Rahsia al-Quran al-Karim; 
Perbezaan Kalimah Hijaj (حجج
dengan Sanah (سنة) dan juga ‘am (عام)
Kalam Allah azza wajalla sangat indah dan memiliki makna yang tersendiri. Setiap baris dan huruf ada rahsianya. Setiap ayat dan ungkapan pasti ada sesuatu yang tersurat dan tersirat yang Dia ingin sampaikan.
Apabila seseorang perawan mencintai seorang gadis, semestinya si perawan itu akan berusaha sedaya-upayanya untuk memahami si gadis yang dicintai itu sama ada dari segi pertuturannya, perbuatannya, budi pekertinya serta sifat semula jadinya. Sesungguhnya, begitu juga harus menjadi kemestian bagi para hamba yang mencintai Sang Penciptanya maka dia wajib mengenali dan memahami kalam Allah yang agung itu iaitu al-Quran kerana ia memberikan hidayah, pengajaran, khabar gembira dan amaran.
Dalam Al-Quran, setiap perkataan mempunyai perbezaan dari segi maknawinya walaupun kelihatan pada zahirnya memiliki maksud yang seerti. Begitu juga, kadangkala ada banyak bentuk perkataan namun mempunyai makna yang satu tetapi realitinya ia tidak seperti yang disangkakan kerana kalam Allah azza wajalla memiliki 1001 makna yang tersirat.
Pada penulisan kali ini, kita membincangkan rahsia al-Quran al-Karim pada tiga kalimah iaitu Hijaj (حجج), Sanah (سنة) dan ‘Am (عام). 3 perkataan ini, jika kita membuka terjemahan al-Quran dalam Bahasa Melayu atau kita membuka kamus seperti Al-Miftah, Oxford dan Al-Marbawi maka kita dapati 3 perkataan ini mempunyai makna yang sama iaitu tahun.
Cuba kita berfikir sejenak, pertama, apakah Allah azza wajalla sengaja menggunakan perkataan ini untuk menunjukkan bahawa banyak perkataan tetapi mempunyai makna yang sama atau kedua, apakah ada rahsia di sebaliknya dan ketiga, barangkali mungkin tidak memiliki apa-apa makna yang tersirat kerana tidak sengaja menggunakannya.
Justeru, persoalan pertama dan ketiga adalah tidak tepat kerana firman Allah azza wajalla dalam surah Yusuf ayat ke-2:

إِنَّا أَنزَلْنَاهُ قُرْآنًا عَرَبِيًّا لَّعَلَّكُمْ تَعْقِلُونَ
Maksud: Sesungguhnya Kami menurunkan kitab itu sebagai Quran yang dibaca dengan bahasa Arab, supaya kamu (menggunakan akal untuk) memahaminya.
Begitu juga firman Allah azza wajalla dalam surah az-Zumar ayat ke-28:

قُرْآنًا عَرَبِيًّا غَيْرَ ذِي عِوَجٍ لَّعَلَّهُمْ يَتَّقُونَ
 Maksud: laitu Al-Quran yang berbahasa Arab, yang tidak mengandungi sebarang keterangan yang terpesong; supaya mereka bertaqwa.
Maka jelas kepada dua ayat di atas menunjukkan bahawasanya al-Quran diturunkan ke dalam Bahasa Arab supaya menggunakan akal untuk berfikir di antara yang hak dan batil kerana sesuai dengan makna taqwa iaitu melaksanakan perintah Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya.

Hikmah dan Rahsia Hijaj (حجج), Sanah (سنة) dan ‘Am (عام).
Pertama, kalimah HIJAJ.
Firman Allah azza wajjal dalam surah dalam surah al-Qasas ayat ke-27.
قَالَ إِنِّي أُرِيدُ أَنْ أُنكِحَكَ إِحْدَى ابْنَتَيَّ هَاتَيْنِ عَلَىٰ أَن تَأْجُرَنِي ثَمَانِيَ حِجَجٍ ۖ فَإِنْ أَتْمَمْتَ عَشْرًا فَمِنْ عِندِكَ ۖ وَمَا أُرِيدُ أَنْ أَشُقَّ عَلَيْكَ ۚ سَتَجِدُنِي إِن شَاءَ اللَّهُ مِنَ الصَّالِحِينَ
Maksud: Nabi Syuaib berkata kepada Nabi Musa. :" Bapa perempuan itu berkata (kepada Musa): "Aku hendak mengahwinkanmu dengan salah seorang dari dua anak perempuanku ini, dengan syarat bahawa engkau bekerja denganku selama delapan tahun; dalam pada itu, jika engkau genapkan menjadi sepuluh tahun, maka yang demikian itu adalah dari kerelaanmu sendiri. Dan (ingatlah) aku tidak bertujuan hendak menyusahkanmu; engkau akan dapati aku Insya Allah, dari orang-orang yang baik layanannya".
Allah SWT menggunakan Kalimah "Hijaj" (حجج) yang bermaksud tahun. Persoalan di sini, mengapakah "Hijaj" (حجج), apakah perbezaan dengan Sanah dan ‘Am.
Dan paling ajaib, perkataan HIJAJ ini hanya digunakan hanya sekali sahaja dalam al-Quran.


Menarik apabila kita membaca sebuah Tafsir iaitu "Al-Mizan fi Tafsir al-Quran" oleh Allamah Sayyid Muhammad Husayn Tabataba'i, walaupun beliau banyak menulis tentang syiah dan berfahaman syiah. (Namun saya bukan pengganut syiah).
Beliau mengupas sangat baik dengan perkataan "Hijaj". Menurut beliau:"Hijaj ini ertinya tahun, yang berasal dari perkataan "Hijah”. Maksdunya, apabila Nabi Musa berkahwin dengan anak Nabi Syuaib, beliau perlu membawa anaknya pergi menunaikan Haji setiap tahun sampai cukup 8 tahun kerana pensyariatan Fardhu Haji dikerjakan pada setiap tahun bermula pada zaman Nabi Ibrahim.
Menarik sekali kupasan beliau mengenai perkataan ini. Perkara seperti ini juga diungkapkan oleh Ibn ‘Asyur dalam tafsirnya Al-Tanwir wa Al-Tahwir ketika menafsirkan ayat ini. Semoga ijtihad kedua ulama ini benar.
Saya juga bersetuju dengan pendapat ini dan inilah mungkin satu perbezaan yang ketara kepada digunakan lafaz "Hijaj" berbanding "sanah".
Kerana terdapat satu riwayat hadis yang shahih daripada Abu Dzhar al-Ghifari. Dan hadis ini terdapat dalam sunan Al-Tirmizi dan Nail Al-Authar. Sabda Nabi Muhammad SAW:
الصعيد الطيب طهور المسلم، وإن لم يجد الماء عشر حجج
Maksud: Debu itu suci dan menyucikan orang Islam, jika dia tidak menjumpai air pada tahun ke-10 hijrah.
Apa yang boleh dikatakan, peristiwa haji yang dilaksanakan oleh Nabi Muhammad SAW berlaku pada tahun ke-10 hijrah. Oleh itu, hikmahnya ialah baginda SAW mengungkapkan hadis dengan konteks pada waktunya. Ini juga menunjukkan keajaiban bicara Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW. Tentang hadis, kita akan membahaskan pada penulisan akan datang. Insya-Allah.
Kedua, SANAH (سنة)
Perkataan SANAH dan ‘AM ini, saya memetik kata-kata oleh al-Fadhil Dr. Samarakyi daripada syarahannya Lamasat Bayaniah dan juga daripada bukunya. Beliau berasal daripada Iraq. Seorang ulama’ yang alim dalam bidang Balaghah Al-Quran.
Kata beliau, perkataan SANAH diungkapkan oleh Allah azza wajalla dalam konteks kekerasan, kesukaran, keganasan, azab dan kemarahan. Kita akan perhatikan beberapa ayat untuk membuktikan pendapat beliau tersebut.
Pertama, Firman Allah azza wajalla dalam surah al-Baqarah ayat ke-96 yang menceritakan kisah orang kafir musyrik yang menolak risalah tauhid dan mementingkan soal kehidupan duniawi semata-mata:
وَلَتَجِدَنَّهُمْ أَحْرَصَ النَّاسِ عَلَىٰ حَيَاةٍ وَمِنَ الَّذِينَ أَشْرَكُوا ۚ يَوَدُّ أَحَدُهُمْ لَوْ يُعَمَّرُ أَلْفَ سَنَةٍ وَمَا هُوَ بِمُزَحْزِحِهِ مِنَ الْعَذَابِ أَن يُعَمَّرَ ۗ وَاللَّهُ بَصِيرٌ بِمَا يَعْمَلُونَ
Maksud: Demi sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan dapati mereka itu setamak-tamak manusia kepada hidup (yang lanjut masanya), dan (lobanya mereka kepada hidup itu) melebihi loba orang-orang kafir musyrik. Tiap-tiap seorang dari mereka suka kiranya ia boleh hidup seribu tahun, padahal umur panjang yang demikian, tidak akan dapat melepaskannya dari azab (yang disediakan oleh Allah). Dan (ingatlah), Allah sentiasa melihat akan apa yang mereka lakukan.
Kedua, firman Allah azza wajalla dalam surah al-‘Ankabut ayat ke-14 yang menceritakan tentang azab yang ditimpa oleh kaum Nabi Nuh kerana enggan dan ingkar untuk mengabdikan diri sepenuhnya kepada Allah azza wajalla:
وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا نُوحًا إِلَىٰ قَوْمِهِ فَلَبِثَ فِيهِمْ أَلْفَ سَنَةٍ إِلَّا خَمْسِينَ عَامًا فَأَخَذَهُمُ الطُّوفَانُ وَهُمْ ظَالِمُونَ
Maksud: Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Nabi Nuh kepada kaumnya, maka tinggalah ia dalam kalangan mereka selama sembilan ratus lima puluh tahun; akhirnya mereka dibinasakan oleh taufan sedang mereka berkeadaan zalim (dengan kufur derhaka).
Ketiga, firman Allah azza wajalla dalam surah al-Ahqaf ayat ke-15 yang menceritakan perihal seorang ibu yang mengalami kepayahan pada waktunya dia mengandung dan menyusukan:
وَوَصَّيْنَا الْإِنسَانَ بِوَالِدَيْهِ إِحْسَانًا ۖ حَمَلَتْهُ أُمُّهُ كُرْهًا وَوَضَعَتْهُ كُرْهًا ۖ وَحَمْلُهُ وَفِصَالُهُ ثَلَاثُونَ شَهْرًا ۚ حَتَّىٰ إِذَا بَلَغَ أَشُدَّهُ وَبَلَغَ أَرْبَعِينَ سَنَةً قَالَ رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَىٰ وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَصْلِحْ لِي فِي ذُرِّيَّتِي ۖ إِنِّي تُبْتُ إِلَيْكَ وَإِنِّي مِنَ الْمُسْلِمِينَ
Maksud: Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah ia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah ia dengan berkata: "Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu, dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu)".
Ketiga, kalimah ‘AM (عام)
Menurut al-Fadhil Dr. Samarakyi perkataan ‘AM ini berada dalam konteks yang berbeza dengan SANAH. Ia membawa khabar gembira, suka, ketenangan, kesenangan, keajaiban dan nikmat. Untuk membuktikannya, kita akan memberikan beberapa contoh dalam al-Quran.
Pertama, firman Allah azza wajalla dalam surah al-Baqarah ayat ke-259 yang mengisahkan satu keajaiban kekuasaan Yang Maha Berkuasa yang mampu menghidupkan apa yang telah mati sebagai tanda bukti kebesaran-Nya:
أَوْ كَالَّذِي مَرَّ عَلَىٰ قَرْيَةٍ وَهِيَ خَاوِيَةٌ عَلَىٰ عُرُوشِهَا قَالَ أَنَّىٰ يُحْيِي هَٰذِهِ اللَّهُ بَعْدَ مَوْتِهَا ۖ فَأَمَاتَهُ اللَّهُ مِائَةَ عَامٍ ثُمَّ بَعَثَهُ ۖ قَالَ كَمْ لَبِثْتَ ۖ قَالَ لَبِثْتُ يَوْمًا أَوْ بَعْضَ يَوْمٍ ۖ قَالَ بَل لَّبِثْتَ مِائَةَ عَامٍ فَانظُرْ إِلَىٰ طَعَامِكَ وَشَرَابِكَ لَمْ يَتَسَنَّهْ ۖ وَانظُرْ إِلَىٰ حِمَارِكَ وَلِنَجْعَلَكَ آيَةً لِّلنَّاسِ ۖ وَانظُرْ إِلَى الْعِظَامِ كَيْفَ نُنشِزُهَا ثُمَّ نَكْسُوهَا لَحْمًا ۚ فَلَمَّا تَبَيَّنَ لَهُ قَالَ أَعْلَمُ أَنَّ اللَّهَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
Maksud:Atau (tidakkah engkau pelik memikirkan wahai Muhammad) tentang orang yang melalui sebuah negeri yang telah runtuh segala bangunannya, orang itu berkata: "Bagaimana Allah akan menghidupkan (membina semula) negeri ini sesudah matinya (rosak binasanya)? " Lalu ia dimatikan oleh Allah (dan dibiarkan tidak berubah) selama seratus tahun, kemudian Allah hidupkan dia semula lalu bertanya kepadanya: "Berapa lama engkau tinggal (di sini)?" Ia menjawab: "Aku telah tinggal (di sini) sehari atau setengah hari". Allah berfirman:" (Tidak benar), bahkan engkau telah tinggal (berkeadaan demikian) selama seratus tahun. Oleh itu, perhatikanlah kepada makanan dan minumanmu, masih tidak berubah keadaannya, dan perhatikanlah pula kepada keldaimu (hanya tinggal tulang-tulangnya bersepah), dan Kami (lakukan ini ialah untuk) menjadikan engkau sebagai tanda (kekuasaan Kami) bagi umat manusia; dan lihatlah kepada tulang-tulang (keldai) itu, bagaimana Kami menyusunnya kembali kemudian Kami menyalutnya dengan daging ". Maka apabila telah jelas kepadanya (apa yang berlaku itu), berkatalah dia: Sekarang aku mengetahuinya (dengan yakin), sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu".

Kedua, firman Allah azza wajalla dalam surah surah yusuf ayat ke-49 yang menceritakan kenikmatan yang bakal dinikmati oleh kaum Nabi Yusuf:
ثُمَّ يَأْتِي مِن بَعْدِ ذَٰلِكَ عَامٌ فِيهِ يُغَاثُ النَّاسُ وَفِيهِ يَعْصِرُونَ
Maksud:"Kemudian akan datang pula sesudah itu tahun yang padanya orang ramai beroleh rahmat hujan, dan padanya mereka dapat memerah (hasil anggur, zaitun dan sebagainya)".
Ketiga, firman Allah azza wajalla dalam surah Luqman ayat ke-14 yang menceritakan tentang pengorbanan seorang ibu yang mengandung anaknya dan anak itu perlu berbuat baik dan berbakti kepada kedua ibu bapanya.
وَوَصَّيْنَا الْإِنسَانَ بِوَالِدَيْهِ حَمَلَتْهُ أُمُّهُ وَهْنًا عَلَىٰ وَهْنٍ وَفِصَالُهُ فِي عَامَيْنِ أَنِ اشْكُرْ لِي وَلِوَالِدَيْكَ إِلَيَّ الْمَصِيرُ
Maksud: Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).
Kesimpulan.
Pertama, telah terbukti bahawa kalam Allah azza wajalla sungguh indah dan memiliki gaya bahasa yang unik dan terdapat hikmah dan rahsia yang tersendiri.
Kedua, kita wajib mengimani 100% bahawa setiap huruf dalam al-Quran adalah kalam Allah azza wajalla semata-mata dan tidak seperti yang didakwa oleh kaum Liberal dan Sekular seperti di Indonesia, mereka cuba membuat Al-Quran Edisi Kritis dan Hermeneutika yang lebih kepada tafsir.
Ketiga, dalam memahami al-Quran, perkara paling penting ialah memahami konteks ayat dan penceritaan ayat itu kerana di situ kita akan memperolehi makna yang sebenar. Oleh itu, bila mempelajari tafsir al-Quran, ada satu ilmu yang dinamai Ilmu Munasabat dan Siyak. Ilmu yang menghubungkan satu cerita dengan satu cerita ataupun bersesuaian dengan konteksnya.
Semoga bermanfaat. Jika terdapat kesalahan, mohon diperbetulkan. Terima kasih.
Wallahu a'lam.


Comments (0)