Abu Lahab dan Abu Jahal;
Adakah mereka memahami keindahan bahasa al-Quran?
Mukadimah.

Bismilillahirrahimanirrahim. Alhamdulillahirabil’alamin. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad shallahu’alaihi wasallam serta ahli keluarga baginda dan para sahabat, tabi’ tab’iin.

Al-Quran ialah kalam-kalam suci Allah azza wajjala. Kalam yang memberikan petunjuk sepanjang usia kepada seluruh insan tanpa mengira waktu dan tempat. Kalam yang menyampaikan risalah ketuhanan dan pengabdian. Kalam yang mengandungi hukum dan hikmah untuk dijadikan pedoman. Kalam yang indah menyentuh hati dan perasaan.

Justeru, sebagai umat Islam yang beriman, mereka mestilah menekuni kalam-kalam-Nya supaya kehidupan mereka terjamin dunia dan akhirat. Setiap hari, wajib bagi setiap umat Islam untuk menzahirkan cintanya kepada Yang Maha Agong dengan 3 cara iaitu membaca, memahami dan menghayati kalam-kalam-Nya. Dengan itu, kelestarian cinta akan berputik dan menyatukan cinta itu.

Walaupun kalam-kalam Allah azza wajalla ini diturunkan ke dalam Bahasa Arab namun dia mempunyai hikmah yang tersendiri. Dr. Abdul Ghani menyebut dalam bukunya Al-Islam fi ‘Alam Melayu al-thaqafi Al-Madhi wa Al-Hadhir bahawa bahasa Al-Quran diturunkan kepada Bahasa Arab ialah sebagai satu lambang bahasa dakwah untuk difahami oleh masyarakat ketika itu.

Setiap para nabi memiliki mukjizat seperti Nabi Musa ‘alahissalam yang menentang Firaun yang mana ketika itu zaman sihir dan begitu juga pada zaman Nabi ‘Isa alahissalam ialah zaman perubatan.

Uniknya risalah Nabi Muhammad shallahu’alaihi wasallam berbeza, kalam-kalam itu bukan kalam baginda akan tetapi kalam Allah Yang Maha Berkuasa. Tujuan Nabi Muhammad sallahu’alaihi wasallam diutuskan ialah mengajar dan mendidik masyarakat ketika itu seperti mana firman Allah azza wajalla:

هُوَ الَّذِي بَعَثَ فِي الْأُمِّيِّينَ رَسُولًا مِّنْهُمْ يَتْلُو عَلَيْهِمْ آيَاتِهِ وَيُزَكِّيهِمْ وَيُعَلِّمُهُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَإِن كَانُوا مِن قَبْلُ لَفِي ضَلَالٍ مُّبِينٍ
Dia lah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang (Arab) yang Ummiyyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad s.a.w) dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya), dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajarkan mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syarak). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata.
(Surah al-Jumaah 62:2)

Hubungan Masyarakat Arab dengan Bahasa Arab.

Sejarah mencatatkan bahawa sebelum kedatangan Nabi Muhammad shallahu’alaihi wasallam pada tahun 610 M, sebelum itu sudah ada kerajaan Arab iaitu kerajaan Himyar (115 S.M-525 M). Dan sesebelum itu juga terdapatnya kerajaan berbangsa Arab warisan nenek moyang Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail ‘alahissalam.

Pada kurun ke-6. Masyarakat Arab Badwi sudah menapak di bumi Mekah yang diketuai oleh Qabilah Arab Quraisy. Mereka mengurus tadbir urusan kota Mekah. Urusan jual beli, barang dagangan dan haji diaturkan oleh mereka. Segala peristiwa besar dilakukan di kota Mekah seperti pertandingan syair yang nama paling popular ialah suq ukaz.

Oleh disebabkan syair menjadi salah satu perayaan yang paling istimewa. Mereka pun menititberatkan soal bahasa dan sastera. Bahasa Arab menjadi bahasa rasmi. Daripada kalangan mereka ada yang berketurunan jiwa penyair seperti al-walid bin al-Mughirah dan Zuhair bin Abi Salma.Penyair lain seperti Ka’ab bin Zuhair seorang penyair yang hebat yang meninggal pada tahun 22H bersamaan 622M.


Selain itu, penyair yang hidup sebelum Islam dan sempat berjuang bersama Nabi Muhammad shallahu’alaihi wasalam iaitu Hassan bin Thabit meninggal pada tahun 54H juga penyair yang sangat hebat. Sebelum kedatangan Islam, beliau menghina Islam tetapi setelah memeluk Islam, beliaulah pendokong yang paling kuat.

Begitu juga, terdapat penyair yang terkemuka. Karya-karya mereka dikaji dan dianalisis oleh karyawan pada zaman ini. Penyair seperti Imru Qais, Nabighah Zubyani, Zuhair bin Abi Salma, ‘Antarah, dan sebagainya. Dalam buku “Kesusasteraan Dalam Tamadun Islam” oleh Dr. Mustafa Hj. Daud ada membahaskan perihal kehebatan para penyair sejak kedatangan Islam sehingga ke asia pada zaman ini.

Dr. Abdul Rahman Haji Abdullah dalam bukunya Sejarah dan Tamadun Islam menyentu bab yang agak penting dalam menghuraikan perihal masyarakat Arab Jahilliah iaitu perihal kesusasteraan. Menurut beliau: “Sastera jahiliah lebih merupakan pancaran masyarakat jahiliah itu sendiri, yakni ciri-ciri masyarakat jahiliah dapat dikesan melalui syair-syair tersebut. Pepatah Arab sendiri mengatakan bahawa syair Arab dalam dewan bangsa Arab.Maksud dewan ialah catatan tentang adat istiadat, tatasusila, agama, kecerdasan bangsa Arab, khayalan terhadap ternakan kesayangan seperti Unta, penyifatan tanah, pujian kepada manusia, sifat-sifat dan yang paling penting tidak ada aspek baru yang dikehadapankan.”

Oleh itu, bahasa dan sastera Arab ini merupakan satu kebanggaan yang terulung bagi kefahaman dan pegangan mereka. Mereka beranggapan bahawa syair ini menjadi salah satu senjata yang paling tajam. Martabat dan kedudukan penyair diangkat lebih daripada seorang raja. Setiap qabilah mesti ada seorang penyair paling tidak seorang. Jika tidak mempunyai penyair maka qabilah itu akan dihina dan dicaci.

Maka jelas, apabila turunnya al-Quran, bahasa al-Quran jauh lebih hebat dan indah gaya bahasanya. Disebabkan hal ini, mereka terasa tercabar dan mereka mengakui bahawa bahasa al-Quran bukan bahasa manusia.

Kesusasteraan dan Bahasa Al-Quran.

Kalam Al-Quran indah bahasanya. Jiwa-jiwa merasai damai mendengar kalam tersebut. Terasa bisikan-bisikan halus memujuk terus meresap ke dalam sanubari. Tatkala ayat dilagukan mengenai rahmat, seluruh jiwa terasa tenang dan pabila disuarakan ayat mengenai ancaman terus bergetar jiwa menyembah bumi kerana takut.

Baris-baris kalam al-Quran tiada tandingan. Walaupun seluruh jin dan pakar ilmu bahasa dan sastera bersatu, mereka tidak juga mampu menghasilkan kalam seindah al-Quran. Dicabar dengan 10 surah pun tidak mampu dan serta dicabar sekali lagi untuk membentuk 1 surah juga tidak ada kekuatan untuk menghasilkan kalam sesempurna seindah al-Quran. Tidak akan pernah mampu dan selamanya juga tidak mungkin menandingi kehebatan penulisan kalam al-Quran.

Saya nukilkan kata-kata seorang tokoh pujaan saya iaitu Muhammad Mutawalli Sya’rawi. Beliau  menulis dalam bukunya Mukjizat al-Quran: “Balaghah al-Quran yang dikagumi oleh sasterawan Arab ialah setiap ayatnya sentiasa bersesuaian dengan setiap masa dan keadaan. Sedangkan karya kesusasteraan manusia tidak semua ayatnya bersesuian dengan setiap hal dan keadaan. Ayat-ayat al-Quran juga sentiasa sesuai dan dapat diterima oleh setiap lapisan dan semua golongan tidak kira sama ada dia seorang raja, pemimpin, miskin, kaya berpangkat atau sebagainya. Sedangkan karya kesusasteraan manusia itu ada yang hanya untuk golongan yang tertentu…

Bahasa adalah lambang kekuatan sesuatu bangsa. Bahasa melembutkan hati dan mententeramkan jiwa. Bertepatan dengan peribahasa Budi Bahasa Budaya Kita membuktikan budi pada bahasa menampakan satu bangsa yang hebat.

Melihat dalam adat resam budaya Melayu sebagai contoh seperti sajak, penggunaan peribahasa, simpulan bahasa, sindiran, pantun, puisi, syair dan gurindam adalah satu budaya yang sangat unik dan halus. Kata-kata yang indah dan halus lebih mudah diserap ke dalam hati seperti:

Sama-sama hidup,
Sama-sama manusia,
Sama-sama dewasa,
Sama-sama cinta,

Kan, indah kata-kata ini. Terus pembaca akan memikirkan dengan hati yang terbuka lantas mudah lagi untuk mengamalkannya. Ini baru kaedah penulisan gaya Bahasa Melayu.

Cuba perhatikan Bahasa Al-Quran pula. Hayati dengan mata hati.

Kinayah itu satu daripada keistimewaan bahasa yang bermaksud kiasan. Banyak dan terlalu banyak dirakamkan oleh Allah SWT dalam kitab-Nya. Kiasan ini bermatlamat agar pendengar merasai ketenangan dan juga keutamaannya tidak menyinggung perasaan. Dalam Bahasa Melayu misalannya, kita selalu akan menyebut, "izinkan saya pergi ke tandas", jarang dan kadang-kadang kita dengar, "izinkan saya berak". Begitulah pengunaan bahasa, bahasa melambangkan jiwa. Pun begitu, apatah lagi Kalam Allah SWT, hikmahnya berbicara!

Kinayah ini bermaksud sesuatu ungkapan yang kita ungkapkan tetapi membawa makna yang lain. Manakala, Kinayah dari segi Bahasa Arab pula, ia juga tidak menghalang dari makna ungkapan yang asal seperti saya hendak ke tandas dan maksudnya hendak ke tandas sahaja tanpa berbuat apa-apa. Renungi dan tadabbur Kinayah dari sudut pandang al-Quran!

Saya berikan satu contoh. Saya memetik pendapat Ibn Athir dalam bukunya "المثل السائرفي أدب الكاتب والشاعر", beliau seorang ulama' yang pakar dari segi tatabahasa dan sastera arab, pakar dalam bidang hadis bahkan al-Quran dan ilmunya serta juga pakar dalam bidang sejarah. Nama beliau ialah Abu Fatah Nasrullah bin Abi al-Kiram Muhammad bin Muhammad Abdul Karim bin al-Wahid as-Shaibani. Popular dengan nama Ibn Athir al-Jarzi (al-Jazari) atau digelar Dyiauddin. Lahir pada tahun 587H. Beliau juga adalah seorang Hakim.

Contohnya, Allah SWT menyebut dalam al-Quran: "أو لامستم النساء" dalam surah al-Maidah ayat ke-6. kalau kita buka terjemahan al-Quran, kebiasannya kita akan diterjemahkan dengan terjemahan "atau kamu semua telah bersentuhan dengan para wanita".

Maka kali ini, saya akan membawa perbincangan yang lebih mendasar untuk menambahkan keimanan dan keyakinan terhadap sesuatu yang datang daripada al-Quran.

Seperti yang saya telah tulis di atas tentang pengertian Kinayah, boleh jadi kekal maknanya atau ada makna disebaliknya. Maka dari sinilah timbul pendapat ulama' fiqh.

Ibn Athir menyebut bahawa al-Syafie mengatakan bahawa al-lamas itu ialah bersentuhan dari kulit ke kulit. Maka dengan itu, wajiblah berwuduk jika seorang lelaki bersentuhan dengan perempuan. Inilah yang dinamakan kekal pada makna pada perkataan asal.

Ibn Athir sekali lagi membawa pandangan ulama fiqh yang berbeza pandangan dengan al-Syafie. Kata mereka, al-Lamas itu kiasannya ialah bersetubuh. Maka dengan itu, jika bersentuh kulit tidaklah batal wudu' melainkan dengan bersetubuh sahaja yang boleh membatalkan wudu'. Inilah yang dinamakan ungkapan yang membawa makna sebaliknya.

Akhirnya, Ibn Athir telah mendamaikan 2 pandangan ini dengan menyatakan bahawa inilah kinayah. Boleh jadi makna asal dan sebaliknya.

Kenapa Masyarakat Arab menolak al-Quran.

Barangkali mungkin ada timbul persoalan seperti “Mengapa masyarakat Arab yang fasih berbahasa Arab tidak menerima kalam al-Quran” dan “Apakah semua masyarakat Arab memahami kalam al-Quran tersebut”. Seandainya mereka memahami, kenapa tidak mahu beriman. Apakah puncanya? Inilah barangkali beberapa persoalan yang bermain-main dalam minda.

Dahulu pada zaman sekolah, penulis tidak berasa kepuasan ketika belajar Bahasa Arab kerana banyak persoalan tidak ada jawapan. Di antara persoalannya, kenapa ada teori nahu dan sorof. Apakah kelebihan majaz dan isti’arah. Kenapa ada kinayah dan penggunaan taukid. Di antara persoalan yang lebih besar, kenapa masyarakat Arab tidak menerima al-Quran sedangkan mereka memahami Bahasa Arab.

Lalu, penulis membuat keputusan untuk menyambung belajar dalam bidang pengkhususan Bahasa Arab peringkat Ijazah. Sejak daripada itu, penulis mula berasa teruja, mula mengenali teori asas nahu daripada buku-buku seperti Syarah Ibn Aqil, Durus Lughah ‘Arabiyyah, Al-Nahu al-Syafi dan sorof daripada buku-buku seperti Syazal ‘Uruf dan Thatbiq Sorfi, belajar falsafah syair-syair dari penyair Arab Jahilliah dari buku seperti Tarikh Al-Adab Al-‘Arabiy. Penulis mula mengkaji keunikan Bahasa Arab sebelum dan selepas kedatangan Islam dan sampailah pada akhir semester. Penulis mula mengkaji dan menganalisis kajian dan hubungan kait al-Quran dengan Bahasa Arab seperti buku Balaghah al-Wadihah, I’jaz al-Quran, Wujuh al-Balaghah, Min Balagah al-Hadis dan pelbagai lagi matapelajaran yang cukup memberikan satu kepuasan tetapi belum sampai tahap maksima. Satu perasaan yang sangat takjub dan teruja sehingga penulis tidak mampu meluahkan.

Penulis juga diperkenalkan seorang sarjana islam dalam bidang tafsir al-Quran pada mata bahasa iaitu al-Fadhil Dr. Soleh al-samarrakyi oleh ustaz penulis iaitu Dr. Anwar bin Ahmad. Daripada tokoh sarjana Islam inilah, persoalan mengenai apakah masyarakat Arab tidak memahami al-Quran sudah terjawab. Dia mengemukakan dalil dan jawapan yang sangat realistik dan berfakta di antaranya:

Firman Allah azza wajalla:

وَجَحَدُوا بِهَا وَاسْتَيْقَنَتْهَا أَنفُسُهُمْ ظُلْمًا وَعُلُوًّا ۚ فَانظُرْ كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الْمُفْسِدِينَ
Dan mereka mengingkarinya secara zalim dan sombong angkuh sedang hati mereka meyakini kebenarannya. Oleh itu, lihatlah bagaimana kesudahan orang-orang yang melakukan kerosakan.
(Surah Al-Naml 27:14)

Dalam ayat ini menegaskan perihal orang yang tidak mahu menerima ajakan untuk mentauhidkan Allah Yang Maha Esa walaupun kebenaran sudah terbentang di hadapan mata.

Kesemua para nabi telah melakukan kerja keras dan bersungguh untuk menyeru kaumnya tetapi mereka tidak mahu bukan kerana disebabkan risalah yang tidak benar tetapi disebabkan keangkuhan dan kesombongan untuk menerima kebenaran yang hakiki.

Begitu juga kisah Nabi Muhammad sollahu’alaihi wasallam. Para penyair Arab Jahilliah mengakui bahawa kalam al-Quran bukanlah rekaan nabi dan ini diperakui oleh al-Walid bin al-Mughirah serta para pembesar dan penyair Arab Jahilliah. Mereka sebenarnya tidak dapat menerima kebenaran yang dibawa kerana bimbang segala kekayaan harta dan pangkat akan di ambil.

Firman Allah azza wajalla:


قَدْ نَعْلَمُ إِنَّهُ لَيَحْزُنُكَ الَّذِي يَقُولُونَ ۖ فَإِنَّهُمْ لَا يُكَذِّبُونَكَ وَلَٰكِنَّ الظَّالِمِينَ بِآيَاتِ اللَّهِ يَجْحَدُونَ
  Sesungguhnya Kami mengetahui bahawa apa yang mereka katakan itu akan menyebabkan engkau (wahai Muhammad) berdukacita; (maka janganlah engkau berdukacita) kerana sebenarnya mereka bukan mendustakanmu, tetapi orang-orang yang zalim itu mengingkari ayat-ayat keterangan Allah (disebabkan kedegilan mereka semata-mata).
(Surah al-‘An’am 6:33)

وقوله: (فإنهم لا يكذبونك ولكن الظالمين بآيات الله يجحدون) أي: لا يتهمونك بالكذب في نفس الأمر (ولكن الظالمين بآيات الله يجحدون) أي: ولكنهم يعاندون الحق ويدفعونه بصدورهم، كما قال سفيان الثوري، عن أبي إسحاق، عن ناجية بن كعب، عن علي [رضي الله عنه] قال: قال أبو جهل للنبي -صلى الله عليه وسلم -: إنا لا نكذبك، ولكن نكذب ما جئت به، فأنزل الله: (فإنهم لا يكذبونك ولكن الظالمين بآيات الله يجحدون)

Dalam tafsir Ibn Kathir telah meriwayatkan hadis ketika menafsirkan surah al-‘An’am ayat ke-33 ini. Firman Allah azza wajalla (Maka sesungguhnya mereka itu bukan mendustakan kamu wahai Muhammad akan tetapi mereka ialah orang-orang yang zalim yang mengingkari ayat-ayat keterangan Allah azza wajalla) bermaksud iaitu mereka tidak mencela kamu akan tetapi mendustakan kebenaran itu. Firman Allah azza wajalla (tetapi mereka ialah orang-orang yang zalim yang mengingkari ayat-ayat keterangan Allah azza wajalla) bermaksud bahawa mereka tidak mahu menerima kebenaran dan mempertahankan apa yang menjadi pegangan mereka. Seperti mana yang dikatakan boleh Sufyan al-Thauri daripada Abi Ishak, daripada Najiah bin Ka’ab daripada Ali radiyallahu’anhu berkata: Abu Jahal berkata kepada Nabi Muhammad sollahu’alahi wasallam: Sebenarnya kami tidak mendustakan kamu akan tetapi kami mendustakan apa yang kamu bahawa. Maka dengan itu Allah azza wajalla menurunkan ayat tersebut.

Kebenaran ini menjadi bukti bahawa Abu Jahal mengiktiraf risalah kenabian dan begitu juga Abu Lahab sehingga diturunkan surah al-Masad untuk mencela beliau.

Begitulah hati manusia, apabila memiliki sifat angkuh, ego yang tinggi, sombong, bongkak dan belagak. Segala kebenaran dinista ibarat menegakkan benang yang basah. Sifat yang tidak boleh dilentur kerana mereka sudah menjadi buluh. Pada hakikatnya, mereka memahami dan menghayati kalam Allah azza wajalla namun dek kerana nafsu dan pegangan nenek moyang yang pantang dicabar itu seperti Abu Thalib bapa saudara Nabi Muhammad shallahu’alaihi wasallam menjadi punca hidayah tidak terpancar ke dalam hati mereka.


Wallahu ‘alam. Selamat ramadhan.!

Comments (0)