Usrah Ziarah.
15/3/2016.
Bersama Ustaz Siddiq Fadzil.
Tajuk: Maqasid Tarbawi.

Bismililahhirrahmanirrahim. Alhamdulillah.

Penulisan kali ini, saya akan membincangkan hasil dapatan perkongsian ilmiah dan diskusi perbincangan yang luar biasa yang disampaikan oleh seorang tokoh ilmuwan. Seorang tokoh yang berusia namun pemikiran masih segar-bugar. Setiap perkataan yang dipertuturkan adalah mutiara-mutiara yang bernilai. Hikmah berbicara. Petah berpidato. Renungan mata yang tajam boleh menusuk hadirin yang hadir. Kata-kata yang sangat memukau. Sungguh benar yang diungkapkan oleh pepatah arab إن من البيان لسحرا yang membawa erti “setiap ungkapan adalah sihir”. Saya ingin menyatakan bahawa beliau adalah seorang pensihir yang boleh mematah setiap hujah lawan serta ungkapannya mampu menyucikan pemikiran-pemikiran yang kotor dan salah. Beliau juru bicara umat. Beliau seorang ayah yang kasih kepada anak. Nama Beliau ialah al-Fadhil Dato’ Dr. Siddq Fadzil. Beliau merupakan Ketua Majils Istisyari Wadah, Presiden Koleh Dar Al-Hikmah dan Pengerusi Akademi Kajian Ketamadunan (AKK).

Saya juga ingin menceritakan serba ringkas tentang beliau apa yang saya tahu. Saya agak baharu mengenali tokoh ini, pada permulaan saya mengenalinya dalam kelas pengajian Tafsir Maudu’iy. Saya mengikut perbahasannya di youtube serta saya juga pernah membaca bukunya iaitu “Pendidikan al-Hikmah”. Beliau juga terlibat dalam gerakan jemaah Pkpim, Abim dan Wadah. Beliau pernah menyandang sebagai presiden Pkpim yang ke-10.

Beliau juga berkongsi beberapa nasihat yang penting sebelum membahaskan topik yang sangat besar. Beliau menceritkan bahawa kemasukan dia ke dalam jemaah PKPIM adalah merupakan babak penting dalam menentukan pola dan corak kehidupan, peribadi bahkan pemikiran. Liku-liku perjuangan yang ditempuhi sangat mencabar. Sudah hampir setengah abad PKPIM mampu bertahan dalam kancah dakwah ini sehingga masih mampu bertahan sehingga ke akhir ini. Kata beliau, faktor utamanya ialah ilmu. Pada awal pertubuhannya, PKPIM hanya memfokuskan tentang kebajikan umat. Setelah beberapa tahun muktamar, Anwar Ibrahim di angkat menjadi presiden. Ketika itulah bermulanya era kebangkitan jemaah untuk umat. Anwar Ibrahim menjadi pencetus idea untuk menggerakkan ahli jemaah menjadi lebih proaktif, menjadi juru bicara umat, agen perubahan dan memastikan kebajikan ahli dan umat terjaga. Beliau berpesan kepada kami bahawa tradisi ini harus dikekalkan dan perlaksanaannya perlu lebih kehadapan. Keilmuan dan komitmen dalam perjuangan harus seiring dan tidak boleh dipisahkan.

Saya memperoleh satu pencerahan yang cukup jelas tentang perjalanan generasi terdahulu bagaimana menggerakkan jemaah dan turun ke lapangan. Saya memerhatikan bahawa generasi sekarang belum cukup mampu menandingi kehebatan keintelekutalisme generasi terdahulu. Semua kitab dibahaskan. Pemikiran-pemikiran dari barat dan timur dikupas. Setiap baris perkataan di dalam kitab dihayati dan beramal dengannya. Apakah generasi sekarang sudah melakukannya? Tepuk dada tanya iman. Kita bukan sahaja longlai dari segi perjuangan malahan ketangkasan dalam menangkis pemikiran yang songsang juga belum mampu dikritik bahkan kita pula yang menjadi pengikut. Kenapa hal ini berlaku? Salah sistem lagikah? Semoga Allah sentiasa memberi kita peluang dan ruang untuk mencari hidayah yang benar dan setiap langkah kita mendapat keredhaan Allah.

Maqasid Tarbawi

Topik ini harus dibincangkan oleh segenap lapisan umat baik muslim mahupun kafir iaitu Maqasid. Maqasid ialah tujuan, objektif dan matlamat. Setiap kehidupan ada maqasidnya. Dan tujuan utama ialah mengabdikan diri kepada tuhan. Semua umat mengakui tujuan hidup ini melainkan athies yang tidak mempercayai kewujudan tuhan. Tarbawi pula membawa pendidikan. Jadi, penulisan ini akan memfokuskan kewujudan maqasid asas yang 5 iaitu agama, nyawa, akal, harta dan keturunan dalam membina kependidikan dalam konteks malaysia. Bagaimana maqasid ini akan mendidik umat yang berbilang kaum serta kesatuan kaum untuk mengharmonikan maqasid dalam kehidupan seharian demi kemasalahatan umat sejagat. Di Samping itu, di dalam perbahasan ini juga akan menyentuh tentang syariat islam. Apakah maksud sebenar syariat islam ini.

Ustaz Siddiq berkata bahawa syariat yang difahami pada zaman sekarang ini hanyalah yang berkait rapat degnan hukum sahaja sama ada ibadat kepada Allah dan keluarga. Ada juga hanya memahami syariat itu hanyalah hukuman hudud, qisas dan ta’zir. Ada yang juga yang mengerti bahawa syariat terpisah daripada hukum sosial, politik dan ekonomi. Maka wujudlah pemikiran-pemikiran baharu seperti sekularisme, sosialisme, kapalalisme dan lain-lagi.

Apa yang menarik minat saya ialah beliau menyebut bahawa islam membawa values iaitu nilai-nilai ataupun dalam arabnya ialah القيام kepada seluruh umat. Ini tidak juga bertepatan dengan rahmat Alllah kepada seluruh alam. Ini juga sangat bersesuaian dengan pengutusan nabi Muhammad SAW untuk semua lapisan umat.  Hukum perundangan islam adalah untuk menilai perkara yang baik dan buruk. Daripada penilaian tersebut kita akan dapat memahami apa yang baik dan buruk. Nilai yang baik kita ikut manakala nilai yang buruk kita buang. Sebagai contoh, maqasid yang utama iaitu islam. Mengimani dan mempercayai bahawa islam adalah agama yang diterima oleh Allah. Ini kewajipan pertama bagi umat islam dan bukan islam juga beriman dan menyembah apa yang dipercayainya. Allah menyebut hal ini di dalam surah al-Kafirun “untukmu agamamu, untuku agamaku”. Contoh kedua ialah memelihara harta, bagi yang mencuri perlu dikenakan hukuman yang setimpalnya. Contoh ketiga pula, memelihara akal dengan menuntut ilmu untuk berkemajuan dan berketerampilan serta membina peradaban negara. Ada juga yang ulama yang menuntut keadilan dan kebebasan daripada maqasid ini kerana setiap umat memerlukan keadilan yang saksama. Semua umat mahukan kebebesan bersuara dan menyuarakan pandangan. Oleh itu, tidak boleh lari maqasid ini kepada semua umat. Semua nilai-nilai ini akan memastikan kesejahteraan umat sejagat. Tiada ada umat yang menafikan nilai-nilai yang baik ini serta mereka mengakui kepentingan nilai-nilai ini demi kemaslahatan kehidupan.

Para pembaca juga kena memahami satu perkara iaitu siapakah ulama’ yang memulakan perbincangan maqasid syariah ini. Ulama’ ini tidak asing lagi dari dunia keilmuan. Ramai para ulama’ mengakui kesarjanaan dan keilmuan beliau. Beliau ialah al-Syatibi. Nama sebenar beliau ialah Abu Ishak Ibrahim bin Musa bin Muhammad al-Lakmi al-Syatibi. Beliau berasal dari Andalus dan meninggal pada tahuun 1388 hijrah di Asbania. Buku yang terkenal yang membincangkan tentang maqasid syariah ini ialah al-Muafaqat. Beliau juga ulama’ fiqh dan mengarang banyak buku antaranya al-‘Itisom. Walabagaimanapun, ada juga yang mengkritik pemikirannya terhadap isu-isu ibadat dan pemikiran. Namun demikian. Keikhlasan beliau dalam menyumbang ilmu diiktiraf oleh semua umat.

Selepas al-Syatibi, ramai ulama’ yang membahaskan Maqasid Syariah ini dan kita boleh dapati kebanyakkan buku Usul Fiqh akan ada menyebut tentang Maqasid Syariah ini. Ramai pemikir dan pendokong Maqasid Syariah seperti Thahir Ibn ‘Asyhur tafsinyra at-Tahrir wa at-Tanwir dari Tunisia, al-Qardhawi, Ahmed Ar-Raissouni, Dr. Jaser Auda, Syiekh Taha Jabbar yang menulis tentang al-Maqsid al-‘ulya al-Hakimah dan lain-lain lagi

Ustaz Siddiq juga menyentuh tentang perpaduan umat. Perkara ini saya kira satu hikmah yang telah hilang daripada islam.  Umat Islam hanya memikirkan soal haram, kafir mengkafir, mengwahabikan dan sebagainya. Oleh hal yang demikian, Islam dilihat sebagai agama yang mundur. Islam lagi tidak memperjuangkan kemajuan. Islam juga tidak mementingkan persaudaraan. Sampailah islam digelar agama pengganas. Walhal ajaran Islam tidak sempit seperti itu namun disebabkan umat Islam yang tidak memahami didikan ajaran Allah dan sunnah Nabi Muhammad, terzahirlah perkara yang buruk oleh umat islam kepada umat lain. Oleh itu, seruan kepada maqasid syariah ini sangat unik. Perpaduan boleh dibina dengan kefahaman ini. Perpaduan dapat dijalinkan dengan sempurna dengan adanya sistem ini. Umat islam perlu menawarkan maqasid ini kepada umat lain dan membuktikan bahawa islam adalah agama yang menyeluruh dan sempurna dari segi aspek.

Selain itu, kemunduruan islam adalah berkait rapat dengan ilmu dan pendidikan. Satu kesalahan terdahulu yang perlu kita lakukan ialah menterjemahkan kembali keindahan islam kepada umat lain. Dahulunya, pada zaman Abbasiyyah terkenal dengan para ulama yang hebat. Mereka membaca karya-karya Yunani, Rom, Greek, India, China dan lain-lain lagi. Sebelum kedatangan Islam ke tanah arab, tamadun Arab belum maju lagi bahkan sebuah bangsa yang kotor dan buta huruf. Oleh itu, banyak peradaban daripada luar daripada tanah arab, mereka menyerapnya dan menterjemahkan. Antaranya yang terkenal seperti al-Khawarizmi yang telah menterjemahkan kitab al-Sinad al-Hind daripada bahasa urdu ke bahasa arab. Ada juga menterjemahkan buku falsafah dan membuat kritikan ke atasnya seperti Ibnu Sina, Ibnu Rusyd dan al-Ghazali. Ada juga ulama’ lain yang menyumbang. Satu kesilapannya ialah, selepas generasi mereka ini, tidak ramai ulama’ tidak menterjemahkan ilmu-ilmu ke dalam bahasa umat yang lain seperti di Malaysia iaitu Bahasa Malaysia. Mereka mungkin terlepas pandang dan tidak memahami dengan baik ataupun mungkin terlupa iaitu ayat al-quran yang Allah memerintahkan dengan pengutusan rasul dengan bahasa kaumnya. Saya melihat ayat al-quran ini perlu diberi kefahaman yang mendalam. Pemahaman yang mencetuskan idea yang bernas. Kita dalam dunia ini terdapat beribu-ribu bahasa dan di Malaysia ini sahaja ada 13 negeri dan di setiap negeri ada loghatnya tetapi bahasa rasmi kebangsaan yang termaktub dalam perlembagaan perkara 152 ialah bahasa melayu. Dahulunya ulama’ melayu telah berjaya menjejalah tanah arab untuk menuntut ilmu. Ilmu yang diterjemahkan yang banyaknya  hanya tertumpu kepada perkara-perkara yang berkaitan dengan aqidah, fekah, akhlak dan soal-soal ibadat. Tidak banyak hal yang lain dan mungkin ada serba sedikit pada waktu ini.

 Ustaz Siddiq menyebutkan lagi bahawa satu pengajaran yang diajar oleh Nabi Muhammad SAW ialah penyucian hati. Menurut beliau, Penyucian hati ini adalah seperti bersih persekitaran, integriti, tidak tamak mengejar kekayaan, gelojoh merobek alam sekitar dan apabila penyucian hati sudah disebati dalam jiwa manusia akan dapat membina tamadun dengan menggunakan pertimbangan akal dengan wahyu. Perkara ini benar dan tepat sekali dengan ajaran Nabi Muhammad SAW apabila diperintahkan oleh Allah supaya mengajarkan al-quran kepada umatnya dan akan tetapi penyucian hati adalah asas sebelum menyampaikan ilmu-ilmu al-quran.

Ustaz Siddiq juga menyebut tentang seorang tokoh hebat yang disanjung tinggi oleh umat ialah Taha ‘Abdur-Rahman. Beliau berasal dari Maghribi. Pengkhususan beliau dalam bidang Ilmu Mantiq, Falsafah, Bahasa dan Akhlak. Menurut beliau bahawa Maqasid ini tumpuannya juga pada akhlak iaitu memperbaiki diri dan mencantikkan sahsiah peribadi. Kata beliau bahawa apabila Nabi Muhammad SAW dilantik menjadi rasul ialah untuk menyumparnakan akhlak sekalian umat. Daripada perkauman kepada satu perpaduan. Daripada kezaliman kepada keadilan. Daripada benci kepada cinta. Beliau berpandangan bahawa apabila para ulama’ meletakkan perbahasan tentang akhlak ini pada peringkat yang ketiga selepas dharuriyyat, hajiyyat dan tahsiniyyat iaitu kepada tahsiniyyah yang mana tidaklah sepenting Maqasid yang lain, adalah tidak tepat dan kurang bersesuaian dengan ajaran Nabi Muhammad SAW.

Maka jelas di atas beberapa topik penting tentang Maqasid Tarbawi. Kesimpulannya ialah, ajaran Nabi Muhamad SAW merupakan jalan yang benar dan tepat dan setiap suruhannya ada hikmah yang tersirat. Cara dakwah dan didikan Nabi Muhammad SAW boleh diaplikasi setiap tempat dan waktu. Apabila diada-adakan sesuatu yang bukan dari ajaran Nabi Muhammad, kemungkinan cara itu tidak akan mendatangkan hasil yang baik dan sempurna. Mungkin ada sebilangan umat yang mengatakan bahawa cara Nabi Muhammad SAW tidak algi sesuai diamalkan pada zaman sekarang dan kuno dari segi perlaksanaanya namun bagi saya, saya yakin bahawa sunnah Rasulullah adalah ajaran yang tepat. Mungkin juga sebahagian umat merasakan bahawa apa yang dilakukan itu adalah sunnah tetapi sebenarnya tidak seperti demo besar-besar yang tidak membawa faedah. Memperjuangkan tokoh-tokoh tertentu dan bangsa-bangsa tertentu. Wallahu a’lam. Semoga Allah merahmati usaha kita. Amin

Maqasid dan perlaksanaan

Oleh itu, Ustaz Siddiq melihat dalam realiti di Malaysia ialah bagaimana kesatuan umat di Malaysia ini akan bersatu kerana paksti akhlak ini yang setiap agama mengiktiraf perkara yang baik dalam kehidupan seharian.

Perkara yang kedua ialah bagi ustaz Siddiq bahawa implikasi hukum bersesuaian dengan realiti semasa. Implikasi hukum terhadap ekonomi, politik, sosial, pendidikan perlu ada ijtihad baharu yang bersesuaian dengan keadaan di negara kita. Para ulama’ juga harus membahaskan implikasi hukum yang baharu terhadap isu-isu kenegaraan,perpaduan dan tidak hanya tertumpu kepada masalah khilafiah semata-mata. Contohnya isu air di Negeri Selangor. Bagaimanakah Maqasid Syariah ini dapat menyelesaikan masalah ini. Bagi Ustaz bahawa air ini harus diberikan percuma kepada semua umat kerana air itu dalam nikmat dan rahmat daripada Allah. Untuk mendidik umat ini melalui 3 cara iaitu 1) kepentingan manusia 2) keadilan manusia 3) hati ke hati. Contoh lain yang paling dekat dengan kita ialah pendekatan yang di bawa oleh Prof Yunus dari Bangladesh. Beliau lahir pada tahu 1940 dan merupakan Founder Grameen Bank. Beliau melihat bahawa faktor kemiskinan di Bangladesh sebagai ekonomi dan beliau cuba menyelesaikan masalah di sana berpering-peringkat demi kemasalahatan umat di sana. Oleh itu, ulama’ dan pemikir-pemikir dari pelbagai bidang harus duduk semeja dan mencari jalan dalam menyelesaikan masalah yang ada. Umat Islam mesti membuktikan bahawa Islam adalah tempat penyelesaian segala masalah.

Bagi saya juga, para pemimpin dan pendakwah harus mengikut cara kepimpinan dan dakwah rasulullah SAW iaitu menyeru semua umat mentauhidkan Allah SWT. Adapun Pemimpin harus adil dalam membahagikan kesenangan dan kemewahan kepada semua umat dan tidak hanya mengumpul kekayaan untuk diri dan kaum kerabat tertentu sahaja. Rasulullah SAW membahagikan harta baitulmal dengan adil dan saksama. Pada zaman sekarang, umat dibebani dengan cukai bermacam-macam cukai pintu, bil-bil untuk kepentingan dunia dan umat islam pula kena membayar zakat. Para pemimpim, ulama’ dan pemikir-pemikir harus bersama-sama dalam menyelesaikan masalah ini dan mengurangkan sedikit bebanan.

Para pendakwah pula harus mengislahkan umat islam dengan ajaran Islam yang sebenar iaitu mentauhidkan Allah dan melaksanakan apa yang diperintah dan meninggalkan apa yang dilarang. Adapun pendekatan para pendakwah terhadap non-muslim pula, harus melakukan hal yang sedemikan serupa iaitu menyeru supaya bersyahadah kepada Allah dan Rasul-Nya. Setiap para pemimpin dan para pendakwah ada silapnya dan terkadang mereka memilih apa yang sesuai dengan pendekatan mereka seperti Jemaah A untk kebajikan sahaja, Jemaah B politik dan Jemaah C keilmuan. Islam datang untuk melengkapkan semua itu dan menjaminkan kebahagian di dunia dan di akhirat.


Usrah Qiyadah Pkpim
29 Mac 2016.
Cucms, Putrajaya.
“Kemanisan Dalam Ujian Kehidupan”.
(Surah al-Ankabut 1-7)
Surah al-Ankabut diturunkan di Mekah. 69 ayat.

بسم الله الرحمن الرحيم.

الم،أَحَسِبَ النَّاسُ أَن يُتْرَكُوا أَن يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَ (1-2)

Alif, Laam, Miim. Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?

وَلَقَدْ فَتَنَّا الَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ ۖ فَلَيَعْلَمَنَّ اللَّهُ الَّذِينَ صَدَقُوا وَلَيَعْلَمَنَّ الْكَاذِبِينَ (3)

Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahui-Nya tentang orang-orang yang berdusta.

أَمْ حَسِبَ الَّذِينَ يَعْمَلُونَ السَّيِّئَاتِ أَن يَسْبِقُونَا ۚ سَاءَ مَا يَحْكُمُونَ (4)

Bahkan patutkah orang-orang yang melakukan kejahatan menyangka bahawa mereka akan terlepas dari azab Kami? Amatlah buruk apa yang mereka hukumkan itu.

مَن كَانَ يَرْجُو لِقَاءَ اللَّهِ فَإِنَّ أَجَلَ اللَّهِ لَآتٍ ۚ وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ (5)

Sesiapa yang percaya akan pertemuannya dengan Allah (untuk menerima balasan), maka sesungguhnya masa yang telah ditetapkan oleh Allah itu akan tiba (dengan tidak syak lagi); dan Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

وَمَن جَاهَدَ فَإِنَّمَا يُجَاهِدُ لِنَفْسِهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ لَغَنِيٌّ عَنِ الْعَالَمِينَ (6)

Dan sesiapa yang berjuang (menegakkan Islam) maka sesungguhnya dia hanyalah berjuang untuk kebaikan dirinya sendiri; sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatupun) daripada sekalian makhluk.

وَالَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَنُكَفِّرَنَّ عَنْهُمْ سَيِّئَاتِهِمْ وَلَنَجْزِيَنَّهُمْ أَحْسَنَ الَّذِي كَانُوا يَعْمَلُونَ (7)

Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh sesungguhnya Kami akan hapuskan dari mereka kesalahan-kesalahan mereka, dan Kami akan membalas apa yang mereka telah kerjakan – dengan sebaik-baik balasan.

Huraian:-

Sebelum saya menghuraikan penafsiran ayat al-quran. Seperkara yang saya ingin kongsikan kepada kalian pengenalan umum tentang surah ini. Saudara Khair Sujud menyebutkan bahawa surah ini membuktikan Allah SWT mengiktiraf semua makhluk yang ada di bumi yang dijadikan-Nya. Ternyata kebuktiannya itu seperti surah al-Ankabut yang mana maknanya ialah Labah-Labah. Selain itu, terdapat surah an-Naml iaitu Semut, 
al-Baqarah iaitu Lembu Betina, al-An’am iaitu haiwan ternakan dan lain-lain lagi.

Selain itu juga, ayat 1-7 dalam surah al-Ankabut ini memberikan satu gambaran umum iaitu menurut Fazril Salleh masalah juga adalah makhluk Allah dan ianya merupakan sunnatulullah. Beliau menambah lagi dengan melontarkan 1 persoalan iaitu bagaimana seorang muslim yang beriman mampu menghadapi dan menangani masalah yang dihadapinya. Maka, cara itu terdapat di dalam surah al-Ankabut ayat 1-7.

1.      Ayat pertama, Imam Ibnu Kathir menukilkan banyak riwayat dan yang paling rajih alim lam mim adalah salah satu daripada nama al-quran. Ada juga yang menyatakan bahawa ianya salah satu dari nama Allah. Al-Imam al-Zamakshari menyebut bahawa Al-Quran  yang dimulai dengan huruf ada 29 tempat seperti Qaf, Shad, Alim Lam Mim Ra. Setiap huruf, perkataan dan semua yang terdapat di dalam al-quran kita wajib mengimani 100% kerana al-quran ini adalah kalam Allah dan Mukjizat nabi Muhammad SAW. Firman Allah di dalam surah al-Baqarah ayat ke-2 yang menjelaskan kepada kita bahawa al-quran ini tiada keraguan padanya. Ini adalah pegangan ahli sunnah wal jamaah bahawa Al-quran lengkap dan kekal selamanya kerana Allah menjanjikan akan memeliharanya selama-lamanya. Terdapat beberapa golongan yang mengatakan bahawa al-quran ini belum lengkap. Ada juga yang menyebut ada beberapa perkataan dalam al-quran telah dibuang. Ini merupakan fahaman songsang dan terpesong dari ajaran islam. Semoga Allah melindungi umat islam yang beriman dan menjaga agama Allah ini.

2.      Ayat kedua pula memulai dengan satu persoalan yang harus bagi setiap umat islam memikirkannya. Terdapat satu kaedah dalam ilmu Bahasa Arab disebut istifham inkari atau istifham ta’ajubi yang membawa maksud memberi pertanyaan tanpa ada jawapan. Banyak uslub ini terdapat di dalam al-quran supaya umat islam mengkoreksi diri dan mengenal makna diri dalam mencari keredhaan Allah. Pertanyaan itu menjadikan satu persoalan untuk kita melakukan sesuatu supaya dimasukkan ke dalam syurga Allah. Tiada umat pada zaman ini yang boleh mengatakan bahawa dia akan masuk syurga namun usaha ke arah itu menampakkan seseorang itu akan dimasukkan syurga. Pada zaman nabi Muhammad SAW, Allah telah menjanjikan beberapa sahabatnya akan dimasukkkan ke dalam syurga seperti khulafa’ ar-Rasyidin. Oleh itu, beramalah dengan amalan-amalan yang soleh dan benar di sisi Allah kerana itu akan menjaminkan seseorang itu di masukkan ke dalam syurga. Insya-Allah.

Di dalam tafsir ibnu Kathir, beliau menyebut bahawa Allah SWT akan menguji hamba-hamba-Nya yang beriman berdasarkan keimanan mereka. Allah menegaskan lagi di dalam surah ali-al’imran ayat ke-142:

أَمْ حَسِبْتُمْ أَن تَدْخُلُوا الْجَنَّةَ وَلَمَّا يَعْلَمِ اللَّهُ الَّذِينَ جَاهَدُوا مِنكُمْ وَيَعْلَمَ الصَّابِرِينَ

“Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga padahal belum lagi nyata kepada Allah (wujudnya) orang-orang yang berjihad (yang berjuang dengan bersungguh-sungguh) di antara kamu, dan (belum lagi) nyata (wujudnya) orang-orang yang sabar (tabah dan cekal hati dalam perjuangan)?

Nabi Muhammad SAW bersabda:

أشد الناس بلاء الأنبياء ثم الصالحون ، ثم الأمثل فالأمثل ، يبتلى
الرجل على حسب دينه ، فإن كان في دينه صلابة زيد في البلاء "

 “Maknanya ialah, manusia yang paling berat memikul beban dan dugaan adalah para nabi kemudian orang yang shahlih, kemudiannya manusia yang seperti dan sepertinya. Allah akan menguji seseorang mengikut pada pegangan agamanya, jika dia kuat pegangan pada agama islam itu Allah akan bertambah lagi dugaan.”

Hadis ini menunjukkan bahawa peringkat keimanan setiap manusia dengan manusia sangat berbeza. Semakin banyak dia menerima dugaan semakin bertambah iman dan semakin dekat dia dengan Allah. Allah akan menguji mengikut kemampuan keimanannya. Bersama-sama kita bermuhasabah mengenai tingkat keimanan kita. Bersamalah kita berfikir sejauh mana kepergantungan kita kepada Allah. Jika kita meyakini bahawa kita orang yang beriman, kita pasti diuji dengan pelbagai ujian sama ada besar mahupun kecil.

Seperkara yang menarik harus kita hayati ialah perkataan فَتَنَ, يفتنون. Perkataan fitnah juga berambil daripada perkataan ini. Mungkin ada sebahagian dari kita yang memahami bahawa fitnah ini satu perkara yang negatif. Sebenarnya di dalam kamus arab seperti Lisan Arab oleh Ibn Manzour, beliau mennyebutkan bahawa fatana ini ialah menguji untuk menyucikannya. Maksud yang mudah ialah, apabila kita diuji, sebenarnya Allah ingin membersih dan menyucikan hati serta menambahkan keimanan dan rahmat-Nya. Maka jangan khuatir apabila kita difitnah kerana itu tandanya kita disayangi Allah. Jangan gusar hati andai ditimpa musibah setiap masa kerana itu tanda kecintaan Allah dan takutlah jika pada diri kalian jika tidak ada musibah atau dugaan yang menimpa kerana itu kemungkinan Allah membiarkan kita dalam kejahilan dan istidraj.

3.      Pada ayat ke-3 ini merupakan satu penegasan yang nyata kepada dua golongan. Golongan pertama yang benar-benar beriman dan golongan kedua ialah menipu atau hipokrit. Imam Ibn Kathir menyebut bahawa Allah SWT Maha Mengetahui apa yang telah berlaku dan akan berlaku serta Dia Maha Mengetahui setiap perbuatan yang dilakukan dan bagaimana dilakukan. Setiap hamba-hamba-Nya tidak dapat menyembunyikan walaupun dia berbisik di hati apatah lagi jika dia menzahirkan perkara yang baik dan buruk. Golongan pertama iaitu golongan yang beriman dengan Allah dan rasul-Nya. Mereka melaksanakan apa yang diperintah dan meninggalkan apa yang dilarang. Apabila mereka ditimpa musibah mereka redha dan berfikiran positif dengan apa yang berlaku adapun golongan kedua mereka berpura-pura beriman dengan Allah dan rasul-Nya tetapi pada hakikatnya mereka mengharamkan apa yang dihalakan dan menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah dan rasul. Kedua golongan ini akan mendapat tempat yang sesuai dengan keimanan dan ketaqwaan mereka kepada Allah. Jika beriman maka dimasukkan ke dalam syurga dan kufur akan diazab yang pedih.

Berapa ramai dalam kalangan kita yang benar-benar beriman dan beramal soleh? Adakah kita benar-benar menyakini akan perintah Allah dan melaksanakan segala suruhan-Nya. Adakah kita hanya di hadapan manusia sahaja kita melakukan kebaikan namun disebaliknya meninggalkannya. Tepuk dada tanya hati dimanakah tempat kita.

Tambahan pula, Ibn ‘Abbas membawa satu penafsiran dengan metodologi pentafsiran al-quran yang utama iatu dengan tafsir al-quran dengan al-quran. Beliau memetik satu ayat  daripada surah al-Baqarah ayat ke-143 untuk menerangkan lagi keberadaan bagi orang yang beriman yang menimpa dugaan dan cabaran:

وَكَذَٰلِكَ جَعَلْنَاكُمْ أُمَّةً وَسَطًا لِّتَكُونُوا شُهَدَاءَ عَلَى النَّاسِ وَيَكُونَ الرَّسُولُ عَلَيْكُمْ شَهِيدًا ۗ وَمَا جَعَلْنَا الْقِبْلَةَ الَّتِي كُنتَ عَلَيْهَا إِلَّا لِنَعْلَمَ مَن يَتَّبِعُ الرَّسُولَ مِمَّن يَنقَلِبُ عَلَىٰ عَقِبَيْهِ ۚ وَإِن كَانَتْ لَكَبِيرَةً إِلَّا عَلَى الَّذِينَ هَدَى اللَّهُ ۗ وَمَا كَانَ اللَّهُ لِيُضِيعَ إِيمَانَكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ بِالنَّاسِ لَرَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu. (Sebenarnya kiblat kamu ialah Kaabah) dan tiadalah Kami jadikan kiblat yang engkau mengadapnya dahulu itu (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi ujian bagi melahirkan pengetahuan Kami tentang siapakah yang benar-benar mengikut Rasul serta membenarkannya dan siapa pula yang berpaling tadah (berbalik kepada kekufurannya) dan sesungguhnya (soal peralihan arah kiblat) itu adalah amat berat (untuk diterima) kecuali kepada orang-orang yang telah diberikan Allah petunjuk hidayah dan Allah tidak akan menghilangkan (bukti) iman kamu. Sesungguhnya Allah Amat melimpah belas kasihan dan rahmatNya kepada orang-orang (yang beriman).

Ayat ini mengajar kita kita bahawa ujian dan dugaan pasti akan ditempuhi oleh umat islam terutamanya para pendakwah yang menyuruh kepada yang makruf dan mencegah yang mungkar. Para pendakwah yang beriman yang mengajak umat dalam mentauhidkan Allah merupakan satu cabaran yang besar dan berat. Inilah dinamakan sunnah Rasulullah yang mana pada 13 tahun dakwahnya, tugasnya adalah mentauhidkan seluruh umat untuk menyembah Allah yang Esa. Untuk memasuki taman-taman Allah, umat islam yang beriman pasti akan menghadapi segala macam dugaan dan cabaran baik besar mahupun kecil.

Di samping itu, ayat ini juga mengambarkan bahawa pentingnya kita belajar dari sejarah yang terdahulu. Saudara Fazril menyebut bahawa kita mesti bijak dalam memahami sejarah yang lalu kerana mereka sudah melaluinya dan mengambil iktibar supaya perkara yang sama tidak akan berulang lagi. Jika ada kekurangan maka ditambah dengan cara yang lebih tepat dengan berpandukan al-quran dan sunnah. Saya melihat bahawa sejarah umat terdahulu, kita harus belajar. Kita lihat bagaimana Nabi Nuh berdakwah kepada umatnya siang dan malam dan secara rahsia mahupun zahir. Kita perhatikan kisah perjuangan Nabi Ibrahim berdepan dengan raja Namrud dan ayahnya. Kita cuba renungi kesabaran Nabi Musa melawan Firaun. Kita hayati keteguhan keimanan Nabi Isa yang diuji sehingga umatnya yang ingin menyalibnya. Semestinya kita pelajari sejarah Rasulullah SAW dan para sahabat dalam mempertahankn aqidah sehingga umat sekarang dapat menikmati islam itu dengan aman dan sejahtera.

4.      Ayat ke-4 pula memberi pengajaran bahawa jangan kita ambil mudah dan berkeyakinan tinggi khususnya umat islam bahawa mereka akan dapat masuk syurga dengan jalan yang mudah tanpa amal yang soleh dan cabaran dalam menempuh dugaan hidup. Kita perhatikan bagaimana Rasullullah mendidik para sahabat sehingga mereka menjadi sebaik-baik umat dan dijanjikan syurga. Mereka menempuh jalan kehidupan yang berliku-liku. Mereka diboikot, diperangi, dibunuh, diseksa, diperang, dikurung, diperhamba, dihina dan sebagainya. Setiap waktu pasti ada sahaja dugaan yang menimpa mereka. Mereka tetap teguh pendirian dalam aqidah Allah. Hasilnya, mereka menjadi generasi yang terunggul. Mereka tetap bersabar dan kesabaran itu mendatangkan faedah-faedah yang lumayan bukan sahaja dunia malah di akhirat.

Maka, jalan itu juga akan dilalui oleh generasi zaman sekarang. Para pendakwah khususnya harus mencermati sunnah Rasulullah dan para sahabat dalam berdakwah, mendidik dan menyamapaikan ilmu. Islam datang dalam keadaan asing dan begitulah islam akan datang. Cara mungkin kuno dikatakan sebahagian umat tetapi ada rahsia yang boleh dipelajari dan mesti bertepatan dengan sunnah tersebut. insya-Allah.

5.      Ayat ke-5 pula, memberikan satu khabar gembira kepada orang yang beriman yang setelah penat lelah tempuhi segala onak dan duri. Maka orang beriman yang berjaya akan mendapat ganjaran disisi Allah namun syaratnya tetap ada. Keyakinan bukan hanya mengungkap dengan bibir semata-mata tetapi ia perlu dibuktikan dengan perbuatan. Perbuatan itu ialah amalan-amalan yang soleh dan sahih yang wajib seperti solat, berpuasa, zakat, haji dan sebagainya. Ayat ini juga sangat bertepatan dengan sunnah Rasulullah seperti mana firman Allah dalam surah al-Kahfi ayat ke-110:

قُلْ إِنَّمَا أَنَا بَشَرٌ مِّثْلُكُمْ يُوحَىٰ إِلَيَّ أَنَّمَا إِلَٰهُكُمْ إِلَٰهٌ وَاحِدٌ ۖ فَمَن كَانَ يَرْجُو لِقَاءَ رَبِّهِ فَلْيَعْمَلْ عَمَلًا صَالِحًا وَلَا يُشْرِكْ بِعِبَادَةِ رَبِّهِ أَحَدًا

Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang Satu; Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya".

Banyak amalan yang boleh kita lakukan. Jika kaya maka bersedekah. Jika ada kekuatan turun lapangan. Jika ada ilmu sampaikan. Segala macam bentuk kemahiran yang Allah anugerahkan kepada setiap umatnya dan pastinya setiap umat dengan umat yang lain ada perbezaan kemahiran yang tersendiri. Maka, lakukanlah dan hidup biar berjasa.

6.      Ayat yang ke-6, memberikan satu pengajaran bahawa bagi setiap yang berjihad di jalan Allah itu sebenarnya dia telah menolong diri sendiri kerana Allah telah menjanjikan bahawa setiap amalam kebaikan yang dilakukan pasti akan mendapat ganjarannya. Berjihad di jalan Allah melalui dua perkara iaitu dengan jiwa dan harta. Berjihad dengan jiwa iaitu menuntut ilmu, mendidik diri, mennsucikan hati dan berdakwah kepada kaum kerabat dan umat keseluruhannya. Berjihad dengan harta ialah menginfakkan harta di jalan Allah, bersedekah, memberi hadiah, membayar zakat mengikut kemampuan yang ada.

Berjihad di jalan Allah ini akan berterusan sehingga ke hari khiamat. Setiap saat dan dimana sahaja kita berada, perjuangan menegakkan kalimah Allah mesti dilaksanakan serta mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran. Perjuangan ini telah bermula sejak dari para anbiya’, setiap daripada mereka berusaha bersungguh-sungguh untuk mengajak umat untuk mengabdikan diri kepada Allah. Berjihad untuk mengangkat kalimah tauhid iaitu kalimah syahadah merupakan perkara utama yang harus dilaksanakan mengikut cara yang dilakukan oleh para rasul.

Sebahagian daripada kita ada yang mudah berputus asa dan cepat mengalah. ada yang pada permulaan jalan sudah patah balik. Ada juga bertahan sampai ke pertengahan jalan bahkan ada juga yang sentiasa istiqamah dalam perjuangan. Perlu kita ingat, walaupun kita katakan kita sudah berjuang di jalan Allah sudah lama namun jangan sesekali mengungkit kerana kekhuatiran amalan kita akan menjadi sia-sia. Amatlah malang dan rugi jika perkara seperti itu berlaku.

Kita jangan mudah menyerah dan cepat mengalah. segala usaha yang kita lakukan di jalan Allah pastinya akan membuahkan hasil yang baik. Oleh hal yang demikian, Allah memberi khabar gembira buat para pejuang yang berjihad di jalan Allah. Firman Allah di dalam surah Muhammad ayat ke-7:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن تَنصُرُوا اللَّهَ يَنصُرْكُمْ وَيُثَبِّتْ أَقْدَامَكُمْ

Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu berjasa kepada Allah nescaya Allah membalas jasa kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu.

Selain itu, Allah juga berfirman di dalam surah Fussilat ayat ke-46:

مَّنْ عَمِلَ صَالِحًا فَلِنَفْسِهِ ۖ وَمَنْ أَسَاءَ فَعَلَيْهَا ۗ وَمَا رَبُّكَ بِظَلَّامٍ لِّلْعَبِيدِ

Sesiapa yang mengerjakan amal soleh maka faedahnya akan terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang berbuat kejahatan maka bahayanya akan menimpa dirinya sendiri; dan Tuhanmu tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-hambaNya.

Bahkan Allah juga memuji dan menerima segala bentuk kebaikan walaupun sebesar zarrah. Allah sentiasa menilai amalam kebaikan hamba-hambaNya yang ikhlas. Firman Allah dala surah al-Zalzalah ayat ke-7:

فَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْرًا يَرَهُ

Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!

7.      Ayat ke-7 pula menerangkan kepada kita bahawa amalan yang baik dapat menghapuskan dosa-doa yang terdahulu bahkan dianugerah pahala dan ganjaran yang baik daripada Allah bahkan al-Imam Ibn-Kathir juga menyebut perkara ini bahawa Allah akan menganjari pahala kepada orang yang beriman yang beramal soleh dengan sebaik-baik ganjaran iaitu pahala serta menghapuskan  dosa-dosa. Ini membuktikan bahawa islam menititberatkan dalam melakukan amalan yang baik. Setiap umat tidak terlepas daripada melakukan dosa dan sebaik-sebaik dari mereka itu adalah orang yang bertaubat. Bertaubat juga boleh dilakukan dengan amalan-amalan yang baik kerana janji Allah bahawa amalan yang baik dapat menghapuskan dosa yang lalu. Berdakwah merupakan perkara yang baik. Mensucikan hati juga perkara yang baik. Membentuk peribadi muslim juga perkara yang baik bahkan menuntut ilmu adalah perkara yang baik. Jadi, sangat bertepatan dengan slogan “Dakwah, Tarbiyyah dan Alamiah” itu menganjurkan kita mengerjakan amalan yang soleh.Allah juga berfirman di dalam surah an-Nisa’ ayat ke-40:

إِنَّ اللَّهَ لَا يَظْلِمُ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ ۖ وَإِن تَكُ حَسَنَةً يُضَاعِفْهَا وَيُؤْتِ مِن لَّدُنْهُ أَجْرًا عَظِيمًا

Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali menganiaya (seseorang) sekalipun seberat zarah (debu). Dan kalaulah (amal yang seberat zarrah) itu amal kebajikan, nescaya akan menggandakannya dan akan memberi, dari sisiNya, pahala yang amat besar.

Wallahu a’lam.




Himpunan Usrah Bitara
12/3/2016.

MUKADIMAH

Bismillahirrahmanirrahim. Alhamdulillahirabbil’alamin.


Ini ialah catatan ringkas buat teman-teman pembaca yang dirahmati Allah sekalian. Pada kesempatan ini, saya akan mencoretkan sebuah pengalaman manis dan pahit semasa saya menyertai satu program iaitu “Himpunan Usrah Bitara”. Program ini adalah agenda utama gerakan PKPIM. Program ini bagi saya cukup bermanfaat kepada generasi muda yang cintakan agama dan umat. Program ini juga berkonsepkan santai dan ianya memfokuskan satu konsep permulaan kepada generasi muda mengenai usrah dan keberkesanan usrah kepada generasi muda.

Satu perkara yang saya membuat hati ketawa kecil ialah program ini mendapat tentangan dari pihak KLCC kerana mendapat arahan daripada IPD Dang Wangi. Setibanya saya disana bersama saudara Fazril, saudara Khair dan Arif, kami disapa oleh seorang pegawai. Beliau menasihati kami dengan berhikmah. Beliau menasihati kami supaya menghentikan program ini dengan atas alasan tidak mendapat kelulusan dari pihak KLCC. Kami akur dan menerima Cuma kami mengatakan bahawa kami ingin berehat dan berjalan-jalan sahaja. Sepanjang 4-5 jam kami berada di sekitar KLCC, kami dipantau dan diperhatikan dari setiap sudut. Di atas, bawah, belakang, depan, kanan serta kiri, kami di jaga seolah-olah kami ini adalah penjenayah besar. Sungguh melucukan!Ketika kami sedang makan tengah hari pun kami diganggu. Saya tidak mengerti apakah yang berlaku. Kesabaran menguji hamba-hamba-Nya yang beriman. Kini, baru saya menyedari tentang dua perkara. Pertama ialah kekuatan generasi muda apabila bergabung pasti akan membawa kesan sama ada positif dan negatif. Kedua, perkara baik selalu akan diuji.

Untuk pengenalan kepada pembaca yang dikasihi sekalian. Saya akan menghuraikan serba ringkas tentang program ini dan apakah maksudnya.“Usrah” merupakan satu konsep pendidikan awal untuk membentuk peribadi setiap muslim dalam mencari makna dan jati diri. Usrah melambangkan suatu kekuatan jemaah. Kekuatan sesuatu jemaah itu adalah sangat berkait rapat dengan usrah. Tidak mungkin tertubuhnya suatu jemaah yang berprinsip menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran tanpa sistem usrah ini. “Bitara” pula adalah merujuk kepada satu makna yang tersendiri. Apa yang boleh saya fahami ialah membawa erti satu kuasa yang tidak ada batasnya sama ada dari segi idealisme, intelektualisme, aktivisme dan spiritualisme. Manakala perkatataan “Himpunan” pula merujuk kepada suatu kumpulan yang besar yang akan berkumpul di suatu tempat untuk membincang dan bertukar-tukar pandangan dan idea dalam masa yang sama untuk mengeratkan silaturrahim. Oleh itu, saya mengambil peluang keemasan ini untuk menjadi sebahagian daripada program “Himpunan Usrah Bitara” ini yang telah dianjurkan oleh Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM). Semua bentuk tulisan adalah pada pandangan peribadi. Semoga bermanfaat kepada pembaca. Insya-Allah.
بسم الله الرحمن الرحيم
Usrah Umum KLMU 16/12/2015.

PERANAN MAHASIWA BITARA

Mukadimah

1.     Siapakah Mahasiwa? Mahasiswa ialah penuntut ilmu. Nabi Muhammad SAW menyebut: “Menuntut ilmu adalah satu kewajipan bagi setiap muslim”. Di dalam memahami konsep menuntut ilmu, mahasiswa perlu mengimani dua konsep teras iaitu bersungguh-sungguh serta tawakal. Kedua- dua perkara ini tidak boleh dipisahkan. Islam mengukur seseorang itu bukan semata-mata kepada keputusan tetapi islam melihat bagaimana seseorang muslim itu bersungguh-sungguh untuk melakukan sesuatu pekerjaan tersebut. Perkara ini jelas disebut di dalam kitab Akhlah Islamiyyah antaranya “Al-Akhlak wa Mi’yaruha Baina Wadhi’iah wa Ad-Din” oleh Dr. Abdul Hamid. Islam melihat usaha seseorang tersebut adapun falsafah bukan islam iaitu melihat kepada keputusannya contohnya, bagi mereka ialah mendapat ijazah dengan meniru bukanlah satu kesalahan yang besar tetapi mesti dapatkan ijazah itu tidak kira bagaimana caranya yang penting berjaya ataupun gagal, jika gagal maka terserlah bahawa dia tidak pernah berusaha namun sebaliknya islam tidak!. Begitu jugalah Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) sangat menititberaktkan konsep ilmu sehinnga “memugar budaya ilmu dan berakhlak mulia” telah menjadi salah satu daripada budaya 7 gerakan yang menuntut ilmu mesti dengan cara yang betul dan ikhlas kerana Allah serta berusaha bersungguh-sungguh untuk melakukannya.

2.     Ilmu dikategorikan kepada dua. Ilmu fardhu ain dan ilmu fardhu kifayah. Yang pertama yang wajib difahami oleh setiap muslim ialah ilmu fardhu ain seperti solat. Kedua ialah fardhu kifayah, ilmu ini harus dikuasai oleh sebilangan sahaja dari kalangan muslim seperti perubatan. Dewasa ini, ilmu fardhu ain sudah kian dilupakan oleh muslim. Perkara asas seperti solat, puasa dan zakat sudah lagi tidak ditititberatkan namun yang menjadi keutamaan bagi sesetengah mereka adalah ilmu teknologi, sains, perubatan dan lain-lain. Islam tidaklah melarang muslim itu untuk menguasai ilmu fardhu kifayah tetapi bagaimanakah konsep desekularisasi dapat diterapkan dengan sempurna terhadap kedua-dua ilmu tersebut. Inilah yang ditekankan oleh Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam iaitu konsep desekularisasi iaitu mengabungkan revealed knowledge dan acquired knowledge. Apabila kita membaca sebuah buku karya Prof Wan Mohd Nor Wan Daud  iaitu “Budaya Ilmu” membincangkan tentang konsep keperluan dan aspek ilmu,  konsep budaya ilmu, islamisasi terhadap suatu ilmu, ciri-ciri ilmu yang boleh diteladani dan diikuti dan bagaimana konsep ilmu boleh mempengaruhi isu-isu semasa. Buku ini wajar dimiliki dan dibaca oleh semua umat.

3.     3 persoalan yang harus dijawab oleh setiap mahasiwa. 3 persoalan ini perlu dikupas dan dihadaam dengan baik. 1) apakah matlamat, impian dan cita-cita seorang mahasiwa. 2) bilakah seorang mahasiwa dapat merealisasikannya?. 3) bagaimanakah cara dia memperolehinya dan menyumbang?. 3 persoalan  diatas merupakan perkara asas. Mereka perlu jelas dengan matlamat sendiri serta perlu peka dengan keadaan yang bakal dihadapi. Insya-Allah kejayaan akan menanti mereka. justeru, kita membincangkan soal peranan mahasiswa. Perkara ini sangat penting. Akan penulis membuat konklusi dengan artikel yang ringkas dengan sepotong ayat al-quran yang menjelaskan apakah peranan mahasiswa dan haknya.

Peranan Mahasiwa.

1.    Hak individu.

Perkara ini perlu jelas oleh setiap mahasiswa. Apakah matlamatnya. Jadi persoalan itu harus dijawab oleh empunya badan. Dia yang lebih tahu keadaan dirinya bahkan dia juga tahu apakah yang ingin dicapainya. Hak untuk diri sendiri sangat penting kerana jika diri sudah bersedia dan bersiap, dia mampu membantu keluarga, umat dan agama. Begitulah ayat al-quran menyebut dalam surah At-Tahrim ayat ke-6:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ

“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala)...”

Di dalam tafsir ibn kathir menjelaskan beberapa perkara penting mengenai ayat ini. Beliau menukilkan hadis-hadis  yang shahih daripada rasulullah SAW antara kepentingannya ialah: taat kepada perintah Allah dan menyuruhkan ahli keluarga sentiasa mengingati perintahnya, jangan melakukan perkara yang mungkar dan berbuat maksiat kepada Allah serta menganjurkan konsep pendidikan terhadap anak-anak bermula daripada anak kecil dengan beribadat kepada Allah. Inilah yang dikatakan hak mahasiswa untuk diri sendiri. Menuntut ilmu adalah asas dan semua perkara diatas memerlukan ilmu. Ilmu perlu diamati dan dipraktikan di dalam kehidupan seharian. Sebagai mahasiswa bitara, konsep belajar, belajar dan mengajar perlu bersemadi di dalam hati.

Ketahuilah, hak individu ini jangan disalahertikan dan difahami. Islam tidak mengajar umatnya sifat ananiah iaitu keakuan. Islam sangat menegah hal ini. Hak individu ini merupakan persiapan awal untuk membentuk jati diri yang unggul. Perhatikan sejarah islam terutama zaman Rasulullah SAW. Pendidikan yang diterapkan oleh Baginda SAW kepada para sahabatnya adalah saling membantu antara satu sama lain. Satu ilmu yang dipelajari terus diamalkan serta berkongsi dengan para sahabat  yang lain.

Oleh itu, jika hak yang asas ini sudah dapat dikuasai, insyallah dengan izin-Nya individu tersebut mampu melangkah jauh serta boleh membimbing keluarga, umat dan memelihara agama. Boleh dikatakan bahawa hak untuk diri sendiri adalah prioriti yang utama.

Mukadimah

Bismilillahirrahimnirrahim. Alhamdulillahirabil’alamin.

Tun Dr. Mahathir pernah mengungkap satu perkataan: “The World now lives in fear. We are afraid of everything...War must therefor be made illegal”. Apakah makna hidup? Apakah nilai nyawa sudah tidak berharga lagi? Apakah nilai nyawa semurah Kangkung? Mengapa ini semua berlaku? Kenapa perang disana disini baik di barat mahupun di timur sama ada sesama agama ataupun sesama bangsa? Adakah dunia waktunya sudah sampai penghujung? Bagaimana harus dihentikan semua perkara fasad ini? Bilahkah perang akan tamat? Bilakah dunia akan aman? Apakah kekuasaan dengan menghancurkan umat itu menjadi satu kebanggaan? Hidup manusia sudah tiada kedamaian. Pasti ada kecelakaan akan berlaku. Lihatlah bagaimana saudara-saudara kita di Rohingnya, Palestin, Syria, Selatan Thai, Bosnia dan perhatikanlah masyarakat islam di negara Malaysia sendiri. Senapang digantikan dengan pensil bagi kanak-kanak. Hakikatnya meraka adalah kanak-kanak yang mempunyai impian dan cita-cita. Ada bercita-cita ingin menjadi alim ulama’, jurutera, peniaga, angkasawan dan sebagainya namun hidup mereka dipaksa memegang senapang untuk mempertahankan negara. Nyawa digadai. Cita-cita terabai!

Hidup ini hanya sementara. Hidup di dunia adalah satu persinggahan. Hidup di dunia adalah untuk mencari bekalan di sana. Apabila manusia dihidupkan oleh Alllah di muka bumi ini pasti mempunyai tujuan yang tertentu. Maka, Allah menjadikan manusia yang pertamanya adalah untuk mengabdikan diri kepada Allah semata-mata dan keduanya ialah untuk menjadi pemimpin untuk memimpin diri daripada api neraka dan menjadi pemimpin yang adil untuk mengurus dunia.

Isu umat mesti ditangani dengan baik dan adil. Segala kerosakan mesti diperbetulkan. Perkara yang mungkar ditegah dan perkara yang ma’ruf mesti disuruh dan diamalkan. Islam menititberatkan soal kedamaian, kesihatan, keselamatan, keadilan dan menolak perkara yang batil, kezaliman dan kemusnahan. Tiada satu agama pun di dunia ini yang berani mengaku bahwaa ia menyokong perkara-perkara yang zalim.

Justeru, penulisan pada kali ini akan memfokuskan hal isu semasa yang wajar direnungi dan difahami oleh seluruh umat khususnya umat islam. Apa yang islam ajar itulah yang harus kita ikuti. Dan apa yang islam tegah itulah yang harus kita tinggalkan.

Bagaimanakah jihad boleh memberi keamanan dan kesejahteraan kepada umat? Dan apakah fungsi jihad? Oleh itu, umat islam harus sedar dan memahami konsep jihad dengan betul. Sungguh! Konsep jihad sangat luas. Dimensinya menyeluruh aspek kehidupan bermula dari rumah tangga hinggalah kepada pemerintahan. Konsep jihad jika dihayati dengan mata hati, segala prinsip maqasid syariah juga berkait rapat dengan jihad.
Insyallah, pada kesempatan ini, penulis ingin berkongsi dapatan hasil pembacaan dan pemahaman yang cetek ini kepada sekalian pembaca mengenai “Memaknai Jihad, Perana Umat untuk Umat”.



1.   انفِرُوا خِفَافًا وَثِقَالًا وَجَاهِدُوا بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنفُسِكُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

 Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), sama ada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui. (at-Taubah:41).