Hikmah gaya ungkapan perkataan wanita (إمرأة) dan isteri (زوجة) dalam al-Quran.

Bismillahirrahmanirrahim. Alhamdulillahirabil’alamin.

Pendahuluan.

Al-Quran ialah kalam Allah azza wajalla. Setiap perkataan yang dilafazkan dalam al-Quran memiliki gaya dan keunikan yang tersendiri.

Para pembaca al-Quran yang membaca al-Quran dengan penuh keikhlasan dan ketekunan demi mencari keredhaan Allah azza wajalla pasti akan menemui cahaya yang sangat terang.

Seorang pencinta yang mencintai kekasihnya, tidak lekang dek waktu kerana sentiasa merindui kekasihnya. Segala kalam menjadi tatapan untuk melepaskan kerinduan kerana kalam itulah pengubat cintanya yang berahi terhadap kekasihnya.

Seorang hamba yang memiliki Tuan Yang Maha Pencinta dan Maha Besar, semestinya hamba itu lebih mendambakan kerinduan dan kecintaan kepada Tuannya. Setiap saat dan ketika, setiap degupan jantung yang berdenyut, kerinduan dan kecintaanya tidak pernah kurang apatah lagi hilang. Itulah cinta hakiki cinta illahi.

Untuk melepaskan segala kerinduan hamba itu dan memperolehi kecintaan Tuannya, maka hamba itu mesti menenggelami bait-bait perkataan yang diungkapkan oleh Tuannya di hatinya kerana bait-bait itulah sahaja yang akan dapat menyembuh penyakit kerinduan dan kecintaan hamba itu.

Begitulah juga cinta seorang suami kepada isterinya. Bermadah puisi untuk menamam benih-benih cinta ke dalam hati isterinya. Menyusun perkataan mengubati kerinduan isterinya. Melafazkan kasih meresap ke sanubari. Hikmah tuhan menciptakan hambanya berpasang-pasangan.

Kalam tuhan penuh hikmah dengan gaya ungkapan. Menjadikan hamba-Nya sentiasa berwawasan dan memikirkan kebesaran tuhan. Indahnya ungkapan akan dipersembahkan dalam penulisan ini. Mudah-mudahan para pembaca dan semua mendapat pengajaran.

Perkataan wanita (إمرأة) dan isteri (زوجة).لا
Dalam al-Quran, dipersembahkan perkataan yang sangat indah dan unik. Walaupun seakan makna bagi perkataan hampir sama tetapi sebenarnya tidak. Dalam istilah Arab disebut taraduf. Saya melihat bahawa taraduf tidak boleh ada dalam al-Quran bahkan dalam Bahasa Arab. Bagi para penuntut ilmu Bahasa Arab, mereka akan belajar bab taraduf ini seperti perkataan nazara (dia telah melihat) seerti dengan basira (dia telah melihat). Walaupun makna sama tetapi sebenarnya ada perbezaan yang sangat ketara diantara dua perkataan ini jika kita belajar lebih mendalam ilmu Bahasa Arab ini.
Dalam penulisan yang ringkas ini akan membahaskan perkataan wanita (إمرأة) dan isteri (زوجة) dalam al-Quran. Penulis melihat bahawa adalah lebih baik bagi para suami memanggil isterinya dengan perkataan ISTERI berbanding orang rumah, bini dan perempuan begitu juga sebaliknya bila si isteri memanggil suaminya. Adalah lebih baik menyebut perkataan yang romantik seperti abang dan ayang. Kalau kita menonoton filem melayu klasik, kebanyakkan menggunakan perkataan kanda dan dinda. Ini juga lebih baik.
Berbalik kepada tajuk penulisan. Apakah hikmahnya disebalik ungkapan perkataan wanita (إمرأة) dan isteri (زوجة) yang terdapat dalam al-Quran? Apakah pengajaran yang boleh kita ambil dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian khususnya bagi yang sudah berkahwin.
Dr. Mohd Zain Mahmood menyebut dalam bukunya Keunikan dan keindahan Bahasa Al-Quran: "Al-Quran mengunakan perkataan wanita sekiranya kerukunan dan kedamaian sudah tidak ada lagi dalam kehidupan berumah tangga. Sekiranya keadaan aman damai atau sakinah tercapai dalam kehidupan rumah tangga, maka al-Quran menggunakan perkataan isteri".
Sebagai contoh bagi membuktikan hujah beliau. Firman Allah azza wajalla:
سُبْحَانَ الَّذِي خَلَقَ الْأَزْوَاجَ كُلَّهَا مِمَّا تُنبِتُ الْأَرْضُ وَمِنْ أَنفُسِهِمْ وَمِمَّا لَا يَعْلَمُونَ
Maksud: Maha Suci Tuhan yang telah menciptakan makhluk-makhluk semuanya berpasangan; sama ada dari yang ditumbuhkan oleh bumi, atau dari diri mereka, ataupun dari apa yang mereka tidak mengetahuinya. Surah Yasin 36:36)
Perkataan al-Azwaj iaitu jama’ kepada perkataan al-Zauj. Ayat ini menunjukkan bahawa Allah azza wajalla menciptakan makhluk yang berpasangan membawa kebaikan di antara satu sama lain.
Kita perhatikan lagi firman Allah azza wajalla:
هُمْ وَأَزْوَاجُهُمْ فِي ظِلَالٍ عَلَى الْأَرَائِكِ مُتَّكِئُونَ
Mereka dengan pasangan-pasangan mereka bersukaria di tempat yang teduh, sambil duduk berbaring di atas pelamin; (Surah Yasin 36:56)
Ayat ini menjelaskan bahawa para pasangan itu akan mendapat kebahagian di akhirat yakni di syurga dan menikmati segala-segalanya yang ada di sana.
Kita perhatikan hujah yang terakhir. Firman Allah azza wajalla:
يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمُ الَّذِي خَلَقَكُم مِّن نَّفْسٍ وَاحِدَةٍ وَخَلَقَ مِنْهَا زَوْجَهَا وَبَثَّ مِنْهُمَا رِجَالًا كَثِيرًا وَنِسَاءً ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ الَّذِي تَسَاءَلُونَ بِهِ وَالْأَرْحَامَ ۚ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلَيْكُمْ رَقِيبًا
Maksud: Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya - Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya - zuriat keturunan - lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-yebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu. (Surah al-Nisa’ 4:1)
Kita melihat pula ungkapan pengunanaan perkataan perempuan dalam al-Quran. Dr. Mohd Zain Mohmood menyebut: “Apabila hikmah berpasangan suami isteri tidak dapat dicapai atau hilang beberapa ciri kehidupan berpasangan, maka al-Quran menggunakan perkataan perempuan tidak lagi menggunakan perkataan isteri”.
Sebagai contoh bagi mengukuhkan hujah ini. Firman Allah azza wajalla:
وَامْرَأَتُهُ حَمَّالَةَ الْحَطَبِ
Maksud: Dan juga isterinya, seorang perempuan pemunggah kayu api. (Surah al-Lahab 111:4)
Ayat ini menunjukkan kepada kita bahawa digunakan perkataan perempuan bagi isteri Abu Lahab maka benarlah bahawa mereka berdua tidak mendapat keharmonian dan kebahagian di dunia dan di akhirat.
ضَرَبَ اللَّهُ مَثَلًا لِّلَّذِينَ كَفَرُوا امْرَأَتَ نُوحٍ وَامْرَأَتَ لُوطٍ ۖ كَانَتَا تَحْتَ عَبْدَيْنِ مِنْ عِبَادِنَا صَالِحَيْنِ فَخَانَتَاهُمَا فَلَمْ يُغْنِيَا عَنْهُمَا مِنَ اللَّهِ شَيْئًا وَقِيلَ ادْخُلَا النَّارَ مَعَ الدَّاخِلِينَ
Maksud: Allah mengemukakan satu misal perbandingan (yang menyatakan tidak ada manfaatnya) bagi orang-orang kafir (berhubung rapat dengan orang-orang mukmin selagi mereka tidak beriman dengan sebenar-benarnya), iaitu: perihal isteri Nabi Nuh dan isteri Nabi Lut; mereka berdua berada di bawah jagaan dua orang hamba yang soleh dari hamba-hamba Kami (yang sewajibnya mereka berdua taati); dalam pada itu mereka berlaku khianat kepada suami masing-masing; maka kedua-dua suami mereka (yang berpangkat Nabi itu) tidak dapat memberikan sebarang pertolongan kepada mereka dari (azab) Allah, dan (sebaliknya) dikatakan kepada mereka berdua (pada hari pembalasan): "Masuklah kamu berdua ke dalam neraka bersama-sama orang-orang yang masuk (ke situ)". (Surah al-Tahrim 66:11)
Pengunanaan perkataan perempuan (إمرأة) bagi isteri Nabi Nuh alaihissalam dan isteri Nabi Lut alaihissalam. Perempuan ini tidaklah lagi mengimani risalah yang dibawah oleh Nabi alahissalam bahkan mereka berdua mendustai maka mereka tergolong dalam neraka seperti yang difirmankan.
Kesimpulan.

Maka jelas bahawa penggunaan ungkapan perkataan yang baik sangat dititiberatkan oleh al-Quran. Oleh itu, kita juga mesti mengamalkan ilmu yang baik ini dalam kehidupan seharian. Mudah-mudahan bunga-bunga mawar harum semerbak kasturi terus-menerus menghiasai kehidupan keluarga sepanjang zaman dan setiap tempat. Amin
Menolak 3 Dakwaan Dalam Mengkaji Sintaksis dan
 Retorika Bahasa Arab dalam Al-Sunah.
بسم الله الرحمن الرحيم
Mukadimah:
كَمَا أَرْسَلْنَا فِيكُمْ رَسُولًا مِّنكُمْ يَتْلُو عَلَيْكُمْ آيَاتِنَا وَيُزَكِّيكُمْ وَيُعَلِّمُكُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ
 وَيُعَلِّمُكُم مَّا لَمْ تَكُونُوا تَعْلَمُونَ
Maksud: (Nikmat berkiblatkan Kaabah yang Kami berikan kepada kamu itu), samalah seperti (nikmat) Kami mengutuskan kepada kamu seorang Rasul dari kalangan kamu (iaitu Muhammad), yang membacakan ayat-ayat Kami kepada kamu, dan membersihkan kamu (dari amalan syirik dan maksiat), dan yang mengajarkan kamu kandungan Kitab (Al-Quran) serta Hikmat kebijaksanaan, dan mengajarkan kamu apa yang belum kamu ketahui.(al-Baqarah:151)

Nabi Muhammad sollahu'alaihiwasallam ialah utusan Allah azza wajalla. Baginda merupakan penghulu segala para nabi. Keistimewaan baginda sollahu'alaihiwasallam melebihi para nabi yang terdahulu. Keistimewaan baginda sollahu'alaihiwasallam merangkumi segala aspek seperti kata-kata yang indah dan bijaksana, memiliki perwatakan yang hebat, sifatnya yang budiman serta fizikal yang sempurna.

Segala ungkapan, perbuatan, pengakuan, sifat dan budi pekerti baginda sollahu'alaihiwasallam adalah wahyu dan menjadi sumber utama peradaban dan keilmuwan yang pelbagai bidang. Para ulama' menamainya sebagai al-Sunah. Al-Sunah merupakan sumber utama selepas al-Quran kalam Allah azza wajalla. Dan tidaklah baginda sollahu'alahiwasalam berbicara melainkan wahyu daripada Allah azza wajalla.

Dalam penulisan kali ini, penulis akan membahaskan satu isu yang sangat penting dalam al-Sunah iaitu dakwaan bagi mengkaji al-Sunah dari sudut sintaksis dan retorika Bahasa Arab. Ada 3 perkara utama dalam membahaskan isu ini yang pertama, bahawa perawi hadis yang bukan daripada kalangan Arab, kedua ialah martabat kesahihan hadis dan yang ketiga riwayat al-Sunah dari segi makna.

3 isu ini sangat penting khususnya bagi para pengkaji al-Sunah dari sudut sintaksis dan retorika Arab kerana telah timbul isu yang diungkit kembali sebahagian sarjana sintaksis dan retorika Arab ini bahawa al-Sunah tidak boleh dijadikan hujah dalam kajian bahasa tersebut.

Maka penulisan yang ringkas ini, penulis cuba sedaya upaya memberikan penjelasan yang asas kepada para pembaca khususnya para pengkaji al-Sunah dari sudut sintaksis dan retorika Arab agar tidak ragu dan gentar untuk mengkaji bidang ini.

Isu pertama: Perawi bukan daripada kalangan Arab.

Perawi ialah meriwayatkan hadis dan menyampaikan hadis. Ya benar, memang terdapat perawi yang bukan daripada kalangan Arab dan memang tercatat dalam sejarah periwayatan al-Sunah hal ini namun nisbah dan peratusannya tidaklah tinggi dan syarat sangat ketat dikenakan kepada perawi al-Mawali. Muhammad al-Sabbaqh dalam bukunya al-Hadith al-Nabawi telah mengkaji hal ini dan menyenaraikan jumlah perawi yang bukan daripada kalangang arab.

1.    Jumlah tabi'in yang meriwayatkan hadith dari kelompok Basrah seramai 433 orang. 71 orang daripada mereka terdiri dari kalangan al-Mawali. Ini bererti nisbahnya ialah 84% orang Arab dan 16% al-Mawali.
2.   Jumlah tabi'in yang meriwayatkan hadith dari kelompok Madinah ialah seramai 504 orang, 147 orang darinya bukan Arab yang nisbahnya ialah 70% orang Arab dan 30% al-Mawali.
3.   Jumlah tabi'in yang meriwayatkan hadith dari kelompok Mekah ialah seramai 131 orang, 22 orang darinya Al-Mawali. Ini bermakna nisbahnya 83% orang Arab dan 17% al-Mawali.
Nisbah ini menunjukkan bahawa perawi daripada kalangan Arab lebih ramai daripada al-Mawali dan apabila mereka meriwayatkan hadis, mereka akan meriwayatkan hadis yang shahih dan martabat kesahihan hadis akan dibincangkan dalam penulisan lain yang lebih terperinci namun penulis akan membincangkannya pada isu kedua. Cuma apa yang penting, Peratusan ini jelas menunjukkan kepada kita bahawa perawi Arab lebih ramai daripada perawi al-Mawali.

Isu kedua: Martabat kesahihan al-Sunah.

Dalam seminar wacana sintaksis dan sastera Bahasa Arab di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia kali ke-7. Prof Nesreldin Ibrahim Ahmad Husin telah menggariskan panduan yang sangat sistematik dan tersusun ketika membahaskan kajian al-Sunah dari sudut sintaksis dan retorika Arab. Ini dinamao sebagai metodologi retorika al-Sunah

Sebagai contoh hadis dibawah:

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم:إنَّ الحلالَ بيِّنٌ وإنَّ الحرامَ بيِّنٌ، وإنَّ بينَ ذلِكَ أمورًا مشتبِهاتٍ
Maksud: Nabi Muhammad Sollahu’alaihiwasallam bersabda: “Sesungguhnya Halal itu jelas dan haram itu jelas dan Sesungguhnya di antara kedua perkara itu ada kesamaran…(Sahih Nasaie dan Hadis Shahih)

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: إن الحلال بين والحرام بين وإن بين ذلك أمور مشتبهات
Maksud: Nabi Muhammad sollahu’alahiwasallam bersabda: “Sesungguhnya Halal itu jelas dan Haram itu jelas dan diantara dua perkara itu ada kesamaran…(Shahih Nasaie dan Hadis Shahih)

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: الحلالُ بيِّنٌ والحرامُ بيِّنٌ وبينَ ذلِكَ أمورٌ مشتبِهاتٌ
Maksud: Nabi Muhammad sollahu’alahiwasallam bersabda: Halal itu jelas dan Haram itu jelas dan diantara dua perkara itu ada kesamaran.(Shahih al-Tirmiz, Hadis Shahih)

3 hadis ini adalah shahih oleh al-Imam al-Hadis. Cuma persoalan di sini, bagaimana kita hendak megukur dan menilai hadis berikut dalam kajian perbahasan sintaksis dan retorika Arab. Perbahasan hadis ini sangat panjang walaubagaimanapun penulis cuba meringkaskannya. Hadis pertama ialah yang paling tepat dalam mengkaji al-Sunah dari sudut sintaksis dan retorika Arab kerana ada beberapa sebab:

-          Penggunaan huruf pengukuhan iaitu huruf (Inna taukid) untuk yang halal dan yang haram
-          Didahulukan yang halal daripada yang haram. Ini dinamai inversi perkataan atau istilahnya taqdim al-Syaraf.
-          Penggunaan huruf wau iaitu penyambung ayat. Ini bermaksud ayat yang pertama berbeza dengan ayat kedua. Maksudnya, ayat mengenai halal satu ayat manakala ayat untuk haram satu ayat. Maksudnya, tidaklah sesuai dan padan untuk menyatukan perkara yang baik dengan buruk seperti syurga dan neraka, pahala dan dosa dan begitulah halal dan haram.
-          Ketiga-tiga hadis semua di atas adalah  shahih dan benar namun untuk mengkaji al-Sunah dari segi sintaksis dan retorika mempunyai metodologi yang tertentu. Begitu juga dalam hal lain seperti isu al-Qiraat, semua al-Qiraat al-Asyarah atau saba'ah adalah tepat namun kita memilih yang mana lebih kuat dan lebih tepat dari segi makna dan lafaz dan ianya bersesuaian dengan konteks. Memilih yang mana lebih kuat ini dibahaskan dan dipraktikkan al-Zamakshari dalam tafsirnya al-Kasyaf.
Oleh itu, tidaklah timbul isu martabat hadis. Para pengkaji harus meneliti kesahihan hadis dan selepas itu baru mengkaji dari segi sintaksis dan retorika Arab. Ini juga berlaku dalam bidangn fiqh, aqidah, akhlak, muamalat, politik dan sebagainya.

Isu Ketiga: Riwayat al-Sunah dari segi makna.

Isu ini sudah dibahaskan oleh ramai ulama' hadis dan mereka membahaskan begitu terperinci. Dalam penulisan ini, saya  hanya menukilkan pandangan al-Suyuti sahaja kerana dikatakan bahawa al-Suyuti di antara ulama' yang pada awalnya menolak al-Sunah sebagai dalil dalam perbahasan ilmu bahasa ini namun setelah beliau membuat penelitian akhirnya beliau menjadikan al-Sunah sebagai salah satu hujah dan dalil dalam ilmu Bahasas Arab.

Bagi menjelaskan isu riwayat al-Sunah dari segi makna ini, al-Suyuti telah meletakkan garis panduan yang sangat teliti dalam bukunya al-Muzhir iaitu:

-          Memastikan ia diriwayat daripada orang Arab yang fasih dengan sanad yang shahih.
-          Sanad dan para perawinya mestilah bersifat adil mengikut penilaian agama.
-   Perawi mestilah meriwayatkannya secara langsung daripada sumber-sumbernya yang muktabar.
-          Para perawi yang lain pula mestilah mendapatkannya atau mendengarnya secara langsung daripada perawi yang asal atau sebelumnya.
Syarat yang ketat ini menjadikan displin ilmu dalam riwayat dari segi makna sangat susah dan perlukan kepada penelitian yang mendalam dan bukan sebarangan orang yang boleh meriwayatkan hadis dengan makna.

Muhammad al-Sabbaqh dalam bukunya menegaskan bahawa hanya para sahabat sahaja yang boleh meriwayatkan hadis dengan makna

Kesimpulan.

Al-Sunah sudah terbentang dihadapan kita, pelbagai buku yang merekodkan hadis seperti shahih al-Bukari dan Muslim, kitab sunan seperti sunan Abu Daud, Sunan al-Tirmizi, sunan Ibn Majah dan sunan al-Nasaie dan sebagainya. Kalau dahulu mungkin sedikit keterbatasan waktu dan ilmu yang besar namun sekarang, mudah bagi pengkaji untuk mengkaji sesuatu ilmu khususnya kajian al-Sunah dari segi sintaksis dan retorika Arab.

3 isu yang dimainkan beberapa tokoh sarjana ilmu itu boleh dibahaskan dan ia membuktikan lagi bahawa hujah dan dalil mereka tidaklah kuat dan sangat rapuh.

Sebagai contoh lain, konon dakwaan mereka para ulama' dahulu tidak menjadikan al-Sunah sebagai hujah adalah satu dakwaan yang tidak berasas. Penulis memberikan contoh Sibawaih dalam bukunya Al-Kitab telah menukilkan 15 hadis, perkara ini dikaji dalam buku:
 "شرح كتاب سيبويه لابن خروف تحقيقه خليفة محمد خليفة بربري"

Sebagai penutup kalam, penulis menukilkan kata-kata Muhammad al-Sabbagh:"Al-Sunah dari segi kesahihannya sama ada yang diriwayatkan secara lafaz mahupun secara makna adalah lebih jelas dan lebih kuat berbanding puisi-puisi atau prosa-prosa yang kadang-kadang tidak dikenal langsung siapa penulisnya dan perawinya. Pada masa yang sama ia masih dijadikan sebagai sumber dalil yang muktabar di dalam bahasa dan tatabahasa Arab". Isu ini banyak dipakaikan oleh madrasah al-Kuffah.

Selamat mengkaji dan jangan pernah lelah kerana yakin bahawa Ilmu Allah sentiasa luas dan seandainya kita yakin dengan-Nya pasti Dia akan membantu kita. Insya-allah.

Wallahu 'alam. Semoga bermanfaat.

*Sebagai tambahan, boleh membaca lagi buku lain seperti Gharib al-Hadith oleh al-Harawiy, Gharib al-Hadith oleh Ibn Qutaibah, Min Balaghah al-Hadis oleh Abdul Fatah Lasyin, Al-Taswir al-Fanni fi Al-Hadith al-Sharif oleh Doktor Muhammad Lutfi al-Sabbaqh, 'Ijaz al-Quran wa al-Balaghah al-Nabawiyyah oleh Mustafa Sadiq, 'Irab al-Hadith al-Nabawi, Min Kunuz al-Sunnah oleh al-Sabuniy dan sebagainya. Mudahan bermanfaat. 
Kedudukan Al-Sunnah Dalam Sintaksis Arab oleh Dr. Badrul Munir Muhamad Nur.


Pengenalan.

Firman Allah azza wajalla:

لَقَدْ مَنَّ اللَّهُ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ إِذْ بَعَثَ فِيهِمْ رَسُولًا مِّنْ أَنفُسِهِمْ يَتْلُو عَلَيْهِمْ آيَاتِهِ وَيُزَكِّيهِمْ وَيُعَلِّمُهُمُ الْكِتَابَ 
وَالْحِكْمَةَ وَإِن كَانُوا مِن قَبْلُ لَفِي ضَلَالٍ مُّبِينٍ

Yang bermaksud: Sesungguhnya Allah telah mengurniakan (rahmatNya) kepada orang-orang yang beriman, setelah Ia mengutuskan dalam kalangan mereka seorang Rasul dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (kandungan Al-Quran yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya), dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajar mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum Syariat). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata.(Al-‘imran 3:164).

Firman Allah azza wajalla:

وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانتَهُوا
Yang bermaksud: Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya.(Al-Hashr 59:7)

Firman Allah azza wajalla dalam surah al-Syu’ara’ ayat 192-195:

وَإِنَّهُ لَتَنزِيلُ رَبِّ الْعَالَمِينَ
Yang bermaksud: Dan sesungguhnya Al-Quran (yang di antara isinya kisah-kisah yang tersebut) adalah diturunkan oleh Allah Tuhan sekalian alam.

نَزَلَ بِهِ الرُّوحُ الْأَمِينُ
Yang bermaksud: Ia dibawa turun oleh malaikat Jibril yang amanah.

عَلَىٰ قَلْبِكَ لِتَكُونَ مِنَ الْمُنذِرِينَ
Yang bermaksud: Ke dalam hatimu, supaya engkau (wahai Muhammad) menjadi seorang dari pemberi-pemberi ajaran dan amaran (kepada umat manusia).

بِلِسَانٍ عَرَبِيٍّ مُّبِينٍ
Yang bermaksud: (Ia diturunkan) dengan bahasa Arab yang fasih serta terang nyata.

Maka jelas ayat di atas bahawa Nabi Muhammad sollahu’alaihiwasallam diutuskan untuk menyampaikan wahyu iaitu kalam Allah azza wajalla dan dalam masa yang sama juga setiap perkataan, perbuataan dan taqrir baginda sollahu’alaihiwasalam juga merupakan wahyu yang wajib diikuti. Al-Quran kalam Allah azza wajalla ini diturunkan ke dalam Bahasa Arab dan al-Sunah juga diungkapkan ke dalam Bahasa Arab. Maka bahasa memainkan peranan yang penting untuk mendalami dan menghayati al-Quran dan al-Sunah.

Bahasa Arab.

Bahasa Arab sudah menjadi bahasa yang paling agung dalam dunia dan paling utama ia merupakan bahasa pengantaran al-Quran dan bahasa Nabi Muhammad sollahu’alaihiwasallam. Tidak asing lagi bahawa Bahasa Arab menjadi satu kewajipan utama untuk mengkaji khazanah Islam sehingga para sahabat berkata bahawa tidak boleh mengajar al-Quran jika tidak mengetahui Bahasa Arab.

Ibn Khaldun merupakan sarjana Islam yang pakar dalam bidang agama, sejarah, politik, kemasyarakatan dan lain-lain juga membahaskan perihal kepentingan Bahasa Arab. Beliau meneybut  dalam al-Muqadimah dan menyatakan rukun ilmu Bahasa Arab: “Rukun ilmu Bahasa Arab itu ada empat: Bahasa, Nahu, Balaghah dan Sastera. Kesemua ini wajib dikuasai oleh ahli fiqh dan syariah sebab sumber hokum syarak semuanya diambil daripada al-Quran dan al-Sunnah yang diturunkan dalam Bahasa Arab”.

Bahasa Arab ini juga cerminan dan keperibadian seseorang bahkan yang menjadi keutamaan dalam penulisan ini ialah bagaimana Bahasa Arab mempersembahkan cerminan dan keperibadian junjungan besar Nabi Muhammad sollahu’alaihiwasalam kerana ada pepatah arab:

الأسلوب هو الجرل
Maksud: Gaya bahasa seseorang itu adalah cerminan keperibadiannya

Muhammad bin Lutfi al-Sabbagh berkata: Kefasihahan Rasulullah sollahu’alaihiwasallam bukan sahaja terhad kepada gaya bahasa yang indah dan makna yang mendalam, malah ia ditambah dengan gaya penyampaian yang unik…”

Sintaksis dan Retorika Al-Sunah.

Memahami Al-Sunah dalam sintaksis arab sangat penting kerana al-Sunah merupakah sumber ilmu utama selepas al-Quran. Al-Sunah bukan sahaja dibahaskan dalam aqidah, fekah, akhlak, muamalat dan politik semata-mata tetapi ada juga ilmu yang lebih penting dan perlu dikaji dahulu iaitu ilmu sintaksis dan retorika Bahasa Arab kerana peranan bahasa akan menentukan kefahaman yang benar dan tepat terhadap lafaz dan makna Nabi Muhammad sollahu'alaihiwasallam.

Dalam buku ini ada 5 utama. Bab pertama membahaskan kefasihan Rasulullah sollahu’alaihiwasallam. Bab kedua menjelaskan konsep al-Sunnah. Bab kedua menerangkan pengumpulan Al-Sunnah. Bab keempat pula menghuraikan kedudukan al-Sunnah dalam Sintaksis Arab dan bab terakhir ialah Sumbangan al-Sunnah terhadap perkembangan sintaksis arab.

Dalam buku ini, yang menarik bagi saya ialah periwayatan al-Makna dalam sintaksis dan retorika Bahasa Arab kerana persoalan ini sudah lama saya mencari kerana seandainya diriwayatkan hadis dengan lafaz oleh para sahabat  maka ia bererti ia tidak menjadi ketulenan yang asli hadis itu diungkapkan oleh rasulullah sollahu’alaihiwasallam. Maka dengan itu, bagaimana hendak mengkaji kehebatan dan keunikan sintaksis dan retorika al-Sunah. Persoalan ini hampir mendapat jawapan dan penulis menemui jawapan itu dalam buku ini walaupun masih perlu diluaskan lagi pembacaan mengenai hal ini.

Jawapan yang saya temui ialah kesungguhan para ulama’ hadis meletakkan syarat yang sangat ketat bagi riwayat al-Makna seperti hanya para sahabat, tabi’in dan ulama’ yang ahli dalam Bahasa Arab dan berketurunan arab. Ketika pembukuan hadis pada kurun ke-2 yang dimulai oleh Khalifah Umar ‘Abdul Aziz dan dalam masa yang sama juga jaguh sintaksis Bahasa Arab telah memainkan peranan mereka dengan sungguh hebat dan teliti dalam membahaskan al-Sunah dalam sintaksis Arab.

Sungguh para ulama kurun ke-2 bahasa telah membahaskan perkara ini dalam karya mereka seperti al-Khalil bin Ahmad dalam bukunya al-Ain telah menggunakan hadis bagi menguatkan hujah kesahihan bahasa, begitu juga Sibawayh dalam bukunya al-Kitab telah memuatkan 10 hadis dalam bukunya. Ini menunjukkan bahawa ulama’ sintaksis arab telah menjadikan al-Sunah dalam kajian bahasa mereka. Kesungguhan mereka ini diteruskan oleh ulama’ selepasnya seperti Ibn Malik, Ibn Hisyam, Ibn Aqil, Al-Ashmuniy, ibn Qutaibah, Ibn Athir, Al-Zamakshari, Al-Suyuti dan sebagainya.
Usaha untuk mengkaji ilmu al-Sunah dalam sintaksis dan retorika diteruskan oleh ulama’ kontemperori seperti Mustafa Sadiq al-Rafie, Muhammad Qutub, Ali Al-Sabuniy, Abdul Fatah Lasyin, Prof Nesrldin dan ramai lagi.

Oleh itu, para pengkaji dan pembaca zaman sekarang harus memahami al-Sunah dari sudut sintaksis dan retorika Bahasa Arab kerana ulama’ pada zaman dahulu telah melakukan hal ini sebelum mengkaji ilmu yang lain seperti al-Zamakshari, Al-Suyuti, Muhammad Qutub, Ali al-Sabuniy dan sebagainya.

Bahasa sangat penting dan bahasa adalah satu ilmu yang sangat istimewa terutama Bahasa Arab yang mesti dipelajari kerana al-Quran diturunkan dalam Bahasa Arab dan al-Sunah diungkapkan dalam Bahasa Arab.

Maka, buku ini adalah silibus yang asas dan buku yang mudah bagi para pembaca untuk mula mengkaji al-Sunah dari segi sintaksis dan retorika Bahasa Arab.

Selamat membaca.


بسم الله الرحمن الرحيم

HIKAYAT ISKANDAR ZULKARNAIN (HIZ)

Hikayat ini disusun oleh Khalid Muhammad Hussai pada tahun 2015 dibawah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur. Namun hikayat ini telah dicetak beberapa kali iaitu pada tahun 1971, 1981 dan 2013.



Pengenalan.

Kandungan buku mengandungi beberapa bab.

Bab pertama, Asal Usul Iskandar Zulkarnain. Bab kedua, Raja Iskandar dilahirkan. Bab ketiga, Nabi Khidir menyelamatkan Raja Iskandar. Bab keempat, Raja Iskandar menyebarkan Agama Islam. Bab kelima, Raja Abud dari Negara Jabalsa ditewaskan. Bab keenam, Perjalanan Iskandar ke Negara-negara Maghrib. Bab ketujuh, Raja-raja Negara Maghrib diislamkan. Bab kelapan, Raja Salam menewaskan Kaum Alwah. Bab kesepuluh, Raja Khabta memeluk Agama Islam dan terakhir Pengembaraan dan Perkahwinan Raja Iskandar Zulkarnain.

Mukadimah.

Pada penulisan kali ini, saya ingin menyarakan kepada pembaca sebuah hikayat yang sangat hebat dan hikayat ini telah dikaji ratusan pengkaji sama ada pengkaji dari luar negara mahupun tempatan. Maka, menjadi satu semangat khususnya bagi umat Islam untuk mengetahui serba sedikit mengenai raja kita iaitu Raja Iskandar Zulkarnain ini.

Alhamdulillah, saya berjaya menghabiskan HIZ. Sebuah buku yang sarat dengan fakta dan maklumat dan sangat bagus untuk dijadikan bahan kajian dalam tradisi keilmuan. Boleh dibuat kajian mengenai sejarah perkaitan HIZ dengan Tanah Melayu.

Buku ini sangat menarik dan patut dibaca oleh generasi zaman kini. Berdasarkan pengamatan diri sendiri ada beberapa sebab diantaranya:


1) Bagaimana HIZ diterjemahkan kepada Bahasa Melayu klasik?
2) Mengapa HIZ diterjemahkan kepada Bahasa Melayu?
3) Apakah pengaruh HIZ ini dalam masyarakat melayu lama dan kesultanan nusantara?
4) Siapakah Iskandarkan Zulkarnain yang sebenar, apakah dimaksudkan seperti yang tertera dalam al-Kahfi ataupun Alexander the Great atau...?



Pada pendapat peribadi secara kasar terhadap buku ini mengenai persoalan di atas, agak sukar kerana beberapa sebab seperti:



Untuk soalan nombor 1 dan nombor 2, tidak diketahui siapkah penterjemah asal dan masih diragui walaupun ada nama-nama yang telah disebut namun belum menjamin kesahihan 100%.



Untuk soalan 3, masih mencari jawapan pengaruh HIZ terhadap masyarakat melayu lama kerana satu ilmu atau satu buku ditulis dan diterjemahkan pada sesuatu masa mesti ada berkait dengan perabadan masa itu. Secara logiknya, sebagai contoh pada zaman jahilliah dibahaskan ilmu sastera dan puisi arab maka pada zaman itu ramai penyair mengarang syair dan puisi begitulah zaman seterusnya. Barangkali apa yang dilihat dengan mata kasar salah satunya ialah penyebaran Islam dan bagaimana Iskandar Zulkarnain menyebarkan Islam, dengan caranya itu, maka masyarakat ketika itu mengambil pendekatan dan semangat yang dibawa oleh Iskandar Zulkarnain.



Untuk soalan 4, saya berkesempatan berbicara dengan Dr. Abdul Ghani secara ringkas dan bagi dia Iskandar Zulkarnain dan Alexander The Great bukan orang yang sama dan kami bersepakat bahawa HIZ tidak mencatatkan satu tarikh yang tepat dan peristiwa yang berlaku juga tidak menentukan zamannya. Selain itu, sumber mengatakan nabi Khidir telah wafat pada zaman Nabi Musa alahissalam dan perkara ini disokong oleh Dr berbanding dalam HIZ menyebut bahawa ada kisah Nabi Isa dengan Nabi Khidir.



Saya mengatakan iaitu apakah Iskandar Zulkarnain hidup selepas Nabi Isa alahissalam iaitu satu zaman yang panjang sebelum kedatangan nabi Muhammad sollahu'alaihiwasallam. Dr. pada awalnya bersetuju tetapi beliau tidak bersetuju setelah berfikir dan mendakwa bahawa Iskandar Zulkarnaian muncul datang lebih awal. Perbincangan terhenti kerana maklumat tidak sampai. (gelak saja kami). Beliau suruh baca dalam versi arab la pulak!



Banyak lagi pengajaran yang boleh dibahaskan seperti kewibawaan kepimpinan, cara penyebaran Islam, risalah sebelum muhammadiah, ketenteraan dan perdamaian, kemampuan Nabi Khidir menguasai beribu-ribu bahasa dan pengaruh bahasa untuk menguasai dunia dan peranan Nabi Khidir sebagai orang kanan. Kisah alam ghaib dan bangsa kuno dan sebagainya. Tersangat banyak!

Dan setiap pembaca menilai HIZ dari sudut pandangan yang berbeza dan adapun saya yang masih bertatih mahu membaca sejarah maka inilah penilaian yang tidak seberapa. Dan paling penting, pembaca dapat mengambil maklumat dari HIZ ini


Kesimpulan.


Apa yang penting ketika hendak memulai membaca buku ini, saya menyarankan agar dibaca dengan sangat teliti dan menghayati dan paling utama ialah cuba menganalisa dan seandainya tidak faham maka cuba cari pakar untuk berbincang.



Saya sangat yakin HIZ akan mempengaruhi akal dan minda pembaca dan 1 bulan lebih untuk menghabiskan bagi saya secara peribadi agak lambat kerana beberapa faktor iaitu bahasa HIZ ini masih dikekalkan dengan gaya bahasa melayu klasik serta beberapa fakta yang boleh mengkaburi. Mungkin satu hari nanti, saya akan memahami lagi dengan lebih mendalam. Insya-Allah.



Apapun, penyusun buku ini sangat berjasa besar dan mudahan Allah azza wajalla merahmati beliau. Mungkin para sejarawan pula mengkaji hal-hal yang berkait dengan HIZ ini kerana buku ini telah menjadi bahan bacaan utama bagi masyarakat melayu lama.

Selamat membaca. Mudahan bermanfaat. Insya-Allah.

Wallahu 'alam. Terima kasih



KASSIM AHMAD DALAM KENANGAN.

Bismillhirrahmanirrahim. Alhamdulillahirabil'alamin.

Mukadimah.

Sarjana kontroversi Kassim Ahmad meninggal dunia hari ini selepas dilaporkan koma semalam akibat masalah jangkitan kuman dan jantung tersumbat. Sarjana kontroversi Kassim Ahmad meninggal dunia di hospital di Kulim Bandar Baru pada usia 84 tahun. MalaysiaKini melaporkan berita kematian Pak Kassim pada 07102017.

Dr.Mahathir juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan takziah kepada keluarga pak Kasim. Dr.Mahathir meluahkan kekesalannya terhadap penentang Pak Kassim dengan ungkapan, “Kasim Ahmad yang meninggal dunia hari ini, semasa hayatnya tidak mendapat keadilan seperti yang dikehendaki oleh agama Islam, hanya kerana beliau dituduh kononnya membelakangkan hadis, Bacalah tulisannya sebelum menghukumnya," kata Dr Mahathir dalam kenyataan media, merakamkan takziah atas pemergian Kassim.(TheMalaysianInsight)

Tidak terlepas juga seorang waris daripada Pak Kassim untuk memberikan sepatah dua kata mengenai wasiat terakhir Pak Kasim :“Beliau selalu berpesan supaya membaca Al-Quran setiap hari dengan minda yang kritikal. Beliau juga berkata jangan ikut semua hadis atau ulama, kerama semua itu ciptaan manusia. Bapa saya selalu berkata ‘Al-Quran adalah jalan sebenar’.”(waris al-Marhum daripada petikan freemalaysiatoday)

Seorang tokoh pertubuhan yang sentiasa menyanjung dan mendokong pemikiran Pak Kassim juga menyebut perihal keperibadian Pak Kasim: “Beliau mempertahankan banyak idea dan prinsip sepanjang hayatnya – keadilan, kebebasan berfikir dan bersuara, dan kebebasan beragama.“Beliau menunjukkan keberanian dan daya tahan ketika berada di titik rentan,” Pengarah Eksekutif SIS Rozana Isa (petikan daripada freemalaysiatoday).

Innalillahiwainnailaihirajiun. Masih belum terlambat untuk saya mengucapkan salam takziah kepada ahli keluarga beliau walaupun sudah 7 hari Kassim Ahmad telah pergi menghadap Allah azza wajalla. Semoga kita semua mendapat pengampunan dan mudah-mudahan kita juga mendapat pengajaran daripada apa yang telah berlaku.

Saya baru mengenali beliau kira-kira 7 tahun yang lalu daripada buku yang menjadi "kontroversi" dan sejak itu saya terus mencari penulisan beliau yang lain dan cuba juga untuk memahami gaya penulisan dan corak pemikiran beliau sehinggalah saya menemui buku "Dialog Dengan Sasterawan" dan saya membaca buku ini pada tahun 2015.

Buku: Dialog Dengan Sasterawan


Pendahuluan kata, Wan Hamidi Hamid memuji Kassim Ahmad: "Nada kritikan Kasim keras tapi tak kejam, tegas tapi tak kurang ajar, jauh sekali menghina penulis atau penulisan. Beliau menumpukan sepenuhnya kepada karya tanpa menghakimi peribadi penulisnya".