Bilbliophilia (PKPIM)
الفتنة الكبرى”(Fitnah yang Besar) oleh Ustaz Taha Husain.
1/4/2016.
Farhan Zamziba Uiam.




بسم الله الرحمن الرحيم.
Penulisan kali ini, saya akan membahaskan sebuah buku yang berkaitan tentang sejarah umat Islam pada abad pertama hijrah khususnya pada pemerintahan khufala’ ar-Rasyidin. Buku ini merupakan sebuah buku yang kontroversi kerana dia mengkritik sahabat Nabi Muhammad SAW dengan kritikan yang pedas seolah-olah para sahabat banyak melakukan dosa namun tidak dinafikan bahawa para sahabat tidak maksum seperti para anbiya’. Sebuah buku yang cukup hebat kerana dia mengasah pemikiran pembaca. Dia mengajak pembaca menilai semula tentang sejarah umat Islam dan tidak dinafikan lagi bahawa belaiu  bagi saya seorang penulis yang berjiwa besar, berilmu dan kritis.
Oleh itu, saya akan membahaskan beberapa perkara yang penting yang terdapat di dalam buku beliau serta membuat sedikit ulasan. Perkara-perkara tersebut ialah:-
·         Pengenalan Sejarah.
·         Ustaz Taha Husain.
·         Pemikiran dan kritikan.
·         Persamaan zaman terdahulu dan zaman sekarang.

1.      Pengenalan sejarah.

Saya mengutip beberapa isi penting dari pelbagai buku sejarah antaranya ialah: 1) Introduction to History 2) الدراسة في مدخل التاريخ وحضارة الإسلانية 3) Sejarah Dunia dari Sudut Pandang Islam dan lain-lain lagi namun yang pasti Al-Quran dan Hadis Shahih merupakan sumber utama saya dan khususnya tentang sejarah. Jadi, isi-isi penting itu saya rumuskan di bawah:-

- Mencari hakikat sesuatu terhadap perkara yang lepas sama ada betul mahupun bukan.

- Timbulkan pertanyaan seperti Kenapa, Di mana, Apakah, Siapakah terhadap sejarah.

- Katakanlah (wahai Muhammad):"Mengembaralah kamu di muka bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana akibat buruk (yang menimpa) orang-orang yang mendustakan (Rasul-rasul) itu."(al-An’am:11)

- Bermuhasabah terhadap peristiwa yang telah berlaku.

- Mengajak dalam melakukan kebaikan.

- Hadis Nabi Muhammad SAW: “jangan seorang yang beriman itu terlanggar batu dua kali”.

- Dalam riwayat yang lain: “Jangan kamu masuk lubang biawak dua kali”.

Maka, jelas di sini bahawa sejarah sangat penting dalam kehidupan seharian kita. Kita perlu mempelajari sejarah silam untuk diambil pengajaran supaya kita tidak mengulangi kesalahan dan kesilapan tersebut sama ada sejarah umat sebelum nabi Muhammad SAW dan selepas baginda. Sebagai contoh, apabila umat Islam ditimpa kekalahan pada peperangan Uhud pada sesi kedua di mana ketika itu, umat Islam lalai dan leka terhadap musuh dari belakang kerana ingin mendapatkan harta rampasan perang. Dari kisah ini, kita dapat mempelajari bahawa apabila sudah mencapai kemenangan, jangan mudah terburu-buru untuk mengisytiharkan kemenangan sehingga jelas dan nyata kemenangan itu. Contoh kedua yang paling istimewa ialah Piagam Madinah. Sejarah telah membuktikan bahawa ajaran dan didikan Nabi Muhammad SAW adalah cara yang terbaik dan buktikan pada Piagam Madinah dapat menyatukan seluruh umat manusia dari pelbagai agama dan bangsa demi satu negara.

Dalam pengkajian sejarah khususnya sejarah umat Islam, kita mesti kembali kepada sumber yang asas. Sumber-sumber ini akan menjadi rujukan dan dalil terhadap apa yang berlaku. Namun, saya sangat bersetuju apa yang dikatakan oleh Ustaz Taha Husain bahawa kita mesti menilai sejarah Islam semula tanpa ada memihak berat sebelah terhadap mana-mana pihak demi mencari kebenaran yang hakiki. Saya akan menyenaraikan beberapa tokoh sejarawan Islam kerana merekalah yang terawal dalam mencatatkan peristiwa-peristiwa sejarah bermula pada tahun 11Hijrah hingga keahkir pemerintahan Islam. Namun saya memfokuskan tokoh sejarawan pada kurun 1,2 dan 3.

Tokoh sejarah islam:-
-‘Urwah bin Zubir bin al-Awwam. Merupakan Tabi’ dan anak kepada sahabat Rasulullah SAW. Beliau dilharikan pada tahun 23 hijrah dan meninggal pada tahun 94 hijrah. Seorang yang Alim, Fuqaha’ dan Muhadthih. Beliau merupaka yang terawal menulis tentang peristiwa-peristwa yang berlaku pada zaman Nabi Muhammad SAW.

- Aaban bin Usman bin ‘Affan. Anak kepad Khalifah Uthman. Beliau wafat pada tahun 105 hijrah. Seorang yang Alim, pakar hadis serta faqih. Beliau menulis tentang peperangan-peperangan yang disertai oleh Nabi Muhammad SAW.

- Muhammad bin Ishak. Beliau hidup pada zaman pemerintahan Umawi yang bermula kira-kira pada tahun 41 hijrah yang dipimpin oleh Muawyah bin Abi Sufyan. Lahir pada tahun 84 hijrah dan meninggal pada tahun 150 hijrah. Beliau menulis tentang agama-agama sebelum kedatangan islam, menulis tentang sirah Nabi Muhammad SAW dan peristiwa-peristiwa yang dihadapi oleh baginda SAW. Buku beliau ialah “Tahzib Sirah bin Hisham”. Buku yang cukup besar tentang sejarah umat Islam.

- At-Thabari atau nama sebenarnya ialah Abu Ja’far bin Jarir at-Thobari. Beliau hidup pada zaman pemerintahan Abbasiyyah yang bermula pada tahun 132 hijrah. Beliau seorang Faqih, Alim, Muhaddith dan Mufassir. Beliau menulis tentang sejarah di dalam bukunya “Tarikh ar-Rusul Walmuluk” yang menghimpukan segala riwayat yang beliau dapat  kemudian beliau kumpulkan di dalam bukunya tanpa membuat penilaian. Di dalam buku ini, kita boleh dapati banyak kisah-kisah yang jarang kita dengar. Ada yang benar dan palsu. Beliau juga menulis sebuah tafsir al-Quran yang cukup hebat sehingga ia menjadi asas dan rujukan pertama dalam penafsiran al-Quran. Nama tafsir beliau ialah: “Jami’ al-Bayan fi Takwilil Quran”

Ramai lagi ulama’ yang menulis tentang sejarah umat islam seperti Ibn Kathir (Bidayah wa Nihayah), Ibn Qutaibah, al-Mas’udi, Ibn Khaldun dan lain-lagi. Semoga Allah merahmati usaha dan ijtihad mereka semua. Amin.

2.      Ustaz Taha Husain.

Seorang ilmuan yang hebat dan ahli falsafah dari Mesir. Dilahirkan pada 15/11/1889 dan meninggal pada 23/10/1973. Beliau seorang tokoh cendiakawan dan intelektual yang sangat hebat. Sumbangan beliau terhadap tradisi keilmuan tidak boleh dinafikan. Menjadi Mantan Dekan Kuliyyah Sastera Arab pada tahun 1930 bahkan Mantan Menteri Pendidikan pada tahun 1950.

Pendidikan beliau pula, graduan Universiti Cairo. Master di University of Montpellier dan Phd di Sorbonne. Thesis Phd belaiu dalam bidang Sastera pada 1919 iaitu Abu al-‘Ala’ al-Mu’ari dan Phd kedua di Perancis dalam bidang falsafah ibn Khaldun.

Beliau seorang yang bijak dan pandai. Menghafal beribu-ribu syair arab walaupun beliau seorang yang buta penglihatan sejak umur 3 tahun. Saya kagum!

Saya menulis satu kerja khusus tentang Ustaz Taha Husain dengan membuat ulasan terhadap bukunya: “في الشعر الجاهلي”. Kerja yang diberi oleh Prof Nasreldin dari Uiam, kelasnya: “النقد في الصعر الجاهلي”. Saya suka membaca pemikiran-pemikiran beliau. Buku yang saya menulis untuk kerja khusus ini, saya mendapati bahawa dia telah mengkritik sastera Arab antaranya bahawa seorang penyair Arab Jahili yang bernama Umru Qaies bukan nama sebenar dan nama ini hanya rekaan semata-mata. Dia juga menyebut bahawa syair Arab Jahili bukan asasnya daripada Bahasa Arab sendiri. Walaupun dia membuat kritikan yang sebegitu besar terhadap sastera Arab tetapi hujahnya tidak kukuh dan kuat namun dia telah memberikan satu tamparan hebat kepada golongan pengkaji dan pendokong sastera Arab untuk membalas kritikannya.

Saya bukan hendak membincankgan buku sastera Arab tetapi saya ingin menunjukkan kepada kalian bagaimana bentuk corak pemikirannya. Saya sangat mengkagumi usaha beliau dan semoga Allah merahmati ijtihad beliau. Amin

Di dalam buku “الفنتة الكبرى” terdapat dua jilid. Jilid pertama, membincangkan sistem pemerintahan Khalifah Uthman bin Affan. Beliau membuat kritikan cara perlaksanaan khalifah Saidina Uthman dan para pendokongnya. Banyak riwayat palsu yang dibongkarnya terutama pada saat kematian Khalifah Uthman dan pergaduhan di antara para sahabat yang berlebih-lebihan. Jilid kedua pula membahaskan tentang kepimpinan Saidina Ali dan keturunannya. Beliau menghuraikan konflik-konlfik yang besar terutama dalam peperangan Jamal, Siffin dan Nahrawan dan permusuhan yang berlaku antara Saidina Ali dengan pemberontak seperti Muawyiyah. Semua ini ada faktor-faktornya dan kita perlu memahami satu persatu sebelum terus mempercayainya. Kita perlu mengimbangi diantara kebenaran dan kebatilan. Kita juga harus mempertimbangkan dari sudut ketidakfahaman para sahabat dalam sesuatu isu tersebut.

Ingin saya menegaskan, jika para pembaca ingin membaca, maka teruskanlah pembacaan ini namun jangan mudah membuat peniliaian tanpa ada bukti yang kukuh. Jika terdapat kekeliruan maka kembalilah kepada al-Quran dan Hadis. Ini cerita sejarah manusia. Boleh jadi benar. Dan boleh jadi palsu. Semoga kita dipermudahkan urusan dalam memahami sejarah Islam dan umat Islam. Saya juga ingin mengatakan bahawa Islam adalah ajaran yang sempurna, lengkap dan betul!






3.      Pemikiran dan kritikan:



Saya akan memilih beberapa pemikiran dan membuat sedikit ulasan terhadap apa yang saya fahami dan ilmu yang saya ada. Boleh jadi juga, saya akan membuat kesilapan. Penulis sudah meninggal dan hanya ilmu sahaja diwarisinya. Dan saya tidak sempat bertanyakan hal ini. Saya akan menyatakan pendirian saya tentang realiti yang sebenar. Insya-Allah.

·         Di dalam Mukadimahnya, beliau telah menyatkan pendiriannya: “Saya menahan diri agar bersikap adil, tidak condong dan tidak berpihak kepada salah satu daripada golongan kaum muslimin tersebut.” Namun yang menjadi kepentingan baginya ialah kebenaran. Inilah kata-kata yang harus diungkap oleh para pemikir dan ulama’. Bukan kita mencari kesalahan semata-mata demi menjatuhkan maruah namun masing-masing punya pegangan, kepercayaan dan ijtihad. Semoga Allah merahmati. Amin.

·         Beliau menyatakan bahawa: “Ada kekurangan pada sistem musyawarah yang ditetapkan oleh Umar yang bilangannya sedikit iaitu 7 anggota, Abdulullah bin Umar hanya boleh memberi pendapat tetapi tidak ada hak bersuara”. (Saidina Umar, Saidina Ali, Saidina Uthman, Abu Talhah, Zubair, Abdur Rahman bin Auf dan Saad bin Abi Waqash. Bagi dia, sistem syura ini tidak lengkap dan sempurna seperti ajaran Nabi Muhammad SAW. Bagi saya, sistem syura tidak tetap dan caranya boleh berbeza namun suara pandangan dan buah fikiran setiap yang hadir harus ditimbal balik yang mana baik dan lebih baik serta mana yang buruk dan lebih buruk. Menurut beliau, syura harus ada setiap suara umat Muhammad ketika perlantikan Pemimpin selepas Saidina Umar. Pendapat beliau ini benar dan kita harus mengakuinya namun ia bukan cara perlaksanaan yang wajib. Cukup juga dengan ijtihad Saidina Umar yang memilih beberapa wakil Kabilah yang dekat dengan Nabi Muhammad SAW dan lebih memahami Islam dan Sunnah Rasulullah. Kedua-duanya betul dan tidak ada yang salah. Ada jemaah yang mempraktiskan sunnah Saidina Umar. Saya dapati PKPIM, ABIM dan WADAH menggunakan ijtihad Saidina Umar ini.

·         Satu ungkapan dan pemikiran Ustaz Taha Husain yang cukup tidak menyenangkan hati dan keimanan saya. Beliau berkata: “Keislaman masyarakat arab pada zaman nabi Muhammad SAW dan selepasnya, keislaman mereka itu bukan atas kemampuan, kesedaran dan keikhlasan tetapi kerana kekuatan umat islam dan terpaksa. Memikirkan tentang kuasa yang boleh memimpin dunia”. Na’uzublillah. Siapalah kita yang boleh menafirkan hati umat manusia. Urusan keimanan dan keislaman seseorang itu, urusannya di antara dia dengan Allah. Mungkin beberapa sahabat tidak dapat mempraktikan ajaran Islam yang sebenar dan sesempurna seperti ajaran Nabi Muhammad SAW dan masih terikut-ikut dengan budaya Arab Jahili namun mungkin kerana faktor tidak memahami dan belum sampai pengetahuan. Kita boleh dapati banyak hadis daripada para sahabat yang bertanya itu ini tentang Islam. Setiap zaman dan perilaku umat manusia berubah dan berbeza. Kuasa, kekayaan dan nafsu dan lumrah fitrah umat. Tidak ada manusia yang tidak mahu kuasa, kekayaan dan nafsu. Semua ini adalah sifat semula jadi manusia. Islam datang dengan berperingkat-peringkat. Maqasid Syariah yang sentiasa melindungi umat Islam dan setiap umat itu berbeza kefahaman dan kebjikasanaannya. Jangan mudah menghukum seseorang seperti dia mencuri maka dia tidak ikhlas dalam keislamannya.

·         Berkenaan sistem politik Saidina Uthman. Beliau menyebut: “Uthman memberhentikan Sa’ad kerana berselisih faham dengan Abdulullah bin Masud tentang baitulmal di Kufah” pada tahun kedua pemerintahannya. Seperti mana kita ketahui, bahawa Saidina Uthman pernah berkata kepada Saidina Umar bahawa beliau tidak akan memecat jawatan gabenor dan ketua-ketua kecuali berlaku salah dan bukan pada awal tahun pemerintahannya namun sebaliknya berlaku. Ini salah satu contoh dan terdapat lagi kalian boleh membacanya. Di dalam ini, terdapat beberapa riwayat-riwayat yang kita perlu membuat penelitian. Sa’ad dikatakan meminjam wang baitulmal dan melakukan sesuka hati dan tidak melengah-lengahkan bayaran hutangnnya sehingga bergaduh dengan Abdulullah bin Mas’ud. Mungkin para pembaca akan berasa terkejut, apakah para sahabat yang sudah dijanjikan syurga Allah ini boleh bergaduh. Saya tidak berani untuk menyebelahi mana-mana pihak. Pendirian saya disokong oleh Ustaz Abdul Ghani Fattani, Pensyarah UIAM, boleh jadi ia berlaku dan boleh jadi rekaan. Fitrah manusia!

·         Saya juga memuji Ustaz Taha Husain kerana beliau seorang yang berlapang dada dan berjiwa besar. Pengkritik merupakan salah satu dari cabang ilmu dan penghormatan sama ada dari sudut kepimpinan mahupun keilmuan. Beliau berkata: “mengiktiraf bahawa para gabenor dan para pemimpin boleh dikritik dengan kata-kata dan disebabkan itu tidak boleh dihukum”. Antaranya Sa’ad bin Abi Waqash, Zubair al-Awwam, Talhah, Ali, Abdulullah bin Mas’ud, abu Dzar, Ammar bin Yasir. Kesemua nama saya sebut ini adalah para sahabat nabi Muhammad SAW yang sangat dekat dengan nabi Muhammad SAW. Kesabaran mereka dalam menghadapi cabaran kehidupan awal kedatangan Islam sangat mencabar. Mereka beriman dengan Allah dan rasul-Nya dan oleh itu, mereka apabila melihat kemungkaran, mereka akan mencegahnya dengan segeara sebelum perkara itu akan menjadi lebih besar. Sebabnya tentang dasar kewangan negara,melucutkan jawatan gabenor serta memberi wang baitulmal dan duit sendiri, zakat kuda, bacaan al-quran dalam satu penulisan.Contoh dasar kewangan, dikatakan Uthman telah mengambil wang dari baitulmal 30000 dirham kepada al-Hakam, 300000 dirham kepada Abdulullah. 600000 dirham kepada Zubair dan Talhah dan Sa’id 100000 dirham. Kata Taha Husain, ini ialah hak khalifah! Setiap isu yang dibangkitkan merupakan isu yang yang banyak telah dibahaskan oleh karyawan dan sejarawan Islam terutama berkaitan dengan hukum hakam Islam. Ijtihad Saidina Uthman boleh kita katakan. Kita akan dapati hikmah-hikmahnya setelah perkara-perkara itu dilaksanakan. Silakan membacanya! Membaca buku Ustaz Taha Husain.

·         Pemberontakan ke atas Uthman pada tahun ke-35 hijrah dan konflik yang berbagai serta cerita-cerita yang tersebar seperti rombongan dari iraq yang menerima surat kononya dari Saidina Uthman. Kisah ini sangat menyakitkan hati bagi saya. Terbukti bahawa dalam tradisi kepimpinan Islam, para pemimpin dibunuh. Saidina Umar dibunuh dan Saidina Uthma dibunuh oleh para pemberontak yang rakus dengan kekuasaaan. Mereka menyokong apabila mendapat habuan dan menolak apabila tidak menerima apa-apa. Mereka menahan dan mengepung Saidina Uthman. Kalian boleh baca tentang pembunuhan Saidina Uthman dan kalian akan menangnis dan kecewa dengan sikap umat Islam tersebut. Semoga Allah mengazab orang yang membunuh Saidinia Uthman!

Saya juga tertanya-tanya dimana para sahabat. Timbulah beberapa persoalan yang perlu dijawab ialah dimanakah sahabat rasulullah SAW dan kaum muslimin? Kenapa mereka tidak membantu seperti saidina Muawiyah dan lain-lain lagi. Kenapa dibiarkan sahabat dan menantu Nabi Muhammad SAW dibunuh dengan kejam. Sedangkan ketika itu, Saidinia Ali ada di Madinah dan ramai para sahabat juga berada di Mekah. Saidina Muawiyah juga memiliki kuasa ketenteraan yang besar berbanding yang mengepung Saidina Uthman dalam 150 orang sahaja. Kenapa selepas kematian Saidina Uthman, Saidina Muawiyah beriya-riya mahu menuntut keadilan. Begitu juga sahabat-sahabat nabi yang lain sehingga ada yang menyokong! Wallahu ‘Alam.

·         Ringkasnya tentang buku jilid kedua iaitu tentang pemerintah Saidina Ali diangkat menjadi khalifah dan konflik dengan Muawiyah bin Abi Sufyan anak kepada Hindun yang telah membunuh saidina Hamzah. Jilid kedua juga membahaskan panjang lebar perjalanan sistem politik Saidia Ali. Dia juga mengamalkan semua cara perlaksanaan yang dilaksanakan oleh Saidina Umar iaitu dengan ketegasan.

Pada zaman ini juga, munculnya golongan seperti Syiah dan Khawarij. Dikatakan syiah ialah pendokong saidina Ali dan khawarij penentang saidina Ali. Munculnya golognan Khawaji setelah tidak bersetuju  dengan Saidina Ali pada peristiwa Tahkim pada peperangan Siffin. Peperangan Siffin berlaku pada 37 Hijrah. Berlaku juga peperangan Jamal pada tahun 36 hijrah, peperangan yang dipimpin oleh Saiditina Aisyah berperang dengan Saidina Ali. Kedua-dua peperangan ini, adalah faktor menuntut baiah daripada pihak Saidina Ali manakala sebelah pihaknya menuntut hukum Qisas terhadap Saidina Uthman. Manakala peperangan Nahrawan pula berlaku diantara Saidini Ali dan kaum pemberontak. Ketiga-tiga peperangan ini mendatangkan kesan yang negatif yang sangat besar. Umat islam berperangn sesama umat islam. Bilangan umat islam ramai yang meninggal. Namun, perkara utama yang ingin saya bahaskan ialah pendirian kita. Kita tidak boleh mudah mengkafirkan sesiapa pun. Mungkin ketika itu, mereka berijtihad dan belum ada kata sepakat bersama. Masing-masing punya hujah tersendiri. Semua daripada mereka mengharapkan keredhaan Allah SWT. Cuma, saya lebih berpihak kepada Saidina Ali kerana beliau seorang Pemimpin Islam namun saya tidak mengatakan bahawa lawannya itu KAFIR!.

Selepas daripada peristiwa-peristiwa ini,Sikap para sahabat selepas peperangan Jamal, Siffin dan Nahrawan terutama saiditina Aisyah yang memecilkan diri di Mekah dan mengajarkan Islam kepada umat. Ramai juga para sahabat yang menyendiri dan lari daripada berpihak mana-mana pihak. Mereka tidak mahu menyertai konflik dan sentiasa mendoakan kesejahteraan umat Islam. Saya lebih suka dengan pendirian para sahabat ini yang mana, jika tidak pasti dimana kebenaran dan kebatilan, maka dipilih jalan yang mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Selepas kewafatan saidina Ali, Hassan dibaiat dan berlaku perdamaian sehingga Muawiyah diangkat menjadi khalifah dan bermula autokrasi dalam pemerintahan berzaman-zaman. Jatuhnya pemerintahan semuanya disebabkan harta dan kuasa. Sampailah satu masa, umat Islam jatuh sejatuhnya daripada menjadi satu kuasa besar. Semoga Allah akan membangkitkan Kebangkitan Islam Jilid ke-2. Amin.

4.      Persamaan pemerintahan zaman dahulu dan zaman sekarang. Ini adalah perbahasa terakhir saya. Mungkin akan menimbulkan konflik dengan para pembaca namun ini adalah pendirian awal saya dan jika saya salah maka perbetulkan supaya saya mendapat pencerahan yang sebenar tentang ajaran Islam yang betul seperti yang disebut di dalam al-Quran dan hadis Rasulullah SAW yang shahih.

-Politik Wang: menggunakan wang untuk mendapatkan habuan dan kepentingan sendiri. Perkara ini dilakukan pada zaman dahulu dan dilaksanakan kembali pada zaman ini. Inilah sejarah! Adakah benar dan tepat jalan ini. Adakah ini cara Islam? Saya melihat semua parti melakukan perkara hal yang sama. Dalam jemaah juga mungkin. perhatikan sendiri sahajalah jika pernah merasainya dan memerhatinya.

-Politik Kuasa: merebut kuasa dengan apa cara untuk berkuasa. Ini memang tidak dapat dinafikan lagi. Kita boleh baca mana-mana buku sejarah tentang khifalah islamiyyah. Apabila satu zaman bertukar ke zaman lain. Pertempuran dan perebutan kuasa pasti berlaku bahkan ia berlaku sesama Islam. Inilah masalah umat Islam, apabila asas tauhid belum cukup maka perkara ini akan terjadi dan akibatnya sangat memberi kesan. Islam digelar terrorisme dan sebagainya. Bukan salah Islam tetapi umat Islam itu sendiri.

Di dalam sistem politik tidak kira apa sahaja bentuknya dan dimana sahaja akan berlaku kerosakan jika tidak mengikut cara politik Islam yang sebenar.  Sesuai dengan peribahasa Arab: سياسة فريق تسد” yang bermaksud politik memecah-belahkan umat manusia dengan apa sahaja cara sama wang, kuasa, kardisasi, ilmu, kefahaman, melabel, kekerasan dan sebagainya.

-Fitnah: fitnah dikalangan umat islam sehingga agama lain mengambil kesempatan. Fitnah berlaku pada zaman dahulu dengan bisikan dan surat-menyurat. Memerlukan masa namun sekarang fitnah tersebar dengan sekelip mata. Belum sempat menjelaskan 1 perkara datang fitnah yang ke-2. Saya memfokuskan perbahasan kita pada negara-negara majoriti Islam dan pemimpinnya beragama Islam. Kalau kita diperhatikan di Malaysia sahaja pun kita boleh dapatinya sama ada dari pihak kerajaan mahupun pembangkan. Bukan itu sahaja, dalam entiti jemaah juga berlaku hal yang sedemikian. Fitnah berlaku sebab kurang berkomunikasi dan tidak dapat penjelasan yang sebenar. Golongan pemfitnah pula rakus dan baginya dia berjaya menjatuhkan sesiapa sahaja yang dia mahu yang tidak bersependapat dengannya.

Bukan dalam isu politik sahaja, dalam perbahasan para asatizah juga berlaku perkara yang sama. Kita akan dapat melihat konflik Dr. Maza dengan Ustaz Zamihan dan Ustaz Abu Syafiq.

-Kedudukan dan kekuasaan pemerintah: pemerintah dibunuh, dilucutkan dan lain-lain. Walaupun kita mengamalkan sistem demokrasi namun kita masih tidak terlepas daripada hukum dan maqasid syariat Islam. Kita tidak boleh memisahkan di antara politik dengan Islam. Islam agama yang syumul. Apabila kita menghadapi permasalahan, maka wajib kita kembali kepada Allah SWT dan Rasul-Nya. Contohnya, apakah boleh menjatuhkan pemimpin sehingga dibunuh seperti yang berlaku di Libya dan Mesir. Apakah ini ajaran Islam? Tidak salah pemimpin itu jatuh dan turun tetapi jangan kita jadi kaum pemberontak dan bughah kerana kita akan dapati banyak masalah yang berlaku. Krisis ekonomi, sosial dan potilik pasti berlaku. Sejarah telah membuktikan bahawa ini cara yang salah. Kenapa pembangkan tidak mahu berkerjsama dengan kerjaaan? Mungkin ada beberapa isu kita tidak bersetuju seperti dahulu pihak kerajaan menolak rang undang-undang hudud tetapi sekarang pihak kerajaan sudah menerima. Inilah dinamakan politik damai. Mencari kebaikan dan bersatu ke jalan yang sama. Saya yakin, dengan cara ini akan lebih menenangkan pelbagai pihak.

Contoh lain, dalam dunia akademik, kita boleh kutip beberapa perkataan ulama’ tidak sealiran dengan kita tetapi mungkin dalam satu dua perkara kita mengambil perkataan dan ijtihadnya. Kenapa kita tidak boleh bersatu untuk mendapatkan keredhaan Allah. Perlukah setiap hari mahu bergaduh dan berperang! Perlukah setiap hari mahu mencari kesalahan dan tidak mengaku kesalahan. Saya yakin jika kita mengamalkan sistem politik dengan cara Rasulullah SAW pasti bumi ini akan aman dan keadilan dapat ditegakkan. Insya-Allah.

-Sistem syura dan demokrasi: apakah ada wujud sistem ini dizaman sekarang? Kedua-dua ini adalah wasilah bagi saya, keduanya betul dan tepat. Jika dengan demokrasi boleh ditegakkan keadilan dan dapat menegakkan syariat islam, kenapa tidak? Usah dimomok-momokkan bahawa Islam hanya dengan syurga sahaja dan demokrasi bukan dari Islam. Islam mengiktiktifar cara yang betul dan adil kerana Rasulullah SAW juga mendengar pendapat Salman al-Farisi, menenrima pendapat tentang kedudukan tempat berperang pada peperangan Badar sekitar 624 masihi pada awal hijrah. Kita boleh dapati bagaimana Rasulullah mendengar nasihat bapa saudaranya Abu Thalib. Ini jelas membukitkan Islam ada cara yang tersendiri. Jika kita mengikut sunnah Rasulullah SAW, Islam akan dapat ditegakkan. Insya-Allah


Saya mahu menulis panjang lagi tetapi harap para pembaca sekalian dapat membaca buku ini. Semoga Allah merahmati kita. Wallahu a’lam, terima kasih.

Comments (0)