Berjasalah untuk nikmat Allah; Syurga
Maha Suci Allah tuhan semesta alam, segala puji bagi Allah dengan limpah dan kurnia-NYA, kita sebagai manusia yang lemah ini masih dapat menikmati segala-segalanya baik dapat dinikmati pada zahirnya mahupun batin. Sesungguhnya nikmat Allah itu luas dan sangat mencukupi bagi semua makhluk yang ada dibumi ini. Sesungguhnya sebaik-baik manusia ialah orang yang bersyukur dan sentiasa mensyukuri segala pemberian-NYA sama ada susah mahupun senang. Dan begitulah kata Pak Hamka yang menyebut tentang cirri-ciri orang yang bersyukur yang mana beliau menyebut orang yang bersyukur ketika senang adalah biasa namun orang yang bersyukur ketika menimpa musibah adalah orang yang luar biasa”.

Wahai para sahabat seperjuangan yang dikasihi sekalian,

Kita hayatilah kisah-kisah para anbiya’ dalam perjuangan mereka dalam meninggikan kalimah tauhid Yang Maha Esa kepada kaum mereka. Mereka mengorbankan segala tenaga, jiwa, harta demi kerana Allah. Bukankah itu namanya berjasa? Namun, kebelakangan ini, manusia makin terus alpa dan leka dengan kemewahan dan kekayaan di dunia yang sementara, sibuk mengejar pangkat dan kemulian diri sendiri demi menjadi manusia yang mulia disisi manusia sendiri. Apakah bezanya kita dengan binatang yang masing-masing hidupnya makan, tidur dan berasmara semata-mata? Apakah kita telah lupa ataupun sengaja buat-buat lupa dengan perintah dan larangan Allah? Pernahkah kita terfikir dan bermuhasabah diri sebelum kita tidur atau apabila celik mata sesudah mati sementara itu mengenai berjasa atau berbudi? Tidakkah kita rasa bersalah atau hati kita sudah mati ditelan kegelapan malam sehingga hati itu tidak rasa apakah pentingnya cahaya.

Sungguh dukacita dan kecewa jika kita masih bermimpi di siang hari dan berkhayalan di malam hari sehingga tidak ada satu jasa dan budi pun kita taburkan untuk agama. Jika para anbiya’ boleh tidur sedikit, berlapar banyak, berdahaga sehingga tekak kering dan badan berlumuran darah dalam memartabatkan islam, kenapa kita tidak kita? Cubalah wahai sahabat-sahabatku, berjasalah dan berbudilah untuk mengecapi nikmat Allah.

Wahai pencinta jasa dan budi,

 Satu perkara yang menjadi seorang itu dicintai Allah adalah dimana seharian dalam hidupnya tidak lekang daripada berjasa dan berbudi seperti seorang pemimpin sentiasa bersama masyarakatnya ketika mereka dalam kesusahan begitu juga rakyat yang sentiasa menyokong padu untuk bersama-sama membina tamadun dan taat setia kepada pemimpin, seorang ayah mencari rezeki walaupun matahari terpacak tinggi lurus diatas kepala, seorang ibu membasahi tangannya untuk menyediakan sesuapan nasi, seorang anak yang soleh mendoakan kesejahteraan untuk ibu bapanya, seorang suami mengerah tenaga tulang empat kerat untuk menyediakan keperluan keluarganya begitulah seorang isteri menanti si suami dengan mengemas rumah dan menyediakan keperluan walaupun dengan secawan kopi. Wah! Indahnya kitaran hidup jika setiap manusia berjasa dan berbudi didalam kitarannya. Pun begitu, ingatlah bahawa jasa dan budi ini bukan setempat dan bermusim, bukan  untuk sebulu dan sekuku bahkan bukan hanya sekufu apatah lagi ada jika ada kepentingan duniawi.

Ingatlah hadis nabi bahawa sebaik-baik umat adalah yang bermanfaat kepada umat yang lain. Kan indah dan suci ajaran islam itu, jika setiap umat faham akan agama bahkan lebih murni dan mulia jika diamalkan dalam kehidupan seharian. Ingatlah, tatkala manusia dibadai taufan dan dibelasah ombak dan ketika itu kita dalam dakapan sinaran bintang yang berkelipan dan diterangi bulan cahaya benderang bahkan ditemani sinaran matahari menyinari cahaya, ketika itu telah jatuh satu kewajipan untuk kita berjasa dan berbudi demi mencapai keredhaan Allah dan bukanlah niat hanya bila kita berbudi sekarang kelak satu hari nanti mereka akan bantu kita. Maka pesanlah pada diri bahawa jika kamu menolong agama Allah nescaya Allah juga akan membantu kamu. Sedarlah, dunia ni adalah putaran, ada masa kita diatas ada ketikanya kita dibawah. Mohonlah kepada Yang Maha Berkuasa untuk menjadikan kita sebaik-baik umat.

Wahai teman yang ku sayangi, 

Tidakkah kita terpanggil dengan suruhan Allah dalam surah al-‘imran yang menganjurkan kepada umat yang ingin menjadi sebaik-baik umat dalah menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah yang mungkar. Adakah kita tidak ingin menjadi sebaik-baik umat disisi Allah atau hanya terlintas dalam fikiran bahawa dunia sahaja yang menjadi keperluan dan kehendak demi memuaskan nafsu sendiri. Kalaulah setiap umat melaksanakan perintah Allah yakni melaksanakan amar ma’ruf dan nahi mungkar pasti dunia akan menjadi sebaik-baik dunia. Dan perlu diketahui bahawa apa yang dilakukan itu tidak lain tidak bukan adalah jasa dan budi kerana setiap perkara yang ingin dilakukan itu memerlukan satu perjuangan dan ijtihad yang hakiki.

Kita renungilah kisah perjuangan nabi Muhammad s.a.w, bagaimana baginda s.a.w. berjasa dan berbudi sejak kelahirannya pada sekitar abad ke 6 sehingga baginda s.a.w. wafat, selama 63 tahun masa itu dipenuhi dengan segala budi dan jasa sehingga umat kini dapat merasai dan menikmatinya dengan baik sekali. Jika tidak kerana jasa dan budi baginda s.a.w ketika penghijrahan dari mekah ke madinah tidak akan ada satu piagam yang agung dalam sejarah telah tercatat. Jika tidak kerana budi dan jasa nabi pada pembukaan kota mekah, tidak akan ada pembebasan hajaratul aswad sehingga pada zaman kini dan terus diziarahi oleh sekalian umat bahkan menabur cinta membuak-buak untuk menujuk ke sana. Tidakkah kita rasa terhutang budi dengan baginda dengan segala yang telah dilakukan. Cubalah berbicara dengan hati sendiri, apakah sebanyak jasa dan sebesar budi yang kita lakukan kerana Allah? Nauzubillah, pasti kita akan rasa kita seperti mayat hidup yang mana ada pun taka apa, tak ada pun tak  apa. Pilihlah wahai teman-temanku…


Wahai rakan dunia akhirat,

Di dalam berjasa dan berbudi ini ada hikmahnya dan pantang larangnya. Hikmahnya pada bila kita berjasa kita akan merasai satu kenikmatan yang cukup manis kerana kita dapat berjasa kepada umat yang lain, bahkan jika kita renungi dengan mata hati sebagai pandangan seorang muslim nescaya keimanan kita akan bertambah dan menjadikan kita orang yang berjaya. Hadirnya ketenangan hati dan minda membawa satu nikmat walaupun kepenatan jiwa raga bermandi peluh. Jika renungi satu kata-kata hikmat pak hamka orang yang benar-benar hidup adalah orang yang jasadnya mati tetapi semangat tidak mati. Begitulah peranan setiap umat khususnya umat islam, jadilah umat sebaik-baik umat dan janji Allah pasti tidak akan nafi kebenaran-NYA itu.

Usahlah tertipu dengan hasutan nafsu, bila berjasa dapat nama dan bila berbudi dikenali. Usahlah terpedaya dengan hasutan syaitan kelak bila berjasa namamu masyhur, budimu dilambung-lambung dan baktimu disebut-sebut. Hindarilah sifat takbur, riya’, ujub, bongkak, megah diri dan sombong dalam berjasa dan berbudi. Janganlah dirasakan bahawa hanya dirimu sahaja yang berjasa, jangan difikirkan bahawa hanya dirimu sahaja yang berbudi dan jangan sesekali merasakan bahawa berbakti itu hanya kamu lakukan untuk kepentingan diri kamu.

Wahai umat sebaik-baik umat,

Setiap amal kebaikan hendaklah dilakukan semampu dan sebaik mungkin. Percayalah bahawa Allah dan para Rasul tidak akan membebani hamba-Nya dan umatnya untuk melakukan kebaikan. Berjasalah dan berbudilah semampu yang mungkin. Adakalanya tenaga dapat dikerahkan, ada pula masa yang dikorbankan dan ada juga yang menyumbang dengan harta. Setiap umat itu ada kelebihannya masing-masing, pakar dalam teknologi maka berjasalah menyebarkan islam dengan pantas, pakar dalam pembangunan maka binalah rumah yang murah mampu milik oleh setiap umat, pakar dalam kepimpinan maka hukumlah dengan keadilan, pakar dalam kewangan maka permudahkan segala urusan perbelanjaan, pakar dalam bahasa maka perbaharuilah budi pekerti umat, pakar dalam agama maka didiklah bukan menghukum, pakar dalam perubatan maka ringankanlah tulang membantu tanpa mengharapkan balasan yang melampau dan setiap umat islam perlu pakar dan mahir dalam agama nescaya segala urusan difikirkan itu hanya untuk berjasa dan berbudi kerana Allah.

Wahai insan! jasamu dijulang, budimu dikenang, untuk islam terus gemilang,

Akhir kalam penutup risalah, bacalah firman tuhanmu yang menjadikan insan sebaik-baik ciptaan dan makamnya terletak jauh lebih tinggi dari segala makhluk yang diciptakan dan apabila insan itu ingkar, mala akan jadilah dia sehina-hina lebih jijik daripada segala makhluk yang ada.

Dikala sepi malam menutupi siang, jadilah ‘abid sepenuh masa dengan ketaatan tidak berbelah bahagi. Mengangkat kedua tangan menjunjung langit dengan penuh hiba memohon kemafaan dan dikurniakan peluang untuk bertaubat seperti kain putih yang belum diwarnai. Bersujud kepada Yang Maha Agung penuh rendah hati agar segala kebaikan jasa dan budi yang ditaburkan di siang hari itu mendapat keberkatan dan keredhaan.

Junjunglah perintah Allah dan tinggalkan larangan Allah, patuhilah sabda nabi junjungan besar Rasullullah s.a.w agar setiap apa yang dilakukan itu mengikut syariat dan tidak jauh dari segala kesesatan. Berharaplah dengan harapan apa yang telah dilakukan itu menjadi tuntutan syariat islam dan menjadi bukti penulisan hakiki oleh dua peneman yang sejati kiri dan kanan. Berharaplah jasa dan budi itu tulus ikhlas kerana Allah dan semoga setiap dilakukan itu niat kerana Allah.

Berjasalah untuk memperoleh nikmat Allah; baik syurga mahupun ganjaran pahala, berbudilah kepada umat walaupun di dunia yang penuh tipu daya dengan permainan yang licik supaya ia menjadi bekalan di akhirat kelak.

"wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu berjasa untuk (agama) Allah nescaya Allah akan berjasa untuk kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu”.47:7.

Jika dihayati ayat ini dengan pandangan hati yang telus ikhlas, boleh diertikan bahawa ayat ini ditujukan kepada golongangan yang ingin berjasa dan berbudi untuk agama islam kerana perkataan nasara atau tansuru itu adalah membawa erti menolong, bukankah berjasa itu jika diertikan menolong? Indahnya islam yang dibawa oleh para Rasul bahawa dijanjikan apa yang dijasakan itu pasti Allah membalas jasa yang baik itu.

Sabda Nabi Muhammad s.aw.: “sebaik-baik manusia ialah manusia yang memberi manfaat kepada orang lain” (riwayat al-baihaqi). Padu sungguh sabda nabi Muhammad s.a.w kerana tidak terbayang dek fikiran bahawa setiap perkara yang boleh memberikan manfaat kepada orang lain boleh menjadi sebaik-baik manusia. Segelintir orang berfikir bahawa, sudah ada segulung ijazah baru boleh manfaatkan ilmu kepada orang lain, bila ada seekar tanah baru boleh menyumbang harta kepada fakir, bila sudah berada dalam gerakan baru boleh menyampaikan dakwah dan hendak tunggu mati barulah difikirkan hendak menyumbang. Ringkas dan padat sabda nabi Muhammad s.a.w ini mengangjurkan kepada setiap manusia supaya jadilah orang bermanfaat walau sebesar zarah manfaat yang boleh ditunaikan.

Wallahu a’lam.

Wahai orang manusia,
Hidup biarlah berjasa,
Untuk agama dan nusa,
Segala susah dan senang bersama,

Wahai orang manusia,
Hidup biarlah berjasa,
Bukan untuk nama,
Bukan untuk harta,
Namun untuk syurga nikmat Allah yang sempurna,
Untuk selamat dari api neraka yang membara,

Wahai orang manusia,
Hidup biarlah berjasa,
Manis madu manis lagi berjasa,
Wangi kasturi wangi lagi berbudi,
Janji Allah untuk orang yang berbakti,

Wahai orang manusia,
Hidup biarlah berjasa,
Dikorbankan masa,
Dibantingkan tenaga,
Disumbangkan harta,
Untuk apa kalau bukan berjasa untuk agama,

Wahai orang manusia,
Hidup biarlah berjasa,
Angin kencang ditiup tidak engkau terbang,
Ombak memukul tidak engkau sakit,
Gunung terbentang tidak engkau gentar,
Bumi terbongkah tidak engkau kecut,
Kerana di dunia ini engkau dididik dan disiram dengan satu tujuan satu matlamat satu seruan,
Hidup biar berjasa!




Comments (1)

On November 25, 2017 at 6:41 AM , Anonymous said...

Syurga Tempat yang diidamkan semua insan didunia.. namun tidak semua yang berusaha untuk menjejaki dengan caranya.jangan pernah sekadar mengharap asal dapat memasuki namun perlu lah berusaha untuk mendapatkan di tingkat yang terbaik. Smile n be kindness to all people :). Tqvm 4 ur sharing