Novel Rindu Karya A.Rahman C.M


Rindu bukan sebarang rindu. Rindu sedalam lautan. Rindu serindunya terhadap seseorang yang dikasihi sehingga terasa tangkai jantung ditarik-tarik, menusuk kalbu bagai dicarik-carik hati itu.


Ini novel menceritakan kisah rindu ayah bernama Dali dan ibunya bernama Leha kepada anaknya Sani. 


Dek kerana keegoan seorang ayah iaitu Ayah Dali dan disebabkan sifatnya yang panas baran mengundang padah sehingga menyebabkan anaknya Sani lari dan keluar dari rumah beberapa tahun lamanya.

Ungkapan yang menyaktikan seperti: "aku haramkan engkau menyentuh jasad aku bila aku mati, kalau anak tidak dengar kata, apa guna lagi berada di rumah ini". Ungkap Si Ayah kepada Sani kerana Sani tidak mahu menuruti pilihan ayahnya untuk menyambung dalam bidang agama.

Sani anak bongsu daripada 3 orang beradik. Seorang yang soleh dan taat serta tidak melawan kata.

Sani mempunyai cita-cita yang tinggi ingin menjadi doktor namun mendapat tentangan dari ayahnya yang berkehendak agar dia menjadi ulama'.

Akhirnya, nekad Sani tanpa membalas sepatah dua kata lalu meninggalkan keluarganya demi mengejar cita-citanya. Setelah siang dan malam bersilih ganti beberapa zaman berlalu Sani pulang. Adakah Sanimenjadi anak yang soleh dan menjadi Doktor yang beriman?

Hayatilah novel ini. Dan jika hampir pada realiti. Barangkali boleh jadikan ia sebagai pedoman.

Kebiasaan bagi pembaca apabila membaca sesuatu, dia ingin mendapatkan kepuasan yang terbuku di hati dan fikiran selain mendapat ilmu dan bahasa.

Beberapa pengajaran:

1. Teringat kata-kata seorang senior, jangan keras sangat tetapi bertegas. Kata-kata ini sangat bersesuaian untuk ibu bapa dalam mendidik anak.

2. Berilah peluang kepada si anak dalam membuat keputusan namun si anak jangan lupa untk mendengar nasihat ibu bapa.

Selamat membaca dan mudah-mudahan bermanfaat. in sya Allah.




Novel berjudul "Kisah Dua Bersaudara Nol-bu dan Hung-bu". Karya Samuel Kimm dan diterjemah oleh Zaleha Abidin.


"Kekayaan membuat hidup kita selesa dan mewah, tetapi kemiskinan mengajar kita menjadi insan yang tabah dan lasak.". Hung-bu.
"Hak yang sama untuk belajar
hak yang sama untuk berjaya
hak yang sama untuk bermesra
hak yang sama untuk menjadi ketua
hak yang sama untuk ketawa." Hung-bu.
Sebelum saya membedah buku, saya ingin menerangkan tentang sastera secara ringkas iaitu apakah sastera islam, sastera berunsurkan islam dan sastera bukan islam seperti sastera arab, melayu dan sebagainya. Hal ini sangat penting supaya kita dapat membezakan karya sastera yang dihasilkan.
Sastera islam ialah sastera hasil penulisan dan pemikiran dari umat islam dan padanya meletakkan nilai-nilai islam seperti pengabdian diri kepada Allah azza wajalla, mencinta Nabi Muhammad sollahu'alahiwasallam ahli keluarga baginda serta para sahabat dan menekankan tentang keperibadian yang baik dan mementingkan kebajikan dan kebaikan bahkan menolak kebatilan. Inilah yang dinamakan sastera islam. Apabila kita membaca puisi, cerpen, novel dan seumpamanya maka kita dapatlah membezakan sastera islam dan sastera berunsur islam mahpun sastera bukan islam.
Berbalik kepada novel, asal usul novel ini dalam Bahasa Korea. Samuel menerapkan nilai-nilai kepercayaan kepada tuhan yakni dewa yang pelbagai, menekankan perihal kekeluargaan dan kesatuan bermasyarakat, menolak perihal keakuan yang mementingkan diri sendiri, memupuk semangat terus berusaha dan tidak berputus-asa walaupun hidup dalam kepapaan ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang dan pelbagai lagi nilai-nilai murni yang boleh diambilkan pengajaran dan pedoman.
Pada saya, buku ini sangat sesuai kepada pasangan suami isteri yang baru berkahwin ataupun sudah lama berkahwin. Ini kerana, kisah Hung-bu dengan isterinya Chu-hi yang tidak pernah berputus asa dan lelah bagi meneruskan kehidupan seharian dan mengharungi kehidupan mendatang dengan penuh kesabaran dan kesungguhan.
Watak protagonis ialah Hung-bu adik kepada Nol-bu. Seorang adik yang sangat penyabar, sentiasa bersungguh, taat kepada ajaran agama, patuh kepada ibu bapa, rajin berkerja dan berusaha, bukan pendendam, penyayang, pemurah, berani kerana benar, tidak mengambil kesempatan dan sentiasa bersyukur.
Nol-bu abang kepada Hung-bu merupakan watak antagonis. Seorang abang yang jahat, suka membuli adiknya, suka menyakat anak gadis, kedekut, tamak, tidak mempedulikan ajaran agama, tidak menyantuni perintah ibu bapa, pemalas dan sentiasa iri hati kepada adiknya. Perhatikan kata-kata Nol-bu yang tamak dan berhati busuk
"Bangsat, serahkan semuanya kepada aku. Kamu dah makan banyak,".
Semoga bermanfaat dan mendapatkan buku untuk dibaca dan diamalkan.
Terima kasih.

Firman Allah azza wajalla:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ قَدْ جَاءَتْكُم مَّوْعِظَةٌ مِّن رَّبِّكُمْ وَشِفَاءٌ لِّمَا فِي الصُّدُورِ وَهُدًى وَرَحْمَةٌ لِّلْمُؤْمِنِينَ
Pengertiannya: Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman. (Surah Yunus 10:57)

Pada zaman sekarang, umat dalam keadaan jiwa yang sakit (sick souls) dan tenat dari segi segi ilmu, pemikiran dan akhlak. Bermacam ragam dan fe'el mazmumah seperti fitnah, hasad dengki, pemarah, sombong, kedekut, maksiat berleluasa, takut mati, tamak dengan kekayaan dunia, bunuh diri, mencuri dan merompak, korupsi, taksub, penzinaan, permusuhan dan paling merisaukan ialah melupakan akhirat.

Masalah yang dihadapi umat sekarang adalah masalah kehilangan jiwa dan roh iaitu hilang kepercayaan dan kebergantungan kepada Maha Pencipta kerana apabila kita tidak memahami tujuan dan matlamat hidup iaitu mengabdikan diri kepada Allah azza wajalla dengan mengikuti segala perintah dan meninggalkan segala laranga-Nya maka ia akan memberikan kesan negatif dan buruk terhadap diri sendiri lantas mempengaruhi persekitarannya. Seandainya kita memahami matlamat hidup yang sebenar, saya yakin bahawa kehidupan kita akan menjadi bahagia, damai dan tenang.

Oleh itu, buku ini sangat baik untuk dijadikan penawar untuk mengatasi segala permasalahan tersebut. Buku ini sangat bersesuaian kepada seluruh lapisan umat khususnya bagi individu yang inginkan penawar kesembuhan daripada penyakit hati dan mengharapkan perubahan ke arah yang lebih baik. Begitulah pesan Allah azza wajalla dalam al-Quran:

قَدْ أَفْلَحَ مَن زَكَّاهَا  وَقَدْ خَابَ مَن دَسَّاهَا

Pengertiannya: Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya -yang sedia bersih- bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan) (9), Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia bersih - itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat) (10). (Surah al-Syams 91:9-10)

Latar belakang Al-makki.

Al-Makki dilahirkan pada tahun 350H, beliau pakar dalam ilmu tasawuf dan hadith dan banyak menulis buku di antaranya karya teragung dalam bidang sufi iaitu Qut al-Qulub (Makanan Hati). Karya beliau ini juga diiktiraf ulama selepasnya seperti al-Ghazali (m.505H). Ramai para ulama terdahulu dan kontemperori mengkaji ilmu dan pemikiran beliau. Semoga Allah merahmati beliau di dunia dan akhirat memberikan ganjaran yang besar kepada beliau di akhirat atas sumbangan dan jasa yang ditaburkan. Amin.

Buku Kaedah Psikoterapi Islam Berasaskan Konsep Maqamat Abu Talib al-Makki.

Buku ini mengandungi 5 bab utama. Bab pertama mengisahkan peribadi Al-Makki dan karya-karyanya. Bab 2 menghuraikan pengertian maqamat dalam tasawuf serta hubungan dengan psikoterapi. Bab 3 membahaskan secara terperinci tentang Maqamat iaitu ada 9 maqamat seperti Taubah, Sabar, Syukur, Raja', Khawf, Zuhud, Tawakal, Rida' dan Mahabbah. Bab 4 pula menjelaskan pembentukan kaedah psikoterapi dan Bab terakhir ialah  Psikoterapi Islam dalam menangani penyakit rohani seperti marah, hasad dengki, riya’, takabbur, mengumpat dan sebagainya.

Buku ini sangat berkesan bagi mendidik jiwa yang lara dan roh yang sakit. Buku ini juga sarat dan padat dengan kajian dan fakta yang ilmiah bersumberkan al-Quran dan Sunah, Qaul ulama' dan kajian terkini.
Penantian Di Hujung Senja
Sekali-sekala beralih angin, asalkan mendapat manfaat dan pengajaran. Oleh itu, apabila membaca sesebuah buku janganlah jadi seperti kolek dihanyutkan badai, ke mana di lambung ombak, di situlah tersadainya.
Kumpulan Cerpen dikumpul dalam sebuah buku berjudul Penantian Di Hujung Senja oleh Eh Deng Eh Chik. Buku ini dicetak pada tahun 2016.
Saya berasa teruja kerana penulis ini berketurunan Siam, namun mampu menulis dengan sangat hebat dan banyak memberikan pengajaran dan pedoman melalui kisah cerpennya.
Dalam novel ada 23 cerpen yang dikumpulkan. Dan saya memberikan beberapa buah cerpen berserta sinopsis yang ringkas.

Pertama, Cerpen Kurungan mengisahkan tentang sejarah seorang lelaki umurnya hampir seabad bernama Pak Samad. Beliau seorang insan yang berjiwa besar yang mencintai negara dan bangsa dengan sepenuh jiwa dan raga. Pak Samad salah seorang di antara beberapa tokoh yang membuka dan meneraju Kuala Lumpur bersama Raja Abdulllah dan Yap Ah Loi.
Ketika usia mudanya, Pak Samad telah kehilangan isteri tercinta dan anak tunggal yang paling disayangi, setelah itu beliau dituduh gila oleh orang kerana terlalu merindui isteri dan anaknya yang telah meninggal dunia dan akhirnya Pak Samad dimasukkan ke Hospital Bahagia. Di hospital, Pak Samad bersama dua orang pemuda iaitu Sudin dan Jusoh. Kisah mereka bermula di hospital sehinggalah Pak Samad dimasukkan ke dalam ICU kerana memperjuangkan kebebasan dan mahukan kemerdekaan dan namanya digah oleh seluruh manusia.
Kedua, Cerpen Berjudul Belum Bertapak juga menarik kerana mengisahkan Pak Sudin yang dahulunya seorang pejuang tanah air yang menentang komunis. Pak Sudin ada seorang anak bernama Azman yang telah melanjutkan pengajian di London dalam bidang sejarah. Oleh itu, Pak Sudin berharap kepada Azman untuk menulis tentang sejarah pejuang kebebasan tanah air namun apa yang direncana itu tidak mendapat perhatian anaknya sehingga berlaku pertembungan pemikiran di antara ayah dengan anak bahkan mengakibat perdebatan yang tidak ada titik pertemuan dan persamaan. Azman seolah kehilangan jati diri dan mengutamakan pemikiran barat dan mengatakan semua pejuang tanah air adalah pengkhianat!
Banyak lagi cerpen yang indah dan banyak memberikan pengajaran. Pada pengamatan penulis. Ada tiga atau empat cerpen yang mengajak manusia untuk kembali kepada tuhannya seperti cerpen Motobot Biru, Hujan Masih Menggila dan Putera Pendamai Daerah Sengket. Oleh itu, saya melihat, aspek ketuhanan sangat ditekankan oleh penulis. Pada zaman ini, ramai daripada kalangan kita telah jauh menyimpang daripada ajaran tuhan baik agama Islam mahupun agama lain.
Di samping itu, penulis juga menyentuh soal kekeluargaan seperti Dunia Seorang Seniman dan Dunia Seorang Penyair yang menjelaskan tentang seorang seniman mengutamakan kerjaya berbanding keluarga. Inilah satu penyakit generasi zaman sekarang. Mengutamakan kerjaya berbanding keluarga. Ya benar, bukan salah individu semata-mata kerana menghadapi tekanan hidup seperti kekangan ekonomi namun jangan sesekali mengabaikan kewajipan keluarga yang lebih utama.
Penulis juga membicarakan isu kemanusian dan kemasyarakatan seperti Sumpah dan Bayangan Sumpah. Secara umumnya, manusia tidak boleh hidup bersendirian. Negara Malaysia yang memilki pelbagai agama dan bangsa, itu tidak menjadi bebanan dan masalah, hakikatnya ialah itulah warna-warni kehidupan supaya hidup bermasyarakat dan saling membantu di antara satu sama lain tanpa mengira agama dan bangsa.
Penulis juga tidak ketinggalan dalam hal-hal dan isu alam sekitar dan haiwan seperti menjaga hubungan dengan haiwan seperti Kewek, Wok dan Si Hitam. Kebanyakkan petani dan pengembala tidak mementingkan perasaan haiwan, bagi mereka adalah keuntungan semata-mata sedangkan realititnya tumbuhan dan haiwan juga mempunyai perasaan. Kalau hendak membela ayam, perlu pastikan rebannya cantik dan wangi supaya ayam dapat hidup dengan selesa. Islam juga menititberatkan soal menjaga hubungan dengan haiwan dan tumbuhan.
Kesimpulan.
Penantin Di Hujung Senja oleh Eh Deng Eh Chik sebuah kumpulan cerpen yang sarat dengan pengajaran dan pedoman. Bahasa yang ditulis sangat indah dan sangat tersusun. Bicaranya lembut mampu mengetuk hati pembaca. Mudahan para pembaca dapat mengambil manfaat daripada buku ini.
Sekian terima kasih.
Selamat membaca.

Hikmah gaya ungkapan perkataan wanita (إمرأة) dan isteri (زوجة) dalam al-Quran.

Bismillahirrahmanirrahim. Alhamdulillahirabil’alamin.

Pendahuluan.

Al-Quran ialah kalam Allah azza wajalla. Setiap perkataan yang dilafazkan dalam al-Quran memiliki gaya dan keunikan yang tersendiri.

Para pembaca al-Quran yang membaca al-Quran dengan penuh keikhlasan dan ketekunan demi mencari keredhaan Allah azza wajalla pasti akan menemui cahaya yang sangat terang.

Seorang pencinta yang mencintai kekasihnya, tidak lekang dek waktu kerana sentiasa merindui kekasihnya. Segala kalam menjadi tatapan untuk melepaskan kerinduan kerana kalam itulah pengubat cintanya yang berahi terhadap kekasihnya.

Seorang hamba yang memiliki Tuan Yang Maha Pencinta dan Maha Besar, semestinya hamba itu lebih mendambakan kerinduan dan kecintaan kepada Tuannya. Setiap saat dan ketika, setiap degupan jantung yang berdenyut, kerinduan dan kecintaanya tidak pernah kurang apatah lagi hilang. Itulah cinta hakiki cinta illahi.

Untuk melepaskan segala kerinduan hamba itu dan memperolehi kecintaan Tuannya, maka hamba itu mesti menenggelami bait-bait perkataan yang diungkapkan oleh Tuannya di hatinya kerana bait-bait itulah sahaja yang akan dapat menyembuh penyakit kerinduan dan kecintaan hamba itu.

Begitulah juga cinta seorang suami kepada isterinya. Bermadah puisi untuk menamam benih-benih cinta ke dalam hati isterinya. Menyusun perkataan mengubati kerinduan isterinya. Melafazkan kasih meresap ke sanubari. Hikmah tuhan menciptakan hambanya berpasang-pasangan.

Kalam tuhan penuh hikmah dengan gaya ungkapan. Menjadikan hamba-Nya sentiasa berwawasan dan memikirkan kebesaran tuhan. Indahnya ungkapan akan dipersembahkan dalam penulisan ini. Mudah-mudahan para pembaca dan semua mendapat pengajaran.

Perkataan wanita (إمرأة) dan isteri (زوجة).لا
Dalam al-Quran, dipersembahkan perkataan yang sangat indah dan unik. Walaupun seakan makna bagi perkataan hampir sama tetapi sebenarnya tidak. Dalam istilah Arab disebut taraduf. Saya melihat bahawa taraduf tidak boleh ada dalam al-Quran bahkan dalam Bahasa Arab. Bagi para penuntut ilmu Bahasa Arab, mereka akan belajar bab taraduf ini seperti perkataan nazara (dia telah melihat) seerti dengan basira (dia telah melihat). Walaupun makna sama tetapi sebenarnya ada perbezaan yang sangat ketara diantara dua perkataan ini jika kita belajar lebih mendalam ilmu Bahasa Arab ini.
Dalam penulisan yang ringkas ini akan membahaskan perkataan wanita (إمرأة) dan isteri (زوجة) dalam al-Quran. Penulis melihat bahawa adalah lebih baik bagi para suami memanggil isterinya dengan perkataan ISTERI berbanding orang rumah, bini dan perempuan begitu juga sebaliknya bila si isteri memanggil suaminya. Adalah lebih baik menyebut perkataan yang romantik seperti abang dan ayang. Kalau kita menonoton filem melayu klasik, kebanyakkan menggunakan perkataan kanda dan dinda. Ini juga lebih baik.
Berbalik kepada tajuk penulisan. Apakah hikmahnya disebalik ungkapan perkataan wanita (إمرأة) dan isteri (زوجة) yang terdapat dalam al-Quran? Apakah pengajaran yang boleh kita ambil dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian khususnya bagi yang sudah berkahwin.
Dr. Mohd Zain Mahmood menyebut dalam bukunya Keunikan dan keindahan Bahasa Al-Quran: "Al-Quran mengunakan perkataan wanita sekiranya kerukunan dan kedamaian sudah tidak ada lagi dalam kehidupan berumah tangga. Sekiranya keadaan aman damai atau sakinah tercapai dalam kehidupan rumah tangga, maka al-Quran menggunakan perkataan isteri".
Sebagai contoh bagi membuktikan hujah beliau. Firman Allah azza wajalla:
سُبْحَانَ الَّذِي خَلَقَ الْأَزْوَاجَ كُلَّهَا مِمَّا تُنبِتُ الْأَرْضُ وَمِنْ أَنفُسِهِمْ وَمِمَّا لَا يَعْلَمُونَ
Maksud: Maha Suci Tuhan yang telah menciptakan makhluk-makhluk semuanya berpasangan; sama ada dari yang ditumbuhkan oleh bumi, atau dari diri mereka, ataupun dari apa yang mereka tidak mengetahuinya. Surah Yasin 36:36)
Perkataan al-Azwaj iaitu jama’ kepada perkataan al-Zauj. Ayat ini menunjukkan bahawa Allah azza wajalla menciptakan makhluk yang berpasangan membawa kebaikan di antara satu sama lain.
Kita perhatikan lagi firman Allah azza wajalla:
هُمْ وَأَزْوَاجُهُمْ فِي ظِلَالٍ عَلَى الْأَرَائِكِ مُتَّكِئُونَ
Mereka dengan pasangan-pasangan mereka bersukaria di tempat yang teduh, sambil duduk berbaring di atas pelamin; (Surah Yasin 36:56)
Ayat ini menjelaskan bahawa para pasangan itu akan mendapat kebahagian di akhirat yakni di syurga dan menikmati segala-segalanya yang ada di sana.
Kita perhatikan hujah yang terakhir. Firman Allah azza wajalla:
يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمُ الَّذِي خَلَقَكُم مِّن نَّفْسٍ وَاحِدَةٍ وَخَلَقَ مِنْهَا زَوْجَهَا وَبَثَّ مِنْهُمَا رِجَالًا كَثِيرًا وَنِسَاءً ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ الَّذِي تَسَاءَلُونَ بِهِ وَالْأَرْحَامَ ۚ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلَيْكُمْ رَقِيبًا
Maksud: Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya - Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya - zuriat keturunan - lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-yebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu. (Surah al-Nisa’ 4:1)
Kita melihat pula ungkapan pengunanaan perkataan perempuan dalam al-Quran. Dr. Mohd Zain Mohmood menyebut: “Apabila hikmah berpasangan suami isteri tidak dapat dicapai atau hilang beberapa ciri kehidupan berpasangan, maka al-Quran menggunakan perkataan perempuan tidak lagi menggunakan perkataan isteri”.
Sebagai contoh bagi mengukuhkan hujah ini. Firman Allah azza wajalla:
وَامْرَأَتُهُ حَمَّالَةَ الْحَطَبِ
Maksud: Dan juga isterinya, seorang perempuan pemunggah kayu api. (Surah al-Lahab 111:4)
Ayat ini menunjukkan kepada kita bahawa digunakan perkataan perempuan bagi isteri Abu Lahab maka benarlah bahawa mereka berdua tidak mendapat keharmonian dan kebahagian di dunia dan di akhirat.
ضَرَبَ اللَّهُ مَثَلًا لِّلَّذِينَ كَفَرُوا امْرَأَتَ نُوحٍ وَامْرَأَتَ لُوطٍ ۖ كَانَتَا تَحْتَ عَبْدَيْنِ مِنْ عِبَادِنَا صَالِحَيْنِ فَخَانَتَاهُمَا فَلَمْ يُغْنِيَا عَنْهُمَا مِنَ اللَّهِ شَيْئًا وَقِيلَ ادْخُلَا النَّارَ مَعَ الدَّاخِلِينَ
Maksud: Allah mengemukakan satu misal perbandingan (yang menyatakan tidak ada manfaatnya) bagi orang-orang kafir (berhubung rapat dengan orang-orang mukmin selagi mereka tidak beriman dengan sebenar-benarnya), iaitu: perihal isteri Nabi Nuh dan isteri Nabi Lut; mereka berdua berada di bawah jagaan dua orang hamba yang soleh dari hamba-hamba Kami (yang sewajibnya mereka berdua taati); dalam pada itu mereka berlaku khianat kepada suami masing-masing; maka kedua-dua suami mereka (yang berpangkat Nabi itu) tidak dapat memberikan sebarang pertolongan kepada mereka dari (azab) Allah, dan (sebaliknya) dikatakan kepada mereka berdua (pada hari pembalasan): "Masuklah kamu berdua ke dalam neraka bersama-sama orang-orang yang masuk (ke situ)". (Surah al-Tahrim 66:11)
Pengunanaan perkataan perempuan (إمرأة) bagi isteri Nabi Nuh alaihissalam dan isteri Nabi Lut alaihissalam. Perempuan ini tidaklah lagi mengimani risalah yang dibawah oleh Nabi alahissalam bahkan mereka berdua mendustai maka mereka tergolong dalam neraka seperti yang difirmankan.
Kesimpulan.

Maka jelas bahawa penggunaan ungkapan perkataan yang baik sangat dititiberatkan oleh al-Quran. Oleh itu, kita juga mesti mengamalkan ilmu yang baik ini dalam kehidupan seharian. Mudah-mudahan bunga-bunga mawar harum semerbak kasturi terus-menerus menghiasai kehidupan keluarga sepanjang zaman dan setiap tempat. Amin
Menolak 3 Dakwaan Dalam Mengkaji Sintaksis dan
 Retorika Bahasa Arab dalam Al-Sunah.
بسم الله الرحمن الرحيم
Mukadimah:
كَمَا أَرْسَلْنَا فِيكُمْ رَسُولًا مِّنكُمْ يَتْلُو عَلَيْكُمْ آيَاتِنَا وَيُزَكِّيكُمْ وَيُعَلِّمُكُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ
 وَيُعَلِّمُكُم مَّا لَمْ تَكُونُوا تَعْلَمُونَ
Maksud: (Nikmat berkiblatkan Kaabah yang Kami berikan kepada kamu itu), samalah seperti (nikmat) Kami mengutuskan kepada kamu seorang Rasul dari kalangan kamu (iaitu Muhammad), yang membacakan ayat-ayat Kami kepada kamu, dan membersihkan kamu (dari amalan syirik dan maksiat), dan yang mengajarkan kamu kandungan Kitab (Al-Quran) serta Hikmat kebijaksanaan, dan mengajarkan kamu apa yang belum kamu ketahui.(al-Baqarah:151)

Nabi Muhammad sollahu'alaihiwasallam ialah utusan Allah azza wajalla. Baginda merupakan penghulu segala para nabi. Keistimewaan baginda sollahu'alaihiwasallam melebihi para nabi yang terdahulu. Keistimewaan baginda sollahu'alaihiwasallam merangkumi segala aspek seperti kata-kata yang indah dan bijaksana, memiliki perwatakan yang hebat, sifatnya yang budiman serta fizikal yang sempurna.

Segala ungkapan, perbuatan, pengakuan, sifat dan budi pekerti baginda sollahu'alaihiwasallam adalah wahyu dan menjadi sumber utama peradaban dan keilmuwan yang pelbagai bidang. Para ulama' menamainya sebagai al-Sunah. Al-Sunah merupakan sumber utama selepas al-Quran kalam Allah azza wajalla. Dan tidaklah baginda sollahu'alahiwasalam berbicara melainkan wahyu daripada Allah azza wajalla.

Dalam penulisan kali ini, penulis akan membahaskan satu isu yang sangat penting dalam al-Sunah iaitu dakwaan bagi mengkaji al-Sunah dari sudut sintaksis dan retorika Bahasa Arab. Ada 3 perkara utama dalam membahaskan isu ini yang pertama, bahawa perawi hadis yang bukan daripada kalangan Arab, kedua ialah martabat kesahihan hadis dan yang ketiga riwayat al-Sunah dari segi makna.

3 isu ini sangat penting khususnya bagi para pengkaji al-Sunah dari sudut sintaksis dan retorika Arab kerana telah timbul isu yang diungkit kembali sebahagian sarjana sintaksis dan retorika Arab ini bahawa al-Sunah tidak boleh dijadikan hujah dalam kajian bahasa tersebut.

Maka penulisan yang ringkas ini, penulis cuba sedaya upaya memberikan penjelasan yang asas kepada para pembaca khususnya para pengkaji al-Sunah dari sudut sintaksis dan retorika Arab agar tidak ragu dan gentar untuk mengkaji bidang ini.

Isu pertama: Perawi bukan daripada kalangan Arab.

Perawi ialah meriwayatkan hadis dan menyampaikan hadis. Ya benar, memang terdapat perawi yang bukan daripada kalangan Arab dan memang tercatat dalam sejarah periwayatan al-Sunah hal ini namun nisbah dan peratusannya tidaklah tinggi dan syarat sangat ketat dikenakan kepada perawi al-Mawali. Muhammad al-Sabbaqh dalam bukunya al-Hadith al-Nabawi telah mengkaji hal ini dan menyenaraikan jumlah perawi yang bukan daripada kalangang arab.

1.    Jumlah tabi'in yang meriwayatkan hadith dari kelompok Basrah seramai 433 orang. 71 orang daripada mereka terdiri dari kalangan al-Mawali. Ini bererti nisbahnya ialah 84% orang Arab dan 16% al-Mawali.
2.   Jumlah tabi'in yang meriwayatkan hadith dari kelompok Madinah ialah seramai 504 orang, 147 orang darinya bukan Arab yang nisbahnya ialah 70% orang Arab dan 30% al-Mawali.
3.   Jumlah tabi'in yang meriwayatkan hadith dari kelompok Mekah ialah seramai 131 orang, 22 orang darinya Al-Mawali. Ini bermakna nisbahnya 83% orang Arab dan 17% al-Mawali.
Nisbah ini menunjukkan bahawa perawi daripada kalangan Arab lebih ramai daripada al-Mawali dan apabila mereka meriwayatkan hadis, mereka akan meriwayatkan hadis yang shahih dan martabat kesahihan hadis akan dibincangkan dalam penulisan lain yang lebih terperinci namun penulis akan membincangkannya pada isu kedua. Cuma apa yang penting, Peratusan ini jelas menunjukkan kepada kita bahawa perawi Arab lebih ramai daripada perawi al-Mawali.

Isu kedua: Martabat kesahihan al-Sunah.

Dalam seminar wacana sintaksis dan sastera Bahasa Arab di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia kali ke-7. Prof Nesreldin Ibrahim Ahmad Husin telah menggariskan panduan yang sangat sistematik dan tersusun ketika membahaskan kajian al-Sunah dari sudut sintaksis dan retorika Arab. Ini dinamao sebagai metodologi retorika al-Sunah

Sebagai contoh hadis dibawah:

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم:إنَّ الحلالَ بيِّنٌ وإنَّ الحرامَ بيِّنٌ، وإنَّ بينَ ذلِكَ أمورًا مشتبِهاتٍ
Maksud: Nabi Muhammad Sollahu’alaihiwasallam bersabda: “Sesungguhnya Halal itu jelas dan haram itu jelas dan Sesungguhnya di antara kedua perkara itu ada kesamaran…(Sahih Nasaie dan Hadis Shahih)

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: إن الحلال بين والحرام بين وإن بين ذلك أمور مشتبهات
Maksud: Nabi Muhammad sollahu’alahiwasallam bersabda: “Sesungguhnya Halal itu jelas dan Haram itu jelas dan diantara dua perkara itu ada kesamaran…(Shahih Nasaie dan Hadis Shahih)

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: الحلالُ بيِّنٌ والحرامُ بيِّنٌ وبينَ ذلِكَ أمورٌ مشتبِهاتٌ
Maksud: Nabi Muhammad sollahu’alahiwasallam bersabda: Halal itu jelas dan Haram itu jelas dan diantara dua perkara itu ada kesamaran.(Shahih al-Tirmiz, Hadis Shahih)

3 hadis ini adalah shahih oleh al-Imam al-Hadis. Cuma persoalan di sini, bagaimana kita hendak megukur dan menilai hadis berikut dalam kajian perbahasan sintaksis dan retorika Arab. Perbahasan hadis ini sangat panjang walaubagaimanapun penulis cuba meringkaskannya. Hadis pertama ialah yang paling tepat dalam mengkaji al-Sunah dari sudut sintaksis dan retorika Arab kerana ada beberapa sebab:

-          Penggunaan huruf pengukuhan iaitu huruf (Inna taukid) untuk yang halal dan yang haram
-          Didahulukan yang halal daripada yang haram. Ini dinamai inversi perkataan atau istilahnya taqdim al-Syaraf.
-          Penggunaan huruf wau iaitu penyambung ayat. Ini bermaksud ayat yang pertama berbeza dengan ayat kedua. Maksudnya, ayat mengenai halal satu ayat manakala ayat untuk haram satu ayat. Maksudnya, tidaklah sesuai dan padan untuk menyatukan perkara yang baik dengan buruk seperti syurga dan neraka, pahala dan dosa dan begitulah halal dan haram.
-          Ketiga-tiga hadis semua di atas adalah  shahih dan benar namun untuk mengkaji al-Sunah dari segi sintaksis dan retorika mempunyai metodologi yang tertentu. Begitu juga dalam hal lain seperti isu al-Qiraat, semua al-Qiraat al-Asyarah atau saba'ah adalah tepat namun kita memilih yang mana lebih kuat dan lebih tepat dari segi makna dan lafaz dan ianya bersesuaian dengan konteks. Memilih yang mana lebih kuat ini dibahaskan dan dipraktikkan al-Zamakshari dalam tafsirnya al-Kasyaf.
Oleh itu, tidaklah timbul isu martabat hadis. Para pengkaji harus meneliti kesahihan hadis dan selepas itu baru mengkaji dari segi sintaksis dan retorika Arab. Ini juga berlaku dalam bidangn fiqh, aqidah, akhlak, muamalat, politik dan sebagainya.

Isu Ketiga: Riwayat al-Sunah dari segi makna.

Isu ini sudah dibahaskan oleh ramai ulama' hadis dan mereka membahaskan begitu terperinci. Dalam penulisan ini, saya  hanya menukilkan pandangan al-Suyuti sahaja kerana dikatakan bahawa al-Suyuti di antara ulama' yang pada awalnya menolak al-Sunah sebagai dalil dalam perbahasan ilmu bahasa ini namun setelah beliau membuat penelitian akhirnya beliau menjadikan al-Sunah sebagai salah satu hujah dan dalil dalam ilmu Bahasas Arab.

Bagi menjelaskan isu riwayat al-Sunah dari segi makna ini, al-Suyuti telah meletakkan garis panduan yang sangat teliti dalam bukunya al-Muzhir iaitu:

-          Memastikan ia diriwayat daripada orang Arab yang fasih dengan sanad yang shahih.
-          Sanad dan para perawinya mestilah bersifat adil mengikut penilaian agama.
-   Perawi mestilah meriwayatkannya secara langsung daripada sumber-sumbernya yang muktabar.
-          Para perawi yang lain pula mestilah mendapatkannya atau mendengarnya secara langsung daripada perawi yang asal atau sebelumnya.
Syarat yang ketat ini menjadikan displin ilmu dalam riwayat dari segi makna sangat susah dan perlukan kepada penelitian yang mendalam dan bukan sebarangan orang yang boleh meriwayatkan hadis dengan makna.

Muhammad al-Sabbaqh dalam bukunya menegaskan bahawa hanya para sahabat sahaja yang boleh meriwayatkan hadis dengan makna

Kesimpulan.

Al-Sunah sudah terbentang dihadapan kita, pelbagai buku yang merekodkan hadis seperti shahih al-Bukari dan Muslim, kitab sunan seperti sunan Abu Daud, Sunan al-Tirmizi, sunan Ibn Majah dan sunan al-Nasaie dan sebagainya. Kalau dahulu mungkin sedikit keterbatasan waktu dan ilmu yang besar namun sekarang, mudah bagi pengkaji untuk mengkaji sesuatu ilmu khususnya kajian al-Sunah dari segi sintaksis dan retorika Arab.

3 isu yang dimainkan beberapa tokoh sarjana ilmu itu boleh dibahaskan dan ia membuktikan lagi bahawa hujah dan dalil mereka tidaklah kuat dan sangat rapuh.

Sebagai contoh lain, konon dakwaan mereka para ulama' dahulu tidak menjadikan al-Sunah sebagai hujah adalah satu dakwaan yang tidak berasas. Penulis memberikan contoh Sibawaih dalam bukunya Al-Kitab telah menukilkan 15 hadis, perkara ini dikaji dalam buku:
 "شرح كتاب سيبويه لابن خروف تحقيقه خليفة محمد خليفة بربري"

Sebagai penutup kalam, penulis menukilkan kata-kata Muhammad al-Sabbagh:"Al-Sunah dari segi kesahihannya sama ada yang diriwayatkan secara lafaz mahupun secara makna adalah lebih jelas dan lebih kuat berbanding puisi-puisi atau prosa-prosa yang kadang-kadang tidak dikenal langsung siapa penulisnya dan perawinya. Pada masa yang sama ia masih dijadikan sebagai sumber dalil yang muktabar di dalam bahasa dan tatabahasa Arab". Isu ini banyak dipakaikan oleh madrasah al-Kuffah.

Selamat mengkaji dan jangan pernah lelah kerana yakin bahawa Ilmu Allah sentiasa luas dan seandainya kita yakin dengan-Nya pasti Dia akan membantu kita. Insya-allah.

Wallahu 'alam. Semoga bermanfaat.

*Sebagai tambahan, boleh membaca lagi buku lain seperti Gharib al-Hadith oleh al-Harawiy, Gharib al-Hadith oleh Ibn Qutaibah, Min Balaghah al-Hadis oleh Abdul Fatah Lasyin, Al-Taswir al-Fanni fi Al-Hadith al-Sharif oleh Doktor Muhammad Lutfi al-Sabbaqh, 'Ijaz al-Quran wa al-Balaghah al-Nabawiyyah oleh Mustafa Sadiq, 'Irab al-Hadith al-Nabawi, Min Kunuz al-Sunnah oleh al-Sabuniy dan sebagainya. Mudahan bermanfaat. 
Kedudukan Al-Sunnah Dalam Sintaksis Arab oleh Dr. Badrul Munir Muhamad Nur.


Pengenalan.

Firman Allah azza wajalla:

لَقَدْ مَنَّ اللَّهُ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ إِذْ بَعَثَ فِيهِمْ رَسُولًا مِّنْ أَنفُسِهِمْ يَتْلُو عَلَيْهِمْ آيَاتِهِ وَيُزَكِّيهِمْ وَيُعَلِّمُهُمُ الْكِتَابَ 
وَالْحِكْمَةَ وَإِن كَانُوا مِن قَبْلُ لَفِي ضَلَالٍ مُّبِينٍ

Yang bermaksud: Sesungguhnya Allah telah mengurniakan (rahmatNya) kepada orang-orang yang beriman, setelah Ia mengutuskan dalam kalangan mereka seorang Rasul dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (kandungan Al-Quran yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya), dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajar mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum Syariat). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata.(Al-‘imran 3:164).

Firman Allah azza wajalla:

وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانتَهُوا
Yang bermaksud: Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya.(Al-Hashr 59:7)

Firman Allah azza wajalla dalam surah al-Syu’ara’ ayat 192-195:

وَإِنَّهُ لَتَنزِيلُ رَبِّ الْعَالَمِينَ
Yang bermaksud: Dan sesungguhnya Al-Quran (yang di antara isinya kisah-kisah yang tersebut) adalah diturunkan oleh Allah Tuhan sekalian alam.

نَزَلَ بِهِ الرُّوحُ الْأَمِينُ
Yang bermaksud: Ia dibawa turun oleh malaikat Jibril yang amanah.

عَلَىٰ قَلْبِكَ لِتَكُونَ مِنَ الْمُنذِرِينَ
Yang bermaksud: Ke dalam hatimu, supaya engkau (wahai Muhammad) menjadi seorang dari pemberi-pemberi ajaran dan amaran (kepada umat manusia).

بِلِسَانٍ عَرَبِيٍّ مُّبِينٍ
Yang bermaksud: (Ia diturunkan) dengan bahasa Arab yang fasih serta terang nyata.

Maka jelas ayat di atas bahawa Nabi Muhammad sollahu’alaihiwasallam diutuskan untuk menyampaikan wahyu iaitu kalam Allah azza wajalla dan dalam masa yang sama juga setiap perkataan, perbuataan dan taqrir baginda sollahu’alaihiwasalam juga merupakan wahyu yang wajib diikuti. Al-Quran kalam Allah azza wajalla ini diturunkan ke dalam Bahasa Arab dan al-Sunah juga diungkapkan ke dalam Bahasa Arab. Maka bahasa memainkan peranan yang penting untuk mendalami dan menghayati al-Quran dan al-Sunah.

Bahasa Arab.

Bahasa Arab sudah menjadi bahasa yang paling agung dalam dunia dan paling utama ia merupakan bahasa pengantaran al-Quran dan bahasa Nabi Muhammad sollahu’alaihiwasallam. Tidak asing lagi bahawa Bahasa Arab menjadi satu kewajipan utama untuk mengkaji khazanah Islam sehingga para sahabat berkata bahawa tidak boleh mengajar al-Quran jika tidak mengetahui Bahasa Arab.

Ibn Khaldun merupakan sarjana Islam yang pakar dalam bidang agama, sejarah, politik, kemasyarakatan dan lain-lain juga membahaskan perihal kepentingan Bahasa Arab. Beliau meneybut  dalam al-Muqadimah dan menyatakan rukun ilmu Bahasa Arab: “Rukun ilmu Bahasa Arab itu ada empat: Bahasa, Nahu, Balaghah dan Sastera. Kesemua ini wajib dikuasai oleh ahli fiqh dan syariah sebab sumber hokum syarak semuanya diambil daripada al-Quran dan al-Sunnah yang diturunkan dalam Bahasa Arab”.

Bahasa Arab ini juga cerminan dan keperibadian seseorang bahkan yang menjadi keutamaan dalam penulisan ini ialah bagaimana Bahasa Arab mempersembahkan cerminan dan keperibadian junjungan besar Nabi Muhammad sollahu’alaihiwasalam kerana ada pepatah arab:

الأسلوب هو الجرل
Maksud: Gaya bahasa seseorang itu adalah cerminan keperibadiannya

Muhammad bin Lutfi al-Sabbagh berkata: Kefasihahan Rasulullah sollahu’alaihiwasallam bukan sahaja terhad kepada gaya bahasa yang indah dan makna yang mendalam, malah ia ditambah dengan gaya penyampaian yang unik…”

Sintaksis dan Retorika Al-Sunah.

Memahami Al-Sunah dalam sintaksis arab sangat penting kerana al-Sunah merupakah sumber ilmu utama selepas al-Quran. Al-Sunah bukan sahaja dibahaskan dalam aqidah, fekah, akhlak, muamalat dan politik semata-mata tetapi ada juga ilmu yang lebih penting dan perlu dikaji dahulu iaitu ilmu sintaksis dan retorika Bahasa Arab kerana peranan bahasa akan menentukan kefahaman yang benar dan tepat terhadap lafaz dan makna Nabi Muhammad sollahu'alaihiwasallam.

Dalam buku ini ada 5 utama. Bab pertama membahaskan kefasihan Rasulullah sollahu’alaihiwasallam. Bab kedua menjelaskan konsep al-Sunnah. Bab kedua menerangkan pengumpulan Al-Sunnah. Bab keempat pula menghuraikan kedudukan al-Sunnah dalam Sintaksis Arab dan bab terakhir ialah Sumbangan al-Sunnah terhadap perkembangan sintaksis arab.

Dalam buku ini, yang menarik bagi saya ialah periwayatan al-Makna dalam sintaksis dan retorika Bahasa Arab kerana persoalan ini sudah lama saya mencari kerana seandainya diriwayatkan hadis dengan lafaz oleh para sahabat  maka ia bererti ia tidak menjadi ketulenan yang asli hadis itu diungkapkan oleh rasulullah sollahu’alaihiwasallam. Maka dengan itu, bagaimana hendak mengkaji kehebatan dan keunikan sintaksis dan retorika al-Sunah. Persoalan ini hampir mendapat jawapan dan penulis menemui jawapan itu dalam buku ini walaupun masih perlu diluaskan lagi pembacaan mengenai hal ini.

Jawapan yang saya temui ialah kesungguhan para ulama’ hadis meletakkan syarat yang sangat ketat bagi riwayat al-Makna seperti hanya para sahabat, tabi’in dan ulama’ yang ahli dalam Bahasa Arab dan berketurunan arab. Ketika pembukuan hadis pada kurun ke-2 yang dimulai oleh Khalifah Umar ‘Abdul Aziz dan dalam masa yang sama juga jaguh sintaksis Bahasa Arab telah memainkan peranan mereka dengan sungguh hebat dan teliti dalam membahaskan al-Sunah dalam sintaksis Arab.

Sungguh para ulama kurun ke-2 bahasa telah membahaskan perkara ini dalam karya mereka seperti al-Khalil bin Ahmad dalam bukunya al-Ain telah menggunakan hadis bagi menguatkan hujah kesahihan bahasa, begitu juga Sibawayh dalam bukunya al-Kitab telah memuatkan 10 hadis dalam bukunya. Ini menunjukkan bahawa ulama’ sintaksis arab telah menjadikan al-Sunah dalam kajian bahasa mereka. Kesungguhan mereka ini diteruskan oleh ulama’ selepasnya seperti Ibn Malik, Ibn Hisyam, Ibn Aqil, Al-Ashmuniy, ibn Qutaibah, Ibn Athir, Al-Zamakshari, Al-Suyuti dan sebagainya.
Usaha untuk mengkaji ilmu al-Sunah dalam sintaksis dan retorika diteruskan oleh ulama’ kontemperori seperti Mustafa Sadiq al-Rafie, Muhammad Qutub, Ali Al-Sabuniy, Abdul Fatah Lasyin, Prof Nesrldin dan ramai lagi.

Oleh itu, para pengkaji dan pembaca zaman sekarang harus memahami al-Sunah dari sudut sintaksis dan retorika Bahasa Arab kerana ulama’ pada zaman dahulu telah melakukan hal ini sebelum mengkaji ilmu yang lain seperti al-Zamakshari, Al-Suyuti, Muhammad Qutub, Ali al-Sabuniy dan sebagainya.

Bahasa sangat penting dan bahasa adalah satu ilmu yang sangat istimewa terutama Bahasa Arab yang mesti dipelajari kerana al-Quran diturunkan dalam Bahasa Arab dan al-Sunah diungkapkan dalam Bahasa Arab.

Maka, buku ini adalah silibus yang asas dan buku yang mudah bagi para pembaca untuk mula mengkaji al-Sunah dari segi sintaksis dan retorika Bahasa Arab.

Selamat membaca.