Mukjizat Al-Quran Al-Karim; Bahasa Arab dan Al-Qiraat.

بسم الله الرحمن الرحيم, Alhamdulillahirabil’alamin. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad sollahu’alaihiwasallam serta ahli keluarga baginda dan para sahabat dan seluruh umat sekalian alam.

Mukadimah
Satu perkara yang menjadi teka-teki yang mengganggu ketenteraman jiwa dan ketenangan hati bagi insan yang mendalami dan menghayati al-Quran ialah kefahaman tentang Bahasa al-Quran iaitu Bahasa Arab, yang mana setiap ayat ada makna tertentu berdasarkan konteksnya. Bahkan kepelbagaian ilmu al-Qiraat dalam al-Quran juga mendatangkan sedikit kecelaruan hati kerana seolah-olah al-Qiraat ini telah lari dan menyimpang daripada kaedah asas Bahasa Arab. Timbul lagi persoalan yang lain di minda iaitu bagaimana keseleraian Bahasa Arab dan al-Qiraat ini dapat dipertemukan dalam satu nokhtah sehingga menatijahkan mukjizat al-Quran itu.

Persoalan demi persoalan tersebut telah timbul sejak bertahun-tahun lagi dan telah memberikan kesan dan bebanan yang sangat berat untuk dihadapi apatah lagi berfikir untuk mencari jawapannya. Pengembaraan menuntut ilmu dalam bidang Al-Quran dari sudut bahasa dan qiraat sering meresahkan hati kerana sentiasa kedengaran bisikan dan hasutan yang halus untuk meraguinya.

Justeru, dengan mengharapkan redha Allah azza wajalla, mudah-mudahan penulisan kali ini berharap dapat memberikan satu pencerahan umum kepada penulis dan pembaca mengenai Mukjizat al-Quran dari segi Bahasa Arab dan Qiraat. Insya-Allah. Penulisan yang ringkas ini hasil daripada pembentangan penulis dalam kelas Al-‘Ijaz Al-Bayani yang dibimbingi oleh Prof. Dr Nesreldin. Penulis ingin mengucapkatan jutaan terima kasih kepada Prof. Dr. Nesreldin(Pensyarah Bahasa Arab Uiam) kerana memberikan penulis peluang untuk membentang dan mengupaskan tajuk Al-Qiraat yang ditulis oleh para ulama’. Alhamdulillah, sedikit sebanyak mendatangkan ketenteraman hati. Semoga Allah azza wajalla merahmati beliau.Amin

Sedikit sahaja ingin penulis tekankan. Mengenai Mukjizat Al-Quran dari segi Bahasa Arab, sudah penulis ketengahkan dalam beberapa penulisan sebelum ini dab boleh rujuk dalam penulisan yang lalu namun penulis mengakui bahawa masih perlu diperbaiki dan menggali ilmu tersebut.


Rujukan Utama dalam penulisan ini(Namun rujukan yang lain boleh dicari lagi dalam senarai rujukan daripada buku dibawah
  1.   النشر في القراءات العشر(ابن الجزري)
  2.   سيبويه(الكتاب)
  3.    القراءت أحكامها ومصدرها(د. شعبان محمد إسماعيل)
  4.   Pengenalan Ilmu Qiraat (Ustaz Rahim bin Jusoh)


Al-Quran Kalam Allah.

Al-Quran ialah kalam Allah azza wajalla yang suci. Dia dijaga dan dipelihara daripada unsur-unsur penyelewengan, rekaan dan pengubahsuaian buat selama-lamanya. Seperti mana yang ditegaskan oleh Allah azza wajalla:
إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ
Maksud: Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya. (Al-Hijr:9)

Ayat ini jelas menunjukkan bahawa Allah Maha Berkuasa memelihara ayat suci al-Quran daripada diselewengkan bahkan tidak ada satu buku pun yang dapat menandingi penulisan sehebat dan seagung al-Quran sama ada dari sudut tatabahasa, sastera, susunan teks dan konteks.

Masyarakat Arab terkenal dengan kehebatan dan keunikan Bahasa Arab. Kemahiran bersyair itu menjadikan mereka satu bangsa yang hebat. Para penyair itu dinilai melalui kelancaran bahasa yang berirama dan kehalusan sastera. Di antara penyair yang terkenal seperti Imru Qais, Zuhair bin Abi Salma, Annabighah Azzubyani, Hasan bin Thabit dan sebagainya. Para penyair juga diangkat martabatnya melebihi martabat seorang pemimpin qabilah malahan menjadi satu keaiban dan kehinaan seandainya qabilah itu tidak mempunyai penyair.

Ketika Al-Quran Al-Karim diturunkan, ramai daripada kalangan para ahli bahasa masyarakat mengkagumi keindahan bahasa Al-Quran Al-Karim seperti diakui oleh Al-Walid bin Al-Mughirah sendiri serta kisah Umar al-Khattab yang mana beliau terus menerima agama Islam disebabkan alunan bacaan al-Quran yang mengasyikkan. Pun begitu, masih ada sebilangan kecil yang tidak mahu menerima malahan mengatakan bahawa Al-Quran Al-Karim adalah sihir dan rekaan junjungan besar Nabi Muhammad sollahu’alahiwasallam.

Maka dengan itu, Allah azza wajalla mencabar semua ahli bahasa dan penyair arab bahkan jin untuk menulis satu surah sahaja sehebat al-Quran dan cabaran ini merupakan peringkat terakhir yang dicabar oleh Allah Yang Maha Agong seperti mana firmannya:

قُل لَّئِنِ اجْتَمَعَتِ الْإِنسُ وَالْجِنُّ عَلَىٰ أَن يَأْتُوا بِمِثْلِ هَٰذَا الْقُرْآنِ
لَا يَأْتُونَ بِمِثْلِهِ وَلَوْ كَانَ بَعْضُهُمْ لِبَعْضٍ ظَهِيرًا
Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun dengan tujuan hendak membuat dan mendatangkan sebanding dengan Al-Quran ini, mereka tidak akan dapat membuat dan mendatangkan yang sebanding dengannya, walaupun mereka bantu-membantu sesama sendiri".(al-Isra’:88)

Al-Quran Al-Majid adalah salah satu daripada mukjizat Nabi Muhammad sollahu’alaihiwasallam. Ini bukan beerti bahawa al-Quran itu ialah kata-kata dan penulisan baginda sollahu’alahiwasallam kerana sudah diketahui bahawa baginda ialah ummi yang tidak mengetahui cara membaca dan menulis. Allah azza wajalla berfirman:

هُوَ الَّذِي بَعَثَ فِي الْأُمِّيِّينَ رَسُولًا مِّنْهُمْ يَتْلُو عَلَيْهِمْ آيَاتِهِ وَيُزَكِّيهِمْ وَيُعَلِّمُهُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ
 وَإِن كَانُوا مِن قَبْلُ لَفِي ضَلَالٍ مُّبِينٍ
Maksudnya: Dia lah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang (Arab) yang Ummiyyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad s.a.w) dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya), dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajarkan mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syarak). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata.(Al-Jumaah:2)

Bahasa Al-Quran ialah Bahasa Arab.

Setiap para nabi yang diutuskan oleh Allah azza wajalla akan memikul tanggungjawab utama iaitu menyeru umatnya supaya mentauhidkan Yang Maha Esa. Di samping itu, setiap para nabi itu dikurniakan mukjizat yang tertentu kerana setiap umat tersebut mempunyai kemampuan dan masalah tertentu sebagai contoh Nabi Musa alahissalam diutuskan kepada umat yang berpegang dengan ilmu sihir dan begitu juga Nabi ‘Isa alahissalam iaitu umatnya memerlukan penyembuhan penyakit seperti buta dan pekak. Hal yang demikian itu, mukjizat yang dikurniakan kepada para nabi ialah untuk membuktikan kebesaran Allah Yang Maha Hebat.
Begitu juga, Nabi Muhammad sollahu’alaihiwasallam diutuskan untuk masyarakat Arab yang fasih berbahasa dan mahir bersyair. Oleh itu, satu cabaran yang bakal dihadapi untuk menundukkan masyarakat Arab itu ialah dengan melalui bahasa iaitu Bahasa Arab.
Maka dengan itu, Al-Quran diturunkan dalam Bahasa Arab. Namun Bahasa Al-Quran lebih hebat dan unik daripada syair-syair arab.  Allah azza wajalla berfirman:

إِنَّا أَنزَلْنَاهُ قُرْآنًا عَرَبِيًّا لَّعَلَّكُمْ تَعْقِلُونَ
Maksudnya: Sesungguhnya Kami menurunkan kitab itu sebagai Quran yang dibaca dengan bahasa Arab, supaya kamu (menggunakan akal untuk) memahaminya.(Yusuf:2)

قُرْآنًا عَرَبِيًّا غَيْرَ ذِي عِوَجٍ لَّعَلَّهُمْ يَتَّقُونَ
Maksud: laitu Al-Quran yang berbahasa Arab, yang tidak mengandungi sebarang keterangan yang terpesong; supaya mereka bertaqwa.(Al-Zumar:28)

Al-Qiraat.

Al-Qiraat ialah satu ilmu daripada ilmu al-Quran yang membincangkan tentang kalimah-kalimah Al-Quran dan perbezaan cara pembacaannya.

Ilmu al-Qiraat merupakan satu displin ilmu yang penting dalam mengetahui cara pembacaan dengan tepat dan memahami al-Quran dari segi teks dan konteks kerana setiap cara pembacaan memiliki makna yang tersendiri.

Oleh itu para ulama’ seperti Ibn Mujahid, al-Jinni, al-Qurtubi dan al-Jazari serta lain-lain telah menyusun displin ilmu al-Qiraat ini supaya tidak ada yang menyanggahi cara pembacaan al-Qiraat. Walaupun pada zahirnya kelihatan ada perbezaan namun disebabkan displin ilmu al-Qiraat ini, segala perbezaan itu menjadi salah satu mukjizat al-Quran.

Untuk memahami displin ilmu, perkara asas yang mesti diketahui iaitu al-Qiraat yang disepakati ulama’ ialah qiraat mutawatirah dari Nabi Muhammad sollahu’alahiwasallam yang shahih sahaja yang boleh dibaca dan diterima untuk dijadikan rujukan adapun qiraat yang tidak disepakati seperti qiraat syaz[1], tadarruj[2] dan maudhu’[3], kebanyakkan ulama’ menolak khususnya ketika solat.
Dalam memahami ilmu al-Qiraat ini juga, utamanya ialah ia mesti memastikan ia tidak bercanggah dengan kaedah Bahasa Arab kerana sudah diketahui al-Quran itu diturunkan ke dalam Bahasa Arab. Namun dalam ilmu Bahasa Arab, terdapat juga khilaf seperti Mazhab al-Basrah dan Mazhab al-Kuffah yang secara ringkasnya Al-Basrah berdasarkan kaedah asas bahasa manakala al-Kuffah juga menerima ungkapan dan syair-syair arab sebelum al-Quran turun.

Oleh itu, untuk mengkaji dan memahami Al-Quran, 2 perkara iaitu Bahasa Arab dan al-Qiraat tidak boleh dipisahkan kerana keduanya mempunyai hubungan yang saling mengikati dan saling berkait rapat.

Ahruf Sab’ah (أحرف سبعة).

Bagaimana muncul ilmu al-Qiraat ini? Adakah ianya datang sebelum dan selepas kewafatan Nabi Muhammad sollahu’alahiwasallam? Untuk menjawab persoalan ini, kita perlu meneliti hadis Nabi Muhammad sollahu’alaiwasalla. Sabda baginda sollahu’alahiwasallam:

روى البخاري ومسلم في صحيحما عن ابن عباس رضي الله عنهما أنه قال:
 قال رسول الله صلى الله عليه وسلم:"أقرأني جبريل على حرف فراجعته، فلم أزل أستزيده، ويزيدني حتى إلى سبعة أحرف.
Maksud: Nabi Muhammad sollahu’alahiwasallam bersabda: Jibril telah membaca kepada al-Quran dengan satu huruf dan dia kembali, maka aku meminta kepadanya untuk ditambahkan huruf supaya diringankan umatku untuk membaca al-Quran maka Jibril datang sehingga dia membaca sampai 7 huruf.

Daripada hadis di atas, Apakah definisi huruf? Apakah huruf itu sama erti dengan kaedah bahasa ataupun sebaliknya? Ini kerana Nabi Muhammad sollahu’alahiwasallam tidak menghuraikan dengan terperinci makna tersebut namun para sahabat memahaminya.

Sebelum membincangkan persoalan huruf. Kita mesti mengetahui asal usul al-Qiraat. Al-Qiraat ini sebenarnya sudah muncul semenjak turun wahyu lagi sebagai contoh kisah Umar al-Khatthab dan Hisyam dalam hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari mengenai pembacaan surah al-Furqan. Umar al-Khattab dan Hisyam membaca dengan al-qiraat yang berbeza namun al-Qiraat tersebut diperakui oleh Nabi Muhammad sollahu’alahiwasallam dengan sabdanya:

كذلك أُنزلت، إن هذا القرآن أُنزل على سبعة أحرف فاقرؤوا ما تسير منه
Maksud: begitulah al-Quran diturunkan kerana sesungguhnya al-Quran diturunkan dalam 7 huruf dan bacalah kamu al-Quran apa yang mudah bagi kamu.

Perbezaan ini terus dibincangkan oleh para ulama’, ada yang menyatakan 7 huruf itu ialah lahjah arab[4], ada juga menyebut 7 huruf itu al-Qiraat al-Sab’ah(tujuh)[5] bahkan ada juga menghuraikan 7 huruf itu dari segi kaedah Bahasa Arab[6]. Namun pandangan yang lebih kuat ialah 7 huruf  itu ialah dari segi Bahasa Arab seperti yang disebut oleh al-Jazari dan al-Imam Fakhruddin al-Razi dan penulis juga cenderung pendapat yang terakhir ini. Wallahu ‘alam.

Sudah jelas bahawa memang terdapat al-Qiraat yang pelbagai dan paling penting kita mesti memastikan al-Qiraat yang datang itu memang sudah disusun oleh para ulama’ al-Qiraat terdahulu cuma tugas kita ialah bagaimana hendak memahami al-Qiraat itu supaya tidak bercanggah dengan al-Quran dan kaedah Bahasa Arab.

Perbezaan al-Qiraat oleh para qurra’ dan ahli Nahw (pakar Bahasa Arab).

Penulis akan cuba untuk memberikan contoh yang mudah bagi memahami perbezaan ini kerana sedia maklum al-Qiraat sudah wujud pada zaman Nabi Muhammad sollahu’alahiwasallam manakala kaedah Bahasa Arab disusun oleh ulama’ terkemudian seperti Al-Khalil dan Sibawaih dan menjadi satu kemestian untuk mengimani kedua-dua iaitu al-Qiraat dan Bahasa Arab.

Pada bab ini, penulis hanya akan menerangkan perbezaan sahaja adapun hikmah dan tafsirnya pada bab seterusnya agar kita mudah untuk memahami. Insya-Allah.
Firman Allah azza wajalla:

أَمْ حَسِبَ الَّذِينَ اجْتَرَحُوا السَّيِّئَاتِ أَن نَّجْعَلَهُمْ
كَالَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ سَوَاءً مَّحْيَاهُمْ وَمَمَاتُهُمْ ۚ سَاءَ مَا يَحْكُمُون
Patutkah orang-orang yang melakukan kejahatan menyangka bahawa Kami akan menjadikan mereka seperti orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dengan menyamakan keadaan (mereka semua) semasa mereka hidup dan semasa mereka mati? Buruk sungguh apa yang mereka hukumkan itu.(al-Jasyiyah:21)

Al-Qiraat yang biasa dibaca oleh kita ialah qiraat Hafs bin ‘Asim dan dibaca juga oleh Hamzah dan Kisa’i iaitu dibaca pada kalimah (SAWA’AN) akan tetapi ada qiraat yang berbeza iaitu dibaca dengan (SAWA’UN). Inilah kaedah qiraat.

Adapun Sibawaih mengatakan kedua-dua kaedah tersebut boleh dibaca dan ianya masih dalam kaedah Bahasa Arab yang betul kerana beliau menyandarkan terdapat syair yang boleh dibacakan dengan kedua bacaan tersebut.

Ya benar, memang akan berbeza makna tetapi inilah yang dinamakan mukjizat al-Quran kerana seperti yang disebut di atas bahawa berbeza makna perkataan bersesuaian dengan konteks ayat dan kehendak maksud yang dibaca.

Kita akan pergi kepada perbahasan yang lebih mendalam dalam bab seterusnya. Insya-Allah.

Peranan al-Qiraat dalam tafsir al-Quran dan mengeluarkan hukum.

Pada bab ini, penulis akan cuba menyatukan 2 kaedah iaitu kaedah bahasa dan al-Qiraat dan ilmu tafsir al-Quran dan bagaimana para ulama’ mengeluarkan hukum berdasarkan ayat-ayat berikut. Ini satu permulaan dan memerlukan pembacaan yang lebih mendalam lagi.
Firman Allah azza wajalla:

وَإِذْ جَعَلْنَا الْبَيْتَ مَثَابَةً لِّلنَّاسِ وَأَمْنًا وَاتَّخِذُوا مِن مَّقَامِ إِبْرَاهِيمَ مُصَلًّى ۖ
وَعَهِدْنَا إِلَىٰ إِبْرَاهِيمَ وَإِسْمَاعِيلَ أَن طَهِّرَا بَيْتِيَ لِلطَّائِفِينَ وَالْعَاكِفِينَ وَالرُّكَّعِ السُّجُود
Maksud: Dan (ingatlah) ketika Kami jadikan Rumah Suci (Baitullah) itu tempat tumpuan bagi umat manusia (untuk Ibadat Haji) dan tempat yang aman; dan jadikanlah oleh Kamu Makam Ibrahim itu tempat sembahyang. Dan Kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail (dengan berfirman): "Bersihkanlah Rumahku (Kaabah dan Masjid Al-Haraam dari segala perkara yang dilarang) untuk orang-orang yang bertawaf, dan orang-orang yang beriktikaf (yang tetap tinggal padanya), dan orang-orang yang rukuk dan sujud".(al-baqarah:125)

Berdasarkan ayat ini. Ada satu perkataan yang menjadi khilaf  al-Qiraat dari segi morphology iaitu pembentukan ayat sehingga perbezaan itu menatijah makna yang berbeza. Kita membaca (WATTAKHIZU) adapun qiraat ibn ‘Amir dan Nafi’ dibaca (WATTAKHAZU).
Dan bagaimanahkah peranan ilmu qiraat dan Bahasa Arab memainkan peranan penting dalam ilmu tafsir.

Qiraat yang biasa dibaca dengan (WATTAKHIZU) bermaksud suruhan iaitu feel amar, maka tafsirannya, bagi para Jemaah haji dan umrah selepas tawaf, maka  solat dua rakaat selepas tawaf adalah wajib.

Qiraat dairpada ibn ‘Amir dan Kisa’I dibaca dengan (WATTAKHAZU) yang bermaksud perkhabaran. Iaitu boleh bagi mereka untuk solat sunat ataupun tidak.

Apakah hikmahnya daripada bacaan ini? Pertama, Al-Imam al-Syafie berpegang dengan pendapat qiraat kedua iaitu sunat sahaja untuk menunaikan solat dan jika tidak melakukannya tidaklah batal tawaf.

Hikmah kedua pula, disebut oleh Prof. Dr. Nesreldin bahawa logiknya ialah Nabi Ibrahim alahissalam ialah manusia yang pertama mendirikan baitullah ini dan sebahagian dari umat sebelum kedatangan Islam yang menganut agama Hanif masih mengamalkan ritual seperti yang diamalkan oleh Nabi Ibrahim alaihissalam dan terus menjadi warisan turun-temurun. Maka, menjadi satu penghormatan bagi al-Quran untuk menjelaskan tentang maqam Ibrahim itu menjadi tempat solat. Dan sememangnya umat sesebelum Islam sudah melakukan ritual ditempat maqam Nabi Ibrahim alahissalam tersebut. Maka al-Quran tidaklah menghentikan risalah yang terdahulu namun memberikan satu penghormatan yang besar kepada Nabi Ibrahim alaihissalam.

Terima Kasih. Wallahu ‘alam.






[1] Tidak diterima sanad.
[2] Menambah-nambah dengan ayat dan huraian sendiri.
[3] Mereka qiraat yang bukan dari Nabi Muhammad sollahu’alahiwasallam.
[4] Quraiys,Huzail, saqif, Hawazin, Kinanah, Tamim dan al-Yaman.
[5] Ibn Kathir, ‘Asif, Abu ‘Amru, Hamzah, Nafi’, Ibn ‘Amir dan al-Kisa’i.
[6] اختلاف الأسماء بالإرفراد والتثنية والجمعـ الاختلاف في وجوه الإعراب، الاختلاف في التصريف(sebahagian)

Comments (0)