KASSIM AHMAD DALAM KENANGAN.
Bismillhirrahmanirrahim. Alhamdulillahirabil'alamin.
Mukadimah.
Sarjana kontroversi Kassim Ahmad
meninggal dunia hari ini selepas dilaporkan koma semalam akibat masalah
jangkitan kuman dan jantung tersumbat. Sarjana kontroversi Kassim Ahmad
meninggal dunia di hospital di Kulim Bandar Baru pada usia 84 tahun.
MalaysiaKini melaporkan berita kematian Pak Kassim pada 07102017.
Dr.Mahathir juga mengambil
kesempatan untuk mengucapkan takziah kepada keluarga pak Kasim. Dr.Mahathir
meluahkan kekesalannya terhadap penentang Pak Kassim dengan ungkapan, “Kasim
Ahmad yang meninggal dunia hari ini, semasa hayatnya tidak mendapat keadilan
seperti yang dikehendaki oleh agama Islam, hanya kerana beliau dituduh kononnya
membelakangkan hadis, Bacalah tulisannya sebelum menghukumnya," kata Dr
Mahathir dalam kenyataan media, merakamkan takziah atas pemergian Kassim.(TheMalaysianInsight)
Tidak terlepas juga seorang waris
daripada Pak Kassim untuk memberikan sepatah dua kata mengenai wasiat terakhir
Pak Kasim :“Beliau selalu berpesan supaya membaca Al-Quran setiap hari
dengan minda yang kritikal. Beliau juga berkata jangan ikut semua hadis atau
ulama, kerama semua itu ciptaan manusia. Bapa saya selalu berkata ‘Al-Quran
adalah jalan sebenar’.”(waris al-Marhum daripada petikan freemalaysiatoday)
Seorang tokoh pertubuhan yang
sentiasa menyanjung dan mendokong pemikiran Pak Kassim juga menyebut perihal
keperibadian Pak Kasim: “Beliau mempertahankan banyak idea dan prinsip
sepanjang hayatnya – keadilan, kebebasan berfikir dan bersuara, dan kebebasan
beragama.“Beliau menunjukkan keberanian dan daya tahan ketika berada di titik
rentan,” Pengarah Eksekutif SIS Rozana Isa (petikan daripada
freemalaysiatoday).
Innalillahiwainnailaihirajiun. Masih
belum terlambat untuk saya mengucapkan salam takziah kepada ahli keluarga
beliau walaupun sudah 7 hari Kassim Ahmad telah pergi menghadap Allah azza
wajalla. Semoga kita semua mendapat pengampunan dan mudah-mudahan kita juga
mendapat pengajaran daripada apa yang telah berlaku.
Saya baru mengenali beliau
kira-kira 7 tahun yang lalu daripada buku yang menjadi "kontroversi"
dan sejak itu saya terus mencari penulisan beliau yang lain dan cuba juga untuk
memahami gaya penulisan dan corak pemikiran beliau sehinggalah saya menemui
buku "Dialog Dengan Sasterawan" dan saya membaca buku ini pada tahun
2015.
Buku: Dialog Dengan Sasterawan
Pendahuluan kata, Wan Hamidi
Hamid memuji Kassim Ahmad: "Nada kritikan Kasim keras tapi tak kejam,
tegas tapi tak kurang ajar, jauh sekali menghina penulis atau penulisan. Beliau
menumpukan sepenuhnya kepada karya tanpa menghakimi peribadi penulisnya".
Di dalam buku ini, beliau
membentangkan ide-ide yang sangat kritis dan setiap perbahasan yang dibahasnya
sangat mengkagumkan. Ketika saya membaca buku ini, terasa dunia yang tersangat
asing kerana saya terlalu mengkagumi corak pemikiran beliau yang kritis dan gaya
penulisan beliau yang sangat kreatif.
Buku ini mengandungi 20 bab
utama. Antaranya, beliau menghuraikan perkembangn Kesusasteraan Melayu Moden
dan Aliran-Aliran terbaru dalam persajakan Melayu. Kemudian, beliau mula
mengkritik sastera seperti Musafir, Winstedt, Dari Mana Punai Melayang, Salina,
Pulangya Seorang Athies dan Ranjau Sepanjang Jalan. Beliau juga mengupas
ciri-ciri penyajak, keindahan sajak, tugas penulis zaman kini apakah masalah
yang dihadapi oleh penulis. Selain itu, beliau menghuraikan kritikan sastera,
teori sastera, marxis dan sebagainya. Banyak topik yang dikupas dan setiap
kupasan yang diberikan sangat baik. Buku ini patut menjadi bacaan utama bagi
penulis khususnya penulis sastera.
Buku ini telah mempersembahkan
cara beliau berfikir dan sesungguhnya beliau seorang yang hebat dan pemikirian
beliau begitu kritis kerana beliau mampu mengkritik karya-karya sasterawan
sezamannya dan selepasnya dan saya kira tidak ramai pengkritik sastera sehebat
beliau. Saya petik satu contoh bagaimana dia mengolah tema sastera dalam
al-Quran dahulu.
Sebagai contoh firman Allah azza
wajalla bermaksud: "Adakah engkau hendak meletakkan di dalamnya mereka
yang akan membuat kerosakan dan memumpahkan darah, padahal kami mengucap puji-pujian
kepada-Mu dan mengagungkan kesucian-Mu?, Tuhan berfirman: "Sesungguhnya,
aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui,". (2:30)
Kata beliau: "Ayat ini
memberi sokongan yang terang kepada optimisme. Ia menunjukkan bahawa walaupun
pada jangka pendek manusia seorang yang perosak dan pembunuh, pada jangka
panjang, tidak. Salahlah bagi sebuah karya sastera menggambarkan manusia dari
satu segi sahaja (perosak dan pembunuh); ia harus menggambarkannya juga sebagai
pembina (pejuang keadilan dan kebenaran). Malah segi akhir inilah yang harus
diperlihatkan sebagai segi pokok.
Beliau mengkritik penulis sastera
dan cerpen pada zaman ini yang tidak sabar untuk menerbitkan karya mereka tanpa
melihat soal bahasa dan gaya. Kata beliau:" apakah pengarang kita
mempermudahkan soal bahasa dan gaya dan tidak mengambil berat soal-soal ini?
Perlu diingatkan,pengarang-pengarang dunia yang agung seperti Tolstoy dan
Balzac meminda draf mereka sekurangnya empat lima kali sebelum dihantarkan
kepada pencetak. Maka, tidak hairanlah berlaku isu jika beliau seakan
meragui satu isu dari sumber kedua yang kelihatan bercanggah dengan sumber
utama. Ini kerana, dia melihat seakan ada pertembungan penaqal dengan teks
utama kerana ada beza dari segi bahasa dan gaya.
Kassim Ahamd seorang yang realis
kerana beliau mampu mendalami dan menyelami perasaan ketika menulis novel,
cerpen dan sajak. Kita boleh mengenalinya bahawa dia seorang realis ketika dia
membahaskan karya Ranjau Sepanjang Jalan, Musafir, Dari Mana Punai Melayang,
Salina, Pulangnya Seorang Athies dalam buku ini. Cuba baca!
Akhir kata, bagi menggambarkan
tentang diri dia, dia mengungkapkan satu kata-kata dan bagi saya ia cukup jelas
dengan falsafah kehidupannya baik dalam bidang sastera, politik, jurubicara
al-Quran, revolusioner dan anti sebahagian hadis. Kata beliau: "Sama
ada saya 'mati' atau tidak sebagai seorang penulis, masa dan rakyat akan
menentukan..."
Sumbangan
Dalam dunia akademik, kita diajar
supaya tidak membuang sebarang khazanah ilmu tidak kira siapa pun yang menulis
dan dari mana sumber ilmu itu kerana ia juga ditekankan dalam Islam iaitu
membaca seluruh ilmu yang ada di muka bumi
.
Oleh itu, sebagai ahli akademik,
mereka perlu mengimbangi dan memilih yang baik dan menapis yang sebaliknya
namun juga perlu dikaji satu persatu kerana barangkali ada faedah yang boleh diperolehi.
Kita juga tidak boleh menafikan
sumbangan seseorang khususnya dalam bidang keilmuwan. Adapun jika terdapat
perbezaan yang ketara khususnya yang boleh menggugat aqidah maka perkara itu
perlu dikaji dan dielakkan.
Pak Kassim pula, mungkin ada
beberapa perkara yang sudah menjadi ijtihad beliau dalam satu isu khususnya
al-Quran dan Hadis sehingga beliau tidak menemukan titik persamaan dan semakin
dikaji semakin terserlah jurang perbezaan. Mudah-mudahan hal itu mendapat
pengampunan Allah azza wajalla dan saya kira bahawa dia bersungguh mendalami
ilmu agama Islam bukan semberono mengkritik hadis dan sebagainya.
Pada hemat saya, beliau seorang
pejuang yang ada nilai tersendiri malahan ada sumbangannya yang boleh dihargai.
Beliau juga sama seperti ulama' terdahulu seperti Rasyid Ridha yang dikatakan
mujaddid lewat kurun ke-19 yang ada menolak beberapa hadis. Perkara ini
disentuh olehl Baksh (بخش) dalam bukunya Al-Quraniyyun wa syubhatuhum haula al-sunnah (القرانيون وشبهاتهم حول السنة)
namum ulama itu karyanya dijulang dan dikaji sehingga kini sama ada dari segi
tafsir al-Quran, poltik dan gerakan.
Sebelum itu, kita ada ulama’
Balaghah yang mengkaji al-Quran seperti al-Zamakshari dalam tafsirnya al-Kashaf
juga seorang yang bermazhab muktazilah. Bahkan al-Jahiz seorang ilmuwan
Balaghah juga bermazhab muktazilah yang mengarang kitab yang hebat iaitu
Al-Bayan wa Al-Tabyin yang menghuraikan ilmu Bahasa dan Balaghah. Ramai lagi
seangkatanya dengan mereka namun karya mereka tetap dijulang dan dikaji. Bukan itu
sahaja, jika kita membaca buku Sibawaih yang bernama Al-Kitab, disebut dalam
buku itu, ada suatu ketika, Sibawaih mendengar halaqah hadis dari seorang
muhadis yang besar pada zaman dia, ketika beliau mendengar muhadis meriwayatkan
hadis itu seakaan ungkapan itu ada salah tatabahasa dan makna hadis, maka
timbul persoalan, apakah itu hadis atau sebaliknya. Pun begitu juga, terdapat
dalam riwayat hadis yang meriwayatkan dengan makna iaitu lafaz berlainan tetapi
diertikan dengan makna sendiri. Maka hal ini semua perlukan satu kajian yang
menyeluruh dan teliti. Barangkali ilmu manusia terbatas dan kadangkala apa yang
telah dia kaji itu sahaja yang menjadi hujahnya. Wallahu a’lam.
Kesimpulan
Selamat membaca buku ini
khususnya penulis sastera, cerpen, sajak dan sebagainya. Untuk makluman, saya
hanya peminat sastera dan bukan ahli sastera. Mungkin ahli sastera ada
pandangan yang lain.
Semoga Allah azza wajalla
sentiasa merahmati kita dan memberikan hidayah dalam mencari kebenaran dan
menolak kebatilan. Insya-Allah. Amin.
8:40 AM |
Category:
intelektualisme
|
0
comments
Comments (0)