Terjemahan al-Quran

بسم الله الرحمن الرجيم، ولله الحمد الذي أنزل القرآن بلسان عربي مبين، وعلم القرآن الكريم، وخلق الإنسان ضعيفا فعلّمه البيان. والصلاة والسلام على إمام البلغاء، وسيد الفصحاء، ورئيس القراء نبينا المصطفى محمد بن عبد الله صلى الله عليه وسلم  و على أهله كرماء، وأصحابه العظماء ومن تبعهم بإحسان إلى يوم الدين، أما بعد.



Karya berjudul Terjemahan Al-Quran oleh Prof. Dr. H. Nashruddin Baidan adalah sebuah karya yang membahaskan permasalahan displin terjemahan al-Quran terhadap teks dan konteks terjemahan al-Quran di Indonesia.

Karya ini mengetengahkan beberapa karya terjemahan al-Quran di antaranya tafsir Hamka, Al-Misbah dan sebagainya. Bagi saya, beliau seorang ulama' yang sangat kritis dan kreatif. Ilmu beliau dari sudut bahasa Arab sangat mendalam bahkan beliau menguasai displin ilmu terjemahan sangat tinggi.

Karya ini bagus untuk semua khususnya yang ingin mendalami al-Quran dari sudut terjemahan maknanya. Banyak perkara yang boleh kita setuju dan ada perkara yang boleh dibahaskan lagi.

Yang menjadi keutamaannya, pada hemat saya pada karya ini, beliau mengajak kepada semua untuk memperbaharui terjemahan makna al-Quran khususnya daripada bahasa Arab kepada bahasa Melayu.
Sebagai contoh dalam surah al-'Ma'un. Allah berfirman: 

فَوَيْلٌ لِّلْمُصَلِّينَ، الَّذِينَ هُمْ عَن صَلَاتِهِمْ سَاهُونَ
Terjemahan Basmieh: (laitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya; (Surah al-Ma’un 107:4-5)

Terjemahan Prof Dr. H. Nasruddin Baidan: "Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang solat iaitu mereka yang lupa dari solatnya" (Al-Ma'un 4-5).

Cuba bandingkan dua terjemahan di atas.

Pada ayat di atas ada huruf jar (kata sendi) iaitu dari (عن). Lalu bagaimana hendak memahaminya, dalam erti kata lain, bagaimanakah untuk menterjemah huruf tersebut dalam al-Quran yang lebih tepat dan menepati maksudnya dari segi teks dan konteks. Seandainya diterjemahkan dengan (dalam) maka seolah-olah maknanya celakakah orang yang lalai dalam solat itu maknanya dia barangkali tidak khusyuk, tidak sempurnakan rukun utama dan begitu segera tidak ada toma'ninah.

Tetapi jika diterjemahkan (dari) maka maknanya dia belum mengerjakan solat dalam erti kata lain, dia mengatakan solat itu tidak penting dan dia ambil mudah soal kewajipan solat.

Menurut penulis:“Terjemahan (dalam) dengan demikian itu memberikan informasi, bahawa kecelakaan yang ditimpakan kepada mereka itu disebabkan oleh sikap dan perilaku mereka yang tidak memedulikan solat dan bahkan mengabaikan; padahal mereka mereka mengaku mukmin, tetapi tidak mahu mengamalkan ajaran iman yang mereka yakini. Jadi wajar sangat mereka diancam dengan kecelakaan dan azab sebagaimana dijelaskan di atas”.

Tambahan beliau, jika diterjemahkan kepada dari, beliau menukilkan pendapat ibn Kathir dan Mujahid bahawa (عن) itu maknanya (dari) solat bukanya dalam solat lantas maknanya adalah memberikan informasi bahawa kecelakaan yang ditimpakan kepada mereka yang solat itu ialah bilamana setelah melakukan solat mereka menjauh dari ajaran solat itu sendiri misalnya tidak mahu berhenti dari perbuatan maksiat seperti korupsi, manipulasi dan sebagainya sedangkan mereka sudah mengerjakan solat tetapi tidak masih lalai daripada tuntutuan yang sebenar. (Huraian selanjutnya pada buku beliau)

Menurut saya, boleh diertikan dengan dari lalai daripada menunaikan solat iaitu mereka memandang solat bukan satu kewajipan, mengatakan solat tidak penting dan menyusahkan, mengutamakan kepentingan dunia daripada kewajipan solat sebab pada ayat itu tidak digunakan ayat yang dimulakan dengan kata kerja (الجملة الفعلية) tetapi dimulakan dengan kata nama (الجملة الاسمية) yang memberikan makna tentang pelaku.

Oleh hal yang demikian itu, yang manakah lebih tepat terjemahan bagi golongan yang mendapat kecelakaan Allah. Kesimpulan secara umumnya, terjemahan (dari) adalah lebih tepat pada teks dan konteks kerana suruhan mengerjakan solat itu lebih penting dan disuruh melakukannya. Wallahu a’lam.

Banyak lagi permasalahan terjemahan yang beliau bentangkan, dalam karya beliau terdapat 9 permasalahan dan beliau membahas dengan fakta dan ilmiah. Pada saya, karya ini sangat bagus terutama yang ingin mengajar al-Quran dari sudut bahasa.
Hidup ini dugaan ataupun nikmat?

Kadangkala hidup di dunia ini tidak semudah yang kita sangkakan. Ada ketikanya apa yang diharapkan tidak dicapai, apa yang diimpikan tidak dikecapi, apa yang dihajati tidak dimiliki dan pastinya tidak semua apa yang kita mahu kita dapat. Inilah takdir Yang Maha Illahi seolah-olah sang hamba tidak ada pilihan.

Dunia hanyalah sebuah persinggahan,

Jadi, setiap hamba-hamba-Nya mesti mencari bekalan di akhirat namun ada ketikanya kesempitan di dunia memberikan kita rasa sesuatu kesempitan seolah-olah kita tidak ada nikmat dunia yang kita harapkan dan hanyalah perlu menunggu kehidupan abadi di sana untuk memiliki segala kenikmatan dan kemewahan. Perasaan sebegini ini barangkali boleh memberikan rasa kecewa, putus-asa dan hilang harapan untuk hidup di dunia demi mencari bekalan di sana. 

Kita lihat ada manusia kais pagi makan pagi, kasi petang makan petang, kerja siang malam berpeluh keringat untuk mencari rezeki seisi keluarga. Ada juga yang kita melihatnya tidak ada apa-apa kenikmatan di dunia yang dapat dia kecapi dan miliki. Apakah perasaan dia? Berdukakah atau kecewakah? Ini permainan was-was dan ragu-ragu yang sentiasa menghantui jiwa dan raga setiap insan yang bernafas di muka bumi ini.

Hidup ini,
Bukanlah susah namun ada kalanya Dia menguji hamba-hamba-Nya sebagai tanda keimanan dan kasih sayang. Ya benar, itu satu perkara namun kadangkala kesempitan dan kurang kemewahan dunia membuatkan seseorang itu rasa sempit dan kecewa. Dia melihat orang lain dengan hati yang luhur dan luluh kerana dia tak dapat memiliki apa yang orang lain miliki. Dia mengimani semua kalam-kalam Allah azza wajalla namun hati kecil nurani itu sentiasa berbolak-balik dan meronta-ronta mencari jalan keluar dalam memahami erti kehidupan yang sebenarnya.

Hidup ini dugaan ataupun nikmat?

Setiap daripada kita ada jawapan disebalik persoalan yang diutarakan. Ketika diuji barangkali ada yang mengatakan ini dugaan, barangkali ada juga menyebut ini juga satu kenikmatan. Kedua-duanya ada kebenaran berdasarkan konteks dan cara kita menghadapinya. Yang menjadi permasalahan di sini adalah bagaimana kita menghadapinya? Ini betul-betul memerlukan pengorbanan, kesabaran, kesungguhan dan keimanan yang kuat untuk menghadapinya akan tetapi sekuat mana keimanan dan sifat yang ada pada individu sedikit-sebanyak juga boleh menggoncang jiwa dan menggoyah kalbu cuma sama ada pendam ataupun luahkan.

Hidup ini sementara, 

Kita pilihlah jalan kanan ataupun kiri, jalan depan atau belakang, baik atas mahupun bawah, setiap sudut kita bebas memilihnya. Walaubagaimanapun jalan yang kita pilih itu ada waktunya benar ada masanya salah. Tidak semua apa yang kita rasa benar itu benar dan salah itu salah bahkan kadang-kadang apa yang kita rasa salah itulah benar dan benar itulah salah. Pilihan Sang Hamba seolah-olah tidak ada pilihan melainkan menempuhi jalan mengikut arus angin dan menghadapi badai ombak semampu yang mungkin.

Oh kehidupan. 

Mengapakah kita hidup? Menjadi hamba dan pemimpin. Ianya satu tanggungjawab yang sangat besar. Kadang-kadang rasa mahu sahaja memejamkan mata buat selamanya sebelum usia mencecah hukum taklifi supaya tidak ada dosa lantas terus dimasukkan ke syurga Allah yang indah di mana dibawahnya mengalir air sungai yang sangat jernih, dalamnya ada bidarari yang jelita, taman-taman yang bersih dan damai, makanan yang lazat dan minuman yang menyelerakan. Hakikatnya, tidak seperti yang kita mahu kita dapat kerana kita sudah hidup bahkan ada mencecah usia matang dan usia yang senja dan terus dan perlu menggalas dua amanah yang sangat berat iaitu menjadi hamba dan pemimpin.

Kehidupan segeralah berakhir. 

Sampai waktunya, kita tidak perlu memerlukan amanah sebagai hamba, pemimpin dan kita tidak perlu memikirkan lagi tujuan hidup, kita juga tidak perlu rasa resah dan ragu-ragu dengan kehendak-Nya, kita juga tidak lagi rasa tersepit dengan dugaan dan cabaran, kita juga tidaklah hanyut dalam kemewahan yang melalaikan. 

Berakhirlah kehidupan.

Firman Allah azza wajalla dalam surah Maryam ayat ke-80:

Dan kami akan warisi (harta benda dan anak-pinak) yang dikatakanna itu, dan ia akan datang kepada kami dengan seorang diri.

(Ayat ini saya baca pada pagi tadi dan teringat satu peristiwa 5 tahun yang lalu di masjid UIAM Gombak, pada waktu maghrib, Imam membaca ayat ini dan ketika itu saya tidak faham mengapa ramai sangat orang menangis, usai solat, saya mencari sahabat saya Moaz Sudani, saya bertanya kepada dia, dia pun memberitahu kepada saya). 

Hati saya tersentuh dan sedih kalau membaca ayat ini kerana ayat ini ada berkait rapat dengan ayat surah 'Abasa.

Wallahu a'lam dari nukilan hati.

Perkembangan Awal Nahu Arab

Bismillahirrahmanirrahim. Alhamdulillahirabil’alamin.

قَدْ أَجْمَعَ النَّاسُ جَمِيْعًا أَنَّ اللغَةَ إِذَا  وَرَدَتْ فِي القَرْآنِ فَهِيَ أَفْصَحُ مِمَّا مِنْ غَيْرِ القَرْآنِ، لَا خِلَافَ ذَلِك.
"Keseluruhan manusia telah bersepakat menyatakan bahawa bahasa yang terkandung dalam al-Quran adalah sefasih-fasih bahasa daripada bahasa yang lain, perkara ini tidak ada perselisihan sama sekali". (Ibn Khalawyh)
Buku berjudul Perkembangan Awal Nahu Arab oleh Kamarul Shukri Mat Teh sebuah buku yang sangat baik dan bagus. Jarang ditemui sebuah buku berbahasa Melayu yang mencerita dan mengupas sejarah Nahu Arab sejak dari zaman Nabi Muhammad sollahu'alaihiwasalam sehingga zaman Abbasiyyah dan selepasnya. Jadi, saya menyarankan kepada semua untuk membaca buku ini supaya kalian tahu serba-serbi sejarah Nahu Arab kerana ilmu bahasa Arab asasnya adalah ibu segala ilmu dalam khazanah Islam.

Dalam buku ini mengandungi 7 Bab utama, bab 1 mengupas definisi Nahu dan sejarahnya. Bab 2, membahaskan gejala Lahn. Bab 3, membicarakan perintis dan pengasas ilmu Nahu. Bab 4, menerangkan teknik dan hujah ilmu Nahu terhadap al-Quran, Hadis, Syair, Prosa dan sebagainya. Bab 5, sejarah mazhab Nahu dan bagaimana ulama' mengembangkan ilmu Nahu. Bab 6 pula, mengupas sejarah perjalanan pembukaan ilmu di kota Baghdad, bab 7 penutup.
Saya ingin menekankan Bab 2 iaitu gejala Lahn, Lahn bermaksud kesilapan dalam bahasa Arab baik pertuturan, percakapan, lafaz dan makna.
Sebagai seorang penuntut ilmu bahasa Arab, Lahn ini merupakan wabak umat terutamanya yang bukan Arab tetapi zaman kini tidak, wabak ini juga telah meresap dalam kalangan kaum Arab. Saya ingin mengajak kalian supaya lebih utamakan bahasa fushah daripada loghat atau dialek melainkan loghat atau dialek tersebut terdapat dalam kamus dan kalam Arab terdahulu. Kerana loghat dan dialek ini merupakan salah satu punca wabak, lantaran itu ulama' nahu menyusun kaedah nahu dan sorof untuk merawat wabak tersebut.
Wabak Lahn ini juga disebut oleh Dr. Abdul Ghani dalam bukunya Peradaban Islam di Bumi Melayu; Kini dan Dahulu menyatakan bahawa penjajah dan orientalis telah berjaya menjadikan orang Arab mengutamakan Bahasa Loghat berbanding Bahasa Rasmi supaya mereka tidak lagi memahami dan mendalami lafaz dan makna al-Quran dengan tepat. Perkara ini juga disokong oleh Dr. Abdul Ghafar dalam syarahan al-Kasyaf bahawa orang Arab kini bukanlah Arab Asli dan mereka terpaksa merujuk kamus untuk mengetahui makna yang dilafazkan. Arab sekarang disebut sebagai al-Musta’rabun.
Bukan bermakna saya mengatakan tidak kepada loghat dan dialek apatah lagi menafikan tetapi pastikan lahjah itu betul-betul menurut qiyas dan sama' kerana dalam al-Quran merakamkan banyak sekali lahjah (saya akui sepatah haram lahjah pun tak faham, setakat al-Sirat dan al-Zhirat boleh la).
Baik, berbalik kepada wabak Lahn ini, ia telah berlaku sejak berzaman lagi, sejak dari syair jahili, zaman Nabi Muhammad sollahu'alaihiwasalam, sahabat, tabi' tabiin sehinggalah futuhat Islam seterusnya.
Oleh itu, janganlah cepat putus asa seandainya penguasaan bahasa Arab kita sekarang sangat lemah dan banyak kerosakan, sememangnya kita wajib mempelajari sampai mati kot.
Para sahabat dahulu juga pernah menanyakan nabi Muhammad sollahu'alaihiwasalam tentang makna perkataan sedangkan mereka Arab, Sibawaih asal Parsi juga mampu belajar bahasa sehingga alim, kita juga boleh mencuba barangkali, al-Kisa'i juga dikatakan pernah silap dalam bahasa juga terus belajar. Disebut juga Imam Abu Hanifah berguru dengan al-Kisa'i kerana salah fahamannya kaedah nahu dan terus melazimi pengajian dengan al-Kisa'i.
Kalau kita membaca buku ini maka kita akan menemui beberapa peristiwa perdebatan para nuhat yang berbeza pandangan, ya rabbana, rasa kecil ja dunia ini. Ramai sekali ulama' dahulu yang tidak pernah putus asa dan tidak malu untuk menuntut ilmu, lalu kenapa kita tidak?
Justeru, jangan malu bertanya, sabar menuntut ilmu, berusaha bersungguh dan carilah guru.
Wallahu a'lam.



Bismillah.
Retorik: Yang Indah Itu Bahasa
"Kemampuan melafazkan pertuturan yang menghasilkan kesan dan impak yang dikehendaki penutur pada pendengarnya". (Makna Balaghah)
Selepas saya membaca buku ini, saya berfikir beberapa perkara yang bermain-main dalam minda saya sehingga tidak menemui jawapan yang adil bagi diri saya. Minta tolong!
Sebelum itu, saya ringkaskan sikit pengenalan buku ini.

Buku ini sangat baik dan bagus kerana dia telah mengupas permasalahan retorik yang ramai di antara kita tidak dapat memahami maksud retorik dengan jelas dan maknanya yang sebenar sehingga orang ramai mula menganggap retorik hanyalah bahan jenaka semata-mata seperti 'Kata-kata kau hanyalah retorik semata-mata'. Alhamdulillah, buku ini telah mengupas isu dengan baik sekali. Pada hakikatnya, apa yang saya hendak daripada buku ini lain tetapi saya dapat ilmu yang baharu juga.
Buku ini mengandungi 5 bab, bab 1 mengemukakan persoalan definisi retorik yang terdiri daripada 4 bentuk iaitu Balaghah, Ethos, Pathos dan Logos. Bab 2, menghuraikan sejarah perkembangan sejarah retorik Yunani, Rom, zaman pertengahan, zaman moden dan kontemperori. Bab 3 pula, menyingkap rahsia fungi dan unsur perbahasan retorik dan aplikasinya. Bab 4 membahaskan teknik kepengarangan iaitu cara berdiskusi, berdebat, bentuk wacana, teknik penulisan dan jenis-jenis falasi. Bab terakhir pula mengupas tentang kesedaran retorik dalam kehidupan seharian.
Berbalik permasalahan yang saya hadapi:
1) Setiap bahasa ada keunikan dan keindahan yang tersendiri. Setiap bangsa pasti akan mengangkat bahasanya dan memujanya dengan setinggi-tinggi penghargaan. Keistimewaan bahasa Arab adalah anugerah yang tertinggi disebabkan turunnya Al-Quran dalam bahasa Arab, seandainya al-Quran tidak diturunkan dalam bahasa Arab, bahasa Arab itu tiadalah nilai namun takdir Allah azza wajallah telah mengangkat bahasa Arab yang mesti wajib kita beriman dan meyakininya.
2) Kerana berlakunya hal keindahan bahasa Arab ini bermula pada zaman jahiliah sebelum kemunculan risalah muhammadiah solllahu'alaiwassala iaitu pada zaman imru qais yang dicatat dalam sejarah 400-500M lebih kurang, sedangkan retorik Yunani dan Rom sebelum masihi sudah wujud. Ini membuktikan bahawa bukan orang Arab sahaja yang hebat dan menjaga bahasa mereka melalui syair dan sebagainya.
3) Ianya juga bukti bahawa, Yahudi dan Rom lebih maju dalam medan tatabahasa dan retorik berbanding Arab. Arab beruntung disebabkan Al-Quran. Kalau tidak, mereka seperti biasa sahaja bahasanya.
4) Sedangkan, jika kita mentelaah syair jahili, mereka juga ada perdebatan di antara mereka tentang bahasa dan retorik. Ini menunjukkan bahasa Arab itu ada kelemahan bukan saya mengatakan al-Quran. Untungnya bahasa Arab disebabkan al-Quran telah mewarnai keindahan bahasa Arab.
5) Dan bila kita baca lagi lanjut perbahasan mazhab lughah juga begitu, masih ada perdebatan dan kritikan terhadap bahasa yang digunakan. Sekali lagi saya maksudkan bukan al-Quran.
6) Apa yang hendak saya katakan, belajar bahasa Arab bukan semata-mata nak pandai berdebat dan berturur dalam Arab tetapi ada maqsad lebih utama iaitu memahami al-Quran kalam Allah azza wajalla.
7) Ya, memang benar melalui bahasa Arab, tetapi bahasa al-Quran dan retoriknya menjangkaui ilmu lughah itu tersendiri. Kalau baca lanjut lagi, kita akan menemui perbahasan yang saya masih terkapai-kapai ketika para ulama' menyebut bahawa ada bahasa lain dalam al-Quran. Walaupun pendirian saya sebelum ini bersandarkan qaul al-Syafie bahawa semua al-Quran dalam bahasa Arab. (sedikit sebanyak ada bisikan)
8) Selamat menuntut ilmu, semoga dikurniakan hidayah dan pedoman bahkan tidak tersesat.
9) Saya tutup dengan sebuah kata-kata daripada penulis buku Retorik: Yang Indah Itu Bahasa: "Betapa berbakat pun seseorang pemidato, keberkesananya tidak terlepas daripada bimbingan dan asuhan guru retorik. Dengan kehadiran guru retorik ini, pemidato berpeluang melihat keupayaannya melalui tunjuk ajar dan penilaian jujur gurunya". Betapa pentingnya memiliki guru, pendidik dan pengajar! Kata al-Syafie, "Suhbatul Ustaz" (berdamping dengan guru)
. 
In Sya Allah.


بسم الله  الرحمن الرحيم والحمد لله رب العالمين

Kalilah wa Dimnah; Karya Abdullah ibn al-Muqafa'



Pertama kali saya kenal buku ini pada tahun 2011@2012 dari buku Peradaban Islam Di Bumi Melayu; Kini Dan Dahulu oleh Dr. Abdul Ghani. Saya membeli buku Kalilah wa Dimnah pada tahun 2017 di pesta buku di PWTC. Saya mula membaca pada tahun 2018. Bila saya hendak mula membaca, saya berkongsi buku ini dengan Dr. Abdul Ghani, kami sepakat, lepas habis buku kita bincang dan borak-borak. Pantang diajak, ustaz Abdul Ghani lebih awal mengkhatamkan buku ini.
Sebelum saya berkongsi, saya masih teringat kata-kata Dr. Abdul Ghani, saya tanya pada dia: "Ustaz, buku saya banyak ja lagi tak habis baca, nak baca ini nak baca itu". Ustaz membalas: "Enta beli ja dan suatu hari enta akan membacanya bila tiba masanya". (Pastikan kita membeli buku yang betul-betul kita suka dan ingin mendalaminya).
Kalilah wa Dimnah sebuah karya asal sanskrit hindu dan diterjemahkan dalam Bahasa Arab oleh Abdullah ibn Muqafa'. Abdulllah ibn Muqafa’ seorang tokoh retorik dan ahli fasahah. Agama asal beliau adalah Majusi Persian, kemudian beliau memeluk agama Islam. Beliau juga sempat bertemu dengan seorang tokoh ahli Nahw yang hebat iaitu al-Khalil. Kehebatan ibn Muqafa’ dipuji oleh al-Khalil sendiri[1]. Dikatakan beliau mati dibunuh oleh Muawiyah bin Abi Sufyan. Beliau lahir pada 106Hijrah.[2]
Ternyata benar bahawa beliau bukan asal berbangsa Arab namun kehebatannya dalam menterjemah karya ini ke dalam Bahasa Arab sangat mengkagumkan. Ini boleh dijadikan contoh dan teladan bagi pelajar bahasa Arab bukan Arab untuk terus berusaha dan mengkaji ilmu Bahasa Arab.
Dalam karya Kalilah wa Dimnah bagi saya secara peribadi sebuah karya yang sangat hebat dan indah.  Pada hemat saya, cuma terdapat sedikit masalah iaitu:
1) Beliau telah mengubah nama watak asal iaitu Kalilah wa Dimnah bukanlah nama watak sebenar.
2) Karya sanskrit beragama hindu diubah menjadi karya Arab Islam. (Ini satu perkara yang sangat berat kalau diikutkan dalam dunia akademik pada masa ini).

Siapakah yang perlu membaca buku ini?

Bagi saya, semua umat Islam wajib membaca buku ini, ini kerana pada zaman sejarah Melayu, karya ini telah sampai di Bumi Melayu, ulama' terdahulu telah membaca karya ini termasuk masyarakat Melayu dahulu. Justeru, saya ingin memberi saranan kepada 5 golongan yang terdiri daripada:


Zaman dahulu beratap langit,
Zaman kini beratap konkrik,
Zaman dahulu aku diangkat,
Zaman kini aku dikhianat,

Tiada kemewahan tiada kemuliaan,
Tiada keilmuwan tiada kemasyhuran,
Itulah aturan kehidupan.

Manusia tamak mengumpul harta seluas lautan,
Harta digenggam membelah hutan,
Harta digenggam mentarah gunung,
Harta digenggam memutus persaudaraan,
Harta digenggam neraka sebagai peneman,
Dalamnya enam kaki pun masih harta digenggam

Nilai sebuah al-Takathur. 1/11/2018.