Perbalahan dan perbezaan
Rahmat atau Musibah.
Firman Allah azza wajalla dalam surah al-Kahfi ayat ke-54:
وَكَانَ الْإِنسَانُ أَكْثَرَ شَيْءٍ جَدَلًا
Maksud: sememangnya manusia itu, sejenis makhluk yang banyak sekali bantahannya.
Apakah perbalahan sesama umat itu membawa rahmat? Apakah perbezaan pendapat memberikan manfaat kepada umat? Apakah kedua-dua itu menatijahkan musibah? Bagaimanakah mengharmonikan isu ini demi kemaslahatan umat dan agama.
Isu agama dipolitikkan sehingga mengkafirkan sesama muslim. Isu hukum-hukum cabang (al-Masail al-Furu’iyyat) dimainkan sehingga dibida’ahkan sebahagian yang lain tanpa ada asas. Begitu juga fatwa ulama’ diperolok-olokkan serta disanggahi tanpa adab dan akhlak yang baik.
Masyarakat umum kebingungan. Yang mana harus dipilih dan diikuti. Hendak dipilih pihak A diserang oleh pihak B, apabila memilih pihak B dikatakan pengkhianat. Bagaimanakah hendak membuat pilihan yang boleh menyenangkan semua pihak?
Banyak isu yang remeh-temeh menjadi perdebatan dan perkara itu tidak wajar dibincangkan kerana ianya tidak memberikan manfaat yang besar untuk umat. Kini, umat Islam dalam ketenatan. Umat islam tidak ada kekuatan yang boleh dibanggakan. Ekonomi dikuasai oleh bukan Islam. Sukan juga dimenangi oleh bukan Islam. Politik juga diperkudakan umat Islam oleh orang tertentu. Kesannya, umat Islam kemunduran.
Maka benarlah apa yang diperkatakan oleh Syed Qutb dalam bukunya “Kerugian Dunia Kerana Kemunduran Umat Islam”. Saya melihat, barangkali ia memang benar tetapi jika melihat dari sudut pandangan yang lain, sebenarnya umat Islam sahaja yang mengalami kerugian kerana dunia tetap berputar. Manusia yang bukan beragama Islam telah mencapai matlamat yang lebih hebat. Mereka jauh ke hadapan melaksanakan misi dan visi yang telah dirancangkan. Namun di manakah umat Islam? Jika ada pun hanya ibarat sebutir pasir di pantai.
Saya tidak menafikan bahawa Islam tidak hanya mengejar dunia semata-mata tetapi apakah kita mahu melihat umat Islam ditindas, ditipu dan difitnah. Disebabkan itu, saya juga tidak setuju tentang pemikiran bahawa anak Islam hanya perlu bersekolah agama, belajar al-Quran dan hadis serta menjadi ulama’. Cuba bayangkan jika rakyat Malaysia yang ada 30 juta ini, keseluruhannya menjadi ulama’, siapakah yang mahu membaiki kereta, menukang rumah, membaiki paip yang bocor, membina pembangunan dan empangan serta perparitan. Siapa juga yang akan menjadi askar, tentera dan polis untuk menjaga keselamatan dan keamanan Negara. Persoalan itu mesti dibincangkan oleh para pendidik dan sistem pendidikan kita mesti diperbaiki ke arah kecemerlangan dunia dan akhirat.
Justeru, kita perlu mengimbangi dan menjadikan anak Islam seorang yang serba boleh dan boleh mengikut arus pemodenan dan tidak hanya terikat dengan cara tradisional. Tidakkah ini yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW kepada para sahabatnya. Ada daripada kalangan mereka yang menjadi penulis wahyu namun dalam masa yang sama seorang tentera dan peniaga. Ada juga yang menjadi gabenor tetapi seorang mufti. Ada juga para sahabat yang menjadi pekebun tetapi mempunyai jawatan yang lain. Sebagai contoh, Saiyidina Abu Bakar seorang perawi hadis serta peniaga dan selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW, beliau diangkat menjadi khalifah.
Umat Islam harus maju ke hadapan. Menjadi seorang yang berketerampilan, berwawasan, berilmu, beretika dan mampu membuktikan kepada umat agama lain bahawa inilah cara hidup yang Islam berkehendak.
Kini, umat Islam hanyut dalam mimpi bahkan mereka hanya menyibukkan diri ke dalam perbalahan yang tidak membawa faedah untuk diri dan umat. Kancah politik yang tidak matang banyak merugikan masa dan peluang. Kekuatan yang ada tidak dimanfaatkan untuk kesejahteraan agama. Maka, musuh-musuh Islam mengambil kesempatan ini untuk membina kekuatan mereka. Kesudahannya, umat Islam terus mundur ke belakang dan tidak mampu membina kekuatan untuk maju kehadapan. Apakah yang puncanya?
Saya melihat hanya 2 aspek, tidak bertoleransi dan berfikiran terbuka. Kedua ialah ego.
Prinsip Asas Dalam Menghakimi Seseorang.
Pertama, Ada dalil dan bukti yang jelas.
Kedua, Menghukum pada zahir sahaja.
Ketiga, Adil iaitu mengamalkan prinsip Al-Jarh wa At-Ta'dil (kena belajar ilmu hadis sedikit)
Baru-baru ini, kita dikejutkan dengan pelbagai berita yang tidak enak didengari. Kes khalwat oleh pihak berkuasa telah mengundang padah kerana kegopohan mereka bertindak untuk menangkap pasangan namun telah silap kerana telah menangkap pasangan yang telah sah berkahwin. Natijahya, telah mengundang padah sehingga bakal disaman oleh pasangan suami isteri tersebut. Hal ini juga telah mendapat kencaman yang hebat daripada para netizen dan juga ilmuwan,
Sebelum itu, beberapa isu lain seperti menuduh seorang pemimpin tidak melaksanakan amanah dan hanya mementingkan soal rohani semata-mata.
Sebenarnya, banyak lagi isu yang boleh dibentangkan di sini selain tuduhan wanita berzina. Pengalaman saya bersama seorang kawan saya ketika menginap sebuah hotel di Kelantan, ketika kawan saya melihat beberapa wanita yang tidak menutup aurat itu dikatanya pelacur, Allahu Rabbi. Tuduhan melulu dibuatnya. Boleh dijatuhkan qazaf terhadapnya. Begitu juga kes yang tidak pernah selesai sejak bertahun-tahun seperti tuduhan meliwat terhadap bekas ketua pembangkang. Apakah ini petanda akhir zaman? Semoga kita bukan menjadi sebahagian pembawa fitnah.
Saya sangat simpati kepada umat terutamanya sebahagian teman-teman saya yang masih belum memahami beberapa prinsip asas dalam menghakimi seseorang kerana mereka itu adalah para pendakwah untuk mendidik umat. Mereka melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar. Mereka berhadapan dengan cabaran yang berliku-liku demi memastikan umat itu kembali kepada ajaran Islam yang sebenar. Saya sangat mengkagumi mereka kerana saya belum mampu untuk menjadi sebaik mereka. Justeru, saya meletakkan 3 prinsip asas itu:
Pertama, Ada dalil dan bukti yang jelas.
Ingat wahai teman-teman, kita hanya menghakimi seseorang berdasarkan bukti yang jelas. Banyak sekali dalil yang mengatakan baik daripada al-Quran mahupun hadis.
Saya juga simpati terhadap sesetengah teman-teman saya yang masih belum cukup memahami prinsip ini kerana mereka adalah para pendakwah. Mereka berhadapan dengan cabaran yang hebat. Saya sangat bangga dengan mereka kerana  mereka mewakafkan diri untuk hal itu dan saya bukan ahlinya.
Renungi bersama firman Allah azza wajalla dalam surah al-Baqarah ayat ke-111:
قُلْ هَاتُوا بُرْهَانَكُمْ إِن كُنتُمْ صَادِقِينَ
Maksud: "Bawalah kemari keterangan-keterangan yang (membuktikan kebenaran) apa yang kamu katakan itu, jika betul kamu orang-orang yang benar".
Ayat ini menceritakan bagaimana Yahudi dan Nassrani beranggapan bahawasanya mereka sahaja yang layak untuk memasuki syurga sedangkan mereka bukan daripada pihak yang benar. Tidak ada satu pun dalil untuk membuktikan dakwaan mereka tersebut. Mereka cuba memanipulasi kebenaran demi kepentingan diri sendiri.

Rahsia al-Quran al-Karim; 
Perbezaan Kalimah Hijaj (حجج
dengan Sanah (سنة) dan juga ‘am (عام)
Kalam Allah azza wajalla sangat indah dan memiliki makna yang tersendiri. Setiap baris dan huruf ada rahsianya. Setiap ayat dan ungkapan pasti ada sesuatu yang tersurat dan tersirat yang Dia ingin sampaikan.
Apabila seseorang perawan mencintai seorang gadis, semestinya si perawan itu akan berusaha sedaya-upayanya untuk memahami si gadis yang dicintai itu sama ada dari segi pertuturannya, perbuatannya, budi pekertinya serta sifat semula jadinya. Sesungguhnya, begitu juga harus menjadi kemestian bagi para hamba yang mencintai Sang Penciptanya maka dia wajib mengenali dan memahami kalam Allah yang agung itu iaitu al-Quran kerana ia memberikan hidayah, pengajaran, khabar gembira dan amaran.
Dalam Al-Quran, setiap perkataan mempunyai perbezaan dari segi maknawinya walaupun kelihatan pada zahirnya memiliki maksud yang seerti. Begitu juga, kadangkala ada banyak bentuk perkataan namun mempunyai makna yang satu tetapi realitinya ia tidak seperti yang disangkakan kerana kalam Allah azza wajalla memiliki 1001 makna yang tersirat.
Pada penulisan kali ini, kita membincangkan rahsia al-Quran al-Karim pada tiga kalimah iaitu Hijaj (حجج), Sanah (سنة) dan ‘Am (عام). 3 perkataan ini, jika kita membuka terjemahan al-Quran dalam Bahasa Melayu atau kita membuka kamus seperti Al-Miftah, Oxford dan Al-Marbawi maka kita dapati 3 perkataan ini mempunyai makna yang sama iaitu tahun.
Cuba kita berfikir sejenak, pertama, apakah Allah azza wajalla sengaja menggunakan perkataan ini untuk menunjukkan bahawa banyak perkataan tetapi mempunyai makna yang sama atau kedua, apakah ada rahsia di sebaliknya dan ketiga, barangkali mungkin tidak memiliki apa-apa makna yang tersirat kerana tidak sengaja menggunakannya.
Justeru, persoalan pertama dan ketiga adalah tidak tepat kerana firman Allah azza wajalla dalam surah Yusuf ayat ke-2:

إِنَّا أَنزَلْنَاهُ قُرْآنًا عَرَبِيًّا لَّعَلَّكُمْ تَعْقِلُونَ
Maksud: Sesungguhnya Kami menurunkan kitab itu sebagai Quran yang dibaca dengan bahasa Arab, supaya kamu (menggunakan akal untuk) memahaminya.
Begitu juga firman Allah azza wajalla dalam surah az-Zumar ayat ke-28:

قُرْآنًا عَرَبِيًّا غَيْرَ ذِي عِوَجٍ لَّعَلَّهُمْ يَتَّقُونَ
 Maksud: laitu Al-Quran yang berbahasa Arab, yang tidak mengandungi sebarang keterangan yang terpesong; supaya mereka bertaqwa.
Maka jelas kepada dua ayat di atas menunjukkan bahawasanya al-Quran diturunkan ke dalam Bahasa Arab supaya menggunakan akal untuk berfikir di antara yang hak dan batil kerana sesuai dengan makna taqwa iaitu melaksanakan perintah Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya.

Hikmah dan Rahsia Hijaj (حجج), Sanah (سنة) dan ‘Am (عام).
Pertama, kalimah HIJAJ.
Firman Allah azza wajjal dalam surah dalam surah al-Qasas ayat ke-27.
قَالَ إِنِّي أُرِيدُ أَنْ أُنكِحَكَ إِحْدَى ابْنَتَيَّ هَاتَيْنِ عَلَىٰ أَن تَأْجُرَنِي ثَمَانِيَ حِجَجٍ ۖ فَإِنْ أَتْمَمْتَ عَشْرًا فَمِنْ عِندِكَ ۖ وَمَا أُرِيدُ أَنْ أَشُقَّ عَلَيْكَ ۚ سَتَجِدُنِي إِن شَاءَ اللَّهُ مِنَ الصَّالِحِينَ
Maksud: Nabi Syuaib berkata kepada Nabi Musa. :" Bapa perempuan itu berkata (kepada Musa): "Aku hendak mengahwinkanmu dengan salah seorang dari dua anak perempuanku ini, dengan syarat bahawa engkau bekerja denganku selama delapan tahun; dalam pada itu, jika engkau genapkan menjadi sepuluh tahun, maka yang demikian itu adalah dari kerelaanmu sendiri. Dan (ingatlah) aku tidak bertujuan hendak menyusahkanmu; engkau akan dapati aku Insya Allah, dari orang-orang yang baik layanannya".
Allah SWT menggunakan Kalimah "Hijaj" (حجج) yang bermaksud tahun. Persoalan di sini, mengapakah "Hijaj" (حجج), apakah perbezaan dengan Sanah dan ‘Am.
Dan paling ajaib, perkataan HIJAJ ini hanya digunakan hanya sekali sahaja dalam al-Quran.