Perbalahan dan perbezaan
Rahmat atau Musibah.
Firman Allah azza wajalla dalam surah
al-Kahfi ayat ke-54:
وَكَانَ الْإِنسَانُ أَكْثَرَ شَيْءٍ جَدَلًا
Maksud: sememangnya manusia itu, sejenis makhluk yang banyak
sekali bantahannya.
Apakah perbalahan sesama umat itu membawa rahmat? Apakah
perbezaan pendapat memberikan manfaat kepada umat? Apakah kedua-dua itu menatijahkan
musibah? Bagaimanakah mengharmonikan isu ini demi kemaslahatan umat dan agama.
Isu agama dipolitikkan sehingga
mengkafirkan sesama muslim. Isu hukum-hukum cabang (al-Masail al-Furu’iyyat)
dimainkan sehingga dibida’ahkan sebahagian yang lain tanpa ada asas. Begitu
juga fatwa ulama’ diperolok-olokkan serta disanggahi tanpa adab dan akhlak yang
baik.
Masyarakat umum kebingungan. Yang
mana harus dipilih dan diikuti. Hendak dipilih pihak A diserang oleh pihak B,
apabila memilih pihak B dikatakan pengkhianat. Bagaimanakah hendak membuat
pilihan yang boleh menyenangkan semua pihak?
Banyak isu yang remeh-temeh
menjadi perdebatan dan perkara itu tidak wajar dibincangkan kerana ianya tidak
memberikan manfaat yang besar untuk umat. Kini, umat Islam dalam ketenatan. Umat
islam tidak ada kekuatan yang boleh dibanggakan. Ekonomi dikuasai oleh bukan
Islam. Sukan juga dimenangi oleh bukan Islam. Politik juga diperkudakan umat
Islam oleh orang tertentu. Kesannya, umat Islam kemunduran.
Maka benarlah apa yang
diperkatakan oleh Syed Qutb dalam bukunya “Kerugian Dunia Kerana Kemunduran
Umat Islam”. Saya melihat, barangkali ia memang benar tetapi jika melihat dari
sudut pandangan yang lain, sebenarnya umat Islam sahaja yang mengalami kerugian
kerana dunia tetap berputar. Manusia yang bukan beragama Islam telah mencapai
matlamat yang lebih hebat. Mereka jauh ke hadapan melaksanakan misi dan visi
yang telah dirancangkan. Namun di manakah umat Islam? Jika ada pun hanya ibarat
sebutir pasir di pantai.
Saya tidak menafikan bahawa Islam
tidak hanya mengejar dunia semata-mata tetapi apakah kita mahu melihat umat
Islam ditindas, ditipu dan difitnah. Disebabkan itu, saya juga tidak setuju
tentang pemikiran bahawa anak Islam hanya perlu bersekolah agama, belajar
al-Quran dan hadis serta menjadi ulama’. Cuba bayangkan jika rakyat Malaysia
yang ada 30 juta ini, keseluruhannya menjadi ulama’, siapakah yang mahu
membaiki kereta, menukang rumah, membaiki paip yang bocor, membina pembangunan
dan empangan serta perparitan. Siapa juga yang akan menjadi askar, tentera dan
polis untuk menjaga keselamatan dan keamanan Negara. Persoalan itu mesti
dibincangkan oleh para pendidik dan sistem pendidikan kita mesti diperbaiki ke
arah kecemerlangan dunia dan akhirat.
Justeru, kita perlu mengimbangi
dan menjadikan anak Islam seorang yang serba boleh dan boleh mengikut arus
pemodenan dan tidak hanya terikat dengan cara tradisional. Tidakkah ini yang
dianjurkan oleh Rasulullah SAW kepada para sahabatnya. Ada daripada kalangan
mereka yang menjadi penulis wahyu namun dalam masa yang sama seorang tentera
dan peniaga. Ada juga yang menjadi gabenor tetapi seorang mufti. Ada juga para
sahabat yang menjadi pekebun tetapi mempunyai jawatan yang lain. Sebagai
contoh, Saiyidina Abu Bakar seorang perawi hadis serta peniaga dan selepas
kewafatan Nabi Muhammad SAW, beliau diangkat menjadi khalifah.
Umat Islam harus maju ke hadapan.
Menjadi seorang yang berketerampilan, berwawasan, berilmu, beretika dan mampu
membuktikan kepada umat agama lain bahawa inilah cara hidup yang Islam
berkehendak.
Kini, umat Islam hanyut dalam
mimpi bahkan mereka hanya menyibukkan diri ke dalam perbalahan yang tidak
membawa faedah untuk diri dan umat. Kancah politik yang tidak matang banyak
merugikan masa dan peluang. Kekuatan yang ada tidak dimanfaatkan untuk
kesejahteraan agama. Maka, musuh-musuh Islam mengambil kesempatan ini untuk
membina kekuatan mereka. Kesudahannya, umat Islam terus mundur ke belakang dan tidak
mampu membina kekuatan untuk maju kehadapan. Apakah yang puncanya?
Saya melihat hanya 2 aspek, tidak
bertoleransi dan berfikiran terbuka. Kedua ialah ego.
Pertama, Tidak Bertoleransi dan
Berfikiran Terbuka
Firman Allah azza wajalla dalam
surah An-Nisa' ayat ke-59:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا
الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنكُمْ ۖ فَإِن تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ
فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ
وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ۚ ذَٰلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا
Maksud: Wahai orang-orang yang beriman,
taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada
"Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian
jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah
kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya -
jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah
lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.
Pertama sekali, sebagai umat Islam yang beriman
kepada Allah azza wajalla dan Nabi Muhammad SAW, apabila berlaku perbalahan dan
percanggahan, kita wajib kembali kepada Al-Quran dan Sunah Nabi Muhammad SAW
kerana dua sumber ini akan memberikan petunjuk dan menjanjikan perdamaian.
Jika diabaikan dua sumber yang
asas dalam syariat Islam ini, maka kegagalan demi kegagalan akan menimpa umat.
Kita mesti berpegang teguh dengan Islam seperti firman Allah azza wajalla dalam
surah al-‘Imran ayat ke-113:
وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا ۚ
وَاذْكُرُوا نِعْمَتَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنتُمْ أَعْدَاءً فَأَلَّفَ بَيْنَ
قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُم بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًا وَكُنتُمْ عَلَىٰ شَفَا
حُفْرَةٍ مِّنَ النَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنْهَا ۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ
لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ
Maksud:Dan berpegang teguhlah kamu sekalian
kepada tali Allah (ugama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan
kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa
jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu
bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu
orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang
neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu
dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan
kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya.
Mana mungkin sebagai seorang
muslim, mereka mengetepikan kedua-dua sumber utama tersebut sama ada dari sudut
teori dan praktikal.
Bawakan kepada saya 1 contoh
sahaja bahawa al-Quran dan sunah Rasulullah SAW tidak ada jalan penyelesaian
dari sudut teori dan praktikal. Buktikan kalau memang ada!
Firman Allah azza wajalla dalam
surah al-An’am ayat ke-38:
مَّا فَرَّطْنَا فِي الْكِتَابِ مِن شَيْءٍ
Maksud: Tidaklah Kami abaikan
sesuatu (daripada menyebutnya) dalam kitab ini.
Kita hidup berdasarkan dalil yang
jelas dan fakta yang tepat. Kenapa perlu diketepikan dan dipinggirkan. Jangan
angkuh dengan akal yang dikurniakan. Carilah jalan penyelesaian yang terkandung
dalam al-Quran dan sunah Rasulullah SAW.
Kedua, Ego.
Dr. Taha Jabir Al-Alwani dalam
bukunya adab al-ikhtilaf fi al-Islam (adab perbezaan pendapat dalam Islam).
Kata beliau: Rasulullah SAW menyedari bahawa kelangsungan hidup umat ini
bergantung kepada kesatuan hati yang berpadu dalam mecintai Allah azza wajalla
dan kehancurannya adalah berpunca dari hati mereka yang berantakan.”
Dalam Shahih Al-Jami’, Albani
mensahihkan hadis ini, Nabi Muhammad SAW bersabda:
لا تختلِفُوا، فتَختَلِفُ قُلوبُكمْ
Maksud: Jangan kamu berselisih
nanti berselisih hati kamu.
Pada sisi hadis ini, kita boleh
melihat bagaimana didikan Nabi Muhammad SAW sangat menjaga para sahabat supaya
tidak berselisihan sehingga mengundang perpecahan sedangkan perselisihan yang
datang itu bukan satu isu yang jatuh kepada kefasikan dan dosa. Sebagai contoh,
para sahabat berselisihan membaca qiraah al-Quran yang berbeza namun kedua-dua
cara pembacaan itu benar dan diterima.
Perkara benar perlu ditegakkan. Perkara
yang salah perlu diperbetulkan. Mengapa perlu menegakkan benang yang basah.
Tidakkah kita menghayati firman Allah azza wajalla dalam surah Al-Maidah ayat
ke-2:
وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا
عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۖ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ
الْعِقَابِ
Maksud: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).
Ingat kawan-kawan, seorang
sahabat yang mencintai sahabatnya ialah dia menegur sahabatnya ketika dia
melakukan kesalahan. Seperti mana ada sesuatu pepatah arab:
أخوك من تصدقك
Maksud: Saudara kamu yang sebenar
ialah yang memperbetulkan kamu.
Nasihat yang baik perlu diberikan
dan perlu disampaikan dengan berhemah dan berhikmah agar mereka dapat menerima
teguran yang disampaikan.
Di
samping itu, ada sebuah kisah yang sangat menarik yang boleh dijadikan pedoman
dan pengajaran. Kisah Ibn Abbas berdebat dengan Khawarij di Nahrawan. Ketika
itu, Sayidina Ali khalifah. Sayidina Ali mengutuskan Ibn Abbas untuk berdebat dengan
mereka bagi mendamaikan antara kedua-dua pihak. Ibn Abbas pergi kepada Khawarij
dan berdebat dengan mereka. Setelah 3 persoalan dikemukakan lantas Ibn Abbas
menjawab dengan berlandaskan al-Quran dan sunah rasulullah SAW, dengan
kebenaran yang dibawa itu telah membuahkan hasil yang baik sehingga setengah
daripada 6000 khawarij kembali ke pangkal jalan. Inilah petanda hati yan suci
dan bersih akan menerima kebenaran. Kebenaran yang hakiki akan menjaminkan
kemenangan dan ketenteraman umat. Namun, apakan daya, umat kini ego dengan
pendapat yang dipegang dan kadang-kadang pendapat itu terlalu lemah dan tidak
boleh dijadikan hujah. Inilah punca kelemahan yang menimpa umat.
Adab
perbezaan dan perselisihan yang akan menjaminkan rahmat.
Perkara
ini tidak mustahil akan berlaku, kerana sejarah telah membuktikan bagaimana
para ulama’, sarjana dan cendiakawan Islam mampu membina tamadun yang hebat.
Mereka berselisih pendapat namun tidak menyebabkan permusuhan di antara mereka.
Mereka arif dalam syariat Islam dan dalam masa yang sama mereka juga hebat
dalam pementasan politik, ekonomi, sastera, falsafah, ketenteraan, perubatan
dan sebagainya.
Di
antara adab-adab yang boleh dipraktikkan ialah:
Pertama, jangan melenting dan meninggikan suara ketika menyuarakan pendapat
dan pandangan. Firman Allah azza wajalla dalam surah al-Hujurat ayat kedua:
يَا
أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَرْفَعُوا أَصْوَاتَكُمْ فَوْقَ صَوْتِ
النَّبِيِّ وَلَا تَجْهَرُوا لَهُ بِالْقَوْلِ كَجَهْرِ بَعْضِكُمْ لِبَعْضٍ أَن
تَحْبَطَ أَعْمَالُكُمْ وَأَنتُمْ لَا تَشْعُرُونَ
Maksud:Wahai
orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengangkat suara kamu melebihi suara
Nabi, dan janganlah kamu menyaringkan suara (dengan lantang) semasa bercakap
dengannya sebagaimana setengah kamu menyaringkan suaranya semasa bercakap
dengan setengahnya yang lain. (Larangan yang demikian) supaya amal-amal kamu
tidak hapus pahalanya, sedang kamu tidak menyedarinya.
Kedua, berjumpa dan berdebat terhadap sesuatu isu yang menjadi
perselisihan. Pada masa kini, kita mempunyai media massa, boleh dilakukan secara
terbuka mahupun secara rahsia berdasarkan sebuah hadis dalam Sahih Bukhari,
telah diwartakan bahawa Abdulullah bin Amru berkata: “Ayahku mengahwinkan aku
dengan seorang perempuan daripada keluarga yang baik-baik.” Setelah pernikahan,
ayahku selalu datang kepada menantunya dan bertanya perihal suaminya
(Abdulullah). Menantunya akan berkata: “Dia adala sebaik-baik lelaki yang tidak
jemu mencari perlindungan dan dia tidak pernah tidur di atas katil kami atau
beberapa ketika, ayahku pun pergi dan melaporkan hal itu kepada Nabi Muhammad
SAW.”
Maka
Nabi Muhammad SAW pun bersabda: “Benarkan aku berjumpa dengannya. Lamntas aku
datang kepada Nabi Muhammad SAW. Baginda SAW bersabda kepadaku: “Berapa kerap
kamu berpuasa? Aku menjawab: “Setiap hari.” Baginda SAW bertanya kepadaku lagi:
“Berapa kerap kamu mengkhatamkan al-Quran? Aku menjawab: “Setiap malam.”
Baginda SAW bersabda: “Sesungguhnya kamu tidak akan sanggup melakukannya.
Puasalah dan berbukalah, bangunlah dan tidurlah, puasalah dalam sebulan tiga
hari, bacalah al-Quran setiap bulan sekali khatam.” Kataku: “Aku sanggup lebih
daripada itu.” Sabda Nabi Muhammad SA: “Puasalah dalam seminggu tiga hari.”
Kataku: “Aku sanggup lebih daripada itu.” “Puasalah sehari dan berbukalah dua
hari.” Kataku: “Aku sanggup lebih daripada itu.” Sabda Nabi Muhammad SAW: “puasalah
sehari dan berbukalah sehari. Yang demikian itu adalah seperti Nabi Daud
alaihissalam dan itulah puasa yang utama. Dan khatam al-Quran sekali setiap
tujuh hari.”
وَتَوَاصَوْا
بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ
Maksud:
mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.
Kesimpulan
.
Sebagai
umat Islam yang sejati, penghayatan terhadap al-Quran dan sunah rasulullah SAW
perlu diperkukuhkan lagi. Membina keyakinan diri berlandaskan dua prinsip ini
akan menjadikan umat Islam akan berjaya dunia dan akhirat.
Umat
Islam mestilah menjadi seorang muslim yang berwawasan dan berdaya saing. Memiliki
idea-idea yang besar, kreatif dan inovatif terhadap semua bidang yang diceburi.
Umat Islam mesti memiliki ilmu yang pelbagai demi kemaslahatan umat dan agama.
Umat
Islam mesti berlapang dada dalam menerima teguran dan tidak cepat melatah
apabila menerima teguran dan begitu juga kepada penegur agar berhemah dalam
menyampaikan teguran supaya hati tidak terguris.
Umat
Islam mesti menunjukkan teladan dan contoh yang terbaik kepada seluruh umat
kerana itulah kekuatan umat Islam. Itulah didikan yang diajari oleh Nabi
Muhammad SAW, seperti mana hadis Nabi Muhammad SAW: “Sesungguhnya aku diutuskan
untuk menyempurnai akhlak.”
Sekian
terima kasih.
Wallahu
a’lam.
11:07 PM |
Category: |
0
comments
Comments (0)