَمَسَاكِنَ طَيِّبَةً فِي جَنَّاتِ عَدْنٍ ۚ
وَرِضْوَانٌ مِّنَ اللَّهِ أَكْبَرُ ۚ ذَٰلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ
Pengertiannya: Allah menjanjikan
orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, (akan beroleh) Syurga-syurga
yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; mereka kekal di dalamnya dan beroleh
tempat-tempat yang baik di dalam "Syurga Adn" serta keredaan dari
Allah yang lebih besar kemuliaannya; (balasan) yang demikian itulah kejayaan
yang besar. (Surah al-Tawbah 9:72)
2)
Matlamat hidup adalah kerana Allah, segala sesuatu yang dilakukan hendaklah
hati itu ikhlas semata-mata kerana sama ada pekerjaan seperti perniagaan, permainan
seperti chess. Manakala dari sudut ibadat semestinya! Firman Allah azza
wajalla:
وَمَا
أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ حُنَفَاءَ
وَيُقِيمُوا الصَّلَاةَ وَيُؤْتُوا الزَّكَاةَ ۚ وَذَٰلِكَ دِينُ الْقَيِّمَةِ
Pengertiannya: Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan
supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh
di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat.
Dan yang demikian itulah Ugama yang benar. (Al-Bayyinah:5)
3)
Riya' dalam perkataan. Seseorang yang bercakap dan memberi nasihat dengan
al-Quran, hadis dan perkataan salaf, sedangkan hatinya kosong dalam keikhlasan
dan kebenaran,
Riya'
ini diantara perkara yang paling bahaya terutama kepada para pendidik dan
pendakwah. Lantas saya terkenang zaman dahulu, kenapa kurang keberkesanan
dakwah adalah berpunca daripada sikap diri sendiri sehingga ilmu dan dakwah itu
tidak sampai dan masuk ke hati-hati mereka dan diri sendiri. Semoga Allah
mengampuni dosa-dosa yang lalu. Begitulah firman Allah azza wajalla:
يَا
أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تُبْطِلُوا صَدَقَاتِكُم بِالْمَنِّ وَالْأَذَىٰ
كَالَّذِي يُنفِقُ مَالَهُ رِئَاءَ النَّاسِ وَلَا يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ
الْآخِرِ ۖ فَمَثَلُهُ كَمَثَلِ صَفْوَانٍ عَلَيْهِ تُرَابٌ فَأَصَابَهُ وَابِلٌ
فَتَرَكَهُ صَلْدًا ۖ لَّا يَقْدِرُونَ عَلَىٰ شَيْءٍ مِّمَّا كَسَبُوا ۗ
وَاللَّهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الْكَافِرِينَ
Pengertiannya:
Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu
dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti
(rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak
menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak), dan ia pula tidak beriman kepada Allah
dan hari akhirat. Maka bandingan orang itu ialah seperti batu licin yang ada
tanah di atasnya, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkannya
bersih licin (tidak bertanah lagi). (Demikianlah juga halnya orang-orang yang
kafir dan riak itu) mereka tidak akan mendapat sesuatu (pahala) pun dari apa
yang mereka usahakan. Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberi petunjuk kepada
kaum yang kafir. (Surah al-Baqarah 2:264)
Walaupun
konteks ayat ini mengenai sedekah namun saya melihat ia boleh diertikan dengan
amalan yang soleh. Setiap amalan soleh jika bertujuan bermegah maka natijahnya
sama seperti mana firman Allah azza wajalla di atas.
Kesimpulan
Sekali
lagi saya menyarankan buku ini dibaca oleh semua orang kerana saya melihat
penghuni bumi semakin tenat zahir bahkan batin yakni pemikiran dan sahsiah
diri.
Ketika
membaca buku ini, saya baharu sedar di mana bumi saya berpijak dan langit
hendak dijungjung. Ketika membaca buku inilah, saya baru memahami erti makna
diri dalam kehidupan baik bersendirian, berkeluarga bahkan bermasyarakat.
Sebelum
kita terus penat dan hanyut tanpa sedar, maka buku ini asas untuk mengembalikan
jiwa kita yang telah mula menghilang. Buku ini akan membentukan peribadi dan
roh yang baik. in sha Allah. Bersama memperbaiki diri.
Selamat
mebaca. Yang baik kita ambil dan memang banyak yang baik. Yang kurang baik dijadikan
sempadan.
Wallahu
a'lam. Semoga bermanfaat.
8:42 PM |
Category:
intelektualisme
|
0
comments
Comments (0)