TAQWA DAN BEAKHLAK MULIA ASAS KESATUAN DAN KEFAHAMAN GERAKAN

Tema kali ini dalam Usrah Qiyadah PKPIM UIAM GOMBAK telah mengangkat satu tema iaitu “Taqwa dan Berakhlak Mulia Asas Kesatuan dan Kefahaman Gerakan”. Perlu diketahui oleh setiap ahli gerakan bahawa asas untuk menjadi muslim yang sejati adalah berpegang teguh dengan ajaran al-quran dan sunnah nabi Muhammaad s.a.w. Oleh itu, tajuk ini adalah hasil perbincangan ahli pimpinan Pkpim Uiam Gombak berdasarkan al-quran dan hadis nabi Muhammad s.a.w.
Di dalam hadis 40 Imam Nawawi juga iaitu hadis yang ke 18 bertajuk “Taqwa dan Berakhlak Mulia”. Apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan taqwa dan berakhlak mulia?
عن أبي ذر جندب بن جنادة، وأبي عبد الرحمن معاذ بن جبل رضي الله عنهما، عن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال: اتق الله حيثما كنت. وأتبع السيئة الحسنة تمهحها. وخالق الناس بخلق حسن.
Daripada Abu Dzar Jundub bin Junaadah dan Abu Abdur Rahman Mu’az bin Jabal r.a. daripada Rasulullah s.a.w, Baginda bersabda: “Bertakwalah kepada Allah di mana sahaja kamu berada. Susulilah keburukan dengan kebaikan yang akan menghapuskan keburukan itu. Bergaullah dengan manusia dengan akhlak yang baik.”.( Riwayat Tarmizi dan beliau berkata: Hadis ini adalah hadis Hasan,”
Di dalam hadis ini terdapat tiga perkara penting iaitu yang pertama ialah bertaqwa kepada Allah dimana sahaja kita berada, kedua ialah susulilah keburukan dengan kebaikan yang akan menghapuskan keburukan itu dan yang terakhir ialah bergaullah dengan manusia dengan akhlak yang baik.
Perkara pertama ialah Taqwa. Di dalam al-quran Allah telah berfirman di dalam surah Aali-Imraan ayat ke-102.
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ
Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Ini adalah asas bagi setiap umat islam untuk sentiasa bertaqwa kepada Allah dan berharap segala kebaikan yang kita lakukan itu mendapat keredhaan Allah di dunia dan di akhirat. Taqwa kepada Allah ialah melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Adapun ciri-ciri orang yang bertaqwa sudah dinyatakan oleh Allah di dalam al-quran dalam surah al-baqarah ayat 1-5.
Alif, Laam, Miim.( 2 )Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang keraguan padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa;( 3 ) Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib, dan mendirikan (mengerjakan) sembahyang serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka.( 4 ) Dan juga orang-orang yang beriman kepada Kitab "Al-Quran" yang diturunkan kepadamu (Wahai Muhammad), dan Kitab-kitab yang diturunkan dahulu daripadamu, serta mereka yakin akan (adanya) hari akhirat (dengan sepenuhnya).( 5 ) Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhan mereka, dan merekalah orang-orang yang berjaya.

Di samping itu juga, taqwa itu bukanlah semata-mata menceritakan tentang halal dan haram, bukanlah hanya memfokuskan kepada soal ibadat sahaja dan tidaklah hanya ditumpukan kepada teori ketuhanan tetapi taqwa yang hakiki adalah dimana kita sentiasa berwaspada setiap masa dalam memastikan apa yang kita lakukan itu tidak melanggar syariat islam. Boleh jadi belajar ekonomi, sains perubatan, kejuruteraan, pembinaan dan pembangunan, bermain dan bersukan serta apa sahaja perbuatan dan perkataan yang kita lakukan tersebut jika apa yang dilakukan kerana Allah ia seolah-olah kita sudah bertaqwa kepada Allah kerana Allah berfirman di dalam surah Faatir ayat ke-28
إِنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاءُ
Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu.

Maka jelas disini bahawa konsep taqwa adalah setiap apa yang hamba lakukan itu adalah orang yang berilmu. Bertepatan apa yang disebut diatas bahawa boleh jadi sesiapa yang mempelajari sesuatu dan mahir dalam bidangnya serta dia menaruh bimbang dan takut kepada Allah adalah sebenar-benar makna taqwa yang hakiki.
Tambahan pula, Dr Mustafa al-Bugha di dalam kitabnya Al-Wafi syarah hadis 40 Imam Nawawi juga menyebut takwa bukanlah sekadar kalimah yang diucapkan, atau dakwaan tanpa bukti. Tetapi ia adalah suatu amalan yang berterusan dalam ketaatan kepada Allah dan benar-benar meninggalkan maksiat terhadap-Nya.

Taqwa juga adalah salah satu bentuk kunci kejayaan bagi umat islam. Ajaran islam sentiasa mendidiknya umatnya supaya sentiasa peka dan berusaha melakukan sesuatu pekerjaan dengan sebaik mungkin serta menjadi satu kekuatan kerohanian bagi setiap jiwa umat islam apabila mereka melakukan sesuatu pekerjaan itu dengan mengharapkan keredhaan Allah dan bertaqwa kepada-Nya. Firman Allah di dalam surah At-Talaq ayat ke 2-3.
وَمَن يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَل لَّهُ مَخْرَجًا (3)وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ
dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya (3)Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya.

Perkara kedua yang disebut dalam hadis ialah susulilah keburukan dengan kebaikan yang akan menghapuskan keburukan itu. Kita harus fahami apakah yang dimaksudkan dengan hadis ini dan bagaimanakah kebaikan boleh menghapuskan keburukan itu. Dr Mustafa Al-Bugha ketika memberi definisi perkataan as-saiyiat ialah keburukan ertinya dosa yang dilakukan. Oleh itu, fahamlah kunci untuk memhapuskan dosa ialah dengan bertaubat dengan bersungguh-sungguh seperti firman Allah dalam surah Aali-Imran ayat ke-135.
وَالَّذِينَ إِذَا فَعَلُوا فَاحِشَةً أَوْ ظَلَمُوا أَنفُسَهُمْ ذَكَرُوا اللَّهَ فَاسْتَغْفَرُوا لِذُنُوبِهِمْ وَمَن يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا اللَّهُ وَلَمْ يُصِرُّوا عَلَىٰ مَا فَعَلُوا وَهُمْ يَعْلَمُونَ
Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka - dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah -, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya.

Apabila seseorang muslim itu melakukan dosa secara sengaja atapun tidak sengaja maka bersegerahlah memohon keampunan kepada Allah. Allah itu Maha Pengampun dan Dia akan sentiasa menerima taubat daripada hamba-Nya. Walaupun dosa itu sebesar-besar gunung dan sekecil-kecil zahrah pastinya Allah akan mengampunkan dosa jika kita benar-benar ingin memohon keampunan dari-Nya.

Sebahagian muslim hanya memikirkan bahawa dosa jika meningalkan solat, tidak berpuasa di bulan ramadhan, tidak mengeluarkan zakat, tidak beriman kepada rukun iman. Tetapi mungkin lupa bahawa jika pemerintah yang zalim pun adalah dosa, hakim yang tidak memutuskan amanah juga adalah dosa, mencuri dan menipu juga dosa, rahsuah dan pecah amanah juga adalah dosa, melanggar kereta dan lari juga dosa, mengumpat dan fitnah juga adalah dosa dan sebagainya. Perlu diingat bahawa dosa ini tidak semestinya antara hubungan kita dengan Allah tetapi ia merangkumi perkara-perkara muamalat sesama manusia dan juga terhadap makhluk Allah yang lain.

Justeru, apabila kita sudah melakukan dosa bersegeralah memohon keampunan dan melakukan kebaikan supaya dengan apa yang kita lakukan mudah-mudahan Allah akan menghapuskan dosa kita yang lalu seperti firman Allah di dalam surah Hud ayat ke-114
إنَّ الْحَسَنَاتِ يُذْهِبْنَ السَّيِّئَاتِ
Sesungguhnya amal-amal kebajikan (terutama sembahyang) itu menghapuskan kejahatan.
Allah juga telah berfirman di dalam surah Al-Furqan ayat ke-70:
إِلَّا مَن تَابَ وَآمَنَ وَعَمِلَ عَمَلًا صَالِحًا فَأُولَٰئِكَ يُبَدِّلُ اللَّهُ سَيِّئَاتِهِمْ حَسَنَاتٍ ۗ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَّحِيمًا
Kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal yang baik, maka orang-orang itu, Allah akan menggantikan (pada tempat) kejahatan mereka dengan kebaikan; dan adalah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Perkara yang ketiga ialah Akhlak adalah asas ketamadunan. Suka saya memetik kata-kata Dr Mustafa Al-Bugha, beliau menyebut: “ dalam wasiat ini rasulullah SAW menyarankan kepada kita satu perkata yang boleh memperbaiki kehidupan individu dan membolehkan sistem kemasyarakatan berjalan dengan baik. Perkara tersebut ialah bermuamalah dengan manusia dengan akhlak yang baik. Iaitu bermuamalah dengan mereka dengan melakukan kebaikan sepertimana dia suka orang lain bermuamalah dengannya, sehingga dia menjadi seorang muslim yang disenangi, mengasihi manusia dan manusia mengasihinya, saling hormat-menghormati dan saling berbuat baik. Ketika itu setiap individu masyarakat akan bergerak untuk melaksanakan tugas dan kewajipan masing-masing dengan penuh ketenangan dan keredhaan. Dengan itu, segala urusan akan berjalan dengan baik, nilai-nilai yang baik akan tertegak dan tamadun akan berdiri utuh.”

Kita harus faham bahawa melakukan kebaikan dengan manusia yang lain adalah satu kewajipan dan sunnah rasulullah SAW.  melakukan kebaikan sesame manusia ini adalah umum iaitu ia mestilah dijaga setiap perlakuan dan perbuatan kita seperti jika ingin menegur pemimpin, mentaati perintah ibu bapa selagi tidak melanggar syariat, menasihati para sahabat, memegang rahsia gerakan dan ahlinya, tidak membuka aib apatah lagi memfitnah, menolong sahabat ketika susah dan bergembira ketika sahabat bahagia, melakukan kerja yang diamanahkan dan sebaiknya, menghormati orang tua dan menyayangi orang muda, tidak menimbulkan provokasi yang melampau, menghargai masa, berkerjasama dalam melaksanakan amar ma’ruf dan nahi mungkar dan sebagainya.

Nabi Muhammad SAW juga bersabda:
إنما بعثت لأتمم مكارم الأخلاق.
Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.
Selain itu juga, Imam Ahmad dan Abu Daud meriwayatkan hadis daripada Rasulullah SAW:
خياركم، أحاسنكم خلقا.
Orang yang paling baik di antaramu ialah orang yang baik akhlaknya.
Maka jelas disini, berakhlak mulia dan bergaul dengan manusia adalah satu tuntutan yang wajib yang mesti dilakukan oleh setiap manusia khususnya umat islam. Kita harus mencontohi rasulullah SAW kerana baginda adalah qudwah hasanah seperti yang disebut di dalam al-quran dalam surah Al-Ahzaab ayat ke-21.
لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا
Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang.

Namun sekarang, sebahagian manusia sudah hilang sifat kemanusian. Kita lihatlah persekitaraan kita. Keadaan yang tidak mendamaikan, banyak berlaku pembunuhan, rompakan dan ragut, rumah pelacuran yang pesat membangun, memfitnah menjadi satu perkara yang biasa dalam bidang politik, riba sudah biasa dalam perniagaan, tidak menghormati orang tua, kes buli di antara pelajar sama ada lelaki dengan lelaki bahkan sekarang perempuan sesama perempuan. Belum lagi kita sentuh isu Negara dan antarabangsa.

Jadi, kita boleh nampak walaupun sesebuah Negara itu maju dalam pembangunan, teknologi, ketenteraan, ekonomi dan politik belum tentu rakyat hebat akhlaknya. Oleh itu, marilah kita sama, memperbaiki akhlak kita dengan mencontohi rasulullah SAW.

Wallhu A’lam. Terima kasih.


Bersambung…


KESATUAN DAN KEFAHAMAN GERAKAN
Sambungan…
Muqaddimah
Alhamdulillah, bersyukur kehadrat Illahi kerana limpah dan kurnia-Nya kita masih dapat merasai nikmat iman dan ihsan. Selawat dan salam ke atas junjungan besar nabi Muhammad SAW.
Bersempena dengan hari kelahiran PKPIM yang sudah berumur ke-54. PKPIM Uiam Gombak ingin mengucapkan selamat hari lahir kepada Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia. Semoga gerakan ini terus istiqamah dalam jalannya iaitu menyeru kearah kebaikan dan mencegah kemungkaran. Boleh dikatakan bahawa gerakan PKPIM Uiam Gombak adalah cucu kerana masih agak baru berbanding penggerak gerakan PKPIM oleh Atuk Nenek serta Ibu dan Ayah dalam menggalas amanah yang cukup besar dan lama ini. Sesungguhnya perjuangan mereka cukup besar dan jasa sukar dibalas. Semoga perjuangan dan jasa mereka mendapat keredhaan Allah di dunia dan di akhirat. PKPIM Uiam Gombak mengalu-alukan tunjuk ajar dan didikan daripada kalian bagi meneruskan agenda dakwah ini dapat diteruskan dengan baik dan efektif. ‘HIDUP BIAR BERJASA’.
          Oleh itu, amatlah bertepatan dengan tema usrah PKPIM Uiam Gombak iaitu kami mengangkat tema “ Taqwa dan Berakhlak Mulia Adalah Asas Kesatuan dan Kefahaman Gerakan”. Sesungguhnya gerakan yang hebat dan agung itu bukanlah diukur berapa banyak program yang telah dilaksanakan dan tidaklah pula dikatakan hebatnya satu gerakan itu jika hanya gah pada sejarahnya. Hebatnya gerakan itu adalah dimana ia mampu melahirkan kader-kader islam yang patuh kepada syariat islam dan mempraktikkan sunnah rasulullah SAW dalam kehidupan seharian serta menyampaikannya kepada masyarakat yang berada disekelilingnya.
Kalau kita membaca artikel oleh saudara Fazril iaitu Presiden PKPIM yang bertajuk ‘Memahami Garis-Garis Besar Haluan Perjuangan’, beliau menyebut bahawa Maratib al-‘Amal yang pertama iaitu Sakhsiyah Islamiyyah. Maka jelas disini, pembentukan Sakhsiyah al-Islamiyyah sangat penting bagi setiap ahli gerakan. Bertepatan dengan ayat al-quran di dalam surah at-Tahrim ayat ke-6: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka”. Selepas itu diikuti dengan Keluarga Islam, Masyarakat Islam, Daulah Islamiyyah dan Khilafah Islamiyyah.
Kesatuan Gerakan.
Perlu difahami bahawa Kesatuan Gerakan itu adalah dimana setiap ahli gerakan bersatu dalam melaksanakan setiap perkara yang disuruh Allah dan mencegah apa yang dilarang oleh Allah. Apabila semua ahli gerakan bersatu ia akan menjadi gerakan itu lebih kuat dan bertenaga kerana dakwah ini memerlukan kepada satu kumpulan kerana bersesuaian dengan firman Allah SWT dalam surah Aal-‘imran ayak ke-104:
وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ ۚ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ.
Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.
Begitu juga Allah telah menyuruh kepada semua umat untuk bertolong-tolong dalam kebaikan dan bertaqwa seperti firman Allah dalam surah Al-Ma’idah:
وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۖ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ.
Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).
Maka jelas disini suruhan Allah supaya umat islam bersatu dalam melaksanakan tuntutan-Nya dengan penuh keyakinan bahawa barangsiapa yang membantu menegakkan syariat Allah pasti akan memperoleh kejayaan di dunia dan akhirat.
Kita juga harus jelas apakah sebenarnya Kesatuan Gerakan dan apakah matlamatnya. Suka kami memetik kata-kata dari Dr.Fathi Yakan dalam bukunya ‘Kesatuan Gerakan Islam’:“Kamu semua bukanlah sebuah persatuan kebajikan, bukan juga parti politik-poilitk tidaklah sebuah pertubuhan yang ditubuh bagi tujuan yang sempit. Tetapi kamu merupakan semangat baru yang mengalir dalam jantung umat ini; yang menghidupkan umat dengan al-Qu’ran. Kamu adalah cahaya yang memancar, yang menghapuskan kegelapan malam dengan ma’rifat Allah. Kamu juga adalah suara nyaring yang berkumandang mengulangi dakwah Rasullullah s.a.w. Oleh itu kamu hendaklah merasakan bahawa diri kamu memikul tanggungjawab yang berat itu setelah semua orang menyisihkannya”.
Inilah perkara asas yang perlu dilakukan oleh setiap ahli gerakan dan perkara ini juga dikatakan oleh Dr.Abdul Halim El Muhammady dalam satu program iaitu ‘Seminar Asas Dakwah dan Risalah Islam’(SEDAR 2) iaitu: “kesan penglibatan dalam harakah islamiyyah ialah dapat memahami islam dalam perspektifnya yang tepat iaitu Islam sebagai cara hidup yang syumul bukannya serpihan atau sesuatu yang terpisah daripada kehidupan”.
Di dalam gerakan PKPIM. Fokus utama gerakan ini ialah apa yang disebut oleh saudara Fazril Saleh: “cita-cita kita adalah untuk membina pemimpin-pemimpin umat dalam pelbagai peringkat dan sektor”. Beliau juga menasihati bahawa menyertai PKPIM bukanlah sebuah lakonan, PKPIM adalah gerakan, sebuah organisasi perjuangan. Intima’ dengan organisasi ini adalah pilihan dan kerelaan setiap individu yang menyertainya. Dasar ‘tanpa paksaan’ adalah suatu kebijaksaan dan menjadi kebitaraan kita selama ini”.
Namun menjadi dukacitanya ahli gerakan zaman sekarang, sebahagiannya ingin mencari nama, ingin mendapat kenalan ramai supaya mudah dapat kerja dan projek (networking), ada juga yang menjadi pengikut tetapi tidak faham, ada pemimpin tapi merosakkan pengikutnya, ada cuba memecah belahkan umat dan sebagainya. Ini adalah satu kesalahan yang cukup besar jika ini yang menjadi agenda utama oleh ahli gerakan. Jika ada niat sebegini maka haruslah bertaubat kepada Allah dan memohon keampunan dari-Nya. Mudah-mudahan Allah menerima taubat. Insya-Allah.
Perkara yang wajar kita renungi bersama ialah apakah ciri-ciri Kesatuan Gerakan. Di dalam buku Dr.Fathi Yakan  iaitu ‘Kesatuan Gerakan Islam’ telah menggariskan beberapa ciri-ciri antaranya: *(Hurainnya perlu dirujuk kembali di buku tersebut)
1.     Revolusineer (perubahan)
2.     Desentralisasi (hijrah)
3.     Fikrah
4.     Rabbaniyyah
Kefahaman Gerakan.
Amatlah penting untuk kita memahami Kefahaman Gerakan yang kita ceburi kerana setiap gerakan pasti mempunyai visi dan misinya. Perlu dikaji dan dihadam apakah yang hendak dibawah oleh gerakan kerana dengan itu kita akan tahu apakah yang perlu dilakukan dengan sebenarnya. Di dalam PKPIM ada budaya 7 iaitu:
1.     Memugar budaya ilmu dan berakhlak mulia.
2.     Bersedia untuk belajar, diajar dan mengajar.
3.     Penghayatan alam kerohanian.
4.     Memperkasa semangat ukhwah.
5.     Menghayat amalan syura, amal jamaiy dan budaya terancang.
6.     Prihati dan iltizam dengan isu semasa.
7.     Menghayati ruh jihad fi sabilillah.
Selain itu, kita juga sangat maklum dengan 4 Kebitaraan Mahasiswa ataupun nama lainya adalah Modul Pembangunan iaitu:
1.     Idealisme.
2.     Intelektualisme.
3.     Aktivisme.
4.     Spiritualisme.
Ini adalah beberapa prinsip asas gerakan PKPIM. Adapun yang dibincang dalam Usrah Qiyadah PKPIM Uiam Gombak adalah kefahaman sebelum memahami gerakan iaitu terdapat tiga perkara yang telah digariskan oleh Dr.Fathi Yakan iaitu:
1.     Aqidah yang benar. Beriman dengan rukun islam dan melaksanakan rukun islam. Ini adalah tuntutan yang terpenting bagi umat islam. Apabila asas ini sudah mantap kefahamannya maka setiap apa yang kita lakukan pasti bertepatan dengan syariat islam. Apabila terdapat sebuah gerakan yang jauh daripada aqidah yang benar maka kita perlu menolaknya.
2.     Penyatuan dan kesatuan ikatan. Boleh dikatakan disini bahawa setiap ikatan yang dilakukan itu mesti bertepatan dengan syariat islam dan sunnah rasulullah SAW. Kita harus jelas perkara ini sangat penting kerana terdapat sebahagian gerakan yang lain lebih mengangkat filsuf bukan islam berbanding nabi Muhammad SAW sedangan rasulullah adalah Qudwah Hasanah. Oleh itu, kita harus mengikuti gerakan yang memperjuangkan apa yang dibawah oleh rasulullah SAW.
3.     Kekuatan diri dan senjata.
Selain itu, Dr. Maslee Malik juga dalam bukunya ‘Risalah Pemuda Islam’ juga menyebut mengenai Kefahaman Gerakan antaranya:
1.     Memahami islam dengan syumul dengan dalilnya.
2.     Kefahaman yang benar-benar dalam ajaran islam dan apa yang di bawa oleh rasulullah SAW.
3.     Perlu merujuk buku tafsir muktabar seperti Tafsir Ibnu Kathir, Tasfir Al-Azhar dan lain-lain.
4.     Perlu juga merjuk kepada kitab hadis yang shahih seperti kutub sittah seperti Hadis Bukhari, Hadis Muslim dan sebagainya.
5.     Kena fahami ayat-ayat ahkam, perlu juga dikuasai sirah serta ilmu fiqh.
6.     Jangan bertaklid atau taasub serta hanya menunggu disuap sahaja.
Perlu jelas bahawa Kefaham Gerakan sangat penting bagi ahlinya supaya ahli gerakan itu tidak cuba untuk melakukan sesautu yang lain tetapi tidaklah bererti ia tidak boleh namun mesti sesuai dengan gerakan tersebut.
Kesimpulan.
1.     Kunci kekuatan umat islam adalah taqwa dan berakhlak mulia.
2.     Asas gerakan juga mesti berpandukan konsep taqwa dan berakhlak mulia.
3.     Kesatuan gerakan dan kefahamannya perlu seiring dengan taqwa berakhlak mulia bagi setiap ahli gerakan.
4.     Setiap ahli gerakan perlu betaqwa kepada Allah iaitu melaksanakan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang.
5.     Setiap ahli gerakan perlu berakhlak mulia seperti akhlak nabi Muhammad SAW.
6.     Setiap ahli gerakan perlulah menghormati syura kepimpinan dan pemimpinnya.
7.     Setiap ahli gerakan perlulah saling bantu membantu dalam melaksanakan program seperti usrah dalam kalangan qiyadah dan begitu juga program lapangan.
8.     Semoga Allah merahmati umat islam dan gerakan yang cuba menegakkan syariat islam. Amin
9.     Semoga Allah menyatukan seluruh umat islam dalam menujuk keredhaan Allah.
Wallahu A’lam.
Sekian Terima Kasih.

PKPIM/MDPI Uiam GOmbak

Comments (0)