Bismillahirrahmanirrahim,
alhamdulillahirrabil’alamin. Sesunguhnya Allah Maha Berkuasa di atas setiap
sesuatu kejadian yang telah berlaku ataupun belum berlaku. Dialah menciptakan
manusia dari tanah, Dialah juga yang menciptakan jin dari api bahkan Dialah
juga yang menjadikan malaikat daripada cahaya. Tujuan Allah menjadikan manusia,
jin dan malaikat tidak lain tidak bukan hanyalah semata-mata untuk menyembah
kepada Allah dengan sepenuh jiwa dan raga. Allah telah berfirman di dalam surah
Az-Zariyat ayat ke 56.
“Dan
(ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka
menyembah dan beribadat kepadaKu.”
Dasar utama ini yang menjadi pra
syarat kepada setiap ummat manusia untuk berjaya di dunia dan mendapat kejayaan
di akhirat. Dasar utama ini memerlukan satu keperluan asas yang sangat penting
iaitu ilmu. Ilmu adalah cahaya dan hidayah yang akan memberikan kita jalan
bagaimana untuk menyembah Allah, tanpa ilmu kita mungkin tersesat dan lebih
malang apabila segala ibadah yang kita lakukan itu tidak mendapat apa-apa
manfaat melainkan penat dan letih sahaja.
Demikianlah juga kisah junjungan
besar nabi kita nabi Muhammad SAW apabila tibanya baginda SAW diangkat menjadi
seoarang rasul, wahyu pertama yang baginda SAW menerima ialah bacalah!.
Membaca adalah satu konsep asas yang sangat penting dalam menuntut ilmu.
Membaca menjadikan kita orang yang berilmu pengetahuan. Membaca membawa kita
lebih dekat dengan Allah. Membaca juga adalah wasilah untuk menyebarkan risalah
islamiyyah.
Jika kita membaca firman-firman
Allah dan memahaminya akan menjadikan kita orang yang sangat dicintai Allah.
Ketika Allah ingin menjadikan seorang khalifah di muka bumi untuk mentadbir
bumi ini. Allah juga telah berkata-kata dengan para malaikat dalam surah
Al-Baqarah ayat 30:
“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat;
"Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". Mereka
bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): "Adakah
Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat
bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa
bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?". Tuhan berfirman: "Sesungguhnya
Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya".”
Dalam
sebuah kitab al-lughah at-thatbiqi, beliau menyebut bahawa ayat ini
adalah asas permulaan bahasa, bagaimana kita menerima bahasa dan menyampaikan maklumat.
Perkataan qala disitu adalah membawa erti berkata-kata, berbicara,
berfirman dan ia juga boleh diertikan bahawa permulaan informasi adalah dengan
berkata-kata.
Oleh itu, terang lagi bersuluh
bahawa untuk menyembah Allah kena ada ilmu dan untuk memiliki ilmu adalah dengan
membaca. Kita tidak boleh nafikan hal ini namun kita tidak boleh menolak
aspek-aspek lain dalam menimba ilmu seperti mendengar dan melihat.
Para
sahabat yang dirahmati Allah,
Di zaman kontemperori ini, kita
telah disajikan dengan pelbagai ilmu. Terdapat ilmu yang bermanfaat dan tidak
bermanfaat, ada juga ilmu yang memberikan cahaya dan kegelapan, ada juga ilmu
yang membawa kebenaran dan kesesatan. Namun secara fitrahnya, ilmu adalah
sifatnya semula jadi dengan erti kata lain ilmu adalah neutral kerana Allah
yang menjadikan ilmu tersebut dan tidaklah Allah menjadikan sesuatu itu dengan
sia-sia dan memberikan mudharat kepada ummat manusia khususnya. Inilah apa yang
ingin saya jelaskan di dalam makalah yang ringkas ini bahawa ilmu adalah neutral
dan saya ingin menegaskan bahawa islam tidak mengklafisafikan ilmu sama ada
fardhu ain mahupun fardhu kifayah ataupun ilmu agama dengan ilmu akademik.
Saya ingin menegaskan bahawa
terdapat sebilangan ummat manusia yang cuba memisah dan membahagikan konsep
ilmu ini dan mereka boleh dikatakan dalam kalangan golongan sekularisme kerana
memisahkan hal dunia dengan agama. Islam itu dalam ad-din as-syumul agama
yang sempurna. Tidak mungkin islam memisahkan hal dunia dengan hal akhirat
apatah lagi ilmu.
Kita harus jelas bahawa perkataan
ilmu menurut kamus dewan juga menghuraikan perkara yang sama yakni pengetahuan
dalam perkara dunia dan akhirat sama ada batin dan zahir. Apakah hanya belajar
ilmu aqidah, fiqh, bahasa arab, quran sunnah, dan pendidikan islam itu hanya menceritakan
tentang akhirat manakala ilmu akademik seperti sains, matemaik, bahasa melayu,
bahasa inggeris, sejarah dan sebagainya bukan ilmu yang menghubungkan di antara
hamba dengan Penciptanya? Bahkan terdapat sebilangan asatizah mengatakan ilmu
seperti sains, perubatan, bahasa melayu dan seumpamanya itu adalah ilmu bukan
agama dan ditambahnya sebagai fardhu kiyafah. Bagi saya pendapat itu agak jelek
dan dangkal kerana apakah ada dalil khas mengatakan hal sedemikian.
Bila kita amati satu persatu
dalil-dalil Allah akan terbuktilah bahawa ilmu yang ada di muka bumi boleh
dikatakan semuanya fardhu ain dan saya akan buktikkan.
Para
sahabat yang dirahmati Allah,
Setiap perkara dan benda yang Allah
jadikan mesti dan hikmahnya dan manfaatnya lebih banyak daripada keburukan. Allah
Maha Berkuasa terhadap setiap sesuatu. Dia menjadikan ummat manusia sebaik-baik
kejadian dan semestinya Dia akan menyediakan segala keperluan yang sempurna
bagi ummat manusia untuk mengurus bumi dengan baik. Allah memberikan akal dan
nafsu supaya ada timbal balik dalam setiap urusan dan Dia mengurniakan ilmu
sebagai panduan supaya akal dan nafsu tidak terikut dengan godaan syaitan.
Itulah fungsi ilmu.
Allah berfirman di dalam surah
Al-Mujadalah ayat ke 11:
“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diminta kepada kamu
memberi lapang dari tempat duduk kamu (untuk orang lain) maka lapangkanlah
seboleh-bolehnya supaya Allah melapangkan (segala halnya) untuk kamu. Dan
apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat
orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu
pengetahuan ugama (dari kalangan kamu) - beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah
Maha Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan.”
Jika kita perhatikan ayat ini dengan pandangan hati, kita akan
dapati bahawa orang yang berilmu diangkat darjatnya beberapa darjat. Ayat
diatas juga tidaklah menyebut bahawa hanya ilmu aqidah, fekah, bahasa arab,
al-quran dan hadis hanyalah orang yang berilmu.
Kita
perhatikan firman Allah di dalam surah Fatir ayat ke 28:
“Dan demikian pula di antara manusia dan binatang-binatang yang
melata serta binatang-binatang ternak, ada yang berlainan jenis dan warnanya?
Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari
kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu. Sesungguhnya Allah
Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun.”
Di dalam ayat ini, ada dua perkara yang saya ingin tekankan iaitu
pertama, Allah menyebut tentang binatang yang ada pelbagai jenis dan warnya dan
kedua orang-orang yang berilmu. Apakah perkaitan kedua ayat ini? Konsep pertama
yang boleh kita fahamkan bahawa mesti ada hikmah kenapa Allah mengaitkan
binatang dengan orang-orang yang berilmu. Bila kita perhatikan bahawa binatang
itu dijadikan ada pelbagai jenis. Al-Jahiz di dalam bukunya al-haiwan telah membahagikan pelbagai
jenis binatang, ada yang terbang, ada yang berkaki, berbulu, dua alam dan
haiwan yang boleh menyebut dan tidak. Para ulama’ dahulu sudah mengkaji perkara
ini.
Begitu juga ayat selepasnya orang-orang yang berilmu. Di dalam
kaedah bahasa arab, perkataan adalah nakirah yakni tidak ada
pengkhususan kepada mana-mana orang yang berilmu. Maka jelaslah disini bahawa
semua orang yang berilmu sama ada dari bidang agama, politik, ekonomi dan
sosial adalah dikategorikan sebagai ulama’ dan Allah telah menekankan satu
perkara yang sangat penting iaitu orang-orang yang berilmu adalah orang yang
menaruh bimbang dan takut melanggar perintah Allah.
Justeru, semua cabangan profesion tidaklah salah dan tidaklah ada
tuntutan seperti fardhu ain atau fardhu kifayah dan tidak ada juga pembahagian
seperti ilmu agama dan ilmu dunia. Yang
menjadi kayu ukuran disini ialah konsep penghambaan kepada Sang Pencipta iaitu
orang-orang yang berilmu ialah orang yang menaruh bimbang dan takut melanggar
perintah Allah. Maka belajarlah dan tuntutlah semua ilmu yang ada yang mana
akan menjadikan kamu orang takut kepada Allah. Inilah konsep ilmu yang hakiki.
Rasulullah SAW telah menerima wahyu yang pertama dari Allah SWT
iaitu di dalam surah Al-‘Alaq:1-5
“Bacalah
(wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia
menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha
Pemurah, - Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, - Ia mengajarkan
manusia apa yang tidak diketahuinya.”
Bacalah! Inilah perkataan yang pertama yang nabi Muhammad SAW
terima daripada Allah SWT. Perkataan ini tidak lain tidak bukan adalah sebagai
tuntutan kepada nabi Muhammad SAW untuk belajar membaca dan secara tidak
langsung kita sebagai ummat nabi Muhammad diwajibkan ke atas kita untuk
melaksanakan segala perintah Allah dan mengikut sunnah rasulullah SAW.
Kita dapat ketahui bahawa kunci kepada ilmu pengetahuan ini adalah
dengan membaca seperti yang disebut dalam pepatah arab al-qiraah miftahu
al-‘ilmi (membaca adalah kunci pengetahuan). Namun islam datang dengan
membawa misi dan visi yang lebih jauh iaitu membaca bukan sekadar untuk menimba
ilmu semata-mata tetapi tujuan utamanya adalah untuk mengenali Allah SWT iaitu rab
(pendidik) nabi Muhammad SAW.
Perkataan iqra’ diatas tidaklah memfokuskan kepada bidang
ataupun ilmu tertentu dan tidaklah pula mengatakan hanya perlu mengenal Allah
melalui ilmu agama mahupun fardhu ‘ain namun konsepnya lebih yakni segala
setiap sesuatu yang mana apabila di baca dan dipelajari akan mendekatkan kita
dengan Allah bahkan mencintai-Nya.
Para
sahabat yang dirahmati Allah,
Seterusnya saya ingin mengupas satu
persatu untuk membuktikan bahawa islam tidak membahagi-bahagikan konsep ilmu
tetapi islam hanya membezakan orang yang berilmu dengan orang yang berilmu.
Islam menjelaskan bahawa semua ilmu bermanfaat dan bagaimana setiap satu-satu
ilmu memerlukan antara satu sama lain. Islam juga menititberatkan setiap ummat
manusia mempelajari semua ilmu dari pelbagai aspek bahkan islam mendidik ummat
manusia supaya merasa rendah diri dan akur apa yang dimiliki.
Allah
berfirman di dalam surah Az-Zumar ayat ke 9:
"(Engkaukah yang lebih baik) atau orang yang taat mengerjakan
ibadat pada waktu malam dengan sujud dan berdiri sambil takutkan (azab) hari
akhirat serta mengharapkan rahmat Tuhannya? "Katakanlah lagi (kepadanya):
"Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak
mengetahui?" Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan
peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.”
Perhatikan ayat “adakah sama orang yang mengetahui dengan orang
yang tidak mengetahui, sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran
dan peringatan hanyalah orang yang berakal sempurna”. Tidakkah jelas bahawa
Allah telah menyebut bahawa tiada perbezaan antara manusia yang belajar agama
dengan manusia yang belajar sains namun Allah hanya membezakan di antara
manusia yang berilmu dengan manusia yang berilmu. Bahkan kita perhatikan ayat
seterusnya bahawa Allah sangat menekankan satu sistem pendidikan yang cukup
displin iaitu setiap ilmu yang dipelajari itu mestilah ada pelajaran,
peringatan dan semestinya semua ilmu itu mestilah berkaitan dengan Allah. Maka
apabila ilmu itu ada pelajaran dan peringatannya yang tersendiri akan
melahirkan ummat manusia yang berakal sempurna dan bijak mengurus kehidupannya.
Firman Allah dalam surah Al-‘Ankabut
ayat ke 43:
“Dan misal-misal perbandingan yang demikian itu Kami kemukakan
kepada umat manusia, dan hanya orang-orang yang berilmu yang dapat memahaminya.”
Ayat al-quran juga jelas
menceritakan bahawa orang yang beriman sahaja yang dapat memahami apa yang
berlaku di persekitaran mereka. Ayat ini juga menceritakan tentang amsal
(perbandingan). Para Arab Jahiliyyah dahulu banyak mengunakan perbandingan
di antara satu dengan yang lain seperti wanita yang cantik disamakan dengan
bulan purnama dan begitu juga ayat al-quran yang lain seperti dalam surah
al-Jumaah ayat ke-5:
“Perumpamaan
orang yang diberi tugas membawa taurat, kemudian mereka tidak membawanya adalah
seperti keldai yang membawa kitab-kitab yang tebal.”
Justeru, orang yang betul memahami perumpamaan ini adalah orang
yang berakala dan berilmu. Saya ingin kata bahawa ayat ini juga tidak
menyebutkan semua orang boleh jadi tidak faham dan mungkin sebahagian sahaja
yang faham kerana inilah yang dinamakan ilmu yang mana hanya akan difahami jika
dipelajari.
2:09 AM |
Category:
intelektualisme
|
0
comments
Comments (0)