Mari mengubah dunia?
Apa yang kita boleh faham dengan
tajuk “mari mengubah dunia”? Persoalan ini saya dapat dari satu program yang
telah diadakan di UIAM. Tajuk yang cukup menarik untuk kita kupaskan bersama. Pada
persepsi saya apabila saya menghadiri program ini adalah kita akan dapat tahu
titik permulaan cara untuk mengubah dunia, cabaran dan dugaannya serta apa yang
paling saya harapkan adalah kefahaman tentang prinsip-prinsip islam.
Alhamdulillah bagi saya perkongsiannya cukup baik. Dalam penulisan ini saya ingin
menghuraikan apakah matlamat utama dan sebenar untuk mengubah dunia, apakah ia
keutamaan dalam mengubah dan bagaimana perubahan yang sebenar dan saya juga
cuba untuk menggabungkan beberapa perkara penting daripada program tersebut dan
ditambah dengan pendapat saya. Insya-Allah.
Saya selalu terfikir kenapa generasi
zaman kini lebih cenderung kepada kata-kata filsufi barat ataupun lebih suka merujuk
kepada pandangan orang bukan islam. Apakah sebabnya mereka lebih percaya dan
berpegang dengan kata-kata mereka dan tidaklah pula berpegang kepada al-quran
dan sunnah nabi Muhammad SAW. Mereka boleh hafal setiap baris berserta nama
penuh bahkan muka surat juga mereka boleh ingat. Mereka seperti mengagung-agungkan
filsufi barat ibarat hanya kata-kata mereka itu adalah ungkapan emas dan boleh
menyemarakkan perasaan yang penuh membara sehingga kata-kata mereka dipegang
untuk merealisasikan impian mereka. Namun persoalan yang ingin saya timbulkan
bukanlah mengatakan salah merujuk kepada filsufi barat tetapi persoalan yang
ingin saya timbulkan kenapa kita tidak mengkaji al-quran dan sunnah serta para cendiakawan
dan pemikir islam. Inilah perubahan yang harus difikirkan!
Di samping itu, saya rasa bingung dan
kecewa amat sangat kepada generasi zaman sekarang kerana sumber perundangan islam
yang autentik lagi unggul itu diabaikan bahkan lebih malang apabila dilupakan.
Sungguh hairan dan pelik!
Tidakkah mereka terfikir apa yang
nabi Muhammad SAW sebut dalam hadisnya bahawa al-quran dan hadis adalah sumber
yang shahih bahkan jika mereka berpegang teguh dengannya pasti mereka tidak
akan sesat bahkan mungkin akan berjaya dunia dan akhirat. Insya-Allah. Sabda
nabi Muhammad SAW: “aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, kamu tidak akan
sesat selama-lamanya selagi mana kamu berpegang teguh dengan kedua-duanya iaitu
kitab Allah dan sunnah Nabi”
Mengubah dunia adalah satu perkara yang sangat
penting untuk kita bahaskan bersama. Kita lihat zaman kegemilangan islam
bermula pertengahan pada abad ke-7 dan kegemilangan itu disambung terus menerus
oleh generasi-generasi yang cukup hebat namun amat dukacita kegemilangan itu
kian merosot bahkan makin lama makin hilang dan terus runtuh pada abad ke-19
dan diantara puncanya adalah daripada umat islam sendiri. Oleh itu, peranan
umat islam untuk melakukan transformasi untuk membina tamadun islam di pentas
dunia adalah menjadi satu kewajipan. Saya berfikir kita sebagai umat islam
tidak boleh hanya menerima dan menumpang kemajuan yang dilakukan oleh orang
bukan islam. Sepatutnya umat islam perlu melakukan perubahan dalam membina
kemajuan sendiri terutama dalam bidang perubatan, ketenteraan, ekonomi,
teknologi, pertanian serta pentadbiran. Di dalam ajaran islam, al-quran
menyuruh umatnya berfikir, membaca, menuntut ilmu supaya umatnya dapat
membuktikan bahawa ajaran nabi Muhammad SAW bukan ajaran yang mundur.
Kita hanya menumpang kegembiraan bahkan rasa bangga apabila
penemuan saintis barat dalam melakukan kajian seperti teori Bigbang ataupun
Penciptaan manusia. Walaupun sudah tertera di dalam al-quran namun cendiakawan
islam tidak mampu mengaitkannya dengan penemuan saintifik tetapi kita cuba
mengatakan bahawa al-quran sudah menjelaskan segala-galanya namun kita tidak
cuba membuat kajian. Ini adalah masalah umat islam sekarang. Kita harus terus
melakukan perubahan terutamanya dalam mengkaji al-quran dan hadis kerana banyak
rahsia yang tersirat belum kita temui. PASTI!
Apakah
yang harus diubah?
Bagi
hemat saya, kita harus jelas apakah perkara utama yang perlu ada apada
perubahan dan apakah prioriti dalam sesuatu perkara. Islam adalah agama
membangun dan maju. Islam tidak sempit hanya kepada perkara-perkara halal dan
haram. Islam juga tidak hanya membincangkan soal fadhilat amal semata-mata.
Islam juga tidaklah memfokuskan hal-hal santifik keseluruhannya. Islam juga
tidak hanya membincangkan soal baitul muslim iaitu soal rumah tangga khususnya
namun islam adalah agama syumul yang lengkap mengadungi semua aspek dalam
kehidupan.
Kita jangan menjadi umat yang jumud
dan pemikiran kita hanya fokus kepada satu-satu perkara sahaja seperti pakar
bahasa arab tetapi tidak tahu bahasa inggeris. Pakar dalam bidang ekonomi
tetapi tidak tahu hukum riba dan jual beli. Pakar dalam fiqh tetapi sempit
pemikiran dalam isu-isu semasa. Pakar dalam undang-undang sivil tetapi menolak
ketepi undang-undang syariah. Pakar dalam bidang al-quran dan hadis tetapi
ketepikan soal-soal sosial masyarakat. Ini juga adalah contoh pemikiran yang
sempit dan jumud.
Inilah perubahan yang harus kita
fikirkan bersama. Inilah perubahan yang harus dibincangkan. Inilah perubahan
yang wajar kita renungi bersama-sama. Kita lihat qudwah hasanah baginda
Rasululllah SAW. Baginda mahir berniaga semestinya bidang matematik ataupun
perakaunnan diperlukan dalam hal ini begitu juga hebat dalam peperangan yang
mesti arif dalam bidang geografi, teknik dan strategi peperangan bahkan alatan
peprangan contohnya menggunakan lembing berbanding kaum quraisy hanya guna
pedang, seorang yang faham agama dan sosial masyarakat setempat bahkan baginda
adalah seorang individu yang cukup berwibawa dalam semua aspek.
Terdapat sebilangan manusia yang
mempersoalkan seperti “biasalah itu Nabi”, “Nabi Maksum dan dipelihara oleh
Allah, serta ada yang mengatakan “kita mana boleh samakan diri kita dengan
nabi”. Ini adalah satu pemikiran yang cuba memisahkan agama dengan realiti
semasa. Kita harus berpijak di bumi yang nyata dan seharusnya kita umat islam
bersyukur kerana kita dianugerahkan seorang rasul yang cukup hebat. Tidakkah
kita mengatakan kita mencintai nabi dan merinduinya. Jika benar kita mencintai
rasul maka kita harus ikuti sunnahnya sebaik mungkin.
Apabila kita persoalkan tentang apakah yang menjadi prioriti dalam
melakukan perubahan. Saya berfikir prioritinya adalah melakukan perubahan diri.
Selepas diri sendiri baru kita berbicara soal masyarakat, Negara dan juga
dunia. Prioriti itu ialah mengubah diri. Prioriti ini bagi saya perlu dilakukan
secara berperingkat dan yang paling penting adalah istiqamah(berterusan).
Firman Allah di dalam surah
At-Tahrim ayat ke 8 yang bermaksud “wahai orang-orang yang beriman!
Peliharalah diri kamu dan ahli keluarga kamu daripada neraka”. Begitu juga
terdapat hadis yang shahih sabda nabi Muhammad SAW yang diriwayatkan oleh
Abdulullah bin Umar r.a: “setiap dari kamu adalah pemimpin, dan setiap dari
kamu akan dipertanggungjawabkan keatas kepimpinannya. Seorang ketua yang
menguruskan rakyat adalah pemimpin dan akan dipertanggungjawabkan apa yang
dipimpinnya. Seorang lelaki adalah pemimpin kepada ahli keluarganya dan dia
akan dipertanggunjawabkan apa yang dipimpinnya. Seorang wanita adalah pemimpin
di rumah suaminya dan dia akan dipertanggungjawabkan apa yang dipimpin. Seorang
hamba adalah pemimpin terhadap harta benda tuannya, dia akan
dipertanggungjawabkan apa yang dipimpinnya. Kamu semua adalah pemimpin dan akan
dipertanggungjawabkan apa yang dipimpin.
Maka jelas disini, untuk melakukan
perubahan semestinya bermula dengan diri sendiri. Apabila seseorang itu faham
tentang proriti ini pastinya dia akan cuba untuk melakukan perubahan dari
semasa ke semasa. Misalannya, seorang budak kecil cuba melakukan perubahan
daripada merangkak sehingga boleh berjalan. Seorang kanak-kanak berusaha untuk
mendapat tempat pertama di dalam kelas selepas dia mengalami kegagalan. Seorang
pemuda melakukan perubahan untuk mendapat kerja yang baik daripada yang kurang
baik. Begitu juga bakal suami dan bakal isteri ingin melakukan perubahan diri
sendiri untuk menjadi yang terbaik untuk pasangannya. Seorang pemimin ingin
melihat negaranya maju daripada mundur. Seorang ustaz ingin melihat umat nabi
Muhammad meninggalkan amalan jahilyyah dan berpegang dengan al-quran dan as-sunnah
dan sebagainya.
Jika jelas prioriti ini dan
masing-masing mempunyai kesedaran untuk melakukan perubahan diri dengan secara
tidak langsung kita akan mampu membincangkan dasar yang kedua iaitu mengubah
ahli keluarga. Sebab apa saya lebih cenderung untuk membicarakan soal diri pada
bab yang awal berbanding dengan hal lain kerana kita boleh lihat berapa ramai
manusia yang gagal mendidik diri tetapi sibuk cuba mendidik hal perkara lain
umpama suka lihat kain orang koyak tetapi diri sendiri tidak nampak. Ini adalah
musibah! Jika kita perhatikan bagaimana rasulullah mendidik dirinya terlebih
dahulu seperti menjadi orang yang benar, suka membantu, bercakap benar, jujur
dalam perniagaan, tidak melakukan maksiat, suka bertafakur, hormati orang tua
dan cinta kepada ummatnya. Ayuh contohi sunnah rasulullah SAW.
Fathi Yakan juga menyebut dalam
bukunya kesatuan gerakan islam telah menyatakan bahawa “Harakah
Islamiyyah mestilah mengetahui bahawa tugas utamanya ialah mengembalikan
pengabdian diri manusia kepada Tuhan mereka baik sebagai individu mahupun
sebagai masyarakat”. Jadi, kita
boleh katakan bahawa perubahan yang utama ialah pembentukan individu itu
sendiri yang mana menjadikan individu itu seorang yang mempunyai idealisme yang
kuat terhadap islam dan tauhid.
Selain itu, kita boleh lihat
kejatuhan islam bukanlah disebabkan agama itu sendiri tetapi adalah sikap ummat
islam yang tidak beruapaya melakukan satu kemajuan atas nama islam. Kita hanya
membangagakan hasil penemuan ulama’ terdahulu dan apabila filusufi barat
membuat kajian yang terkini dikatakan bahawa itu sudah disebut dalam al-quran.
Sungguh hairan dan pelik kita hanya membanggakan apa yang sudah ada ditulis
tapi penemuan baru itu bukan dijumpai oleh umat islam tapi barat sepertimana
yang saya huraikan di atas.
Banyak buku yang membincangkan soal
perubahan terutama perubahan seorang pemuda. Antaranya buku Risalah Kaum
Muslimin oleh Syed Naquib Al-Attas, Kesatuan Gerakan Islam dan Generasi Pemuda
dan Perubahan oleh Fathi Yakan, Risalah Pemuda Muslimin oleh Maslee Malik, Fiqh
Awlawiyyat oleh Yusuf Al-Qardhawi serta dalil-dalil daripada al-quran seperti
kisah ashabul kahfi, cri-ciri orang yang beriman dalam surah Al-Mu’minun, ciri-ciri
Hamba kepada Yang Maha Pemurah dalam surah Al-Furqan dan lain-lain.
Kesimpulan
Di dalam penulisan ini, saya lebih
memfokuskan perubahan diri kerana untuk mengubah dunia perkara asas perlu
diperkukuh dan dimantapkan seperti membina rumah. Jika rumah kita tidak mampu
hendak membinanya bagaimana kita hendak membina rumah orang lain.
Saya juga menekankan tentang
perubahan diri untuk kembali kepada fitrah iaitu kembali merujuk dan mengakaji
sumber perundangan islam iaitu al-quran dan sunnah rasulullah SAW kerana
sebagai umat islam kita harus bangga dengan apa yang kita miliki serta
mengkajinya untuk dimanfaatkan kepada seluruh umat manusia.
Akhir kalam, saya juga mengalakkan
para pembaca supaya banyak membaca dan tidak taksub kepada satu pemikiran
sahaja. Banyak buku penulisan yang telah dihaslikan oleh para pemikir dan
cendiakawan islam dalam pelbagai bidang sama ada agama, ekonomi, sosial,
pentadbiran, peradaban, tamadun, gerakan islamiyyah, politik dan sebagainya.
Ayuh kita renungi firman Allah SWT
di dalam al-quran. Dua ayat al-quran ini seharusnya menjadi pegangan dan
pedoman oleh setiap individu yang mana ayat ini akan membuka fikiran kita
supaya melaksanakan perubahan sama ada untuk diri, masyarakat, Negara, dunia
bahkan agama islam.
إنَّ
اللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّى يُغَيِّرُوا مَا بِأَنْفُسِهِمْ وَإِذَا
أَرَادَ اللَّهُ بِقَوْمٍ سُوءًا فَلَا مَرَدَّ لَهُ وَمَا لَهُمْ مِنْ دُونِهِ مِنْ
وَالٍ
"Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum
itu sehingga mereka itu mengubah apa
yang ada dalam diri mereka.", Dan
apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana
(disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak
atau menahan apa yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat
menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya.(13:11)
ذلك
بأن الله لم يك مغيرا نعمة أنعمها على قوم حتى يغيروا ما بأنفسهم وأن الله سميع عليم
"Sesungguhnya Allah tidak mengubah nikmat yang diberikan
kepada sesuatu kaum
melainkan mereka mengubah apa yang ada dalam diri mereka."(8:53)
Ayuhlah wahai pemuda dan pemudi islam. Pilihan di
tangan anda sama hendak melakukan perubahan ataupun tidak. Wallahu a’lam. Terima
kasih
9:36 AM |
Category:
bahasa melayu
|
0
comments
Comments (0)