بسم الله الرحمن الرحيم.
Usrah Qiyadah PKPIM siri ke-26.
19 APRILL 2016.
Di Heriot Watt University.
“HIKMAH DAN KREATIVITI DALAM BERDAKWAH”.
Tafsir Surah al-Nahl: 125-128.

ادْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ ۖ وَجَادِلْهُم بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ ۚ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِ ۖ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ
Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk. (125)

وَإِنْ عَاقَبْتُمْ فَعَاقِبُوا بِمِثْلِ مَا عُوقِبْتُم بِهِ ۖ وَلَئِن صَبَرْتُمْ لَهُوَ خَيْرٌ لِّلصَّابِرِينَ
 Dan jika kamu membalas kejahatan (pihak lawan), maka hendaklah kamu membalas dengan kejahatan yang sama seperti yang telah ditimpakan kepada kamu, dan jika kamu bersabar, (maka) sesungguhnya yang demikian itu adalah lebih baik bagi orang-orang yang sabar.(126)

وَاصْبِرْ وَمَا صَبْرُكَ إِلَّا بِاللَّهِ ۚ وَلَا تَحْزَنْ عَلَيْهِمْ وَلَا تَكُ فِي ضَيْقٍ مِّمَّا يَمْكُرُونَ
 Dan bersabarlah (wahai Muhammad terhadap perbuatan dan telatah golongan yang ingkar itu); dan tiadalah berhasil kesabaranmu melainkan dengan (memohon pertolongan) Allah; dan janganlah engkau berdukacita terhadap kedegilan mereka, dan janganlah engkau bersempit dada disebabkan tipu daya yang mereka lakukan.(127)

إِنَّ اللَّهَ مَعَ الَّذِينَ اتَّقَوا وَّالَّذِينَ هُم مُّحْسِنُونَ
 Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa, dan orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.(128)


Mukadimah

            Setiap saat, setiap waktu dan di mana sahaja kita berada, kita harus bersyukur kepada Allah SWT kerana Dia telah memberikan kepada kita pelbagai nikmat dan rahmat antaranya nikmat Iman dan Islam. Iman ialah kepercayaan bagi umat islam untuk meyakini bahawa Allah SWT sahaja yang layak disembah manakala Islam adalah cara hidup dalam setiap tingkah laku kita.

            Tanggungjawab hamba kepada Sang Pencipta ialah bersujud kepada-Nya, menjadi pemimpin serta melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar. Ketiga-tiga perkara ini merupakan perkara asas untuk menjadi hamba yang beriman. Setiap individu itu berbeza tingkatan imanya, berbeza juga dari sudut tanggunggjawabnya bahkan ujian dan cabaran juga berbeza. Namun, setiap individu itu harus sentiasa memperbaharui keimanannya dari sehari ke sehari. Seperti kata pepatah, “Hari ini lebih baik daripada semalam, Esok lebih baik daripada hari ini”. Begitu juga dalam memikul tanggungjawab, setiap individu itu berbeza, ada yang berat ada yang ringan, ada banyak dan sedikit, ada dalam bidang keagamaan, perubatan, kehakiman, perakaunan, ketenteraan, politik, pertaninan, perladangan dan sebagainya. Setiap amal kebaijkan yang dipertanggungjawab itu harus dilaksanakan dengan sebaik mungkin mengikut kemampuan kita dan melakukan semua itu adalah untuk mendapat keredhaan Allah.

            Pada mutakhir ini, kita di datangi seorang Ulama’ yang sangat hebat, ilmu yang tinggi, pemikiran yang cerdas, petah berpidato, hujah yang mampan, idea yang kritis dan kreatif iaitu Dr. Zakir Naik. Nama beliau tidak asing lagi khususnya dalam bidang perbandingan agama. Saya pernah menghadiri ceramah beliau pada tahun 2012 di Uitm Shah Alam, ketika itu saya masih tahun pertama di Uiam Gombak. Saya sangat kagum dengan beliau. Saya meneliti bahawa beliau seorang yang hikmah berbicara dan kreatif dalam berdakwah. Analogi yang diberikan sangat bertepatan dengan manhaj Islam dan membuat kita terus akur dengan kata-kata beliau. Hikmah berbicara dan kreatif dalam berdakwah sudah makin hilang dari hati dan tindaka para pendakwah. Disebabkan itu, Islam tidak dapat dibuktikan dengan cara yang tepat dan indah. Umat lain mula menyalah dan memandang entang terhadap perilaku umat Islam kerana bicaranya suka menyentap serta dakwahnya menggunakan keganasan dan kekerasan. Kita harus kembali kepada al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW, kerana dengan ini dakwah akan lebih berkesan. Umat lain akan lebih menyenangi umat Islam. Kita harus buktikan bahawa kita adalah umat Islam yang sejati yang mempraktiskan segala apa yang terkandung di dalam al-Quran dan Sunnah Rasulullah dengan sebaik-baiknya.

            Justeru itu, saya akan berkongsi kepada para pembaca bagaimana hendak berhikmah dalam berdakwah dan melaksanakan dakwah dengan cara yang diajar oleh Rasulullah SAW, bersesusaian dengan tajuk penulisan ini iaitu “Hikmah dan Kreatif dalam Berdakwah”. Kita harus kembali kepada asasnya kerana sejarah Nabi Muhammad SAW dalam berdakwah terbukti sangat berkesan. Methodolgi yang digunakan sangat sesuai kerana dapat mengubah dan mendidik bangsa Arab. Walaupun kita tahu bahawa bangsa Arab pada masa dahulu merupakan bangsa yang memetingkan perkauman, cepat marah dan pengotor namun setelah kedatangan Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW, bangsa Arab telah menjadi sebaik-baik bangsa dan dapat memerintah sepertiga dunia pada masa dahulu.

 Semoga para pembaca mendapat sedikit pencerahan dan menjadi pesanan kepada penulis juga. Amin. Jika terdapat kesilapan dan kesalahan, saya mohon diperbetulkan. Mudah-mudahan saya dapat memperbaiki diri dan mendapat hidayah dari Allah SWT dengan hidayah yang betul. Amin.

 Penafsiran Al-Quran.

ادْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ ۖ وَجَادِلْهُم بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ ۚ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِ ۖ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ
Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk. (125)

Di dalam ayat ini, Allah SWT mengkehendaki hamba-Nya untuk melakukan kerja dakwah iaitu menyeru umat ke jalan Allah yakni Islam. Adapun cara itu pelbagai namun matlamatnya ialah satu. Allah SWT berkehendaki Nabi Muhammad SAW supaya berdakwah kepada umatnya untuk mengabdikan diri kepada Allah Yang Maha Esa, namun cara yang digunakan oleh Nabi Muhammad SAW pelbagai. Sebagai contoh, ada permulaan dakwah Nabi Muhammad SAW di Kota Mekah dengan cara rahsia di rumah al-Arqam. Pada ketika itu, dakwah Nabi Muhammad SAW hanya tertumpu kepada kaum kerabat dan keluarga para sahabat yang terdekat. Pada masa itu juga, Nabi Muhammad SAW banyak bersabar menempuhi segala cabaran dan dugaan seperti tidak berjihad secara terang-terangan. Selepas beberapa ketika, perlaksanaan dakwah nabi Muhammad SAW berbeza terhadap tingkatan pemahaman umatnya, tidak marah kepada orang Yahudi yang buang air kecil di dalam masjid, memakan limau  yang masam yang diberi oleh perempuan Yahudi, lemah lembut ketika berdakwah kepada bapa saudaranya Abu Thalib dan sebagainya. Perjalanan dakwah lebih kurang 10 tahun di Mekah, matlamatnya adalah menyeru umat untuk menyembah Allah Yang Esa dan menerangkan tentang konsep keimanan. Ini adalah cara pertama dalam berdakwah.

Apabila kita perhatikan pula konsep dakwah yang disebut oleh Prof. Quraish Syihab di dalam bukunya “Secercah Cahaya”, beliau menyebut ketika mana Nabi Muhammad SAW berdakwah, baginda SAW berdakwah ada 3 cara, iaitu pertama menolak dengan secara terang—terangan seperti penyembahan berhala, kedua pula berperingkat-peringkat seperti pengharaman arak dan meratap disebabkan kematian dan ketiga pula ialah terhadap sosial masyarakat dengan mengambil apa yang baik dan meninggalkan apa yang tidak baik seperti Asabiah dan syair yang memuji binatang, perempuan dan banyak khayalan. Maka jelas di sini, bahawa Nabi berdakwah dengan hikmah kerana tidak terburu-buru dan terus menggunakan kekerasan namun sentiasa tetap pendirian kepada perkara yang berkait rapat dengan keimanan.

Adapun di dalam berdakwah ini, ada 3 ciri-ciri utama dalam menyampaikan dakwah iaitu dengan Hikmah, Nasihat dan Pengajaran yang baik serta Berdebat. Di dalam buku Fiqh Dakwah oleh Bapak Natsir menyebut bahawa Syiekh Muhammad Abduh telah mengkategorikan 3 golongan berdasarkan ayat di atas iaitu:

1.      Golongan yang cerdik pandai yang mencintai kebenaran. (hikmah)
2.      Golongan awam yang belum dapat berfikir dengan kritis atau erti kata lain rakyat marhaen. Disebut di dalam al-Quran (mau’izatul hasanah)
3.      Golongan yang suka berdebat terhapat sesuatu perkara sama ada ingin mencari kebenaran ataupun tidak. (wajadilhum)

Saya sangat bersetuju dengan pembahagian ini kerana dengan ini, kita dapat melihat bagaimana cara pendekatan dakwah yang boleh kita laksanakan kepada golongan tersebut. Sebelum saya menulis dengan lebih terperinci tentang konsep al-Hikmah dan cara pendekatan dakwah. Saya ingin menyebut beberapa penafsiran di dalam Tafsir Ulama’ yang muktabar seperti di dalam tafsir al-Thabari juga menjelaskan dengan lebih terperinci makna disebalik setiap ayat al-Quran. Ayat “menyeru” Allah mengingatkan Nabi Muhammad SAW supaya berdakdwah untuk mentaati segala perintah Allah. Ayat “ke jalan tuhan kamu” iaitu kembali kepada syariat Islam. Ayat “hikmah” ialah al-Quran. Ayat “nasihat yang baik” ialah bahasa yang digunakan adalah baik yang terdapat di dalam al-Quran. Ayat “berdebat dengan baik” iaitu jangan ditimbulkan permusuhan. Oleh itu, kita mudah memahami apa yang dikehendak oleh al-Quran terhadap ayat ini. Ia telah memberikan penjelasan dan penyelesaian dalam berdakwah yang bersistematik.

      Golongan pertama iaitu dalam kategori hikmah. Apakah maksud hikmah? Bapak Natsir menyebut hikmah ialah memahamkan rahsia terhadap sesuatu perkara. Di setiap satu perkara pasti ada rahsia yang belum kita dapat fahami dengan jelas dan kadang kala selepas beberapa hari dan tahun berlalu, baru kita dapat mengerti apakah hikmah kita melakukan itu. Sebagai contoh, kenapa jangan menghampiri zina, kemungkinan bila sudah dekati zina, keberangkalian akan melakukan zina tersebut! Beliau menyebut lagi bahawa Hikmah ialah ilmu yang shahih yang dapat menggerakkan kemahuan untuk mengerjakan kebaikan. Ini sangat mudah dan praktikal kerana ilmu itu bukan hanya pada bacaan semata-mata tetapi ia perlu diamalkan di dalam kehidupan seharian kerana kita akan dapat memperoleh pengajaran daripadanya. Begitu juga apa yang disebut oleh Dr. Stephen R. Covey iaitu: “Wisdom is applied of knowledge”. Bahkan kita harus membenarkan juga sebuah pepatah arab iaitu ilmu tanpa amal ibarat pohon yang tidak berbuah. Perbahasan konsep hikmah ini sangat luas dan sampai kini para ulama’ berbeza-beza pendapat. Kalau kita baca sebuah buku yang ditulis oleh Dato Dr. Siddig Fadzil iaitu “Pendidikan al-Hikmah”, beliau ada menyebut konsep al-hikmah yang terkandung di dalam al-Quran, Allah menceritakannya di dalam surah Luqman, kisah Luqman dengan anaknya. Hikmah sangat luas perbincangannya dan setiap ilmuan dan pemikir berbeza-beza pendapat.

Golongan pertama ini, mereka sudah dapat menghadam setiap perbahasan ilmu. Taraf ilmu mereka sangat tinggi. Mereka berfikir dan membuat penilaian di antara yang baik dan buruk. Yang baik mereka menerima dan buruk mereka menolak. Namun, setiap ilmuan itu hikmahnya berbeza dan disebabkan hal itu timbulnya ijtihad yang berbeza-beza. Saya mengkategorikan golongan ini kepada para anbiya’, para sahabat, para tabi’ tabiin, para ulama’ yang mengikut ajaran ahli sunnah wal jamaah serta pakar dalam bidang yang tertentu. Golongan ini merupakan ahlu zikri yang disebut di dalam al-Quran iaitu: “Maka hendaklah kamu bertanya kepada yang Ahlinya jika kamu tidak mengetahui”.

Perkara ini juga ditegaskan oleh Ibn Salam iaitu seorang Ulama’ Bahasa dan Sastera Arab yang meninggal pada tahun 232 Hijrah. Beliau menyebut tentang pengkhususan ilmu sebelum barat mengatakannya seperti dalam sistem pendidikan kita sekarang ini. Beliau menyusun dan meletakkan bahawa setiap individu ini ada kemahiran tertentu contohnya yang dibawa ialah pakar dalam bidang sastera belum tentu pakar dalam bidang tatabahasa. Saya melihat bahawa inilah hikmahnya. Setiap kepakaran sesuatu ilmu itu ada ahlinya dan ahlinya akan dapat memahami dengan lebih mendalam setiap apa yang dipelajarinya. Apabila seseorang hendak berdakwah, dia perlu melihat sasaran umat dan latar belakangnya. Seorang ilmuan dalam bidang ekonomi dari pihak A harus duduk semeja dengan ilmuan ekonomi dari pihak B untuk menyelesaikan masalah dan bukannya ilmuan dari bidang ketenteraan pihak B kerana hikmahnya berbeza serta pemahaman juga berbeza. Oleh itu, ilmuan ekonomi dari kedua belah pihak harus mencapai satu kata putus dalam menyelesaikan masalah dengan cara yang terbaik. Inilah dikatakan dakwah yang diajarkan oleh nabi Muhammad SAW.

Golongan kedua pula dalam kategori memberi nasihat dan pengajaran yang baik. Golongan ini tertumpu kepada rakyat marhaen. Bagaimana para pendakwah dapat mendekati golongan ini untuk kembali kepada ajaran Islam yang sebenar dan kefahaman yang tepat. Mereka ini perlu dididik dengan nasihat yang baik dan sentiasa menyantuni mereka. Zaman sentiasa berubah-berubah dan sentiasa kehadapan. Saya teringat kata-kata saudara Fazril bin Salleh, dia menyebut: “Kita harus menjadi mahasiswa dan pendakwah yang berkemajuan dan berketermapilan”. Saya fikir, kata-kata ini sangat bertepatan dengan golongan kedua. Para pendakwah perlu lebih kreatif dalam berdakwah. Matlamat satu namun cara pelaksanaan beribu sehingga mati cara ini tidak akan habis namun saya lebih suka jika cara itu bersesuaian dengan al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW, misalnya adakah nabi Muhammad SAW berdakwah dengan cara sentap-menyentap? Adakah nabi Muhammad SAW berdakwah dengan muzik? Saya tidaklah mengatakan ianya salah namun cuba kita kembali bermuhasabah, cara pendekatan Nabi Muhammad SAW bagaimana? Saya teringat satu hadis mahfusmnya iaitu islam datang dalam keadaan asing, begitulah permulaan dan pengakhirannya.

Saya yakin bahawa dengan perbincangan ilmiah, berdakwah dari mata ke mata, penulisan, video, adobe photoshop, internet, blog dan sebagainya perlu sesuai dengan Manhaj Rasulullah SAW kerana praktikalnya sesuai di setiap temapt dan zaman. Kita boleh melihat dan memerhatikan apabila dakwah yang tidak kreatif dan mengikut kepada sendiri tanpa wahyu akan menyebabkan dakwah akan lebih kepada materialisitik, individualistik, liberalisme, sekularisme dan sebagainya. Firman Allah SWT sangat jelas:

قُلْ هَٰذِهِ سَبِيلِي أَدْعُو إِلَى اللَّهِ ۚ عَلَىٰ بَصِيرَةٍ أَنَا وَمَنِ اتَّبَعَنِي ۖ وَسُبْحَانَ اللَّهِ وَمَا أَنَا مِنَ الْمُشْرِكِينَ
Katakanlah (wahai Muhammad): "Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada ugama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata. Dan aku menegaskan: Maha suci Allah (dari segala iktiqad dan perbuatan syirik); dan bukanlah aku dari golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain."

Sangat jelas ayat al-Quran di atas bahawa jalan Allah itu ialah cara dan jalan yang diamalkan oleh Rasulullah SAW khususnya dalam berdakwah. Kalau kita boleh terima hukum perundangan Islam dalam ekonomi, pertanian, kepimpinan, politik, ketenteraan dan sebagainya tetapi kenapa kita tidak boleh aplikasi sunnah Rasulullah SAW dalam berdakwah dalam menyeru umat kepada jalan kebenaran dan kembali menyeru kepada Allah SWT. Kenapa masih mahu mengatakan bahawa itu sunnah hanya untuk orang Arab. Pemikiran ini sangat salah, golongan Quranist iaitu pendokong al-Quran secara mutlak menolak sunnah dalam ibadah, dakwah, ekonomi, politik, jihad dan cara kehidupan. Saya sangat mengakui bahawa ada sunnah yang bukan syariat dan ada sunnah yang syariat tetapi pokok pangkalnya kenapa kita tidak cuba mengamalkan semula cara pendekatan Nabi Muhammad SAW. Saya yakin ia akan berjaya. Saya teringat seorang pensyarah Uiam Dr. Mazwati, beliau membuat satu kursus dan kertas kerja yang menghimpunkan hadis-hadis Rasulullah SAW yang berbentuk perkataan Nabi Muhammad SAW seperti “aku berkata” atau “hendaklah kalian” dan seumpamannya. Apabila dia melakukan projek ini di Negeri Sembilan khusus kepada para pelajar yang kurang dari segi sahsiah, setelah beberapa bulan, beliau mendapati bentuk perubahan yang baik dan ada peningkatan dari semasa ke semasa.

            Golongan ketiga iaitu wajadilhum iaitu berdebat dengan mereka. Dhamir HUM yang disebut itu bersama umum, boleh jadi umat Islam, Yahudi, Nasrani, Hindu, Buddha, Athies, Krisitian dan sebagainya. Ada diantara mereka yang ingin mencari kebenaran dan ada juga ingin menentang kebenaran dan baginya cara dia adalah tepat dan betul. Apabila berhadapan dengan golongan ketiga ini, Allah SWT menyarankan hamba-Nya berdebat denganc ara yang baik. Rasulullah SAW juga pernah melakukan hal yang sedemikan ketika ditanya harta rampasan perang selepas perang Hunain, ditanya tentang Roh, ditanya tentang kedudukan peperangan pada waktu perang badar, ditanya tentang hukum ahkam dan sebagainya. Ini membuktikan bahawa cara ini diiktiraf dalam Islam. Kita pernah dengar satu ketika dahulu apabila ada seorang Menteri di Malaysia mengatakan bahawa Debat bukan budaya Melayu, saya rasa ini fakta yang salah dan lemah. Berapa ramai, penulis kitab dalam alam Melayu seperti al-Marbawi, al-Fattani dan Za’Ba. Debat juga telah diterima dalam alam Melayu kerana ulama’ dahulu mempelajari cara pendekatan dakwah yang dianjurkan oleh Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW.

            Allah SWT juga menyebut bahawa apabila kita berdebat, kita mesti menggunakan perkataan yang baik dan tidak menyinggung pihak yang lain kerana tujuan perdebatan bukan untuk mencari kemenangan namun objektif utamanya ialah mencari kebenaran dan menolak kebatilan. Kita renungi kisah Nabi Musa ketika hendak menyampaikan dakwah kepada Firaun. Firaun bukan jahat biasa tetapi dia mensyirikkan Allah SWT malahan mengaku sebagai tuhan. Ini bentuk kezaliman!  Namun Allah SWT tetap menyarankan Nabi Musa dan Harun berdakwah dengan bahasa yang baik seperti firmannya di dalam surah Taha ayat ke-44:
فَقُولَا لَهُ قَوْلًا لَّيِّنًا لَّعَلَّهُ يَتَذَكَّرُ أَوْ يَخْشَىٰ
"Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia beringat atau takut".

         Adapun, ketika berhadapan orang yang ingkar dan zalim terhadap diri sendiri dan agama bahkan tidak mahu menerima kebenaran. Maka caranya juga berbeza, memerlukan sedikit penegesan tetapi bukan kekerasan. Ini juga dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW ketika seorang sahabat yang bernama zil khuwaisoroh berkata kepada Nabi Muhammad SAW: “berlaku adilllah!” dan Nabi Muhammad SAW membalas dengan tegas: “Celakalah engkau, jika bukan aku yang berlaku adil maka siapa”. Bukan bermaksud untuk membuang dan menghina tetapi ia satu tindakan untuk memberikan penegasan jika penanya memulakan persoalan yang tidak mahu menerima kebenaran. Begitu juga firman Allah SWT di dalam surah al-‘Ankabut ayat ke-46:

وَلَا تُجَادِلُوا أَهْلَ الْكِتَابِ إِلَّا بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِلَّا الَّذِينَ ظَلَمُوا مِنْهُمْ
Dan janganlah kamu berbahas dengan Ahli Kitab melainkan dengan cara yang lebih baik, kecuali orang-orang yang berlaku zalim di antara mereka;

Berdakwah ini merupakan satu tuntutan syariat Islam untuk menjaminkan kesejahteraan umat di dunia dan di akhirat. Berdakwah bukan bermusim dan ianya merupakan satu perkara yang mesti dilakukan secara berterusan. Permulaan seruan berdakwah itu harus kepada diri sendiri, keluarga, masyarakat dan negara dengan mengikut tertib. Apabila kita sudah melaksanakan dakwah, usah dikatakan bahawa kita pencetus kepada hal tersebut serta mengatakan jika berlaku perubahan maka kita mengatakan kitalah yang menyebabkan arus perubahan tersebut. Dakwah ini memerlukan hidayah. Tidak semua umat boleh menerima hidayah walaupun pelbagai cara pendekatan dakwah yang telah dilaksanakan. Sudah mati akal untuk berfikir cara dakwah yang kreatif untuk menyeru umat ke jalan kebenaran. Sebagai contoh, selama 950 tahun Nabi Nuh berdakwah namun beberapa sahaja yang berimana. Dakwah Nabi Lut juga ditentang oleh isteri dan anaknya. Dakwah Nabi Ibrahim juga ditentang oleh ayahnya. Begitu juga Abu Thalib juga tidak beriman dengan ajaran Nabi Muhammad SAW. Namun, kita harus yakin dengan ketentuan Allah SWT dan sentiasa berusaha bersungguh-sungguh untuk menyeru umat ke jalan yang benar dan berdoa kepada Allah.

Kesimpulan

1.      Kita harus menjadi pendakwah yang berhikmah dalam berbicara dan juga perlaksanaan.
2.      Kita harus menjadi pendakwah yang berkemajuan dan berketerampilan yang bersesuaian dengan peredaran zaman.
3.      Kita harus memikirkan cara pendekatan dakwah yang kreatif dan inovatif namun mestilah berlandaskan syariat Islam.
4.      kita harus berdakwah dengan bertepatan dengan Manhaj Malizi iaitu memahami realiti hidup masyarakat setempat terhadap apa yang mereka perlu dan berkehendak.
5.      Kita harus menjadi pendakwah yang mengambil kira kepelbagaian hidup msyarakat dalam menerangkan gerak kerja dan dakwah yang bersesuaian.
6.      Kita harus menjadi pendakwah yang sentiasa menghormati pendapat dan pandangan orang lain.
7.      Kita harus menyatukan umat dan tidak memecahkan umat terhadap perkara yang ada khilaf dari sudut Fiqh.
8.      Kita harus menterjemahkan Maqasid Syariat Islam kepada umat bahawa ajaran Islam ini lebih bersifat praktikal dan tidak membebankan umatnya.
9.      Kita juga harus menjadi pendakwah yang tidak mudah dan cepat menghukum serta sentiasa bersabar.


Wallahu a’lam. Insya-Allah, jika ada kesempatan, saya akan menyambung penafsiran ayat ke126-126. Semoga Allah SWT merahmati kita semua dan sentiasa memberikan kita peluang dan ruang untuk bertaubat serta memperoleh hidayah daripada Allah SWT. Sekian Terima Kasih.

Comments (2)

On May 22, 2016 at 5:20 AM , Unknown said...

Terima kasih sudi berkongsi ilmu. Alhamdulillah banyak sekali manfaat dan hikmah yang didapati. Teruskan menulis dan berkongsi ya. Moga Allah redha selalu, insyaAllah Ameen.

 
On November 3, 2017 at 10:15 PM , nurfarhan0601@gmail.com said...

mudahn bermanfaat. insya-Allah