بسم الله الرحمن الرحيم
Ramadhan dan Taubat.

Mukadimah.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah tuhan sarwa alam kerana limpah dan kurnia-Nya kita dapat menikmati 1 rahmat Allah yang cukup besar iaitu kita dapat menikmati Ramadhan yang banyak keberkatan dan rahmat Allah.

Ramadhan pada tahun 1437 cukup memberi makna dan pengertian buat saya. Saya menanti dengan penuh harapan dan debaran. Harapan untuk memohon keampunan dan debaran. Adakah saya masih mempunyai ruang dan peluang untuk mendapat keampunan dan rahmat Allah dalam bulan yang mulia ini. Alhamdulillah, Allah SWT telah mengkabulkan doa saya dan telah memberikan peluang keemasan ini sekali lagi kepada saya dan juga para hamba-hamba-Nya untuk merebut peluang untuk memohon keampunan dan keredhaan Allah SWT.

Justeru, setiap daripada kita jangan melepaskan peluang ini. Pastikan Ramadhan pada kali ini lebih baik daripada Ramadhan sesebelum ini. Kita perlu menghidupkan Ramadhan penuh dengan kesyukuran dan kesabaran. Bersyukur kerana masih diberi kesempatan bahkan bersabar dalam menempuh Ramadhan seperti menahan lapar dan minum serta daripada perkara-perkara yang melalaikan.

Ayuh kita bersama menjadi hamba yang bertaqwa dalam mencari kemaafan dan keredhaan Allah SWT. Mudah-mudahan Ramadhan pada tahun kali ini menjadi titik permulaan untuk kita melakukan perubahan dan anjakan pradiqma ke arah kebaikan.
Saya juga berfikir ini satu peluang yang wajar kita rebut dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencari keberkatan dan keampunan Allah. Jangan biarkan Ramadhan pada tahun ini berlalu pergi tanpa kita mendapat hasil dan ganjaran daripada Allah SWT kerana belum tentu di masa akan datang kita akan bertemu dengan Ramadhan.

Ramadhan merupakan satu bulan yang penting untuk kita mengkoreksi diri. Mengubahdaripada keburukan kearah kebaikan. Membentuk peribadi yang unggul. Membina jati diri. Ramadhan merupakan sebuah madrasah yang mendidik hamba Allah. Ramadhan memberikan kesedaran dan penghayatan. Ramadhan juga melatih hamba Allah. Ramadhan tidak membezakan di antara kaya dan miskin.

Saya teringat kata Dr.Muhammad Ali Dannawi yang mengatakan bahawa Ramadhan adalah bulan pendidikan. Pendidikan dalam membetuk pemikiran dan akhlak. Ramadhan bukan hanya satu kefardhuan hukum semata-mata tetapi ia merangkumi semua apsek maqasid syariah bermula dari agama, jiwa, harta, akal dan keturunan.


Ramadhan bulan Taubat

Pada penulisan yang ringkas ini, saya akan berkongsi kepada teman-teman dengan ilmu yang saya ada. Mudah-mudahan para pembaca mendapat pengajaran dan mengamalkannnya.

Ramadhan adalah bulan taubat. Menjadi satu kepastian seluruh umat islam untuk memohon keampunan kepada Allah SWT terhadap dosa yang telah dilakukan sama ada besar mahupun kecil bahkan secara sengaja mahupun tidak. Di kesempatan ini, Allah menjanjikan keampunan kepada hamba-hambaNya yang bertaqwa dan bersungguh. Ini sangat bertepatan dengan hadis Rasulullah SAW. Nabi Muhammad SAW bersabda:

من صام رمضان إيمانا واحتسابا غفر له ما تقدم من ذنبه."
 Bermaksud: barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan. Maka diampunkan oleh Allah dosa-dosa yang lalu.

Ini oleh objektif utama dalam bulan Ramadhan. Dalam kehidupan ini, tujuan utamanya adalah menjadi Khalifah dan hamba yang beribadat kepada Allah. Maka setiap perkara yang dilakukan pasti tidak terlepas daripada dosa. Dosa boleh menyekat seorang khalifah dan hamba itu menjadi sempurna amalannya. Maka dengan penghapusan dosa akan menjamin kesejahteraan dan keselamatan di dunia dan di akhirat.

Oleh itu, setiap umat islam harus bersegera dan merebut peluang ini kerana janji Allah itu pasti. Dia akan mengampunkan segala dosa hamba-hambaNya yang beriman dan ikhlas dalam mengerjakan ibadah puasa. Apa lagi anugerah yang lebih baik dan besar daripada ini. Tidakkah kita terfikir bahawa ini anugerah yang sangat besar oleh Allah kepada hamba-hamba-Nya. Teramat rugilah jika kita tidak mengambil peluang ini.

Saya melihat ramai dalam kalangan kita merebut ganjaran dunia daripada ganjaran akhirat. Umat berpusu-pusu ke bazar Ramadhan sehingga melakukan pembaziran. Umat meninggalkan perkara wajib kerana leka dan alpa dengan tanggungjawan dunia. Alasan penat dan lelah menjadi sebab tidak berpuasa. Amalan sunat yang dituntut tidak dikerjakan bahkan dilupakan seperti sahur dan solat terawih. Adakah umat masih tidak sedar? Adakah umat masih belum faham erti Ramadhan yang sebenar. Walaubagaimanapun, saya tidak kata salah berniaga, berkebun, berkerja dan sebagainya namun perlu mengimbanginya dengan hal akhirat. Apakah kita masih mahu berada di takuk lama yang mana tidak ada perubahan dalam diri. Kaya harta tetapi miskin jiwa. Apakah matlamat utama kita dalam Ramadhan ini?

Pernah dahulu saya berkerja sebagai penjual di sebuah kedai pada bulan Ramadhan. Dari pagi sampai ke malam keuntungan yang menjadi zikir. Wang demi wang difikirkan. Ketika itu, saya merasakan satu kerugian yang besar. Penat balik kerja sehingga terawih dilupakan. Masa semakin singkat bukan disebabkan masa berlalu dengan pantas tetapi disebabkan diri sendiri yang tidak bijak mengurus masa dengan baik.
Ramadhan adalah bulan yang menuntut umatnya berpuasa. Mungkin ramai dari kita yang belum cukup memahami pengertian berpuasa itu. Maka kita semakin sibuk dengan perkara yang tidak sewajarnya.

Saya juga sangat terkesan dengan nasihat oleh Dr. Ramadhan al-Buti. Beliaulah yang memberikan peringatan awal tentang taubat dan ramadhan. Saya sangat bersetuju dengan beliau bahawa harus kita memfokuskan ibadat kita sepenuhnya di bulan Ramadhan ini semoga mendapat pengampunan dari Allah. Semoga Allah merahmati beliau. Amin

Ramadhan.

Ramadhan merupakan satu tuntutan di dalam syariat Islam untuk seluruh umat Islam melainkan beberapa golongan seperti musafir, berjuang dan sakit. Golongan ini mendapat keringangan dan dibenarkan berbuka puasa.
Dalil pensyariatan puasa ini di sebut di dalam al-Quran dalam surah al-Baqarah ayat ke-183:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.

Dalam Shahih Bukhari dan Muslim. Nabi Muhammad SAW juga bersabda: “Islam itu dibina atas 5 perkara. Hendaklah menyembah Allah SWT dan jangan mensyirikkan-Nya. Menunaikan Solat Fardhu. Mengeluarkan Zakat. Mengerjakan Haji dan Berpuasa di bulan Ramadhan.

Di dalam buku Maqasid Puasa yang dikarang oleh Syiekh ‘Izzudin bin Abd Salam menyenarikan beberapa faedah-feadah puasa di dalam bulan Ramadhan antaranya: Diangkat darjat ke yang lebih tinggi. Dihapuskan dosa-dosa yang lalu. Syahwat dipelihara. Digandakan pahala bersedekah. Ketaatan kepada Allah bertambah dan juga menyelamatkan kita daripada melakukan perkara-perkara yang dosa dan maksiat.

Selain itu, Dr. Danial Zainal Abidin menyebut bahawa puasa juga memberikan kerehatan dan dapat menjaga kesihatan tubuh badan.

Inilah penghayatan Ramadhan yang perlu kita fahami. Ramadhan bukan sekadar menahan lapar dan dahaga tetapi kita perlu mencegah daripada semua perkara yang boleh mengurangkan pahala puasa kita. Perkara yang membatalkan puasa harus sama sekali kita tinggalkan dan elakkan.

Kesimpulan

Bersegeralah melakukan perubahan di dalam bulan Ramadhan ini. Mudah-mudahan kita dapat melatih diri dan menjadikan kita hamba yang sentiasa taat segala perintah Allah SWT dan meninggalkan larangan-Nya.

Bertaubat merupakan satu perkara yang dituntut di dalam Islam. Apakah kita yakin kita tidak melakukan dosa. Sungguh, Ramadhan anugerah Allah kepada hamba-Nya untuk menebus segala dosa yang lalu namun seperkara yang saya ingin tegaskan di sini, jangan kita menjadi hamba Ramadhan tetapi jadilah Rabbaniyyun iaitu hamba kepada Allah di dalam setiap masa dan tempat. Ini juga ditekankan oleh Shiekh Yusuf al-Qardahwi.

Semoga Allah SWT merahmati kita semua dan sentiasa memberikan kita peluang dan ruang untuk memohon keampunan. Mudah-mudahan Allah menerima taubat dan segala amalan kita yang mendatang. Insya-Allah.



Comments (0)