Perbezaan 2 kalimah iaitu al-‘isyan (العصيان) dengan al-Maksiah (المعصية).

Bismilillahirrahmanirrahim. Alhamdulillahirabil'alamin.

Pada kali ini, penulisan yang ringkas mengenai perbezaan 2 kalimah iaitu al-‘isyan (العصيان) dengan al-Maksiah (المعصية).

Menurut Dr. Fadhil Soleh al-Samarakyi dalam bukunya min asrar al-Bayani al-Qurani (من أسرار البيان القرآني), setiap kalimah al-Quran mempunyai makna yang khusus kerana setiap perkataan itu bersesuaian dengan konteks yang tertentu.

Ya, Walaupun dari segi makna literal dan zahirnya 2 perkataan di atas kelihatan seakan seerti membawa makna DERHAKA akan tetapi sebenarnya terdapat perbezaan dua kalimah ini. Dan apabila kita menelusuri ayat-ayat Yang Maha Indah, nescaya kita akan menjumpai perbezaan yang ketara itu.

Menurut beliau lagi, pada kalimah al-‘Isyan (العصيان) disebut hanya satu kali sahaja oleh Allah ‘azza wajalla dalam kitab-Nya yang tiada keraguan lagi..Firman Allah ‘azza wajalla:

وَكَرَّهَ إِلَيْكُمُ الْكُفْرَ وَالْفُسُوقَ وَالْعِصْيَانَ
Makna: dan menjadikan kekufuran dan perbuatan fasik serta perbuatan derhaka itu: perkara-perkara yang kamu benci.(Al-Hujrat 49:7)

Manakala kalimah al-Maksiah (المعصية) pula disebut hanya 2 kali dan pada surah yang sama. Firman Allah ‘azza wajalla:

وَيَتَنَاجَوْنَ بِالْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ وَمَعْصِيَتِ الرَّسُولِ
Makna: mereka berbisik-bisik berkenaan dengan melakukan dosa dan menderhaka kepada Rasulullah (Al-Mujadalah 58:8)

لَا تَتَنَاجَوْا بِالْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ وَمَعْصِيَتِ الرَّسُولِ
Makna: maka janganlah kamu berbisik-bisik untuk melakukan dosa dan derhaka kepada Rasulullah (Al-Mujadalah 58:9)

Maka terbukti jelas bahawa terdapat perbezaan yang besar di antara kedua-dua kalimah tersebut. Kalimah al-‘Isyan lebih kepada penderhakaan secara umum manakala al-Maksiah cenderung  terhadap perbuatan penderhakaan kepada junjungan Nabi Muhammad sollahu’alaihiwasallam.

Oleh itu, boleh dipraktikkan perkataan ini dalam penulisan Bahasa Arab. Ini akan membuktikan bahawa kita benar-benar bersungguh dalam menghayati kalimah-kalimah al-Quran dalam kehidupan seharian walaupun dalam bentuk penulisan. Maka sangat bertepatan dengan prinsip ilmu iaitu tahu, faham dan mengamalkannya.

Wallahu a’lam.


Comments (0)