sambungan

۞ قُلْ تَعَالَوْا أَتْلُ مَا حَرَّمَ رَبُّكُمْ عَلَيْكُمْ ۖ أَلَّا تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا ۖ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا ۖ وَلَا تَقْتُلُوا أَوْلَادَكُم مِّنْ إِمْلَاقٍ ۖ نَّحْنُ نَرْزُقُكُمْ وَإِيَّاهُمْ ۖ وَلَا تَقْرَبُوا الْفَوَاحِشَ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ ۖ وَلَا تَقْتُلُوا النَّفْسَ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالْحَقِّ ۚ ذَٰلِكُمْ وَصَّاكُم بِهِ لَعَلَّكُمْ تَعْقِلُونَ
Katakanlah: "Marilah, supaya aku bacakan apa yang telah diharamkan oleh Tuhan kamu kepada kamu, iaitu janganlah kamu sekutukan dengan Allah sesuatupun; dan hendaklah (kamu) membuat baik kepada ibu bapa; dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana kepapaan, (sebenarnya) Kamilah yang memberi rezeki kepada kamu dan kepada mereka; dan janganlah kamu hampiri kejahatan-kejahatan (zina) yang terang daripadanya dan yang tersembunyi; dan janganlah kamu membunuh jiwa yang telah diharamkan Allah (membunuhnya) melainkan dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh Syarak). Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu memahaminya. (surah Al-An’am:151)

3) Janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takut kemiskinan.
Dalam hal ini, Allah sangat melarang hamba-Nya iaitu membunuh anak kerana takut kemiskinan. Saban hari, apabila kita membaca surat khabar mesti kita akan terbaca kisah bayi dibunuh dengan kejam sekali. Ada yang bayi dibuang dalam tandas. Ada juga bayi dicampak dari tempat tinggi. Ada yang meninggalkan bayi dalam kereta bahkan terdapat juga yang sengaja meninggalkan bayi di lorong-lorong gelap, di masjid dan sebagainya. Nauzubillah. Terang lagi bersuluh bahawa sikap kaum jahiliyyah telah kembali ke zaman 2020 ini.

Di dalam tasfir ibnu kathir, Al-Imam Ibnu Kathir ketika menafirkan ayat ini telah menyebut bahawa: “hal itu kerana mereka terdahulu membunuh anak-anak seperti yang diperintahkan syaitan, mereka mengubur anak-anak perempuan takut kerana aib, dan terlarang, mereka juga membunuh sebahagian anak-anak lelaki kerana takut kemiskinan.” Walaupun ayat ini menceritakan keadaan zaman dahulu tetapi keadaan itu sudah berlaku di hadapan mata kita. Ya Allah. Apakah umat manusia tidak sedar apa yang berlaku ataupun sengaja buat-buat tidak tahu.

Betapa besarnya dosa apabila seseorang membunuh anaknya kerana takut kemiskinan. Dalam hadis Shahih al-Bukhari(4761) dan Shahih Muslim, dari Abdulllah bin Mas’ud, di mana dia pernah bertanya kepada Rasulullah SAW: “Apakah dosa yang paling besar?” Baginda SAW menjawab: “Engkau menjadikan sekutu bagi Allah padahal Dialah yang telah menciptakanmu.” “Lalu apa lagi?” tanyaku. Baginda menjawab: “Engkau membunuh anakmu kerana takut ikut makan bersamamu…”

Al-Imam Ibnu Kathir juga menyebut bahawa firman Allah “من إملقIbnu ‘Abbas, Qatadah, as-Suddi dan yang lainnya berkata: “yaitu kemiskinan.” Maksudnya, janganlah kamu membunuh mereka kerana kemiskinan yang menimpa kamu. Dan manakala kemiskinan itu benar-benar terjadi, maka Allah berfirman ayat selepasnya: “Kami akan memberi rezeki kepadamu dan kepada mereka.”

Di dalam ayat lain juga Allah juga sangat melarang hamba-Nya daripada membunuh anak-anak mereka. Ini adalah satu tegahan dan larangan daripada Allah. Firman Allah dalam surah Al-Isra’ ayat ke-31:

وَلَا تَقْتُلُوا أَوْلَادَكُمْ خَشْيَةَ إِمْلَاقٍ ۖ نَّحْنُ نَرْزُقُهُمْ وَإِيَّاكُمْ ۚ إِنَّ قَتْلَهُمْ كَانَ خِطْئًا كَبِيرًا
“Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kepapaan; Kamilah yang memberi rezeki kepada mereka dan kepada kamu. Sesungguhnya perbuatan membunuh mereka adalah satu kesalahan yang besar.

Di dalam tafsir al-Azhar, Prof Hamka menyebut satu persamaan yang berlaku pada zaman jahiliyah dengan zaman sekarang bahkan zaman sekarang lebih teruk. Beliau berkata: “di zaman jahiliyah benar-benar ada orang yang membunuh anak kerana takut akan miskin. Sampai sekarang masih terdapat bangsa yang miskin menjual anaknya kerana tidak dapat memberi makanan. Tetapi ada yang lebih buruk, yaitu meracun jiwa anak sendiri dengan memberikan didikan yang salah kerana mengharapkan jaminan hidup. Orang yang menyerahkan anaknya masuk sekolah kristian kerana pengaruh pendidikan kolonial yang mengajarkan bahawa hidup yang teratur ialah meniru hidup orang barat dan agama orang barat itu ialah kristian.” Na’uzubillah.

Sungguh tajam pemikiran Hamka dan menampakkan pandangan kehadapan dan realiti yang berlaku. Sememangnya hal ini sudah pun berlaku. Anak-anak lebih cenderung kepada hal dunia berbanding akhirat. Setiap apa yang dilakukan matlamatnya adalah kebahagian dan kejayaan di dunia sedangkan tujuan utama manusia itu diciptakan adalah menjadi khalifah Allah dan menyembah Allah SWT. Ibu bapa yang merosakkan pemikiran anak-anaknya dengan kebatilan juga boleh dikatakan bahawa mereka membunuh anak mereka dengan secara tidak sengaja. Bahkan ada juga ibu bapa yang membiarkan anak mereka membuat sesuka hati tanpa ada batas-batas agama. Ada juga membiarkan anak-anak mereka sakit. Ada ibu bapa yang sibuk dengan hal dunia sehingga mengabaikan tanggungjawab.Semoga Allah memberi hidayah kepada seluruh ibu bapa. Amin

Saya masih percaya bahawa tiada ibu bapa yang tidak sayangkan anak namun mungkin secara peribadi ingin saya katakan bahawa ibu bapa yang melakukan hal sebegitu adalah disebabkan kurang kefahaman bagaimana islam mendidik anak-anak.

Justeru, hargailah anak dengan sebaik-baiknya. Mereka adalah anugerah Allah. Ibu bapa perlulah memainkan peranan dengan baik dalam mendidik anak-anak. Biar ibu bapa tak makan tapi anak-anak makan, biar ibu bapa susah tapi anak senang dengan didikan agama, biar ibu bapa sakit tapi anak sentiasa sihat. Insya-Allah, didikan yang baik kepada anak-anak akan melahirkan generasi yang baik dan kelak mereka akan menyayangi ibu bapa tersebut.

4) Jangalah dekati segala kekejian, sama ada zahir mahupun batin.

Hamka menyebut bahawa: “segala kekejian, dosa, kejahatan, maksiat, penderhakaan dan semua jenis perbuatan yang merugikan diri sendiri, merosakkan agama atau yang merugikan masyarakat, hendaklah dijauhi dan didekati bahkan haram hukumnya jika didekati.”

Terdapat sebilangan ulama’ tafsir mengatakan bahawa fahisyah itu ialah sekalian perbuatan keji yang menjolok mata yang mana sangat dibenci oleh masyarakat, syara’ dan akal dan puncak kekejian itu itu adalah zina.

Syed Qutb juga menyokong bahawa fahisyah di dalam ayat di atas adalah lebih dekat dengan makna perbutaan zina. Beliau menyebut dengan lebih jelas di dalam Tafsirnya Fi Zilalil Quran: “besar kemungkinan bahawa perbuatan zina inilah yang dimaksudkan dengan perbuatan fahisyah dalam ayat ini, kerana ruang pembicaraan di sini ialah menghuraikan perbuatan-perbuatan yang haram dan salah satunya adalah perbuatan zina.”

Bahkan di dalam tafsir ibnu Kathir juga telah menyebutkan hal sedemikian dengan memberikan sebuah dalil daripada hadis nabi Muhammad SAW dan telah diriwayatkan dalam shahih al-Bukhari dan Shahih Muslim (3837). Sa’ad bin ‘Ubadah berkata: “Seandainya aku menyaksikan seorang lelaki bersama isteriku, nescaya aku akan menyebatkan dengan pedang tanpa ampun.” Kemudian hal itu sampai ke Rasulullah SAW, maka beliau pun bersabda: “apakah kalian hairan akan kecemburuan Sa’ad? Demi Allah, aku adalah orang yang lebih cemburu daripada Sa’ad, dan Allah lebih cemburu daripadaku, dari sebab itulah Allah mengharamkan segala perbuatan keji, baik yang tampak mahupun tersembunyi.”

Maka jelas disini bahawa ayat disini memfokuskan hal-hal yang berkaitan dengan zina. Zina ialah persetubuhan yang dilakukan tanpa ada ikatan syara’. Zina adalah satu perbuatan yang sangat keji. Zina adalah dosa yang sangat besar. Zina boleh meruntuhkan akhlak dan memecahkan belahkan umat. Zaman sekarang manusia sudah berani melakukan zina secara terang-terang dan tidak lagi berselindung. Berapa banyak majalah-majalah, filem-filem, laman sesawang dan lain-lain lagi menjaja perbuatan zina. Jika tidak dibendung maka umat akan jaga rosak.

Para pemimpin dan institusi agama perlu memainkan peranan yang penting dalam mencegah yang mungkar dan menggalakkan yang baik iaitu perkahwinan serta kempen-kempen dan ceramah bagi menjelaskan bahawa zina adalah perbuatan yang sangat hina dan jijik
.
Insya-Allah, dengan perlaksaan syariat islam dengan sempurna terutama sekali dalam bab hukum hakam dan perundangan. Saya sangat menyokong hudud dilaksanakan dengan tulus dan sistematik. Hukum islam bukanlah semata-mata ingin melaksanakan hukuman tapi hukuman islam itu adalah hukuman yang mendidik. Itulah islam membawa kesejahteraan kepada sekalian umat.

5) Jangan membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah kecuali dengan hak.

Perkara yang kelima yang dilarang oleh Allah dalam surah Al-An’am ayat ke-151 ini menceritakan perihal janga membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah kecuali dengan hak. Insya-Allah saya akan kupaskan dengan 
beberapa keadaan yang boleh kita faham dengan realiti semasa. Ini sangat penting kerana zaman sekarang telah banyak berlaku fitnah sehingga berlaku pembunuhan terutama jika berbeza pendapat dalam hal-hal besar dan kecil seperti isu aqidah tentang menyamakan Allah dengan yang lain, isu fekah seperti perbezaan pendapat mazhab yang terlampun taksub, isu jihad, isu keselamatan dan lain-lain. Semua ini perlu dipelajari dan difahami.

Perkara pertama yang iaitu berkaitan dengan darah seorang Muslim. Terdapat hadis dalam Shahih al-Bukhari(6878) dan Shahih Muslim yang diriwayatkan daripada Ibnu Mas’ud, Rasulullah SAW bersabda: “tidak halal darah seorang muslim yang bersaksi bahawa tidak ada tuhan yang disembah melainkan Allah dan aku adalah rasulullah, kecuali kerana salah satu sebab daripada tiga sebab iaitu: seorang duda atau janda yang berzina, jiwa dengan jiwa (qisas) dan orang yang meninggalkan agamanya yang memisahkan diri dari jama’ah (kaum muslimin).” Tiga perkara sahaja yang disebut dalam hadis ini yang mana halal darahnya.

Perkara kedua adalah berkaitan dengan sebab. Mestilah berlaku pembunuhan itu ada sebab bukan ikut suka hawa nafsu sahaja. Allah 
berfirman di dalam surah Al-Maidah ayat ke-32:

مِنْ أَجْلِ ذَٰلِكَ كَتَبْنَا عَلَىٰ بَنِي إِسْرَائِيلَ أَنَّهُ مَن قَتَلَ نَفْسًا بِغَيْرِ نَفْسٍ أَوْ فَسَادٍ فِي الْأَرْضِ فَكَأَنَّمَا قَتَلَ النَّاسَ جَمِيعًا وَمَنْ أَحْيَاهَا فَكَأَنَّمَا أَحْيَا النَّاسَ جَمِيعًا ۚ وَلَقَدْ جَاءَتْهُمْ رُسُلُنَا بِالْبَيِّنَاتِ ثُمَّ إِنَّ كَثِيرًا مِّنْهُم بَعْدَ ذَٰلِكَ فِي الْأَرْضِ لَمُسْرِفُونَ
“sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkan membunuh orang itu, atau (kerana) melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya; dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya.

Perkara ketiga ialah Allah sangat murka kepada sesiapa yang membunuh orang yang beriman dengan sengaja dan pastinya tempat mereka itu di dalam neraka jahanam. Allah berfirman di dalam surah an-Nisa’ ayat ke-91:

وَمَن يَقْتُلْ مُؤْمِنًا مُّتَعَمِّدًا فَجَزَاؤُهُ جَهَنَّمُ خَالِدًا فِيهَا وَغَضِبَ اللَّهُ عَلَيْهِ وَلَعَنَهُ وَأَعَدَّ لَهُ عَذَابًا عَظِيمًا
“Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah neraka jahanam, kekal ia di dalamnya, dan Allah murka kepadanya, dan melakanatkannya serta menyediakan baginya azab seksa yang besar.

Hamka menyebut: “segala jiwa ini diharamkan oleh Allah, atau Allah memberi hak hidup bagi setiap jiwa. Sebab itu janganlah kamu membunuh orang. Jangan menghilangkan satu jiwa manusia. Sejak dari anak yang masih dalam kandungan, orang tua yang dekat ajalnya pun janganlah kamu membunuh. Kerana selama nafas itu masih turun naik, mereka masih diberi hak untuk hidup langsung oleh Allah termasuk juga membunuh diri.”

Al-Imam ibnu Kathir juga menyatakan bahawa ayat ini ialah: “ ini tidak lain adalah ketetapan Allah SWT atas larangan membunuh sebagai suatu penekanan, sebab hal itu telah termasuk dalam larangan berbuat keji baik yang zahir mahupun tersembunyi.”

Perkara keempat adalah berkaitan membunuh kerana terpaksa. Apakah membunuh itu dilarang oleh Allah dan apabila ada orang ingin membunuh kita, kita membiarkannya. Ini adalah kefahaman yang salah. Seharusnya kita melawan dan mempertahankan hak kita. Sebab hak hidup juga adalah hak milik kita. Sebab itu terdapat dalam hadis  Shahih Bukhair yang diriwayatkan oleh Abdulullah bin ‘Amru dia mendengar nabi Muhammad SAW menyebut: “sesiapa yang mati kerana pertahankan hartanya dia adalah syahid”. Zaman sekarang misalnya kes rompakan, ragut dan pecah rumah pasti berlaku kes pembunuhan terutama mangsa namun tidak pesalah. Maka saya menyeru kepada semua umat manusia. Pertahankan diri, keluarga kamu, harta kamu dan hak umat manusia, dan jika perlu berbunuh, maka lakukannlah supaya pesalah itu tidak akan wujud dan tidak akan berlaku lagi kes seperti ini. Inilah islam! Ia mengajarkan erti hak kesamarataan dan sememangnya kita perlu pertahankan hak kita dan jangan biarkan orang lain merampas hak kita dengan sewenang-wenangya. Berlajarlah ilmu persilatan dan ilmu pertahankan dan janganlah menyalahkan gunakannya.

Dan akhir sekali saya ingin menegaskan bahawa islam adalah agama kedamaian, kesejahteraan dan memberi rahmat kepada sekalian. Islam tidak mengajar umatnya saling membunuh sama ada terhadap bukan islam apatah lagi jika islam. Terdapat sebilangan ulama’ yang cuba menafsirkan pengertian jihad yang sangat pelik dan sukar hendak difahami dengan logik akal. Jihad yang sebenar bukanlah pergi memerangi orang bukan islam, bunuh dengan kejam dan sebagainya. Ingatlah matlamat tidak menghalalkan cara.

Jika terdapat pemahaman seperti ini, terserlahlah bahawa ianya bukan ajaran islam yang dibawah oleh Rasulullah SAW. Ingin saya petik satu ayat al-quran di dalam surah al-Baqarah ayat ke-208:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ ۚ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِينٌ
“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Ugama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.

Ada beberapa yang Allah dan Rasul-Nya melarang dan ada juga yang membenarkan mengikut keadaan. Islam adalah agama yang adil dan tidak cenderung kepada kezaliman. Maka fahamilah ajaran islam terutama berkaitan isu-isu jihad. Semoga Allah pelihara umat manusia dan semoga Allah memberi kekuatan kepada kita untuk mempertahankan hak peribadi kita. Amin

Kesimpulan

Kelima-lima ini adalah sebahagian apa yang dilarang oleh Allah iaitu jangan menyukutkan-Nya,  hendaklah berbuat baik kepada ibu bapa, jangan membunuh anak-anak, jangan dekati perkara yang keji, jangan membunuh jiwa kecuali dengan hak. Ini semua adalah perintah Allah. Maka jelas bahawa perkara ini perlu dilakukan kerana kita ingin menjadi orang yang bertaqwa kepada Allah dengan melaksanakan apa yang diperintah dan meninggalkan apa yang dilarang.

Bertepatanlah apa yang disebut oleh Allah di akhir ayat ini iaitu: “ Demikian itulah Dia wasiatkan kepada kamu, supaya kamu mengerti.”
Syed Qutb menafsirkan ayat dengan mengaitkan dengan kefahaman akal. Katanya: “mengikut pertimbangan akal hanya kuasa yang tunggal ini sahaja yang berwibawa menudukkan manusia kepada undang-undang yang dikeluarkan oleh-Nya.”


Wallhu a’lam. Terima kasih.
5 perkara yang haram kamu langgar dan wajib kamu laksanakan

Bismillhirrahmanirrahim. Alhamdulillahirabbila’lamin. Selawat dan salam ke atas junjungan besar nabi Muhammad SAW serta ahli keluarga baginda, para sahabat dan tabi’ tabi’in.

Insya-Allah, pada kali ini saya ingin berkongsi satu perkara yang sangat penting bagi seorang muslim untuk diamalkan dalam kehidupan seharian. Sesungguhnya pesanan ini juga adalah untuk saya dan para sahabat yang dirahmati Allah sekalian.Semoga kita mendapat keberkatan dan keredhaan Allah SWT. Amin.

Pada kali ini, saya memetik ayat al-quran daripada surah Al-An’am ayat ke-151 dengan temanya iaitu “5 Perkara Haram Yang Wajib Ditinggalkan dan Wajib Dilakukan”.

۞ قُلْ تَعَالَوْا أَتْلُ مَا حَرَّمَ رَبُّكُمْ عَلَيْكُمْ ۖ أَلَّا تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا ۖ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا ۖ وَلَا تَقْتُلُوا أَوْلَادَكُم مِّنْ إِمْلَاقٍ ۖ نَّحْنُ نَرْزُقُكُمْ وَإِيَّاهُمْ ۖ وَلَا تَقْرَبُوا الْفَوَاحِشَ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ ۖ وَلَا تَقْتُلُوا النَّفْسَ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالْحَقِّ ۚ ذَٰلِكُمْ وَصَّاكُم بِهِ لَعَلَّكُمْ تَعْقِلُونَ
Katakanlah: "Marilah, supaya aku bacakan apa yang telah diharamkan oleh Tuhan kamu kepada kamu, iaitu janganlah kamu sekutukan dengan Allah sesuatupun; dan hendaklah (kamu) membuat baik kepada ibu bapa; dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana kepapaan, (sebenarnya) Kamilah yang memberi rezeki kepada kamu dan kepada mereka; dan janganlah kamu hampiri kejahatan-kejahatan (zina) yang terang daripadanya dan yang tersembunyi; dan janganlah kamu membunuh jiwa yang telah diharamkan Allah (membunuhnya) melainkan dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh Syarak). Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu memahaminya. (surah Al-An’am:151)

Ada 5 perkara yang Allah SWT pesan kepada kita dan wajib kita tinggalkannya dan mesti kita lakukannya. 5 perkara tersebut ialah: 1) janganlah kamu menyekutukan Allah.
2) hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapa (jangan kita melakukan perkara tidak baik kepada mereka.
3) janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana kemiskinan
4) janganlah kamu dekati perkara yang  dikeji.
5) janganlah kamu membunuh suatu jiwa yang diharamkan oleh kecuali dengan hak.

1) Janganlah kamu kamu persekutuan Allah dengan sesuatu yang lain.
Ini adalah dasar utama yang wajib menjadi pegangan oleh setiap umat islam. Sebagai umat islam, keyakinan yang utuh dengan mempercayai bahawa Allah itu adalah Esa dan hanya Allahlah sahaja yang wajib disembah dan memohon pertolongan. Wajib mengimani bahawa Allah yan menciptakan semua kehidupan yang ada di bumi dan di langit sama ada secara zahir mahupun batin. Wajib juga mengimani bahawa hanya Allah sahaja Tuhan yang perlu disembah bahkan menyakini Allah memiliki sifat-sifat yang terpuji dan tidak satu pun dari makhluknya serupa dengan-Nya.

Umat islam mesti faham dengan jelas prinsip aqidah islamiyyah dengan kefahaman yang mendalam kerana jika umat islam menyutukan Allah dengan sesuatu yang lain maka jatuhlah hukumnya syirik. Na’uzubillah.

Dalam tasfir Al-Azhar, Prof Hamka telah menyebut bahawa: “Kemusyrikan yang haram itu bukan sahaja menyembah berhala. Bahkan kalau ada tempat tunduk selain Allah, tempat takut selain Allah, tempat melindungkan diri atau tempat memohon maka musyriklah namanya”.

Syiekh Muhammad bin Abdul Wahab juga telah menulis satu buku iaitu ‘Kitabul Tauhid’. Di dalam bukunya terdapat satu bab iaitu ‘Takut daripada Syirik’ dan beliau telah menukilkan satu hadis yang shahih daripada rasulullah SAW: “Sesuatu yang paling aku risaukan daripada kalian; adalah perbuatan syirik kecil, kemudian beliau ditanya tentang itu, dan beliaupun menjawab: yaitu riya'. (Hadis Shahih).

Selain itu, Syed Qutb dalam ‘Tafsir Fi Zhilalil-Qur’an’ juga telah menyatakan bahawa konsep kemusyrikan ini perlu dibersihkan dari hati umat manusia seperti membersihkan akal dari kotoran-kotoran khurafat, membersihkan masyarakat dari tradisi-tradisi jahiliyyah dan membershikan kehidupan dari penghambaan manusia kepada sesama manusia.

Dewasa ini, terdapat isu yang melanda umat islam khususnya berkaitan dengan isu aqidah terutamanya apabila berlaku berbeza pendapat sehingga sebahagian yang lain mengkafirkan yang lain. Ada juga yang menyatakan hukum-hakam Allah tidak sesuai dilaksanakan pada zaman sekarang. Ada juga yang cuba meta’wilkan sifat Allah SWT. Ada juga yang mengatakan Allah tidak adil kepada hamba-Nya. Ada juga yang mempertikaikan sunnahtullah. Bahkan paling banyak yang berlaku pada zaman sekarang apabila terdapat satu masalah terus dirujuk kepada pawang, dukun, bomoh dan sebagainya untuk membuang sial ataupun mendapatkan petunjuk seperti di Malaysia kes MH370, kemalangan Samy Value, Kes Anwar Ibrahim, Santau, Sihir dan lain-lain lagi. Sesungguhnya perbuatan syirik ini sangat dicela oleh Allah SWT. Semoga Allah mengampunkn dosa-dosa kita semua. Firman Allah dalam surahn An-Nisa’ ayat ke-48:
"إِنَّ اللَّهَ لَا يَغْفِرُ أَن يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَٰلِكَ لِمَن يَشَاءُ ۚ وَمَن يُشْرِكْ بِاللَّهِ فَقَدِ افْتَرَىٰ إِثْمًا عَظِيمًا".
Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu apajua), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan SyariatNya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar.

Maka jelas di sini, bahawa tauhid kepada Allah SWT itu adalah perkara akar dalam islam. Sesungguhnya umat islam mesti mempelajari ilmu aqidah islamiyyah.
TAQWA DAN BEAKHLAK MULIA ASAS KESATUAN DAN KEFAHAMAN GERAKAN

Tema kali ini dalam Usrah Qiyadah PKPIM UIAM GOMBAK telah mengangkat satu tema iaitu “Taqwa dan Berakhlak Mulia Asas Kesatuan dan Kefahaman Gerakan”. Perlu diketahui oleh setiap ahli gerakan bahawa asas untuk menjadi muslim yang sejati adalah berpegang teguh dengan ajaran al-quran dan sunnah nabi Muhammaad s.a.w. Oleh itu, tajuk ini adalah hasil perbincangan ahli pimpinan Pkpim Uiam Gombak berdasarkan al-quran dan hadis nabi Muhammad s.a.w.
Di dalam hadis 40 Imam Nawawi juga iaitu hadis yang ke 18 bertajuk “Taqwa dan Berakhlak Mulia”. Apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan taqwa dan berakhlak mulia?
عن أبي ذر جندب بن جنادة، وأبي عبد الرحمن معاذ بن جبل رضي الله عنهما، عن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال: اتق الله حيثما كنت. وأتبع السيئة الحسنة تمهحها. وخالق الناس بخلق حسن.
Daripada Abu Dzar Jundub bin Junaadah dan Abu Abdur Rahman Mu’az bin Jabal r.a. daripada Rasulullah s.a.w, Baginda bersabda: “Bertakwalah kepada Allah di mana sahaja kamu berada. Susulilah keburukan dengan kebaikan yang akan menghapuskan keburukan itu. Bergaullah dengan manusia dengan akhlak yang baik.”.( Riwayat Tarmizi dan beliau berkata: Hadis ini adalah hadis Hasan,”
Di dalam hadis ini terdapat tiga perkara penting iaitu yang pertama ialah bertaqwa kepada Allah dimana sahaja kita berada, kedua ialah susulilah keburukan dengan kebaikan yang akan menghapuskan keburukan itu dan yang terakhir ialah bergaullah dengan manusia dengan akhlak yang baik.
Perkara pertama ialah Taqwa. Di dalam al-quran Allah telah berfirman di dalam surah Aali-Imraan ayat ke-102.
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ
Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Ini adalah asas bagi setiap umat islam untuk sentiasa bertaqwa kepada Allah dan berharap segala kebaikan yang kita lakukan itu mendapat keredhaan Allah di dunia dan di akhirat. Taqwa kepada Allah ialah melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Adapun ciri-ciri orang yang bertaqwa sudah dinyatakan oleh Allah di dalam al-quran dalam surah al-baqarah ayat 1-5.
Alif, Laam, Miim.( 2 )Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang keraguan padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa;( 3 ) Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib, dan mendirikan (mengerjakan) sembahyang serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka.( 4 ) Dan juga orang-orang yang beriman kepada Kitab "Al-Quran" yang diturunkan kepadamu (Wahai Muhammad), dan Kitab-kitab yang diturunkan dahulu daripadamu, serta mereka yakin akan (adanya) hari akhirat (dengan sepenuhnya).( 5 ) Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhan mereka, dan merekalah orang-orang yang berjaya.

Di samping itu juga, taqwa itu bukanlah semata-mata menceritakan tentang halal dan haram, bukanlah hanya memfokuskan kepada soal ibadat sahaja dan tidaklah hanya ditumpukan kepada teori ketuhanan tetapi taqwa yang hakiki adalah dimana kita sentiasa berwaspada setiap masa dalam memastikan apa yang kita lakukan itu tidak melanggar syariat islam. Boleh jadi belajar ekonomi, sains perubatan, kejuruteraan, pembinaan dan pembangunan, bermain dan bersukan serta apa sahaja perbuatan dan perkataan yang kita lakukan tersebut jika apa yang dilakukan kerana Allah ia seolah-olah kita sudah bertaqwa kepada Allah kerana Allah berfirman di dalam surah Faatir ayat ke-28
إِنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاءُ
Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu.

Maka jelas disini bahawa konsep taqwa adalah setiap apa yang hamba lakukan itu adalah orang yang berilmu. Bertepatan apa yang disebut diatas bahawa boleh jadi sesiapa yang mempelajari sesuatu dan mahir dalam bidangnya serta dia menaruh bimbang dan takut kepada Allah adalah sebenar-benar makna taqwa yang hakiki.
Tambahan pula, Dr Mustafa al-Bugha di dalam kitabnya Al-Wafi syarah hadis 40 Imam Nawawi juga menyebut takwa bukanlah sekadar kalimah yang diucapkan, atau dakwaan tanpa bukti. Tetapi ia adalah suatu amalan yang berterusan dalam ketaatan kepada Allah dan benar-benar meninggalkan maksiat terhadap-Nya.

Taqwa juga adalah salah satu bentuk kunci kejayaan bagi umat islam. Ajaran islam sentiasa mendidiknya umatnya supaya sentiasa peka dan berusaha melakukan sesuatu pekerjaan dengan sebaik mungkin serta menjadi satu kekuatan kerohanian bagi setiap jiwa umat islam apabila mereka melakukan sesuatu pekerjaan itu dengan mengharapkan keredhaan Allah dan bertaqwa kepada-Nya. Firman Allah di dalam surah At-Talaq ayat ke 2-3.
وَمَن يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَل لَّهُ مَخْرَجًا (3)وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ
dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya (3)Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya.

Perkara kedua yang disebut dalam hadis ialah susulilah keburukan dengan kebaikan yang akan menghapuskan keburukan itu. Kita harus fahami apakah yang dimaksudkan dengan hadis ini dan bagaimanakah kebaikan boleh menghapuskan keburukan itu. Dr Mustafa Al-Bugha ketika memberi definisi perkataan as-saiyiat ialah keburukan ertinya dosa yang dilakukan. Oleh itu, fahamlah kunci untuk memhapuskan dosa ialah dengan bertaubat dengan bersungguh-sungguh seperti firman Allah dalam surah Aali-Imran ayat ke-135.
وَالَّذِينَ إِذَا فَعَلُوا فَاحِشَةً أَوْ ظَلَمُوا أَنفُسَهُمْ ذَكَرُوا اللَّهَ فَاسْتَغْفَرُوا لِذُنُوبِهِمْ وَمَن يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا اللَّهُ وَلَمْ يُصِرُّوا عَلَىٰ مَا فَعَلُوا وَهُمْ يَعْلَمُونَ
Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka - dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah -, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya.

Apabila seseorang muslim itu melakukan dosa secara sengaja atapun tidak sengaja maka bersegerahlah memohon keampunan kepada Allah. Allah itu Maha Pengampun dan Dia akan sentiasa menerima taubat daripada hamba-Nya. Walaupun dosa itu sebesar-besar gunung dan sekecil-kecil zahrah pastinya Allah akan mengampunkan dosa jika kita benar-benar ingin memohon keampunan dari-Nya.

Sebahagian muslim hanya memikirkan bahawa dosa jika meningalkan solat, tidak berpuasa di bulan ramadhan, tidak mengeluarkan zakat, tidak beriman kepada rukun iman. Tetapi mungkin lupa bahawa jika pemerintah yang zalim pun adalah dosa, hakim yang tidak memutuskan amanah juga adalah dosa, mencuri dan menipu juga dosa, rahsuah dan pecah amanah juga adalah dosa, melanggar kereta dan lari juga dosa, mengumpat dan fitnah juga adalah dosa dan sebagainya. Perlu diingat bahawa dosa ini tidak semestinya antara hubungan kita dengan Allah tetapi ia merangkumi perkara-perkara muamalat sesama manusia dan juga terhadap makhluk Allah yang lain.

Justeru, apabila kita sudah melakukan dosa bersegeralah memohon keampunan dan melakukan kebaikan supaya dengan apa yang kita lakukan mudah-mudahan Allah akan menghapuskan dosa kita yang lalu seperti firman Allah di dalam surah Hud ayat ke-114
إنَّ الْحَسَنَاتِ يُذْهِبْنَ السَّيِّئَاتِ
Sesungguhnya amal-amal kebajikan (terutama sembahyang) itu menghapuskan kejahatan.
Allah juga telah berfirman di dalam surah Al-Furqan ayat ke-70:
إِلَّا مَن تَابَ وَآمَنَ وَعَمِلَ عَمَلًا صَالِحًا فَأُولَٰئِكَ يُبَدِّلُ اللَّهُ سَيِّئَاتِهِمْ حَسَنَاتٍ ۗ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَّحِيمًا
Kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal yang baik, maka orang-orang itu, Allah akan menggantikan (pada tempat) kejahatan mereka dengan kebaikan; dan adalah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Perkara yang ketiga ialah Akhlak adalah asas ketamadunan. Suka saya memetik kata-kata Dr Mustafa Al-Bugha, beliau menyebut: “ dalam wasiat ini rasulullah SAW menyarankan kepada kita satu perkata yang boleh memperbaiki kehidupan individu dan membolehkan sistem kemasyarakatan berjalan dengan baik. Perkara tersebut ialah bermuamalah dengan manusia dengan akhlak yang baik. Iaitu bermuamalah dengan mereka dengan melakukan kebaikan sepertimana dia suka orang lain bermuamalah dengannya, sehingga dia menjadi seorang muslim yang disenangi, mengasihi manusia dan manusia mengasihinya, saling hormat-menghormati dan saling berbuat baik. Ketika itu setiap individu masyarakat akan bergerak untuk melaksanakan tugas dan kewajipan masing-masing dengan penuh ketenangan dan keredhaan. Dengan itu, segala urusan akan berjalan dengan baik, nilai-nilai yang baik akan tertegak dan tamadun akan berdiri utuh.”

Kita harus faham bahawa melakukan kebaikan dengan manusia yang lain adalah satu kewajipan dan sunnah rasulullah SAW.  melakukan kebaikan sesame manusia ini adalah umum iaitu ia mestilah dijaga setiap perlakuan dan perbuatan kita seperti jika ingin menegur pemimpin, mentaati perintah ibu bapa selagi tidak melanggar syariat, menasihati para sahabat, memegang rahsia gerakan dan ahlinya, tidak membuka aib apatah lagi memfitnah, menolong sahabat ketika susah dan bergembira ketika sahabat bahagia, melakukan kerja yang diamanahkan dan sebaiknya, menghormati orang tua dan menyayangi orang muda, tidak menimbulkan provokasi yang melampau, menghargai masa, berkerjasama dalam melaksanakan amar ma’ruf dan nahi mungkar dan sebagainya.

Nabi Muhammad SAW juga bersabda:
إنما بعثت لأتمم مكارم الأخلاق.
Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.
Selain itu juga, Imam Ahmad dan Abu Daud meriwayatkan hadis daripada Rasulullah SAW:
خياركم، أحاسنكم خلقا.
Orang yang paling baik di antaramu ialah orang yang baik akhlaknya.
Maka jelas disini, berakhlak mulia dan bergaul dengan manusia adalah satu tuntutan yang wajib yang mesti dilakukan oleh setiap manusia khususnya umat islam. Kita harus mencontohi rasulullah SAW kerana baginda adalah qudwah hasanah seperti yang disebut di dalam al-quran dalam surah Al-Ahzaab ayat ke-21.
لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا
Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang.

Namun sekarang, sebahagian manusia sudah hilang sifat kemanusian. Kita lihatlah persekitaraan kita. Keadaan yang tidak mendamaikan, banyak berlaku pembunuhan, rompakan dan ragut, rumah pelacuran yang pesat membangun, memfitnah menjadi satu perkara yang biasa dalam bidang politik, riba sudah biasa dalam perniagaan, tidak menghormati orang tua, kes buli di antara pelajar sama ada lelaki dengan lelaki bahkan sekarang perempuan sesama perempuan. Belum lagi kita sentuh isu Negara dan antarabangsa.

Jadi, kita boleh nampak walaupun sesebuah Negara itu maju dalam pembangunan, teknologi, ketenteraan, ekonomi dan politik belum tentu rakyat hebat akhlaknya. Oleh itu, marilah kita sama, memperbaiki akhlak kita dengan mencontohi rasulullah SAW.

Wallhu A’lam. Terima kasih.


Bersambung…

Mari mengubah dunia?
            Apa yang kita boleh faham dengan tajuk “mari mengubah dunia”? Persoalan ini saya dapat dari satu program yang telah diadakan di UIAM. Tajuk yang cukup menarik untuk kita kupaskan bersama. Pada persepsi saya apabila saya menghadiri program ini adalah kita akan dapat tahu titik permulaan cara untuk mengubah dunia, cabaran dan dugaannya serta apa yang paling saya harapkan adalah kefahaman tentang prinsip-prinsip islam. Alhamdulillah bagi saya perkongsiannya cukup baik. Dalam penulisan ini saya ingin menghuraikan apakah matlamat utama dan sebenar untuk mengubah dunia, apakah ia keutamaan dalam mengubah dan bagaimana perubahan yang sebenar dan saya juga cuba untuk menggabungkan beberapa perkara penting daripada program tersebut dan ditambah dengan pendapat saya. Insya-Allah.
            Saya selalu terfikir kenapa generasi zaman kini lebih cenderung kepada kata-kata filsufi barat ataupun lebih suka merujuk kepada pandangan orang bukan islam. Apakah sebabnya mereka lebih percaya dan berpegang dengan kata-kata mereka dan tidaklah pula berpegang kepada al-quran dan sunnah nabi Muhammad SAW. Mereka boleh hafal setiap baris berserta nama penuh bahkan muka surat juga mereka boleh ingat. Mereka seperti mengagung-agungkan filsufi barat ibarat hanya kata-kata mereka itu adalah ungkapan emas dan boleh menyemarakkan perasaan yang penuh membara sehingga kata-kata mereka dipegang untuk merealisasikan impian mereka. Namun persoalan yang ingin saya timbulkan bukanlah mengatakan salah merujuk kepada filsufi barat tetapi persoalan yang ingin saya timbulkan kenapa kita tidak mengkaji al-quran dan sunnah serta para cendiakawan dan pemikir islam. Inilah perubahan yang harus difikirkan!
            Di samping itu, saya rasa bingung dan kecewa amat sangat kepada generasi zaman sekarang kerana sumber perundangan islam yang autentik lagi unggul itu diabaikan bahkan lebih malang apabila dilupakan. Sungguh hairan dan pelik!
            Tidakkah mereka terfikir apa yang nabi Muhammad SAW sebut dalam hadisnya bahawa al-quran dan hadis adalah sumber yang shahih bahkan jika mereka berpegang teguh dengannya pasti mereka tidak akan sesat bahkan mungkin akan berjaya dunia dan akhirat. Insya-Allah. Sabda nabi Muhammad SAW: “aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat selama-lamanya selagi mana kamu berpegang teguh dengan kedua-duanya iaitu kitab Allah dan sunnah Nabi”

            Bismillahirrahmanirrahim, alhamdulillahirrabil’alamin. Sesunguhnya Allah Maha Berkuasa di atas setiap sesuatu kejadian yang telah berlaku ataupun belum berlaku. Dialah menciptakan manusia dari tanah, Dialah juga yang menciptakan jin dari api bahkan Dialah juga yang menjadikan malaikat daripada cahaya. Tujuan Allah menjadikan manusia, jin dan malaikat tidak lain tidak bukan hanyalah semata-mata untuk menyembah kepada Allah dengan sepenuh jiwa dan raga. Allah telah berfirman di dalam surah Az-Zariyat ayat ke 56.
“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.”
            Dasar utama ini yang menjadi pra syarat kepada setiap ummat manusia untuk berjaya di dunia dan mendapat kejayaan di akhirat. Dasar utama ini memerlukan satu keperluan asas yang sangat penting iaitu ilmu. Ilmu adalah cahaya dan hidayah yang akan memberikan kita jalan bagaimana untuk menyembah Allah, tanpa ilmu kita mungkin tersesat dan lebih malang apabila segala ibadah yang kita lakukan itu tidak mendapat apa-apa manfaat melainkan penat dan letih sahaja.
            Demikianlah juga kisah junjungan besar nabi kita nabi Muhammad SAW apabila tibanya baginda SAW diangkat menjadi seoarang rasul, wahyu pertama yang baginda SAW menerima ialah bacalah!. Membaca adalah satu konsep asas yang sangat penting dalam menuntut ilmu. Membaca menjadikan kita orang yang berilmu pengetahuan. Membaca membawa kita lebih dekat dengan Allah. Membaca juga adalah wasilah untuk menyebarkan risalah islamiyyah.
            Jika kita membaca firman-firman Allah dan memahaminya akan menjadikan kita orang yang sangat dicintai Allah. Ketika Allah ingin menjadikan seorang khalifah di muka bumi untuk mentadbir bumi ini. Allah juga telah berkata-kata dengan para malaikat dalam surah Al-Baqarah ayat 30:
“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?". Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya".”
Dalam sebuah kitab al-lughah at-thatbiqi, beliau menyebut bahawa ayat ini adalah asas permulaan bahasa, bagaimana kita menerima bahasa dan menyampaikan maklumat. Perkataan qala disitu adalah membawa erti berkata-kata, berbicara, berfirman dan ia juga boleh diertikan bahawa permulaan informasi adalah dengan berkata-kata.
            Oleh itu, terang lagi bersuluh bahawa untuk menyembah Allah kena ada ilmu dan untuk memiliki ilmu adalah dengan membaca. Kita tidak boleh nafikan hal ini namun kita tidak boleh menolak aspek-aspek lain dalam menimba ilmu seperti mendengar dan melihat.
Para sahabat yang dirahmati Allah,
            Di zaman kontemperori ini, kita telah disajikan dengan pelbagai ilmu. Terdapat ilmu yang bermanfaat dan tidak bermanfaat, ada juga ilmu yang memberikan cahaya dan kegelapan, ada juga ilmu yang membawa kebenaran dan kesesatan. Namun secara fitrahnya, ilmu adalah sifatnya semula jadi dengan erti kata lain ilmu adalah neutral kerana Allah yang menjadikan ilmu tersebut dan tidaklah Allah menjadikan sesuatu itu dengan sia-sia dan memberikan mudharat kepada ummat manusia khususnya. Inilah apa yang ingin saya jelaskan di dalam makalah yang ringkas ini bahawa ilmu adalah neutral dan saya ingin menegaskan bahawa islam tidak mengklafisafikan ilmu sama ada fardhu ain mahupun fardhu kifayah ataupun ilmu agama dengan ilmu akademik.
            Saya ingin menegaskan bahawa terdapat sebilangan ummat manusia yang cuba memisah dan membahagikan konsep ilmu ini dan mereka boleh dikatakan dalam kalangan golongan sekularisme kerana memisahkan hal dunia dengan agama. Islam itu dalam ­ad-din as-syumul­ agama yang sempurna. Tidak mungkin islam memisahkan hal dunia dengan hal akhirat apatah lagi ilmu.
            Kita harus jelas bahawa perkataan ilmu menurut kamus dewan juga menghuraikan perkara yang sama yakni pengetahuan dalam perkara dunia dan akhirat sama ada batin dan zahir. Apakah hanya belajar ilmu aqidah, fiqh, bahasa arab, quran sunnah, dan pendidikan islam itu hanya menceritakan tentang akhirat manakala ilmu akademik seperti sains, matemaik, bahasa melayu, bahasa inggeris, sejarah dan sebagainya bukan ilmu yang menghubungkan di antara hamba dengan Penciptanya? Bahkan terdapat sebilangan asatizah mengatakan ilmu seperti sains, perubatan, bahasa melayu dan seumpamanya itu adalah ilmu bukan agama dan ditambahnya sebagai fardhu kiyafah. Bagi saya pendapat itu agak jelek dan dangkal kerana apakah ada dalil khas mengatakan hal sedemikian.
            Bila kita amati satu persatu dalil-dalil Allah akan terbuktilah bahawa ilmu yang ada di muka bumi boleh dikatakan semuanya fardhu ain dan saya akan buktikkan.
Para sahabat yang dirahmati Allah,
            Setiap perkara dan benda yang Allah jadikan mesti dan hikmahnya dan manfaatnya lebih banyak daripada keburukan. Allah Maha Berkuasa terhadap setiap sesuatu. Dia menjadikan ummat manusia sebaik-baik kejadian dan semestinya Dia akan menyediakan segala keperluan yang sempurna bagi ummat manusia untuk mengurus bumi dengan baik. Allah memberikan akal dan nafsu supaya ada timbal balik dalam setiap urusan dan Dia mengurniakan ilmu sebagai panduan supaya akal dan nafsu tidak terikut dengan godaan syaitan. Itulah fungsi ilmu.
            Allah berfirman di dalam surah Al-Mujadalah ayat ke 11:
“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diminta kepada kamu memberi lapang dari tempat duduk kamu (untuk orang lain) maka lapangkanlah seboleh-bolehnya supaya Allah melapangkan (segala halnya) untuk kamu. Dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan ugama (dari kalangan kamu) - beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan.”
Jika kita perhatikan ayat ini dengan pandangan hati, kita akan dapati bahawa orang yang berilmu diangkat darjatnya beberapa darjat. Ayat diatas juga tidaklah menyebut bahawa hanya ilmu aqidah, fekah, bahasa arab, al-quran dan hadis hanyalah orang yang berilmu.
Kita perhatikan firman Allah di dalam surah Fatir ayat ke 28:
“Dan demikian pula di antara manusia dan binatang-binatang yang melata serta binatang-binatang ternak, ada yang berlainan jenis dan warnanya? Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun.”
Di dalam ayat ini, ada dua perkara yang saya ingin tekankan iaitu pertama, Allah menyebut tentang binatang yang ada pelbagai jenis dan warnya dan kedua orang-orang yang berilmu. Apakah perkaitan kedua ayat ini? Konsep pertama yang boleh kita fahamkan bahawa mesti ada hikmah kenapa Allah mengaitkan binatang dengan orang-orang yang berilmu. Bila kita perhatikan bahawa binatang itu dijadikan ada pelbagai jenis. Al-Jahiz di dalam bukunya  al-haiwan telah membahagikan pelbagai jenis binatang, ada yang terbang, ada yang berkaki, berbulu, dua alam dan haiwan yang boleh menyebut dan tidak. Para ulama’ dahulu sudah mengkaji perkara ini.
Begitu juga ayat selepasnya orang-orang yang berilmu. Di dalam kaedah bahasa arab, perkataan adalah nakirah yakni tidak ada pengkhususan kepada mana-mana orang yang berilmu. Maka jelaslah disini bahawa semua orang yang berilmu sama ada dari bidang agama, politik, ekonomi dan sosial adalah dikategorikan sebagai ulama’ dan Allah telah menekankan satu perkara yang sangat penting iaitu orang-orang yang berilmu adalah orang yang menaruh bimbang dan takut melanggar perintah Allah.
Justeru, semua cabangan profesion tidaklah salah dan tidaklah ada tuntutan seperti fardhu ain atau fardhu kifayah dan tidak ada juga pembahagian seperti ilmu agama dan ilmu dunia.  Yang menjadi kayu ukuran disini ialah konsep penghambaan kepada Sang Pencipta iaitu orang-orang yang berilmu ialah orang yang menaruh bimbang dan takut melanggar perintah Allah. Maka belajarlah dan tuntutlah semua ilmu yang ada yang mana akan menjadikan kamu orang takut kepada Allah. Inilah konsep ilmu yang hakiki.
Rasulullah SAW telah menerima wahyu yang pertama dari Allah SWT iaitu di dalam surah Al-‘Alaq:1-5
“Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, - Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, - Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.”
Bacalah! Inilah perkataan yang pertama yang nabi Muhammad SAW terima daripada Allah SWT. Perkataan ini tidak lain tidak bukan adalah sebagai tuntutan kepada nabi Muhammad SAW untuk belajar membaca dan secara tidak langsung kita sebagai ummat nabi Muhammad diwajibkan ke atas kita untuk melaksanakan segala perintah Allah dan mengikut sunnah rasulullah SAW.
Kita dapat ketahui bahawa kunci kepada ilmu pengetahuan ini adalah dengan membaca seperti yang disebut dalam pepatah arab al-qiraah miftahu al-‘ilmi (membaca adalah kunci pengetahuan). Namun islam datang dengan membawa misi dan visi yang lebih jauh iaitu membaca bukan sekadar untuk menimba ilmu semata-mata tetapi tujuan utamanya adalah untuk mengenali Allah SWT iaitu rab (pendidik) nabi Muhammad SAW.
Perkataan iqra’  diatas tidaklah memfokuskan kepada bidang ataupun ilmu tertentu dan tidaklah pula mengatakan hanya perlu mengenal Allah melalui ilmu agama mahupun fardhu ‘ain namun konsepnya lebih yakni segala setiap sesuatu yang mana apabila di baca dan dipelajari akan mendekatkan kita dengan Allah bahkan mencintai-Nya.
Para sahabat yang dirahmati Allah,
            Seterusnya saya ingin mengupas satu persatu untuk membuktikan bahawa islam tidak membahagi-bahagikan konsep ilmu tetapi islam hanya membezakan orang yang berilmu dengan orang yang berilmu. Islam menjelaskan bahawa semua ilmu bermanfaat dan bagaimana setiap satu-satu ilmu memerlukan antara satu sama lain. Islam juga menititberatkan setiap ummat manusia mempelajari semua ilmu dari pelbagai aspek bahkan islam mendidik ummat manusia supaya merasa rendah diri dan akur apa yang dimiliki.
Allah berfirman di dalam surah Az-Zumar ayat ke 9:
"(Engkaukah yang lebih baik) atau orang yang taat mengerjakan ibadat pada waktu malam dengan sujud dan berdiri sambil takutkan (azab) hari akhirat serta mengharapkan rahmat Tuhannya? "Katakanlah lagi (kepadanya): "Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?" Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.”
Perhatikan ayat “adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui, sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang yang berakal sempurna”. Tidakkah jelas bahawa Allah telah menyebut bahawa tiada perbezaan antara manusia yang belajar agama dengan manusia yang belajar sains namun Allah hanya membezakan di antara manusia yang berilmu dengan manusia yang berilmu. Bahkan kita perhatikan ayat seterusnya bahawa Allah sangat menekankan satu sistem pendidikan yang cukup displin iaitu setiap ilmu yang dipelajari itu mestilah ada pelajaran, peringatan dan semestinya semua ilmu itu mestilah berkaitan dengan Allah. Maka apabila ilmu itu ada pelajaran dan peringatannya yang tersendiri akan melahirkan ummat manusia yang berakal sempurna dan bijak mengurus kehidupannya.
Firman Allah dalam surah Al-‘Ankabut ayat ke 43:
“Dan misal-misal perbandingan yang demikian itu Kami kemukakan kepada umat manusia, dan hanya orang-orang yang berilmu yang dapat memahaminya.”
            Ayat al-quran juga jelas menceritakan bahawa orang yang beriman sahaja yang dapat memahami apa yang berlaku di persekitaran mereka. Ayat ini juga menceritakan tentang amsal (perbandingan). Para Arab Jahiliyyah dahulu banyak mengunakan perbandingan di antara satu dengan yang lain seperti wanita yang cantik disamakan dengan bulan purnama dan begitu juga ayat al-quran yang lain seperti dalam surah al-Jumaah ayat ke-5:
            “Perumpamaan orang yang diberi tugas membawa taurat, kemudian mereka tidak membawanya adalah seperti keldai yang membawa kitab-kitab yang tebal.”
Justeru, orang yang betul memahami perumpamaan ini adalah orang yang berakala dan berilmu. Saya ingin kata bahawa ayat ini juga tidak menyebutkan semua orang boleh jadi tidak faham dan mungkin sebahagian sahaja yang faham kerana inilah yang dinamakan ilmu yang mana hanya akan difahami jika dipelajari.