Terjemahan buku “أصحاب البستان”.
Daripada Asbabun Nuzul al-Quran.
Penulis: Muhammad Hamzah as-Sa’dawi.
Pelukis: Muhammad Nabil.
Penterjermah: Muhammad Nur Farhan bin Zamziba (Guru Praktikal Bahasa Arab SMA Syubbaniah).
28/6/2016.

Kisah Pengajaran Pemilik Kebun Yang Tamak



Pada zaman terdahulu. Ada sebuah kampung yang diberi nama Dhirwan yang terletak di bumi Yaman. Di kampung itu, ada seorang Syiekh yang sangat soleh yang menetap di situ. Beliau mempunyai 3 orang anak dan memiliki sebuah kebun yang besar. Kebun beliau dipenuhi dengan tumbuhan-tumbuhan, pokok-pokok dan buah-buahan.

Selepas syiekh yang soleh itu mengumpulkan buah-buah dari kebunnya. Beliau akan bersedekah sebahagian dari hasilnya kepada fakir miskin yang berada di kampungnya. Beliau juga memberi kepada kaum kerabatnya. Kemudian apabila beliau sudah selesai urusan itu, beliau pula akan pergi ke pasar dan menjual baki buah-buahan yang masih ada.
Pada suatu petang. Syiekh duduk bersama bersama-sama anak-anaknya dan berbual-bual santai dengan mereka.

Anak sulong berkata: wahai Ayah, sesungguhnya ayah telah mengusaha kebun-kebun dan dapat hasil yang banyak tidak seperti pekebun lain. Apa kata, kita mengumpul hasil buah-buhan dan jangan  memberikan kepada fakir miskin, kaum kerabat dan para sahabat. Kalaulah kita menjual hasil buah-buahan tersebut serta tidak memberikan kepada sesiapa. Kita akan memperoleh banyak harta.

Anak yang bongsu berrkata: wahai ayahku, betul cakap abang. Kenapa kita perlu memberikan hasil buah-buahan kepada mereka sedangkan kita yang berpenat lelah bercucuk tanam dan membajainya. Mereka pula berpeluk tubuh tidak melakukan apa-apa.

Sebelum anak yang kedua berbicara.

Ayahnya mencelah dan berkata: wahai anak-anakku yang dikasihi. Sesungguhnya kamu semua telah silap.
Sesungguhnya Allah SWT menyuruh  setiap manusia yang memiliki harta, tanaman dan tumbuhan. Mereka perlu bersedekah kepada fakir miskin dan orang yang memerlukan sebahagian dari hasil mereka. Hidup mereka akan diberkati oleh Allah SWT dan mendapat kejayaan dan pahala yang besar bahkan akan terselamat daripada kemurkaan dan azab Allah SWT. Oleh itu, tidakkah anak-anak melihat bahawa Allah SWT telah memberkati kita dan kebun kita. Kebun kita juga adalah di antara kebun yang paling subur dan paling baik di kampung kita.

Hari demi hari kian berlalu,

Syiekh yang soleh meninggal dan kembali bertemu dengan Allah SWT.

Ketika mana bila tiba musim buah-buahan, anak-anak itu telah mengadakan pertemuan. Mereka berbincang di antara satu sama lain tentang bagaimana harus mereka lakukan dengan hasil buah-buahan ini

Abang yang sulong memberi pandangan: Tidak sama sekali kita akan lakukan seperti yang dilakukan ayah kita. Kita tidak perlu memberi hasil buah-buahan dari tanaman kita kepada fakir bahkan juga tidak kepada kaum kerabat.

Adik yang bongsu pula bersetuju: ya, betul. Kita akan buat seperti yang along katakan. Kita akan mendapat harta yang banyak.

Abang yang kedua  memberi pandangan yang berbeza. Beliau berkata: aku berpendapat bahawa kita kena lakukan seperti mana yang ayah kita lakukan. Kita tidak boleh menafikan hak fakir miskin dan orang yang memerlukan ke atas hasil kita. jika kita melakukan itu, Allah akan memberkati kebun dan harta kita.

Abang yang sulong menolak pandangan adiknya yang kedua. Beliau berkata: kita tidak akan buat! Kami berdua sudah sepakat. Pandangan kami berdua lebih berhak ke atas hasil buah-buahan ini. Suara majoriti mesti diikuti! Kita akan menjual semua hasil buah-buahan dan kita tidak akan memberikan kepada sesiapa pun.

Terjemahan buku “يوم الظلة”.
Daripada Asbabun Nuzul al-Quran.
Penulis: Muhammad Hamzah as-Sa’dawi.
Pelukis: Muhammad Nabil.
Penterjermah: Muhammad Nur Farhan bin Zamziba (Guru Praktikal Bahasa Arab SMA Syubbaniah).
21/6/2016.

KISAH HARI YANG GELAP



Terdapat sebuah Qabilah yang diberi nama Madyan. Madyan ialah sebuah kampung yang terletak di kawasan Ma’an yang berada dalam Sham dan berada dihujung Al-Hijaz. Ia adalah 1 qabilah yang terlibat dalam banyak jenayah, kerosakan dan penipuan dalam perniagaan. Mereka mereme-temehkan mengenai timbangan jualan ketika mereka menjalankan perniagaan. Namun jika mereka membeli, mereka mahu disempurnakan dengan timbangan yang tepat. Mereka juga melakukan kezaliman dan tidak berlaku adil. Mereka juga merompak dan mencuri harta masyarkat awam. Bahkan mereka juga tidak menyembah Allah, mereka menyembah Al-Aikah. Al-Aikah itu ialah sebuah pokok Al-Aik yang sukar dijumpai.

Allah SWT telah mengutuskan seorang lelaki kepada kaum itu. Beliau sangat dikenali dalam kalangan mereka disebabkan sifat lemah-lembut dan jujur. Beliau ialah Nabi Syuaib alaihissalam. Allah SWT mengutuskan Nabi Syuaib untuk menyeru kaumnya supaya kembali beribadat dan menyembah Allah dan mengesakan-Nya. Nabi Syuaib juga menyeru kaumnya supaya berlaku adil dalam perniagaan dan melarang melakukan kerosakan dan kezaliman. Beliau mengingatkan mereka tentang anugerah dan kurniaan yang Allah berikan kepada kaumnya. Bahkan beliau juga memberikan amaran akan kemurkaan dan kemarahan Allah SWT jika tidak melaksanakan apa yang diperintah dan meninggalkan apa yang dilarang..
Firman Allah SWT:

Dan kepada penduduk Madyan (Kami utuskan) saudara mereka Nabi Syuaib. Ia berkata: "Wahai kaum sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tiada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya. Sesungguhnya telah datang kepada kamu keterangan yang nyata dari Tuhan kamu. Oleh itu, sempurnakanlah sukatan dan timbangan, dan janganlah kamu kurangkan bagi manusia akan benda-benda dan perkara-perkara yang menjadi haknya; dan janganlah kamu berbuat kerosakan di muka bumi sesudah Allah menjadikannya (makmur teratur) dengan sebaik-baiknya. Yang demikian itu lebih baik bagi kamu jika betul kamu orang-orang yang beriman.

Akan tetapi kaum Nabi Syuaib tetap ingkar dengan perintah tersebut. Mereka juga memperolok-olok dakwah Nabi Syuaib. Mereka sentiasa cuba menggagalkan dakwah Nabi Syuaib. Mereka juga berdolak dalih untuk menerima dakwah nabi Syuaib alaihissalam. Mereka memekakkan telinga bahkan mereka lebih suka berada dalam kesesatan yang melampui batas itu. Mereka memandang ringan tentang ‘ibadat kepada Allah dan solat fardhu. Mereka meninggalkan apa yang diwarisi oleh datuk nenek mereka yang terdahulu.

 Mereka berkata: "Wahai Syuaib! Adakah sembahyangmu (yang banyak itu) menyuruhmu perintahkan kami supaya meninggalkan apa yang disembah oleh datuk nenek kami, atau supaya kami lakukannya apa yang kami suka melakukannya dalam menguruskan harta kami? Sesungguhnya engkau (wahai Syuaib) adalah orang yang penyabar, lagi bijak berakal (maka bagaimana pula engkau menyuruh kami melakukan perkara yang bertentangan dengan kebiasaan kami)?"(hud87)

Sungguh, mereka tetap degil tidak mahu menerima dakwah nabi Syuaib bahkan mereka mengancam nabi Syuaib dengan ancaman bunuh serta menghinanya walaupun mereka mengetahui akan azab akan menimpa mereka.

Mereka berkata: "Wahai Syuaib,! kami tidak mengerti kebanyakan dari apa yang engkau katakan itu, dan sesungguhnya kami melihat engkau orang yang lemah dalam kalangan kami; dan kalau tidaklah kerana kaum keluargamu, tentulah kami telah melemparmu (dengan batu hingga mati). Dan engkau pula bukanlah orang yang dipandang mulia dalam kalangan kami!”.

Nabi Syuaib berkata: "Wahai kaumku! (Mengapa kamu bersikap demikian)? Patutkah kaum keluargaku kamu pandang lebih mulia dari pada Allah serta kamu pula jadikan perintahNya sebagai sesuatu yang dibuang dan dilupakan di belakang kamu? Sesungguhnya Tuhanku Amat Meliputi pengetahuanNya akan apa yang kamu lakukan.(91-92)

Nabi Syuaib tidak mempedulikan ancaman dan dugaan dari kaumnya. Oleh hal yang demikian, Beliau tetap tidak menghentikan cita-citanya untuk memperbaiki dan membetulkan kaumnya. Beliau sentiasa menyeru umatnya untuk menyembah Allah walaupun jumlah orang yang beriman sangat sedikit. Kaum Nabi Syuaib berasa takut kerana lama kelamaan Nabi Syuiab mempunyai ramai pengikut dan agamanya disebar luas. Oleh itu, mereka membuat ugutan bahawa siapa yang beriman bersama  nabi Syuaib, mereka akan dihalau keluar dari kampung halaman mereka melainkan jika mereka meninggalkan agama Islam. Disebabkan itu, ada yang kembali ke tempat asal iaitu  ke arah kekufuran. Namun begitu, terdapat juga dalam kalangan mereka yang tidak memahami tentang ajaran Islam dan kemanisan Iman tersebut menyebabkan mereka kembali dalam kesesatan dan kemaksiatan kerana takut diancam bunuh.

Ketua-ketua yang sombong takbur dari kaum Nabi Syuaib berkata: "Sesungguhnya kami akan mengusirmu wahai Syuaib dan orang-orang yang beriman yang menjadi pengikut-pengikutmu dari negeri kami ini, atau kamu berpindah kepada ugama kami". Nabi Syuaib menjawab: "Adakah (kamu hendak melakukan yang demikian) sekalipun kami tidak menyukainya?

 Nabi Syuaib sentiasa mengingatkan mereka untuk kembali kepada Allah dan menakutkan mereka tentang azab Allah bagi yang ingkar. Beliau menjelaskan akibat bagi orang yang kafir dan degil. Beliau menceritakan kisah kaum terdahulu yang kufur dan ingkar dengan perintah Allah SWT seperti yang terjadi kepada kaum Nuh, ‘Ad, Thamud dan juga kuam Lut. Nabi Syuaib merasakan hilang harapan untuk berdakwah kepada mereka. mereka tetap degil dan masih berada dalam kekufuran. Nabi Syuaib mengadu kepada Allah tentang kaumnya yang sangat zalim dan degil. Allah SWT telah mendengar luahan nabi Syuaib. Maka Allah SWT telah mengazab mereka dengan cuaca yang sangat panas. Mereka merasa dahaga yang amat, walaupun mereka dapat minum air. Rumah-rumah mereka kepanasan menyebabkan mereka keluar dari rumah. Mereka berlari daripada udara yang panas. Dan mereka pun melihat awan yang disangka-sangka akan memberikan mereka perlindungan. Mereka pun berkumpul di bawah awal tersebut sehingga kesemuanya duduk berteduh di bawah awan tersebut. tiba-tiba awan tadi telah mengeluarkan percikan api dan melemparkan batu-bata kepada mereka. disebabkan itu, bumi menjadi kering-kontang dan mereka semuanya hancur musnah melainkan orang-orang yang beriman kepad Allah SWT dan rasul-Nya.

Firman Allah SWT:

(189)   Maka mereka tetap juga mendustakannya, lalu mereka ditimpa azab seksa hari awan mendung; sesungguhnya kejadian itu adalah merupakan azab seksa hari yang amat besar - (huru-haranya).

( 190 ) Sesungguhnya peristiwa yang demikian, mengandungi satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah); dan dalam pada itu, kebanyakan mereka tidak juga mahu beriman.

( 191 )   Dan sesungguhnya Tuhanmu (wahai Muhammad), Dia lah sahaja yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani. (as-Syu’ara’)

Allah SWT telah merakamkan kisah-kisah mereka ini di dalam al-Quran terutamanya pada surah al-A’raf, Hud, as-Asyu’ara’ dan al-‘Ankabut.




Terjemahan buku “سحاب الغضب”.
Daripada Asbabun Nuzul al-Quran.
Penulis: Muhammad Hamzah as-Sa’dawi.
Pelukis: Muhammad Nabil.
Penterjermah: Muhammad Nur Farhan bin Zamziba (Guru Praktikal Bahasa Arab SMA Syubbaniah).
20/6/2016.



Kisah Awan  Marah.

Di selatan Yaman berdekatan dengan laut. Ada sebuah lembah yang dinamakan Wadi Fasih. Di situ, terdapat satu qabilah yang bernama ‘Ad daripada keturunan Sam dari cucu-cicit Nabi Nuh alaihissalam. Allah SWT telah menganugerahkan kepada mereka harta. Diberikan kekuatan fizikal. Diturunkan hujan yang banyak. Dan mencurah-curah mata air dari bawah tanah. Bumi-bumi mereka bertukar kepada taman-taman, kebun-kebun dan tumbuhan yang menghijau. Banyak kebaikan dan keistimewaan di lembah Wadi Fasih ini. Allah memberikan mereka buah-buahan dengan izin-Nya.

Kehidupan kaum ini sangat baik dengan rezeki yang luas. Pada zaman mereka, mereka telah membina sebuah bandar yang paling cantik dan mewah di bumi ini. Rumah-rumah mereka tiangnya diperbuat daripada batu yang sangat besar dan ianya sangat kukuh. Jalan-jalan di bandar itu sangat luas. Sebuah bandar yang mempunyak banyak tanaman dan taman-taman. Bandar itu dinamakan “Irama Zatal ‘Imad”.

Pada permulaanya, mereka ini selalu mensyukuri nikmat Allah SWT atas kurnian-Nya. Mereka beribadat kepada Allah SWT dengan penuh keikhlasan bahkan mereka tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu pun. Namun lama kelamaan mereka tenggelam dalam kenikmatan sehingga mereka telah lupa dengan ganjaran dan anugerah Allah kepada mereka. Mereka telah membuat kerosakkan bumi ini bahkan mereka telah menyembah tuhan selain dari Allah SWT dengan berhala ciptaan mereka sendiri. Rahmat Allah menyelamatkan mereka daripada kesesatan. Memastikan mereka masih berada di jalan petunjuk dan hidayah Allah SWT. Maka, oleh itu, Allah SWT telah mengutuskan  seorang rasul kepada mereka. Seorang pemuda dalam kalangan keturunan mereka. Allah SWT telah menganugerahkan akal yang paling cerdas kepada beliau dan beliau juga seorang yang paling baik budi pekerti. Beliau ialah Nabi Hud ‘alaihissalam. Di antara tanggungjawab Nabi Hud ialah menyeru umatnya untuk mengesakan Allah SWT dan meninggalkan penyembahan berhala. Nabi Hud juga mengingatkan mereka tentang kurnian Allah kepada mereka supaya mensyukuri nikmat Allah. Menghentikan kezaliman dan kerosakan. Allah SWT memberikan amaran seperti perumpamaan dengan golongan yang terdahulu iaitu golongan Kaum Nuh yang ingkar. Allah SWT menjelaskan bagaimana Dia memusnahkan Kaum Nuh dengan Taufan kerana mereka derhaka kepada utusan Allah SWT dan mereka yang degil dan kufur.

Namun, kaum nabi Hud tetap dan masih dalam kekufuran. Mereka mengejek dan memperlekehkan Nabi Hud dan dakwahnya. Mereka juga mencerca dan menghina Nabi Nuh dengan cercaan gila dan bodoh. Mereka itu tidak menghiraukan kemarahan Allah SWT,

  Mereka berkata: "Wahai Hud! Engkau tidak membawa kepada kami sebarang keterangan yang membuktikan kebenaranmu, dan kami tidak akan meninggalkan penyembahan tuhan-tuhan kami dengan sebab kata-katamu itu! Dan kami tidak sekali-kali percaya kepadamu!
" Kami hanya boleh berkata bahawa setengah dari tuhan-tuhan kami telah mengenakanmu sesuatu penyakit gila (disebabkan engkau selalu mencaci penyembahan kami itu)". Nabi Hud menjawab: "Sesungguhnya aku menyeru Allah menjadi saksi tentang kebenaranku, dan kamu juga saksikanlah bahawa aku bersih dari dosa perbuatan syirik kamu –(hud:53-54)

Nabi Nuh meneruskan seruannya untuk mengajak umatnya untuk kembali kepada Allah SWT dan dia berkata: Sesungguhnya aku adalah utusan Allah SWT yang diutuskan kepada kalian. Tugas aku ialah mengajak kalian kearah kebaikan. Janganlah mencaci aku. Sesungguhnya aku yang paling takut di antara kalian dengan kemarahan Allah. Allah tidak menyukai jika kamu menzalimi diri kamu dengan kekufuran dan kesesatan kamu. Ketahuilah bahawa aku adalah utusan Allah tuhan Semesta Alam. Aku akan menyampaikan kepada kalian risalah-risalah ketuhan. Aku merupakan penasihat yang benar.

Mereka membalas dengan berkata: begitu juga dengan kami, kamu telah menasihati tetapi kamu bukan dalam kalangan pendakwah. Sesungguhnya kami tidak takut ancaman dan ugutan kamu bahkan kami juga tidak takut dengan azan tuhan kamu. Jika kamu seorang yang benar seperti yang kamu katakan maka datangkanlah kepada kami azab dari tuhan kamu. Datanglah ia kepada kami seperti yang kamu kata jika kamu seorang yang benar.

Di hadapan seluruh kaum yang degil itu yang masih bertegas dalam kesesatan. Nabi Hud tidak tahu lagi cara-cara untuk berdakwah. Dia mengadu kepada Allah SWT. Dia memohon pertolongan dan bantuan daripada kaumnya yang derhaka.

Allah SWT telah memperkenankan doa Nabi Hud. Allah SWT berfirman: “Allah berfirman: "Dalam sedikit masa lagi mereka akan menjadi orang-orang yang menyesal". Dalam masa yang singkat sahaja, Allah SWT telah murka sehingga Allah tidak menurunkan hujan sehingga tumbuhan dan tanaman mereka menjadi kering kontang. Keadaan bumi menjadi gersang dan rata. Tidak kelihatan sebarang ataupun satu pun tumbuhan dan pokok. Mereka telah ditimpa kemarau yang sangat dasyat. Setiap hari, mereka keluar dan mata mereka melihat ke langit dengan penuh harapan agar awan menurunkan hujan. Pada suatu hari, kaum nabi Hd melihat satu awam yang sangat hitam dan gelap berada di atas mereka. Mereka sangat gembira dan seronok. Mereka saling bergembira di antara satu sama lain dan mengucapkan tahniah:

Maka apabila mereka melihat azab itu sebagai awan yang menghala ke lembah-lembah mereka, mereka berkata: "Ini ialah awan yang akan membawa hujan kepada kita!" (Mendengarkan kata-kata yang demikian, Nabi Hud berkata): "Tidak! Bahkan itulah (azab) yang kamu minta disegerakan kedatangannya, iaitu angin yang membawa azab seksa yang tidak terperi sakitnya;(al-Ahqaf:24)

Nabi Hud berkata kepada kamunya: Awan ini bukanlah membahwa hujan dan rahmat tetapi ia adalah Awan Kemarahan yang akan  memusnahkan kalian.

iaitu angin yang membawa azab seksa yang tidak terperi sakitnya;(al-Ahqaf:24)

ketika mana kaum Nabi Hud sedang bergembira dan berseronok. Tiba-tiba telah datang angin-angin yang sangat kencang dengan diiringi ribut petir yang memancar-mancar. Awan kemarahan itu telah memusnahkan segala-galanya. Awan itu membawa batu-bata dan pasir dan memusnahkan mereka semua. Angin yang sejuk pula datang membekukan kulit-kulit mereka. Musnah dan lenyap mereka dari bumi ini. Sebahagian daripada mereka berlari dan menyembunyi di rumah dan istana, akan tetapi ke mana dan di mana mereka boleh berlari dan menyorok? Kepada siapa yang boleh mereka memohon perlindungan? Di mana mereka boleh berlari dari azab Allah SWT?.

Awam kemarahan itu terus menerus bertiup dan ribut petir sentiasa bergema sehingga 8 hari 7 malam. Pada saat itu, kesemua daripada hancur musnah dan tiada apa yang tinggal.
Maka benarlah apa yang dikatakan Allah SWT di dalam firman-Nya:

Adapun Aad (kaum Nabi Hud), maka mereka telah dibinasakan dengan angin ribut yang kencang, yang melampau kencangnya, Yang diarahkannya menyerang mereka tujuh malam lapan hari terus-menerus; (kalaulah engkau menyaksikannya) maka engkau akan melihat kaum itu bergelimpangan mati, seolah-olah mereka: batang-batang pohon kurma yang (tumbang dan) lompang.

Adapun Nabi Hud dan orang-orang yang beriman. Mereka memperoleh rahmat dari Allah SWT dan terselamat daripada azab itu. Mereka pun berpindah ke “Hadramaut”. Mereka memulakan kehidupan mereka di sana sehinnga Nabi Hud wafat. Nabi Nuh dikebumikan di lembah Wadin yang dinamakan “Wadi Barhut”.

Allah SWT telah menceritakan kisah Kaum ‘Ad di dalam al-Quran di antaranya: surah al-‘Araf, Hud, al-Anbiyak dan al-Ahqaf.








بسم الله الرحمن الرحيم
Ramadhan dan Taubat.

Mukadimah.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah tuhan sarwa alam kerana limpah dan kurnia-Nya kita dapat menikmati 1 rahmat Allah yang cukup besar iaitu kita dapat menikmati Ramadhan yang banyak keberkatan dan rahmat Allah.

Ramadhan pada tahun 1437 cukup memberi makna dan pengertian buat saya. Saya menanti dengan penuh harapan dan debaran. Harapan untuk memohon keampunan dan debaran. Adakah saya masih mempunyai ruang dan peluang untuk mendapat keampunan dan rahmat Allah dalam bulan yang mulia ini. Alhamdulillah, Allah SWT telah mengkabulkan doa saya dan telah memberikan peluang keemasan ini sekali lagi kepada saya dan juga para hamba-hamba-Nya untuk merebut peluang untuk memohon keampunan dan keredhaan Allah SWT.

Justeru, setiap daripada kita jangan melepaskan peluang ini. Pastikan Ramadhan pada kali ini lebih baik daripada Ramadhan sesebelum ini. Kita perlu menghidupkan Ramadhan penuh dengan kesyukuran dan kesabaran. Bersyukur kerana masih diberi kesempatan bahkan bersabar dalam menempuh Ramadhan seperti menahan lapar dan minum serta daripada perkara-perkara yang melalaikan.

Ayuh kita bersama menjadi hamba yang bertaqwa dalam mencari kemaafan dan keredhaan Allah SWT. Mudah-mudahan Ramadhan pada tahun kali ini menjadi titik permulaan untuk kita melakukan perubahan dan anjakan pradiqma ke arah kebaikan.
Saya juga berfikir ini satu peluang yang wajar kita rebut dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencari keberkatan dan keampunan Allah. Jangan biarkan Ramadhan pada tahun ini berlalu pergi tanpa kita mendapat hasil dan ganjaran daripada Allah SWT kerana belum tentu di masa akan datang kita akan bertemu dengan Ramadhan.

Ramadhan merupakan satu bulan yang penting untuk kita mengkoreksi diri. Mengubahdaripada keburukan kearah kebaikan. Membentuk peribadi yang unggul. Membina jati diri. Ramadhan merupakan sebuah madrasah yang mendidik hamba Allah. Ramadhan memberikan kesedaran dan penghayatan. Ramadhan juga melatih hamba Allah. Ramadhan tidak membezakan di antara kaya dan miskin.

Saya teringat kata Dr.Muhammad Ali Dannawi yang mengatakan bahawa Ramadhan adalah bulan pendidikan. Pendidikan dalam membetuk pemikiran dan akhlak. Ramadhan bukan hanya satu kefardhuan hukum semata-mata tetapi ia merangkumi semua apsek maqasid syariah bermula dari agama, jiwa, harta, akal dan keturunan.
Usrah Qiyadah Pkpim.
26 April 2016.
Tempat: USIM.
Tema Perbincangan:
“Kurniaan Istimewa Allah SWT kepada pejuang Hararkiy” (al-Taubah:111-112)

بسم الله الرحمن الرحيم
.
إنَّ اللَّهَ اشْتَرَىٰ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ أَنفُسَهُمْ وَأَمْوَالَهُم بِأَنَّ لَهُمُ الْجَنَّةَ ۚ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَيَقْتُلُونَ وَيُقْتَلُونَ ۖ وَعْدًا عَلَيْهِ حَقًّا فِي التَّوْرَاةِ وَالْإِنجِيلِ وَالْقُرْآنِ ۚ وَمَنْ أَوْفَىٰ بِعَهْدِهِ مِنَ اللَّهِ ۚ فَاسْتَبْشِرُوا بِبَيْعِكُمُ الَّذِي بَايَعْتُم بِهِ ۚ وَذَٰلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ
 Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan Syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar.(111)

التَّائِبُونَ الْعَابِدُونَ الْحَامِدُونَ السَّائِحُونَ الرَّاكِعُونَ السَّاجِدُونَ الْآمِرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَالنَّاهُونَ عَنِ الْمُنكَرِ وَالْحَافِظُونَ لِحُدُودِ اللَّهِ ۗ وَبَشِّرِ الْمُؤْمِنِينَ
  (Mereka itu ialah): orang-orang yang bertaubat, yang beribadat, yang memuji Allah, yang mengembara (untuk menuntut ilmu dan mengembangkan Islam), yang rukuk, yang sujud, yang menyuruh berbuat kebaikan dan yang melarang daripada kejahatan, serta yang menjaga batas-batas hukum Allah. Dan gembirakanlah orang-orang yang beriman (yang bersifat demikian).


Mukadimah.

            Seorang bapa sentiasa bertungkus lumus untuk mencari nafkah yang halal untuk isteri dan keluarganya. Dari pagi sampai ke malam, ke sana ke sini demi kepentingan keluarganya. Seorang ibu pula, mempersiapkan urusan di rumah, mendidik anak dengan didikan agama yang benar, menjaga kehormatan dan harta suaminya. Seorang anak yang soleh akan mendoakan kesejahteraan kedua ibu bapanya serta berusaha bersungguh-sungguh untuk menjadi anak yang berguna dan bermanfaat serta berjasa kepada umat. Seorang pemimpin menjaga kedaulatan dan keharmonian negara, menjaga kebajikan umat, memumuk perpaduan, membentuk sebuah negara yang menolak kezaliman dan mementingkan keadilan dan paling penting menegakkan syariat Islam dan mempraktiskannya dalam setiap urusan. Seorang ulama’ juga memainkan peranan yang besar iaitu bukan sahaja memberi fatwa tetapi mendidik umat ke jalan yang benar dan shahih serta tidak menyimpang daripada ajaran al-Quran dan sunnah Rasulullah. Setiap umat mempunyai peranan yang tersendiri. Pakar ekonomi, kejuruteraan, pertanian, perdagangan, perundangan, perkapalan, aeroangkasa dan sebagainya mempunyai tugas-tugas yang penting dan sesuai dengan skop kemahiran demi menjaga kemaslahatan negara dan umat. Mereka semua ini pasti mendapat ganjaran yang besar disisi Allah SWT jika mereka berninat kerana Allah SWT. Merekalah Pejuang Hararkiy!

            Saya melihat, pejuang zaman sekarang telah mengsekularkan konsep dunia dengan kehidupan di akhirat. Terdapat 3 golongan iaitu pertama yang memisahkan urusan dunia dari agama. Kedua ialah menolak dunia demi akhirat semata-mata. Ketiga pula ialah golongan yang mengambil jalan tengah. Golongan ketiga ini yang disebut di dalam al-Quran:
وَإِنَّ هَٰذِهِ أُمَّتُكُمْ أُمَّةً وَاحِدَةً وَأَنَا رَبُّكُمْ فَاتَّقُونِ
Dan sesungguhnya ugama Islam ini ialah ugama kamu - ugama yang satu asas pokoknya, dan Akulah Tuhan kamu; maka bertaqwalah kamu kepadaKu.

Namun Allah SWT mencela sebahagian golongan yang lain khususnya golongan pertama dan kedua kerana mereka tidak melaksanakan suruhan Allah SWT dan sunnah Rasulullah SAW:

فَتَقَطَّعُوا أَمْرَهُم بَيْنَهُمْ زُبُرًا ۖ كُلُّ حِزْبٍ بِمَا لَدَيْهِمْ فَرِحُونَ
Kemudian umat Rasul-rasul itu berpecah-belah dalam urusan ugama mereka kepada beberapa pecahan, tiap-tiap golongan bergembira dengan apa yang ada pada mereka.

Jika kita perhatikan firman Allah SWT di dalam al-Quran, kita akan dapati Allah SWT tujuan manusia dijadikan ialah menjadi hamba yang menyembah Allah SWT, menjadi pemimpin untuk diri sendiri, keluarga, masyarakat dan negara, menyuruh yang makruf dan mencegah yang mungkar. Begitu juga jika kita renungi sirah Rasulullah SAW, beliau seorang pejuang di medan, seorang bapa, seorang suami, seorang yang kuat beribadat, berilmu, menolong orang yang susah, seorang pemimpin, seorang peniaga dan pengembala. Maka, sebahagian umat sekarang sudah terpesong daripada ajaran Islam yang sebenar dan mengada-adakan sesuautu bukan dari ajarannya bahkan ada yang menolak sesuautu yang tidak bersesuaian dengan dirinya. Ini bentuk pemikiran yang salah. Oleh hal demikian, muncullah pemikiran seperti sekularisme, liberalisme, kapatalisme dan sebagainya. Sepatutnya, kita harus kembali kepada ajaran Islam yang sebenar kerana Islam agama yang syumul. Firman Allah SWT:

إِنَّ الدِّينَ عِندَ اللَّهِ الْإِسْلَامُ
Sesungguhnya ugama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam.(ali-‘Imran:19)
الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا
Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi ugama untuk kamu. 

Allah SWT akan memberikan ganjaran syurga kepada hamba-hamba-Nya yang sentiasa berjuang di jalan Allah SWT dengan mengikut cara yang terdapat di dalam al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW.

Terdapat 9 ciri-ciri orang yang beriman yang diberikan khabar gembira seperti yang dinyatakan di dalam surah at-Taubah ayat ke-112 yang akan saya bahaskan kemudian. 9 ciri-ciri ini membuktikan apakah makna seorang pejuang yang sebenar. 9 ciri ini juga akan membentukan pemikiran dan kekuatan bagi seorang pejuang. Apabila  9 ciri-ciri ini diamalkan oleh pejuang, dia akan menjadi seorang yang beriman yang sempurna dan mampu mendidik keluarga, masyarat bahkan memimpin negera. Insya-Allah.

Pejuang itu bukan sekadar menghunus pedang dan lembaran-lembaran pemikiran sahaja tetapi seorang pejuang itu harus seorang yang beriman, menginfakkan diri untuk Allah SWT, bertaubat, pemuji Islam, pengembara untuk menuntut ilmu, menyembah Allah SWT, mengerjakan solat, menyuruh yang makruf, mencegah yang mungkar serta memelihara hukum-hukum Allah SWT.

Ramai pejuang hararkiy yang mengatakan dia seorang pejuang yang sebenar tetapi sebenarnya dia tersalah faham. Seperti buat kerja kebajikan untuk gelendangan itu sahaja dinamakan pejuang hararkiy. Sama juga ada yang menyatakan bahawa membaca dan membahaskan topik-topik intelektual sahaja itu ialah pejuang. Pelbagai ragam umat zaman sekarang ini, kerana kemungkinan sebahagian daripada mereka tidak meramas Al-Quran dan Hadis Rasulullah SAW dengan mendalam dan jika dibahaskan pun, pemahaman itu tidak sama apa yang dikehendaki. Oleh itu, wujud golongan-golongan pejuang hararkiy yang punya idealisme yang pelbagai. Ada yang baik dan ada juga yang buruk.

بسم الله الرحمن الرحيم.
Usrah Qiyadah PKPIM siri ke-26.
19 APRILL 2016.
Di Heriot Watt University.
“HIKMAH DAN KREATIVITI DALAM BERDAKWAH”.
Tafsir Surah al-Nahl: 125-128.

ادْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ ۖ وَجَادِلْهُم بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ ۚ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِ ۖ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ
Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk. (125)

وَإِنْ عَاقَبْتُمْ فَعَاقِبُوا بِمِثْلِ مَا عُوقِبْتُم بِهِ ۖ وَلَئِن صَبَرْتُمْ لَهُوَ خَيْرٌ لِّلصَّابِرِينَ
 Dan jika kamu membalas kejahatan (pihak lawan), maka hendaklah kamu membalas dengan kejahatan yang sama seperti yang telah ditimpakan kepada kamu, dan jika kamu bersabar, (maka) sesungguhnya yang demikian itu adalah lebih baik bagi orang-orang yang sabar.(126)

وَاصْبِرْ وَمَا صَبْرُكَ إِلَّا بِاللَّهِ ۚ وَلَا تَحْزَنْ عَلَيْهِمْ وَلَا تَكُ فِي ضَيْقٍ مِّمَّا يَمْكُرُونَ
 Dan bersabarlah (wahai Muhammad terhadap perbuatan dan telatah golongan yang ingkar itu); dan tiadalah berhasil kesabaranmu melainkan dengan (memohon pertolongan) Allah; dan janganlah engkau berdukacita terhadap kedegilan mereka, dan janganlah engkau bersempit dada disebabkan tipu daya yang mereka lakukan.(127)

إِنَّ اللَّهَ مَعَ الَّذِينَ اتَّقَوا وَّالَّذِينَ هُم مُّحْسِنُونَ
 Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa, dan orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.(128)


Mukadimah

            Setiap saat, setiap waktu dan di mana sahaja kita berada, kita harus bersyukur kepada Allah SWT kerana Dia telah memberikan kepada kita pelbagai nikmat dan rahmat antaranya nikmat Iman dan Islam. Iman ialah kepercayaan bagi umat islam untuk meyakini bahawa Allah SWT sahaja yang layak disembah manakala Islam adalah cara hidup dalam setiap tingkah laku kita.

            Tanggungjawab hamba kepada Sang Pencipta ialah bersujud kepada-Nya, menjadi pemimpin serta melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar. Ketiga-tiga perkara ini merupakan perkara asas untuk menjadi hamba yang beriman. Setiap individu itu berbeza tingkatan imanya, berbeza juga dari sudut tanggunggjawabnya bahkan ujian dan cabaran juga berbeza. Namun, setiap individu itu harus sentiasa memperbaharui keimanannya dari sehari ke sehari. Seperti kata pepatah, “Hari ini lebih baik daripada semalam, Esok lebih baik daripada hari ini”. Begitu juga dalam memikul tanggungjawab, setiap individu itu berbeza, ada yang berat ada yang ringan, ada banyak dan sedikit, ada dalam bidang keagamaan, perubatan, kehakiman, perakaunan, ketenteraan, politik, pertaninan, perladangan dan sebagainya. Setiap amal kebaijkan yang dipertanggungjawab itu harus dilaksanakan dengan sebaik mungkin mengikut kemampuan kita dan melakukan semua itu adalah untuk mendapat keredhaan Allah.

            Pada mutakhir ini, kita di datangi seorang Ulama’ yang sangat hebat, ilmu yang tinggi, pemikiran yang cerdas, petah berpidato, hujah yang mampan, idea yang kritis dan kreatif iaitu Dr. Zakir Naik. Nama beliau tidak asing lagi khususnya dalam bidang perbandingan agama. Saya pernah menghadiri ceramah beliau pada tahun 2012 di Uitm Shah Alam, ketika itu saya masih tahun pertama di Uiam Gombak. Saya sangat kagum dengan beliau. Saya meneliti bahawa beliau seorang yang hikmah berbicara dan kreatif dalam berdakwah. Analogi yang diberikan sangat bertepatan dengan manhaj Islam dan membuat kita terus akur dengan kata-kata beliau. Hikmah berbicara dan kreatif dalam berdakwah sudah makin hilang dari hati dan tindaka para pendakwah. Disebabkan itu, Islam tidak dapat dibuktikan dengan cara yang tepat dan indah. Umat lain mula menyalah dan memandang entang terhadap perilaku umat Islam kerana bicaranya suka menyentap serta dakwahnya menggunakan keganasan dan kekerasan. Kita harus kembali kepada al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW, kerana dengan ini dakwah akan lebih berkesan. Umat lain akan lebih menyenangi umat Islam. Kita harus buktikan bahawa kita adalah umat Islam yang sejati yang mempraktiskan segala apa yang terkandung di dalam al-Quran dan Sunnah Rasulullah dengan sebaik-baiknya.

            Justeru itu, saya akan berkongsi kepada para pembaca bagaimana hendak berhikmah dalam berdakwah dan melaksanakan dakwah dengan cara yang diajar oleh Rasulullah SAW, bersesusaian dengan tajuk penulisan ini iaitu “Hikmah dan Kreatif dalam Berdakwah”. Kita harus kembali kepada asasnya kerana sejarah Nabi Muhammad SAW dalam berdakwah terbukti sangat berkesan. Methodolgi yang digunakan sangat sesuai kerana dapat mengubah dan mendidik bangsa Arab. Walaupun kita tahu bahawa bangsa Arab pada masa dahulu merupakan bangsa yang memetingkan perkauman, cepat marah dan pengotor namun setelah kedatangan Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW, bangsa Arab telah menjadi sebaik-baik bangsa dan dapat memerintah sepertiga dunia pada masa dahulu.

 Semoga para pembaca mendapat sedikit pencerahan dan menjadi pesanan kepada penulis juga. Amin. Jika terdapat kesilapan dan kesalahan, saya mohon diperbetulkan. Mudah-mudahan saya dapat memperbaiki diri dan mendapat hidayah dari Allah SWT dengan hidayah yang betul. Amin.

 Penafsiran Al-Quran.

ادْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ ۖ وَجَادِلْهُم بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ ۚ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِ ۖ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ
Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk. (125)

Di dalam ayat ini, Allah SWT mengkehendaki hamba-Nya untuk melakukan kerja dakwah iaitu menyeru umat ke jalan Allah yakni Islam. Adapun cara itu pelbagai namun matlamatnya ialah satu. Allah SWT berkehendaki Nabi Muhammad SAW supaya berdakwah kepada umatnya untuk mengabdikan diri kepada Allah Yang Maha Esa, namun cara yang digunakan oleh Nabi Muhammad SAW pelbagai. Sebagai contoh, ada permulaan dakwah Nabi Muhammad SAW di Kota Mekah dengan cara rahsia di rumah al-Arqam. Pada ketika itu, dakwah Nabi Muhammad SAW hanya tertumpu kepada kaum kerabat dan keluarga para sahabat yang terdekat. Pada masa itu juga, Nabi Muhammad SAW banyak bersabar menempuhi segala cabaran dan dugaan seperti tidak berjihad secara terang-terangan. Selepas beberapa ketika, perlaksanaan dakwah nabi Muhammad SAW berbeza terhadap tingkatan pemahaman umatnya, tidak marah kepada orang Yahudi yang buang air kecil di dalam masjid, memakan limau  yang masam yang diberi oleh perempuan Yahudi, lemah lembut ketika berdakwah kepada bapa saudaranya Abu Thalib dan sebagainya. Perjalanan dakwah lebih kurang 10 tahun di Mekah, matlamatnya adalah menyeru umat untuk menyembah Allah Yang Esa dan menerangkan tentang konsep keimanan. Ini adalah cara pertama dalam berdakwah.

Apabila kita perhatikan pula konsep dakwah yang disebut oleh Prof. Quraish Syihab di dalam bukunya “Secercah Cahaya”, beliau menyebut ketika mana Nabi Muhammad SAW berdakwah, baginda SAW berdakwah ada 3 cara, iaitu pertama menolak dengan secara terang—terangan seperti penyembahan berhala, kedua pula berperingkat-peringkat seperti pengharaman arak dan meratap disebabkan kematian dan ketiga pula ialah terhadap sosial masyarakat dengan mengambil apa yang baik dan meninggalkan apa yang tidak baik seperti Asabiah dan syair yang memuji binatang, perempuan dan banyak khayalan. Maka jelas di sini, bahawa Nabi berdakwah dengan hikmah kerana tidak terburu-buru dan terus menggunakan kekerasan namun sentiasa tetap pendirian kepada perkara yang berkait rapat dengan keimanan.

Adapun di dalam berdakwah ini, ada 3 ciri-ciri utama dalam menyampaikan dakwah iaitu dengan Hikmah, Nasihat dan Pengajaran yang baik serta Berdebat. Di dalam buku Fiqh Dakwah oleh Bapak Natsir menyebut bahawa Syiekh Muhammad Abduh telah mengkategorikan 3 golongan berdasarkan ayat di atas iaitu:

1.      Golongan yang cerdik pandai yang mencintai kebenaran. (hikmah)
2.      Golongan awam yang belum dapat berfikir dengan kritis atau erti kata lain rakyat marhaen. Disebut di dalam al-Quran (mau’izatul hasanah)
3.      Golongan yang suka berdebat terhapat sesuatu perkara sama ada ingin mencari kebenaran ataupun tidak. (wajadilhum)

Saya sangat bersetuju dengan pembahagian ini kerana dengan ini, kita dapat melihat bagaimana cara pendekatan dakwah yang boleh kita laksanakan kepada golongan tersebut. Sebelum saya menulis dengan lebih terperinci tentang konsep al-Hikmah dan cara pendekatan dakwah. Saya ingin menyebut beberapa penafsiran di dalam Tafsir Ulama’ yang muktabar seperti di dalam tafsir al-Thabari juga menjelaskan dengan lebih terperinci makna disebalik setiap ayat al-Quran. Ayat “menyeru” Allah mengingatkan Nabi Muhammad SAW supaya berdakdwah untuk mentaati segala perintah Allah. Ayat “ke jalan tuhan kamu” iaitu kembali kepada syariat Islam. Ayat “hikmah” ialah al-Quran. Ayat “nasihat yang baik” ialah bahasa yang digunakan adalah baik yang terdapat di dalam al-Quran. Ayat “berdebat dengan baik” iaitu jangan ditimbulkan permusuhan. Oleh itu, kita mudah memahami apa yang dikehendak oleh al-Quran terhadap ayat ini. Ia telah memberikan penjelasan dan penyelesaian dalam berdakwah yang bersistematik.

      Golongan pertama iaitu dalam kategori hikmah. Apakah maksud hikmah? Bapak Natsir menyebut hikmah ialah memahamkan rahsia terhadap sesuatu perkara. Di setiap satu perkara pasti ada rahsia yang belum kita dapat fahami dengan jelas dan kadang kala selepas beberapa hari dan tahun berlalu, baru kita dapat mengerti apakah hikmah kita melakukan itu. Sebagai contoh, kenapa jangan menghampiri zina, kemungkinan bila sudah dekati zina, keberangkalian akan melakukan zina tersebut! Beliau menyebut lagi bahawa Hikmah ialah ilmu yang shahih yang dapat menggerakkan kemahuan untuk mengerjakan kebaikan. Ini sangat mudah dan praktikal kerana ilmu itu bukan hanya pada bacaan semata-mata tetapi ia perlu diamalkan di dalam kehidupan seharian kerana kita akan dapat memperoleh pengajaran daripadanya. Begitu juga apa yang disebut oleh Dr. Stephen R. Covey iaitu: “Wisdom is applied of knowledge”. Bahkan kita harus membenarkan juga sebuah pepatah arab iaitu ilmu tanpa amal ibarat pohon yang tidak berbuah. Perbahasan konsep hikmah ini sangat luas dan sampai kini para ulama’ berbeza-beza pendapat. Kalau kita baca sebuah buku yang ditulis oleh Dato Dr. Siddig Fadzil iaitu “Pendidikan al-Hikmah”, beliau ada menyebut konsep al-hikmah yang terkandung di dalam al-Quran, Allah menceritakannya di dalam surah Luqman, kisah Luqman dengan anaknya. Hikmah sangat luas perbincangannya dan setiap ilmuan dan pemikir berbeza-beza pendapat.

Golongan pertama ini, mereka sudah dapat menghadam setiap perbahasan ilmu. Taraf ilmu mereka sangat tinggi. Mereka berfikir dan membuat penilaian di antara yang baik dan buruk. Yang baik mereka menerima dan buruk mereka menolak. Namun, setiap ilmuan itu hikmahnya berbeza dan disebabkan hal itu timbulnya ijtihad yang berbeza-beza. Saya mengkategorikan golongan ini kepada para anbiya’, para sahabat, para tabi’ tabiin, para ulama’ yang mengikut ajaran ahli sunnah wal jamaah serta pakar dalam bidang yang tertentu. Golongan ini merupakan ahlu zikri yang disebut di dalam al-Quran iaitu: “Maka hendaklah kamu bertanya kepada yang Ahlinya jika kamu tidak mengetahui”.

Perkara ini juga ditegaskan oleh Ibn Salam iaitu seorang Ulama’ Bahasa dan Sastera Arab yang meninggal pada tahun 232 Hijrah. Beliau menyebut tentang pengkhususan ilmu sebelum barat mengatakannya seperti dalam sistem pendidikan kita sekarang ini. Beliau menyusun dan meletakkan bahawa setiap individu ini ada kemahiran tertentu contohnya yang dibawa ialah pakar dalam bidang sastera belum tentu pakar dalam bidang tatabahasa. Saya melihat bahawa inilah hikmahnya. Setiap kepakaran sesuatu ilmu itu ada ahlinya dan ahlinya akan dapat memahami dengan lebih mendalam setiap apa yang dipelajarinya. Apabila seseorang hendak berdakwah, dia perlu melihat sasaran umat dan latar belakangnya. Seorang ilmuan dalam bidang ekonomi dari pihak A harus duduk semeja dengan ilmuan ekonomi dari pihak B untuk menyelesaikan masalah dan bukannya ilmuan dari bidang ketenteraan pihak B kerana hikmahnya berbeza serta pemahaman juga berbeza. Oleh itu, ilmuan ekonomi dari kedua belah pihak harus mencapai satu kata putus dalam menyelesaikan masalah dengan cara yang terbaik. Inilah dikatakan dakwah yang diajarkan oleh nabi Muhammad SAW.

Golongan kedua pula dalam kategori memberi nasihat dan pengajaran yang baik. Golongan ini tertumpu kepada rakyat marhaen. Bagaimana para pendakwah dapat mendekati golongan ini untuk kembali kepada ajaran Islam yang sebenar dan kefahaman yang tepat. Mereka ini perlu dididik dengan nasihat yang baik dan sentiasa menyantuni mereka. Zaman sentiasa berubah-berubah dan sentiasa kehadapan. Saya teringat kata-kata saudara Fazril bin Salleh, dia menyebut: “Kita harus menjadi mahasiswa dan pendakwah yang berkemajuan dan berketermapilan”. Saya fikir, kata-kata ini sangat bertepatan dengan golongan kedua. Para pendakwah perlu lebih kreatif dalam berdakwah. Matlamat satu namun cara pelaksanaan beribu sehingga mati cara ini tidak akan habis namun saya lebih suka jika cara itu bersesuaian dengan al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW, misalnya adakah nabi Muhammad SAW berdakwah dengan cara sentap-menyentap? Adakah nabi Muhammad SAW berdakwah dengan muzik? Saya tidaklah mengatakan ianya salah namun cuba kita kembali bermuhasabah, cara pendekatan Nabi Muhammad SAW bagaimana? Saya teringat satu hadis mahfusmnya iaitu islam datang dalam keadaan asing, begitulah permulaan dan pengakhirannya.

Saya yakin bahawa dengan perbincangan ilmiah, berdakwah dari mata ke mata, penulisan, video, adobe photoshop, internet, blog dan sebagainya perlu sesuai dengan Manhaj Rasulullah SAW kerana praktikalnya sesuai di setiap temapt dan zaman. Kita boleh melihat dan memerhatikan apabila dakwah yang tidak kreatif dan mengikut kepada sendiri tanpa wahyu akan menyebabkan dakwah akan lebih kepada materialisitik, individualistik, liberalisme, sekularisme dan sebagainya. Firman Allah SWT sangat jelas:

قُلْ هَٰذِهِ سَبِيلِي أَدْعُو إِلَى اللَّهِ ۚ عَلَىٰ بَصِيرَةٍ أَنَا وَمَنِ اتَّبَعَنِي ۖ وَسُبْحَانَ اللَّهِ وَمَا أَنَا مِنَ الْمُشْرِكِينَ
Katakanlah (wahai Muhammad): "Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada ugama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata. Dan aku menegaskan: Maha suci Allah (dari segala iktiqad dan perbuatan syirik); dan bukanlah aku dari golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain."

Sangat jelas ayat al-Quran di atas bahawa jalan Allah itu ialah cara dan jalan yang diamalkan oleh Rasulullah SAW khususnya dalam berdakwah. Kalau kita boleh terima hukum perundangan Islam dalam ekonomi, pertanian, kepimpinan, politik, ketenteraan dan sebagainya tetapi kenapa kita tidak boleh aplikasi sunnah Rasulullah SAW dalam berdakwah dalam menyeru umat kepada jalan kebenaran dan kembali menyeru kepada Allah SWT. Kenapa masih mahu mengatakan bahawa itu sunnah hanya untuk orang Arab. Pemikiran ini sangat salah, golongan Quranist iaitu pendokong al-Quran secara mutlak menolak sunnah dalam ibadah, dakwah, ekonomi, politik, jihad dan cara kehidupan. Saya sangat mengakui bahawa ada sunnah yang bukan syariat dan ada sunnah yang syariat tetapi pokok pangkalnya kenapa kita tidak cuba mengamalkan semula cara pendekatan Nabi Muhammad SAW. Saya yakin ia akan berjaya. Saya teringat seorang pensyarah Uiam Dr. Mazwati, beliau membuat satu kursus dan kertas kerja yang menghimpunkan hadis-hadis Rasulullah SAW yang berbentuk perkataan Nabi Muhammad SAW seperti “aku berkata” atau “hendaklah kalian” dan seumpamannya. Apabila dia melakukan projek ini di Negeri Sembilan khusus kepada para pelajar yang kurang dari segi sahsiah, setelah beberapa bulan, beliau mendapati bentuk perubahan yang baik dan ada peningkatan dari semasa ke semasa.

            Golongan ketiga iaitu wajadilhum iaitu berdebat dengan mereka. Dhamir HUM yang disebut itu bersama umum, boleh jadi umat Islam, Yahudi, Nasrani, Hindu, Buddha, Athies, Krisitian dan sebagainya. Ada diantara mereka yang ingin mencari kebenaran dan ada juga ingin menentang kebenaran dan baginya cara dia adalah tepat dan betul. Apabila berhadapan dengan golongan ketiga ini, Allah SWT menyarankan hamba-Nya berdebat denganc ara yang baik. Rasulullah SAW juga pernah melakukan hal yang sedemikan ketika ditanya harta rampasan perang selepas perang Hunain, ditanya tentang Roh, ditanya tentang kedudukan peperangan pada waktu perang badar, ditanya tentang hukum ahkam dan sebagainya. Ini membuktikan bahawa cara ini diiktiraf dalam Islam. Kita pernah dengar satu ketika dahulu apabila ada seorang Menteri di Malaysia mengatakan bahawa Debat bukan budaya Melayu, saya rasa ini fakta yang salah dan lemah. Berapa ramai, penulis kitab dalam alam Melayu seperti al-Marbawi, al-Fattani dan Za’Ba. Debat juga telah diterima dalam alam Melayu kerana ulama’ dahulu mempelajari cara pendekatan dakwah yang dianjurkan oleh Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW.

            Allah SWT juga menyebut bahawa apabila kita berdebat, kita mesti menggunakan perkataan yang baik dan tidak menyinggung pihak yang lain kerana tujuan perdebatan bukan untuk mencari kemenangan namun objektif utamanya ialah mencari kebenaran dan menolak kebatilan. Kita renungi kisah Nabi Musa ketika hendak menyampaikan dakwah kepada Firaun. Firaun bukan jahat biasa tetapi dia mensyirikkan Allah SWT malahan mengaku sebagai tuhan. Ini bentuk kezaliman!  Namun Allah SWT tetap menyarankan Nabi Musa dan Harun berdakwah dengan bahasa yang baik seperti firmannya di dalam surah Taha ayat ke-44:
فَقُولَا لَهُ قَوْلًا لَّيِّنًا لَّعَلَّهُ يَتَذَكَّرُ أَوْ يَخْشَىٰ
"Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia beringat atau takut".

         Adapun, ketika berhadapan orang yang ingkar dan zalim terhadap diri sendiri dan agama bahkan tidak mahu menerima kebenaran. Maka caranya juga berbeza, memerlukan sedikit penegesan tetapi bukan kekerasan. Ini juga dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW ketika seorang sahabat yang bernama zil khuwaisoroh berkata kepada Nabi Muhammad SAW: “berlaku adilllah!” dan Nabi Muhammad SAW membalas dengan tegas: “Celakalah engkau, jika bukan aku yang berlaku adil maka siapa”. Bukan bermaksud untuk membuang dan menghina tetapi ia satu tindakan untuk memberikan penegasan jika penanya memulakan persoalan yang tidak mahu menerima kebenaran. Begitu juga firman Allah SWT di dalam surah al-‘Ankabut ayat ke-46:

وَلَا تُجَادِلُوا أَهْلَ الْكِتَابِ إِلَّا بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِلَّا الَّذِينَ ظَلَمُوا مِنْهُمْ
Dan janganlah kamu berbahas dengan Ahli Kitab melainkan dengan cara yang lebih baik, kecuali orang-orang yang berlaku zalim di antara mereka;

Berdakwah ini merupakan satu tuntutan syariat Islam untuk menjaminkan kesejahteraan umat di dunia dan di akhirat. Berdakwah bukan bermusim dan ianya merupakan satu perkara yang mesti dilakukan secara berterusan. Permulaan seruan berdakwah itu harus kepada diri sendiri, keluarga, masyarakat dan negara dengan mengikut tertib. Apabila kita sudah melaksanakan dakwah, usah dikatakan bahawa kita pencetus kepada hal tersebut serta mengatakan jika berlaku perubahan maka kita mengatakan kitalah yang menyebabkan arus perubahan tersebut. Dakwah ini memerlukan hidayah. Tidak semua umat boleh menerima hidayah walaupun pelbagai cara pendekatan dakwah yang telah dilaksanakan. Sudah mati akal untuk berfikir cara dakwah yang kreatif untuk menyeru umat ke jalan kebenaran. Sebagai contoh, selama 950 tahun Nabi Nuh berdakwah namun beberapa sahaja yang berimana. Dakwah Nabi Lut juga ditentang oleh isteri dan anaknya. Dakwah Nabi Ibrahim juga ditentang oleh ayahnya. Begitu juga Abu Thalib juga tidak beriman dengan ajaran Nabi Muhammad SAW. Namun, kita harus yakin dengan ketentuan Allah SWT dan sentiasa berusaha bersungguh-sungguh untuk menyeru umat ke jalan yang benar dan berdoa kepada Allah.

Kesimpulan

1.      Kita harus menjadi pendakwah yang berhikmah dalam berbicara dan juga perlaksanaan.
2.      Kita harus menjadi pendakwah yang berkemajuan dan berketerampilan yang bersesuaian dengan peredaran zaman.
3.      Kita harus memikirkan cara pendekatan dakwah yang kreatif dan inovatif namun mestilah berlandaskan syariat Islam.
4.      kita harus berdakwah dengan bertepatan dengan Manhaj Malizi iaitu memahami realiti hidup masyarakat setempat terhadap apa yang mereka perlu dan berkehendak.
5.      Kita harus menjadi pendakwah yang mengambil kira kepelbagaian hidup msyarakat dalam menerangkan gerak kerja dan dakwah yang bersesuaian.
6.      Kita harus menjadi pendakwah yang sentiasa menghormati pendapat dan pandangan orang lain.
7.      Kita harus menyatukan umat dan tidak memecahkan umat terhadap perkara yang ada khilaf dari sudut Fiqh.
8.      Kita harus menterjemahkan Maqasid Syariat Islam kepada umat bahawa ajaran Islam ini lebih bersifat praktikal dan tidak membebankan umatnya.
9.      Kita juga harus menjadi pendakwah yang tidak mudah dan cepat menghukum serta sentiasa bersabar.


Wallahu a’lam. Insya-Allah, jika ada kesempatan, saya akan menyambung penafsiran ayat ke126-126. Semoga Allah SWT merahmati kita semua dan sentiasa memberikan kita peluang dan ruang untuk bertaubat serta memperoleh hidayah daripada Allah SWT. Sekian Terima Kasih.