Pelajaran dan pengajaran Al-quran dalam kehidupan
Wahai teman-teman pencinta al-quran,

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani tuhan sarwa alam. Tuhan yang Maha Besar dan segala kehidupan yang ada di bumi menyembah Allah dan berzikir memuji kebesaran-Nya. Selawat dan salam keatas junjungan besar nabi Muhammad s.a.w.  kekasih Allah dan manusia yang paling terbaik, kata-katanya adalah benar, tingkah lakunya seperti al-quran dan baginda adalah pemimpin dan pendidik yang terbaik di seluruh alam.

Allah telah menganugerahkan kepada rasullulah satu mukjizat yang paling sempurna dan paling mulia yakni al-quran. Dan al-quran itu adalah kalam Allah dan tiada keraguan padanya. Al-quran adalah sumber rujukan perundangan agama islam yang utama yang mana menjadi pedoman dan panduan bagi seluruh umat manusia dan al-quran itu tidaklah diturunkan melainkan dalam bahasa arab bagi orang-orang yang bertaqwa.

Wahyu al-quran itu diturunkan oleh Allah melalui perantaraan malaikat Jibril kepada nabi Muhammad s.a.w. selama 23 tahun secara berperingkat-peringkat. Wahyu al-quran membawa satu cahaya kepada golongan arab jahiliyyah dan dengan hal demikian merubah kehidupan mereka daripada kejahilan kepada kebijaksaan, daripada keganasan kepada kelembutan, daripada kebakhilan kepada kemurahan bahkan telah menjadikan mereka antara golongan yang disebut oleh Allah sebagai ulul albab. Mereka membaca, menghafaz, memahami dan mengamalkan isi kandungan al-quran.

Al-quran juga merupakan salah satu daripada kitab-kitab Allah seperti Suhuf kepada nabi Ibrahim, Zabur kepada nabi Daud, Taurat kepada nabi Musa dan Injil kepada nabi ‘Isa. Namun semua kitab tersebut sudah dipesongkan oleh golongan yang fasik dan musyrik melainkan al-quran. Al-quran adalah sebuah kebenaran sehingga ke Hari Pengakhiran dan itulah janji Allah.
“Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya”.(al-hijr:9)



Ini jelas menunjukkan bahawa al-quran adalah kalam Allah dan bukan ciptaan manusia seperti yang disebut-sebut oleh kaum musyrikin bahkan Allah telah mencabar para manusia itu mecipta ayat seperti ayat al-quran dan Allah telah berfirman dalam surah Al-baqarah:23

“Dan kalau kamu ada menaruh syak tentang apa yang Kami turunkan (Al-Quran) kepada hamba kami (Muhammad), maka cubalah buat dan datangkanlah satu surah yang sebanding dengan Al-Quran itu, dan panggilah orang-orang yang kamu percaya boleh menolong kamu selain dari Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar.”

Wahai para sahabatku yang dikasihi,

            Menjadi kemestian untuk kita pelajari al-quran dan mengikut sunnah rasulullah seperti yang dianjurkan oleh baginda dalam sabdanya iaitu sebaik-baik manusia adalah yang pelajari al-quran dan mengajarnya. ini adalah sifat terpuji dan wajar kita renungi bahkan amalkan dalam kehidupan seharian. Al-quran itu mengeluarkan manusia daripada kegelapan kepada cahaya. Di dalam al-quran ini mengandungi 1001 satu rahsia sama ada kita ketahui mahupun tidak.
Para sahabat yang ku kasihi,

            Setiap insan mendamba dan berharap ingin menjadi sebaik-baik insan misalnya ayah ingin jadi seorang ayah yang baik kepada anak-anaknya, suami ingin menjadi seorang yang baik bagi isterinya, ibu ingin menjadi seorang  ibu yang baik, para pendidik ingin menjadi pendidik yang terbaik, murid ingin menjadi yang terbilang, pemimpin ingin menjadi pemimpin yang disenangi dan sudah semestinya semua insan berhajat ingin menjadi insan yang terbaik. Namun apakah ciri-ciri insan yang terbaik disebut?

“Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang yang fasik.”(al-‘imran:110)

Ayat al-quran ini nyata menunjukkan bahawa kita sebagai umat nabi Muhammad s.a.w. adalah umat yang terbaik namun disitu ada beberapa faktor yang perlu kita turuti sebelum ingin menjadi ayah, ibu, murid, pemimpin dan pendidik yang terbaik.

 Faktor yang pertama iaitu adalah kita menyuruh berbuat segala perkara yang baik yakni apa sahaja yang disuruh Allah terutama 5 perkara asas dalam islam iaitu syahadah, solat, zakat, berpuasa di bulan ramdhan dan mengerjakan haji bagi yang mampu dan juga melaksanakan perkara yang sunnah seperti yang diajarkan oleh nabi Muhammad s.a.w. seperti sedekah, solat sunat, senyum, ziarah, berpuasa sunat dan lain-lain. Ini adalah faktor pertama yang wajib kita lakukan jika kita berkehendakkan menjadi insan yang terbaik.

Tugas seorang ayah adalah menyediakan segala keperluan asas kepada keluarganya seperti mencari rezeki dan menyediakan tempat tinggal. Seorang ibu mendidik anaknya dengan didikan al-quran dan sunnah rasulullah. Seorang murid berusaha bersungguh-sungguh menuntut ilmu bahkan seorang pemimpin hendaklah melaksanakan amanah yang telah dipertanggunjawab. ini juga merangkumi dalam aspek kebaikan.

Faktor kedua ialah melarang daripada melakukan perkara-perkara yang ditegah oleh Allah dan rasul-Nya seperti minum arak, merokok, mencuri, berzina, rasuah, tidak mengajar dengan baik, datang kerja lambat, menipu dalam perniagaan dan sebagainya. Melarang perkara yang mungkar ini juga adalah perkara yang sangat ditekankan oleh rasulullah sebagaimana rasulullah bersabda:

"Siapa yang melihat kemungkaran hendaklah dia mengubahnya (taghyir) dengan tangan(kekuasaan), jika tidak mampu hendaklah mengubahnya dengan lidah, jika tidak mampu hendaklah dia mengubahnya dengan hati, dan yang demikian itu adalah selemah-lemah iman." (Hadis Riwayat Muslim)
Faktor yang terakhir yang paling penting dan wajib bagi bagi orang yang beragama islam adalah beriman. Ini adalah faktor yang membezakan antara muslim dan kafir. Semua orang boleh melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran namun tidak semuanya beriman kepada Allah dan orang yang beriman kepada Allah sudah dijanjikan syurga dan diselamatkan dari api neraka. Keimanan seseorang bukan diukur melalui percakapan namun ia perlu dibenarkan dalam hati dan dilaksanakan melalui perbuatan. Keimanan bukan hanya beriman sebahagian rukun iman tetapi menjadi satu kewajipan yang mutlak untuk mengimani kesemua rukun iman iaitu beriman kepada Allah, para malaikat, kitab, rasul, hari pembalasan dan qada’ dan qadar.

Ketiga-tiga faktor diatas adalah asas yang penting menjadi sebaik-baik insan. Walaupun Allah telah menyebut bahawa Allah telah menjadikan manusia adalah sebaik-baik kejadian namun belum tentu boleh menjadi sebaik-baik insan kerana Allah telah berfirman dalam surah at-tin dengan begitu jelas sekali:

“Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya).”
“Kemudian (jika ia panjang umur sehingga tua atau menyalahgunakan kelengkapan itu), Kami kembalikan dia ke serendah-rendah peringkat orang-orang yang rendah.” (at-tin:4,5)

Prof  Hamka dalam tafsirnya tafsir Al-Azhar telah menghuraikan satu isi penting yang cukup baik apabila dia mengungkapkan bahawa ketiga-tiga faktor inilah yang menjadi sebab, kamu disebutkan yang sebaik-baik ummat. Kalau ketiga tidak ada, nescaya kamu bukanlah yang sebaik-baik ummat,bahkan mungkin menjadi seburuk-buruk ummat, lantaran itu apabila kita membaca ayat ini, janganlah hanya memegang pangkalna, lalu membannga, sebagaimana membangganya orang Yahudi mengatakan, bahawa mereka adalah “kamu pilihan tuhan”. Nazubillah.

Wahai pemuda pemudi islam, akhiru kalam penutup risalah,

            Justeru,  untuk menjadi sebaik-baik umat hendaklah tanamkan azam untuk mempraktikan ketiga-tiga faktor diatas iaitu yang pertama amar makruf, kedua nahi mungkar dan yang ketiga ialah beriman kepada Allah. Inilah dasar yang wajib wujud dalam peribadi setiap jiwa umat islam.

            Kata-kata hikmah ada menyebut bercakap benar walaupun pahit dan begitu juga pepatah melayu juga ada menyatakan berani kerana benar takut kerana salah. Inilah realiti kehidupan seorang muslim yang ingin menjadi sebaik-baik muslim disisi Allah dan menjadi orang yang dekat disamping rasulullah. Tidaklah mudah dan tidaklah susah untuk melaksanakannnya. Namun untuk melaksanakannya memerlukan satu kekuatan yang jitu.

            Oleh itu, berdoalah kepada Allah agar dikurniakan segala kebaikan di dunia dan di akhirat. Contohilah akhlak nabi Muhammad s.a.w. dan ikutilah sunnahnya kerana itulah jalan menuju ke syurga dan keredhaan Allah. Wallahu a’lam.
           







Comments (0)